Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Hujung-hujung tahun 2011 dan awal-awal tahun 2012 ini mulalah mata melilau mencari apa yang berkenan di hati. Maklum ajelah, vitamin 'B' sudah ke akaun masing-masing. Rakan sekerja di sebelah sibuk melayari internet, ada ternampak gambar kapalterbang, ops... buat cargo tracking... Gambar lain yang sering muncul pula ialah jam tangan dan benda favourite kaum hawa iaitu handbag. Cantik-cantik juga gambar handbag yang dilihatnya. Harap tak beli online, nanti terjadi insiden tak puas hati, payah pula hendak membuat proses pemulangan...
Ada wanita yang suka handbag kecil. Senang untuk dibawa dan tak berat untuk disandang. Saya pula memang menggemari handbag yang agak besar, tapi tidaklah sebesar beg seret atau beg cargo. Hu hu...
Fesyen handbag untuk tahun baru
Menurut majalah Nur Januari 2012, trend handbag tahun ini ialah “lebih besar, lebih baik”, mengikut tema pilihan pereka handbag. Sangat sesuailah untuk wanita yang memerlukan tempat yang lebih besar untuk memuatkan pelbagai keperluan seperti peralatan solekan, telefon bimbit, beg duit dan sebagainya.
Pilihan warna tahun ini pula adalah merah terang, ungu, biru gelap dan untuk mereka yang lebih berani dan chic pula, kelompok warna merah jambu, jingga dan hijau lemon boleh menjadi pilihan. Pastikan handbag yang akan dipilih nanti mempunyai tali yang pendek dan lebar kerana ia boleh disangkutkan ke bahu dan juga dibimbit sahaja.
Sungguhpun trend “lebih besar, lebih baik”, jika hendak mendapatkan handbag yang besar, agak-agak jugalah besarnya bagaimana, ya. Janganlah terlampau besar hingga menenggelamkan penampilan atau menyusahkan anda untuk membawanya. Haruslah diingatkan, handbag besar lebih mengundang perhatian peragut yang sememangnya menunggu peluang lebih mudah untuk beroperasi.
Bercakap tentang handbag besar, janganlah sampai kita terpalit pula dengan sindrom handbag berat. Iyalah, jika handbag besar, tentulah macam-macam boleh disumbat, akhirnya handbag menjadi berat.
Sindrom handbag berat
Handbag sepatutnya penambah gaya bukan penambah berat atau mengkelam-kabutkan penampilan. Ramai juga yang tidak boleh ataupun tidak perasan kenyataan ini ditujukan kepada mereka kerana tidak menyangka mereka adalah antara yang terkena sindrom handbag berat.
Kadang kala ramai yang terlupa, handbag bukan beg pakaian kembara. Ia sangat berbeza daripada segi bentuk dan saiz. Cuba kita ambil pot dan tanya beberapa orang yang sentiasa ke sana ke mari dengan handbag besar, agak-agak berapa kilogram beratnya, ya? Tidak kiralah samada wanita bujang, ada anak ramai, ada anak seorang mahupun yang tiada anak, tidak dapat dibezakan sekarang kerana ramainya yang mendapat sindrom handbag berat ini.
Adakah kita tergolong di antara salah seorang daripada yang mendapat sindrom ini? Cuba kita buat checklist, apa yang ada di dalam handbag kita? Dompet, telekung, kunci, telefon, net book, baju gantian, payung, air mineral, gincu dan bekasnya, cermin, buku nota, buku akaun, pen, pencil, liquid paper, nail clipper, pad (in case of emergency), kertas penyerap minyak muka, minyak wangi, krim tangan, gula-gula, gula-gula getah, biskut, iPod, duit siling, diari, buku, majalah, sabun muka, tisu tandas, botol susu, diapers anak dan bermacam lagi.
Beg tangan yang memberat isinya sebenarnya adalah beban yang membuatkan pergerakan terbatas, juga memberi masalah. Bayangkan anda seorang diri dan hendak ke tandas awam dengan beg tangan seberat empat kilogram yang mengembung dan bersilang-silang di bahu. Penyangkut di tandas kadang-kala ada, kadangkala tidak. Jika ada pun, ia mungkin sudah tercabut kerana handbag yang disangkut kebanyakannya berat dan tidak mampu ditampung kerana terlalu berat.
Sudah semestinya handbag yang besar dan berat mempunyai risikonya pada jangka masa panjang. Menurut seorang pakar, handbag yang berat apabila disandang di bahu dalam jangka masa lama memang boleh mengundang risiko tidak sihat. Antaranya sakit bahu, lenguh-lenguh badan, mengganggu kesimbangan postur badan dan tidak mustahil membawa kepada sakit tulang belakang.
Kita mungkin tidak merasa kesannya sekarang, tetapi di kemudian hari, handbag berat yang menjadi gaya hidup akan menunjukkan belangnya dan memudaratkan kesihatan. Bukan hanya sakit belakang dan bahu tetapi ia juga boleh mengakibatkan sakit di tengkuk, kaki dan pening kepala.
Pengguna handbag berat dianjurkan membuat tukaran tempat sandang dengan selang selikan bahu yang membawanya setiap 5-10 minit dan tidak menumpukan kepada bahu yang sebelah sahaja.
Cara mengubah diri daripada terikat dengan sindrom handbag berat:
* Gunakan handbag kecil. Biar handbag anda hanya muat mengisi dompet, telefon, pen dan buku nota.
* Beg dan isi handbag harus kurang daripada dua kilogram saja.
* Beli handbag yang sedia ringan. Mungkin harganya sedikit mahal, tetapi beg yang berat adalah pemula beban kita. Beg yang penuh dengan tambahan zip, poket dan hiasan lain selalunya lebih berat, jadi pilih beg yang ringkas.
* Mulakan dengan mengehadkan jumlah yang boleh ada di dalam beg. Contohnya anda hanya boleh mempunyai lima barang di dalamnya. Dompet, telefon, buku nota kecil, pen dan kunci. Tanamkan azam dan anda pasti boleh melakukannya.
* Bedak, gincu, pembayang mata, pemerah pipi dan pelembap bibir. Betulkah anda perlu semua ini sepanjang masa? Mungkinkah anda tidak memakainya melainkan sudah kebiasaan ia berada di dalam beg tangan? Apa kata tidak perlu membawanya lagi.
* Handbag yang besar dan berat mengganggu pergerakan berbanding handbag yang kecil dan ringan. Memang pada mulanya kita rasa tidak biasa, tetapi alah bisa tegal biasa. Tukar selera ketika membeli handbag. Cari yang kecil dan ringan saja.
Apa hendak dibuat dengan handbag anda yang besar dan berat yang sudah banyak menjadi koleksi di dalam almari? Ia masih elok dan agak mahal harganya. Apa salahnya dijual dengan harga rendah kepada orang lain ataupun sedekah sajalah.....
Capaian entry berkaitan :
* Wanita dan handbag
* Wanita dan handbag - bab 2
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...