PAGE

Sabtu, Februari 13, 2010

Kaunseling remaja hamil

MASALAH buang bayi kembali meningkat kebelakangan ini. Hampir setiap minggu, terdapat laporan kes buang bayi yang berlaku di seluruh negara.

Antara lokasi yang menjadi pilihan untuk pihak yang tidak bertanggungjawab membuang bayi adalah di kawasan masjid atau surau, tandas, di hadapan rumah, tong sampah dan stesen bas.

Terbaru, mayat seorang bayi perempuan yang dihurungi semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka pada hari Rabu lalu.

Sehari sebelum itu, seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemui di Alor Setar, Kedah.

Sementara pada awal minggu ini, mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kes buang bayi yang dilaporkan tiga hari berturut-turut itu telah mendorong isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan belia perempuan supaya jangan bertindak secara melulu.

Sementara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam laporan sebelum ini menyifatkan tabiat buruk membuang bayi yang semakin berleluasa ketika ini adalah amat membimbangkan.

Kenapa ada pihak yang sanggup membuang dan membunuh bayi mereka? Sedangkan mereka mempunyai masa yang panjang ketika bayi terbabit masih di dalam kandungan untuk memikirkan nasib terbaik bayi berkenaan.

Shahrizat menyifatkan peningkatan kes buang bayi menunjukkan ramai anggota masyarakat kini mengalami tekanan hidup dan tidak tahu menanganinya dengan bijak. Ini menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan membuang bayi yang tidak berdosa.

''Ibu bapa diingatkan supaya jangan membuang bayi merata-rata kerana kerajaan menyediakan pelbagai tempat bagi mereka menempatkan bayi dengan selamat. Ibu bapa boleh menempatkan bayi mereka di semua cawangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), rumah perlindungan serta hospital. Jika ibu bapa ada masalah, datanglah ke pejabat JKM atau setidak-tidaknya jumpalah pemimpin tempatan. Wanita UMNO pun ada. Jangan berlaku seperti ini (membuang bayi) dan menjadi budaya rakyat Malaysia," kata Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO ketika mengulas kes buang bayi.

Shahrizat turut tidak menolak faktor institusi keluarga yang semakin lemah akibat kesibukan mengejar kejayaan mendorong remaja tidak menjadikan keluarga sebagai tempat mengadu.

Sementara Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, isu pembuangan bayi bukanlah perkara baru dan ia umpama mimpi buruk yang bermusim dalam masyarakat Malaysia.

''Mereka yang mengambil tindakan membuang bayi adalah mereka yang terdesak dan hilang pertimbangan. Mereka ini tidak ada panduan dalam soal agama sehingga tergamak membuang amanah Allah atau membiarkan bayi itu mati,'' jelasnya.

Tambah Rosnah, stigma masyarakat berhubung ibu yang membesarkan bayi tanpa ikatan pernikahan juga mendorong mereka bertindak demikian.

''Mungkin faktor-faktor lain seperti masalah kewangan, di bawah umur dan tekanan keluarga menyebabkan gadis berkenaan membuang bayi mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Tambah Rosnah, kerajaan menyediakan pelbagai alternatif bantuan seperti rumah kebajikan, nasihat dan rujukan di pejabat agama. Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat sokongan dan lain-lain.

''Tanggungjawab membendung gejala buang bayi bukan hanya di bahu kerajaan. Kita perlu sama-sama bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini agar ia tidak menjadi satu kebiasaan dalam budaya masyarakat Malaysia. Masyarakat juga perlu didedahkan bahawa isu buang bayi bukan kesalahan si ibu semata-mata," katanya.

Tambah Rosnah, masyarakat perlu mengambil pengajaran daripada kes-kes yang berlaku dengan meningkatkan pengawasan ke atas anak remaja, memberikan didikan agama dan menggunakan pendekatan psikologi yang berkesan dalam mendidik anak-anak.

"Remaja juga perlu didedahkan dengan batas-batas yang perlu dijaga dalam perhubungan," katanya.

Dalam hal ini, golongan belia perlu diberikan kesedaran mengenai amalan berfikir dulu sebelum mengambil sebarang tindakan serta menguruskan masalah dan tekanan dengan mendapatkan nasihat daripada keluarga, pemimpin masyarakat dan pihak profesional. Kesedaran ini adalah penting supaya golongan belia tidak mengambil tindakan tidak sewajarnya seperti membunuh nyawa yang tidak berdosa. Ada banyak cara untuk kita mengatasi masalah dan tekanan yang dihadapi dan salah satunya adalah mendapat khidmat kaunseling.

Unit Kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara menawarkan kaunseling secara individu, berkelompok, keluarga dan dalam bentuk ceramah kepada masyarakat.

Pegawai Psikologi LPPKN, Dr. Khamsiah Ismail ketika dihubungi berkata, wanita atau remaja hamil yang bermasalah boleh datang ke pejabat LPPKN di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

''LPPKN boleh merujuk wanita berkenaan kepada NGO atau rumah perlindungan tertentu supaya mereka boleh melahirkan bayi dengan selamat. LPPKN juga bersedia memberikan kaunseling kepada remaja perempuan yang hamil tanpa nikah bagi menghilangkan rasa bimbang, resah dan takut selain mengelakkan mereka daripada menggugurkan kandungan atau membuang dan membunuh bayi selepas melahirkan," katanya.

Khamsiah berpendapat sebahagian besar daripada mereka yang membuang bayi adalah kerana mereka tidak sanggup berhadapan dengan keluarga dan masyarakat ekoran kesilapan yang sudah dilakukan.

''LPPKN turut memberikan ceramah psiko-seksual mengenai kesan dan akibat apabila terjebak dalam seks tanpa nikah bagi memberikan kesedaran kepada para remaja,'' katanya.

Masyarakat termasuk keluarga perlu mengelak daripada mencemuh wanita bermasalah yang memerlukan bimbingan dan bantuan. Jika tidak mereka akan terus memilih jalan singkat dengan membunuh nyawa yang tidak berdosa daripada mencari penyelesaian yang rasional.

Sumber : Utusan 13/02/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...