“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Memaparkan catatan dengan label Keibu-bapaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keibu-bapaan. Papar semua catatan

Sabtu, April 14, 2012

Celik fardu ain sokong tugas ibu






Assalamualaikum dan salam sejahtera,



Pengetahuan ilmu fardu ain merupakan kewajipan ke atas setiap mukallaf termasuklah golongan wanita. Lebih-lebih lagi yang bergelar ibu. Ibu-ibu perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu-ilmu fardu ain agar kehidupan seharian diri dan keluarganya diredhai Allah S.W.T. Imam al-Ghazali dalam kitab masyhurnya Ihya’ Ulumuddin mentakrifkan ilmu fardu ain sebagai ilmu tentang cara amal perbuatan yang wajib. Orang yang mengetahui ilmu yang wajib dan waktu wajibnya, bererti dia sudah mengetahui ilmu fardu ain.


Perlu diambil perhatian bahawa sesetengah amalan fardu ain itu berbeza perlaksanaannya antara lelaki dan wanita. Contohnya sebahagian cara solat lelaki tidak sama dengan cara solat wanita seperti kedudukan tangan sewaktu sujud di mana tangan wanita mestilah dirapatkan ke badan. Begitu juga dengan penutupan aurat di mana aurat wanita adalah seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan, sedangkan aurat lelaki di antara pusat dan lutut.


Perbezaan-perbezaan ini menuntut wanita mencari ilmu pengetahuan fardu ain secara lebih mendalam bagi memastikan amalan yang dikerjakan itu sah dan diterima Allah S.W.T.


Pentingnya fardu ain bagi wanita


Terdapat beberapa sebab mengapa ilmu fardu ain amat penting dalam kehidupan wanita terutama yang bergelar ibu.


Antaranya:


1. Tidak dibelenggu kejahilan


Wanita hari ini perlu keluar dari belenggu kejahilan lantaran status orang yang jahil begitu hina di sisi Allah SWT. Firman-Nya bermaksud: “Adakah sama antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Surah az-Zumar: 9)


Orang yang jahil tidak berpeluang merasai kebahagiaan sebenar di dalam hidupnya. Bagaimana mungkin baginya menghargai nikmat Allah SWT sedangkan dia tidak tahu apa itu nikmat. Bagaimana pula dia ingin menjadi hamba Allah  SWT yang taat dan mengajak anak-anaknya taat kepada Allah sedangkan dia tidak tahu apa itu ibadah.


Orang jahil tidak akan mendapat hidayah Allah  SWT sama ada untuk melakukan perkara-perkara yang disyariatkan atau perkara-perkara yang berhubung secara langsung dengan kehidupan. Ibnu Qayyim memberi peringatan tentang bahayanya sifat jahil, “Kecacatan dalam hati adalah berpunca daripada hati yang dipenuhi kejahilan dan kezaliman.”


2. Prasyarat amal kebajikan diterima Allah


Wanita hari ini perlu sedar kewajipan mempelajari ilmu fardu ain supaya setiap amalan kebajikan diterima Allah SWT. Alangkah ruginya seorang wanita yang mengerjakan solat sedangkan auratnya tidak sempurna ditutup yang membawa kepada tidak sahnya solat. Bayangkanlah jika setiap amalan yang dilakukan, tanpa ilmu dan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syariat tentulah amalan itu sia-sia.Sekiranya amalannya tidak diterima Allah SWT, maka:


a) Jiwanya sentiasa resah gelisah
Keresahan hati ini berpunca dari hubungan yang jauh dari keredhaan Allah  SWT. Orang yang ditimpa keresahan sering merasakan jiwanya kekosongan, cemas tak tentu pasal, murung tanpa sebab, sedih dan perasaan yang tidak menentu yang akhirnya bukan sahaja mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan tetapi turut menjejaskan kesihatan mental. Kehidupan sehariannya tidak berjalan lancar serta boleh menimbulkan masalah kepada keluarga, rakan sekerja dan masyarakat di sekelilingnya.


b) Hatinya menjadi keras dan mati
Individu yang amalannya tidak diterima Allah SWT akan menjadi keras dan mati hatinya malah berani melakukan dosa. Mereka tidak dapat melihat dosa yang dilakukan sebagai satu kesalahan. Oleh itu mereka tidak bertaubat dan kesan tidak bertaubat, sudah pasti Allah SWT akan menutup pintu hatinya. Menurut hadis, bila seorang Mukmin itu melakukan satu dosa maka satu titik hitam akan mengotori hatinya tetapi jika dia bertaubat dan memohon keampunan Allah, hatinya akan menjadi bersih. Sekiranya dia menambah dosa maka hatinya terus bertambah hitam sehingga diselubungi kegelapan.


3. Memudahkan tugas membimbing anak


Ibu wajib mengetahui tentang solat, haid, nifas, membaca al-Quran dan sebagainya supaya dapat membimbing anak-anak menjadi insan soleh atau solehah. Sebagai contoh jika anak-anak perempuan didatangi haid, ibu perlu menerangkan tentang larangan-larangan sewaktu haid seperti dilarang membaca, menyentuh dan memegang al-Quran, berpuasa, solat dan sebagainya.


Ibu-ibu juga wajib menjelaskan kepada anak-anak perempuan mereka kewajipan mandi hadas selepas suci daripada haid. Sekiranya ibu-ibu sendiri tidak mengetahui perkara fardu ain begini, bagaimana dia ingin mengajarkan anaknya? Bahkan ada ibu-ibu yang tidak tahu haram berpuasa sewaktu kedatangan haid.


4. Tahu membezakan halal haram


Wanita yang mempunyai pengetahuan ilmu fardu ain yang sempurna tahu membezakan antara perkara yang halal dan haram. Kejahilan tentang perkara halal dan haram akan menyebabkan individu itu lebih kurang sama sahaja dengan orang-orang yang tidak beriman.


Dalam Islam, peraturan halal dan haram diterangkan dengan begitu jelas sekali. Dijelaskan dalam sebuah hadis bahawa yang halal dan haram itu nyata, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang kesamaran (syubhat), yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang memelihara dirinya daripada segala yang samar, sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatannya dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara samar, jatuhlah ia ke dalam yang haram.


Dalam kehidupan seharian seorang wanita tidak kira sama ada sebagai remaja, dewasa, ibu, mak cik, nenek dan sebagainya, selagi dia seorang Muslimah, dia tidak akan terlepas daripada peraturan halal dan haram yang ditetapkan oleh Allah  SWT. Sebagai contoh, seorang wanita perlu tahu perkara-perkara berkaitan nikah. Siapakah walinya? Siapakah lelaki-lelaki yang haram dikahwininya? Apakah tanggungjawabnya setelah bergelar isteri dan ibu?


Banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan dan jawapan-jawapan tersebut hanya diperolehi menerusi proses belajar dan mencari ilmu pengetahuan berkaitan fardu ain dan fardu kifayah.


5. Untuk mendapat redha Allah


Keredhaan Allah SWT hanya akan diperolehi oleh orang-orang yang beriman dan bertakwa. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman jika kamu bertakwa kepada Allah  SWT  nescaya Dia mengadakan bagi kamu petunjuk yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah SWT sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Surah al-Anfal: 29)


Bertakwa bermaksud menjunjung segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah  SWT. Hakikat taqwa pada pancaindera ialah meninggalkan segala maksiat manakala taqwa pada hati ialah dengan mengikhlaskan hati di dalam beramal.


Seseorang yang jahil tentang ilmu fardu ain tentulah tidak tahu cara-cara ingin menjunjung perintah Allah  SWT ataupun menjauhi segala larangan-Nya. Malah dia juga tidak tahu yang manakah perintah dan yang mana pula larangan Allah. Lebih merbahaya lagi jika perintah Allah itu disangkanya larangan dan larangan itu disangkanya pula perintah Allah. Individu begini terlalu merbahaya kepada agama Islam itu sendiri malah ditakuti kesesatannya itu turut menyesat dan mengelirukan orang lain. Jika dia seorang ibu, dia mungkin menyesat dan mengelirukan anak-anaknya.


Oleh itu bagi para Muslimah yang sudah atau bakal bergelar ibu, tuntutan melengkapkan diri dengan ilmu fardu ain jangan diperkecilkan. Tidak akan sempurna tanggungjawab sebagai ibu tanpa asas ilmu fardu ain yang mantap. Kalaupun dapat membina kehidupan yang nampak bahagia di dunia, ibu ini tidak ada suluhan ilmu untuk menyelamatkan anak-anaknya dari api neraka dan menempah kehidupan bahagia di akhirat.


Sumber : Salasiah Hanin Hamjah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM di GaleriIlmu

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, April 07, 2012

Anak lewat cakap




Tiada kaitan jantina, mungkin petanda anak alami masalah pendengaran, autisme

SEAKAN wujud satu persepsi dalam kalangan masyarakat yang mengaitkan jantina sebagai alasan bagi kanak-kanak yang lewat bercakap. Tidak hairanlah, kita sering mendengar dialog seperti “kalau dibandingkan dengan budak perempuan, budak lelaki memang lambat bercakap’. Namun, adakah tanggapan ini benar?

Mengajukan persoalan itu kepada Terapis Pertuturan Bahasa Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Basyariatul (Basha) Fathi Othman, sebaliknya menyifatkan pandangan itu hanyalah mitos.

“Kanak-kanak yang lambat bercakap tidak boleh dibezakan dengan jantina. Cepat atau lambat kebolehan bercakap itu, sebenarnya banyak dipengaruhi persekitaran, termasuk pemilihan permainan. Budak perempuan dikaitkan dengan cepat pandai bercakap kerana jenis permainan mereka seperti ‘main masak-masak atau main pondok-pondok’ itu boleh menjadi satu proses pembinaan pertuturan,” ” katanya.

Menurutnya, sambil bermain masak-masak itu, mereka akan mengajuk cara ibunya memotong sayur, menjaga adik dan menukarkan pakaian. Perbuatan itu akan bersulam dengan pengeluaran ayat. Sekiranya dilakukan secara berulang-ulang kebolehan bercakap akan menjadi semakin lancar.

“Ini berbeza dengan budak lelaki. Kebanyakannya suka bermain kereta mainan, atau ‘pencuri-polis’. Tidak banyak perkataan dapat dikeluarkan menerusi permainan berkenaan melainkan bunyi ‘vroom’ enjin kereta atau perkataan ‘lari’ dan ‘tangkap’ dari mulutnya. Secara langsung faktor permainan amat mempengaruhi kebolehan mereka bercakap. Justeru saya fikir ada baiknya kalau budak lelaki turut sama bermain permainan budak perempuan kerana nyata bentuk permainan itu membina kebolehannya bercakap dan kognitif lain termasuk penggunaan motor tangan serta kaki. Penggunaan otak dan pergerakan badan menerusi perbuatan akan mempercepatkan mereka belajar perkataan baru, seterusnya membina ayat dengan baik,” katanya.

