PAGE

Isnin, Disember 21, 2009

Mahar, hantaran sering disalahertikan masyarakat

Oleh Salbiah Ani [dahiya@bharian.com.my]


(gambar hiasan, kredit untuk tuan punya gambar)

SAHIH masih ada umat Islam Malaysia, tidak kira muda atau tua, wanita apalagi lelaki, tidak dapat membezakan antara tuntutan dalam Islam dan aspek budaya masyarakat Melayu, sekalipun hal yang menjadi asas kehidupan seseorang Muslim atau Muslimah.

Perkara ini dapat dilihat daripada reaksi berhubung pengumuman kenaikan kadar mas kahwin atau istilah dalam bahasa Arab, mahar, sama rata bagi wanita yang pertama kali berkahwin dan janda sebanyak RM300 berkuatkuasa 1 Januari depan, berbanding RM80 dan RM40 sejak sekian lama.

Kecoh sekali kelompok yang tidak dapat membezakan antara mahar dengan hantaran tanpa mengira jantina dan hanya kerana RM300 sehingga ada yang tergamak mengeluarkan kenyataan bahawa peraturan baru itu akan meningkatkan jumlah andalusia di negara ini!

Apakah semurah itu nilai dan harga diri seorang wanita apalagi isteri dalam sesebuah rumah tangga pada zaman semakin ramai suri rumah turut menyumbang kepada ekonomi keluarga demi kelangsungan hidup dan kebahagiaan semua, tanpa melepaskan tanggungjawab hakiki mereka?

Sesetengah daripada pandangan yang dikemukakan pendengar Radio Ikim dan Hot-Fm ketika perkara ini dibincangkan juruhebah kedua-dua stesen terbabit, mencerminkan betapa daifnya kefahaman mereka berhubung mahar!

Tidak kurang Muslimah gagal melihat hakikat tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu demi menjaga kepentingan mereka selain sebagai suatu keperluan ekoran peningkatan kos sara hidup selain seolah-olah lupa kes penderaan termasuk emosi terhadap isteri kini suatu yang lumrah!

Sememangnya tidak dinafikan sebaik-baik mas kahwin adalah serendah-rendahnya ekoran mahar adalah pemberian daripada suami kepada calon isteri dan tidak semestinya dalam bentuk wang kerana aspek yang dipentingkan pada zaman Rasulullah SAW ialah keikhlasan dalam pemberian.

Bagaimanapun tidakkah ia suatu yang mengaibkan khususnya dalam masyarakat Melayu, apabila pada kadar mas kahwin sebegitu rendah pun, masih ada kalangan suami gagal menjelaskan jumlah berkenaan secara tunai kepada isteri, sehingga ada kalanya membawa ke liang lahad!

JANGAN LUPA! Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Mana-mana lelaki yang mengahwini perempuan atas sekurang-kurang atau sebanyak-banyak maharnya, tetapi tidak ada maksud (tidak mahu) membayar mahar tersebut sebagai haknya (perempuan yang dikahwini), setelah itu ia mati padahal belum lagi ia tunaikan (mahar tersebut), maka nanti ia bertemu dengan Allah pada hari Kiamat sebagai orang yang berzina.” (Hadis Riwayat at-Tabrani dan al-Hakim)

Sila rujuk Hadis: Kewajipan Membayar Mas Kahwin

Apakah pada masa zaman segala-galanya melambung dan kasih sayang apalagi pengorbanan isteri tidak akan ternilai dengan wang ringgit, peningkatan sekecil itu masih menjadi perkiraan keterlaluan sehingga ada pendengar tergamak mengatakan ia akan menggalakkan zina kepada calon pengantin?

Segala-galanya ini bergantung kepada keimanan seseorang dan sebagai umat Islam yang wajib taat pada segala peraturan dan hukum hakam serta jika benar mereka ikhlas dalam melaksana sunnah Rasulullah SAW, pasti mereka akan berpegang kepada pesanan baginda: “Jika kamu tidak mampu untuk berkahwin hendaklah kamu berpuasa”, kecuali kelompok yang berpuasa Ramadan pun tidak, jauh sekali daripada berpuasa sunat!

Rintangan sebenar hal ini dalam masyarakat Melayu Islam kini ialah hantaran yang terlalu tinggi dan kecenderungan mengadakan majlis besar-besaran dengan sesetengahnya berlumba-lumba sehingga zahir unsur riak dan menghalang berlangsungnya perkahwinan dengan penuh keberkatan!

Tidak cukup dengan perlumbaan dalam hantaran dan barangan sebagai hadiah kepada bakal isteri dan suami, turut terjadi situasi siapa juara dalam persalinan pakaian pelbagai bangsa serta suku kaum, sehingga letih mak andam menyedia dan membantu meskipun poket penuh!

Dalam taksub memperagakan kecantikan pengantin, perkara haram sudah terjadi dalam majlis perkahwinan dan lebih memalukan apabila diadakan di surau atau masjid bagi mendapatkan berkat, menjadi sebaliknya apabila azan berkumandang, kumpulan kompang dengan segala kudrat memukul rebana sebagai tanda ketibaan pengantin!

Anehnya maksud tersirat di sebalik perkara baik dalam majlis perkahwinan Melayu seperti pemberian telur sebagai buah tangan kepada tetamu dengan maksud tersirat mendoakan kesuburan pasangan pengantin ditukar pula kepada gula-gula, kek, sapu tangan dan seumpamanya!

Alangkah moleknya sekiranya pasangan pengantin bersederhana dalam segala hal dengan matlamat menjalin persaudaraan antara dua keluarga oleh ikatan perkahwinan dan menambah zuriat bagi meramaikan umat Islam yang bertakwa.

Tren terkini dalam majlis perkahwinan cukup membimbangkan kerana bakal menjerat pasangan pengantin baru dan ibu bapa mereka dalam lingkaran hutang yang membebankan atau berlaku senario tidak bernikah selagi hayat di kandung badan kesudahannya!

Di sini penting untuk pengantin dan kedua-dua ibu bapa mereka untuk melihat hakikat hidup, mendahulukan agama; bukannya budaya kerana ia akan meletakkan mereka dalam rahmat Allah serta tersimpang daripada memberi kekayaan kepada along berlesen atau tidak, atas kedaifan berfikir.

Sumber : BHarianOnLine 2009/12/17

1 ulasan:

  1. Salam.. Tujuan itu tidak salah.. namun tujuan jua tidak menghalalkan cara. Tiada dalil atau nas dari al-quran maupun hadis dari rasulullah yang mengatakan mahar atau maskahwin itu mesti ditetapkan oleh kerajaan dengan jumlah yang tertentu. Bukan soal 300 itu mahal, tapi persoalannya Undang2 Allah atau undang2 kerajaan yang patut didulukan? Adakah kita menganggap bahawa maskhawin/mahar itu adalah harga seorang wanita? Bagaimana pula dgn hadis rasulullah yang mengatakan "sebaik2 wanita ialah yang rendah maharnya"? Jadi apakah yang kita rujuk sebenarnya? Al-quran dan hadis, atau undang2 malaysia? wallahualam.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...