
Penyitaan, penjualan harta boleh diambil supaya si penghutang menjelaskan hutang
SEPANJANG 2000 hingga 2009, sebanyak 206,113 kes perceraian difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negara. Sebanyak 80% atau 12,300 kes bekas suami gagal mematuhi perintah melunaskan nafkah yang menyebabkan hak isteri dan anak-anak terabai.
Malangnya, daripada jumlah itu, hanya 15,380 kes atau 7.5% saja kes nafkah yang difailkan ke mahkamah. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan kebanyakan bekas isteri atau ibu kepada anak-anak tidak faham hak mereka menurut undang-undang, atau mereka tidak mahu turun naik mahkamah menuntut penguatkuasaan nafkah anak-anak.
Cerita negatif mengenai proses perbicaraan di mahkamah syariah yang memakan masa lama, lebih memburukkan keadaan. Akhirnya, si ibu lebih rela menanggung sendiri nafkah anak-anak dan membiarkan bekas suami lepas tangan terhadap nafkah anak-anak, walaupun dalam sesetengah kes, perintah nafkah anak sudah dikeluarkan oleh mahkamah.
Kewajipan mematuhi perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah diperuntukkan dengan jelas dalam Seksyen 147, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, berbunyi :
(1) Tiap-tiap orang yang diarahkan oleh mana-mana penghakiman supaya melakukan apa-apa perbuatan hendaklah mematuhinya tanpa desakan, dan tidaklah perlu disampaikan kepadanya penghakiman itu atau apa-apa notis penghakiman itu kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen 135 (3).
(2) Seseorang penghutang penghakiman hendaklah dari semasa ke semasa memberitahu mahkamah alamat tempat tinggalnya yang terakhir dan kegagalan mematuhi kehendak subseksyen ini hendaklah disifatkan sebagai penghinaan mahkamah.
Apabila suatu perintah pembayaran nafkah anak dikeluarkan, tetapi bekas suami gagal melaksanakan apa yang diperintahkan, maka wanita atau bekas isteri perlulah tampil ke hadapan dengan memfailkan kes penguatkuasaan perintah nafkah anak di Mahkamah Syariah. Proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah ini bukanlah lambat dan tidaklah menyebelahi pihak bekas suami sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Apabila perintah dikeluarkan, maka jumlah yang tidak dibayar bekas suami akan menjadi tunggakan hutang yang wajib dibayar.
Tujuan anda ke mahkamah adalah untuk menuntut balik hutang nafkah itu dan menguatkuasakan perintah nafkah anak, yang sebelum itu gagal dilaksanakan bekas suami. Yang penting, anda perlu faham prosedur dan caranya, ia akan menjadi mudah dan cepat. Lantiklah Peguam Syarie untuk bertindak bagi pihak anda.
Bagi wanita yang tidak mampu melantik Peguam Syarie, anda boleh merujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang menyediakan perkhidmatan membantu bekas isteri membuat permohonan penguatkuasaan nafkah di Mahkamah Syariah, dengan syarat-syarat tertentu.
Penguatkuasaan perintah adalah proses mahkamah apabila berlaku kegagalan atau keengganan mematuhi perintah mahkamah, dengan menggunakan satu atau lebih daripada cara pelaksanaan yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Pelbagai jenis pelaksanaan perintah boleh diambil apabila menghadapi situasi kegagalan bekas suami membayar nafkah seperti Penyitaan dan Penjualan, prosiding Hiwalah, Saman Penghutang Penghakiman, sehinggalah tindakan Pengkomitan atau pemenjaraan. Prosiding ini di bawah tindakan mal di Mahkamah Syariah.
Penyitaan dan penjualan ialah dengan menyita harta alih atau harta tak alih kepunyaan si penghutang, kemudian dilelong dan dijual harta itu untuk menjelaskan jumlah yang terhutang. Mengikut hukum syarak, seseorang yang berhutang wajib membayar hutangnya jika ia berupaya membayarnya pada masa yang ditetapkan.
Jika dia melambat-lambatkan atau enggan membayarnya, maka si pemiutang boleh memohon supaya harta si penghutang itu dijual dan hasil jualannya dibayar kepada si pemiutang. Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad dalam Kitab Kifayatul al-Akhyar memetik perintah Sayidina Umar r.a. yang berkata: “Barang siapa punya pemiutang hendaklah datang kepada kami esok sebab kami akan menjual hartanya dan membahagikan kepada orang yang memberi hutang kepadanya.”
Prosiding hiwalah ialah dengan menahan harta yang kena dibayar oleh pihak yang berhutang kepada si penghutang (garnishee atau muhal ‘alaih) dan mahkamah boleh memerintahkan supaya garnishee membayar terus kepada si pemiutang, jumlah yang perlu dibayar.
Sebagai contoh si A berhutang nafkah anak dengan si B. Pada masa yang sama, si C ada berhutang kepada si A. Maka si B boleh memohon supaya hutang itu langsung dibayar oleh si C kepadanya. Cara kedua ialah dengan menahan harta alih si penghutang yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga. Mahkamah boleh memerintahkan supaya muhal’alaih menyerahkan harta dalam milikan atau kawalannya kepada bailif mahkamah.
Manakala prosiding Saman Penghutang Penghakiman adalah suatu prosiding ‘post-trial’ untuk memeriksa kemampuan si penghutang untuk membayar, sama ada dia boleh bayar secara sekali gus atau secara beransur-ansur. Walaupun secara beransur-ansur, hutang nafkah anak tetap perlu dibayar sehingga selesai.
Jika bekas suami masih lagi gagal membuat bayaran seperti diperintahkan, maka dia boleh diberikan notis tunjuk sebab mengapa dia tidak patut ditahan ke penjara kerana keingkaran membayar nafkah anak. Dipenjarakan tidak bermakna hutang tunggakan nafkah anak akan luput atau terhapus. Hutang tetap hutang. Hukuman penjara adalah sebagai pengajaran kepada bekas suami supaya tidak bersikap sambil lewa berhubung soal nafkah.
Selain tindakan mal, tindakan jenayah boleh juga dilakukan dengan membuat aduan kepada penguatkuasa agama di Jabatan Agama Islam kerana bekas suami menghina Mahkamah.
Seksyen 10, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa jika seseorang itu sabit kesalahan, maka mereka boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Walaupun tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap bekas suami yang ingkar membayar nafkah anak, tetapi kesedaran kaum lelaki yang menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas adalah lebih utama dari penguatkuasaan undang-undang.
Penulis, Tuan Musa Awang ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Boleh dihubungi melalui e-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com.
Sumber : BHarian 22/02/2012
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Selasa, April 10, 2012
Heret bekas suami ke mahkamah tuntut nafkah anak
Selasa, Januari 03, 2012
Bapa abai nafkah anak pincangkan masyarakat
Assalamualaikum warahmatullah,
Beberapa bulan yang lepas, Laman-Seri berkesempatan mendengar luahan seorang rakan di egrup yang disertai. Menurut rakan tersebut, beliau sedang menghadapi kes di mahkamah syariah KL. Sudah hampir setahun kesnya ditundakan tetapi masih belum dapat jalan penyelesaian, mungkin kerana beliau tidak melantik peguam kerana semuanya diusahakannya sendirian. Rakan ini tidak mampu mengupah peguam kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan. Kesnya di mahkamah adalah kes tuntutan nafkah anak-anak daripada bekas suami. Sebetulnya, perintah mahkamah sudah dikeluarkan, cuma bekas suami tidak memberi kerjasama dan enggan membuat pembayaran nafkah.
Saya jelaskan kepadanya, beliau boleh memohon bantuan daripada BSK (Bahagian Sokongan Keluarga) kerana beliau sudahpun mempunyai perintah mahkamah. Masalah beliau boleh diselesaikan dengan mudah jika beliau mengadu hal berkaitan kepada saluran yang betul. Bagi mereka yang menghadapi masalah yang sama, bolehlah rujuk entry Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
Agak malang kerana ramai suami dan bekas suami masih tidak jelas atau mungkin saja buat-buat
Setiap zuriat berhak disara sehingga 18 tahun
Nafkah kalimah Arab berasal daripada infaq dari sudut bahasa bermakna perbelanjaan dikeluarkan secukupnya terhadap anak merangkumi makanan, pakaian serta tempat tempat tinggal.
Nafkah terbahagi kepada dua iaitu terhadap diri sendiri dan kewajipan nafkah terhadap orang lain disebabkan perkahwinan iaitu isteri, kerabat contohnya anak dan pemilikan seperti hamba. Nafkah anak adalah WAJIB, sama ada anak berada dalam jagaannya atau orang lain. Dalam Islam, hak mendapat kehidupan adalah hak anak yang tidak boleh disekat. Justeru, ibu bapa atau penjaga wajib memenuhi hak itu.
Firman Allah bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)
Ayat itu menjelaskan kewajipan bapa membayar upah menyusukan anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan bapa. Jumhur berpendapat, jika bapa tidak mempunyai harta tetapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha sendiri dengan pekerjaannya membiayai nafkah anak.
Berdasarkan peruntukan undang-undang di Malaysia, merujuk Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 menanggung nafkah menjadi kewajipan bapa. Seksyen itu memperuntukkan: “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana munasabah kepada kemampuan atau dengan membayar kos.”
Fuqaha bersepakat jika bapa masih hidup dan berkemampuan untuk bekerja, maka wajib ke atasnya saja membiayai nafkah anak tanpa berkongsi dengan sesiapa.
Dalam menentukan tempoh bapa menanggung nafkah anak diperuntukkan secara jelas mengikut Seksyen 80 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang meletakkan had umur bagi tempoh perintah nafkah tamat apabila anak mencapai umur 18 tahun.
Bagaimanapun, mahkamah boleh atas permohonan anak melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi tempoh tambahan yang difikirkan munasabah bagi membolehkan anak mengikuti pelajaran, latihan lanjut atau lebih tinggi.
Kita sedia maklum masuk saja hujung tahun, ibu bapa sibuk mengurus persediaan persekolahan anak. Bagi suami isteri yang membuat persediaan awal dengan menabung, tiada sebarang masalah.
Keadaan berbeza bagi ibu tunggal diabaikan pemberian nafkah oleh bekas suami. Sudah tentu perkara ini menyukarkan serta mendatangkan kemudaratan apatah lagi jika mempunyai anak ramai dan semuanya masih bersekolah.
Walaupun kerajaan menyalurkan peruntukan RM100 seorang bagi anak yang bersekolah, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk perbelanjaan persekolahan mereka. Ia mungkin dapat meringankan sedikit beban tetapi tidak mencukupi bagi menampung jumlah sebenar.
Jika bekas isteri mampu sekalipun, bapa tetap perlu dan wajib menunaikan tanggungjawab. Kita tidak mahu berlaku kepincangan dalam masyarakat apabila bapa mengambil sikap lepas tangan sehingga membebankan bekas isteri khususnya yang tiada kerja atau pendapatan tetap. Bapa hendaklah mengambil tanggungjawab ini supaya pendidikan anak tidak terganggu. Kita tidak mahu mendengar kes anak tidak bersekolah atau lambat daftar ke sekolah disebabkan pengabaian perbelanjaan pendidikan.
Kepincangan perkahwinan tidak sepatutnya memberi kesan terhadap masa depan anak. Pertelingkahan antara suami isteri juga tidak harus memberi masalah kepada hak anak mendapat nafkah.
Islam sangat mengambil berat mengenai kewajipan memberi nafkah bagi memastikan kehidupan anak tidak terabai. Lebih-lebih lagi untuk menjadikan kehidupan anak sempurna dan tidak terkesan walau sedikitpun akibat daripada permasalahan keluarga mahupun perceraian ibu bapanya.
Semoga peringatan ini dapat membuka mata dan memberi kesedaran kepada mereka yang sering menganggap remeh tanggungjawab pemberian nafkah ini.

Petikan : BHarian 21/12/2011
Capaian entry berkaitan :
❀ Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)
❀ Menangani suami culas dan suami kedekut
Ahad, Januari 01, 2012
Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)
Latarbelakang penubuhan BSK
Isu tuntutan nafkah dan penguatkuasaannya merupakan isu utama yang sentiasa menjadi rungutan terutama di kalangan isteri atau isteri yang diceraikan atau ibu kepada anak-anak yang diceraikan. Walaupun Undang-Undang Keluarga Islam mempunyai peruntukan undang-undang yang terperinci tentang nafkah, tetapi masih terdapat kelemahan yang ketara dalam penguatkuasaan nafkah terutamanya jika bekas suami atau bapa yang bertanggungjawab membayar nafkah gagal memberi kerjasama atau cuai.
Justeru itu, melalui Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke 46, yang dipengerusikan oleh Y.A.B Perdana Menteri memutuskan untuk menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK). Penubuhan BSK ini adalah bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan dengan tuntutan dan penguatkuasaan Perintah nafkah.
Visi BSK
“Berusaha menjadikan BSK sebagai sebuah organisasi sokongan keluarga yang unggul bagi membantu sistem pengukuhan kekeluargaan Islam ke arah pewujudan masyarakat penyayang,penduduk berkualiti dan bangsa Malaysia yang progresif”.
Objektif penubuhan BSK
❀ Merealisasikan pelaksanaan dan pematuhan kepada setiap keputusan/perintah mahkamah yang melibatkan isu-isu berkaitan kekeluargaan.
❀ Meningkatkan status dan bidangkuasa Mahkamah Syariah terutama dalam aspek pematuhan perintah mahkamah dan aspek pelaksanaan.
❀ Mengatasi masalah isu kelewatan dalam pengendalian kes-kes penguatkuasaan perintah kehakiman.
❀ Memelihara hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang terlibat di dalam institusi kekeluargaan;
❀ Menyelesaikan dan mengenalpasti masalah pemiutang penghakiman terutama yang melibatkan nafkah dan seumpamanya;
❀ Memberi khidmat nasihat perundangan syarie kepada pihak-pihak terlibat dari segi prosedur undang-undang, hukum syarak, perlaksanaan tuntutan nafkah dan sebagainya yang melibatkan kekeluargaan Islam samada individu atau orang awam.
Peranan dan fungsi BSK
❀ Memberi nasihat perundangan Syariah kepada pihak-pihak yang telah dikeluarkan perintah Nafkah Anak oleh Mahkamah Syariah.
❀ Memantau tugas Bailif dan melaksanakan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Syariah berkaitan nafkah supaya perintah tersebut dapat dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua pihak
❀ Melaksanakan pengurusan pentadbiran yang berkaitan dengan perintah penguatkuasaan serta perintah pelaksanaan penghakiman oleh Mahkamah Syariah antara negeri-negeri dapat berjalan lancar tanpa sebarang halangan.
❀ Menguruskan bantuan sokongan kewangan kepada anak yang menjadi mangsa kegagalan pembayaran nafkah oleh suami samada dalam perkahwinan atau perceraian berdasarkan hukum syarak.
❀ Melaksanakan pengurusan bantuan sokongan yang berbentuk moral/nasihat serta kewangan kepada pihak yang terlibat dalam terutamanya yang berkaitan pembiayaan nafkah mengikut lunas-lunas hukum syarak.
Tindakan yang perlu dilakukan :
(1) Memberi khidmat nasihat perundangan kepada pihak-pihak:
❀ hadir ke pejabat BSK dengan membawa perintah nafkah yang tidak dipatuhi oleh suami/bekas suami
❀ berjumpa dengan kakitangan BSK di kaunter untuk mengisi borang pemdaftaran dan membuat temujanji dengan pegawai
❀ berjumpa dengan pegawai untuk tindakan lanjut
(2) Menyalurkan bantuan sara hidup sementara/dana kepada isteri dan anak-anak
❀ hadir ke pejabat BSK dengan membawa perintah nafkah yang tidak dipatuhi oleh suami/bekas suami
❀ siasatan akan dijalankan untuk menentukan kelayakan pemohon
❀ dana akan didahulukan selama 6 bulan kepada pemohon yang layak
(3) Melaksanakan penguatkuasaan perintah/penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah
❀ failkan kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah sekiranya didapati perintah tidak dipatuhi oleh suami/bekas suami
❀ siasatan akan dijalankan untuk menentukan kelayakan pemohon
❀ beri maklumat suami/bekas suami
❀ proses pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah berjalan.
❀ dana yang telah didahulukan akan dikembalikan kepada BSK.
Aduan boleh dibuat secara online dengan mengisi borang di sini : Borang aduan BSK.
Sila hubungi nombor di bawah untuk lebih lanjut :
Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)
Persiaran Masjid, Seksyen 5
40000 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan
Tel : (603) 55191291 / 55191294 / 55191304 / 55113708
Faks : (603) 55105620
Maklumat lain berkaitan Bahagian Sokongan Keluarga
Dipetik dari Jab. Kehakiman Syariah Malaysia atau di link Jab. Kehakiman Syariah Malaysia ~ BSK :
| ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Terakhir dikemaskini pada Selasa, 12 April 2011 11:52 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||

e-Nafkah
KUALA LUMPUR: Masalah bekas suami culas membayar nafkah yang sering berlaku ke atas golongan wanita selepas diceraikan mampu diselesaikan menerusi penubuhan sistem e-Nafkah yang mampu mengesan kes pengabaian itu dengan kadar segera.
Menerusi sistem yang dimulakan pada 17 Oktober 2011, sebaik Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah pembayaran nafkah, data itu direkodkan dan pegawai di Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah mengambil tindakan proaktif menghubungi wanita terbabit bagi mengetahui sama ada bekas suaminya menjalankan tanggungjawab itu atau tidak.
Pengarah BSK, Dr Naim Mokhtar berkata, jika sebelum ini, bekas isteri terpaksa menghubungi mahkamah membuat aduan setiap kali berlaku pengabaian pemberian nafkah, melalui sistem itu, pegawai BSK sendiri memantau sama ada tanggungjawab itu terlaksana atau tidak.
“Apabila perintah mahkamah direkodkan, pegawai berkenaan menghubungi bekas isteri kebiasaannya selepas dua bulan bagi memastikan ia dipatuhi. Jika bekas suami itu didapati gagal mematuhi perintah mahkamah, Unit Khidmat Nasihat Perundangan menjalankan proses runding cara memanggil pasangan itu bertujuan mengemaskini maklumat seperti anak dan harta,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia berkata, jika suami tidak mempunyai wang yang cukup ketika itu, dia diberi pilihan meminjam menerusi Unit Pengurusan Dana yang diberikan kepada bekas isteri untuk tempoh enam bulan.
“Sebelum dana itu diberikan, pasangan terbabit perlu menandatangani surat akuan berkanun sebagai bukti mereka bersetuju langkah penguatkuasaan di bawah Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah diambil selepas ini jika pengabaian masih berlaku,” katanya.
Langkah sama juga dilaksanakan bagi kes tunggakan sebelum ini bagi memastikan bekas isteri tidak dianiayai. Sistem itu merangkumi semua proses gerak kerja ketiga-tiga unit yang terdapat di BSK iaitu Unit Khidmat Nasihat Perundangan, Unit Pengurusan Dana serta Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah.

Rujukan : Jab. Kehakiman Syariah Negeri Selangor ~ BSK dan Jab. Kehakiman Syariah Malaysia dan HMetro.
Rabu, Disember 14, 2011
Peguam syarie penentu kelancaran kes syariah
Mahkamah perlu dilihat sebagai institusi berintegriti, mampu kembalikan keyakinan ummah
TAHUN ini menyaksikan beberapa bangunan Mahkamah Syariah dirasmikan di seluruh negara. Pada 28 Jun lalu, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan merasmikan Bangunan Mahkamah Syariah Tapah yang konsep dan idea luaran bangunan menyerupai Istana Kuning, Bukit Chandan.
Dalam titah perasmian, Raja Nazrin berkata, Mahkamah Syariah perlu cekap mengendalikan kes yang dibawa untuk mendapat pengadilan, termasuk tidak melayan kerenah menangguhkan kes secara sengaja kerana tindakan itu boleh menidakkan terlaksananya keadilan.
Hakim, pegawai mahkamah dan peguam syarie perlu bekerjasama secara kolektif bagi memastikan prosiding mahkamah dapat berjalan lancar dan kes dibicarakan dapat diselesaikan segera.
Pada 25 November lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru pegawai Mahkamah Syariah khususnya hakim syarie supaya bersedia berhadapan cabaran besar dengan melengkapkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu.
Baginda yang bertitah ketika Majlis Perasmian Bangunan Baru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di Shah Alam, berkata, kes di Mahkamah Syariah kini bukan membabitkan kes perceraian, juga tuntutan harta bernilai jutaan ringgit dan kes mencabar sensitiviti masyarakat.
Baginda bertitah supaya semua pihak terutama peguam syarie, pendakwa syarie dan pihak yang bertikai perlu membantu mahkamah dengan membentangkan fakta sebenar supaya keadilan dapat ditegakkan.
Mahkamah Syariah perlu dilihat sebagai sebuah institusi yang berintegriti dan berkualiti tinggi kerana ini penting dalam usaha membina keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah. Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang menelan belanja RM96 juta di Jalan Hartamas, berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Masjid Wilayah Persekutuan, yang juga Mahkamah Syariah terbesar di Malaysia menjadi bukti keunggulan perundangan syariah negara.
Oleh itu, peguam syarie sebagai sahabat mahkamah juga perlu diberi pengiktirafan dan tidak dipinggirkan dalam bangunan mahkamah yang tersergam indah itu. Seperti mana di Mahkamah Sivil, bilik rehat yang selesa untuk peguam syarie sepatutnya disediakan di bangunan mahkamah.
Selain itu, sudah tiba masanya diadakan peraturan atau arahan mewajibkan pihak yang memfailkan kes di Mahkamah Syariah, terutama di Mahkamah Tinggi Syariah melantik peguam syarie sama ada swasta atau kerajaan, supaya tuntutan atau permohonan ke mahkamah dibuat mengikut prosedur.
Langkah itu juga bagi memastikan perbicaraan kes berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan cepat. Peguam syarie sebenarnya membantu mahkamah mengendalikan kes dengan baik dan berkesan, supaya hakim dapat menghukum dengan adil, tepat dan cepat.
Ketidakfahaman segelintir suami isteri membuat tuntutan adalah faktor utama menyebabkan sebilangan kes di Mahkamah Syariah tertangguh begitu lama. Kadang-kadang mereka tidak faham apa permohonan yang hendak dibuat semasa kes didaftarkan.
Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Melaka menunjukkan sebanyak 24.2% kes tertangguh bagi 2006 hingga 2009, berpunca daripada pihak yang bertikai tidak hadir ke mahkamah atau tidak bersedia pada tarikh pendengaran ditetapkan dan 12.65% disebabkan dokumen tidak lengkap.
Pada masa sama, peguam syarie juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan memperbaiki akhlak serta budi pekerti mulia seperti dituntut hukum syarak. Peguam syarie yang kurang ilmu pengetahuan syariah dan undang-undang semasa tidak akan membantu hakim menegakkan keadilan. Peguam syarie yang tidak berakhlak dan tidak amanah bukan saja akan menyusahkan anak guam, tetapi juga menjadi halangan untuk membantu mahkamah menghukum dengan adil, tepat, cepat dan berkesan.
Adanya bangunan baru dan kemudahan diberikan, diharap peguam syarie dapat memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan perbicaraan dijalankan dengan berkesan seterusnya mengurangkan jumlah kes tertunggak.
Sumber : Peguam Syarie, Musa Awang di BHarian 14/12/2011
Khamis, November 03, 2011
Gubal enakmen khusus tatacara keluar Islam

Kejayaan sebenar bukanlah menghukum, tetapi menggiatkan usaha memulihkan akidah
MURTAD dalam Islam dikenali sebagai ar-riddah. Menurut bahasa bermaksud kembali dari sesuatu kepada sesuatu. Manakala dari segi istilah syarak ialah kembali dari agama Islam kepada kafir, sama ada dengan niat, perbuatan atau perkataan.
Murtad dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia dalam keadaan kafir (ingkar), maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (buat selama-lamanya).” (Surah al-Baqarah, ayat 217)
Masalah murtad timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Pada masa itu banyak puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat, ada yang kembali kepada menyembah berhala. Ada mendakwa mereka hanya menurut perintah Rasulullah SAW ketika hayat Baginda saja dan ada juga mendakwa mereka adalah nabi dan rasul. Maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan ini yang dinamakan Perang Riddah. Tindakan perang ini diambil setelah bermesyuarat dengan sahabat termasuk Saidina Umar al-Khattab, kerana orang yang murtad melakukan jenayah menghina agama Islam.
Fuqaha’ berijmak seorang lelaki yang murtad hendaklah dihukum bunuh manakala Hanafiah pula berpendapat wanita yang murtad tidak dikenakan hukuman bunuh, kerana ada hadis melarang pembunuhan terhadap wanita. Wanita murtad hukumannya ialah memaksanya kembali kepada Islam, jika dia enggan hendaklah dipenjarakan sehingga dia kembali memeluk Islam atau sehingga dia mati.
Menurut jumhur, si murtad wajib diminta supaya bertaubat dan hendaklah dilakukan sebanyak tiga kali sebelum hukuman dijalankan. Hanafiah pula berpendapat, meminta si murtad bertaubat hukumnya sunat.
Antara sebab berlaku murtad ialah kerana lemahnya iman, tidak ada suasana membentuk kekuatan iman, tidak ada orang yang membimbing, di samping wujud komplot tertentu bagi memecahbelahkan umat Islam melalui ajaran bukan Islam.
Kebanyakan negeri kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perlis sudah meluluskan undang-undang mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam. Persoalannya, sejauh manakah undang-undang ini dikuatkuasakan dan bilakah negeri yang belum mengadakan enakmen sedemikian hendak meluluskan enakmen itu?
Setakat ini hanya Negeri Sembilan memperuntukkan tatacara khusus bagi seseorang yang mahu keluar Islam melalui seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 yang mengkehendaki seseorang mahu keluar Islam membuat permohonan perisytiharan. Setelah menerima permohonan, mahkamah hendaklah menasihati pemohon bertaubat dan jika enggan, mahkamah hendaklah menangguhkan permohonan selama 90 hari supaya pemohon menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi memberi peluang mereka bertaubat.
Jika selepas tempoh 90 hari pemohon masih enggan bertaubat, mahkamah boleh memerintahkan pemohon menjalani sesi runding cara serta bimbingan selanjutnya selama tempoh tidak melebihi satu tahun. Selepas tempoh itu, jika pemohon tetap dengan pendiriannya, mahkamah boleh mengisytiharkan pemohon telah meninggalkan agama Islam. Sebelum perisytiharan itu, mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai pembubaran perkahwinan, pembahagian harta sepencarian, hak perwalian, hak pusaka dan hadanah.
Cuma kelemahan dikenal pasti dalam peruntukan sedia ada, permohonan bagi perisytiharan keluar agama Islam hendaklah dibuat secara ex-parte (pendengaran sebelah pihak).
Berbeza dengan negeri lain, peruntukan keluar Islam terdapat dalam enakmen kesalahan jenayah syariah dalam bentuk hukuman jenayah. Perintah pemulihan dibuat berdasarkan budi bicara hakim, memberi ruang pihak tidak berpuas hati membuat semakan atau rayuan ke mahkamah lebih tinggi.
Sudah sampai masanya negeri lain menggubal undang-undang khusus tatacara permohonan keluar Islam, pencegahan, cara dan tempoh pemulihan serta menggubal enakmen atau Akta Pusat Pemulihan Akidah bagi memastikan negeri membina pusat pemulihan akidah menurut undang-undang.
Murtad berlaku sama ada disahkan atau tidak oleh mahkamah. Catatan agama Islam dalam kad pengenalan bukan penentu sebenar akidah seseorang. Usaha dakwah perlu dipertingkatkan dan sebarang usaha memurtadkan umat Islam diadukan ke Jabatan Agama Islam Negeri atau pihak berkuasa.
Kejayaan sebenar bukanlah menghukum, tetapi mengembalikan mereka ke pangkuan Islam dan menghilangkan kekeliruan terhadap agama. Tumpuan khusus dan pemantauan perlu diberi kepada saudara baru kerana ramai yang ingin meninggalkan Islam terdiri daripada saudara baru.
Mereka menganut Islam ada kala disebabkan faktor perkahwinan dan apabila berlaku perceraian, mereka hilang tempat bergantung, hilang bimbingan dan masyarakat juga kurang prihatin lalu mereka terpaksa kembali kepada keluarga asal serta hidup dalam agama asal.
Setakat ini, belum ada statistik tepat dikeluarkan berhubung permohonan murtad di seluruh negara atau permohonan pindah nama dan agama kerana keluar Islam. Saya percaya masyarakat perlu tahu statistik ini supaya mendatangkan kegerunan dan memberi kesedaran kepada mereka.
Penulis, Musa Awang ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel maa46050@yahoo.com.
Petikan : BHarian 02/11/2011
Khamis, Oktober 27, 2011
Akta khas benteng utama halang umat Islam daripada murtad

Assalamualaikum warahmatullah,
Isu murtad dan cadangan diwujudkan Akta Murtad adalah ujian hebat terbaru yang dihadapi dan perlu ditangani umat Islam secara berhikmah. Ia adalah satu isu yang sebenarnya bukan saja menyentuh kesucian agama Islam dan akidah umat, ia turut menyentuh isu kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini yang dibenarkan di dalam Perlembagaan.
Dalam membincangkan undang-undang berkaitan murtad, isu pokok yang harus diberi perhatian ialah perlunya satu peraturan khas atau akta khusus diwujudkan bagi mencegah penganut agama lain mengembangkan agama mereka kepada orang Islam.
Isu ini sudah dijawab dalam Perkara 11(1) Perlembagaan yang menetapkan tiap-tiap warga Negara berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi tertakluk kepada Fasal (4) dalam mengembangkannya. Seharusnya, perkara ini sudah lama disedari penganut agama bukan Islam bahawa gerakan pengembangan dan dakwah kepada orang Islam adalah dilarang mengikut Perlembagaan.
Namun, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria mendakwa gerakan penganut agama lain mengembangkan agama mereka kepada orang Islam yang wujud sejak dulu, kini semakin agresif dan berani. Justeru, beliau mencadangkan supaya Akta Murtad perlu diwujudkan segera kerana gejala itu kini seperti virus berbahaya terhadap bangsa Melayu.
Jika dikaji perundangan negara mengenai gejala murtad, setakat ini tidak ada peraturan khusus bagi menghalang bukan Islam mengembangkan agama mereka kepada orang Islam kecuali di Negeri Sembilan. Negeri Sembilan mempunyai peraturan menghalang bukan Islam mengembangkan ajaran agama mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang islam) 1991.
Sementara itu, enakmen jenayah syariah pada peringkat negeri juga hanya mempunyai hukuman terhadap orang Islam yang mahu menukar status agama. Menurut enakmen itu, hukuman maksimum yang boleh dikenakan terhadap orang Islam yang hendak menukar status agama adalah penjara tiga tahun atau enam sebatan atau denda RM5,000 atau kombinasi mana-mana hukuman.
Jelas sekali, bidang kuasa jenayah syariah negeri juga terhad, hanya boleh dikuatkuasakann terhadap orang Islam saja tetapi tidak kepada bukan Islam yang menyebarkan agama dan berdakwah kepada orang Islam. Istilah permohonan murtad juga tidak digunakan di dalam mana-mana enakmen negeri kerana kebanyakannya menggunakan istilah permohonan perisytiharan status agama.
Persoalan yang timbul ketika ini ialah rasionalnya di sebalik cadangan mewujudkan Akta Murtad. Dari sudut positifnya, ia dapat menghalang orang Islam daripada keluar dari agama Islam. Ia juga menunjukkan yang kesedaran umat Islam di negara ini terhadap bahaya murtad dan gejala memurtadkan orang Islam semakin meningkat.
Akan tetapi, konflik yang akan timbul nanti ialah adakah kewujudan Akta Murtad itu akan dapat menangani gejala ‘murtad secara sukarela’ dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Inilah persoalan utama yang harus diteliti, ditangani dan diberi pertimbangan utama umat Islam dan pihak berkuasa agama Islam di negara ini.
Adakah dengan adanya satu undang-undang sah, maka masalah murtad dalam kalangan umat Islam akan dapat diatasi atau dicegah? Dibimbangi, dengan diwujudkan akta itu, peluang untuk orang Islam keluar dari Islam akan lebih mudah kerana ada peraturan khas bagi ‘menghalalkan’ tindakan mereka murtad.
Akhirnya, tujuan suci mewujudkan Akta Murtad bagi menghalang bukan Islam memnyebarkan agama kepada orang Islam terpesong daripada landasan, merugikan umat Islam dan menguntungkan agama lain. Mengulas perkara ini, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie, Musa Awang berkata, jika Akta Murtad hendak diwujudkan, ia tidak boleh bertentangan dengan Perkara 11(1) Perlembagaan.
Katanya, akta itu juga perlu mengandungi perkara asas yang penting iaitu menghalang bukan Islam melakukan apa saja dakwah dan pengembangan agama kepada umat Islam dan yang kedua, menjadi banteng utama bagi menghalang umat Islam daripada murtad.
“Kita perlu meneliti kandungan akta itu kerana jika hendak menghalang terus orang Islam menukar agama, ia akan bertentangan dengan kebebasan beragama yang ditetapkan Perlembagaan. Apa yang penting, akta itu perlu menjurus kepada aspek pencegahan dan menghalang orang Islam keluar daripada Islam,” katanya.
Beliau juga mengakui, Akta Murtad boleh diwujudkan di Parlimen walaupun sekadar mendapat majoriti mudah.
“Namun, kita bimbang jika akta ini diwujudkan, ia akan lebih menggalakkan orang Islam untuk keluar Islam secara automatik, negara sudah mempunyai prosedur atau tatacara untuk masuk dan keluar Islam. Apabila sudah ada prosedurnya, ia akan lebih mudah dimanipulasi pihak bukan Islam untuk menggalakkan umat Islam murtad dan mempertahankan mereka yang hendak keluar Islam,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan, akta berkenaan mempunyai peruntukan yang mewajibkan orang islam yang bercadang untuk murtad supaya dikehendaki menjalani proses pemulihan akidah. Peruntukan lain yang wajar ialah hukuman setimpal terhadap mana-mana pihak bukan Islam yang didapati terbukti cuba berdakwah dan mengembangkan agama mereka kepada orang Islam.
Sumber : Anwar Patho Rohman (wananwar@bharian.com.my) di BHarian 27/10/2011
Rabu, Oktober 05, 2011
Undang-undang jenayah Islam tangani isu sosial

Hukuman tegas mampu didik pesalah, pelihara kehormatan diri daripada perbuatan jahat
PELAKSANAAN undang-undang jenayah Islam masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam menyebabkan mereka menolak pemakaian undang-undang jenayah Islam.
Hikmah hukuman jenayah Islam bertujuan mencegah manusia daripada melakukan segala bentuk jenayah, sekali gus memelihara kehormatan diri dan menjaga kemaslahatan masyarakat, selain mendidik pesalah dan masyarakat umum. Contohnya, jika seseorang individu itu mengetahui hukuman mencuri ialah potong tangan, pasti dia tidak akan mencuri dengan sewenang-wenangnya.
Masyarakat tidak faham kerana kekurangan maklumat mengenai hudud yang menyebabkan timbul pelbagai persepsi negatif terhadap undang-undang ini. Hudud ialah hukum yang sudah ditetapkan Allah SWT dan umat Islam tidak boleh menolaknya.
Oleh itu, masyarakat khususnya orang Islam perlu melihat hudud dari aspek positif sebagai penyelesaian terhadap masalah sosial yang kian meruncing masa kini seperti isu pembuangan bayi, kelahiran anak luar nikah, jenayah samun, ragut, rompak serta masalah murtad dan lain-lain.
Secara asasnya, hukuman jenayah Islam terbahagi kepada tiga iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud berasal daripada perkataan ‘hadd’ yang bererti larangan. Hukuman hudud ditentukan oleh syarak yang mana ia tidak boleh ditambah mahupun dikurangkan hukumannya.
Jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman memabukkan, merompak dan murtad.
Bagi kesalahan zina, hukuman yang telah ditetapkan kepada penzina yang sudah atau pernah berkahwin ialah rejam seperti disabitkan oleh sunnah, manakala bagi yang belum berkahwin, dikenakan 100 kali sebatan.
Hukuman tuduhan zina, jika yang menuduh gagal membuktikan kesahihan dakwaannya, maka dikenakan hukuman sebanyak 80 kali sebatan dan hak pesalah dari segi kesaksian turut digugurkan kecuali jika dia bertaubat.
Bagi kesalahan mencuri, hukuman yang ditetapkan ialah memotong tangan (pergelangan tangan) sementara kesalahan meminum minuman memabukkan dikenakan 40 kali sebatan berdasarkan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik.
Jenayah merompak, iaitu serangan bertujuan merampas harta, membunuh atau menakut-nakutkan dengan cara terang-terangan hukumannya mengikut kategori kesalahan sama ada serangan dilakukan dengan membunuh dan merompak harta, atau membunuh saja.
Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat.
Bagaimanapun, perlu difahami hukuman tidak dikenakan dengan sewenang-wenangnya kerana pemakaian hukuman hudud berdasarkan pendakwaan dan pembuktian yang digariskan mengikut setiap kesalahan jenayah.
Pembuktian hudud sangat ketat dengan mengambil kira kriteria saksi, bilangan saksi dan aspek lain sehingga boleh membuktikan sesuatu jenayah itu berlaku. Jika pembuktian berjaya dilakukan tanpa sebarang keraguan dan setelah disabitkan kesalahan, hukuman hendaklah dilaksanakan. Namun harus diingat, pembuktian hendaklah melampaui keraguan yang munasabah bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: “Hudud tertolak dengan ada syubhah atau keraguan.”
Jika ada keraguan, kemungkinan hukuman yang akan dijatuhkan bukan hudud tetapi hukuman takzir. Kes zina pembuktian sangat ketat serta memerlukan empat saksi yang melihat perlakuan itu dengan syarat tertentu sebelum hukuman dikenakan terhadap tertuduh.
Enakmen jenayah syariah negeri memang ada akta kesalahan hudud seperti kesalahan minum minuman memabukkan, namun hukuman dikenakan ialah takzir atas kekangan undang-undang sedia ada.
Untuk melaksanakan hukuman hudud, pindaan undang-undang terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1988 perlu dilakukan tanpa memerlukan pindaan kepada kanun keseksaan secara keseluruhan.
Jika hukuman ini dilaksanakan beberapa kajian perlu dilaksanakan dengan teliti dari sudut pendakwaan, pembuktian, cara melaksanakan setiap hukuman, pihak yang melaksanakan hukuman (tukang sebat, orang yang memotong tangan dan sebagainya) bagi mengelakkan permasalahan serta tohmahan di kemudian hari.
Masyarakat juga perlu diberi kefahaman supaya tidak takut pelaksanaan hudud. Hukuman sebat dalam Islam berbeza dengan hukuman sebat diamalkan di Mahkamah Sivil. Semua itu perlu dijelaskan dengan terperinci supaya jenayah undang-undang Islam dapat difahami dengan jelas.
Penulis, Mohamad Isa Abd Ralip ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Petikan : BHarian 05/10/2011
Jumaat, September 23, 2011
16 alasan fasakh

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Sedikit perkongsian yang diperolehi dari SuzanaGhazali dari yahoo egrup kelab-bersamasuzana.
Ada yang emel dan SMS minta saya jelaskan mengenai 16 alasan fasakh seperti yang saya sebutkan dalam Wanita Hari Ini pada 20 Sept lalu. Saya kongsikan petikan buku saya, BUATMU WANITA. Nasihat saya, untuk lebih jelas, dapatkan buku tersebut melalui Buku Prima atau dari Karangkraf Mall.
Semua Undang-undang Keluarga Islam yang digubal sejak tahun 1983 mengiktiraf hak seorang isteri iaitu dibenarkan memohon fasakh di Mahkamah Syariah atas satu atau beberapa alasan yang telah disenaraikan dan diperuntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam di tiap-tiap negeri. Walau berbeza ayat atau seksyen, maksud bagi peruntukan-peruntukan ini adalah sama.
Sebagai contoh, seksyen 52, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan memperuntukkan: seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang yg dinyatakan.
Mari kita teliti satu persatu alasan fasakh dan pembuktian yang perlu dikemukakan:
1. tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;-
Bagi kes seperti ini, kehilangan suami perlu dilaporkan ke Balai Polis yang berhampiran terlebih dahulu. Isteri juga perlu kemukakan bukti atau saksi yang boleh memberikan pengakuan mengenai kehilangan suami atau suami tidak pernah menghubungi isteri sejak tempoh kehilangan. Isteri juga perlu kemukakan bukti atau saksi yang dapat membuktikan usaha pencarian yang tidak berhasil kerana hakim yang mengadili kes berdasarkan alasan hilang ini, akan mengambil kira usaha mencari yang dilakukan oleh isteri, bagi memberikan keadilan yang saksama kepada kedua-dua pihak.
Ada kes suami yang hilang akal disebabkan kemalangan tetapi dikatakan hilang oleh isteri setelah usaha mencari dilakukan. Selepas kes fasakh diluluskan dan si isteri berkahwin dengan lelaki lain, tiba-tiba si suami muncul. Seakan kisah drama tetapi ia adalah kisah benar. Yang dapat saya katakan hanyalah, setiap yang berlaku adalah kehendak-Nya dan ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku.
2. suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;-
Bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan bukti berupa daftar wang keluar daripada akaun isteri sendiri atau resit perbelanjaan menggunakan wang isteri. Jika isteri sendiri tidak bekerja dan terpaksa berhutang bagi menampung perbelanjaan kesan kecuaian atau kegagalan suami menunaikan tanggungjawab maka dokumen catatan hutang atau kenyataan pemberi hutang perlu dikemukakan sebagai bukti kes. Perlu diingat, tiga bulan yang diambil kira ialah tiga bulan yang berturut-turut dan bukannya yang berselang.
Ada kes permohonan fasakh menggunakan alasan ini ditolak oleh hakim apabila suami berjaya membuktikan dia tidak cuai tetapi telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah isteri selama tempoh tiga bulan disebabkan tidak mempunyai sumber pendapatan dan dia telah berusaha tetapi belum berjaya malah suami tidak pernah gagal atau cuai sebelum ini. Nasihat saya kepada para isteri, berhati-hati di dalam tindakan anda. Ada kes isteri yang sengaja mencari peluang kegagalan suami menunaikan tanggungjawab sedangkan hakikatnya kasih telah berpaling kepada lelaki lain. Ingatlah! Undang-undang untuk menjaga kebajikan anda dan bukan untuk anda mengambil kesempatan.
3. suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;-
Bagi kes seperti ini, isteri perlu menunggu hingga hukuman penjara itu dikemukakan dan suami telah pun menjalani sekurang-kurangnya satu tahun daripada tempoh hukuman tersebut. Mahkamah tidak akan mengeluarkan perintah fasakh kecuali syarat tersebut telah dipenuhi.
4. suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;-
Saya selalu menerima soalan berkaitan alasan ini, bagaimana nak buktikan? Isteri boleh mengemukakan bukti lisan daripada doktor bagi mengesahkan dakwaannya. Mungkin ada yang malu untuk berbuat demikian namun harus diingat, tiada istilah malu atau segan jika benar anda inginkan hak anda.
5. suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;-
Bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan bukti perubatan tentang sakit si suami. Jika suami menentang dakwaan isteri, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan suatu perintah meminta suami memuaskan hati Mahkamah dengan mengemukakan bukti dia tidak lagi mati pucuk, dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah tersebut. Jika suami berjaya memuaskan hati Mahkamah, permohonan isteri akan ditolak sebaliknya jika tidak, permohonan akan diluluskan.
6. telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;-
Bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan bukti perubatan tentang sakit si suami. Biasanya bukan sekadar bukti dokumentasi atau laporan perubatan tetapi isteri perlu kemukakan kenyataan lisan daripada pakar atau doktor berkenaan.
7. isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;-
Bagi kes seperti ini, bukti yang perlu dikemukakan ialah surat akuan nikah yang menyatakan tarikh nikah sebelum si isteri mencapai umur baligh dan perakuan daripada wali mujbir yang bertanggungjawab. Sama seperti kes suami tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun, kes ini juga memerlukan isteri mengemukakan akuan lisan doktor yang memeriksanya.
8. suami menganiayainya, iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; -
Bagi kes seperti ini, isteri yang dipukul atau didera perlu melaporkan kejadian pukul tersebut kepada pihak polis. Isteri juga perlu segera dapatkan rawatan doktor dan nyatakan dengan telus mengenai kejadian yang berlaku. Ada kes isteri yang enggan membuat laporan polis malah menipu ketika pemeriksaan doktor. Kesannya kes menjadi sukar kerana tiada bukti yang boleh dikemukakan bagi menyokong kes.
Ada isteri yang bimbang akan dipukul lebih teruk jika membuat laporan polis. Saya faham kebimbangan anda tetapi itu bukan jaminan anda tidak dipukul lagi oleh suami. Sebaiknya anda bertindak sejak awal, bukan tunggu keadaan menjadi lebih parah. Saya akan bincangkan dengan lebih terperinci dalam fasakh kerana keganasan yang berlaku dalam rumahtangga- selepas ini.
9. suami menganiayainya, iaitu berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; -
Bagi kes seperti ini, isteri boleh kemukakan bukti berupa gambar tetapi perlu juga ada saksi yang menyokong fakta kes.
10. suami menganiayainya, iaitu cuba memaksa isteri hidup secara lucah; -
Bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.
11. suami menganiayainya, iaitu melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; -
Bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan bukti dokumentasi pelupusan harta atau kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.
12. suami menganiayainya, iaitu menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;-
Bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.
13. suami menganiayainya, iaitu jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;-
Bagi kes seperti ini, isteri perlu dokumen berkaitan dan kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.
14. walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;-
Sama seperti kes suami tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun, kes ini juga memerlukan isteri mengemukakan akuan lisan doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atasnya.
15. isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak; dan
16. pada masa perkahwinan itu, isteri sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
- bagi kedua-dua kes seperti ini, isteri perlu dokumen berkaitan dan kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.
Perkara paling penting yang perlu dititikberatkan semasa permohonan ialah jelaskan keseluruhan fakta kes dan jangan berselindung. Pastikan saksi anda ialah saksi yang melihat atau mendengar sendiri perkara berkaitan permohonan anda dan bukannya saksi yang mendengar luahan perasaan anda semata-mata. Saksi sebegini tidak akan membantu kes anda. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang saksi, cukuplah Allah SWT sebagai saksi dan nyatakan sumpah anda sungguh anda bercakap benar. Berusaha, berdoa dan bertawakallah kerana Allah SWT tidak akan menganiayai hamba-Nya yang tidak berputus asa.
Sumber : SuzanaGhazali
Ahad, Ogos 21, 2011
Pinda akta kes berkaitan asid
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kita dikejutkan lagi dengan jenayah‘simbah’ asid lagi. Belum pun sempat dengar atau baca berita tentang lelaki bermotosikal yang dikatakan menyerang mangsa secara rawak, kali ini ada penyerang asid yang baru pula muncul.
Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini. Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi.
Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.
Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran rupa bentuk fizikal suspek.
Biarlah polis membuat kerja yang diamanahkan kepada mereka. Sekiranya ada yang mahu memberikan maklumat tentang serangan ini, boleh hubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999.
Penguatkuasaan akta dan hukuman dikenakan kepada pesalah simbah asid yang digunapakai pihak berkuasa sudah tidak lagi relevan berikutan kejadian serangan asid terhadap orang awam, khususnya wanita dan kanak-kanak, semakin berleluasa sekarang. Penjara 3 tahun dan denda RM1,000 terlalu ringan berbanding derita mangsa.
Tegas Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya ke atas pesalah seperti termaktub mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan adalah satu bentuk hukuman yang terlalu ‘ringan’ dan tidak setimpal dengan penderitaan serta kesengsaraan dialami mangsa.
Sewajarnya, hukuman untuk penjenayah asid ini disemak-semula. Tan Sri Lee Lam Thye menggesa akta dan bentuk hukuman itu dikaji dan perlu diperhalusi semula kerana ia membabitkan kesalahan jenayah dan nasib mangsa yang menderita. Akta yang sedia ada sudah ketinggalan dan hukuman lebih berat perlu dikenakan ke atas pesalah demi menegakkan keadilan selain membela individu yang teraniaya.
Dalam kejadian terbaru, Rafi Abdul Latiff, 28, disimbah asid ketika menunggu rakan di dalam kereta di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raya Laut selepas membeli-belah persiapan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman jam 1.10 pagi pada 8 Ogos lalu.
Kejadian itu turut membuktikan penyerang simbah asid itu kini semakin agresif dan tidak hanya menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa. Orang ramai diminta supaya lebih sensitif dan peka kepada persekitaran mereka khususnya di tempat awam.
Selain peka kepada individu yang tidak dikenali dengan gelagat yang mencurigakan, langkah keselamatan seperti memilih untuk berjalan melawan arus di kaki lima jalan raya wajar dipraktikkan orang ramai.
Cermin sisi kenderaan perlu sentiasa dipantau bagi mengenal pasti individu yang berada di sisi kenderaan dan jangan memberikan sebarang respon sekiranya diminta untuk berbuat demikian oleh individu tidak dikenali.
Walau bagaimana pun, di SUBANG JAYA, polis tidak berhasrat mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mengharam atau mengetatkan penjualan asid kepada orang awam yang dianggap sesetengah pihak mampu menangani kes simbah asid, termasuk bagi tujuan jenayah yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata mustahil bagi polis mengemukakan cadangan itu kerana asid mempunyai pelbagai kegunaan tertentu secara sah yang mana pengharamannya akan menimbulkan masalah lain pula.
Di KOTA KINABALU, polis menyifatkan kejadian seorang gadis menghadapi risiko buta akibat terkena ‘tembakan’ cecair dipercayai mengandungi asid dari pistol mainan seorang lelaki Rabu (17/08/2011) lalu, sebagai kes terpencil.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Khidmat, Kolombong, dekat sini, itu adalah pertama di Sabah dan bukan bersifat serangan rawak terhadap orang ramai seperti yang berlaku di Semenanjung.
Bagaimanapun, polis masih menyiasat motif kejadian. Kes ini membabitkan seorang gadis saja yang disimbah cecair. Cecair itu sudah dirujuk ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, selain cedera di mata, Ling Siew Teen, 22, turut melecur di pipi, hidung, bibir dan dagu berikutan terkena cecair dipercayai air dicampur asid yang 'ditembak' ke mukanya.
Ahmad Sofi meminta orang ramai tidak membuat andaian kerana siasatan masih dijanlankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.
Laman-Seri : Dah lama dah jenayah simbah asid ni... pelik benar polis ambil masa yang laaaaaamaaaa untuk menangkap penjenayah... :(
Petikan : BHarian 20/08/2011 dan HMetro
Rabu, Mei 18, 2011
Skim Bantuan Guaman Syarie bantu asnaf tuntut hak

MAIWP, PGSM pastikan individu tidak mampu bayar khidmat peguam dapat pembelaan
TIDAK semua pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mampu melantik peguam bagi mengendalikan kes mereka. Justeru, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bekerjasama dengan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menubuhkan Khidmat Bantuan Guaman untuk memberi bantuan guaman kepada pihak yang memerlukan.
PGSM dan Bahagian Baitulmal MAIWP memulakan usaha murni itu sejak 2009. Hasil kerjasama itu, PGSM secara khusus menubuhkan Biro Guaman Syarie yang dikendalikan seorang exco untuk menyelaraskan pengendalian kes yang diberi Bahagian Baitulmal MAIWP.
Tugas itu termasuk melantik peguam syarie dalam kalangan ahli PGSM yang beramal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengendalikan kes, memantau perjalanan kes dan memaklumkan Bahagian Baitulmal MIAWP sama ada kes berjaya diselesaikan di mahkamah atau tidak.
Setakat ini PGSM sudah menerima lebih daripada 61 kes syariah daripada Bahagian Baitulmal MAIWP. Sebanyak 25 fail sudah ditutup sama ada kes diselesaikan menerusi perbicaraan di mahkamah atau diselesaikan menerusi persetujuan kedua-dua pihak. Ternyata usaha murni yang didukung sepenuhnya oleh peguam syarie ini telah membuahkan hasil walaupun yuran guaman ditetapkan rendah.
Apa yang penting bagi peguam syarie adalah usaha membantu golongan memerlukan dapat direalisasikan menerusi kerjasama PGSM dan Bahagian Baitulmal MAIWP.
Bahagian Baitulmal MAIWP telah mengambil tindakan pertama dan seumpamanya di negara ini dengan mewujudkan Skim Bantuan Guaman Syarie sebagai skim bantuan kepada asnaf yang layak menerima bantuan zakat.
Tujuannya untuk membantu umat Islam yang menghadapi masalah pendakwaan atau tuntutan di Mahkamah Syariah. Pihak yang boleh memohon bantuan guaman syarie terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, mualaf, al-Gharimin (orang yang berhutang), Ibnu Sabil, Fisabillah dan ar-Riqab.
Penerima bantuan perlu memenuhi syarat umum dan khusus untuk melayakkan mereka menerima bantuan zakat iaitu beragama Islam, warga negara Malaysia dan bermastautin di Wilayah Persekutuan tidak kurang setahun.
Baitulmal MAIWP juga menetapkan pendapatan bawah RM1,500 sebulan sebagai kelayakan menerima Skim Bantuan Guaman Syarie. Namun, ia masih tertakluk kepada siasatan dan temu duga yang akan dijalankan pegawai Bahagian Baitulmal MAIWP.
Bahagian Baitulmal akan membuat siasatan dan temu duga bagi menentukan kelayakan menerima Skim Bantuan Guaman Syarie dan setelah diluluskan.
Peguam syarie yang dilantik mengendalikan kes akan menyediakan laporan awal kepada PGSM dan Bahagian Baitulmal berkenaan jenis tuntutan dan seterusnya mengendalikan kes sehingga selesai sama ada menerusi perbicaraan atau penyelesaian di luar mahkamah.
Adalah menjadi harapan PGSM supaya Majlis Agama Islam Negeri turut mengikut jejak langkah Bahagian Baitulmal MAIWP mewujudkan satu skim bantuan guaman syarie di setiap negeri untuk membantu umat Islam menyelesaikan masalah pendakwaan atau tuntutan di Mahkamah Syariah.
Antara kes yang dikendalikan adalah perceraian secara fasakh atau taklid, tuntutan harta sepencarian, tuntutan mutaah, nafkah diri dan nafkah anak, tuntutan hutang semasa perkahwinan, tuntutan nafkah diri dan anak yang tertunggak, pendakwaan berkenaan kesalahan jenayah syariah dan tuntutan mengikut bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kepelbagaian tuntutan ini juga tertakluk kepada kelayakan khusus yang ditetapkan Bahagian Baitulmal, MAIWP.
Mereka yang layak menerima zakat juga tidak dinafikan hak mendapatkan keadilan di Mahkamah Syariah, bahkan mereka dibantu oleh peguam yang berpengalaman untuk memperoleh keadilan dan hak yang dinafikan sebelum ini.
Mungkin ramai masih belum tahu adanya perkhidmatan disediakan ini, sedangkan mereka layak menerima bantuan guaman syarie bagi mendapatkan hak di Mahkamah Syariah tanpa perlu memikirkan bagaimana untuk mengendalikan tuntutan, perbicaraan dan bayaran yuran guaman.
Maklumat mengenai Skim Bantuan Guaman Syarie boleh diperoleh dengan menghubungi Bahagian Baitulmal MAIWP di talian 03-26175222 atau layari laman web www.maiwp.gov.my.
Penulis, Mohd Tajuddin Abd Razak ialah Exco Biro Guaman Syarie Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), artikel dipetik dari BHarian 18/05/2011.
Jumaat, Mac 04, 2011
Sijil Faraid elak pertikai status, hak waris

Penting untuk pastikan hanya waris berhak menerima pusaka dengan kadar ditetapkan berasaskan ketetapan Allah SWT
HUKUM faraid adalah ketetapan Allah yang merujuk kepada pembahagian pusaka menurut Islam dan untuk orang Islam saja. Hukum faraid hanya membicarakan harta pusaka yang ditinggalkan oleh orang Islam yang sudah meninggal dunia. Harta pusaka dimaksudkan adalah semua harta membabitkan harta alih dan harta tak alih yang dimilikinya secara sah sehingga seseorang itu meninggal. Perkara berkaitan harta sudah diperjelas dalam siri sebelum ini.
Penting bagi orang Islam untuk tidak mengambil mudah perkara membabitkan cara mengguna pakai atau membelanjakan harta pusaka walaupun apa juga nilai atau jumlahnya kerana harta berkenaan milik ahli warisnya.
Harta pusaka akan dibahagikan kepada waris yang berhak sama ada secara persetujuan bersama ataupun melalui hukum faraid. Pembahagian membabitkan hukum faraid adalah pembahagian mutlak hanya kepada waris yang berhak sebagai jalan keluar jika berlaku pertikaian dalam kalangan waris. Oleh itu, penting untuk memastikan hanya waris yang berhak menerima pusaka dengan kadar ditetapkan berasaskan ketetapan Allah SWT.
Justeru, apabila pembahagian sudah dibuat dan dilaksanakan, semua waris wajib menerima dengan hati ikhlas, reda dan bersyukur. Ini kerana masalah perebutan pusaka yang berpanjangan akhirnya meruntuhkan jalinan kekeluargaan. Keadaan buruk ini turut membawa kepada kesengsaraan waris terutama kanak-kanak yang menjadi mangsa keadaan dan tidak berdaya.
Perkara yang lebih mendukacitakan apabila tuntutan hak dan keadilan daripada waris yang berhak terhadap pusaka si mati terus diabaikan atau dilupakan. Di AmanahRaya, prosedur sudah dirangka supaya perkara seperti itu dapat diuruskan dengan baik demi kebajikan semua waris.
Ada kes, tidak diketahui sama ada dilakukan secara sengaja atau sebaliknya, waris yang berhak tidak mendapat pusaka mereka. Alasannya, kewujudan mereka tidak diketahui. Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk memastikan keadilan dilaksanakan?
Di peringkat waris si mati sendiri perlu bersikap matang, tulus, ikhlas dan amanah apabila menyelesaikan pusaka. Waris boleh mencuba menggunakan pendekatan positif dan sihat secara bermuzakarah jika terdapat perbezaan pendapat atau rasa ketidakpuasan hati. Di saat genting begini adalah kritikal bagi waris sentiasa bekerjasama dan komited ke arah penyelesaian segera pusaka di semua peringkat terutama untuk mendapatkan Sijil Faraid dan pentadbiran pusaka.
Kini, waris yang mahu menyelesaikan pentadbiran pusaka perlu mendapatkan Sijil Faraid dan menyerahkannya kepada pentadbir atau wasi bagi tujuan pembahagian pusaka kepada waris yang berhak.
Sijil Faraid berupaya mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini antaranya penipuan kepada senarai waris yang berhak, penganiayaan hak waris, perbalahan dan manipulasi sesama anggota waris kerana di dalamnya tercatat butiran waris dan bahagian yang akan diterimanya.
Mengikut seksyen 51, Enakmen 3 Tahun 1991, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 menetapkan Mahkamah Syariah diberi hak dan bidang kuasa untuk menentukan cara pembahagian harta pusaka kepada ahli waris menurut hukum Islam supaya hak waris terjamin.
Bagi tujuan itu, sistem pengiraan dan pembahagian faraid menyeluruh dibangunkan untuk membantu memudahkan dan mempercepatkan proses berkenaan.
Sistem itu akan membuat pengiraan dan pembahagian dengan kadar yang tepat secara automatik untuk ahli waris yang disahkan status serta kedudukannya.
INFO: Permohonan Sijil Faraid membabitkan:
* Pemohon perlu mengemukakan permohonan.
* Terima permohonan, disemak dan jika lengkap terima dan daftar.
* Siasatan waris dijalankan pada hari pendaftaran atau pada hari lain yang ditetapkan.
* Apabila siasatan selesai, pengiraan dibuat.
* Dapatkan sijil dalam masa lima hari selepas siasatan ahli waris selesai.
* Pemberitahuan akan dibuat pada hari siasatan selesai.
Dokumen yang diperlukan:
* Borang permohonan yang lengkap
* Salinan kad pengenalan waris/sijil kelahiran atau surat akuan
* Salinan geran harta/buku akaun/penyata
* Sijil nilaian harta jika ada
* Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka (RM30.00/RM20.00/RM10.00)
Petikan : BHarian 04/03/2011
Rabu, Februari 02, 2011
Nikah ikut undang-undang jamin hidup harmoni

Lelaki, wanita yang ingin berkahwin perlu patuh prosedur elak rumahtangga berantakan
Beberapa minggu yang lalu, dilaporkan isteri kedua menyerang isteri pertama. Sebelum itu, berlaku kejadian isteri pertama menyerang isteri kedua dan meminta cerai dari suaminya yang bernikah seorang lagi di selatan Thailand.
Kemudian ada pula laporan isteri kedua dipukul dan dicederakan suami yang dinikahinya pertengahan tahun lalu di selatan Thailand tetapi tidak didaftarkan sehingga sekarang. Inilah beberapa insiden akibat pernikahan dilangsungkan tanpa melalui proses undang-undang negara dan pernikahan dilangsungkan dengan mengambil jalan singkat bernikah di selatan Thailand atau di Indonesia.
Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW yang sangat dituntut. Matlamat perkahwinan untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat rahmat serta keredaan Allah mengikut garis panduan ditetapkan hukum syarak.
Hikmah perkahwinan juga untuk mencegah daripada melakukan perkara haram, memelihara kesucian keturunan, menghubungkan silaturahim, membentuk keluarga dan menyusun masyarakat.
Namun apa yang berlaku, dalam kes dipaparkan atau ditatap di dada akhbar setiap hari, terbukti perkahwinan bertentangan undang-undang tidak memenuhi kehendak dan matlamat perkahwinan diharuskan dalam Islam. Oleh itu, atas dasar menjaga maslahah ummah dan kepentingan masyarakat terutama wanita, maka undang-undang memperuntukkan perkahwinan poligami, perkahwinan bawah umur, perkahwinan bagi perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, wali ghaib atau wali enggan, hendaklah melalui proses mahkamah.
Mereka yang menghadapi masalah begitu perlu mendapat kebenaran dari Mahkamah Syariah terlebih dulu sebelum melangsungkan pernikahan.
Seksyen 23 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan: “Tiada seorang pun lelaki, semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dulu secara bertulis daripada mahkamah, membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain atau perkahwinan yang dikontrakkan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan di bawah akta ini.”
Seksyen 18 (1) (a) akta sama memperuntukkan: “Dalam mana-mana kes berikut, iaitu (a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan dalam Seksyen 8, maka pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17 merujukkan permohonan itu kepada hakim syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.”
Seksyen 18 (2) akta sama memperuntukkan: “Hakim syarie apabila berpuas hati mengenai kebenaran perkara disebutkan dalam permohonan itu dan mengenai sahnya perkahwinan yang dicadangkan dan bahawa kes itu adalah kes yang mewajarkan pemberian kebenaran bagi maksud seksyen 8, atau kebenaran bagi maksud seksyen 14 (3), atau persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakad nikahkan oleh wali Raja bagi maksud seksyen 13 (b), mengikut mana yang berkenaan, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dirujukkan kepadanya, dan setelah dibayar fi ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenaran untuk berkahwin dalam borang ditetapkan.”
Jika perkahwinan bakal dilangsungkan adalah perkahwinan biasa, bukan poligami, wali perempuan masih hidup dan bersetuju dengan pernikahan itu, prosesnya amat mudah di mana pihak berkenaan hanya perlu memohon kebenaran daripada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam di daerah tempat bermastautin, tidak perlu melalui proses mahkamah.
Ada pihak termasuk cerdik pandai agama memberi ulasan kononnya peraturan itu menyusahkan orang yang hendak mendirikan rumah tangga. Mungkin mereka lupa atau terlepas pandang, adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk membuat undang-undang atau peraturan demi menjaga kepentingan rakyat, keharmonian dan kerukunan masyarakat Islam, supaya tidak berlaku insiden seperti dipaparkan.
Seseorang lelaki atau perempuan yang bernikah tidak mengikut undang-undang sebenarnya bukan mengambil jalan pintas, tetapi jalan jauh, berliku-liku dan memenatkan. Suka atau tidak, undang-undang memperuntukkan pernikahan tidak mengikut undang-undang tidak boleh didaftarkan.
Melainkan, perkahwinan itu sudah disahkan oleh Mahkamah Syariah bahawa ia sah menurut hukum syarak dan diperintahkan oleh hakim syarie untuk didaftarkan. Perintah mendaftarkan juga tertakluk kepada hukuman penalti sama ada denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Jadi, mana jalan singkat yang dikatakan itu? Selagi pernikahan tidak disahkan dan tidak didaftarkan, maka tidak ada rekod di negara ini bahawa mereka pernah berkahwin. Apabila berlaku insiden seperti isteri dipukul, tidak diberikan nafkah, dilacurkan dan sebagainya, isteri tidak berhak membuat tuntutan menurut undang-undang.
Begitu juga jika isteri ingin memohon cerai kerana seksyen 45 (a) atau (b) akta memperuntukkan takat kuasa Mahkamah Syariah untuk membuat sesuatu perintah perceraian adalah jika perkahwinan itu didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan mengikut undang-udang dan hukum syarak.
Bagaimana perkahwinan itu sah mengikut hukum syarak jika Mahkamah Syariah belum mengesahkannya?
Isteri berada dalam keadaan terkontang-kanting. Ada kala apabila tuntutan dibawa ke Mahkamah Syariah, mahkamah dipersalahkan padahal ia berpunca kesilapan sendiri lantaran buta kerana cinta menurut kehendak kekasih. Akhirnya, diri sendiri yang merana.
Hakim syarie hanya mengikut peruntukan undang-undang dan perlu meletakkan hukum syarak sebagai undang-undang tertinggi sebelum membuat apa-apa perintah.
Penulis, Musa Awang ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Petikan : BHarian 02/02/2011