Namun, bilakah masanya atau tahap usia kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai lewat bercakap dan perlu mendapatkan bantuan?

“Kanak-kanak yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun setengah. Kalau lewat daripada itu, ibu bapa boleh membawa kanak-kanak bertemu dengan terapi pertuturan bahasa untuk menentukan sama ada anak mereka mengalami masalah. Masalah bercakap hanya boleh ditentukan oleh Terapi Pertuturan-Bahasa kerana dalam setiap kes dirujuk. Kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap. Ibu bapa yang mengesyaki anaknya berhadapan masalah bercakap, perlu segera merujuk kepada Terapi Pertuturan Bahasa kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme atau masalah masalah lain. Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu,” katanya.

Apakah bezanya antara masalah bercakap dengan pertuturan? Katanya masalah lambat cakap dikaitkan pelbagai faktor komunikasi termasuk kurang rangsangan untuk bercakap.

Bagi masalah pertuturan pula, adalah biasa untuk kanak-kanak kecil yang mula belajar bertutur untuk mengeluarkan bunyi-bunyi yang ‘pelat’ kerana ini adalah proses normal. Pelat atau ‘proses-proses fonologi’ ini berlaku sehinggalah sekitar lima hingga enam tahun di mana bunyi-bunyi pertuturan kanak-kanak akan terus bertambah baik dan akan menyamai bunyi-bunyi pertuturan orang dewasa. Apabila kanak-kanak tidak berjaya mengatasi ‘pelat’ ini pada tahap umur berkenaan, maka masalah pertuturan perlu dibantu oleh patologis pertuturan-bahasa.

Jelasnya seseorang bayi itu bersuara mengeluarkan kata - kata membebel atau ‘baby talk’ seperti aa , aa , ahggege , bababa , dededed , mamamam , nanana dan seterusnya sebelum dapat mengeluarkan perkataan yang bermakna. Dalam usaha merangsang kanak-kanak cepat bercakap, ibu bapa digalakkan bercakap dengan mereka walaupun ketika itu mungkin si kecil pada usia bayi.

Mengenai kemungkinan kanak-kanak lambat bercakap akibat penggunaan pelbagai bahasa di rumah menyebabkan kanak-kanak mungkin keliru, Dr Basha berkata, ia tidak semestinya berlaku kerana kanak-kanak menyerap bahasa bagaikan span dan tahu membezakan bahasa bila sampai masanya.

Pada peringkat awal, sesetengah kanak-kanak yang bertutur pelbagai bahasa mungkin ada menunjukkan sedikit kelambatan dalam menguasai kesemua bahasa yang dituturkan. Bagaimanapun, ini akan diatasi secara semula jadi. Dalam sesetengah kes, ibu bapa mungkin dapati anak-anaknya lebih bijak bercakap bila tahu banyak bahasa.

Tidak dinafikan unsur genetik adalah satu lagi sebab mengapa kanak-kanak lambat bercakap.

“Untuk mengelakkan berlakunya masalah bercakap bagi kanak-kanak, ibu bapa perlu memastikan supaya tahap pertuturan yang mereka gunakan adalah sepadan dengan umur anak mereka. Peluang untuk kanak -kanak mereka mendengar bahasa dan menggunakannya mestilah mencukupi di dalam persekitaran mereka.”

“Jika ibu bapa atau penjaga selalu bercakap cepat, menggunakan perkataan yang tidak sepadan dengan kebolehan kanak -kanak mereka memahamimya sudah tentulah akan memberi kesan yang negatif kepada perkembangan pertuturan kanak -kanak mereka. Penggunaan bahasa adalah perlu untuk perkembangan intelek seseorang kanak -kanak. Perkembangan intelek pula dipengaruhi oleh tahap penggunaan bahasa. Jika kanak -kanak lambat bercakap pembelajaran mereka di masa hadapan akan terjejas.”

“Sebetulnya selain daripada kesihatan tubuh badan , tahap pemakanan yang baik, keadaan fizikal dan mental yang baik , persekitaran yang penuh dengan stimulasi adalah perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk menggalakkan perkembangan bahasa optimum,” katanya.

Jelasnya masalah bercakap selalunya menjadi petanda kepada masalah lain yang lebih besar, termasuk masalah pendengaran, atau autisme.

“Segeralah merujuk kepada pakar dapat membantu mengesan masalah dihadapi kanak-kanak. Selain Hospital Kuala Lumpur dan hospital besar di setiap negeri, ibu bapa boleh ke Klinik Audiologi & Sains Pertuturan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur yang khusus mengendalikan mengenai masalah berkaitan.

FAKTA: Klinik Audiologi & Sains Pertuturan Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur

* Ia adalah klinik pengajaran bagi mahasiswa UKM yang diselia oleh audiologis dan terapi patologis pertuturan-bahasa yang bertauliah

* Menyediakan kepakaran dalam menilai, mencegah serta mengendalikan masalah pendengaran dan komunikasi

* Menyediakan kelengkapan peralatan klinik yang canggih

* Antara klinik pendengaran dan pertuturan terawal ditubuhkan dan masih menjadi pusat rujukan utama dalam negara.

Tel : 03-92895040/92895041.


Butiran selanjutnya ...

Isnin, Mac 26, 2012

Bukan isu keluarga - Permasalahan sosial remaja perlu ditangani semua

Terap nilai kasih sayang dalam aktiviti keluarga

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

KITA dikejutkan dengan berita kehilangan ramai remaja perempuan sejak mutakhir ini. Kehilangan ini berpunca daripada kejadian culik atau sengaja lari dari rumah atas faktor marahkan keluarga atau mengikut teman lelaki yang hubungan mereka tidak direstui keluarga.

Daripada kes kehilangan remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan diculik dari sebuah hentian bas di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada 31 Januari lalu sebelum berjaya diselamatkan Polis Thailand di Bangkok pada 11 Mac lalu, dan disusuli pula dengan kejadian seorang lagi remaja Tingkatan Tiga di Kuantan yang mendakwa diculik, tetapi timbul fakta terbaru kononnya dia melarikan diri ke rumah keluarga teman lelakinya. Terbaharu, berita remaja perempuan dilarikan oleh seorang lelaki pula menghiasi akhbar. (Rujuk : Ibu tanggung derita dakwa anak gadis dilari kekasih)

Kes yang pastinya disambut keluhan berpanjangan selain akan diamati ramai bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Beberapa kes yang bukan pertama atau yang terakhir, tetapi seharusnya dibimbangkan kerana ia boleh berulang lagi dan lagi dan lagi.

Kejadian ini seperti menggambarkan permasalahan akhlak di kalangan generasi muda hari ini agak membimbangkan. Individu yang sanggup merogol, menyeksa dan membunuh adik Nurul Nadirah pada hakikatnya hanya berjasad manusia, tetapi hati dan jiwanya lebih jahat daripada binatang.

Ramai remaja kini terbabit dalam masalah moral dan akhlak rendah dengan begitu mudah melanggar peraturan dan undang-undang negara sedia ada dengan terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti merogol, membunuh, menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi ahli kongsi gelap.

Kata orang, jiwa remaja jiwa bergelora. Ada rasa resah, duka dan gejolaknya. Cuma apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti remaja hilang atau diculik, bukan hanya jiwanya saja yang terbabit, sebaliknya keluarga serta masyarakat turut sama berkecamuk. Apa yang pasti, bukan sedikit yang mencemuh dan tidak kurang juga yang sedari awal ‘menghukum’ remaja itu yang dilihat kemaruk bercinta monyet tanpa memperdulikan perasaan keluarga. Tidak kurang pula, cercaan turut dilemparkan terhadap keluarga yang disifatkan tidak pandai menjaga anak. Hampir tidak kedengaran kritikan atau kutukan kepada lelaki yang bersubahat dalam ‘penculikan’ tersebut.

Persoalannya, apakah wajar kita bersikap sedemikian? Adakah tindakan ‘bersubahat’ sebegini diterima masyarakat? Apakah perlu setiap kali berlakunya kejadian yang menjadi cubaan kepada masyarakat, pada masa sama reaksinya, ‘padan muka’, ‘alah... bukan anak aku, lantaklah!’ dan sebagainya terpacul di mulut?

Hakikatnya, reaksi sedemikian ibarat ombak yang mungkin mengalih pasir, tetapi tidak mungkin dapat melenyapkan pasir itu sama sekali. Masalah remaja atau social yang berlaku di depan mata bukan lagi menjadi eksklusif kepada keluarga itu semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada hak milik masyarakat kerana itulah ‘cermin’ atau wajah masyarakat kita hari ini.

Pada peringkat sekolah, menurut satu kajian yang pernah dibuat Kementerian Pelajaran pada 2004, hampir separuh kes pelanggaran disiplin yang berlaku berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri seperti sentiasa bersifat menentang, bertindak mengikut perasaan, nakal, malas dan sebagainya. Banyak pihak sudah menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara atau kaedah yang perlu diambil bagi membendung permasalahan ini.

Andai ada remaja bermasalah, tidak kiralah di Kuala Lumpur atau Kuantan mahupun Tapah, di bandar mahupun di ceruk kampong – semuanya ada cerita atau impaknya bukan kena atas batang hidung remaja itu dan keluarganya, tetapi hakikatnya hanya menunggu masa untuk menimpa keluarga lain sekiranya persoalan atau masalah asasnya tidak diendahkan.

Andainya anda tidak percaya, biarlah kenyataan dan statistik ini menjadi peringatan. Menurut Kaunselor Berdaftar yang juga Pakar Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh, kita-kira 5 daripada 10 remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang bermasalah, cenderung untuk lari dari rumah. Angka ini hasil kajian sesi kaunseling dan seminar keibubapaan yang dilakukannya sendiri.

Apa yang menyedihkan, remaja ini mendakwa dengan melarikan diri dari rumah dapat menyelesaikan masalah dan meredakan tekanan dihadapi tanpa menyedari mereka sebenarnya berisiko terdedah kepada masalah lebih serius andai tidak dibendung. Keadaan pasti lebih teruk apabila remaja itu dilamun cinta menyebabkan mereka mudah dikaburi dengan ayat-ayat manis sehinggakan tergamak menipu ibu bapa atau keluarga demi bersama insan disayangi. Keluarga yang memelihara mereka sedari kecil tetapi akhirnya diketepikan atas nama cinta monyet yang tidak membawa ke mana.

