Assalamualaikum warahmatullah,
KALUT sungguh Cuepacs, kelmarin, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, menyuarakan kebimbangannya kerana trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu didakwa mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan serta pertumbuhan negara.
Ahmad berkata, ¾ daripada jawatan baru dalam PTD diisi oleh wanita, sambil mendakwa ia bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan 30% jawatan pembuat keputusan kepada wanita. Katanya lagi, nisbah kakitangan awam wanita meningkat dengan ketara sejak awal 2000, malah sudah mencecah 70% dalam bidang tertentu seperti perguruan dan peningkatan itu turut berlaku dalam kumpulan sokongan.
Dalam BHarian Rabu [24/02] pula mengatakan PM Datuk Seri Najib Razak menyangkal kebimbangan Cuepacs terhadap penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam kerana pengambilan pegawai wanita adalah mengikut kelayakan dan merit. PM menjelaskan penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya dilihat dari segi gender atau jantina kerana pengambilan pegawai kerajaan dibuat berdasarkan kelayakan.
Perdana Menteri berkata, soal gender tidak penting, sebaliknya yang lebih penting ialah hasil dan pencapaian perkhidmatan awam dalam melaksanakan serta memenuhi jangkaan kerajaan serta rakyat. Jika kita lihat dari segi kemasukan ke universiti, purata pelajar wanita adalah dalam lingkungan 65%. Tentu sekali wanita lebih ramai memohon sebagai penjawat awam atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Untuk memohon menjadi PTD, kita memerlukan sekurang-kurangnya ijazah pertama. Dengan ini tak hairanlah mereka akan menjadi bilangan terbesar dari segi kemasukan, walaupun keseluruhannya mungkin tidak. Cuma agak MEMBIMBANGKAN, dalam jangka waktu tidak lama lagi, jika trend ini berterusan, wanita akan menjadi kumpulan terbesar dalam perkhidmatan awam.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan dasar 30% itu cuma panduan yang diamalkan kerajaan ketika ini. Sambil mengakui semakin ramai wanita memegang jawatan penting sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, beliau berkata: "Kita harus berpandangan terbuka dan tidak anggap ia sebagai satu liabiliti. Ia mungkin satu aset dan jika ada kekurangan, kita kena cari jalan untuk menguruskannya," katanya.
Menurut Muhyiddin lagi, di Kementerian Pelajaran yang diketuainya turut mengalami senario sama apabila lebih ramai wanita menyertai profesion terbabit berbanding lelaki kerana golongan hawa lebih berminat dan komited. Beliau berharap tiada pihak membuat tuduhan dan sangkaan tidak tepat mengenai perkara itu kerana wanita atau lelaki mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Katanya, "Tak usah bimbang dengan senario itu, tetapi yang penting cara mengurus keadaan itu dengan sebaik mungkin. Ini sebenarnya adalah senario global."
Adakah sistem pendidikan sekarang punca isu silang gender?
SILANG gender semakin hangat diperkatakan ketika isu menara gading dipenuhi pelajar perempuan, belum selesai. Cuepacs pula melahirkan kebimbangan, sektor awam yang semakin dimonopoli penjawat awam wanita mengganggu kelancaran khidmat penyampaian maklumat selain memberi kesan kepada masyarakat dan negara.
Susulan daripada isu ini, adakah kerajaan akan mewujudkan kuota bagi mengimbangkan nisbah lelaki dan perempuan sama ada untuk merebut tiket ke pusat pengajian tinggi atau menempatkan diri dalam sektor awam terutama kerjaya profesional kelak? Apakah kemajuan yang dicapai wanita menjadi kesalahan, atau adakah usaha mereka yang positif sehingga berada di hadapan menjadi sesuatu yang ganjil? Sedangkan suatu ketika dulu martabat wanita sangat rendah sehingga muncul syiar Islam yang mengangkat kaum ibu ini ke darjat lebih tinggi untuk diberi hak dan keadilan.
Jelas tiada salahnya mereka, tetapi muncul kebimbangan apabila sebahagian besar pemudi memenuhi institusi pengajian tinggi (IPT), manakala pemuda ramai di pusat serenti, penjara dan aktif dalam pelbagai gejala termasuk jenayah jalanan. Ketidakseimbangan yang terhasil dibimbangi kritikal kerana jurangnya kian jauh. Contoh, nisbah lelaki dan perempuan dalam sistem akademik di IPT ataupun kerjaya profesional secara purata adalah 30:70.
