“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Memaparkan catatan dengan label kecantikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kecantikan. Papar semua catatan

Ahad, Februari 12, 2012

Obses kurus



Farahvina Kaur tertekan, degupan jantung rendah gara-gara mahu langsing

“USIA saya hanya 14 tahun apabila rakan sekolah dan saudara mara menegur peha saya besar dan ejek muka saya bulat. Saya tertekan dan berasakan diri tidak sempurna. Setiap kali memandang cermin, saya benci melihat imej badan yang terpampang. Ketika itu, bermulalah keinginan melampau untuk kurus dan melakukan apa saja demi mencapainya. Saya muntahkan makanan dan mula menghukum diri jika gagal menurunkan berat badan.”

Begitulah trauma Farahvina Kaur, 21, ketika berkongsi derita anoreksia dialaminya sejak tujuh tahun lalu, dalam satu pertemuan dengan SIHAT. Anoreksia - masalah tabiat makan celaru yang bukan setakat membabitkan aspek pemakanan tetapi turut menyentuh sudut psikologi penghidapnya.

Mengimbas kembali episod suram itu, Farahvina berkata kerana tidak tahan sering menjadi bahan ejekan, dia berubah menjadi rendah diri dan berasakan diri serba tidak sempurna. Rutin hariannya - mencubit bahagian berlemak di tubuh dan mengukurnya. Bayangkan sejak usianya masih belasan tahun dia sudah mula berjinak-jinak dengan pelbagai cara untuk menghilangkan berat badan tetapi tidak berjaya kerana kurang pengetahuan mengenai cara paling mudah dan berkesan.

“Keadaan bertambah teruk apabila menyertai Latihan Khidmat Negara. Selama tiga bulan, saya memilih untuk mengelak nasi sebaliknya makan empat keping biskut setiap kali waktu makan menyebabkan berat badan turun mendadak daripada 46 kilogram kepada 38 kilogram sejurus tamat latihan,” katanya turut melakukan senaman secara kerap serta hanya memakan gula dalam kuantiti kecil bagi membekalkan tenaga saja.

“Apabila pulang, kulit saya terkena selaran matahari yang teruk membuatkan saya berasa lebih hodoh dan terus hilang selera makan. Saya mula membeli alat penimbang berat badan dan memantau berat setiap masa sehingga mencapai berat paling rendah iaitu 33 kilogram ketika berusia 18 tahun sedangkan ketinggian saya melebihi lima kaki. Sejak itu keluarga dan kawan-kawan mula memberi komen saya terlalu kurus tetapi saya sudah tidak nampak semua itu. Setiap kali sasaran berat badan tercapai, saya rasa saya perlu hilang lebih banyak lagi (berat badan). Entah bagaimana, saya mula menyedari apa yang berlaku sudah tidak normal dan harus menamatkannya. Untuk seketika saya berasa lebih sihat dan berat badan saya meningkat kembali kepada 38 kilogram,” katanya.

Tetapi, malangnya tahun ini, keadaan kembali huru-hara apabila penuntut bidang Pengurusan dan Pemasaran sebuah kolej terkemuka di ibu kota ini tidak berpuas hati dengan berat badannya yang meningkat 43 kilogram.

“Saya sangat tertekan dan mula obses untuk kurus sehinggakan mengikut apa saja teguran orang. Saya jadi orang yang terlalu negatif dan mula membeli buku khusus kalori, semata-mata untuk mengira jumlah kalori diambil setiap hari. Ini termasuklah menyertai laman sembang anoreksia dan obses dengan semua nasihat dan panduan yang diberikan laman web berkenaan. Dalam fikirsan saya tulang adalah satu simbol kecantikan dan lemak adalah lambang kegagalan,” katanya.

Pernah pada satu tahap kronik, Farahvina membuang semua cermin di rumahnya dan mula menghukum diri dengan mencalarkan peha, melakukan senaman berat keterlaluan, melompat, menari dan berlari serta hanya makan sebiji epal, lobak merah dan minuman diet, setiap hari. Makanan yang diambil itu pula biasanya dimuntahkan dan jika boleh, dia cuba mengelak makan. Di kolej pula dia lebih rela menaiki tangga sehingga tingkat 10 setiap hari, tanpa menggunakan lif bagi memastikannya semua lemak badannya dibakar.

“Hanya orang yang mengalami tekanan perasaan dan gangguan mental akan menyeksa tubuhnya begini dan akibatnya saya pernah pengsan di kolej akibat kadar degupan jantung yang rendah. Titik tolak bagaimana saya benar-benar berubah adalah bila orang mula menuding jari menyalahkan ibu bapa saya dengan pelbagai tuduhan. Padahal merekalah orang pertama yang mencuba pelbagai cara untuk memulihkan saya sehinggalah saya bersetuju untuk menjalani rawatan terapi pakar psikologi.”

Selepas dua bulan menjalani rawatan Farahvina merasa gembira, lebih sihat dan berkeyakinan diri. Malah berat badannya pada Julai lalu 28 kilogram kini meningkat 31.15 kilogram.

“Nasihat saya kepada remaja di luar sana, sayangilah diri anda dan lakukan sesuatu yang anda gemar dan kelilingi diri anda dengan insan-insan yang anda sayangi. Remaja masa kini lebih suka menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan, ia merbahaya kerana silap langkah anda yang akan menerima padahnya. Kepada ibu bapa, jadilah sahabat dan juga pembimbing kepada anak-anak, peka dengan perubahan anak-anak dan ambil berat jika anak mula memberi banyak alasan untuk bersendirian serta suka berahsia. Jangan terlalu mendesak mereka dan terimalah mereka seadanya.”

‘Haid terjejas, buah pinggang gagal’

SEPERTI anoreksia, masalah bulimia atau bulimia nervosa juga antara masalah kesihatan akibat tabiat makan yang bercelaru. Pesakit bulimia akan makan makanan kegemaran dalam jumlah banyak dan kemudian memuntahkannya semula.

Malangnya, bukan saja makanan tetapi asid perut turut dimuntahkan bagi memastikan tiada makanan tersisa. Lazimnya penghidapnya bertindak menjolok anak tekak atau menggunakan pelbagai cara seperti julap dan diuretik (buang air besar atau kecil). Ini dilakukan kerana terlalu ingin mengurangkan berat badan dan pada masa sama masih boleh memakan makanan kegemaran mereka.

Menurut Perunding Psikiatri & Hipnoterapi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, bulimia ada beberapa kriteria seperti episod makan berulang-ulang dan berlebihan daripada biasa, dalam jangkamasa singkat).

“Kedua, timbul rasa menyesal selepas makan yang membawa kepada perbuatan memuntahkan semula makanan dengan menjolok anak tekak dan melakukan senaman keterlaluan dan juga berpuasa secara keterlaluan.”

“Ketiga, pesakit bulimia menilai diri, kehidupan dan kecantikan diri hanya berasaskan kepada penampilan, berat badan dan makanan. Mereka hanya memikirkan cara bagaimana untuk mengurangkan berat badan kerana di fikiran diri sentiasa gemuk dan tidak menarik. Keempat, aktiviti harian terganggu kerana gaya hidup yang terlalu berahsia, suka menghilangkan diri kerana mahu memuntahkan makanan menyebabkan mereka kurang bersosial dan kurang berkawan. Malah pesakit ini sanggup mengubah dan menyesuaikan gaya hidup mengikut tabiatnya yang suka memuntahkan makanan,” jelas Daniel ketika ditemui.

Menurutnya, pesakit bulimia boleh dikenali kerana tabiat pemakanan yang celaru memberi kesan paling jelas pada gigi dan mulut. Akibat kerap muntah, berlaku hakisan pada enamel gigi, kerosakan gigi dan jangkitan pada gusi. Tabiat kerap muntah juga menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan garam dalam tubuh (elektrolit). Ia boleh menyebabkan kekejangan dan degupan jantung yang tidak teratur.

“Bulimia akan memberi kesan buruk kepada seluruh tubuh seperti tidak datang haid, cenderung untuk sembelit dan dehidrasi akibat penyalahgunaan diuretik dan laksatif, tinggi kalori dan nutrien dari makanan seperti kek, kuih muih, ais krim dan makanan segera. Kulit kering dan berkedut, kekurangan zat, rambut dan kuku mudah pecah. Malah kekurangan mineral dan vitamin juga boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang.”

Seperti masalah psikologikal lain, bulimia tidak disebabkan oleh satu faktor sebaliknya gandingan beberapa faktor termasuk budaya penjenamaan sosial yang sering dipaparkan media cetak dan elektronik seperti tubuh langsing dan kulit cerah yang dilabelkan sempurna dan ideal.

“Ia membawa pula kepada faktor pencetus yang kerap menimpa peragawati, model dan artis ternama. Ini termasuklah remaja yang baru memasuki usia akil baligh yang sangat rapuh jati diri dan masih mencari identiti. Bayangkan apa kesan komen bersahaja ibu, bapa, rakan atau saudara seperti “peha awak besarlah,” atau “muka awak bulatlah.” ke atas mereka.

Faktor memudaratkan iaitu gemuk adalah hodoh dan kurus adalah cantik, faktor genetik dan faktor gangguan imej tubuh (lebih kepada anoreksia) juga memberikan kesan psikologi kepada pesakit.

Jika dibandingkan dengan aneroksia (pesakit mengelak dari menjamah makanan) bulimia lebih mudah untuk dipulihkan. Pakar psikologi bukan saja perlu menjalankan terapi kepada pesakit tetapi keluarga pesakit juga perlu diberi pengetahuan dan disedarkan mengenai masalah mental yang dilalui pesakit dan bagaimana untuk menghadapinya.

Merawat pesakit bulimia adalah usaha bersama pelbagai pihak. Pakar perlu meyakinkan pesakit bahawa dia perlu percaya, sanggup bekerjasama dan bersifat terbuka untuk pulih sepenuhnya kerana banyak pembaharuan dan perubahan yang perlu dilakukan membabitkan gaya hidup pesakit dan keluarga. Motivasi pesakit perlu dibangunkan kerana untuk pulih ia masih bergantung kepada disiplin dan kekuatan dalaman pesakit

“Pesakit bulimia terlalu tertekan dan sangat beremosi, jadi mengikut fasa tertentu kami mengajar mereka teknik untuk membina harga diri, bertenang, menilai semula cara senaman mereka dan mengubahsuai cara mereka bersenam selepas mengenalpasti masalah psikologikal lain seperti depresi, kegelisahan dan tahap penyalahgunaan bahan diuretik dan julap.




Petikan : BHarian 2011/09/18

Butiran selanjutnya ...

Selasa, November 22, 2011

Tampil anggun beruban



Rambutku memutih: Kenyataan yang tidak dapat ditolak

RAMBUT melambangkan kecantikan seseorang dan kerana itu juga, aliran fesyen rambut masa kini memaparkan tarikan cukup unik bukan saja menerusi potongan tetapi juga pemilihan warna. Lihat saja selebriti Hollywood dan tempatan, tidak lagi janggal memainkan warna berani, daripada hitam bertukar seperti pelangi, termasuk merah jambu, ungu dan ada juga biru.

Jika dahulunya, warna gelap menjadi idaman, kini warna keperangan atau kelabu semakin digilai. Ada juga memilih putih umpama uban untuk kelihatan unik dan bertambah memukau bila dipadankan dengan sentuhan solekan majis serta busana anggun. Mereka cukup berkeyakinan melangkah di hadapan lensa kamera dalam pelbagai acara berprestij.

Selebriti Hollywood yang berusia bangga tampil di khalayak dengan rambut mereka yang memutih. Suka atau tidak, nyata mereka tampak begitu menawan, anggun dalam usia yang matang. Tidak kurang selebriti muda mereka, yang menukar warna rambut kepada putih sekalipun tiada tanda uban mula bertapak di kepala.


Jamie Lee Curtis, Blythe Danner, Helen Mirren, Kate Moss, Nicole Kidman, Lady Gaga serta Gwen Stefani, antara artis Hollywood yang sering dilihat berambut putih. Mereka tetap memukau dengan pilihan warna rambut sedemikian.

Berbeza keadaannya di negara Asia. Rambut bertukar warna kepada putih, bukan sesuatu yang diinginkan, khususnya bagi masyarakat Asia, yang lazimnya berambut hitam. Itu petanda, usia semakin menginjak. Biarpun segelintir individu melihat kehadirannya sebagai lambang kebijaksanaan atau kepemimpinan, ramai melihatnya menjejaskan penampilan diri.

Rambut putih atau uban ibarat igauan ngeri lebih-lebih bagi wanita yang melihat rambut sebagai mahkota kebanggaan, perlu tampak menarik, menawan. Putih ternyata tidak termasuk dalam senarai menawan.

Tidak kira sama ada mereka berperwatakan glamor atau santai, demi rambut wanita sanggup berhabis mendapatkan set penjagaan, termasuk menjalani sesi rawatan di salun rambut semata-mata untuk mengekalkan kesihatan rambut supaya ia sentiasa kelihatan cantik, lembut, bersinar dan bermaya tanpa mengambil kira potongan atau panjangnya.

Seperti kulit wajah, kedutan yang jelas kelihatan boleh berlaku bila anda mula meningkat dewasa. Apa yang membezakannya adalah kedutan pada muka boleh dihilangkan dengan cara suntikan Botox atau pembedahan plastik, tetapi rambut beruban tidak mungkin dihilangkan sama sekali. Masalah itu cuma boleh disembunyikan sementara dengan mewarnakan rambut menggunakan pewarna rambut atau inai.

Malah Islam turut melarang perbuatan mencabut uban. Sabda Rasulullah, “Jangan mencabut uban. Sekiranya seorang Muslim mempunyai uban dalam Islam, Allah akan memberinya satu kebaikan dan menghapuskan satu dosa kerananya.”

Pakar dermatologi dari Universiti Bradford, England, D J Tobin, berkata rambut terhasil dari dua bahagian iaitu batang rambut atau urat rambut, yang melihatkan struktur dan warna rambut serta akar rambut, yang tidak kelihatan menerusi mata kasar kerana terletak dalam kulit kepala.

“Warna rambut yang dimiliki seseorang itu ditentukan bahan kimia melanin dihasilkan oleh beberapa bilangan sel pigmen terbentuk daripada folikel rambut. Setiap akar rambut dikelilingi oleh tiub tisu itu. Eumalinin menjadikan rambut berwarna coklat atau hitam, pheomelanin pula menyebabkan rambut berwarna kekuningan atau merah.

“Eumalinin dan pheomelanin dihasilkan oleh sel melanosit terletak di dalam akar rambut. Melanosit menghubungkan pigmen ini dengan sel dalam kulit iaitu keratinosit, yang menghasilkan protein keratin, juga komponen utama penghasilan rambut.

“Semakin usia meningkat, sel pigmen dalam folikel rambut beransur­ansur hilang. Apabila sel pigmen semakin sedikit, melanin tidak dapat menampung keperluan warna bagi setiap urat rambut menyebabkan terhasilnya rambut berwarna cerah sama ada kelabu, perang atau perak. Fasa terakhir, semua rambut bertukar menjadi putih selepas pigmen tidak lagi menghasilkan melanin,” katanya.

Menyambung penjelasan, katanya, masalah uban juga boleh terjadi disebabkan keturunan atau genetik dan faktor ini tidak boleh diubah. Mereka yang tergolong dalam kategori ini, kata Tobin, perlu bersedia menerima kehadiran uban itu yang lazimnya kelihatan pada awal usia remaja. Banyak faktor boleh mempengaruhi uban dan ia boleh berlaku pada setiap peringkat usia. Selain genetik, kehadiran uban juga disebabkan gaya hidup, diet atau masalah kesihatan dan pengambilan ubat yang berlebihan di samping tekanan.

“Gaya hidup yang tidak teratur boleh menyebabkan uban terjadi dengan lebih cepat dari yang sepatutnya. Kurangnya pengambilan gizi makanan seimbang juga menyumbang kepada faktor terjadinya uban ini. Vitamin A serta serat amat penting untuk memastikan sel kulit, termasuk melanin terus menjalankan fungsinya. Tabiat merokok, minum alkohol dan juga tekanan adalah antara faktor yang dikenali sebagai menyumbang kepada pertumbuhan uban. Di samping itu, perubahan semula jadi atau peningkatan umur menjadi faktor normal. Mereka dalam lingkungan 45-50 tahun akan mengalami masalah uban, pada usia sebegini uban tumbuh kerana sel melanin mula merosot dan dan juga kulit mengalami proses penuaan,” katanya.

Tambahnya lagi, rambut beruban sebenarnya tidak boleh dicabut walaupun sering dilakukan oleh kebanyakan orang. Mencabut uban rambut akan merosakkan liang di sekitar folikel rambut hingga mengganggu saraf akar rambut. Perbuatan ini bukan saja tidak berkesan dalam menangani masalah uban malah mendedahkan diri kepada risiko menghadapi penyakit botak atau alocepia areata.

Jelasnya, cara paling mudah untuk menyembunyikan kehadiran uban adalah dengan mewarnakan rambut namun ia perlu dilakukan secara berulangan dan mengambil kos yang tinggi jika dihitung semula.

Sejajar dengan masalah itu, teknik terkini dikatakan berkesan adalah menerusi rawatan akupunktur. Rawatan ini menggunakan jarum khas bagi mengatasi uban di kepala. Jarum halus ditusuk ke bahagian kepala, kemudian disambungkan dengan kabel aliran elektrik selama 30 minit.

Selain mengaktifkan penghasilan melanin, rawatan akupunktur di bahagian kepala juga memberikan rangsangan di kulit kepala sekitar uban rambut. Malah aliran darah juga lancar sekali gus mengatasi masalah sakit kepala.

Selain itu, pengambilan nutrisi seimbang, katanya dapat membantu melewatkan kehadiran uban. Pemilihan makanan berprotein tinggi mampu membantu sistem pembinaan sel berlaku secara berkesan. Buah-buahan dan sayuran juga perlu untuk memelihara tubuh lebih sihat.

Katanya, perubahan kepada gaya hidup sihat juga dapat membantu melambatkan proses itu berlaku. Bersukan secara berkala atau berjadual boleh melambatkan uban kerana perpeluhan yang berlaku boleh menyingkirkan lemak dari bahagian kelenjar dan bawah kulit.

“Uban sememangnya tidak boleh dihalang kerana ia adalah perubahan semula jadi yang berlaku pada setiap insan. Di samping mengambil langkah mudah untuk menyembunyikannya, adalah baiknya jika anda mula mengamalkan amalan sihat yang juga memberikan manfaat kepada tubuh dan kesihatan anda.

“Cuba ubah pola pemakanan dan diet harian kepada pengambilan makanan yang nutrisi tinggi sekali gus berzat. Elakkan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan cuba lakukan senaman ringan setia hari walaupun sekejap. Peluh yang keluar akan membantu kulit bernafas dan mengeluarkan kotoran dari dalam kulit.

“Paling penting mesti sentiasa ceria dan jauhi tekanan. Ia menyebabkan perasaan dan aliran emosi terganggu dan secara tidak langsung membantutkan sistem normal badan kita,” katanya.

Panduan kekal anggun berambut putih

Pastikan rambut kekal sihat.

* Tekstur rambut berubah apabila ia kehilangan warna. Selalunya, rambut menjadi lebih kasar dan kering. Pastikan rambut sentiasa dicuci menggunakan syampu dan perapi dengan pelembap bagi memastikan rambut putih anda tetap berkilat dan berseri.

* Lakukan rawatan pupur rambut.

* Mengamalkan pemakanan sihat

Minum banyak air

* Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari bagi melancarkan sistem penghadaman. Sistem penghadaman yang tidak berfungsi dengan baik akan menjejaskan seri rambut.

* Ambil makanan tambahan (suplemen) yang membantu menyihatkan rambut

Ubah warna solekan

* Uban menyebabkan wajah nampak pucat. Pastikan warna solekan dapat menonjolkan ton kulit muka dan meningkatkan seri wajah.

Beri tumpuan pada penjagaan kulit muka

* Rambut putih yang berkilau dan kulit wajah yang sihat, muda remaja adalah gabungan terbaik. Ia membuatkan anda tampak lebih anggun.

Dapatkan potongan rambut baru

* Ubah gaya rambut sesuai dengan rambut yang memutih. Anda akan tampil lebih bergaya dan anggun beruban jika memiliki gaya potongan yang betul.

Info:

Melanin adalah punca terbentuknya kepelbagaian warna pada rambut. Melanin di akar rambut sama fungsinya dengan melanin di kulit, iaitu menjadikan warna kulit cerah ataupun gelap. Cuma melanin tidak dikawal oleh sumber khas seperti kelenjar. Melanin pada rambut dihasilkan khusus untuk rambut. Disebabkan itu kita melihat sekiranya rambut bertukar menjadi putih, bulu badan lain masih kekal berwarna hitam. Rambut hitam atau putih adalah bergantung pada jumlah melanin yang terkandung pada setiap akar rambut.




Sumber : Fatin Hafizah Mohd Shahar [fatin@bharian.com.my] di BHarian 21/11/2011

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails