“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Februari 04, 2010

Awas suami curang

Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN dan ADHAM SHADAN

Tuntutan fasakh oleh isteri kini selesai lebih cepat.



MASTURA BAKAR, 24, sah bergelar janda pada 28 Januari lalu setelah tuntutan fasakh terhadap suaminya, seorang ahli politik yang juga tokoh perniagaan berusia 54 tahun, diluluskan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Ibu kepada tiga puteri yang berumur antara dua hingga lima tahun itu sekadar tersenyum hambar ketika keputusan itu dibacakan Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin. Mastura memfailkan tuntutan fasakh pada April tahun lalu.

Kes Mastura mendapat perhatian ramai kerana bekas madu penyanyi Noraniza Idris itu mendakwa suaminya seorang yang gila seks dan tidak bertanggungjawab.

Mengikut fakta kes, Mastura mendakwa beliau hanya mengetahui dirinya isteri keempat kepada suaminya itu hanya selepas melahirkan anak sulung. Suaminya itu kemudian mengaku bahawa dia telah berkahwin dengan Noraniza dan dua wanita lain. Lelaki itu juga didakwa gemar berfoya-foya dan pernah memiliki lebih 10 orang teman wanita yang ditiduri dalam satu-satu masa walaupun telah beristeri empat.




Kahwin muda

Bertubuh kecil dan berkulit putih gebu, Mastura mengakui beliau tidak dapat menjangka bagaimana rasanya hidup sebagai seorang ibu tunggal.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang patut saya rasa. Saya berasa amat penat. Lagipun sekarang saya sudah kembali bekerja,” balasnya yang kini bertugas di bahagian pentadbiran sebuah firma seni bina di Cheras, Kuala Lumpur.

Anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu kelihatan lesu ketika ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur Jumaat lalu. Menatap wajahnya, terasa ada kecamuk dalam fikirannya.

“Sekarang fikiran saya ialah tentang meneruskan hidup bersama anak-anak. Tetapi disebabkan pengalaman daripada perkahwinan itu, saya berasa keadaan masih tidak selamat untuk kami. Dia pernah melarikan anak kami satu ketika dulu dalam satu pergaduhan besar, melanggar saya dengan kereta dan saya ada menerima pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan susulan daripada tuntutan fasakh ini. Saya masih belum berani hendak membawa anak-anak bermain di taman permainan,” luah Mastura.

Jika ada yang berpendapat Mastura menerima padah atas silapnya sendiri menikahi lelaki berusia yang berpangkat dan berharta, nampaknya pemikiran itu jauh tersasar.

“Kami berkahwin bukan atas dasar cinta. Ia lebih kepada pilihan ibu dan ayah saya. Kami berkenalan tidak lama, iaitu kira-kira enam bulan. Itu pun melalui teman-teman. Kali pertama ibu melihatnya bersolat dan mengaji al-Quran di rumah di kampung, ibu menangis kegembiraan. Setelah dia berjumpa ibu dan ayah buat kali kedua, dia terus masuk meminang dan lamaran itu diterima. Kami bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak. Pada waktu itu saya baru berumur 18 tahun. Ketika kami berkahwin, dia masih belum bergelar Datuk,” kongsinya.

Segalanya, kata Mastura, berlaku terlalu pantas. Perasaan sayang kepada suaminya hanya wujud selepas mereka berkahwin.

“Pada awalnya dia sering mengajak saya solat berjemaah, mengaji al-Quran dan melakukan kerja rumah bersama. Dia juga baik terhadap saya. Tetapi semua itu sekejap saja. Lama-kelamaan dia lebih banyak membiarkan saya solat dan melakukan segala-galanya bersendirian,” dedahnya.

Mastura mengakui bekas suaminya itu mempunyai ilmu agama yang baik.

“Pengetahuan agamanya agak tinggi. Mungkin kerana latar belakang dan kerjaya keluarganya yang sememangnya menjurus ke arah keagamaan. Entah di mana silapnya, dia menjadi seorang lelaki yang gemar berfoya-foya,” kata Mastura.

Sebenarnya, ujar Mastura, beliau dan suami tidak banyak masalah. Cuma lelaki itu dikatakan banyak helah.

“Sebelum ini saya sudah dua kali hendak membuat tuntutan fasakh. Kali pertama saya batalkan kerana sedang hamil anak kedua. Kali kedua, Noraniza sendiri memujuk saya dan meminta saya memikirkan masa depan anak-anak. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, kami tidak ada masalah. Tentang dakwaan bahawa dia mahu menyaman saya, saya percaya ia tidak akan berlaku kerana saya percaya dia membuat kenyataan itu kerana tertekan,” ujarnya.

Selepas melalui kehidupan berumah tangga yang banyak onarnya, justeru perceraian menerusi kaedah fasakh itu umpama satu titik perubahan yang besar dalam hidup Mastura.

“Saya mendapat sokongan yang kukuh daripada madu dan bekas madu yang lain selain memiliki bahan-bahan rakaman yang berkaitan dengan kecurangan dan aktiviti berfoya-foyanya. Mungkin itu banyak membantu mempercepatkan kes ini. Lagipun bekas suami tidak pernah datang ke mahkamah untuk membuat sebarang bantahan,” jelas Mastura tentang kesnya yang dapat diselesaikan agak cepat.

Kes Aida Melly

KES tuntutan cerai Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang berlarutan selama tujuh tahun menyebabkan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap mahkamah syariah.

Kes tuntutan perceraian oleh isteri seperti fasakh yang berlarutan lama pernah menjadi polemik pada awal abad ini. Pasti ramai yang masih ingat kes Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang terpaksa menderita selama tujuh tahun untuk bebas daripada ‘gantungan yang tak bertali’: Sudah berpisah atau masih isteri yang sah?

Meraih liputan meluas media seiring hujanan kritikan, kes itu juga bagai menjadi titik tolak kepada perubahan landskap pentadbiran mahkamah syariah berhubung isu perceraian khasnya.

Jika sebelum itu banyak rungutan oleh para isteri mengenai kes permohonan cerai atau fasakh mereka yang lambat diputuskan, namun tahun demi tahun kemudian, rungutan dan keluhan seumpamanya makin kurang kedengaran.

Kes terbaru Mastura itu, misalnya, dapat diselesaikan dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Dahulu memang ketara kelewatannya. Secara umumnya, boleh dikatakan, kes-kes permohonan cerai oleh isteri seperti fasakh dan rayuan kini telah dapat diselesaikan dengan cepat. Berdasarkan pengalaman saya, kes fasakh lazim dapat diselesaikan antara enam bulan hingga setahun. Paling cepat, hanya dalam tempoh sebulan. Proses yang mengambil masa dua tahun pun sudah dianggap sebagai tempoh yang lama,” kata peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain ketika ditemu bual Jurnal baru-baru ini.


MEMILIKI bukti kukuh ialah antara punca kes fasakh Mastura dapat diselesaikan dengan segera.


Katanya, ini banyak disumbangkan oleh beberapa pindaan pada enakmen-enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri bermula pada tahun 2003.

“Antaranya ialah penyeragaman peruntukan mengenai fasakh antara negeri-negeri dan membenarkan memulakan tuntutan fasakh di mahkamah yang lebih tinggi bagi mengurangkan tempoh penangguhan sekiranya pihak menentang, lazimnya suami, mahu melakukan rayuan dan sebagainya,” katanya.

Tertangguh

Tidak dinafikan memang masih kedapatan kes tuntutan fasakh yang berlarutan lama selepas tahun 2002, tetapi ia hanyalah kes terpencil. Zaidi menerangkan, sesuatu proses permohonan fasakh itu dapat dipercepatkan jika plaintif atau isteri yang mengemukakan tuntutan itu mempunyai persediaan yang lengkap.

“Dalam kes fasakh, beban pembuktian adalah terletak pada pihak plaintif iaitu isteri yang memohon. Kukuhnya bukti yang dikemukakan akan mempercepatkan pihak mahkamah membuat keputusan. Air mata sahaja tidak boleh menjadi bukti,” katanya.

Jika dahulu, kelewatan atau penangguhan banyak disumbangkan kerana suami yang tidak muncul-muncul ke mahkamah, kini, mahkamah syariah mengambil sikap meneruskan prosiding dan boleh mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa kehadiran suami seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Kes Mastura ialah salah satu kes yang menunjukkan prosiding tanpa kehadiran suami atau prosiding sebelah pihak sudah boleh diterima.

“Jika mahkamah berpuas hati bahawa saman telah disampaikan dengan sempurna kepada pihak suami, namun mereka masih tidak muncul, mahkamah boleh meneruskannya dan mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa persetujuan suami. Lagipun fasakh itu sendiri ialah tuntutan cerai tanpa lafaz talak diperlukan. Kuasa fasakh ialah kuasa hakim. Prosiding sebelah pihak biasanya lebih cepat berbanding suami hadir dan mengemukakan pembelaannya,” katanya sambil menjelaskan perbicaraan akan diteruskan setelah dua kali sebutan kes.

Sumber : Kosmo!

3 ulasan:

  1. Tahniah kepada Mastura kerana menjadi janda secara terhormat. Semoga kejadian ini diambil iktibar oleh para wanita. Selidik dahulu bakal suami sama ada boleh membawa kepada syurga atau neraka.
    Mengenai mahkamah syariah, sebenarnya tidaklah payah untuk dibuat keputusan, tetapi yang jadi masalah, tiada peguam atau peguam tak buat kerja dengan betul.

    BalasPadam
  2. Saya hairan juga, ada kes yang bertahun2 tidak selesai. Mengapa jadi begitu? Saya percaya mahkamah adil, cuma dlm kebykan kes isteri itu sendiri tidak tahu procedure mahkamah dan tidak tahu apa yg hendak dituntutnya...

    Saya punya seorang rakan yg kerjanya naik turun naik turun naik turun mahkamah (sendirian) menuntut fasakh, tapi penat dan akhirnya appoint lawyer. Jenuhlah kawan ini kena buat pengumuman dan isytihar (kena buktikan pula) yg suaminya gagal dikesan. Seeloknya jika suami sudah diarahkan hadir tetapi engkar, patut hakim dah boleh buat judgement sama ada suami itu layak atau tidak jadi suami...

    BalasPadam
  3. biasa la. hakim nya lelaki, mereka (hakim) lebih berminat nk tau apa berlaku dlm bilik tidor. kalu kes cepat selesai, hakim & jab agama islam tak leh berseronok.......

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails