“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Mei 31, 2009

Q&A : Saf lurus satu daripada kesempurnaan solat berjemaah

SOALAN:

Antara senario menyakitkan mata ketika menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid berhampiran KLCC ialah wujudnya masalah saf terputus yang mana kelompok jemaah berpecah. Begitu juga apabila solat di surau berhampiran rumah pula saya sering menyaksikan bapa membawa anak-anak yang tidak duduk diam dan seterusnya menyebabkan saf terputus. Persoalannya, apakah hukumnya apabila saf terputus? Apakah kita mendapat pahala solat berjemaah atau sebaliknya?

Haji Shaari, Selangor


JAWAPAN :

Antara perkara yang amat diambil berat dalam soal peraturan solat berjemaah ialah lurusnya saf, malah ia salah satu daripada kesempurnaannya. Dalam hadis sahih, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Luruskan saf, kerana ia adalah kesempurnaan mendirikan solat.” (Al-Bukhari no 723, Muslim no 1003).

Dalam hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah, ada tambahan, iaitu jika kamu tidak meluruskan saf, maka Allah SWT akan mewujudkan perselisihan pada hati-hati kamu. Dalam riwayat Ahmad pula, Nabi memberitahu kita, saf yang tidak dirapatkan antara bahu-bahu itu akan mengakibatkan kemasukan syaitan di antaranya, lalu ia merosakkan solat kamu (menghilangkan rasa khusyuk) (Riwayat Ahmad no 22317).

Malah, ketegasan lebih jelas apabila Nabi saw bersabda bermaksud: “Jangan sampai aku melihat celahan antara saf-saf.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir no 11453).

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat membuat kesimpulan berikut:

  1. Tuntutan merapatkan saf dalam solat dan larangan keras memutuskannya.
  2. Doa kehilangan keberkatan pada orang yang memutuskan saf atau menyebabkannya menjadi bengkok.
  3. Akan timbul perselisihan pada hati-hati mereka.
  4. Menyebabkan tidak dapat pahala berjemaah kerana terputus saf dengan jemaah yang lain.
  5. Sekiranya dilakukan dengan sengaja, ia haram kerana menyebabkan jemaah yang berada di samping kita turut tidak memperoleh pahala berjemaah yang dijanjikan dalam hadis-hadis yang sahih. Kewujudan tiang yang menghalang saf bercantum adalah suatu yang dimaafkan kerana ia adalah suatu yang tidak dapat dielakkan.
  6. Imam bertanggungjawab memberitahu makmum kewajipan meluruskan saf kerana ia adalah amalan Nabi SAW.

Dalam perkara kedua pula iaitu amalan membawa anak-anak ke masjid adalah suatu perkara yang amat digalakkan. Dalam banyak hadis sahih menunjukkan Nabi SAW menyegerakan solat apabila mendengar tangisan bayi kerana bimbang bahaya terhadapnya. Ini menunjukkan sahabat turut membawa anak bersolat berjemaah di masjid bersama Nabi SAW. Demikian pula Nabi SAW pernah ditunggangi oleh cucu baginda ketika sedang sujud hingga menyebabkan baginda melambatkan rukun berikutnya.

Berpandukan hadis ini, kalangan ulama meletakkan garis panduan tertentu untuk menjaga kepentingan roh solat agar sentiasa ada khusyuk dan selamat daripada najis yang boleh disebabkan oleh anak, antaranya:

  1. Kanak-kanak itu sudah pun mumayyiz
  2. Anak itu diletakkan dalam saf khas dalam kebanyakan sistem yang diguna pakai di masjid.
  3. Kewajipan ibu bapa atau imam memberi ingat kepada jemaah kanak-kanak agar berakhlak mulia ketika di masjid, terutama ketika solat berjemaah.

Ini antara adab penting yang mesti diikuti oleh umat Islam bagi melahirkan jemaah berkualiti yang menjadi objektif utama solat jemaah disyariatkan.

Sumber : BHarian 2009/05/31

Butiran selanjutnya ...

Memupuk nilai budi bahasa

Salam,

Masyarakat Timur terkenal dengan budaya dan sikap berbudi bahasa. Orang muda bertanya khabar dengan mereka yang lebih tua. Orang tua menegur si muda agar tidak tersasar jauh dari landasan jalan yang benar. Sifat saling sayang-menyayangi dan hormat-menghormati mampu mengenepikan ‘Kau, kau dan aku, aku.’. Namun nilai-nilai murni seumpama itu sudah kelihatan tercemar apabila masalah gejala sosial semakin meningkat.

