PAGE

Selasa, Januari 12, 2010

Kabinet lulus RM15 juta bantu isteri terabai

Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my

Dana nafkah awal keluarga dalam proses cerai

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta menerusi Badan Sokongan Keluarga (BSK) bagi membantu isteri yang dalam proses perceraian selepas tiga bulan kes mereka direkodkan di Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata dana berkenaan untuk bantuan dalam bentuk pinjaman kewangan bagi meringankan beban isteri terbabit yang biasanya tidak mendapat nafkah daripada suami sebaik saja kes direkodkan di mahkamah menyebabkan mereka hilang tempat bergantung.

"Apabila berlaku perceraian, biasanya suami berdegil dan tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya sehingga mahkamah mengeluarkan keputusan. Sepatutnya suami yang dalam proses perceraian masih bertanggungjawab memberikan nafkah makan dan pakai untuk isteri serta anak-anaknya dengan mengambil kira jumlah yang dibelanjakan setiap hari sebelum pasangan itu bercerai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Agensi Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz.

Jamil Khir berkata, pusingan dana BSK itu nanti akan dikawal selia Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi mendapatkan semula pinjaman daripada suami selepas kes selesai.

“Saya minta JKSM memainkan peranan mengutip semula wang pendahuluan sebagai pusingan modal itu daripada suami selepas keputusan dikeluarkan Mahkamah Syariah dalam tempoh tiga bulan. Wang yang diberi itu bukan pemberian terus tetapi pinjaman awal sebagai bantuan mengelakkan isteri dan anak-anak teraniaya. Kutipan balik itu perlu dilakukan bagi mengelakkan dana BSK 'kering'," katanya.

Sumber : BHarian 2010/01/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...