PEMBERIAN mas kahwin kepada isteri adalah wajib mengikut hukum syarak. - Gambar hiasan
Kerajaan negeri harus selaras buat keputusan ikut ekonomi semasa angkat taraf wanita
PENGUMUMAN kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin kepada RM300 untuk anak dara atau janda berbanding RM80 bagi anak dara dan RM40 bagi janda mulai bulan depan, membuka minda penulis untuk membincangkannya. Tumpuan akan diberikan kepada kadar mas kahwin di setiap negeri. Kadar minimum mas kahwin dan kewajaran jumlah mas kahwin ditetapkan pemerintah atau diserahkan kepada masyarakat untuk menentukannya.
Menurut undang-undang Keluarga Islam, mas kahwin ialah pembayaran kahwin yang wajib dibayar mengikut hukum syarak oleh suami kepada isteri semasa akad nikah, sama ada wang atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut hukum syarak dapat dinilai dengan wang.
Firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 4, bermaksud, "Berikanlah kepada orang perempuan itu mas kahwin mereka."
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Bukhari, "Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi."
Mas kahwin boleh daripada apa saja, asalkan ia berguna dan berfaedah. Dalam hadis riwayat Ahmad Ibnu Majah, Tarmizi bahawa Rasulullah pernah menikahkan seorang perempuan dengan mas kahwin sepasang sepatu wanita dengan persetujuan wanita itu.
Dalam hadis lain riwayat Bukhari dan Muslim, Baginda SAW juga pernah menikahkan seorang lelaki dengan seorang wanita dengan mas kahwin lelaki itu mengajarkan kepada wanita itu beberapa hafazan surah dalam al-Quran, kerana lelaki itu tidak mempunyai apa-apa harta yang boleh dijadikan mas kahwin.
Mas kahwin wajib dibayar seperti disebut ketika akad nikah. Jika mas kahwin disebut dalam akad nikah, akan dibayar secara tunai oleh suami manakala isteri berhak menghalang suami daripada menyetubuhinya sehingga dijelaskan mas kahwinnya itu.
Sekiranya isteri diceraikan sebelum berlaku persetubuhan, maka gugurlah separuh mas kahwin sebagaimana firman Allah bermaksud, "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan itu akan mas kahwinnya, maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu."
Kadar mas kahwin juga akan diambil kira hakim ketika menentukan kadar tebus talak sekiranya pihak itu ditakdirkan kemudiannya bercerai secara tebus talak. Apabila mas kahwin tidak dibayar dan tidak dihalalkan oleh isteri, isteri berhak mendapat mas kahwin itu walaupun selepas bercerai.
Kadar mas kahwin ditetapkan pihak berkuasa agama negeri. Di Johor kadarnya ialah RM22.50; Melaka (RM40); Perak (RM101); Pulau Pinang (RM24); Pahang (RM22.50); Sarawak (RM120) dan Labuan (RM80) dengan tidak membezakan dara atau janda.
Di Selangor dan Kuala Lumpur ialah RM80 bagi dara manakala janda RM40; Negeri Sembilan RM24 bagi anak dara dan RM12 bagi janda, Sabah RM100 bagi dara dan RM80 bagi janda. Namun di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan jumlah mas kahwin tidak ditetapkan pemerintah.
Adalah suatu perkara yang memalukan apabila sebuah negara Islam kecil seperti Malaysia mempunyai kadar mas kahwin yang berbeza-beza antara negeri. Sudah sampai masanya nilai mas kahwin diselaraskan di semua negeri.
Perlu juga dikaji keperluan dibezakan mas kahwin antara anak dara dan janda kerana tidak terdapat nas yang jelas membezakan mas kahwin antara anak dara dan janda. Dalam perkembangan ekonomi hari ini, wajarkah kadar mas kahwin serendah RM12 atau RM22.50?
Mas kahwin adalah hak isteri hatta bapa sebagai wali sekalipun tidak berhak menerima mas kahwin kecuali anaknya meredainya. Sesetengah golongan melihat mas kahwin sebagai lambang status dan taraf si isteri yang diambil oleh suami sebagai pasangan hidupnya.
Adakah status atau taraf wanita hari ini serendah RM12 atau RM22.50?
(NB: Nak beli tudung Anggerik/Ariani/Hajaba pun tak lepas! 1 gm emas jangan mimpilah... Itupun masih ramai yang mempertikaikan hantaran mahal konon! Huk.. huk...)
Sudah sampai masanya negeri lain mencontohi kerajaan Selangor untuk mengkaji semula kadar mas kahwin kerana aturan itu dilaksanakan sejak 30 tahun lalu dan menyelaraskan kadar mas kahwin di antara negeri.
Penulis berpandangan, kadar mas kahwin yang akan ditetapkan itu sewajarnya dijadikan kadar minimum mas kahwin. Sekiranya kedua-dua belah pihak bersetuju memberikan lebih daripada kadar minimum ditetapkan itu, terpulang kepada mereka kerana syarak tidak menghalang untuk berbuat demikian, jika dipersetujui kedua-dua pihak.
Dalam surah An-Nisa ayat 20, Allah berfirman yang bermaksud, "Dan kamu telah memberikan kepada salah seorang mereka (isteri-isteri) mahar yang banyak."
Untuk menentukan jumlah maksimum mas kahwin ia dinilai secara Mahr Mithil atau Mahr Musamma. Mahr Mithil ialah mas kahwin yang dinilai mengikut mas kahwin saudara perempuan yang berkahwin lebih dulu, di kalangan keluarga yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya, di samping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.
Mahr Musamma ialah mas kahwin yang ditetapkan dan dipersetujui kedua-dua pihak dengan tidak memandang kepada nilai mas kahwin saudara perempuan itu.
Cuma perlu ditekankan bahawa hukum syarak tidak menggalakkan mas kahwin terlalu tinggi sampai ke tahap yang boleh menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki. Pemerintah berperanan menetapkan jumlah minimum mas kahwin, tetapi masyarakat diberi pilihan untuk menentukan kadar maksimum mas kahwin atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Sumber : BHarianOnLine 2009/12/16
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...