Secara relatif dan logik, apabila corak aliran sebegini bermula di IPT maka bidang profesional juga mengalami masalah serupa kerana mahasiswa inilah yang melangkah ke sektor pekerjaan selepas tamat pengajian. Saya berpendapat, sistem pendidikan yang mencatur gaya hidup pembelajaran masyarakat. Sistem pendidikan berorientasi peperiksaan dan hafalan jelas memberi kelebihan kepada pelajar wanita.
Ini bukan tuduhan atau kecaman tetapi perlu dikaji secara ilmiah kerana kelebihan psikologi dan kekuatan gender masing-masing.
Pakar motivasi silang jantina dan kekeluargaan, Ahmad Shafiai Uda Jaafar, tidak menafikan secara fitrah wanita mempunyai tahap tumbesaran dan kematangan lebih pantas berbanding lelaki. Malah perkembangan biologi wanita juga lebih cepat matang berbanding lelaki. Kekuatan emosi dan kelebihan dalam memberikan fokus menjadikan mereka lebih selesa dengan sukatan pelajaran di sekolah mahupun universiti yang berorientasi peperiksaan.
Fitrah wanita majoritinya lebih fokus, kebolehan menghafal dan ada kekuatan dalam subjek teori. Ini berbeza dengan lelaki kerana dari segi biologi dan emosi jarang berdepan dengan buku atau pendekatan teori kerana majoritinya secara fitrah lebih berminat dengan aktiviti praktikal yang boleh membabitkan kekuatan fizikal atau mencabar untuk membuktikan sifat mereka. Mungkin pendekatan sekolah teknik, vokasional, politeknik, universiti teknikal serta lain-lain yang bercorak aplikasi dan hands-on adalah langkah yang boleh dikenal pasti kerajaan dalam membantu menghadapi situasi sekarang. Kajian secara serius perlu dilakukan dengan digembleng kepakaran setiap organisasi atau individu untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berhubung isu silang jantina ini.
Bukanlah tujuan saya untuk mengapi-apikan, cuma terfikir...
- Ke manakah perginya kaum lelaki di Malaysia? Hingga Cuepacs pula yang amat bimbang kerana kaum wanita membanjiri quota jawatan wanita dalam kerajaan.
- Sistem pengambilan kakitangan awam berasaskan pemprograman komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik sehingga menyebabkan kebanyakan calon lelaki tersingkir pada saringan pertama lagi. Adakah ini bermakna calon lelaki TIDAK cemerlang dalam pengajian?
- Cuepacs mencadangkan sistem pengambilan penjawat awam diperbetulkan secara serius, iaitu tidak terikat kepada sistem komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik kerana ia hanya memihak kepada calon wanita yang memang tidak dinafikan tekun belajar. Perlukah kerajaan menurunkan merit kelulusan akademik kepada yang layak supaya bilangan penjawat lelaki boleh di'ramai'kan?
- Mengapa perlu bertolak ansur dengan kaum yang MALAS meningkatkan pengetahuan, KURANG cemerlang dalam akademik dan MALAS pula berlumba merebut peluang?
- PERLUKAH selamanya kaum lelaki dimanjakan dan disogok dengan gula-gula oleh ibubapa, guru dan sekarang kerajaan?
Ini satu tamparan hebat untuk kaum lelaki. Tidak terasa tercabarkah bilangan kaum lelaki yang semakin berkurangan di pusat pengajian? Jangan biarkan species kalian pupus dalam kerana tidak mahu merebut peluang dalam pelajaran dan pekerjaan!
Cuma kalian sahaja yang mampu merubah diri kalian sendiri, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan (bala bencana) terhadap sesuatu kaum (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tak ada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya; dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 11)
Jangan nanti wanita terpaksa berundur hanya kerana lelaki kian mundur. Sebaliknya, mereka harus bersama memperkasakan diri dengan ilmu seiring keperluan agama dan negara yang tidak bertolak ansur dengan kelayakan akademik. Kreativiti, tahap kecerdasan minda, keupayaan menyelesaikan masalah, kebijaksanaan membuat pertimbangan, tahap ketahanan mental dan keluasan pengetahuan boleh dibuktikan dengan kelulusan akademik cemerlang di sekolah mahupun universiti.
Renung-renungkan!
Capaian entry berkaitan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...