“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Februari 23, 2010

3 S untuk wanita hidup bermadu


Azian tidak perasan sedikitpun perubahan suaminya akhir-akhir ini. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Kerap mengajak isteri bercinta, memberi perhatian lebih, hadiah-hadiah mahal dan akhirnya memujuk secara lembut supaya dimudahkan jalannya berpoligami. Tentu saja Azian mengamuk tidak mahu diduakan kerana sukar untuk mempercayai sikap calon madunya yang sama sekali tidak dikenalinya.

Mungkin dia seorang wanita pisau cukur yang mahukan duit suaminya sahaja. Tiada sesiapa boleh menjamin wanita itu tidak merampas suaminya dan membuat suaminya tidak berlaku adil. Kononnya cantik bak selebriti, berpelajaran dan ada karier, walaupun dari kalangan yang berpendapatan sedang-sedang sahaja. Suami Azian pula seorang bos yang berjaya, berduit dan ada rupa. Anak mereka yang sulung baru berusia 12 tahun, yang bongsu pula masih menyusu.

Apa kurangnya Azian? Muda, cantik dan taat pada suami. Namun ia tidaklah menjamin dia terlepas dari bahaya bermadu. Inilah suratan takdir, betapa dia dan suami saling mengasihi dan memahami tetapi kebaikannya telah disalah guna oleh suami sebagai alat untuk memanipulasi isteri.

Azian mencari makna musibah yang menimpa keluarganya. Dia tetap mencintai suami walau apa pun yang terjadi, nekad mengharungi hidup bermadu kerana tidak mahu dipisahkan oleh seorang lelaki yang baik sepertinya. Tetapi dia takut tersungkur di lembah kejahatan hati, dendam dan benci yang pasti menemaninya setiap hari selepas bermadu nanti.

Suami Azian amat penyabar, tidak lokek, bahkan mewah dalam membrikan segala-galanya untuk keluarga, romantik dan hebat melayannya. Tetapi mengapa kelebihannya itu mesti dikongsi dengan perempuan lain? Apakah alasan yang boleh diberi Azian untuk menolak kemahuan suami, sedangkan dia begitu baik?

Puas Azian mencari-cari kelemahan suami tetapi gagal menemuinya kerana dia memang suami mithali. Mengapa suami tidak pernah buat silap bahkan jujur memberitahu maksud dan tujuannya berkahwin lagi satu? Bila Azian mengamuk, suami dengan sabar memujuk memberi pandangan baik dan buruk, menasihati dan membuatnya percaya bahawa dia mampu berlaku adil. Dia berduit dan berilmu, tidak tinggal solat dan berakhlak baik. Cuma satu kelemahannya, tidak mampu menolak cinta yang hadir dari wanita lain.

Azian dalam dilema, jika dia tidak sudi dan meminta cerai, alangkah malang nasibnya kehilangan orang yang paling dikasihi. Adapun dengan berkongsi kasih setiap hari, sememangnya bagai neraka baginya yang terlalu kuat cemburu buta. Azian terumbang-aming dalam tekanan perasaan, tetapi suami semakin dekat dan rapat memujuk dengan halus agar dia bersetuju.

Jalan keluar bagi Azian adalah dengan mengamalkan petua 3 S ini : hidup syukur, hidup sibuk dan hidup sihat. Bukan hanya untuk Azian tetapi kepada semua wanita yang menjalani cabaran hidup, jika tiada tiga aspek ini dalam hidup, pastinya anda akan terus terjerat dalam derita duniawi.

1 – Hidup syukur

Lupakanlah kesedihan dengan banyak mengingati anugerah Allah SWT yang dikurniakan kepada diri dan keluarga. Nikmat Allah bukan berupa harta dan kesihatan sahaja, tetapi juga nikmat dibelanya kita daripada kejahatan makhluk-Nya. Betapa Allah telah melindungi kita dan orang-orang yang kita kasihi daripada perbuatan jahat manusia, ataupun musibah yang datang tidak berbau, kehilangan harta benda dan nyawa. Allah SWT telah mencukupkan keperluan hidup kita dan menyempurnakannya dengan keperluan jiwa kita iaitu hidayah Allah.

Hati yang bersyukur tidak mudah diperdaya oleh syaitan kerana ia sentiasa berpijak di atas jalan Allah. Kembali kepada Allah, jika tersasar dan menganggap mudah segala ujian kerana ia adalah lumrah kehidupan. Bukankah ramai lagi manusia yang lebih tinggi ujiannya berbanding dengan diri kita? Jika dinilai nkmat Allah itu, sebenarnya ia melimpah-limpah jika dibandingkan ujian yang sedikit.

2 – Hidup sibuk

Atasilah masalah hati dengan membuat hati sentiasa sibuk, jika ia dibiarkan kosong nanti yang duduk di dalamnya adalah syaitan. Jangan hancurkan hati dengan tangan anda sendiri, rawatlah ia dengan bertafakur, isilah dengan ilmu, sibukkannya dengan amal-amal soleh.

Jika hati disakiti, carilah tempat selamat dan hindari sarang-sarang penyamun yang cuba menyakiti hati anda untuk kali kedua. Sibukkan diri dengan emmanafaatkan setiap detik yang berlalu agar ia membuahkan pahala. Satu saat kita berdendam akan kita tangisi di dunia dan di akhirat nanti, manakala satu saat kita bekerja menjadi kegembiraan dunia dan akhirat juga.

3 – Hidup sihat

Kebahagiaan itu bermula dari hati dan tubuh badan yang sihat. Jika hati sakit, pastinya boleh menjejaskan kesihatan jasmani juga. Hiduplah dengan aktiviti kecergasan, berjogging dan bersenam, menjaga badan dan kecantikan diri, melakukan kerja-kerja amal yang bermanafaat, melancong sambil bertakafur, makan makanan yang seimbang, selain itu makanan rohani juga jangan dilupakan. Berazamlah untuk mengatasi segala dugaan dengan syukur, sibuk dan sihat.

Mohonlah pertolongan Allah dan bergantunglah pada tali-Nya.




Sumber : Dr Hj Juanda Jaya

Capaian entry berkaitan :

  1. Bila kegiatan sulit suami terbongkar
  2. Poligami: Jangan Salah Guna Agama!
  3. Awas, suami perdaya isteri!
  4. Tajdid Iman: Jenayah lidah, nafsu punca rosak segala ibadat
  5. Syurga di tapak kaki?
  6. Poligami lagi ... rentetan sinetron Isteri Untuk Suami Ku
  7. Personaliti, ransangan paling hebat
  8. Sakitnya jika terpaksa berpoligami
  9. Intiplah jiwa pasangan

1 ulasan:

  1. Salam. Saya juga hidup bermadu. 6 bulan lepas suami telah bernikah dgn pilihan hatinya. Muda orgnya, rupa paras tak buruk namun tak terlalu cantik, sedang2 tetapi sedap mata memandang. Sejak awal perkenalan mereka saya telahpun dapat menghidu hubungan mereka. Tentulah saya mengamuk lalu merajuk membawa diri ke rumah ibu. Keadaan saya ketika itu, hamil 8 bulan dan terlalu sarat. Ditambah lagi inilah zuriat pertama kami setelah berkahwin setahun yg lalu. Ya, baru setahun tapi suami terlanjur jatuh cinta dengan wanita yg bernama Ain. Dia tidak bekerja dan datang dari keluarga yg sederhana. Tidak pernah merasai nikmat hidup senang. Suami seorang usahawan berjaya, tiada masalah utk suami menggembirakan wanita dgn wang ringgit dan kebendaan yg wanita termasuklah saya idam2kan. Ain terpikat dgn suami. Saya taknak bersangka buruk. Awalnya saya mengamuk dan enggan balik ke rumah kami. Ketika anak saya berusia 2 minggu mereka bertunang dan sebulan selepas itu bernikah. Lebih 6 bulan saya menderita. Suami ada dtg memujuk. Saya tahu dia masih sygkan saya. Tetapi hati saya masih belum dapat memaafkannya. Sehinggalah pada suatu hari, pada 18 syawal selepas saya mandi pada pagi itu, datang ketenangan dalam hati saya. Tak semena2 wajah Ain menjelma. Tiada dendam dalam hati saya ketika itu. Saya ambil sebijik kek yg saya masak pada pagi itu, bungkus dan bawak kereta pergi ke rumahnya. Suami terkejut dan mohon jgn bergaduh. Saya cakap tidak. Saya cuma nak berjumpa Ain. Saya mohon maaf darinya dan dari suami. Saya mengalah demi kebahagiaan mereka. Saya peluk Ain dan dia menangis. Suami dan saya turut menangis. Akhirnya Allah telah membuka hati saya untuk menerima takdir ini. Kini hidup saya bertambah tenang. Terima kasih Allah kerana membuka jalan untuk saya. Bagi saya tak rugi mengalah walau bagaimanpun kesalahan mereka pada saya. Saya mengalah dengan memohon kemaafan. Alhamdulillah Ain dapat menerima saya. Terima kasih Ain. Terima kasih suamiku kerana mengajarku erti kesabaran dan kematangan. Terima kasih Allah kerana memberiku dugaan ini. Aku bersyukur ya Allah..

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails