PAGE

Ahad, Februari 28, 2010

Kesal bertemankan lelaki kejam

SUNGAI BULOH: Ibu kanak-kanak yang menjadi mangsa dera teman lelakinya, Nurhanim Aziz, 25, menyuarakan rasa amat kesalnya berkawan dengan lelaki yang disifatkannya kejam dan tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan kematian anaknya, Syafia Humairah Sahari, 3, kelmarin.

Malah dalam pertemuan dengan Berita Minggu semalam, ibu muda ini beberapa kali mengalirkan air mata sehingga sukar berkata-kata kerana terlalu sedih dengan kematian anak kesayangannya itu di tangan lelaki yang dipercayainya. Namun pada masa sama, dia juga menyesali berkawan dengan lelaki yang disifatkannya panas baran, kurang sopan dan didakwanya turut minum arak.

Nurhanim yang bekerja ketika kejadian berkata, sukar baginya untuk menerima kenyataan yang penghibur hatinya itu sudah tiada lagi di dunia ini. Lebih sedih lagi, memikirkan detik-detik bagaimana anaknya itu trauma dibelasah dan terpaksa bertarung nyawa sebelum menemui ajalnya.

“Saya kesal dan marah tindakan teman lelaki berhati binatang itu. Dia menjadi pembunuh. Apalah dosa anak saya yang masih mentah itu? Peristiwa ini cukup memeritkan untuk ditelan. Pengajaran besar ini mengajar saya lebih berhati-hati memilih teman lelaki kerana ia boleh mengundang padah cukup mendalam,” katanya kepada Berita Minggu di rumahnya di sini, semalam.

Nurhanim berkata, selama enam tahun berkawan dengan lelaki 28 tahun berasal dari Batu 30 di Ulu Yam Lama itu, dia turut berasakan kesan akibat sikap panas baran teman lelakinya itu.

“Saya amat marah. Saya sudah ditipunya. Dia berbohong kononnya anak saya mati akibat kemalangan iaitu terjatuh daripada motosikalnya. Selepas mendapat tahu anak jirannya menyaksikan kejadian sebenar anak disepak dan dipukul, saya berasa menyesal memberikan peluang kepadanya menjaga anak bongsu ini. Ketika kejadian, saya bekerja di Sungai Buloh. Saya diberitahu olehnya (suspek) bahawa anak sudah mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu," katanya.

Mangsa, Syafia adalah anak kedua hasil perkahwinan Nurhanim dengan suaminya, Sahari Usol, 33, yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana terbabit dengan kesalahan jenayah beberapa tahun lalu.

"Saya lemah dan tidak bermaya untuk menyambung hidup ini kerana jiwa begitu sepi tanpa arwah yang cukup manja dan menjadi penghibur hati ini. Semoga beliau (suspek) mendapat hukuman setimpal yang bertindak kejam meragut nyawa anak saya tanpa belas kasihan di rumahnya itu," katanya.

Sumber : Oleh Md Fuzi Abd Lateh [bminggu@bharian.com.my] di BHharian 2010/02/28

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...