Artikel ini menyentuh sikap berbudi bahasa yang mungkin boleh kita marakkan lagi dalam jiwa. Secara ringkas, sikap berbudi bahasa merujuk akhlak yang baik. Antara nilai-nilai baik seperti sopan, beradab, jujur, ikhlas, pemurah, belas kasihan, tolong-menolong dan berbakti. Orang berakhlak tinggi akan dipandang mulia, meskipun tidaklah sekacak atau secantik rupa dirinya. Ini kerana hati yang bersih akan terpancar pada wajah seseorang itu dan meraih kasih sayang orang yang melihatnya.

Checklist # 1 – Percakapan yang baik dengan tutur kata yang berhemah.

Elakkan menggunakan perkataan yang menyakitkan hati orang dengan panggilan negatif seperti ‘minah tonggek’, ‘mat jongang’, ‘si gemuk gedempol’ atau ‘si kurus melidi’. Gunalah nama yang disenangi oleh si dia supaya hatinya pun senang dengan anda untuk berbicara.

Checklist # 2 – Nada suara yang menyenangkan

Nada suara memainkan peranan penting untuk menyampaikan sesuatu ucapan. Ada kalanya perkataan yang baik tetapi ditanya dengan nada yang tinggi, ia mungkin membuatkan orang salah anggap dan berasa kecil hati.

Checklist # 3 – Beri ucapan salam

Berilah ucapan salam kepada orang yang ditemui terutama dalam ruang yang terhad seperti di pejabat, sekolah, university dan tempat kerja. Tempat-tempat sebegini memungkinkan anda untuk bertemuinya kali kedua, ketiga dan seterusnya. Apabila salam berjawab, maka pertemuan seterusnya boleh bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita untuk mengenali orang yang dikenali. Secara tidak langsung, ia boleh menambahkan bilangan kenalan anda dan hubungan silaturrahim dapat mengeratkan terutama mereka yang berada di satu bumbung.

Checklist # 4 – Berbakti

Berbakti kepada ibubapa, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Contohnya membantu ibu di dapur, menolong bapa di kebun, bergotong-royong dan bergaul dengan masyarakat serta mempunyai minat dalam aktiviti beragama. Maksudnya usaha-usaha baik yang anda lakukan akan dikenang oleh mereka.

Checklist # 5 – Ikhlas

Ikhlas merupakan salah satu kunci hati yang berkesan untuk digunakan dalam menjalinkan perhubungan persahabatan. Tanpa mengharapkan balasan mahupun imbalan/imbuhan, maka anda akan berasa bebas daripada terbeban untuk memikirkan “bila dia nak balas budi baik aku?” dan sebagainya. Keikhlasan mampu menjadi tembok kepada hati anda untuk bersikap dengki dan cemburu yang membabi buta.

Checklist # 6 – Tolong menolong

Sikap tolong menolong itu perlu ada, agar anda bukan digelar ‘mementingkan diri sendiri’. Namun, sumbangan atau pertolongan anda itu hendaklah berpada-pada agar tidak ‘memakan diri’. Contohnya, memberikan pinjaman wangn kepada rakan yang benar-benar memerlukan dan bantu mengikut kemampuan anda. Ini kerana anda juga perlu fikir tentang risiko jika wang yang dipinjamkan itu ‘hilang’ atau tidak dapat dibayar semula oleh si peminjam. Jika tiada keikhlasan dalam membantu, ia mungkin boleh memudaratkan perhubungan silaturrahim yang sudah lama terjalin. Manakala orang yang dibantu hendaklah bertanggungjawab untuk membayar semula atau memulangkan wang yang dipinjamkan.

Checklist # 7 – Lemah lembut

Bersifat lemah lembut itu menunjukkan kehalusan budi pekerti. Ada segelintir orang yang menunjukkan sifat sedemikian hanya dalam keadaan tertentu. Contohnya individu itu menunjukkan sifat lemah lembut di hadapan ibu bapa mertua atau teman-teman. Apabila meraka tiada, sikapnya kembali berubah menjadi pemarah dan pembengis kepada ahli keluarga. Harap sikap bertukar-tukar warna ini perlu dihentikan, sebaliknya bentuklah jati diri yang cemerlang untuk dikagumi.

Checklist # 8 – Jujur

Jujur adalah salah satu nilai penting dalam hidup. Tanpa kejujuran, hidup individu itu penuh kepura-puraan atau dipanggil hipokrit. Jika tersilap langkah, mungkin dia akan terperangkap di tengah-tengah jalan dan akhirnya memakan diri sendiri. Contohnya, orang yang sudah berkahwin mengaku bujang, orang kurang berkemampuan mengaku dirinya sebagai Jutawan dan ada pula si penganggur mengaku punyai bisnes berjuta-juta di luar negara. Orang yang tidak jujur tidak akan selamat. Lambat laun nama baik yang diberikan oleh ibu bapa sewaktu lahir menjadi tercemar kerana perbuatan ‘kali kelentong’ atau ‘kaki temberang’ diri sendiri.

