PAGE
▼
Jumaat, Disember 25, 2009
Impian isteri, angan-angan suami, mengapa tak sama?
Assalamualaikum,
Isteri anda suka merungut? Serba serbi tak kena dengan apa yang ada sekarang? Apa sebenarnya yang isteri mahukan di dalam kehidupan rumahtangganya? Adakah sama dengan impian suami atau berbeza jauh sehingga suami tidak faham langsung apa yang tidak kena dengan hubungan mereka?
Kes pertama
Atikah seorang suri rumah sepenuh masa yang selalu merungut tentang duit belanja yang tidak pernah cukup. Hasan, suami yang cukup sabar bekerja sendiri sebagai ejen insurans dan jualan langsung, kadang-kadang berniaga di pasar malam.
Jerih payah Hasan kadang-kala dipersendakan isteri kerana hasil diperolehi tidak mencapai hasrat nafsunya. Sudahlah tidak berusaha menolong suami, bergantung sepenuhnya makan minum daripada Hasan, namun tetap dikeji apa yang dimakannya.
Kasihan Hasan didampingi isteri yang tidak pandai bersyukur, cenderung merendah-rendahkan pekerjaan suami dan tidak mahu menolong meringankan beban kewangan yang ditanggung suaminya. Seandainya saja Atikah mahu terjun langsung bersama mencari rezeki dan tidak malu mendampinginya berniaga. Padahal, anak-anak sudah pun boleh berdikari. Apa salahnya masa yang banyak terbuang percuma di rumah digunakan untuk berniaga tentu akan merubah nasib mereka sekeluarga. Tetapi Atikah isteri yang manja, dia lebih suka membeli makanan daripada memasak. Amat pentingkan kecantikan diri dan bersosial dengan kawan-kawannya yang kaya dan bergaya pula.
Kes kedua
Mayasari seorang peguam berjaya yang amat mementingkan keluarga. Sehingga timbul dilema dalam dirinya untuk melepaskan kerjaya dan memilih menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Suami Mayasari menentangkan niatnya itu dan tetap memaksanya untuk mengekalkan keadaan sedia ada kerana nafkah keluarga yang agak mewah dan boleh ditanggung oleh suami seorang. Dalam impian Mayasari, betapa bahagianya duduk di rumah menjaga anak-anak yang masih kecil-kecil itu dan meluangkan masa mendidik mereka dengan baik. Di samping itu, segala keperluan asasi dipenuhi oleh suami yang bergaji besar dan kalau boleh tiada sekatan langsung menggunakan wang suami semahu-mahunya.
Alahai, sungguh bahagianya jika suami pun lelaki yang jujur dan pemalu, tidak pernah punya skandal, menjaga maruah diri, kaya lagi murah hati, bersih, kuat agama, setia pada satu isteri, keluarganya tidak mengongkong, sayang kepada anak-anak, sihat dan segak sepanjang masa.
Suami pula impikan seorang isteri yang rajin mencari wang, cantik, ramai anak dan pandai mendidik mereka tetapi suami tidak rasa tersisih dan tergugat, pandai mengambil hati lagi mesra kepada mentua, sentiasa menjaga maruah diri dan harta suami jika dia tiada, tetap hangat dan mengghairahkan walaupun penat dan lelah, senyumannya lebih ketara daripada rungutannya serta taat dan setia tanpa dipaksa. Adakah anda menepati ciri-ciri suami dan isteri idaman?
Tiada yang sempurna
Mana ada pasangan yang sesempurna itu di dunia ini. Jika ada pun, pastinya dalam syurga Allah SWT kerana tiada kesusahan pun akan dirasai penghuninya. Setiap insan pasti diuji dengan ketidak sempurnakan dunia. Ada yang baik agamanya, tetapi miskin dan ada yang kaya pula tidak ingat pada Tuhan.
Ada yang sihat dan segak bergaya tetapi mata keranjang, yang tidak segak pula tidak pandai mengambil hati isteri. Ada isteri yang mata duitan tetapi cukup cantik menawan kalbu, yang gemuk berwajah sedang-sedang pula pandai mencari duit. Begitulah karenah dunia yang fana ini.
Tiada yang sempurna di sini. Asalkan setiap pasangan suami isteri berganding bahu dan berpegang tangan, Cukuplah modal bagi mengharungi dugaan hidup.
Kunci kebahagiaan rumahtangga telah diterangkan dalam al-Quran yang bermaksud, “Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah m,enjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisaa’ ayat 19)
Selain bersabar, sikap bersyukur sepatutnya menjadi amalan harian suami isteri. Disebabkan kurang bersyukur, suami isteri boleh bercerai berai. Kereta mewah telah pun dibeli, tapi masih juga sedih tidak dapat bercuti ke luar negara mengikut kawan-kawan bergaya.
Suka mengugut suami dan memaksa dipenuhi segala permintaannya. Tidak peduli apakah suami mampu atau tidak? Beruntungnya nasib jadi isteri bagai permaisuri di dalam rumah, semua kerja dibuat orang gaji, masih juga tidak sedar diri membuang masa, tidak ingat sembahyang, tidak sedar dan insafi dosa-dosa.
Sementara isteri-isteri lain terpaksa berpanas dan berhujan mencari nafkah membanting tulang menolong meringankan beban suami hingga tidak pedulikan lagi bilakah rehat dan tidurnya, setiap hari dikejar masa.
Sudah ada isteri yang sabar, muda, boleh melahirkan zuriat yang sihat dan berwajah cantik lagi amanah menjaga keluarga, masih juga main mata dengan perempuan lain, mengapa tidak bersyukur juga dengan apa yang dimiliki? Sementara lelaki lain ada yang bertemu jodoh dengan wanita-wanita yang bermasalah, tidak boleh beranak, main kayu tiga, mewah, boros dan segala penyakit yang menjangkitinya.
Lihatlah pada anugerah Allah SWT yang anda miliki dan bandingkan dengan mereka yang tidak bernasib baik. Senyuman pasti mengukir di bibir anda dan suami dalam jaga dan mimpi.
Renung-renungkan!
Sumber : Dr Juanda Jaya di MW#1356
hanya mampu senyum
BalasPadam