Oleh Dr Juanda Jaya
Masyarakat perlu ada sifat pemaaf, prihatin bendung gejala buang bayi daripada berleluasa
PERSEPSI negatif masyarakat terhadap dosa penzina agaknya melampau sampai ke tahap tiada ampun lagi. Jika setakat mencela perbuatan terkutuk itu tidaklah berat ditanggung penzina yang mahu bertaubat. Tetapi jika sampai tidak menaruh belas kasihan bahkan dipulaukan, dikeji seumur hidup sampai anak yang dilahirkan turut sama menanggung dosa orang tua dengan panggilan anak haram, diistimewakan dengan sebutan nama berbin dan binti Abdullah supaya berbeza daripada anak-anak lain, apakah ini sikap memaafkan masyarakat kita?
Apabila berlaku fenomena membuang bayi, kita sepakat mengutuk sekeras-kerasnya kejahatan ini tanpa menilai mengapa ia berlaku. Adakah disebabkan budaya masyarakat yang jauh menyeleweng daripada agama, jika benar mengapa ramai orang Islam yang terbabit?
Mungkin orang kafir lebih bijak menghapuskan benih perzinaan itu dengan melakukan pengguguran, tetapi persoalannya adalah sikap membunuh darah daging yang sempurna bentuk jasad dan sifatnya itu lebih kejam daripada pengguguran pada awal kandungan.
Kita tidak mempersoalkan tindakan mana lebih kejam kerana memang kedua-duanya adalah dosa besar dalam Islam. Tetapi umat Islam perlu memiliki sifat kemanusiaan dan jangan menghukum teruk wanita yang berzina supaya mereka tidak takut dan kembali melakukan dosa besar dengan membuang bayi.
Bayi tidak berdosa itu terbunuh mungkin disebabkan proses kelahiran yang disembunyikan akibat perasaan takut dan malu, bukan kerana sengaja mahu dibunuh. Bagaimana jika ia bukan hasil perzinaan, kerana jenayah rogol misalnya atau 'haruan makan anak'?
Disebabkan masyarakat tiada belas kasihan dan keluarga berantakan, maka wanita yang terbabit berusaha menutupi dosa dengan melahirkan sendiri anak tak berdosa itu. Mustahil mereka mahu membunuh bayi selepas kelahiran. Kalau berniat membunuh, mereka akan melakukannya pada awal kandungan lagi. Mungkin sesetengahnya tidak sempat menggugurkan kandungan dan terpaksa menunggu saat kelahiran, tetapi pada masa menunggu itu mengapa keluarga dan masyarakat tidak mahu memaafkan sehingga wanita ini putus asa dan akhirnya membunuh bayinya.
Keluarga dan masyarakat berperanan besar dalam menyelesaikan fenomena ini. Orang Islam yang taat jangan sesekali memandang serong wanita yang sudah bertaubat. Mereka yang terlanjur dan mahu bertaubat sepatutnya dibimbing, dikasihani dan ditunjukkan jalan keluar. Jika kita bersikap keras, membenci dan terus memusuhi mereka tanpa memberi peluang, fenomena sebegini akan berlarutan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu [246]. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (Surah Ali Imran ayat: 159)
Kita dituntut untuk terpanggil dan sensitif dengan gejala tidak sihat di sekeliling rumah, tempat kerja, lingkungan di seluruh negeri kita. Jika ada anak saudara yang terlanjur, mampukah kita memberi kemaafan dan menanggung sama aib itu, atau kita menutupinya kerana takut dicemuh masyarakat kemudian tidak peduli dengan perbuatannya bahkan melarang anak perempuan kita bergaul rapat dengannya?
Bukankah lebih baik mengajar anak-anak kita menolong, menasihat dan mencari jalan keluar supaya taubatnya benar-benar nasuha? Malangnya, cerita keji itu tetap dikenang selamanya dan dijadikan cacian dalam keluarga sendiri padahal wanita itu sudah bertaubat.
Kita lihat pandangan dan sikap Baginda SAW terhadap wanita berzina dalam suatu hadis mengenai taubat yang bermaksud, "Ada seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah SAW sedang dirinya hamil kerana berzina. Dia berkata: Wahai Rasulullah aku telah melakukan kesalahan yang menyebabkan aku terkena hudud, maka laksanakanlah hudud itu kepadaku. Kemudian Rasulullah SAW memanggil wali perempuan ini dan bersabda: Berbuat baiklah kepadanya apabila sudah melahirkan bawalah dia kepadaku." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Rasulullah SAW tidak sesekali mengeji wanita yang ingin bertaubat ini, tidak mencari dan mengheret lelaki yang melakukannya dan tidak menjatuhkan hudud ke atasnya saat itu juga. Bahkan Rasulullah SAW berpesan kepada ayahnya atau bapa saudaranya atau saudara lelakinya supaya menjaga wanita ini baik-baik. Betapa lembutnya akhlak Nabi SAW, sedangkan ramai anak-anak perempuan di sekelilingnya terlanjur tak dapat menahan marah ke atas mereka. Sehingga menyebabkan wanita itu tetap dalam kejahatannya bahkan bertambah jahat lagi dengan membuang bayi mereka.
Kemudian selepas wanita itu melahirkan dan cukup tempoh penyusuan bayinya, sesudah dia meninggal dalam hudud, baginda mensolatkannya. Umar r.a. bertanya: Wahai Rasulullah mengapa engkau mensolatkan wanita ini padahal dia berzina. Rasulullah bersabda: "Wanita ini benar-benar bertaubat seandainya taubat itu dibahagi kepada 70 orang Madinah nescaya masih cukup. Pernahkah kamu mendapatkan orang yang lebih utama daripada seorang yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Azza Wa Jalla."
Seperti kita, Umar mengeji sekeras-kerasnya penzina. Tetapi Rasulullah SAW mengingatkan mengenai kedudukan taubat lebih tinggi lagi daripada segala kejahatan yang pernah dilakukan manusia.
Sebelum hudud ditegakkan, negara mesti menyediakan badan dakwah dan kebajikan yang aktif berperanan mendidik umat, menggunakan pendekatan kasih sayang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar, membanteras jenayah dengan usaha pencegahan berlandaskan ilmu, nasihat dan bimbingan.
Jika ibu bapa sibuk dengan urusan sendiri, tidak menghiraukan pendidikan agama kepada anak-anak, langkah terbaik adalah mengenakan dulu hukuman ke atas ibu bapa yang tidak bertanggungjawab sebelum menyalahkan anak-anak terbabit.
Malang sungguh, saat terlanjur mereka diberhentikan daripada pengajian, dipulau keluarga, tiada yang sudi menasihati dan membimbing, jalan taubat ditutup rapat oleh masyarakat sekeliling. Jika kita tidak mengubah persepsi terhadap wanita-wanita malang ini selamanya gejala buang bayi akan berleluasa.
Sumber : BHarian 2010/02/16
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...