Checklist # 9 – Pendengar yang baik

Menjadi pendengar yang baik terutama dalam mendengar masalah-masalah orang. Kebiasaannya orang yang bermasalah mempunyai perasaan berserabut dengan fikiran yang kacau-bilau seperti jalan raya yang sesak. Setelah diluahkan perasaan, barulah dia akan merasa lega. Sebagai pendengar yang baik, anda perlu jadi penyimpan rahsia yang baik, terutama dalam [perkara membabitkan maruah seseorang. Anda mungkin boleh beri buah fikiran tetapi bukan memaksanya untuk menerima pendapat anda bula-bulat.

Checklist # 10 – Muhasabah diri

Cucilah hati dengan bermuhasabah diri dan mendekatkan diri dengan Tuhan melalui amal ibadah. Kehidupan yang sementara ini penuh cabaran dan dugaan. Ada kalanya anda menjadi kuat dan ada kalanya anda di sebaliknya disebabkan oleh pelbagai cabaran dan dugaan. Soal hati memainkan peranan penting untuk membawa perwatakan diri anda. Ia umpama api lilin atau pelita yang menyinar dalam diri. Sekiranya hati dibiarkan mati tanpa keimanan dan kasih sayang, ia boleh merubah manusia itu menjadi seorang yang kejam. Sejauh mana kali melangkah, setinggi mana pun langit dijulang, sedalam manapun lautan diselami, namun hati itu perlu ada ikatan cintanya kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Cinta suci itu juga membuatkan hubungan manusia sesama manusia, binatang dan alam menjadi aman dan damai di dunia ini.

Renung-renungkan!

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Mei 30, 2009

Celik al-Quran jadi syarat penting tarbiah anak

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

AL-QURAN mempunyai pelbagai hikmah, pengajaran, sejarah, kisah perjuangan anbia dan perkhabaran ghaib yang pasti menjanjikan kesejahteraan, kebahagiaan, kesejahteraan hidup insan dunia dan akhirat.

Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan berbeza membacanya tanpa matlamat. Menghayati kandungan al-Quran memberi kelebihan apatah lagi jika dapat difahami suruhan serta tegahan terkandung dalamnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya sudah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkannya. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang yang mengikuti keredaan-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 15-16)

Sebagai pemimpin kepada anak yang sedang dewasa, ibu bapa wajar membimbing mereka menjadi generasi celik al-Quran selaras usaha kerajaan melalui program Program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) yang diajar di sekolah rendah.

Matlamat program j-QAF ialah melatih anak dan remaja membaca al-Quran dengan sempurna, menulis semula ayat yang sudah dibaca, memberi kefahaman mengenai isi kandungan al-Quran, melatih menghafaz ayat al-Quran serta mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?” (Surah al-Qamar, ayat 17)

Namun, apa yang perlu diberi perhatian ialah ibu bapa perlu terlebih dulu celik al-Quran dan turut melengkapkan diri mempelajari serta mendalami al-Quran supaya dapat mendidik anak dengan kaedah yang betul.

Kita sedih melihat generasi Islam sekarang lebih mudah dan gemar menghafaz lirik lagu termasuk dalam bahasa asing walaupun mereka tidak memahami apa yang dihafalkan, sedangkan ayat al-Quran tidak meluncur lancar di bibir mereka.

Inilah pentingnya didikan awal kerana asas yang tertanam dalam diri anak tunjangnya bermula daripada didikan, teladan dan amalan yang dapat mereka lihat di sekeliling.

Barangkali kerana kealpaan terhadap al-Quran, ramai anak muda yang dibelenggu masalah diri, keluarga atau rakan lebih senang mengambil tindakan bertentangan ajaran agama konon untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Ada terbabit dengan arak, dadah, pil khayal, lari dari rumah, ponteng dan pelbagai kegiatan jenayah lain sebagai cara membebaskan diri daripada masalah serta tekanan.

Padahal pada saat begini mereka boleh kembali mencari diri, ketenangan dan kekuatan dengan membaca al-Quran atau sekurang-kurangnya mendengar alunan bacaan ayat suci itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan kami turunkan kepadamu kitab untuk menjelaskan sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri kepada Allah.” (Surah al-Nahl, ayat 89)

Membaca al-Quran adalah ibadat. Allah memberi ganjaran pahala jika usaha memartabatkan isi kandungannya dapat diamalkan bersama.

