PAGE

Isnin, Februari 15, 2010

Lelaki pencetus zina perlu menerima hukuman sewajarnya

Saya ingin memulakan rencana ini dengan petikan Surah Jumu'ah, Ayat 8 yang berbunyi, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Lihatlah betapa sempurnanya ajaran Islam apabila menyentuh tentang perihal zina. Ayat itu menjelaskan bahawa umat Islam dilarang melakukan zina kerana kesannya dalam masyarakat amatlah buruk. Kerosakan yang berlaku melibatkan banyak pihak. Ia bukan sahaja menjejaskan keturunan, malah mencetuskan pelbagai perbuatan jenayah lain seperti membunuh.

Dalam kes ini, jika bayi hasil perbuatan zina yang dibuang meninggal dunia, pihak yang melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tuduhan membunuh. Tak pasal-pasal, pelaku perbuatan tersebut jika sabit kesalahan akan dipenjarakan untuk tempoh tertentu. Jika yang membuang bayi tersebut adalah remaja perempuan yang melahirkan anak tidak sah itu, maka dia akan menanggung segala hukuman yang menanti. Di manakah lelaki yang menyebabkan remaja itu hamil? Melihat kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat kita, lelaki tersebut dibiarkan bebas dan nescaya, dia boleh mengulangi perbuatan zina dengan teman wanita yang baru pula.

Melihat senario hari ini, sudah tiba masanya agar tindakan keras di bawah undang-undang sivil dikenakan ke atas lelaki terbabit. Adalah tidak adil jika hanya pihak perempuan sahaja yang menanggung sengsara. Tanpa benih daripada lelaki, maka anak tidak sah itu tidak akan lahir. Jadi, kedua-dua pihak perlu dikenakan tindakan. Ibu bapa kepada remaja lelaki dan perempuan terbabit juga wajar dikenakan tindakan. Setidak-tidaknya, kaunseling diberi kepada mereka agar mereka turut berasa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ke atas anak masing-masing.

Memandangkan institusi keluarga semakin rapuh di negara ini, maka ibu bapa bukan sahaja wajar diberi kaunseling, sebaliknya patut dihantar ke kelas khas tentang bagaimana mendidik anak-anak.

Jangan harapkan guru di sekolah sahaja untuk mendidik anak-anak. Ini kerana amanah sepenuhnya adalah di bahu ibu bapa. Agak dikesalkan juga kerana apabila berbicara tentang isu ini, kebanyakan pihak yang memberi komen hanya menyalahkan remaja perempuan. Tiada komen mengutuk pihak lelaki yang bertanggungjawab. Ia nyata berat sebelah dan boleh menambah tekanan yang dihadapi oleh remaja perempuan tersebut.

Sementara itu, idea agar sebuah 'rumah' membuang bayi didirikan agar remaja terbabit 'meletakkan' anak tidak sah mereka di situ bukanlah satu idea yang bernas. Langkah itu seolah-olah menggalakkan perlakuan zina kerana remaja tidak perlu lagi bimbang jika berlaku kehamilan yang tidak diingini.

Kaunseling juga nampaknya tidak begitu membantu kerana ia umpama bercakap 'masuk telinga kiri... keluar telinga kanan.' Tentang didikan? Adakah kerana ibu bapa gagal menanam nilai-nilai murni ke dalam jiwa anak- anak? Dan kenapa pula, sistem pendidikan yang ada sekarang dikatakan gagal melahirkan masyarakat penyayang? Apabila muncul isu penyakit sosial seperti ini, maka pelbagai pihak menuding jari sehingga akhirnya tiada jalan penyelesaian dicapai.

Apa yang boleh disimpulkan adalah faktor pendidikan di rumah atau di sekolah sekarang gagal melahirkan masyarakat penyayang.

Sudah banyak kempen diadakan, namun kempen sekadar tinggal kempen dengan anak muda kita semakin rakus berkelakuan tidak bermoral.

Mungkin satu akta di bawah undang-undang sivil perlu digubal bagi menyeret pasangan (lelaki dan wanita) yang bertanggungjawab terhadap kelahiran anak tidak sah ke mahkamah. Sekurang-kurangnya, ia boleh membantu membendung gejala yang tidak bermoral ini daripada terus berleluasa.

Sumber : Utusan 15/02/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...