Selain itu, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, yang mengulas Laporan Khas akhbar ini mengenai remaja hilang akhir tahun lalu, pula mendedahkan, kajian terhadap 379 remaja yang pernah lari dari rumah pada 2010, menunjukkan mereka mengakui bahawa tekanan menyumbang kepada faktor utama, selain 105 kes membabitkan pengaruh kawan, ingin bebas (55), bergaduh dengan keluarga (41), bosan (38) dan kurang kasih sayang (35).

Mengejutkan, bukan? Ke semua fakta itu dilontarkan pakar yang ‘masak’ dengan remaja kerana berdepan dan mengendalikan permasalahan golongan itu. Statistik yang diberikan pula bukan mencerminkan keseluruhan gambaran dan bagaimana pula angka tidak rasmi? Atau kes yang tidak dilaporkan atas alasan keluarga mengelak malu?

Namun begitu ada beberapa kaedah dan langkah yang diambil tidak langsung meninggalkan kesan. Kini, masyarakat semakin gusar dengan wujudnya kes culik, bunuh dan rogol di kalangan kanak-kanak bawah umur yang sedang hangat diperkatakan kini. Senario yang agak genting ini jika dibiarkan berterusan, pastinya akan membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.

Dalam waktu kita bercakap mengenai strategi mencapai tahap negara maju seperti diimpikan dalam wawasan perdana, hakikatnya semua anggota masyarakat secara keseluruhannya turut memainkan peranan besar bagi menjana kemajuan tersebut seiringan dengan proses pembangunan rohani masyarakat, tugas ini jika ingin dilihat meninggalkan kesan yang terbaik, maka ia perlu dilakukan secara kolektif atau bersama.

Apa yang berlaku di depan mata kita hari ini adalah sesuatu yang membimbangkan. Fenomena remaja lari dari rumah hanya atas nama kasih atau keseronokan sementara sewajarnya membuka mata semua dan mengakui ia masalah bersama.

Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuan dimiliki seseorang individu.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Sesuai dengan situasi mengejar kemajuan yang begitu drastik mutakhir ini, maka amat wajar kesedaran daripada semua pihak perlu ditingkatkan memandangkan kemajuan yang dicita-citakan adalah tanggungjawab bersama. Justeru, tugas atau peranan membendung dan membanteras gejala sosial ini tentulah juga menjadi beban tanggungjawab yang harus dipikul bersama untuk menanganinya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada dinyatakan tanggungjawab setiap umat mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku depan mata sama ada dengan lidahnya, tangannya dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya menyatakan kebencian dan kejelekan terhadap maksiat dan kemungkaran yang berlaku itu.

Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang sedang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju dan arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelak mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai jenis gejala sosial yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada diri mereka sendiri.

Bukan setakat mengawasi dan mengawal pergerakan mereka, ibu bapa juga perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan dengan diiringi nilai kasih sayang yang berpanjangan. Anak memerlukan perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa. Justeru, jika ibu bapa dengan sengaja atau tidak mengabaikan tugasan berat lantaran terlalu sibuk mengejar kemajuan diri dan keluarga tanpa mempedulikan anak dan menyelesaikan permasalahan yang sering melanda anak remaja, siapakah yang harus dipersalahkan?

Keluarga juga seharusnya perlu lebih prihatin dengan anak mereka – bukan sekadar bertanyakan soal pelajaran, tetapi kenal rakan-rakannya baik di depan mata, sekolah mahupun di Facebook. Ketepikan soal ‘tidak mengapa, biasalah anak remaja suka berkawan’ sebaliknya peka apa yang sedang dilakukan oleh si anak.

Sebagai anggota masyarakat, kita seharusnya lebih peka dengan persekitaran – apa yang berlaku kepada anak jiran, siapa rakan yang datang bertandang dan menegur andai ada yang bersikap mencurigakan, adalah antara caranya. Mungkin ada ibu bapa yang tidak suka anaknya ditegur rakan atau jiran, tetapi itu lebih baik daripada membiarkan anak hanyut tanpa rasa takut atau aib terhadap tindak tanduknya. Ringkasnya, lebih baik bergaduh sekarang daripada menyesali apabila nasi sudah menjadi bubur.

Kita bersyukur dengan beberapa tindakan dan langkah drastik yang diambil Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk menyekat jenayah berat yang dikatakan banyak menyumbang ke arah gawatnya gejala sosial yang melanda negara.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, riwayat Ibnu Majah, baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu.”

Justeru itu, semua anggota masyarakat perlu sama-sama berusaha memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah Taala sudah berpesan dalam kitab suci Al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa jua bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan. (maksud ayat 2, surah al-Maidah)




Sumber : BHarian - Kawal tingkahlaku anak agar tidak bertindak liar dan BHarian - Bukan isu keluarga.

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Mac 25, 2012

45,000 budak hidap Disleksia



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Amat mengejutkan berita yang dibaca di BHarian 24/03/2012. Menurut berita yang dilaporkan, kira-kira 50% daripada lebih 90,000 kanak-kanak negara ini yang menghidapi masalah pembelajaran sejak usia lima hingga enam tahun berpunca daripada masalah Disleksia. Perangkaan diterima Persatuan Disleksia Malaysia daripada Kementerian Pelajaran mendapati nisbah menunjukkan lima daripada 100 orang kanak-kanak berpotensi mengalami keadaan itu dan ia amat membimbangkan.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata pihaknya kini dalam usaha merancang bersama kementerian bagi mewujudkan satu program khusus untuk kanak-kanak yang menghidap Disleksia supaya ditempatkan dalam kelas khas dan diajar guru khas. Kebanyakan sekolah tidak dapat mengesan penghidap Disleksia selagi kanak-kanak itu belum menjalani pemeriksaan, justeru mereka cenderung meletakkan mereka dalam kelas pendidikan khas dengan alasan mengalami kesukaran dalam pembelajaran.

Menurut Sariah lagi, program dalam pendidikan khas kurang sesuai untuk penghidap Disleksia, sebaliknya mereka memerlukan program dan kaedah pembelajaran khusus bagi mengatasi masalah ini. Adalah difahamkan, ada sesetengah sekolah memberi kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pelajar Disleksia, sedangkan mereka bukan mengalami penyakit yang kronik, tetapi hanya keadaan mereka yang sukar mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bertutur.

Apa itu disleksia?

Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang yang menghidap disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan penghidap yang lain.

Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi penghidap disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas. Kanak-kanak ini akan diberikan bimbingan dengan betul untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan ibu bapa apabila dewasa.

Ciri-ciri penghidapnya

♥ Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
♥ Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
♥ Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
♥ Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'd' dan 'p' dianggap 'q'.
♥ Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
♥ Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
♥ Sering berlaku di kalangan lelaki.
♥ Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
♥ Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.

Punca-punca disleksia

Mengikut Mercer, 1997; Hammond dan Hughes, 1996 dan Spaafford dan Grosser,1996, antara punca-punca disleksia ialah;

• Keturunan atau genetik
o Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah-masalah yang sama. Kemungkinan punca ini boleh diwarisi yang membezakan adalah darjah keterukannya. Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia desebabkan oleh kromosom 15, 1 dan 16 yang boleh diperturunkan secara turun-temurun

• Biologi
o Sejarah kanak-kanak disleksia biasanya adalah semasa dilahirkan tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan. Sebahagian daripada kerosakan otak yang menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar dan kerosalan ini minimum

• Kematangan
o Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangnya pada banagian tertentu dalam sisitem saraf. Pada kebiasannya kanak-kanak lelaki lambat matang daripada kanak-kanak permepuan. Kelewatan kematangan pada kank-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia

Rawatan untuk kanak-kanak disleksia

Berikut adalah beberapa cadangan untuk rawatan kanak-kanak disleksia. Apa pun ia bergantung kepada kesesuaian keadaan kanak-kanak.

1. Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal.
2. Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
3. Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi.
4. Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
5. Membacakan cerita untuk anak-anak dan sentiasa mendampingi mereka.
6. Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.
7. Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap perihatin dalam mengekalkan suasana harmoni.
8. Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik.
9. Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai.




Sumber : BHarian 24/03/2012, Ms.Wiki ~ Disleksia

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Mac 24, 2012

Anakku stres!


Tekanan tidak ditangani sejak kecil boleh melarat sehingga dewasa

ANAK anda berusia 10 tahun tetapi sikapnya panas baran. Bukan setakat mengeluh, mengucap dan berbuih mulut anda menasihatinya tetapi sikapnya tetap sama. Bukan setakat itu saja, malah dia mudah naik angin, merosakkan barang dan menangis.

Persoalannya, apakah ia sesuatu normal?

“Tidak,” ringkas jawapan Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, yang mengaitkannya masalah yang menjurus kepada tekanan.

“Sekiranya anak-anak didapati tidak dapat mengawal tekanan, ibu bapa perlu mencari penyelesaian dengan mengenal pasti punca berlakunya tekanan kepada anak-anak dan memahami tanda yang menunjukkan anak tertekan.”

Ini boleh dilakukan dengan bantuan psikiatri. Kanak-kanak yang tidak dibantu mengawal tekanan, boleh mendorong berlakunya masalah tingkah laku yang mungkin dibawa hingga ke dewasa. Jika keadaan berlarutan dan semakin teruk, anak-anak boleh dirujuk kepada ahli psikologi klinikal atau doktor psikiatri di wad kanak-kanak. Perlu diingatkan, merujuk psikiatri bukan bererti anak berhadapan masalah terlalu besar, sebaliknya langkah awal menangani dan mengetahui punca.

Apa juga perkataan atau ejaannya, tekanan atau ‘stres’ memiliki maksud yang sama. Setiap individu darjah tekanan berbeza, sama ada banyak atau sedikit dan dikawal dengan baik atau sebaliknya.

Untuk dewasa, tekanan dialami mungkin boleh dikurangkan menerusi aktiviti bersukan dan berbual-bual dengan teman. Kanak-kanak yang masih kecil, berharap sepenuhnya kepada ibu bapanya, tidak banyak boleh dilakukan selain daripada menangis dan mohon simpati bagi meraih perhatian. Bagi ibu bapa yang tidak dapat memahami erti tekanan dialami si kecil, mereka kerap kali melabelkan bahawa mereka ‘degil’, mengada-gada atau buat perangai.

Tekanan membawa maksud sama bagi orang dewasa, tetapi orang dewasa ‘tidak melihat sesuatu tekanan berlaku di kalangan kanak-kanak’ sebaliknya melihat tabiat seperti menangis dan merajuk itu adalah ‘perangai biasa kanak-kanak’. Tekanan juga tidak ada sempadan usia.

