PAGE

Isnin, Februari 15, 2010

Terjebak dengan cinta suami orang…

Kekasih gelap ~ gambar hiasan

Assalamualaikum warahmatullah,

Sejak kebelakangan ini, saya sering membaca email berkenaan masalah hubungan gelap dengan suami orang. Antara luahan hati wanita yang terjebak cinta suami orang ini ialah, sukar berpatah balik kerana hatinya sudah terpikat, biarpun sedar lelaki itu telah berpunya. Dia yang mengaku tidak mampu menanggung rindu pada suami orang itu dan cintanya tidak bertepuk sebelah tangan. Tapi malang, cintanya terhalang kerana isteri lelaki ini tidak rela bermadu. Si suami pula tidak sanggup melepaskan isterinya kerana masih cinta dan terlalu sayangkan anak-anak. Lantas wanita yang terjebak ini berada dalam dilema, nak diputuskan hubungan, hati sudah terlalu sayang dan tidak sanggup berpisah...

Dalam kisah yang lain pula, seorang isteri sangat tertekan apabila mengetahui suaminya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan gadis muda. Dia rasa begitu tertekan dan rasa tertipu dan dikhianati apabila mengetahui suaminya ada orang lain. Hubungan dalam rumahtangganya menjadi panas selepas rahsia suaminya terbongkar. Anak-anak turut menerima padah apabila mereka sudah mula kerap bertengkar. Lebih menyakitkan hati, suaminya memihak pada gadis muda, apabila perkara ini dibincangkan. Rumahtangga mereka seperti telur di hujung tanduk, retak menanti belah. Suami sedang hanyut dengan cintanya barunya....

Manakala seorang ibu berusia pertengahan 40-an pula menghadapi situasi yang hampir sama, anak gadisnya sedang kemaruk bercinta dengan lelaki seusia ayahnya yang sudah berkeluarga pula. Puas dinasihati, puas dimarahi dan puas juga dipujuk, tetapi anak gadisnya tetap dengan pendiriannya mahukan lelaki berusia 50 tahun itu. Anak sulung lelaki itu pula sebaya dengan gadis ini. Ibu ini sudah mati akal memikirkan perkara ini. Ibu ini sangat sayangkan anak sulungnya. Baginya, anak gadisnya masih mentah, penajian di kolej juga belum habis lagi. Sejak anak gadisnya bercinta dengan lelaki ‘tua’ itu, dia tidak pedulikan nasihat ibunya lagi. Katanya, lelaki itu sayangkan dirinya dan dia sanggup jadi isteri kedua lelaki tersebut. Kasihan ibu ini sering menangis memikirkan masa depan anak gadisnya.

Tiga kisah di atas hanya segelintir daripada apa yang sebenarnya sedang berlaku pada hari ini. Kes-kes wanita muda terjebak cinta dengan suami orang seolah-olah telah menjadi trend hari ini. Jika dulu mungkin sesekali sahaja kita mendengarnya, tetapi hari ini, perkara sebegini sudah lali dan acap kali kita mendengar atau membacanya.

Sebenarnya agak sukar untuk kita memberikan pandangan kerana cinta tidak boleh dipaksa. Ia datang apabila pihak berkenaan memupuknya. Ketika sedang dilamun cinta, mereka tentu tidak memperdulikan rasa sakit, biarpun sedang meniti di bara panas. Mereka hanya akan sedar apabila kembali ke alam nyata. Kebanyakan yang terjebak ke dalam perkara seperti ini, merasakan bahawa apa yang berlaku bukanlah kemahuan mereka. Malah ada yang mengatakan ia ‘terjadi’. Mereka memberi alasan bahawa cinta terlarang itu tiba-tiba berputik.

“Sudah nasib saya jatuh cinta dengan orang yang sudah berkahwin.” Kata-kata mereka seolah-olah menyalahkan takdir Ilahi. Kepada anda yang terjebak dengan perkara ini, cuba tanyakan kepada diri anda sendiri, ‘adakah langkah yang telah diambil bagi mengelakkan diri daripada tidak bermain api?’ atau bolehkah anda mengaku kepada diri sendiri bahawa anda langsung tidak melakukan sesuatu pun untuk menggalakkan cinta terlarang itu untuk mekar?

Percintaan ‘terlarang’ ini selalunya akan berakhir dengan satu peperangan rumahtangga. Ingat! Walau sekuat manapun cinta anda, wahai orang ketiga, janganlah anda menghasut pasangan terlarang anda ‘melepaskan’ isterinya. Tahukah anda, perkara ini amat dilarang keras oleh agama kita?

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW melarang orang kota menjual kepada orang kampung atau melarang mereka untuk saling memahalkan harga barang dengan maksud menipu atau seorang melamar atas lamaran saudaranya yang lain, atau menjual atas penjualan orang lain. Dan janganlah seorang wanita meminta perceraian wanita lain untuk menguasai sendiri nafkahnya atau untuk merosak kehidupan rumah tangganya. (Sahih Muslim)

Jika kita tahu betapa hebatnya kesan negatif yang dibawa oleh keruntuhan rumahtangga kepada anak cucu kita, mungkin kita akan berfikir jauh sebelum kita melakukan perkara yang boleh membawa kepada perceraian. Itulah sebab ia menjadi suatu perkara yang diizinkan tapi paling dibenci oleh-Nya.

Sebenarnya keruntuhan rumahtangga adalah jarum syaitan yang paling besar. Banyak perkara buruk berantaian akibat keruntuhan rumahtangga. Sebenarnya ini semua adalah masterpiece iblis yang telah berjanji akan menyesatkan keturunan Nabi Adam a.s.

Inilah taktik yang sering berlaku dan menjadi kesukaan syaitan. Seorang suami atau isteri mula mengizinkan wanita atau lelaki lain mengambil tempat yang sebenarnya hanya untuk pasangan mereka. Syaitan memegang mereka dan menjadikan mereka ibarat boneka atau puppet. Dipegang kaki si suami untuk melangkah keluar rumah mencari perempuan lain yang bukan isterinya. Dibisikkan ke telinga perempuan yang alpa bahawa tidak mengapa untuk memadu kasih dengan suami orang.

Maka kedua-dua si suami dan perempuan yang bukan isterinya bersubahat melakukan perkara yang membawa kehancuran hidup mereka dan rumahtangga mereka. Apabila rumahtangga hancur, rosaklah hati-hati anak-anak yang tidak berdosa.

Tidak habis di situ sahaja, apa pula yang berlaku kepada anak-anak? Terlalu banyak contoh-contoh yang telah kita lihat mengenai anak-anak yang merana, terjebak ke lembah bencana seperti dadah, rempit, bohjan, bohsia, pelacuran dan sepertinya kerana mereka tidak nampak lagi apakah erti hidup mereka. Syaitan berpesta bila anak-anak ini membesar dengan luka dan dendam di hati. Syaitan amat tahu itulah senjata paling hebat untuk memusnahkan hidup seseorang, iaitu apabila hati seseorang itu terluka dan dipenuhi dendam kesumat. Bersorak sorailah syaitan kerana berjaya lagi menyesatkan manusia dari sebuah keluarga dan menjadi pengikutnya di akhirat nanti.

Kepada mereka yang masih remaja, bercinta dengan suami orang memerlukan jiwa yang kuat, hati yang keras, semangat yang kental dan mesti sanggup menghadapi apa jua kenyataan yang serba mencabar. Jangan sekali-kali anda menyalahkan takdir pula kerana pilihan di tangan anda!

Selagi anda mampu menahan diri daripada berkasih dengan lelaki milik orang lain, kawallah perasaan, kawallah emosi. Memang jodoh ketentuan Allah SWT, tetapi Allah pun beri peluang kita berdoa, agar diberikan jodoh yang baik untuk kita, di dunia dan di akhirat. Yang boleh memberikan kebahagiaan sepanjang kita hidup bersuami-isteri. Ingat, jangan teruskan langkah, jika sudah melihat api membara di hadapan. Jangan ikut kata nafsu, dengarlah suara hati...






Capaian entry berkaitan :
  1. Bahana kahwin rahsia
  2. Nikah sindiket rosakkan nasab
  3. Kahwin lari boleh jejas institusi kekeluargaan Islam
  4. Jalan pintas bernikah undang risiko
  5. Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum
  6. Awas suami curang
  7. Kahwin lari guna sindiket tanpa daftar semula menyusahkan waris
  8. Patuh mahkamah selagi tiada permohonan ubah perintah

1 ulasan:

  1. pegi dah..kalau dah x bleh terima hakikat bahwa lelaki islam bleh kawin lebih dr 1,mcm2 contoh negatif ko tepek kt cni.aku kawin 2 elok je.bukan bini 1st aku x layan aku tp mmg dah takdir aku akan berbini 2.lagipun,mmg sifat aku suka bekawan dgn perempuan tp bukan tujuan sex x halal.malah anak bini 2nd aku pun 1st wife aku yg jaga.x pun gaduh2.anak2 semua ok.memandai je ko claim.anak2 jd rosak bukan sb kawin2 @ lebih tp didikan,kasih sayang.samada ko sedar @ x,cara ko melihat kawin lebih dr 1 adalah jenayah tak kiralah brape banyak hadis ko cecodok & tepek sb ko bleh pilih mana yg hadis yg pro pendapat ko,tepeklah kat cni.mana yg kontra ko x tepek..kannnn

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...