PAGE

Sabtu, Disember 26, 2009

Etika berbicara dengan anak-anak


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Dalam entri yang lepas, saya masukkan Melayan anak kecil yang suka bertanya dan Panduan berkomunikasi dengan anak. Hari ini disenaraikan etika berbicara dengan anak-anak sebagai ulangkaji ilmu keibu-bapaan. Mudah-mudahan bermanafaat.

Sering kali ibu bapa mengadu anak-anak mereka tidak mendengar kata, punca sebenarnya boleh jadi kerana penyampaian ibu bapa itu sendiri yang tidak kena. Bila minta anak melakukan kerja sekolah, ada ibu/bapa yang menengking malah membebel, cara ini selalunya tidak akan memberi kesan pada anak. Jadi bagaimana mahu mempastikan setiap arahan dan kata-kata anda didengari oleh anak?

Berikut disenaraikan panduannya :

1. Tatap mata si cilik

Berbicara dengan anak kecil perlu berhemah, maka renungilah mata mereka untuk mendapatkan perhatiannya. Ajar mereka bagaimana untuk fokus. Berikan bahasa tubuh yang sama setiap saat anda mendengar cerita mereka. Pandangan anda itu perlu bersifat berkomunikasi dan bukannya mengawal setiap pergerakan mereka.

2. Hargai anak dengan memanggil namanya

Penghargaan untuk anak boleh dimulakan dengan menyebut nama anak sebelum meminta mereka melakukan sesuatu. Misalnya, “Ahmad, tolong…”

3. Jangan berleter

Ketika berbicara dengan anak, elakkan terlalu banyak arahan. Ia bukan sahaja membuatkan anak anda keliru, malah memperlekehkan arahan anda. Kekerapan membebel juga membuatkan anak anda berasa lemas dan ingin lari setiap kali anda cuba berbincang dengannya.

4. Jelas dengan maksud

Gunakan ayat-ayat yang mudah dan patah perkataan yang mengandungi satu suku kata. Cuba dengar bagaimana anak-anak anda berkomunikasi dengan rakan sebayanya. Fahami dan adaptasinya dengan gaya yang paling mudah untuk diterima oleh anak. Jika anak-anak memberikan pandangan seolah-olah mereka tidak berminat, jelas kata-kata anda tidak lagi didengari dan dimengertikan oleh mereka.

5. Minta anak ulangi kata-kata anda

Sekiranya anak anda tidak dapat mengulangi kata-kata yang anda berikan, bermakna mereka tidak memahami maksud anda dengan jelas. Barangkali ia terlalu panjang dan rumit untuk difahami mereka.

6. Beri alasan

Bagi kanak-kanak seusia 2 atau 3 tahun, setiap sesuatu yang dilarang perlu dilandasi dengan alasan yang munasabah. Misalnya “Cepat pakai baju, nanti kamu boleh main di luar”. Alasan anda membuatkan mereka akur dan tidak berkeras untuk mengulangi kebiasaannya itu.

7. Bersikap positif

setiap tutur kata perlu diluahkan secara positif. Misalnya elakkan daripada menggunakan perkataan ‘jangan’. Daripada berkata “Jangan berlari-lari.”, Bukankah lebih baik berkata “Di dalam rumah kita berjalan, di luar rumah barulah kamu boleh berlari.”

8. Luahkan hasrat kamu

Elakkan memberi arahan dengan keras seperti, “Turun!”, sebaliknya cuba katakannya dengan “Saya ingin kamu turun”. Perkataan ingin memberi gambaran untuk bersikap baik dan mengelakkan daripada ayat perintah.

9. Terus bertindak

Daripada berteriak, “Matikan TV sekarang sudah tengah malam!”, cubalah untuk berjalan mendekati anak dan duduk seketika untuk menikmati keasyikan si kecil menonton. Apabila tiba iklan cubalah untuk meminta anak anda mematikan televisyen. Tindakan anda berjalan ke arahnya menunjukkan anda serius dengan permintaan anda. Jika tidak, anak akan mentafsirkan permintaan anda sebagai satu pilihan semata-mata.

10. Beri pilihan

Beri pilihan pada anak agar anak belajar untuk meluahkan apa yang mereka fikirkan. Duduklah dengan mereka dan minta mereka luahkan apa yang mereka rasa/fikir.

2 ulasan:

Kongsikan komen anda di sini...