
Sumber : MW#1478



Kebahagiaan rumahtangga bukanlah bergantung pada kekuatan cinta semata-mata. Ada banyak lagi aspek kekuatan yang perlu ada pada pasangan agar rumahtangga yang dibina utuh dan berkekalan hingga ke akhirnya.
Bagi yang belum berumahtangga maka persiapkan diri dengan kekuatan ini. Buat yang sudah berkahwin tiada salahnya menilai diri sama ada punya semua kekuatan ini dalam melayari rumah tangga.
1. Kekuatan fikiran
Sedarkah bahawa cinta bermula dari fikiran. Pastinya kita terfikir untuk mencari pasangan yang menepati cita rasa dan sudah tentu kriteria cantik, bijak, beragama dan penyayang menjadi pilihan. Secara tidak langsung, berfikir tentang hal-hal sebegini membuatkan anda lebih mengenali pasangan tanpa anda mengetahui siapakah individu yang dicari. Bersandarkan dari pencarian tersebutlah maka anda akhirnya dipertemukan dengan calon yang diinginkan.
2. Kekuatan melalui pemberian
Dalam percintaan dan rumahtangga perlu ada tolak-ansur, kerjasama dan kesepakatan. Sekiranya ingin mendapatkan cinta maka anda terlebih dahulu perlu memberinya. Lebih banyak cinta yang diberi maka lebih banyaklah cinta yang anda peroleh. Usah kedekut berkongsi kasih sayang kerana lama kelamaan keindahannya pasti dirasai. Sedar tak sedar bercinta juga membuka peluang untuk anda lebih bersemangat untuk melakukan pelbagai kebaikan.
3. Kekuatan melalui persahabatan
Mendapatkan cinta yang sejati bukanlah semudah memperoleh cinta monyet. Banyak rintangan dan dugaan yang harus ditempuhi. Kerana itulah jalinan persahabatan diperlukan meskipun anda telah mengikat jalinan perkahwinan dengan pasangan. Belajarlah untuk menjadi kekasih dan sahabat yang baik kerana cinta tidak semestinya pandangan mata yang turun ke hati tetapi lebih kepada kebersamaan ke arah satu tujuan.
4. Kekuatan untuk melepaskan
Tiada apa yang kekal di dunia ini melainkan Dia Yang Maha Berkuasa. Untuk itu belajarlah untuk melepaskan kerana dia bukanlah milikmu yang abadi. Dalam percintaan anda perlu miliki ruang untuk diri sendiri. Ruang untuk mencintai diri sendiri serta ruang untuk belajar memperbaiki diri. Disebabkan itu, sebelum mencintai orang lain cubalah belajar menjadi seorang yang memaafkan dan lupakan kisah silam hitam dalam hidup masing-masing. Dalam erti kata lain cuba melepaskan perasaan takut, curiga, ego, syak wasangka dan segala yang negatif dalam hidup anda dan dirinya.
5. Kekuatan ingin menghormati
Anda bukanlah pencinta yang baik sekiranya tidak mampu menghormati pasangan yang dicintai. Namun perlu diingat, individu pertama yang perlu diberi penghormatan adalah diri sendiri dan selepas itu barulah orang lain. Tanyakan pada diri apakah perkara yang membuatkan anda ingin dihormati. Sudah pasti perkara yang lebih kurang sama juga dirasai oleh pasangan.
6. Kekuatan sentuhan
Salah satu cara menginterpretasikan cinta adalah melalui sentuhan. Dengan sentuhan pasangan dapat merasa sedalam mana cinta anda padanya. Sentuhan yang lembut, hangat atau biasa-biasa sahaja. Dengan sentuhan juga benteng pemisah disebabkan perasaan malu kerana baru mengenali mampu diruntuhkan dengan mudah sekali gus menyatukan dua jiwa untuk hidup bersama. Namun perlu diingat kekuatan sentuhan ini layaknya dipraktikkan untuk yang berumahtangga saja.
7. Kekuatan berkomunikasi
Mencintai insan yang anda sayangi membuka laluan atau tatacara untuk anda berkomunikasi dengannya. Biarkan dia mengetahui dan menghargai sedalam mana kasih serta cinta yang anda himpunkan buatnya. Gunakan kekuatan untuk mengucapkan tiga perkataan keramat (Aku Cinta Padamu) setiap kali pasangan bangkit dari lenanya. Sertakan dengan ciuman hangat penuh makna.
8. Kekuatan untuk mempercayai
Sukarnya mencipta kepercayaan dalam sebuah rumahtangga yang baru dibina. Bagaimanapun hal seperti ini tidak seharusnya berlaku. Meskipun payah melakukannya tetapi berilah peluang untuk mengenali pasangan dengan lebih dekat kerana dia adalah sebahagian dari hidup anda sebaik lafaz akad diucapkan. Sebaiknya tinggalkan 30 peratus keraguan anda untuknya kerana ia berfungsi sebagai benteng yang mampu menyelamatkan anda sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
9. Kekuatan memberi komitmen
Mengambil keputusan mendirikan rumahtangga membuktikan bahawa anda sudah bersedia pada satu komitmen yang penting. Disebabkan itulah anda perlu bijak mengendalikan komitmen tersebut agar tidak bercelaru dan menyusahkan diri sendiri.
Contoh yang paling mudah adalah kesetiaan. Anda terikat pada sebuah hubungan perkahwinan dan menjadi prinsip rumahtangga, setiap pasangan perlu jujur dan setia. Itu antara komitmen yang perlu dipikul dan diingati sepanjang masa agar rumahtangga sentiasa harmoni dan bahagia.
Sumber tips dipetik dari MW#1476

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Entry ini mungkin entry yang terakhir berkisar tentang handbag. Takut pula ada yang MUAK mengunjung Laman-Seri... tak habis-habis bercakap fasal handbag... heh heh...
Lihatlah di sekeliling kita. Seorang wanita takkan terlepas ‘ditangkap’ membawa barangan wajib mereka, iaitu handbag. Pernahkah anda terfikir, mengapa wanita membawa handbag? Adakah tuntutan biologi menjadi jawapannya? Atau, pernahkah anda terfikir ia sebenarnya berkait rapat dengan genetik wanita atau mungkinkah ia cuma satu pilihan?
Handbag (beg tangan) telah menjadi salah satu keperluan hidup bagi setiap wanita sejak sejarah berkenaannya direkodkan. Handbag adalah salah satu item penting yang sangat rapat dengan kaum wanita dan barangan yang sering ditemui dalam handbag adalah gunting jahit berhias (abad ke-17) sehinggalah telefon bimbit, purse, tissue, ipod, ipad dan lain-lain lagi (abad ini). Ya, handbag dan wanita sememangnya ‘sahabat’ sejak dulu lagi kerana ada yang mengatakan wanita tidak boleh keluar rumah atau ke mana-mana tanpa membawa handbag.
Mengapa kaum wanita sering membawa barang-barang ke sana sini, sedangkan kaum lelaki cuma memerlukan dompet kecil yang boleh dimuatkan dalam poket sahaja? Pernahkah anda meluangkan sedikit masa melakukan kajian tentang hal ini?
Sesuatu yang mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran kita selama ini, keperluan untuk membawa sesuatu seperti barang-barang keperluan asas, berakar umbi dalam biologi wanita. Ya, disebabkan kaum wanita telah menjadi ‘caregiver of the family’ atau penjaga utama keluarga sejak zaman prasejarah lagi, maka wanita tidak dapat dipisahkan dengan handbag. Ðisebabkan peranan tradisional inilah, kaum wanita berasa adalah satu tanggungjawab mereka memastikan setiap ahli keluarganya mempunyai apa sahaja yang mereka perlukan, pada bila-bila masa.
Ðari segi biologi, seorang wanita mengambil berat keperluan anak-anaknya dan akan memastikan semua keperluan anak tidak tertinggal jika mereka tidak berada di rumah. Saya percaya disebabkan inilah, kaum wanita akan membawa handbag bagi memastikan setiap barangan yang diperlukan dibawa bersama, ini termasuklah barangan keperluan sendiri dan juga barangan yang mungkin diperlukan oleh ahli keluarganya yang lain.
Sebagai contoh, seorang ibu yang mempunyai anak kecil pula akan ‘berkorban’ membawa handbag besar atau baby bag yang berisi barangan keperluan bayinya seperti lampin pakai buang (diapers), tisu basah, tisu kering, krim rengsa, tuala kecil, sabun, susu, botol susu, flask air panas, botol air masak, teether, mainan kecil (soft toy), sepasang baju untuk tukaran, dan segala barangan yang dirasakan perlu untuk seorang bayi. Naluri keibuan yang dikurniakan Allah Taala akan membuatkan si ibu akan sentiasa memastikan anaknya berada dalam keadaan selesa seperti berada di rumah!
Contoh yang lain pula, jika anda keluar dan katakan anda tiba-tiba memerlukan sebatang pen dan kertas untuk menulis sesuatu atau sehelai tisu umpamanya, adakah anda memintanya daripada pasangan anda (lelaki)? Tentu tidak, bukan? Jika barangan yang anda perlukan ini tiada, anda tidak akan bertanya kepada spesies yang lain, selain daripada yang sama dengan anda juga.
Sememangnya, kaum wanita telah dilahirkan sebagai penjaga utama keluarga (jika bukan penjaga dunia) dan telah berkurun lama dipercayai dapat melakukan peranan ini dengan cukup sempurna sejak manusia turun ke bumi. Tidak keterlaluan jika dikatakan secara fizikal dan psikologi, kaum wanita mahu memastikan kesempurnaan dan setiap suatu perkara di dunia ini teratur mengikut kesempurnaan di matanya. Memanglah mustahil untuk mengendalikan seluruh dunia ini dengan sempurna mengikut kehendak kita, tetapi sekurang-kurangnya kaum wanita telah, sentiasa dan tetap akan melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan orang-orang sekeliling yang dikasihi.
Naluri ‘caregiving’ kaum wanita adalah sesuatu yang semulajadi dan tidak memudaratkan orang lain. Adalah sesuatu yang ‘tidak betul’ dan ‘pelik’ jika ada kaum wanita yang melawan ‘fitrah’ ini. Jadi, janganlah rasa malu dan segan hendak membawa handbag anda, tidak kiralah sekecil atau sebesar manapun handbag anda.
Akhirkata, jemput cuci mata di LiTTLE-KiOSK ~ Handbag idaman dan... ‘enjoy carrying your handbag and know that you are making our global community a better place for all!’
Capaian entry berkaitan :
❀ Wanita dan handbag
❀ Wanita dan handbag - bab 2
❀ Wanita dan handbag - bab 3
❀ Wanita dan handbag - bab 4
❀ Wanita dan handbag - bab 5
❀ Wanita dan handbag - bab 6

Farahvina Kaur tertekan, degupan jantung rendah gara-gara mahu langsing
“USIA saya hanya 14 tahun apabila rakan sekolah dan saudara mara menegur peha saya besar dan ejek muka saya bulat. Saya tertekan dan berasakan diri tidak sempurna. Setiap kali memandang cermin, saya benci melihat imej badan yang terpampang. Ketika itu, bermulalah keinginan melampau untuk kurus dan melakukan apa saja demi mencapainya. Saya muntahkan makanan dan mula menghukum diri jika gagal menurunkan berat badan.”
Begitulah trauma Farahvina Kaur, 21, ketika berkongsi derita anoreksia dialaminya sejak tujuh tahun lalu, dalam satu pertemuan dengan SIHAT. Anoreksia - masalah tabiat makan celaru yang bukan setakat membabitkan aspek pemakanan tetapi turut menyentuh sudut psikologi penghidapnya.
Mengimbas kembali episod suram itu, Farahvina berkata kerana tidak tahan sering menjadi bahan ejekan, dia berubah menjadi rendah diri dan berasakan diri serba tidak sempurna. Rutin hariannya - mencubit bahagian berlemak di tubuh dan mengukurnya. Bayangkan sejak usianya masih belasan tahun dia sudah mula berjinak-jinak dengan pelbagai cara untuk menghilangkan berat badan tetapi tidak berjaya kerana kurang pengetahuan mengenai cara paling mudah dan berkesan.
“Keadaan bertambah teruk apabila menyertai Latihan Khidmat Negara. Selama tiga bulan, saya memilih untuk mengelak nasi sebaliknya makan empat keping biskut setiap kali waktu makan menyebabkan berat badan turun mendadak daripada 46 kilogram kepada 38 kilogram sejurus tamat latihan,” katanya turut melakukan senaman secara kerap serta hanya memakan gula dalam kuantiti kecil bagi membekalkan tenaga saja.
“Apabila pulang, kulit saya terkena selaran matahari yang teruk membuatkan saya berasa lebih hodoh dan terus hilang selera makan. Saya mula membeli alat penimbang berat badan dan memantau berat setiap masa sehingga mencapai berat paling rendah iaitu 33 kilogram ketika berusia 18 tahun sedangkan ketinggian saya melebihi lima kaki. Sejak itu keluarga dan kawan-kawan mula memberi komen saya terlalu kurus tetapi saya sudah tidak nampak semua itu. Setiap kali sasaran berat badan tercapai, saya rasa saya perlu hilang lebih banyak lagi (berat badan). Entah bagaimana, saya mula menyedari apa yang berlaku sudah tidak normal dan harus menamatkannya. Untuk seketika saya berasa lebih sihat dan berat badan saya meningkat kembali kepada 38 kilogram,” katanya.
Tetapi, malangnya tahun ini, keadaan kembali huru-hara apabila penuntut bidang Pengurusan dan Pemasaran sebuah kolej terkemuka di ibu kota ini tidak berpuas hati dengan berat badannya yang meningkat 43 kilogram.
“Saya sangat tertekan dan mula obses untuk kurus sehinggakan mengikut apa saja teguran orang. Saya jadi orang yang terlalu negatif dan mula membeli buku khusus kalori, semata-mata untuk mengira jumlah kalori diambil setiap hari. Ini termasuklah menyertai laman sembang anoreksia dan obses dengan semua nasihat dan panduan yang diberikan laman web berkenaan. Dalam fikirsan saya tulang adalah satu simbol kecantikan dan lemak adalah lambang kegagalan,” katanya.
Pernah pada satu tahap kronik, Farahvina membuang semua cermin di rumahnya dan mula menghukum diri dengan mencalarkan peha, melakukan senaman berat keterlaluan, melompat, menari dan berlari serta hanya makan sebiji epal, lobak merah dan minuman diet, setiap hari. Makanan yang diambil itu pula biasanya dimuntahkan dan jika boleh, dia cuba mengelak makan. Di kolej pula dia lebih rela menaiki tangga sehingga tingkat 10 setiap hari, tanpa menggunakan lif bagi memastikannya semua lemak badannya dibakar.
“Hanya orang yang mengalami tekanan perasaan dan gangguan mental akan menyeksa tubuhnya begini dan akibatnya saya pernah pengsan di kolej akibat kadar degupan jantung yang rendah. Titik tolak bagaimana saya benar-benar berubah adalah bila orang mula menuding jari menyalahkan ibu bapa saya dengan pelbagai tuduhan. Padahal merekalah orang pertama yang mencuba pelbagai cara untuk memulihkan saya sehinggalah saya bersetuju untuk menjalani rawatan terapi pakar psikologi.”
Selepas dua bulan menjalani rawatan Farahvina merasa gembira, lebih sihat dan berkeyakinan diri. Malah berat badannya pada Julai lalu 28 kilogram kini meningkat 31.15 kilogram.
“Nasihat saya kepada remaja di luar sana, sayangilah diri anda dan lakukan sesuatu yang anda gemar dan kelilingi diri anda dengan insan-insan yang anda sayangi. Remaja masa kini lebih suka menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan, ia merbahaya kerana silap langkah anda yang akan menerima padahnya. Kepada ibu bapa, jadilah sahabat dan juga pembimbing kepada anak-anak, peka dengan perubahan anak-anak dan ambil berat jika anak mula memberi banyak alasan untuk bersendirian serta suka berahsia. Jangan terlalu mendesak mereka dan terimalah mereka seadanya.”
‘Haid terjejas, buah pinggang gagal’
SEPERTI anoreksia, masalah bulimia atau bulimia nervosa juga antara masalah kesihatan akibat tabiat makan yang bercelaru. Pesakit bulimia akan makan makanan kegemaran dalam jumlah banyak dan kemudian memuntahkannya semula.
Malangnya, bukan saja makanan tetapi asid perut turut dimuntahkan bagi memastikan tiada makanan tersisa. Lazimnya penghidapnya bertindak menjolok anak tekak atau menggunakan pelbagai cara seperti julap dan diuretik (buang air besar atau kecil). Ini dilakukan kerana terlalu ingin mengurangkan berat badan dan pada masa sama masih boleh memakan makanan kegemaran mereka.
Menurut Perunding Psikiatri & Hipnoterapi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, bulimia ada beberapa kriteria seperti episod makan berulang-ulang dan berlebihan daripada biasa, dalam jangkamasa singkat).
“Kedua, timbul rasa menyesal selepas makan yang membawa kepada perbuatan memuntahkan semula makanan dengan menjolok anak tekak dan melakukan senaman keterlaluan dan juga berpuasa secara keterlaluan.”
“Ketiga, pesakit bulimia menilai diri, kehidupan dan kecantikan diri hanya berasaskan kepada penampilan, berat badan dan makanan. Mereka hanya memikirkan cara bagaimana untuk mengurangkan berat badan kerana di fikiran diri sentiasa gemuk dan tidak menarik. Keempat, aktiviti harian terganggu kerana gaya hidup yang terlalu berahsia, suka menghilangkan diri kerana mahu memuntahkan makanan menyebabkan mereka kurang bersosial dan kurang berkawan. Malah pesakit ini sanggup mengubah dan menyesuaikan gaya hidup mengikut tabiatnya yang suka memuntahkan makanan,” jelas Daniel ketika ditemui.
Menurutnya, pesakit bulimia boleh dikenali kerana tabiat pemakanan yang celaru memberi kesan paling jelas pada gigi dan mulut. Akibat kerap muntah, berlaku hakisan pada enamel gigi, kerosakan gigi dan jangkitan pada gusi. Tabiat kerap muntah juga menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan garam dalam tubuh (elektrolit). Ia boleh menyebabkan kekejangan dan degupan jantung yang tidak teratur.
“Bulimia akan memberi kesan buruk kepada seluruh tubuh seperti tidak datang haid, cenderung untuk sembelit dan dehidrasi akibat penyalahgunaan diuretik dan laksatif, tinggi kalori dan nutrien dari makanan seperti kek, kuih muih, ais krim dan makanan segera. Kulit kering dan berkedut, kekurangan zat, rambut dan kuku mudah pecah. Malah kekurangan mineral dan vitamin juga boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang.”
Seperti masalah psikologikal lain, bulimia tidak disebabkan oleh satu faktor sebaliknya gandingan beberapa faktor termasuk budaya penjenamaan sosial yang sering dipaparkan media cetak dan elektronik seperti tubuh langsing dan kulit cerah yang dilabelkan sempurna dan ideal.
“Ia membawa pula kepada faktor pencetus yang kerap menimpa peragawati, model dan artis ternama. Ini termasuklah remaja yang baru memasuki usia akil baligh yang sangat rapuh jati diri dan masih mencari identiti. Bayangkan apa kesan komen bersahaja ibu, bapa, rakan atau saudara seperti “peha awak besarlah,” atau “muka awak bulatlah.” ke atas mereka.
Faktor memudaratkan iaitu gemuk adalah hodoh dan kurus adalah cantik, faktor genetik dan faktor gangguan imej tubuh (lebih kepada anoreksia) juga memberikan kesan psikologi kepada pesakit.
Jika dibandingkan dengan aneroksia (pesakit mengelak dari menjamah makanan) bulimia lebih mudah untuk dipulihkan. Pakar psikologi bukan saja perlu menjalankan terapi kepada pesakit tetapi keluarga pesakit juga perlu diberi pengetahuan dan disedarkan mengenai masalah mental yang dilalui pesakit dan bagaimana untuk menghadapinya.
Merawat pesakit bulimia adalah usaha bersama pelbagai pihak. Pakar perlu meyakinkan pesakit bahawa dia perlu percaya, sanggup bekerjasama dan bersifat terbuka untuk pulih sepenuhnya kerana banyak pembaharuan dan perubahan yang perlu dilakukan membabitkan gaya hidup pesakit dan keluarga. Motivasi pesakit perlu dibangunkan kerana untuk pulih ia masih bergantung kepada disiplin dan kekuatan dalaman pesakit
“Pesakit bulimia terlalu tertekan dan sangat beremosi, jadi mengikut fasa tertentu kami mengajar mereka teknik untuk membina harga diri, bertenang, menilai semula cara senaman mereka dan mengubahsuai cara mereka bersenam selepas mengenalpasti masalah psikologikal lain seperti depresi, kegelisahan dan tahap penyalahgunaan bahan diuretik dan julap.
Petikan : BHarian 2011/09/18

Stigma masyarakat punca ramai mangsa disisih
DETIK awal mendapat tahu beliau dijangkiti virus HIV, Darshini (bukan nama sebenar) hilang kata-kata dan lebih banyak menangis serta mengurung diri di dalam bilik. Lebih menyedihkan, anak kecilnya pula dipisahkan daripadanya oleh keluarga mentua. Namun selepas bertenang dan mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan, dia mendapat kekuatan dan kini meneruskan hidup dengan mengambil ubat-ubatan dibekalkan pihak hospital seperti biasa sambil membesarkan anak perempuannya yang sudah meningkat remaja. Darshini dijangkiti virus yang masih belum ditemui penawarnya itu menerusi mendiang suami yang juga penagih dadah.
Baginya, tiada siapa yang boleh dipersalahkan dan perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah mendidik anaknya menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.
Beliau tidak pernah meminta untuk mewarisi virus yang amat digeruni itu. Berjuang untuk terus hidup adalah apa yang dilakukannya kini di samping membabitkan diri dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyedarkan masyarakat mengenai HIV/Aids.
KISAH Darshini adalah catatan pilu seorang ibu yang disisih hanya kerana berstatus penghidap HIV. Virus penyebab penyakit yang bukan lagi berkisar soal kesihatan, kelangsungan hidup tetapi turut mengheret soal kekeluargaan dan ikatan kasih antara ibu dengan anak. Lebih malang, petaka HIV itu turut hadir dalam bentuk disisih masyarakat andai rahsia penghidap itu diketahui ramai.
Inilah lumrah ‘ganas’ HIV ke atas penghidapnya, terutama wanita. Statistik pada 2010 menunjukkan sebanyak 668 kes baru membabitkan wanita dijangkiti HIV berbanding 553 pada tahun sebelumnya, manakala wanita yang hidup dengan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (Aids) meningkat kepada 167 pada 2010 daripada 119 pada 2009.
Meskipun jumlah berkenaan masih dianggap sedikit jika dibandingkan kes baru lelaki yang dijangkiti HIV pada 2010 iaitu 2,984, kajian menunjukkan kebanyakan wanita yang dijangkiti virus itu berpunca daripada suami atau pasangannya. Lebih menyedihkan, ia berlaku tanpa pengetahuan mereka sedangkan lelaki yang dijangkiti adalah disebabkan perbuatan sendiri seperti penagihan dadah dan hubungan seks rambang.
Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr Masliza Zaid, berkata wanita lebih mudah mendapat jangkitan HIV mahupun Aids kerana perbezaan pada anggota badan seperti alat kelamin.
“Berbanding lelaki, wanita mudah mendapat jangkitan HIV kerana wanita mempunyai bukaan liang yang lebih luas pada bahagian anggota kelamin. Ketika melakukan hubungan kelamin bersama suami atau pasangan masing-masing, organ kelamin wanita iaitu vagina menjadi lebih luas berbanding organ kelamin lelaki menyebabkan mereka lebih pantas terdedah kepada HIV yang sudah menjangkiti suaminya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buluh.
Bagaimanapun, katanya, dalam kebanyakan kes wanita lebih lambat mengesan jangkitan penyakit kelamin dan HIV kerana tiada sebarang tanda yang boleh dijadikan panduan kecuali jika penyakit berkenaan sudah memasuki tahap kritikal.
Lelaki pula, agak sukar dijangkiti penyakit, tetapi cepat dikesan kerana mereka lazimnya akan mengalami luka atau kesakitan pada bahagian anggota kelamin seperti adanya lendir dan pendarahan.
Dr Masliza berkata, kajian mendapati masalah ketara yang menyukarkan pihak hospital mengesan jangkitan di kalangan wanita ialah sikap berdikari dan senang diancam menyebabkan mereka sering menangguhkan rawatan jika mengetahui diri menghidap penyakit.
“Apabila mengetahui mereka dijangkiti HIV, ada juga yang tidak berani untuk bercerita atau berkongsi penyakit mereka dengan pihak hospital. Namun jika ada yang menemani, barulah mereka mempunyai kekuatan untuk membuat pemeriksaan mahupun berjumpa doktor. Bagi pihak hospital pula, kita dapat mengesan wanita dijangkiti HIV melalui pemeriksaan saringan ketika mereka hamil. Perangkaan ini pun diperoleh di klinik dan hospital kerajaan kerana polisi kerajaan yang ditetapkan,” katanya.
Berdasarkan prosedur yang ditetapkan kerajaan, pihak hospital akan memeriksa latar belakang dan profil pesakit, selain suami bagi mengenal pasti punca seseorang wanita itu dijangkiti HIV. Ini membolehkan pihak hospital mengetahui penularan HIV di negara ini, sekali gus dapat membantu mengurangkan jangkitan HIV di kalangan masyarakat.
Selain kegiatan suami yang terbabit dalam penagihan dadah, ada juga suami yang didapati menjalin hubungan heteroseksual dengan individu lain yang mungkin sudah dijangkiti virus berkenaan dan secara tidak langsung menyebabkan jaringan jangkitan semakin meluas.
Dr Masliza berkata, berdasarkan perangkaan terkini menunjukkan peningkatan HIV adalah disebabkan hubungan heteroseksual suami yang berpindah kepada isteri dan anak yang bakal dikandung. Malangnya, katanya, stigma masyarakat yang sering memandang serong terhadap individu yang hidup dengan virus berkenaan menyebabkan ramai wanita yang dijangkiti HIV hidup dalam serba kepayahan apabila dipinggirkan keluarga dan juga masyarakat. Dalam kebanyakan kes juga, katanya, stigma masyarakat adalah antara penyebab utama kenapa wanita tidak ingin tampil mendapatkan rawatan sekiranya mendapati mereka dijangkiti HIV.
“Masyarakat sering menganggap HIV adalah virus yang mudah dijangkiti menyebabkan mereka segera menyisih individu yang hidup dengan virus berkenaan walaupun hakikatnya ia hanya boleh dijangkiti melalui tiga kaedah, berkongsi jarum suntikan yang sama, melalui cecair badan iaitu darah dan proses bersalin atau menyusu badan membabitkan ibu/anak. Malah, jangkaan masyarakat bahawa jangkitan HIV melalui air liur atau bersentuhan, juga tidak berasas. Namun masyarakat sewenang-wenangnya membuat kesimpulan individu yang hidup dengan HIV/AIDS perlu dijauhi. Stigma inilah yang membuatkan individu berkenaan tidak mahu mendedahkan diri dan menolak rawatan kerana tidak mahu diketahui masyarakat,” katanya.
Dua kaedah rawatan bantu mangsa jalani kehidupan
MESKIPUN sehingga kini penawar HIV/Aids belum ditemui, ada dua dua cara dilakukan kerajaan bagi mengawal jangkitannya andai pesakit datang ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan. Antaranya, kaedah metadome dan pertukaran picagari yang diperkenalkan kerajaan.
Metadome ialah kaedah mengawal penyakit melalui pengambilan ubat-ubatan manakala pertukaran picagari ialah bagi menyedarkan penagih dadah supaya tidak berkongsi jarum suntikan. Menerusi kaedah itu, ketika penagih datang ke hospital atau klinik untuk mendapatkan jarum suntikan, pihak berkaitan akan mendapatkan maklumat dan akan cuba memberi kaunseling supaya mereka mahu mendapatkan rawatan untuk mengatasi masalah ketagihan.
Menurut Dr Masliza Zaid, individu yang dijangkiti juga akan diberi ubat-ubatan yang kini ditawarkan bagi mengurangkan perkembangan virus berkenaan, sekali gus memberikan kehidupan bermutu kepada individu terbabit.
“Pengambilan ubat-ubatan boleh membantu individu yang dijangkiti berada dalam keadaan sihat dan menjalani hidup selesa dengan syarat mereka tidak mengabaikan pengambilan ubat, mengikut jadual pengambilan ubat secara berterusan dan sentiasa mendapatkan khidmat nasihat doktor. Gambaran individu yang menghidap Aids seperti yang dilihat di kaca televisyen adalah tidak benar dan itulah yang menjadikan stigma masyarakat terhadap HIV/AIDS semakin menebal serta menjadikan masalah lebih besar kepada individu terbabit sekiranya masyarakat mengetahui masalah mereka,” katanya.
Bagi Dr Masliza sendiri, beliau juga mengalami masalah yang sama ketika mula-mula menjalankan tugas sebagai pakar perubatan di bahagian Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh.
“Keluarga ada bertanya kepada saya kenapa saya memilih bidang ini, namun apabila diterangkan mengenai HIV/AIDS, mereka faham dan tidak lagi mempunyai stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV/AIDS. Masyarakat perlu memahami dan tidak wajar menjadikan stigma sebagai hukuman terhadap pesakit kerana pesakit juga perlu menjalani hidup seperti biasa. Mereka boleh berkahwin dan memiliki anak, namun perlu ada persefahaman dengan pasangan selain sentiasa merujuk kepada pihak hospital dan klinik terhadap apa saja kemusykilan mengenai HIV/AIDS dalam kehidupan rumah tangga mereka,” katanya.
Petikan : BHarian 02/02/2012
Capaian entry berkaitan :
* Laporan khas: 10 positif HIV setiap hari
* Melayu paling ramai hidap HIV/AIDS
* Awas suri rumah!
* Kadar jangkitan HIV tertinggi di Kelantan
* Laporan Khas: Remaja perlu miliki ilmu seks elak ditipu
* Kaunseling : Gadis hadapi dugaan tunang HIV

Kerja atau bina istana mana lebih utama?
LEBIH empat tahun Razali dan Sofea menyulam cinta, ketika sama-sama menuntut di universiti. Usai pengajian, masing-masing riang menggenggam segulung ijazah. Bagaimanapun Razali jadi buntu bila dua persoalan bermain dalam fikirannya.
“Terus berkahwin sebab semua rakan sekuliah nak mewujudkan kembali trend berkeluarga muda? Atau kerja dulu sebelum kahwin? Kalau lambat masuk meminang Sofea dikebas orang pulak? Aduh melepas pula nanti. Macam mana ye?,” gerutu Razali dalam hati.
Razali tidak bersendirian menghadapi situasi ini. Ramai lagi orang muda di luar sana, berhadapan persoalan sama. Antara berkahwin terus selepas tamat pengajian atau bekerja dulu. Masing-masing punyai alasan tersendiri sama ada terus berkahwin selepas tamat pengajian atau memilih untuk bekerja dulu sebelum membina keluarga bahagian impian hati. Bagaimana dengan anda?
PAKAR Motivasi, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata antara bekerja dan berkeluarga, kedua-dua perkara itu amat mustahak dalam kehidupan manusia.
Bagaimanapun, sekiranya berbicara aspek sosiologi dan senario hari ini, individu tidak boleh menafikan asas utama kepada keharmonian rumah tangga dan pasangan hari ini ialah tidak lagi boleh berpegang secara total terhadap perasaan cinta dan kasih sayang yang menentukan kebahagiaan rumah tangga.
“Senario semasa mahu setiap individu mantap dari segi ekonomi terutama memiliki pekerjaan. Kerja tetap kurang risiko diberhentikan berbanding tiada kerja tetap. Mantap ekonomi bukan bererti ada berpuluh ribu dalam akaun, sebaliknya bergantung kepada siapa, di mana dan bila,” katanya.
Siapa - ia bergantung kepada latar belakang individu. Sekiranya memiliki pendidikan rendah dan gaji rendah, pilihan sewajarnya haruslah daripada kelompok yang sama juga. Kalau pasangan dipilih daripada anak orang berada, ia boleh menjadi satu bebanan kerana selalunya akan timbul konflik.
Di mana - membabitkan lokasi anda tinggal? Kalau di ibu kota, secara automatik perbelanjaan menjadi tinggi. Sekiranya gaji sekadar ‘cukup makan’ untuk seorang, lebih baik ditangguhkan dulu hasrat berkahwin kerana ia boleh menimbulkan masalah kemudian hari.
Bila - pada tahun 1980-an, amat terhad kemudahan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) termasuk telefon dan pelbagai gajet. Namun, era ini, ia bagaikan satu keperluan dan kemestian. Mahu atau tidak sesebuah keluarga itu mesti memilikinya.
Justeru, Dr Mohammad Shatar yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata kombinasi tiga perkara itu menjawab persoalan ‘kemantapan ekonomi’ individu untuk sama ada terus bergelar suami, isteri atau mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Diri sendiri saja yang tahu jawapannya dan arif mengenai kemampuan diri. Kalau berkahwin atas desakan orang lain atau mengikut trend atau takut kawan mengusik, maka ia hanya mengundang kepayahan diri sendiri,” katanya.
Menyentuh aspek sosiologi, Dr Mohammad Shatar menjelaskan tali pengukur kesesuaian usia berkahwin kepada lelaki dan wanita, masing-masing ialah 25 dan 23 tahun kerana pada usia berkenaan, kedua-dua golongan itu sudah mencapai tahap matang.
“Rasional angka itu, mengikut ahli psikologi, mendapati lelaki bawah usia 25 tahun lebih emosi dan tertarik kepada wanita atas faktor tarikan seksual, selain kurang bertanggungjawab atau memberi komitmen lebih serius. Jika perkahwinan terlalu awal, khususnya kepada lelaki, apabila berlaku masalah dalam rumah tangga suami akan merasa bosan. Bila matlamat berkahwin itu pun sudah tersasar, mulalah timbul pelbagai alasan termasuk ‘bermain kayu tiga’,” katanya.
Psikologi membuktikan tarikan antara lelaki dan wanita berlaku sejak individu masih muda. Ketika di sekolah rendah tarikan terhadap seseorang atas dasar rupa paras. Pada peringkat sekolah menengah pula tarikan kepada berlainan jantina menjurus kepada terikut dengan aliran.
Pada usia 25 tahun ke atas, barulah lelaki muda lebih mempunyai fokus, lantaran angka usia tidak boleh diketepikan dalam hal membabitkan perkahwinan. Beliau menyarankan pasangan muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga awal seharusnya membuat persediaan mental dan fizikal selain mesti ada pekerjaan.
“Selepas sekurang-kurangnya setahun pengalaman bekerja, barulah terfikir kahwin. Ini kerana dunia pekerjaan akan mendedahkan kepada pelbagai perkara termasuk pengurusan kewangan yang kelak boleh dipraktikkan dalam alam rumah tangga,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa golongan muda membuat simpanan sekurang-kurangnya RM5,000 pada setiap masa sebagai persediaan waktu kecemasan. Malah, cuba elakkan membuat pinjaman semata-mata untuk berkahwin, tetapi jika jalan buntu mungkin boleh namun jangan terlalu banyak.
“Kalau buat pinjaman hingga mengambil tempoh 20 tahun untuk dilangsaikan, bukankah ia beban? Lebih baik buat majlis ikut kemampuan,” katanya.
Membina rumah tangga seharusnya disertai dengan sikap tanggungjawab. Tanya pada diri ‘mengapa saya perlu berkahwin?’ dalam usia muda.
Dr Mohammad Shatar menegaskan jika remaja sudah bersedia segala-galanya pasti semuanya perancangan dalam kehidupan berumahtangga berjalan lancar tanpa sebarang kekalutan atau masalah.
Petikan : BHarian 04/02/2012






Assalamualaikum warahmatullah,
Wanita diciptakan oleh Allah SWT dengan ciri-ciri fisiologi yang berbeza dengan lelaki. Antara yang paling ketara ialah pusingan haid yang tetap berbentuk kitaran bulanan.
Menurut Ibn Hajar al-Asqalani dlam Fath al-Bari, wanita pertama yang mengalami haid ialah bonda seluruh umat manusia iaitu Hawa, saat beliau dikeluarkan dari syurga dan menghuni di bumi.
Allah berfirman yang bermaksud, “Ðemi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-‘Asr 103:1-3)
Benar, wanita yang membiarkan hari-hari dalam tempoh haidnya lompang daripada amal ibadah dan amal soleh ialah golongan yang rugi. Oleh sebab itu, pastikan masa yang ada dimanfaatkan sebaiknya. Beberapa amalan berikut amat disarankan:
1 – Selaraskan niat sebagai ibadah
Setiap amalan ialah ibadah jika memenuhi ciri-cirinya seperti amalan yang baik, berlandaskan niat ikhlas kerana Allah dan tidak melalaikan. Walaupun tanpa ibadah yang menjadi ‘makanan ruji’ rohani seperti solat dan puasa, sebarang perbuatan yang memenuhi kriteria di atas akan membantu menambah saham akhirat. Jadilah ibarat usahawan yang tamak dan ingin memborong semua peluang meraih pahala.
2 – Berzikir
Zikir ibarat tali yang mengekang hati agar tidak terlepas bebas daripada terikat dengan syariat Allah. Pelbagai jenis zikir boleh diamalkan sepanjang haid, pastinya antara yang utama ialah istighfar, tahmid, takbir, tasbih dan pelbagai lagi, termasuk himpunan zikir-zikir pilihan seperti al-Ma‘thurat dan Manzil.
Jadilah wanita yang digambarkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Ðan lelaki-lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta wanita-wanita yan gmenyebut nama Allah banyak-banyak, Allah menyediakan bagi merka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab 33:35)
3 – Menambah ilmu
Waktu solat dan membaca al-Quran kini menjadi waktu lapang Tanya agenda? Apa kata gantikannya dengan aktiviti membaca bahan bacaan agama, tidak kiralah sama ada bahan berkaitan aqidah, ibadah (fiqah) atau adab (akhlak). Natijahnya, hasil ilmu yang ditimba akan membuahkan rasa yakin semasa melakukan ibadah kepada al-Khaliq.
4 – Masih dekat dengan al-Quran
Jika tidak mampu membaca al-Quran, tidak mengapa. Masih ada alternative lain seperti mendengar bacaan al-Quran yang mudah didapati kini dalam pelbagai bentuk dan format. Malah, ini jugalah saat yang sesuai untuk mempelajari tafsir dan tadabbur al-Quran. Siapa kata wanita yang dalam tempoh haid jauh daripada al-Quran walaupun tidak ‘bertemu’ dengan-Nya dalam solat?
5 – Berbakti kepada orang tua atau berkhidmat kepada suami
Benarlah, manusia yang paling baik antara kamu ialah manusia yang paling memberi manfaat kepada manusia lain. Oleh sebab itu, lebihkan ‘kuantiti’ dan ‘kualiti’ pada waktu haid untuk berbakti dan berkhidmat kepada insan yang layak diberikan layanan istimewa.
6 – Memperbanyakkan doa
Ðalam temoh haid juga, wanita boleh memperbanyakkan doa terutamanya pada waktu yang mustajab doa seperti antara waktu azam dan iqamah, ketika hari hujan, ketika tersedar waktu sepertiga malam dan sebagainya.
7 – Memperbanyakkan sedekah
Wanita juga bolehmenambah kuantiti dan kekerapannya bersedekah dengan wang ringgit atau harta benda. Harus diingat, ruang lingkup sedekah tidak tamat di situ, malah skopnya lebih luas. Kata-kata yang baik juga sedekah, samalah seperti mengelak daripada mengumpat dan menabur fitnah.
Apabila ilmu sudah mengetuk minda, apalagi, sama-samalah kita mengamalkannya. Hati yang sentiasa inginkan kebaikan pasti tidak akan membiarkan waktu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang amalan soleh.
Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan wanita yang miskin timbangan mizan di akirat kerana miskin amalannya di dunia, amiin.
Sumber : Husna Hassan di Solusi ISU#39

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Entry yang dimasukkan ini dinafikan sekeras-kerasnya, BUKAN dan TIDAK bertujuan untuk provokasi, cuma Laman-Seri terfikir.... yang dikendong ke sini situ sana sini seperti dalam gambar-gambar di bawah ini, mungkinkah handbag ini mempunyai butang magis (magic button) yang membolehkan ia bertukar-tukar warna seperti cicak kubing mengkarung (cameleon), mengikut warna baju...?
Tidak mustahil ia ada butang magis, maklumlah, dilaporkan harga bagi sebuah handbag ini adalah di antara US$9,000 (lebih RM25 ribu) hingga US$150,000 (lebih RM450 ribu). Jadi, mereka yang buat spekulasi mengatakan RM menghabiskan RM (MYR) rakyat, henti-hentikanlah, ya... Kita cuba bersangka baiklah.








Capaian entry berkaitan :
❀ Wanita dan handbag
❀ Wanita dan handbag - bab 2
❀ Wanita dan handbag - bab 3

Kajian mendapati wanita Malaysia berhati-hati memilih pasangan hidup
SETIAP insan ingin mencintai dan dicintai. Naluri lelaki atau wanita saling memerlukan antara satu sama lain dan memang lumrah manusia mahukan hubungan istimewa.
Bagaimanapun, sebelum memutuskan untuk menjalin hubungan serius, kedua-dua mempunyai matlamat tersendiri. Justeru masing-masing meletakkan syarat, ciri-ciri dan kriteria pasangan yang diinginkan supaya berpuas hati dengan apa yang dikehendaki apabila hubungan itu berterusan.
Senario hubungan cinta hari ini mendapati lelaki di Malaysia berfikiran lebih terbuka mengenai wanita, sebaliknya wanita pula masih terlalu memilih mencari pasangan, terutama mengimpikan kriteria teman lelaki yang mestilah lebih tinggi, berpelajaran serta mempunyai pendapatan lebih besar berbanding mereka.
Hal ini terbukti menerusi kajian yang dilakukan agensi janji temu terulung di Asia, Lunch Actually terhadap 654 responden di negara ini untuk tempoh beberapa bulan sejak Jun lalu.
Kajian meliputi 76.1% responden berusia antara 26 tahun sehingga 40 tahun dan 75.1% adalah lepasan ijazah sarjana muda. Kajian keseluruhan juga membabitkan 1,241 responden dari Hong Kong dan Singapura menerusi talian internet.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Lunch Actually, Violet Lim, berkata lelaki hari ini bersifat lebih terbuka dan mempertimbangkan pelbagai perkara untuk menjalin hubungan dengan wanita yang berpendidikan dan pendapatan lebih tinggi. Namun, keadaan berbeza, wanita pula dilihat kurang berminat menjalin hubungan dengan lelaki yang kurang berpendidikan dan bergaji rendah daripada mereka.
“Tinjauan juga mendapati 60% wanita Malaysia tidak berminat menjalin hubungan dengan lelaki yang berpendapatan kurang daripada mereka. Jumlah peratusan itu adalah tertinggi berbanding kajian wanita di Singapura, iaitu 47% manakala 37% di Hong Kong.
“Bagi lelaki tempatan, kira-kira 72% daripada mereka menjalin hubungan dengan wanita yang berpendapatan lebih tinggi daripada mereka manakala di Hong Kong (69%) dan Singapura (76%),” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan agensi laman web temu janji Lunch Actually, baru-baru ini.
Sementara itu, sejak zaman berzaman, rupa yang cantik adalah bonus kepada wanita untuk menarik perhatian lelaki. Bagaimanapun, wanita lebih tertarik kepada lelaki yang berkeyakinan dan berperwatakan menarik. Berdasarkan, kajian terhadap ketiga-tiga negara itu, mendapati lelaki dan wanita bujang perlu mempunyai penampilan menarik, khususnya bagi mereka yang ingin mencari cinta.
Hasil dapatan kajian mengenai fizikal pula di Malaysia, 70% wanita tempatan tidak akan menjalin hubungan dengan lelaki yang lebih rendah daripada mereka, manakala 55% lelaki Malaysia akan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi daripada mereka.
Dalam aspek menjalin hubungan dengan lelaki lebih muda pula, wanita Malaysia bagaimanapun bersifat lebih terbuka mengenainya. Kajian mendapati 44% menyatakan kesediaan mereka mengadakan temu janji dengan lelaki lebih muda daripada mereka.
Violet yang juga penulis buku jualan terlaris, Lessons from 15,000 First Dates, berkata wanita sangat menitik-beratkan aspek pendidikan. Kajian mendapati, wanita Malaysia enggan mengadakan hubungan dengan lelaki yang mempunyai tahap pendidikan rendah berbanding mereka, iaitu 48% dan sekaligus mencatat kedudukan teratas mengenainya, berbanding di Hong Kong (30%) dan Singapura (41%).
“Bagi mereka pendidikan memainkan peranan penting kerana boleh melambangkan pendapatan seseorang. Sehubungan itu, dalam temu janji pertama ada antara mereka yang akan mengambil perhatian terhadap perkara ini. Lantaran, ketika janji temu buat pertama kali, 79% wanita Malaysia menjangkakan lelaki akan belanja mereka makan di restoran manakala di Singapura (69%)dan Hong Kong (67%). Bagaimanapun, selepas hubungan diteruskan, hanya 30% daripada responden wanita Malaysia menjangkakan teman lelaki perlu terus membuat pembayaran terhadap janjitemu mereka sehingga hubungan terbentuk, sementara 32% lagi merasakan lelaki dan wanita seharusnya membuat pembayaran masing-masing untuk separuh daripada janji temu yang diadakan,” katanya.
Dari segi latar belakang agama pula, kajian mendapati lelaki dan wanita ketika ini lebih berfikiran terbuka untuk mengadakan temu janji dengan teman daripada kaum lain. Sebanyak 44% wanita dan 48% lelaki bersetuju untuk bertemu dengan teman berlainan kaum. Sementara itu, janji temu dengan individu warga negara lain sebanyak (72% lelaki dan 66% wanita tidak kisah mengenainya.
Sungguhpun perkahwinan dilihat sebagai perkara penting di kalangan sebahagian besar lelaki, namun ramai mengakui mereka takut kepada komitmen.
“Alasannya ialah mahukan kebebasan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak mahu bakal isteri memberi arahan mengenai kehidupan mereka. Kajian menunjukkan 38% daripada responden takut kepada komitmen manakala 29% pula menyatakan kegusaran mengenai situasi kewangan yang tidak kukuh selepas berkahwin.”
Bagaimanapun dalam hubungan ada pasang surutnya. Apabila menjalinkan hubungan intim, kedua-dua pihak mempunyai perasaan emosi yang kadangkala tidak boleh disorokkan apabila ia membabitkan hati dan perasaan.
Sebanyak 41.8% lelaki Malaysia didapati lebih selesa menitiskan air mata sendiri kerana ingin mempertahankan ego mereka. Bagaimanapun, 17.3% daripada mereka akan menitiskan air mata di hadapan teman wanita manakala rakan atau keluarga (2.8%).
“Kajian itu, turut tidak berkompromi apabila mendapati tiga daripada 10 lelaki Malaysia akan menamatkan hubungan dengan teman wanita jika tubuhnya berubah menjadi gemuk. Ini kerana mereka merasakan perubahan keadaan fizikal itu menunjukkan amalan kurang berdisiplin wanita terhadap penjagaan diri sendiri. Bagaimanapun, wanita lebih terbuka dan menerima keadaan lelaki seadanya walaupun lelaki mengalami perubahan pada penampilan diri. Wanita tidak mudah sesuka hati menamatkan hubungan dengan lelaki gemuk sekiranya mereka benar-benar menyayangi mereka,” katanya.
Sesetengah orang lebih selesa berkenalan dengan rakan kepada rakan. Namun, dunia semakin berbeza dengan kemudahan internet yang semakin berleluasa. Ini kerana kaedah mengadakan temu janji kini semakin canggih apabila menggunakan internet untuk mengadakan temu janji bagi mencari cinta.
Violet berkata, seramai 42.2% responden Malaysia (lelaki dan wanita) yang disoal selidik itu berkata, mereka pernah mencuba janji temu dalam talian.
INFO
Kajian mengenai lelaki dan komitmen terhadap pasangan terhadap lebih 20 lelaki di Malaysia menerusi Facebook.
1) Adakah anda mahu mencintai dan dicintai? Ya / Tidak
* 19 lelaki mengatakan mahu mencintai dan dicintai
* Seorang lelaki tidak mahu bercinta dan dicintai
2) Adakah anda takut/tidak mahu/mahu komitmen?
* 10 lelaki - mahu komitmen
* Dua lelaki - tidak mahu komitmen
* Lapan lelaki - takut komitmen
3) Apabila bertemu seseorang yang menepati kriteria, adakah anda mahu memberi komitmen? Ya / Tidak
* 20 bersetuju mahu beri komitmen
* Antara sebab kerana :
- Ingin menjadikan seseorang itu pasangan hidup jika menepati kriteria.
- Apabila berjumpa orang yang tepat, akan berusaha memastikan memberi komitmen
- Sudah mula rasa selesa dalam perhubungan.
4) Bilakah masa yang sesuai untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada pasangan anda?
* 15 lelaki berpendapat - lewat 20-an
* 5 lelaki berpendapat - awal 30-an
5) Apakah yang dikatakan bersedia dengan komitmen? Mereka berpendapat:
* Bersedia menanggung susah payah bersama, luangkan masa dan bersedia untuk bertanggungjawab atas segala permasalahan dihadapi pasangan.
* Bersedia dalam semua segi baik seperti kematangan berfikir, kewangan, kebijaksanaan menangani masalah, bersedia menerima kekurangan dan kelebihan pasangan.
* Bersedia dari segi tanggungjawab, kewangan dan mental untuk memberi komitmen sepenuhnya.
* Bersedia untuk terima semua baik dan buruk pasangan selepas ini.
Petikan : BHarian 03/11/2011

Artikel berkaitan keagamaan, kesihatan, perkahwinan dan lain-lain di blog ini hanya kompilasi artikel yang dititip daripada akhbar, majalah dan internet. Blog ini memaparkan artikel yang ditulis sendiri dan artikel yang bukan ditulis oleh pemilik blog adalah koleksi peribadi, ada yang sefahaman atau sebaliknya dan bersandarkan kandungan Al-Quran. Kesemuanya disediakan agar para pelayar dapat dirangsang untuk membaca Al-Quran dengan memahami kandungannya.
Pun begitu, janganlah membaca artikel-artikel di blog ini untuk menyangkal atau menyalahkannya, atau mempercayainya jua, tetapi bacalah menurut tujuan sebenar mereka ditulis, iaitu hanya untuk dipertimbangkan pembaca sahaja.
Sekiranya anda berasa tidak senang hati dengan penulisan berteraskan ajaran Al-Quran, yang mungkin didapati bertentangan dengan ajaran sesetengah ulama anda, maka tinggalkan sahaja laman ini.
Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau mengkhianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.
Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa ia menyedihkan kamu, apa yang mereka mengatakan; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka mendustakan, tetapi orang-orang yang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka menyangkal." (6:33)
Pemilik blog bukanlah seorang pakar agama, pakar kesihatan mahupun pakar perkahwinan, justeru itu, pemilik blog tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan profesional berkaitan hal ehwal agama, kesihatan, psikologi perkahwinan atau kaunseling rumahtangga dan undang-undang secara mendalam. Pengunjung dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pakar dalam bidang berkaitan bagi masalah / kemusykilan yang dihadapi.
Mengamalkan apa yang disiarkan di blog ini tanpa merujuk kepada dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang semakna atau hampir semakna dengannya, bukanlah tindakan yang bijak. Yang baik datangnya daripada Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan pemilik blog sendiri.
Terima kasih kerana berlapang dada membaca cebisan ilmu yang tidak seberapa di blog ini.
My site is worth$23,559.74Your website value?
KITA BERTANYA: KENAPA AKU DIUJI?
QURAN MENJAWAB: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”- Surah al-Ankabut ayat 2-3
KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
QURAN MENJAWAB:“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”- Surah al-Baqarah ayat 216
KITA BERTANYA: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”- Surah al-Baqarah ayat 286
KITA BERTANYA: KENAPA RASA SEDIH DAN KECEWA (FRUST)?
QURAN MENJAWAB:“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”
- Surah ali-Imran ayat 139
KITA BERTANYA: APAKAH YANG HARUS AKU LAKUKAN?
QURAN MENJAWAB: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di
KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB:“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”- Surah Al-Baqarah ayat 45
KITA BERTANYA: APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.....”- Surah at-Taubah ayat 111
KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
QURAN MENJAWAB: “Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”- Surah at-Taubah ayat 129
KITA BERKATA: BAGAIMANA JIKA AKU TIDAK MAMPU BERTAHAN LAGI??!!
QURAN MENJAWAB: “.....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”- Surah Yusuf ayat 12