NIK Som membersihkan halaman rumahnya di Kampung Rusila, dekat sini, semalam.
MARANG: Seorang warga emas, Nik Som Nik Hussain, 74, yang pernah mencari rezeki mendulang emas di Lubuk Mandi, dekat sini, kini hidup bertemankan empat ekor anjing peliharaannya.
Beliau yang menetap di situ sejak 22 tahun lalu berkata, hidupnya hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan selain mengurut, jika khidmatnya diperlukan penduduk.
“Hidup saya kini hanya bertemankan anjing peliharaan yang banyak membantu menjaga halaman rumah daripada diceroboh haiwan liar seperti babi, kera, musang dan ular berbisa,” katanya ketika ditemui di pondoknya.
Nik Som berkata, dia berharap mendapat bantuan sebuah rumah menerusi Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), berikutan pondok didudukinya kian usang selain tiada bekalan elektrik serta air dan hanya bergantung kepada telaga.
Ibu tunggal sejak 30 tahun lalu itu berkata, ketika berhijrah ke Lubuk Mandi, dia yang berasal dari Setiu terpaksa meninggalkan tiga anak yang kini berusia antara 47 hingga 55 tahun di kampung dan diuruskan keluarga terdekat.
Menceritakan pengalaman sewaktu mula tiba di situ, Nik Som berkata, pondok didirikan beralaskan guni sebagai lantai dan atap pula diperbuat daun palas sebagai tempat berteduh.
"Pelbagai tragedi terutama pelombong tertimbus dalam terowong dapat dilihat dan semua itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus memburu galian berharga itu.
"Perasaan takut tidak ada dalam diri saya ketika itu dan kesusahan di kampung selepas menjadi ibu tunggal membuatkan saya berhijrah mencari rezeki di sini," katanya.
Nik Som berkata, dua anaknya sering melawatnya di situ bersama cucunya tetapi dia tidak berhasrat tinggal bersama mereka.
Sumber : BHarian 2010/02/05
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...