Satu kajian mengenai kaitan antara tekanan dengan perkembangan otak mendapati hormon stres cartisol ada ketika kandungan berusia 17 minggu. Ia boleh terjadi menerusi pendedahan stres yang dialami oleh ibunya. Bila ibunya berasa tertekan yang teramat sangat, ia akan menghasilkan hormon cortisol berkenaan. Buruknya, kesan tekanan itu kerana ia boleh memberikan kesan kepada saraf dalam otak janin yang boleh menyebabkan perkembangan kecerdasan atau IQ menjadi rendah. Sebab itulah orang selalu kata ibu hamil tidak boleh tertekan sebab ia boleh beri kesan pada kandungan.

Apabila otak bayi menerima stimulasi berlebihan terhadap stres dan apabila otak yang menerima input fizikal dan emosi diabaikan (iaitu dengan membiarkan bayi menangis sendirian berulang kali), bayi berpotensi menghadapi Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) 10 kali ganda berbanding bayi biasa. Malah kajian juga mendapati kesihatan intelektual dan sosial bayi tidak berkembang dengan sihat manakala ahli neurobiology pula mendapati hormon ini dapat mempengaruhi perkembangan minda bayi.

Apa punca stres? Stres boleh disebabkan pelbagai faktor. Sama ada dianggap kecil oleh orang dewasa seperti lapar, terkencing dalam seluar atau yang besar seperti perceraian ibu bapa, berpindah sekolah atau kawasan tempat tinggal baru dan sebagainya.

“Asal saja ia menimbulkan rasa tidak selesa atau tidak menyeronokkan, ia adalah punca berlaku tertekan dalam diri kanak-kanak. Sayangnya ibu bapa mungkin tidak menyedari sesuatu itu membawa rasa tertekan kepada anak-anak, sebaliknya dianggap biasa. Lebih malang apabila ibu bapa beranggapan anak degil dan tidak mahu mendengar kata,” katanya.

Tanda-tanda tekanan pula, adalah pelbagai kerana tidak menunjukkan perubahan nyata. Namun, perubahan sikap daripada pendiam kepada kuat bercakap atau sebaliknya, kerap sakit perut dan sakit kepala, mengigau ketika tidur adalah antara tanda-tanda jelas. Jika anak mengadu berkaitan perkara itu, ibu bapa perlu mengambil tindakan segera bertanya kerana kanak-kanak mungkin tidak tahu bagaimana untuk menerangkan masalah dihadapi itu.

“Saya pernah berhadapan dengan kes seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang berhadapan masalah kencing malam. Sukar mengorek cerita daripada mulut kanak-kanak itu. Akhirnya si ibu bertanya sendiri dengan kawan baik anaknya. Rupa-rupanya anaknya berhadapan masalah dibuli dan apabila masalah itu selesai, anaknya tidak lagi kencing malam,” katanya.

Persekitaran baru termasuk memasuki Tahun 1 contohnya juga boleh juga menimbulkan tekanan pada si kecil. Apabila secara tiba-tiba persekitaran menjadi serba baru. Kalau sebelum ini mereka hanya berada di tadika sekerat hari, tiba-tiba bila masuk sekolah dirasakan waktu persekolahan terlalu lama.

“Mereka mungkin terfikir kenapa buka mata saja kena sekolah? Kena berdisiplin. Mereka boleh tertekan dengan perubahan itu tetapi kebanyakan ibu bapa memikirkan masuk sekolah Tahun 1 adalah sesuatu yang biasa dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan satu masalah. Kerana mungkin ibu bapa mereka juga dulu tidak pernah bercerita mengenai hal berkenaan (suasa baru di sekolah). Lebih daripada itu sebahagian besar kita mengambil berat mengenai hal ehwal psikologi itu sendiri dan berharap sebarang perubahan yang baik itu diketahui anak itu sendiri tanpa diberitahu, sedangkan kanak-kanak perlu diberitahu,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, ibu bapa mungkin boleh melukiskan peta ringkas perjalanan dari rumah ke sekolah. Menceritakan keadaan bersekolah dan berhadapan kawan baru.

Mengambil contoh di negara maju United Kingdom, kebanyakan tadika akan melakukan ‘waktu peralihan kelas’ pada bulan terakhir persekolahan sebelum sesi baru bermula bagi kanak-kanak yang akan memasuki Tahun 1. Menegaskan mengenai kepentingan psikologi, kanak-kanak yang mengalami stres dan tidak ditangani dengan baik, atau membiarkan mereka hidup dalam tekanan boleh menyebabkan mereka mengalami masalah tingkah laku termasuk masalah disiplin termasuk vandalisma atau nakal.

“Perbincangan dalam keluarga amat perlu kerana kanak-kanak hari ini suka bertanya. Ada ibu bapa mengadu kandang-kala anak-anak terlalu kerap bertanya sampai dia sendiri malas menjawabnya apatah lagi bila baru saja pulang daripada kerja. Tetapi janganlah sampai begitu. Sebaliknya jelaskan kepada anak-anak, Mama penat baru balik kerja, kita berbincang sekejap lagi. Dengan itu kanak-kanak akan faham. Yang penting kita perlu didik dan beritahu kerana kalau tidak, anak-anak akan menganggap ibu bapanya tidak sayang kepada dirinya,” katanya.

INFO: Urus tekanan

KELEBIHAN didik anak urus tekanan sendiri bukan saja memudahkan anda, sebaliknya membentuk mereka menjadi insan lebih bahagia dan kurang stress. Kerja sekolah yang semakin banyak, peperiksaan selain hubungan bersama rakan sebaya adalah cabaran yang tidak dielakkan daripada dihadapi. Apabila kanak-kanak sedari kecil dapat mengawalnya dengan baik, besar kemungkinan mereka menjadi anak-anak cemerlang dalam hidup.

* Bernafas - Tarik nafas adalah pelega paling baik dalam mengawal rasa tertekan selain mengelak daripada berhadapan dengan masalah dalam cara yang akan mewujudkan tekanan tambahan untuk diri mereka sendiri atau orang sekeliling.

* Melukis - Melukis boleh jadi cara si kecil menyampaikan maklumat. Ia turut bertindak mengalih perhatiannya untuk jadi lebih tenang.

* Komunikasi - Bertanya dan ajak si kecil bercakap mengenai masalah dihadapi itu. Jangan buat tidak endah sebaliknya lihat matanya ketika bercakap.

* Bersukan - Bersukan turut menguatkan otot dan ia amat disenangi anak-anak. Bermain lari-lari umpamanya bukan saja lebih sihat sebaliknya mengelakkan daripada rasa tertekan.

* Sentuhan - Urutan bahagian belakang badan dapat melegakan sesiapa saja, tidak terkecuali si kecil. Urut bahagian belakangnya sudah cukup menyerlahkan sisi ambil berat dalam diri anda terhadap dirinya.

* Makanan - Makanan bergula serta makanan ringan yang mempunyai MSG menyebabkan kanak-kanak mempunyai tenaga berlebihan dan selalunya kanak-kanak kerap diberikan makanan sebegini lasak. Bila mereka disuruh duduk diam mereka akan memberontak atau stres.

* Optimis - Stres antara cabaran hidup dan manusia tidak dapat lari darinya, tetapi individu perlu tahu menanganinya dengan cara yang betul dan optimis. Galakkan di kecil untuk bertahan dan mengambil risiko kerana ia boleh membantu mereka membesar menjadi orang dewasa yang gembira dan sihat.

ANDA ada masalah dengan anak atau ada sikapnya yang membimbangkan? Kongsi masalah anda bersama Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-Kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis. Hantar soalan anda ke e-mel bhnita@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Unit Ratu, Berita Harian, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.




Petikan : BHarian 14/02/2012

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Mac 19, 2012

Bahaya! Anak ketagih gadjet


Assalamualaikum warahmatullah,

Apakah anak-anak anda terselamat dari bahaya ketagih gadjet? Setelah membeli bermacam-macam gadjet terbaru, perasan tak perubahan perangai anak-anak? Ya, mereka jadi tidak sensitif lagi. Makan tak mahu duduk semeja, masing-masing suka memerap dalam bilik melayan ‘game’, Facebook dan YouTube sepanjang hari. Ibu tak dilayan, ayah lagi mereka tak perasan, bagaimana hendak belajar?

Tak hairan kalau prestasi mereka merosot di sekolah, jangan biarkan gadjet menjajah anak-anak kita! Bayangkanlah jika ia seolah-olah dijadikan ‘Tuhan’, manakan tidak, kalau tidak kalau setiap saat sentiasa digenggam.

Waktu terus berlalu, mereka semakin dewasa. Malangnya tidak cukup masa bagi anda untuk meninggalkan kesan-kesan bererti yang akan mereka ingati sepanjang hidup. Bagaimana kalau anda tidak sempat mengajarkan mereka cara sembahyang, mengenal Allah, mengamalkan akhlak Rasulullah SAW?

Takkan gadjet itu yang akan menyelamatkan mereka dalam kubur kelak? Oleh itu, sebelum melepaskan anak-anak, sebebas-bebasnya menggunakan alat canggih itu, baik anda fikirkan kesan-kesanya nanti, bila nak digunakan dan apa aturan menggunakannya. Ada mesti disiplinkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi mangsa ketagih gadjet.

Sebagai ibu bapa, anda perlu hadapi tatangan ini dengan ilmu keibubapaan yang cukup. Anak zaman sekarang terlalu canggih hati dan perasaannya. Orang tua mesti bersikap lebih proaktif menangani gejala kecanduan ini. Wajarkah dibiarkan anak anda tumbuh dengan ‘jiwa main-main’ yang membentuk sikap tidak bertanggungjawab? Jangan terkejut kalau anak-anak tidak pedulikan orang tuanya kerana sibuk melampiaskan nafsu gadjetnya!

Bagaimana cara didikan bersifat interaktif mengikut sunnah Rasulullah SAW yang boleh membantu anda menangani masalah ini?

1 – Ðialog, jangan banyak berleter

Anda puas hati kalau boleh meluahkan kemarahan anda kepada anak, bukan? Berleter memang menyeronokkan, apatah lagi kalau anak anda tak berani menjawab, membela diri atau melawan leteran anda. Tapi, adakah diamnya itu tanda dia ok? Siapa pun tak mahu terima jika dipersalahkan seratus peratus. Mereka diam sebab malas hendak melayan anda saja, bukan bermakna sertuju apa yang anda leterkan. Leteran anda itu jadi tidak berguna sama sekali dan buang masa sebenarnya. Elok lagi anda ajak anak berbincang sambil ingatkan dia dengan kata-kata perangsang untuk berubah.

Rasulullah SAW pernah didatangi seorang pemuda yang berterus-terang meminta izin mahu berzina. Baginda SAW ridak terus menghukum, memarahi apatah lagi memulaukan pemuda ini. Bahkan dengan cara penuh kecerdasan, diajaknya pemuda itu berdialog. Apakah dia setujuk jika ada seorang lelaki berzina dengan ibunya atau dengan saudara perempuannya? Akhirnya pemuda itu insaf dan faham mengapa zina itu amat dibenci oleh agama dan budaya masyarakat yang suci. Ikutlah cara Rasulullah SAW yang amat bersabar dengan memperbanyakkan dialog, bukan monolog yang menyakitkan hati.

2 – Puji untuk bangkitkan kesedaran

Anak yang bermasalah menandakan dia kurang disentuh, banyak dikasari atau langsung tidak dipedulikan. Bukankah kelembutan menjadi rahsia kejayaan didikan Rasulullah SAW kepada sahabat-sahabatnya? Contoh sabda Rasulullah SAW yang banyak memuji sahabatnya supaya mereka lebih bersemangat mempertingkatkan kemahiran akhlak dan keimanan.

“Sebaik-baik pemuda adalah Salamah bin al-Akwa.”

Sabdanya lagi, “Orang yang paling amanah dalam umat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrah.”

Ðan sabda Rasulullah SAW lagi, “Seandainya Umar al-Khattab berjalan di suatu tempat maka syaitanpun memilih jalan lain.”

Sabda Rasulullah lagi, “Sebaik-baik pemuda adalah Abdullah bin Umar jika dia tetap menjalankan solat lail.”

3 – Jadual seimbang

Tak mungkin anda menyekat terus keinginan anak-anak yang suka berhibur, bermain dan bersantai-santai. Tapi cubalah jelaskan tentang keutamaan yang perlu didahulukan dalam kehidupan. Buatlah jadual yang seimbang untuk keperluan emosi, rohani, jasmani dan minda anak. Beri ganjaran setiap kali anak berdisiplin memenuhi jadual dengan baik. Jangan berlebihan menyekat kegembiraan mereka dengan didikan ala-ala militeri. Allah SWT menegaskan tentang keutamaan berlembut di dalam al-Quran, “Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali-Imran 159)

4 – Kenali Allah SWT sebelum kenal gadjet

Gadjet bukan musuh anak, ia boleh dimanfaatkan untuk pendidikan jika betul caranya. Mengapa takut dengan gadjet jika anda ajar anak menggunakannya dengan amanah? Ibu bapa yang bertanggungjawab, tidak sesekali biarkan anak berleluasa menggunakan gadjet sebebas-benasnya.

Jangan buka pintu kejahatan untuk anak dengan tangan anda sendiri. Awasi dan temani anak melayari gadjetnya dengan kesedaran bahawa Allah SWT Maha Melihat. Pastikan iman anak telah cukup kuat untuk menepis godaan maksiat tawaran gadjet. Anak perlu diingatkan setiap masa, mereka sering lalai sebagaimana kita manusia dewasa. Kecintaan kepada Allah SWT perlu ditanamkan sebelum mereka asyik mencintai permainan dan hiburan. Ajari anak bertanggungjawab dan adil mengisi masa mereka, untuk dunia dan akhirat mesti seimbang.

Banyak ilmu yang boleh diteroka dalam duania internet dan tidak sedikit jurang bahayanya, jika anda menemani, Insya Allah selamat melayari samudera ilmu sejati. Ilmu yang boleh mendekatkan diri kepada Ilahi kini di hujung jari.




Sumber : Ðr Juanda Jaya, MW#1469

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Mac 17, 2012

Rangsang minat membaca



Wujudkan pelbagai aktiviti bersama si manja seawal usia

IBU bapa mana yang tidak bimbang, apabila melihat anak kesayangan masih lagi gagap dalam pertuturan apatah lagi sukar untuk membaca. Sedangkan rakan seusia mereka sudah bijak mengeja dan petah berkata-kata.

Apabila berada dalam situasi begitu, ramai ibu bapa mengambil jalan mudah dengan ‘memeras’ anak mereka yang masih kecil untuk terus membaca dan mengeja tanpa menggunakan kaedah yang betul yang hingga akhirnya mendatangkan tekanan buat si kecil.

Keupayaan dan perkembangan kanak-kanak berbeza, walaupun mereka berada di peringkat usia yang sama. Sesetengah kanak-kanak mampu bertindak pantas dalam mengawal kebolehan mereka dan sesetengah juga terpaksa berhadapan dengan kesukaran bergantung kepada waktu dan pertumbuhan yang dilalui anak itu sendiri.

Jadi, sebelum ibu bapa mengambil keputusan drastik untuk membantu perkembangan anak dalam membaca, mengeja ataupun bercakap, mereka haruslah terlebih dulu mengkaji keupayaan dan masalah yang dilalui si manja memandangkan di samping sekolah, rumah adalah tempat terbaik untuk anak belajar dan berkembang.

Ibu bapa ibarat guru pertama dalam kehidupan anak yang sedang membesar. Di rumah, mereka mendengar dan melihat dan belajar untuk bertutur dan memberi tindakan terhadap setiap perkara yang berlaku kepada diri mereka. Maka lebih banyak bahasa yang digunakan, lebih cepat anak menyerap dan menggunakannya sebagai alat berkomunikasi.

Sehubungan itu, seawal kanak-kanak belajar untuk menyebut perkataan pertama mereka, tindak balas yang diberikan secara tidak langsung mendidik mereka mengenai erti dan penggunaannya. Pada masa sama, perlahan-lahan mereka belajar menggunakan setiap perkataan dikembangkan menjadi perkataan hingga tahu bertutur secara sempurna.

Di samping itu, lakukan proses bacaan dengan anak-anak menggunakan penerapan kaedah harian mereka. Ibu bapa perlu tahu bagaimana untuk menarik perhatian anak tatkala melakukan aktiviti bacaan bersama mereka. Lakukan dengan penuh berhemah dan tepat namun menerapkan elemen yang menyeronokkan sesi itu.

Komunikasi antara dua pihak memainkan peranan yang penting supaya keupayaan kanak-kanak untuk menyebut dapat diasah. Biarkan anak belajar dan membaca dengan senang mengikut peringkat bacaan dan kebolehan. Ibu bapa juga boleh menyuruh anak mereka untuk bercerita kepada mereka apabila anak sudah mula tahu membaca bahkan pelbagaikan bahan yang digunakan dalam mendidik mereka.

Selain membaca buku berita dan kaedah komunikasi, teknik membaca boleh dimulakan dengan mempelajari huruf terutama anak yang berusia antara enam ke 12 tahun. Lakukannya dengan menggunakan gambar rajah dan ulangi mengikut minggu. Kaedah ini adalah antara cara terbaik untuk memori anak.

Dalam mendidik minat anak untuk membaca, salah salah satu cara terbaik didik minat membaca dan biarkan mereka sendiri memilih bahan bacaan yang di ingini. Bawa mereka ke perpustakaan mahupun kedai buku untuk melakukannya secara bebas. Buku yang menarik minat mereka akan memukau hasrat anak dalam meneruskan aktiviti itu.

Ibu bapa juga perlu memberikan motivasi positif terhadap anak dengan menunjukkan minat dalam mentelaah tidak kira sama ada ia daripada majalah, akhbar mahupun novel. Ini secara tidak langsung mewujudkan persoalan dan akhirnya mencipta minat buat anak dalam menjalani proses pembelajaran seperti ibu bapa mereka.

Lakukan juga jadual bacaan seperti waktu pagi selepas sarapan atau petang sebelum keluar bermain dan malam sebelum tidur. Setiap bahan yang digunakan hendak berbeza dan menarik. Biarkan anak anda rasa senang dengan alat bantuan belajar yang digunakan.

Akhir sekali, minta maklum balas anak anda. Penilaian dan perbincangan adalah sebahagian penting daripada pengalaman yang positif membaca buku. Tanya soalan seperti adakah mereka menggemari buku yang dibaca itu, mengapa, siapa watak kegemaran dan seiring dengannya. Jangan pula nanti anda yang terkejut jika mereka mahu baca semula buku yang sama sekali lagi. Ini bermakna anda melakukan tugas anda dengan baik dalam memupuk sikap membaca.

Kesimpulannya, dalam mendidik anak, ibu bapa seharusnya tahu dan jangan terlalu menekan hanya kerana rasa tercabar melihat anak jiran boleh membaca dan bertutur lebih fasih dari anak anda.

Dekati anak dan cuba mencari puncanya, jika ia tiada kaitan dengan masalah pembelajaran, lakukannya dengan tenang dan berperingkat dalam masa sama bekalkan kaedah yang menyeronokkan buat anak-anak anda.

Lima langkah sesi bacaan lebih menarik dan berkesan:

* Membaca bahan bacaan dengan kuat.

Membaca dengan nada yang kuat adalah cara efektif untuk mengesan perkembangan kanak-kanak berbanding dilakukan secara senyap. Ia juga antara cara untuk membina perbendaharaan kata, kemahiran perhatian dan kefahaman serta keyakinan kanak-kanak,

* Sentiasa membawa buku bersama.

Lakukan aktiviti membaca tiap kali mempunyai masa lapang. Sama ada sedang menunggu bas atau menantikan hidangan yang dipesan di restoran kegemaran anak anda.

* Hidupkan penceritaan.

Jadikan penceritaan kepada realiti. Jika anak-anak anda didedahkan dengan bahan bacaan yang berkaitan dengan haiwan atau lain-lain supaya dapat melihat dan mengalami pengalaman yang sebenarnya.

* Jadi rakan pembaca anak anda.

Laungkan masa bersama. Cari waktu yang tepat untuk duduk di sisinya membiarkan mereka melakukan pembacaan sambil anda mentelaah buku kegemaran anda.

* Jadikan buku sebagai bahan asas.

Sentiasa kemas kini senarai bahan bacaan anda dan juga anak-anak nada. Pasti mereka sentiasa didedahkan dengan bahan bacaan yang menarik dan segar.




Sumber : Fatin Hafizah Mohd Shahar di BHarian 06/09/2011

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Mac 10, 2012

Anak-anak perlu dididik tentang wang



Anda perlulah mendedahkan kepada anak-anak tentang pengurusan kewangan bermula daripada sekarang. Ini dapat membantu mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan anda. Ðengan harga barang runcit yang semakin meningkat, anda sememangnya memerlukan bantuan daripada semua ahli keluarga dan tidak terkecuali juga daripada anak-anak. Mungkin ada di kalangan ibu bapa yang tertanya-tanya, “Perlukah anak-anak diberi pendidikan tentang wang?”

Untuk menerapkan nilai dan asas yang kukuh pada anak-anak

Mahu atau tidak, anda perlu mengakui bahawa pengurusan kewangan adalah satu keperluan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini yang semuanya memerlukan duit. Malangnya, ramai ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak mereka mengenai asas-asas pengurusan kewangan. Ini perlu diubah kerana mendidik anak-anak mengenai wang adalah sama pentingnya dengan mengajar anak mengenai perkara-perkara asas lain seperti memberus gigi, mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya. Pengajaran yang paling penting untuk disampaikan kepada anak-anak ialah kepentingan menabung dan mengelakkan pembaziran. Ini perlu dilaksanakan demi kebaikan anda dan anak-anak anda.

Ðuit tidak turun dari langit

Mungkin ada anak-anak pada zaman sekarang tidak mengamnggap bahawa mendapatkan duit itu satu perkara yang sukar. Semuanya dianggap mudah belaka oleh mereka. Cubalah bayangkan senario yang benar-benar berlaku ini : Seorang anak kecil meminta ibunya membelikannya mainan baru tetapi ibunya tidak mempunyai duit yang mencukupi dalam dompetnya untuk membelikan mainan tersebut, lalu si ibu berkata kepada anaknya, “Mak tak cukup duit nak belikan adik mainan ni.”

Si anak pula dengan lurusnya menjawab, “ATM kan ada. Mak keluarkan saja duit dari mesin ATM tu.”

Inilah fikiran kanak-kanak sekarang! Menakutkan bukan? Bagi mereka, wang yang dikeluarkan mesin ATM itu tidak ada kesudahannya, dan anada boleh ke mesen ATM pada bila-bila masa sahaja untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang anda mahu.

Kanak-kanak akan melalui satu peringkat dalam hidup mereka yang menyebabkan mereka ingin memiliki pelbagai jenis benda. Mereka mahukan itu, mahukan ini dan macam-macam lagi. Mereka tidak sedar bahawa untuk mendapatkan wang, anda sebagai ibu bapa perlu bekerja keras. Tidak semua yang dihajatkan boleh menjadi milik mereka. Apabila anak-anak sudah sampai ke peringkat ini, sudah tiba masanya untuk anda memberikan mereka pendedahan mengenai pengurusan kewangan.

Mendisiplinkan anak anda mengenai wang

Salah satu pengajaran yang paling penting dalam usaha anda mendidik anak-anak mengenai pengurusan kewangan ialah anak-anak perlu mengetahui bahawa mereka perlu mempunyai disiplin dalam berbelanja dan menguruskan wang. Ramai ibu bapa yang mungkin menggeleng kepada dan mengeluh sambil berkata, “Kanak-kanak sekarang bukan macam dulu. Bukan mudah untuk mengajar mereka supaya berdisiplin.”

Anda boleh berbahas mengenai isu disiplin ini, namun apa yang pasti ialah disiplin itu satu keperluan. Anak-anak perlu mempunyai disiplin, sama ada dalam konteks menyimpan wang dalam akaun simpanan mahupun sekadar dalam tabung di rumah. Apabila anak-anak mengenali perbezaan antara keperluan dan kehendak serta perlunya menabung, mereka akan mempunyai disiplin untuk menabung dan mengawal diri daripada membazir. Mereka juga akan berusaha dengan lebih gigih untuk berbelanja mengikut kemampuan diri.

Untuk mengelakkan anak anda daripada menjadi generasi hutang (generation debt)

Ramai anak-anak yang masih menuntut di universiti sudahpun mempunyai hutang yan gperlu mula dibayar apabila tamat pengajian. Contohnya pinjaman pelajaran atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Apa yang dikhuatiri ialah apabila memasuki alam pekerjaan, bukan saja pinjaman pelajaran yang perlu dibayar, tetapi ditambah pula dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya.

Jika hutang ini tidak dikawal, mereka mungkin akan dibelenggu hutang untuk tempoh yang lama. Keadaan ini mungkin akan melarat sehingga mereka sudah berkeluarga.

Oleh itu, bagi mengelakkan anak-anak daripada ditimpa masalah seperti ini, anda perlu membimbing mereka mengenai perancangan kewangan sejak daripada awal lagi.

Untuk menanamkan sifat pemurah dan dermawan pada anak-anak

Jika anak-anak anda dapt menguruskan wang dengan lebih baik, mereka akan dapat menabung dan melabur wang yang disimpan itu. Ði samping itu juga, wang lebihan itu boleh digunakan untuk menderma atau menolong kawan atau orang-orang susah. Inilah masanya untuk memberikan anak-anak pendedahan kepada golongan kurang bernasib baik agar mereka tahu menilai kepentingan jati diri yang baik dan sentiasa bersyukur dengan segala kemewahan dan kesenangan yang dimiliki.

Ðengan menggalakkan sikap dermawan dalam diri anak-anak pada usia muda, mereka akan membesar sebagai individu yang mempunyai sikap terpuji dan menghargai kesan positif yang dibawa mereka kepada persekitaran dan masyarakat sekeliling.




Sumber : BH06/10/2011

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Mac 03, 2012

Sifat inkuiri anak, bagaimana menghadapinya?


“Hujan datang dari mana ibu?”... “Kenapa Allah turunkan hujan?”

Persoalan-persoalan seperti ini dan banyak lagi berlegar-legar di minda si kecil. Langit yan gluas terbentang, padang yang menghijau semuanya mencuri perhatian si manja untuk menghampiri dan mengetahui asal usul kejadian yang maha hebat ini.

Sifat inkuiri bermaksud sifat ingin tahu dan keterujaan untuk mempelajari dan mendalami sesuatu perkara. Sifat ini akan terus menjalar dalam diri seseorang seiting dengan peningkatan usianya.

Inkuiri bermula seawal usia kelahiran anak-anak di muka bumi. Mereka belajar mengenal orang-orang di sekeliling, persekitaran, mengenal anggota badan sendiri dan beberapa pergerakan dilakukan untuk mendapatkan jawapan kepada perasaan ingin tahu mereka. Anak-anak kita sering melakukan eksperimen secara tidak langusng tanpa kita sedari.

Contohnya, pada peringkat umur dua hingga lima bulan, mereka cuba membalikkan badan dalam proses meniarap, mencapai sesuatu dengan tangan, menggunakan lidah untuk merasa sesuatu dan pelbagai lagi.

Pendek kata, semua yang ada di tangannya ingin dimakan. Seiring usia meraka menginjak ke 1-5 tahun, persekitaran mereka dirasakan lebih besar dan keinginan untuk mengetahui semakin meluap-luap. Kanak-kanak pada tahap ini sangat aktif untuk mengeksplorasi dunia mereka. Pelbagai persoalan mula timbul pada peringkat ini.

Terkadang mengalahkan soalan penemuduga lagaknya, kering idea dibuatnya. Tempat mereka meluahkan rasa ingin tahu ialah kepada orang yan paling hampir dengan diri mereka iaitu ibu dan bapa. Bagaimana untuk emnghadapi situasi ini...?


Awalnya kita perlu faham bahawa sikap anak-anak kita yang ingin tahu tentang sesuatu perkara adalah perkara yang normal dan merupakan suatu perkembangan yang positif. Perkembangan ini memberi gambaran bahawa mindanya beropreasi dengan baik.

Anak-anak tidak hanya akan bertanya tentang sesuatu perkara yang ingin diketahuinya, malah mungkin merefleksi perasaan tersebut dengan perbuatan. Contohnya, air panas, mereka intin tahu apa itu air panas, bagaiman rasanya dan apa akibatnya.

Perkenalkan anak dengan Pencipta

Minda anak-anak kita sentiasa berkembang dan data-data di dalamnya sentiasa mengalami proses penambahbaikan (update). Mungkin sewaktu dia ingin merasa air panasi itu, dia tidak tahu mengenainya tetapi sebaliknya apabila telah mengetahui, mereka akan simpan data tersebut di dalam minda mereka dan membentuk persepsi bagaimana rasa air panas, apa akibat jika air tertumpah ke atas tangannya atau terkena di mana-mana anggota badannya.

Perkara ini boleh diajarkan kepada anak dengan pelbagai cara. Ðemonstrasikan akibat di hadapan anak, dengan berpura-pura kesakitan setelah terpegang cawan yang berisi air panas, tunjuk berulang-ulang kali supaya mereka dapat merasakannya.

Ucapakan dengan perkataan, contohnya, “air ini panas sayang, sakit kalau kena tangan, nanti sudah sejuk kita minum, ya”. Ungkapkan dengan gaya yang menggambarkan maksud perkataan yang diucapkan serta berikan perumpamaan-perumpamaan yang mudah difahami.

Pemerhatian kanak-kanak cukup hebat. Kanak-kanak juga turut belajar daripada contoh yang ditunjukkan oleh orang di sekeliling mereka. Sebagai ibu bapa yang prihatin kepada perkembangan minda anak-anak, raikanlah soalan anak-anak kita. Persoalan yang bermain di minda mereka bakal membentuk persepsi dalam kehidupan mereka. Sebolehnya gunakanlah fakta yang betul dan mudah difahami oleh mereka. Soalan tidak semestinya dijawab dengan jawapan malah boleh juga dengan ajukan soalan kembali untuk mengetahui sejauh mana mereka tahu tentang sesuatu perkara itu.

Perkembangan sosial yang begitu pesat dewasa ini membolehkan anak-anak mengetahui sesuatu yang tidak kita sangkakan. Ðorong anak-anak untuk membaca bahan-bahan yang berfaedah untuk mengasah daya ingin tahunya, sulamkan bahan bacaan tersebut dengan asas agama yang kuat supaya anak-anak sentiasa dalam trek yang betul.

Persekitaran keluarga yang positif dan penuh dengan kedamaian beragama akan merangsang minda anak-anak kita ke arah yang positif. Apabila anak-anak mula bertanya itu dan ini, sebaiknya, kita perkenalkan dia dengan pencipta alam. Beritahunya, tentang kehebatan ciptaan-Nya dan tujuan penciptaan alam ini. Apabila perkara ini terus diperdengarkan kepada anak acap kali akan menyerap roh Islami dalam diri dan mindanya.

Seterusnya, tugas kita ialah memberi pandu arah kepada anak-anak kita untuk membina minda dan personaliti Muslim yang hebat berdasarkan persepsi atau tasawur Islam yang sedia melingkari ruang lingkup kehidupannya. Hadapi perasaan ingin tahu anak-anak dengan sulaman wahyu dan pengetahuan Islam seupaya title Islam dan seisi kandungannya tidak menjadi sesuatu yang jagon kepada fikiran dan pemikiran anak-anak kita.




Sumber : Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia di MW#1438

Capaian entry berkaitan :
* Menangani karenah anak
* Jadikan anak sebagai amanah
* Mendidik anak mengawal ego
* Hati-hati berkata ‘jangan’ kepada anak
* Berhemah didik anak degil

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Februari 25, 2012

Peka persekitaran anak



Ibu bapa wajib awasi sekeliling anak, amal langkah keselamatan di rumah

KEJADIAN budak perempuan berusia 10 tahun yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki yang merempuh masuk ke sebuah rumah di Kampung Baru, di ibu negara, baru-baru ini, bukan setakat menggemparkan tetapi cukup mencetuskan kebimbangan ramai, khususnya ibu bapa.

Apalah salah insan kecil yang belum mengenal erti jenayah, mahu pun dapat menghidu perbuatan jahat terhadapnya. Lebih menggerunkan, lelaki berkenaan secara melulu memasuki rumahnya - kawasan zon selamat bagi mana-mana penghuni. Namun, atas nama jenayah, lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah itu tergamak melakukan perbuatan itu dengan menjadikan anak kecil itu sebagai tebusan sehingga enam jam lamanya.

Bagi kita yang bergelar pemerhati sudah cukup berkocak risau, apalagi keluarga budak perempuan itu. Kejadian itu bukanlah yang pertama seumpamanya. Pada Julai tahun lalu, kejadian 30 murid dan empat guru sebuah tadika dijadikan tebusan oleh lelaki bersenjatakan tukul di Muar, Johor serta beberapa kejadian culik kanak-kanak yang ada di antaranya berakhir dengan duka.

Hakikatnya, pelanduk sentiasa melupakan jerat, namun jerat tidak pernah melupakan mangsanya. Perumpamaan ini boleh disamakan dengan kejadian yang menimpa nasib si kecil ini kerana mereka adalah mangsa paling mudah.

Memang sukar mengelak jenayah licik, tetapi ada baiknya setiap ibu bapa mahu pun penjaga mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak anak tersayang menjadi mangsa penjenayah tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah di gedung beli-belah, taman mahu pun kawasan tumpuan awam, anak-anak adalah sasaran mudah. Justeru, tindakan cuai ibu bapa mahu pun penjaga alpa atau tidak mengendahkan mereka hanya boleh mengundang bahaya. Ketika itu, andai anak hilang, apakah memadai dengan hanya menjadi panik, berteriak atau menangis? Apakah yang seharusnya dilakukan?

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, berkata perkara pertama yang perlu dilakukan ibu bapa jika anak hilang atau dipercayai diculik adalah dengan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa yang terdekat.

“Hilang dilarikan dan diculik adalah dua pengertian berbeza. Hilang dilarikan mungkin si pelaku mempunyai niat lain seperti ada hubungan dengan mangsa, tapi kalau diculik ia bertujuan meminta tebusan daripada ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Kamal Afendi, tindakan pertama perlu dilakukan ialah membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kehilangan anak. Dalam perjalanan menuju ke balai polis, ibu bapa boleh membuat hebahan kepada rakan dan taulan juga.

“Kebanyakan ibu bapa membuat kesilapan besar apabila mereka sendiri cuba mencari anak terlebih dulu sebelum membuat laporan kerana dalam tempoh satu jam jika mereka terlewat, penjenayah sudah bergerak jauh kira-kira 60 kilometer ke luar kawasan bersama mangsa dan macam-macam boleh berlaku yang membahayakan anak itu. Selain itu, ibu bapa perlu biasakan merakam gambar anak atau ahli keluarga yang lain daripada pelbagai sudut sama ada depan, tepi, sisi atau atas untuk memudahkan mana-mana individu melihat mangsa mengecam kanak-kanak hilang,” katanya.

Selepas membuat laporan polis, barulah ibu bapa boleh meluaskan carian kepada kawasan seperti rumah tinggal, tapak kilang, kawasan perkuburan, surau lama mahupun tokong atau stesen hentian yang mungkin sudah tidak digunakan kerana pelaku mungkin membawa mangsa ke kawasan berkenaan.

“Mungkin tidak terlintas di fikiran mengenai kawasan perkuburan atau surau lama, sebaliknya penjahat mungkin berfikir tempat sedemikian lebih sesuai. Sama juga dengan kawasan perkuburan, jangan ingat kerana ia kawasan kubur serta kawasan sunyi lain seperti tapak pembinaan lama atau rumah terbengkalai mungkin menjadi pilihan penjahat bersembunyi,” katanya.

Pada masa sama, ibu bapa juga boleh bertindak sendiri, menghubungi rakan dan kenalan serta tidak terkecuali menghubungi Talian Nur di nombor 15999 bagi memaklumkan kehilangan anak mereka.

“Oleh itu, ibu bapa perlu memahami mekanisme tindakan mengenai kehilangan, apakah yang perlu dilakukan sekiranya menimpa mereka,” katanya.

Mengulas kejadian yang menimpa budak perempuan di Kampung Baru, Kamal Affendi berkata, kes berkenaan tidak mustahil berlaku kerana penjenayah berada di mana-mana.

Kes sebegini boleh dijadikan iktibar atau peringatan untuk diri dan keluarga juga. Apabila berada di rumah sama ada masa santai atau anda di dapur, pastikan keselamatan adalah nombor satu dalam segala segi. Lazimnya kebanyakan rumah di negara ini mempunyai beberapa lapisan keselamatan. Pintu jeriji, pintu tengah dan selak pintu adalah kunci keselamatan. Pastikan jeriji dikunci walaupun semua anggota keluarga ada di dalam rumah kerana ia menghalang rumah anda dari diceroboh secara mendadak.

Walau keluar sekejap pun ke halaman, pastikan pintu pagar ditutup dan beringat. Baik individu dewasa atau kanak-kanak, disiplin ini perlu diamalkan kerana ia meletakkan kita dalam keadaan selamat.

Bagaimana pula dengan aspek emosi kanak-kanak yang menjadi mangsa kejadian culik atau tebusan?

Pakar psikiatri yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nik Shaliza Hussin, berkata perasaan trauma, terperanjat dan takut terhadap orang di sekeliling pasti berlaku.

“Ia adalah perkara di luar jangkaan, malah tidak pernah terlintas di fikirannya. Mangsa pasti akan berasa sakit dalam satu tempoh masa tertentu dan apabila dia mengingati semula kejadian berkenaan, dia akan berasa takut terutama apabila melihat orang kerana bimbang kejadian seumpama itu berulang kembali,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk pulih kembali ia bergantung kepada keadaan kerana trauma itu sendiri boleh terjadi dalam pelbagai bentuk. Apa yang penting ialah sokongan penuh daripada keluarga sendiri.

“Ibu bapa seharusnya bersedia menjadi seorang pendengar yang baik kerana anak mereka pasti akan meluahkan setiap rasa kebimbangan yang dialaminya itu. Selain daripada itu, mereka juga boleh membawa kanak-kanak itu untuk menghadiri sesi kaunseling. Jangan sesekali ibu bapa cuba untuk menghalang anak-anak untuk cuba meluahkan sesuatu kerana bimbang dia akan mengingati semula, terganggu dan takut, tetapi beri peluang dia untuk bercakap kerana ia mampu mengurangkan perasaan trauma itu,” katanya.

Bergilir-gilir awasi anak

SETIAP individu khususnya ibu bapa perlu lebih prihatin dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika membawa anak kecil di kawasan tumpuan orang ramai termasuk pusat beli-belah bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti hilang atau diculik.

Kakitangan Swasta, Nurhidayu Ramli, berkata isu kanak-kanak hilang atau diculik sering dipaparkan di dalam media massa dan elektronik menjadikan dirinya lebih peka apabila membawa anak keluar di tempat awam.

“Kalau mengunjung gedung beli-belah membeli barangan keperluan saya akan pastikan suami, Mohammad Faizal Abd Rauh, ada bersama bergilir-gilir menjaga anak kami, Muhammad Faiz Danial yang baru saja belajar berjalan. Diakui Faiz anak yang cerdas dan lincah. Dia suka meronta-ronta minta dilepaskan ketika didukung. Memang menjadi masalah supaya tidak alami sebarang masalah,” katanya ketika ditemui.

Tegas Nurhidayu, beliau tidak sekali-kali melepaskan Faiz berjalan tanpa pengawasan kerana tidak tahu apa akan berlaku jika terlepas dari pandangan.

“Budak kecil atau kanak-kanak, memang suka berjalan sendiri dan mahu dilepas bebas ketika berada di khalayak ramai. Saya akan pastikan suami memegang Faiz dan saya memilih barang keperluan. Kami akan bergilir memegang Faiz kerana tidak mahu dia bosan. Selain tidak mahu dia berjalan di celah orang ramai, tentu ada sesuatu yang akan ditarik atau mahu bersembunyi di sebalik rak pakaian di pusat beli-belah. Ini pasti susah untuk kami memantaunya. Lebih baik kami mendukung saja si kecil ini,” katanya.

Nurhidayu berkata, beliau turut memerhatikan kanak-kanak lain yang berperangai begitu dan selalu kelihatan seperti tiada arah dituju.

“Saya agak ngeri apabila memikirkan ada anak yang dibiarkan berjalan atau merayau sendirian dalam kawasan dipenuhi orang awam. Ke mana agaknya mereka nak tuju sekiranya terpisah daripada ibu bapa yang sibuk memilih pakaian. Kalau bertembung keadaan ini, saya akan ikut kanak-kanak berkenaan atau pimpin tangannya dan bertanya mengenai ibu bapa. Saya tidak sampai hati membiarkan mereka sendirian, seboleh-bolehnya saya akan memastikan mereka bertemu kembali dengan ibu bapa atau penjaga,” katanya.

INFO - Tip keselamatan:

* Jika didapati anak hilang, ambil tindakan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

* Simpan potret anak atau ahli keluarga di rumah dengan pelbagai sisi.

* Ambil tahu dengan siapa anak berkawan dan berhubung.

* Amalkan memantau kegiatan anak jika mereka kerap menghabiskan masa bersembang dalam talian.

* Pastikan pintu rumah berkunci untuk mengelakkan anak keluar tanpa pengetahuan.

* Sebarkan gambar anak atau mangsa di kawasan awam seperti stesen minyak atau hentian dan sertakan nombor telefon anda.

* Simpan talian kecemasan pihak berkuasa di rumah, termasuk nombor telefon rakan atau sahabat kepada anak anda.

* Sekiranya berlaku kehilangan, jangan panik. Rancang tindakan yang perlu dilakukan seperti memaklumkan kepada pihak berkuasa dan membuat hebahan pada awam.




Sumber : Shaidah Shafie dan Saadiah Ismail [bhnita@bharian.com.my] di BHarian 27/01/2012.

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Februari 18, 2012

Berkongsi hasrat hati dengan anak



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Setiap ibu bapa pasti inginkan anak-anak mereka menjadi insan cemerlang dan terbilang di dunia dan di akhirat. Menjadi anak-anak soleh yang boleh mendoakan kita kelak sewaktu kita sangat-sangat mendambakan pemberian itu di alam barzakh sana.

Alangkah sejuk dan bahagianya hati ibu apabila amak yang dibelai dengan penuh kasih sayang, dimanjakan sedari kecil, menyapanya dengan lembut dan memberikannya sepenuh perhatian selayaknya seorang ibu di saat diri mengira usia. Alangkah puasnya hati ayah jika anak yang dididik dan diasuh sedari kecil, menjadi manusia yang dibanggakan oleh agama dan negara di saat badannya menanti rebah. Begitulah harapan kita ibu dan ayah yang menggunung tinggi kepada anak-anak.

Bagaimana untuk menjadikan impian suatu kenyataan? Adakah perlu hanya dipendam tanpa pengetahuan anak atau mengungkapkannya setiap hari di telinga si anak? Tidakkah anak akan bosan mendengarkannya? Pelbagai persoalan menyinggah di dalam fikiran kita. Beratnya tugas mendidik, salah mencorakkannya, rosaklah kecantikan peribadi insan bergelar anak. Justeru, perkara sekecil ini tidak seharusnya dipandang enteng.

Anak perlu diberitahu tentang hasrat dan keinginan ibu bapa untuk dirinya. Perkara ini perlulah diungkapkan kepada anak sedari kecil setiap hari. Inikerana, perilaku dan perbuatan seroang manusia dibentuk dan didorong oleh petunjuk akal yang diberikan oleh Allah. Akal ini pula dirangsang dengan fakta daripada sekeliling. Teorinya, dalam minda manusia ada 2 segmen iaitu, minda sedar dan minda bawah sedar.

Minda sedar adalah minda logik yan gboleh membuat pilihan. Apabila pilihan yang sama diulang acap kali, pilihan tersebut akan berpindah ke mindah bawah sedar dan menjadi program. Program ini akan sentiasa diaktivasikan dan diterjemahkan menjadi perbuatan secara automatik seperti sebuah mesin basuh yang telah diprogramkan apabila butang ‘start’ ditekan, maka secara automatik mesin tersebut akan membasuh pakaian sehingga selesai.

Begitu ibaratnya koneksi antara minda bawah sedar dan tubuh kita. Minda sedar yang dirangsang oleh wahyu akan sentiasa membuat pilihan yang tepat dengan bantuan dan hidayah daripada Allah SWT. Jadi, tugas ibu bapa di sini, ialah memberi fakta yang positif dan dorongan yang positif untuk anak sentiasa memilih pilihan yang positif. Apabila anak melazimi pilihan-pilihan yang positif, pilihan tersebut akan diserap ke minda bawah sedarnya dan diprogramkan. Program ini secara automatiknya akan menggerakkan tubuh anak-anak kita untuk sentiasa menghampiri yang positif.

Contohnya, sedari kecil kita bisikkan ke telinganya, “Zaidan anak mama yang soleh, anak mama yang hebat dengan izin Allah.”

Ungkapan yang didengari acap kali sedari kecil ini akan merangsang mindanya untuk memilih perkara-perkara yang mendorong ke arah menjadi orang yang soleh dan hebat. Anak ini apabila ke sekolah contohnya, di kalangan kawan-kawan ada yang merokok, dia secara automatik akan menjauhi perbuatan itu, kerana perbuatannya telah dikawal dengan kawalan ketat oleh fakta “anak yang hebat dan soleh tidak akan merosakkan diri sendiri, rokok membinasakan diri maka perlu dijauhi”, yang telah deprogram di dalam minda bawah sedarnya.

Ðalam Islam, doa ibu bapa dikatakan kunci keramat untuk kejayaan seorang anak, begitu praktikalitinya di sini. Perkataan yang diungkapkan oleh ibu dan ayah merupakan doa untuk anak-anak mereka. Lidah kita boleh menjadikan anak kita terbina atau pun binasa. Justeru, ungkapkanlah perkataan-perkataan yang positif sahaja di depan anak-anak, kerana perkataan-perkataan tersebut akan membentuk peribadi dan perilaku mereka kelak.

Jika kita inginkan anak-anak yang sopan, kita perlu sentiasa ungkapkan kepada mereka dengan menyebut nama mereka, contohnya, “Wafa anak mama yang sopan, baik perilakunya”. Ulang-ulangkan perkataan ini dan jangan pula kita lupa untuk turut sama menunjukkan contoh sopan yang dimaksudkan supaya anak kita tidak keliru.

Bercakap dengan lembut, tidak meninggikan suara, bersalaman, murahkan senyuman dan pelbagai lagi perbuatan yang mendefinasikan sopan, mudah-mudahan anak kita jelas dan faham hasrat hati kita. Walaupun, andainya anak kita mula menunjukkan tanda-tanda nakal, luangkan masa untuk duduk dengannya, usap kepalanya, kucup dahinya dan ungkapkan, “anak ibu baik, anak ibu soleh”. Jangan diabaikan, walaupun nampaknya seperti remeh tetapi perbuatan kecil ini akan memberi impak yang hebat dan besar dalam diri anak-anak kita.

Ungkapkan setiap hasrat kita dengan penuh keyakinan bahawa anak kita dapat melakukannya. Jika ibu atau ayah yang mengungkapkannya sendiri tidak yakin bahawa anak boleh berjaya contohnya, apatah lagi anak yang mendengar. Ðoa ada tawakalnya, maka berdoalah kita sentiasa untuk mereka dengan penuh keyakinan dengan penyerahan kepada Allah SWT. Ðoa tidak terhad di dalam atau selepas solat sahaja, setiap ucapan kita kepada anak juga merupakan doa kita untuk mereka. Maka doa dengan yakin dan berserah kepada-Nya, pasti dimakbulkan.

Tuntasnya, berdoalah untuk mereka setiap kali dan setiap hari, ungkapkan doa tersebut dihadapan mereka dengan penuh kasih sayang, supaya anak kita tahu kita sentiasa inginkan yang terbaik untuk mereka dan merealisasikannya secara automatik dengan kuasa minda yang Allah SWT kurniakan dan dengan izin-Nya, insya Allah.

Jika anak sudah bercakap, minta dia bersama mengungkapkan sepertimana kita ungkapkan untuk dirinya. Justeru, untuk melahirkan anak yang hebat, kita juga perlulah menjadi ibu bapa yang hebat juga!




Sumber : Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, petikan MW#1436

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Februari 16, 2012

Tangani obesiti kanak-kanak

REMAJA Malaysia berisiko obes jika berterusan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat. - Gambar hiasan


PADA bulan April tahun 2011, kerajaan menguatkuasakan larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat di kantin sekolah bagi membendung risiko obesiti dalam kalangan pelajar sekolah. Langkah itu dilakukan berikutan Malaysia dilaporkan sebagai negara yang menghadapi masalah obesiti paling tinggi di Asia Tenggara dan berada di tangga keenam di Asia.

Menyedari hakikat itu, syarikat pengeluar makanan terkemuka, Nestle (Malaysia) Berhad baru-baru ini menganjurkan forum obesiti untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah obesiti selain membincangkan kaedah-kaedah untuk menangani masalah tersebut.

Pengarah Urusan Nestle Malaysia, Peter R.Vogt berkata, forum tersebut adalah inisiatif pihaknya untuk memberi kesedaran mengenai penyakit itu.

“Nestle telah memulakan beberapa inisiatif dengan menyediakan pendidikan mengenai pemakanan dan cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Salah satu program yang dijalankan ialah program Healthy Kids Nestle iaitu usaha untuk mendidik kanak-kanak ke arah pemakanan dan gaya hidup sihat serta menangani cabaran kekurangan khasiat dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak,” katanya pada forum obesiti di Kuala Lumpur.

Menurut Peter, pada tahun 2007 pihaknya bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan satu kajian susulan mengenai status pemakanan berkhasiat dan tabiat pemakanan dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah bagi menentukan perubahan.

“Kajian yang dijalankan pada tahun 2001 mendapati berlaku peningkatan sebanyak 12% dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai berat badan yang berlebihan,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, peserta forum berpeluang berinteraksi dengan panel Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Dr. Norimah A. Karim berkata, kajian yang dijalankan bersama Nestle berhubung status pemakanan dan tabiat makan pelajar sekolah rendah di Malaysia pada tahun 2007 hingga 2008 menunjukkan satu daripada tiga pelajar sekolah rendah ke sekolah mengabaikan sarapan pagi.

Menurutnya, banyak faktor boleh dikaitkan dengan kegemukan. Antaranya termasuklah pengambilan makanan berlebihan dan kurang melakukan aktiviti kecergasan.

Makan seimbang

“Kajian yang dijalankan ke atas lebih 11,000 murid sekolah rendah menunjukkan, kanak-kanak di Malaysia mempunyai tabiat makan yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Bahkan, kajian mendedahkan golongan tersebut lebih kerap makan makanan segera dan ringan. Mereka juga gemar menonton televisyen, bermain permainan kanak-kanak dan video turut menyumbang kepada peningkatan masalah obesiti,” ujarnya.

Sehubungan itu, untuk menggalakkan kanak-kanak mengamalkan cara hidup sihat mereka perlu dididik melalui corak pemakanan yang seimbang.

“Dalam konteks ini, usaha menangani obesiti bukan sahaja terletak di tangan pihak sekolah tetapi juga ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa. Sepatutnya ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup sihat sejak kecil. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka memilih makanan yang sihat,” nasihat Dr. Norimah.

Sementara itu, Dr. Chin Yit Siew daripada Bahagian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membentangkan kajian mengenai risiko obesiti dan kecelaruan pemakanan dalam kalangan remaja di negara ini turut bersependapat dengan Dr. Norimah.

Katanya, golongan itu terdedah dengan risiko obesiti kerana mengabaikan pengambilan makanan dan makan mengikut hawa nafsu.

“Pendek kata, remaja Malaysia sememangnya berisiko obes kerana mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat,” jelasnya.

Pengarah Bahagian Pemakanan, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Rokiah Don pula berharap pengeluar makanan perlu lebih bertanggungjawab dalam memasarkan produk-produk mereka.

“Mereka perlu peka dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985. Sebarang iklan yang keluarkan oleh syarikat makanan di televisyen perlu mematuhi akta berkenaan supaya masyarakat kita tidak disajikan dengan makanan yang tidak berkhasiat,” jelasnya.

Petikan : Kosmo!


Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails