PAGE

Khamis, Disember 17, 2009

Kemiskinan tidak wajar dijadikan penghalang untuk berusaha


Oleh Penulis Khas YaPEIM


Gambar hiasan

KEMISKINAN masyarakat boleh mengundang bahaya besar termasuk mengancam keamanan, kesejahteraan dan kestabilan hidup rakyat. Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa Abu Zar berkata, "Saya hairan melihat sebahagian orang yang tidak memiliki makanan di rumahnya. Bagaimanakah mereka dapat bersabar dan tidak keluar rumah dengan menghunus pedang dan menimbulkan rusuhan?"

Seseorang mungkin boleh bersabar menghadapi kemiskinan jika dia menyedari punca sumber penghasilan dan terlampau ramainya manusia yang memerlukan. Tetapi jika kemiskinan itu timbul akibat kesilapan disengajakan ekoran penindasan segolongan kecil manusia menikmati kemewahan dengan mengorbankan kepentingan golongan majoriti, maka kemiskinan seperti inilah yang membangkitkan emosi dan kemarahan setiap orang.

Ia akan menimbulkan fitnah dan boleh meruntuhkan nilai kasih sayang dan persaudaraan dalam masyarakat. Selagi ada dalam masyarakat, perbezaan sosial yang ketara sehingga sebahagian orang tinggal dalam pondok dan sebahagian lain tinggal di istana, sebahagian orang tidur beralaskan tanah, manakala sebahagian lain mendirikan bangunan tinggi, selagi itu api kebencian dan kemarahan akan menyala dalam diri masyarakat.

Islam tidak hanya menentang golongan yang berpendapat kemiskinan dan penyeksaan jasmani adalah sesuatu yang suci dan boleh membawa kepada ketinggian rohani. Islam juga menentang golongan kedua yang memandang kemiskinan dengan penuh kepasrahan dan menganggapnya sebagai nasib yang ditakdirkan Allah.

Pandangan seperti ini menjadi penghalang terhadap usaha memperbaiki keadaan, menegak keadilan dan mewujudkan jaminan kesejahteraan yang diidamkan. Risalah Islam wajib disempurnakan dengan memerdekakan masyarakat daripada belenggu kemiskinan, membantu mengukuhkan hak mereka serta mengukuhkan sistem jaminan sosial. Hanya dengan cara itu mereka boleh hidup secara mulia.

Antara prinsip agung yang Islam tanam di dalam hati Muslim ialah terdapatnya jalan keluar bagi setiap kesukaran. Oleh itu, seorang Muslim mesti meyakini bahawa setiap penyakit ada ubatnya, kerana Allah tidak akan mencipta penyakit kecuali Allah ciptakan penawar yang boleh menyembuh.

Sakit itu takdir Allah dan kesembuhan juga takdir Allah. Mukmin sejati seharusnya menolak takdir yang buruk dengan melakukan usaha untuk mendapatkan takdir yang baik. Dia mesti menolak takdir lapar dengan takdir mencari makanan atau mencari minuman.

Pada satu masa, Khalifah Umar pernah membatalkan niatnya memasuki Syam. Beliau memerintahkan tenteranya meninggalkan negeri itu serta-merta kerana khuatir mereka akan terdedah kepada wabak yang sedang berjangkit di dalam negeri itu.

Salah seorang sahabat mencela tindakan beliau itu seraya berkata , “Wahai Amirul Mukminin, adakah engkau melarikan diri daripada takdir Allah?” Beliau menjawab, “Ya, kami melarikan diri dari takdir Allah yang ingin menuju takdir Allah yang lain”.

Nabi Muhammad SAW pernah ditanya dengan soalan yang serupa apabila Baginda berusaha mengubati satu penyakit, “Wahai Rasulullah SAW adakah anda berusaha menolak takdir Allah?” Baginda SAW menjawab, “Justeru usaha untuk mengubati penyakit itu juga takdir Allah!” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Jika kemiskinan diibaratkan sebagai satu penyakit maka ketahuilah bahawa Allah sudah menurunkan cara atau sistem yang boleh menyembuhnya. Jika kita menganggap bahawa kemiskinan itu adalah takdir Allah, maka kita mesti memahami bahawa usaha membanteras kemiskinan dan melepaskan diri daripada cengkamannya juga adalah takdir dan kehendak Allah.

Sumber : BHarian 2009/12/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...