Halitosis disebabkan sisa makanan di celah gigi, gusi bermasalah
Tanpa disedari cara kita berkomunikasi sebenarnya merupakan salah satu faktor penting yang mempengaruhi penampilan diri bagi setiap individu. Lebih penting lagi, komunikasi yang menggunakan pertuturan banyak hubung kaitnya dengan status kesihatan dan penjagaan kebersihan diri seseorang. Namun, kurangnya penekanan dalam kedua-dua aspek berkenaan boleh menyebabkan orang lain menjauhkan diri tanpa kita sedari punca sebenarnya.
Pensyarah Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Farid Che Ghazali memberitahu masalah mulut berbau atau halitosis yang dihidapi oleh sesetengah individu yang dibiarkan berterusan ini boleh mengganggu kehidupan sosial individu terbabit. Malah, secara tidak langsung ia merupakan satu keadaan yang mencerminkan diri seseorang.
Masalah mulut atau nafas berbau sememangnya memalukan. Namun, ia pasti lebih memalukan jika mereka yang mengalami tidak menyedarinya atau membiarkannya tanpa sebarang tindakan. Ini kerana masalah yang juga dikenali halitosis ini bukan setakat membabitkan individu tetapi juga boleh menyebabkan seseorang itu dijauhi. Apakah puncanya masalah ini?
Menurut Dr. Farid, halitosis merupakan suatu keadaan patofisiologi dari seorang tubuh manusia yang hidup dari rongga mulut mereka dapat dikesan beberapa hiduan bau yang berbeza-beza. Bau yang dikeluarkan ini, kebanyakannya dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti corak, tahap dan liku-liku kehidupan yang berbeza. Ia merupakan satu keadaan di mana wujudnya sesuatu bau yang tidak menyenangkan dikeluarkan melalui rongga mulut seseorang akibat beberapa aspek klinikal. Contohnya seperti reaksi metabolisme saluran pencernaan, keadaan dalaman paru-paru atau terdapatnya aktiviti kuman bakteria di dalam tisu rongga mulut individu terbabit.
Menurut Dr. Farid, pada keadaan normal rongga mulut seseorang akan mengeluarkan bau yang berbeza-beza mengikut tempoh waktu tertentu dalam kehidupan seharian seseorang. Banyak faktor yang mempengaruhi keadaan di mana mulut seseorang itu berbau seperti faktor jantina, umur dan keadaan individu tersebut. Selain daripada itu, sisa makanan yang tertinggal di celah gigi juga menjadi penyebab halitosis. Sisa yang tidak dibersihkan pula akan mereput dan akhirnya menyebabkan nafas berbau. Masalah gusi juga mungkin boleh menyebabkan mulut berbau.
Kebanyakan individu ketika baru bangun pada waktu pagi, rongga mulut akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Keadaan ini berlaku kerana, proses putrefaction (pereputan dan berbau busuk) dari sisa makanan dan rembesan air liur semasa tidur dan kurangnya aktiviti dari lidah. Bagaimanapun, proses ini bertambah semakin serius sekiranya kesihatan gigi tidak diberi perhatian, pada masa yang sama berlakunya proses dehidrasi iaitu tisu tubuh kehilangan banyak kandungan air. Keadaan menjadi bertambah semakin serius, sekiranya individu terbabit menghidap penyakit-penyakit sistemik yang lain.
Bagaimanapun, Dr. Farid menjelaskan, penerimaan dan keselesaan seseorang terhadap sesuatu bau atau hiduan bergantung kepada cita rasa seseorang di mana ia cukup berbeza dari seorang individu kepada individu lain. Menurut beliau, pelbagai kajian dan penyelidikan untuk mengukur kadar atau insiden masalah mulut berbau dilakukan. Namun, hingga kini ia hanya merupakan sesuatu yang bersifat subjektif dan masih dalam proses penyelidikan. Pada umumnya, bau mulut daripada seorang kanak-kanak terutama yang baru lahir diterima sebagai bau mulut yang sangat menyegarkan. Bagaimanapun, dengan peningkatan umur dan memasuki usia dewasa bau mulut akan bertukar menjadi masam.
Dr. Farid menjelaskan, seseorang hanya menyedari mereka mempunyai masalah mulut berbau masam hanya apabila diberitahu atau dimaklumkan kepadanya semasa dia bernafas atau bercakap di khalayak umum. Keadaan ini sering memalukan dan lambat diketahui kerana kepekaan terhadap bau mulut adalah sesuatu yang subjektif. Bagaimanapun, secara umum masalah mulut berbau ini bergantung kepada penerimaan bau tersebut oleh individu lain. Beliau menambah, dengan menggunakan satu kaca kecil, seseorang yang menghembuskan udara keluar dari mulut dan refleksi bau pada kaca dapat diamati untuk menentukan bau mulut.
PUNCA MULUT BERBAU
- Penyakit sistemik
- Jangkitan bakteria anaerobik
- Penjagaan gigi
- Ubat-ubatan
- Tabiat tidur berdengkur
- Jangkitan pada gigi
- Jantina
Penyakit sistemik atau kelainan yang dideritai oleh seseorang boleh menimbulkan keadaan mulut berbau yang menunjukkan seseorang mungkin menghidap kencing manis atau diabetic ketosis. Mereka yang menghidap penyakit ini boleh terhidu bau acetone iaitu satu bau aromatik yang boleh dikatakan agak selesa atau manis. Bau ini, biasanya mudah dan dapat dikesan dari tepi katil seseorang pesakit diabetes sama ada oleh pakar perubatan atau doktor pergigian.
Jangkitan bakteria yang tidak sesuai pada udara dan tisu peridontium (gusi) dari rongga mulut merupakan faktor utama mulut berbau. Bakteria ini, berkumpul, berkembang dan membiak kerana beberapa faktor seperti penjagaan gigi yang kurang rapi dan tidak teratur menyebabkan pembentukan plak mudah berlaku. Plak atau jisim kumpulan sisa makanan, gagasan bakteria dan hasil rembesan air liur merupakan suatu unsur yang menyebabkan rongga mulut berbau busuk. Ketiga-tiga faktor ini kemudiannya, mengalami proses pengapuran kalsifikasi yang menghasilkan medium untuk pertumbuhan bakteria yang merosak struktur gigi dan tisu gusi.
Justeru, amalan berkumur setiap kali selepas selesai makan banyak membantu dalam penjagaan kebersihan gigi dan tisu rongga mulut. Kurangnya penjagaan kebersihan gigi dan tisu mulut sama ada di rumah atau kunjungan ke klinik pergigian boleh menyebabkan kerosakan pada tisu gusi.
Di samping itu wujudnya saku pada gusi yang melekat pada leher gigi memudahkan berlakunya penyumbatan dan penyimpanan sisa makanan antara leher dan celah akar gigi. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berlarutan, mulut bukan sahaja berbau malah tisu periodontium akan rosak, akibatnya gigi akan terkeluar dengan sendirinya kerana ketiadaan tisu pendukungnya. Tabiat ini juga mempunyai banyak hubung kaitnya dengan jangkitan atau radang pada struktur gigi dan tisu pendukung yang menyebabkan mulut berbau.
Penggunaan beberapa jenis ubat-ubatan juga boleh menyebabkan mulut seseorang berbau. Rawatan penyakit herpes labialis atau dikenali sebagai penyakit pecah-pecah ulser pada bahagian pinggiran dan sudut rongga mulut yang menggunakan ubat dimethyl sulphoxide sebagai salah satu ubat yang menyebabkan mulut berbau.
Secara umumnya, tabiat tidur berdengkur menyebabkan mulut menjadi kering. Secara tidak langsung ia memudahkan berlakunya radang dari virus dan bakteria pada mukosa mulut. Ia mempunyai hubungan dengan keadaan fisiologi tubuh semasa seseorang tidur nyenyak atau dalam keadaan berehat, kadar pengeluaran air liur dari kelenjar air liur di muka dan leher menjadi sangat minimum.
Pada fasa premenstruasi (sebelum haid) dan semasa haid rongga mulut akan mengeluarkan bau. Bau yang dikeluarkan mulut pada fasa ini dikaitkan dengan bau mousey atau gumpalan darah yang sedang mengalami proses mati (decaying blood). Bau mulut jenis ini masih dalam penyelidikan pakar-pakar perubatan untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya ia memberi daya tarikan pada kaum lelaki. Namun, hingga kini penyelidikan yang dijalankan ke atas haiwan sahaja berjaya.
Ozaena merupakan suatu istilah khusus untuk bau dari suatu penyakit rongga hidung atau rhinitis yang sangat serius tetapi insidennya terlalu jarang dilaporkan. Pesakit yang mengalami penyakit ini biasanya akan mengalami radang pada membran mukosa yang melapisi rongga hidung. Akibat proses ini, membran tersebut akan mengalami proses atropi iaitu suatu keadaan patofisilogi dari sel, di mana sel tersebut mengecil dari ukuran asalnya. Keadaan ini secara tidak langsung mengeluarkan suatu jenis cairan rembesan hidung yang tebal dan kental. Kesannya, ia akan menyebabkan bau yang dikeluarkan pada mulut terlalu busuk.
Pada keadaan yang ekstrim, individu yang menderita psychogenic (pesakit yang menderita sakit jiwa) turut menderita halitosis, namun hakikatnya masalah tersebut tidak wujud.
RAWATAN
Secara umum rawatan mulut berbau akan dilakukan berdasarkan kepada puncanya. Di samping itu, proses pemulihan dan pengembalian kesihatan normal tisu dan gigi dalam rongga individu terbabit. Setelah keadaan ini diambil kira, pemeriksaan lebih intensif akan dilakukan. Namun, sekiranya keadaan mulut berbau ini masih wujud, pemeriksaan sistem pernafasan dan saluran pencernaan perlu dilakukan.
