NOR SHAMILA kini stabil selepas menjalani pembedahan berikutan serangan di kepala dan ketiga-tiga jari yang hampir putus di Hospital Ampang, Selangor.
AMPANG: Selepas bertarung nyawa lebih 10 jam dalam bilik pembedahan bagi menyambung empat jarinya yang dipercayai ditetak suami, wanita mengandung lima bulan hanya berjaya menyelamatkan tiga jari yang terkulai, manakala jari telunjuknya terpaksa dipotong untuk keselamatan diri dan anak dalam kandungan.
Jurucakap Hospital Ampang, berkata pihaknya meminta mangsa, Norshamila Abd Majid, 34, membuat pilihan sama ada membuang keempat-empat jarinya bagi menyelamatkan kandungan dan nyawanya, atau menyambungnya semula tetapi perlu berdepan dengan risiko maut.
Katanya, mangsa perlu memberi kata putus kerana ubat yang digunakan untuk menyambung jari adalah kuat dan bimbang akan mengancam nyawa pesakit serta bayi dalam kandungannya.
"Mangsa yang memilih supaya membuang keempat-empat jarinya bagi menyelamatkan kandungan sebelum memasuki dewan pembedahan, namun ketika proses pembedahan, doktor pakar cuba menyambung jari itu dan tiga daripadanya berjaya manakala jari telunjuk terpaksa dipotong.
"Namun, jari yang berjaya disambung itu masih dalam pemantauan secara rapi kerana dibimbangi berlaku jangkitan kuman dan memastikan tiga jari itu dapat kembali bergerak seperti sedia kala walaupun mengambil masa yang lama.
"Sehingga kini, keadaan mangsa termasuk bayi dalam kandungannya kini stabil dan dijangka pulang seminggu lagi jika keadaan kesihatannya bertambah baik," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Ketika ditemui di hospital berkenaan, abang sulung mangsa, Mohd Nor Adzhar, 43, berkata beliau tidak menyangka sama sekali kejadian berlaku kerana hubungan mereka begitu baik.
"Saya tahu dia panas baran tapi tidak sangka bertindak seganas ini sehingga sanggup menetak menggunakan pisau pemotong daging," katanya.
Sumber : BHarian 2010/02/05
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...