Assalamualaikum warahmatullah,
Dalam entry lepas, saya kongsikan Melayan anak kecil yang suka bertanya. Kali ini kita lihat pula panduan berkomunikasi dengan anak-anak oleh Dato’ Dr Noor Laily Dato’ Abu Bakar.
Anak belajar menerima maklumat daripada orang yang telah dewasa. Orang dewasa mengisi otak anak yang masih kosong dengan ilmu dan kemahiran. Anak belajar kerana otaknya belajar. Otak yang belajar akan membangun. Saluran anak belajar adalah dengan pancainderanya iaitu lihat, dengar, sentuh, bau dan cita rasa.
Melalui lima saluran ini, anak belajar dengan keadaan sedar. Tetapi serentak dengan keadaan sedar itu, ada juga faktor yang dikatakan tidak sedar atau ‘unconscious’. Kajian menunjukkan 85% dari cara anak kecil belajar ialah berasaskan faktor ‘unconcious’ ini iaitu berasaskan emosi dan daya intiut atau daya firasatnya.
Dengan itu anak akan menerima apa sahaja maklumat yang dia terima melalui pancaindera lihat, dengar, sentuh, bau dan cita rasa. Sekiranya penerimaan maklumat ini dikaitkan dengan perasaan ikhlas dan gembira, anak akan menyimpan maklumat yang dipelajari bersama perasaannya secara serentak.
Sekiranya penerimaan maklumat ini diberikan berulang-kali, maklumat itu akan menjadi kekal di dalam ingatannya. Sekiranya maklumat diterimanya dengan rasa gembira dan memberinya rasa tenteram dan disayangi, anak akan merasa minat terhadap perkara yang dia belajar. Sekiranya hal itu berlaku setiap kali, anak akan minat belajar perkara-perkara baru. Pengalaman itu akan mewujudkan rasa gembira, tenteram dan selamat. Anak akan minat belajar dan minat kepada ilmu, suka meneroka, suka mencuba dan dengan itu sentiasa kagum dengan persekitarannya dan suka bertanya apa, mengapa dan bagaimana.
Sebaliknya jika anak sentiasa ditahan, dimarahi atau dikritik, maka anak akan rasa tidak tenteram, tidak selamat dan terancam. Anak itu akan tidak minat belajar, benci kepada ilmu dan sentiasa mencari jalan untuk melawan balik dunianya yang kejam dan menyakitinya.
Ada pula anak yang lari dari keadaan-keadaan ini dengan menunjukkan tabiat tidak minat terhadap semua perkara, tidak peduli datau masuk terus ke alamnya sendiri dan tidak memperdulikan lagi dunia sekelilingnya.
Panduan yang boleh diikuti
Oleh itu, cara kita berkomunikasi dengan anak-anak sebenarnya amat penting. Ada beberapa panduan yang boleh kita ikuti seperti :
1. Apabila bercakap dengan anak tentukan anak melihat mata kita dan kita melihat mata anak dengan menggunakan teknik mata ebrtemu mata, tidak kira berapa umurnya. Malahan teknik ini seelok-eloknya diamalkan dari usia/masa anak itu kecil lagi.
2. Air muka dengan gerak-geri yang digunakan mestilah mewujudkan suasana tenteram, selamat dan disayangi.
3. Perkataan yang digunakan dengan tujuan untuk :
- menyampaikan rasa sayang
- meningkatkan silaturrahim
- melafazkan kesyukuran
- menyampaikan ilmu
4. Elakkan perkataan-perkataan yang menjatuhkan air mukanya, kerana ia boleh menyebabkan anak berasa tidak selamat, tidak disayangi, marah atau terancam. Semua in mesti dielakkan sama sekali.
5. Beri peluang anak bercakap dan apabila dia bercakap, kita mestilah mendengar dengan penuh ceria dan empati.
6. Jangan timbulkan rasa prejudis terhadap anak.
7. Sentiasa mewujudkan suasana anak boleh mempercayai kita dan kita juga mempercayainya.
8. Beri dia galakan dan rangsangan.
9. Jangan menuduh dan menyumpah dengan perkataan negatif seperti jahat, degil, bodoh dan lain-lain.
10. Wujudkan rasa selamat, tenteram dan disayangi.
11. Segala nasihat dan teguran yang diberikan mestilah yang membina dan yang tidak menjatuhkan maruah anak itu.
12. Teguran atau pujian mestilah diarahkan kepada perbuatannya dan bukan personalitinya.
13. Ibu bapa dan penjaga juga mesti menjadi contoh teladan.
Sekiranya ibu bapa boleh mengikut panduan ini, insya Allah, kita akan dapat meningkatkan motivasi anak belajar dan meneroka dunia yang luas serta kaya dengan ilmu. Mudah-mudahan usaha-usaha itu akan membolehkan dia hidup bahagia di dalam dunia yang lebih mencabar daripada dunia waktu ibu bapa kecil dahulu dan dunia sekarang ini.
Sumber : Dato’ Dr Noor Laily Dato’ Abu Bakar – NURY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...