INFO: Tanda-tanda mulut anda berbau
- Anda sering berasa ada bau busuk atau rasa kurang enak dalam mulut
- Rakan atau orang di sekeliling menutup mulut atau mengalihkan pandangan apabila anda bercakap
- Ada rakan yang menegur atau menghulurkan gula-gula kepada anda
- Ada kesan atau calitan berwarna kuning atau putih pada lidah anda.
Ada beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini. Kerap kali, menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan perbuatan flos gigi setiap hari juga membantu menghilangkan bau mulut. Memastikan mulut sentiasa bersih adalah tanggungjawab kita sepanjang masa. Mulut tidak hanya membantu fungsi mengunyah makanan, tetapi pada masa sama menjadi rumah kepada ratusan dan mungkin jutaan jenis bakteria. Keseimbangan antara jenis-jenis bakteria ini memastikan mulut sentiasa segar.
Langkah lain boleh diambil bagi mengurangkan masalah bau mulut:
1) Minum teh
Kajian mendapati bahan kimia dalam teh hijau dan teh hitam dikenali sebagai ‘polyphenols’ membantu menghentikan pertumbuhan bakteria yang bertanggungjawab dalam masalah mulut berbau.
2) Minum banyak air
Minum banyak air membantu mulut kekal lembap. Dalam kepercayaan perubatan Cina, mulut berbau disebabkan kepanasan yang berlebihan dalam perut. Air, sup atau buah-buahan seperti timun membantu menyeimbangkan tubuh. Sementara minuman seperti kopi, susu, makanan bergoreng atau makanan pedas dipercayai hanya menambah masalah. Apa saja jenis minuman terutama air kosong membantu membuang partikel kecil makanan dan lebihan mukus daripada mulut. Ia juga membantu mengelakkan mulut kering.
3) Mengunyah gula-gula getah
Gula-gula getah tanpa kandungan gula tidak dapat menggantikan fungsi penting menggosok gigi sehabis makan. Fungsinya hanya menyegarkan nafas untuk sesaat kerana cara bekerjanya adalah menambah produksi air liur untuk membersihkan bakteri dan penyakit. Gula-gula getah berperisa mint juga dapat digunakan untuk perlindungan sementara.
4) Penggunaan herba
Untuk memerangi bau nafas tak sedap, amalan mengunyah herba seperti pudina, rosemary, daun ketumbar, tarragon, eucalyptus dan selasih dapat membantu mengurangkan bau mulut. Tanaman segar ini pun boleh dibuat minuman, yang jelas khasiatnya amat baik pula untuk pencernaan. Jadi, anda memperoleh dua keuntungan sekaligus, baik untuk pencernaan dan pencuci mulut.
5) Menikmati yogurt
Biasakan diri memakan yogurt. Kajian menunjukkan, mengambil yogurt setiap hari dapat mengurangi kadar bau mulut tak sedap. Yogurt mengandung kadar organisme mikrokospis dan hidrogensulfida yang dapat mengurangkan bakteri di mulut, sehingga mencegah gigi berlubang dan penyakit gusi. Yogurt membuat bakteri tidak dapat aktif. Tapi ingat pilih yogurt yang natural, jangan yang sudah dicampur gula atau yang telah diproses lebih lanjut.
6) Sayur dan buah renyah
Epal, seleri, karot boleh dikunyah terus. Jenis sayur dan buah ini diyakini dapat menambah pengeluaran air liur sehingga menjadikan mulut tetap basah. Tapi, perlu juga, gosok gigi sehabis makan untuk mengeluarkan sisa makanan celah-celah gigi.
7) Vitamin C Dos Tinggi
Makanlah buah-buahan jenis masam, melon, dan makanan lainnya yang mengandung vitamin C dos yang tinggi. Jika tubuh kita penuh dengan vitamin C Bakteri enggan tumbuh berkembang. Untuk mereka yang berdiet, vitamin C dos tinggi sangat diperlukankan untuk mencegah penyakit gusi dan radang gusi. Kedua penyakit itu menyebabkan bau mulut yang tidak sedap.
Dapatkan vitamin C dari makanan, buah-buahan, sayuran, dan jangan dari suplemen, kerana suplemen dapat menyebabkan perut menjadi mual sehingga akhirnya napas yang dikeluarkan menjadi bau.
8) Belajar mengawal tekanan
Sesetengah orang terutama lelaki muda memiliki rejim kebersihan gigi yang baik tetapi mungkin ramai tidak menyedari yang tekanan meningkatkan penghasilan bau mulut.
9) Berhenti merokok
Merokok bukan saja membuatkan mulut berbau tetapi juga mengeringkan mulut.
Kompilasi dari sumber : Medic.USM, BHarian dan tambahan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...