Antara kaedah mudah boleh dimulakan ibu bapa mendekatkan diri dengan al-Quran ialah:
  1. Mengkhususkan masa antara Maghrib dan Isyak untuk bersama keluarga bertadarus al-Quran. Selain dapat membetulkan bacaan antara satu sama lain, ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan.
  2. Seandainya ibu bapa tidak mahir membaca al-Quran, dapatkan guru yang mampu membantu ahli keluarga membaca ayat suci itu dengan betul dan tepat.
  3. Semarakkan kehidupan berkeluarga dengan bercerita kisah nabi daripada al-Quran. Setiap ahli keluarga boleh bergilir bercerita.
  4. Jika bermusafir, biasakan mendengar rakaman bacaan ayat suci al-Quran atau alunan zikir.
  5. Tidurlah dengan alunan bacaan ayat al-Quran. Biasakan menidurkan anak dengan lafaz ayat al-Quran.
Apabila bibir sentiasa dibasahi bacaan al-Quran, ia menjadi sebati dalam jiwa seseorang. Ia akan mengalir bersama darah, menjalar ke seluruh urat saraf dan kesannya akan terpamer melalui ketrampilan diri, peribadi dan perwatakan. Inilah individu generasi al-Quran.

Sumber : BHarian 2009/05/30

Butiran selanjutnya ...

Pemilik mahar paling indah

Rasulullah SAW bersabda, “Aku masuk ke syurga lalu terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata beliau ialah Al-Ghumaisha’ bintu Milhan.” [HR Bukhari]

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu kekal di dalam taman-taman dan sungai-sungai di tempat yang disenangi, di sisi Yang Maha Berkuasa.” [Surah Al-Qamar (054), ayat 54-55]

Bersama orang-orang Ansar, Rasulullah SAW pernah mendoakan orang-orang Ansar dengan doa baginda yang sangat istimewa; “Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar dan anak orang-orang Ansar serta cucu orang-orang Ansar.” [HR Bukhari dan Muslim]

Srikandi tauladan kita kali ini ialah salah seorang wanita Ansar, yang termasuk di kalangan sahabiyah yang mulia dan paling utama. Beliau menghimpunkan ilmu, kebijaksanaan, keberanian, kemurahan hati, kesucian peribadi dan keikhlasan yang tulus semata-mata bagi Allah dan Rasul-Nya.

Jiwa wanita yang bijaksana ini telah dipenuhi dengan iman sejak pertama kali beliau mendengarnya, lalu beliau menghadirkan fenomena tersendiri yang menyaksikan kecemerlangan, kemuliaan dan kebaikan dirinya sepanjang zaman. Sahabiyah terbaik ini juga ialah ibu kepada seorang sahabat yang terbaik, yang mendapatkan kedudukan khusus di sisi Rasulullah SAW, iaitu Anas bin Malik. Abu Nu’aim Al-Asybahany mengungkapkan jati diri wanita ini dengan berkata, “Ummu Sulaim adalah wanita yang tunduk kepada keputusan orang yang dicintainya, yang biasa membawa tombak di dalam peperangan!”

Di kesempatan ini, marilah kita susuri nasab sahabiyah yang mulia ini, yang biografinya harum semerbak, enak didengar dan menyenangkan hati. Beliaulah Ummu Sulaim bintu Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram An-Najariyah Al-Anshariyah Al-Khazrajiyah. [Siyar Alamin-Nubala, 2/304]. Semoga mujahidah yang sabar, khusyuk, mulia, patuh beragama serta berkedudukan ini menjadi tauladan buat kita semua.

Keteguhan Iman Ummu Sulaim

Sejak hari pertama keIslamannya, Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan dan layak untuk diteladani. Ini menunjukkan barakah dan ketajaman akalnya, disamping iman, keikhlasan dan kebenarannya. Beliau telah memeluk Islam dan ikut berbaiat di saat suaminya ketika itu (Malik bin An-Nadhar, ayah kepada Anas bin Malik) berada di luar Madinah. Iman meresap ke dasar hatinya dan kekal terpateri di sana. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga kerana itu beliau tetap teguh di hadapan suaminya yang masih musyrik. Kisah menarik ini merupakan kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan beliau setaraf dengan para muslimin di awal dakwah Islam di kalangan kaum Ansar. Ayuh kita ikuti kisah ini.

Sejurus selepas pengislaman Ummu Sulaim, suaminya kembali seraya memarahi beliau dengan berkata, “Apakah engkau telah murtad?” Ummu Sulaim lantas menjawab dengan tegas, “Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini (Rasulullah)”. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memimpin tangan anaknya, Anas dan mengisyaratkan Anas agar mengucapkan lafaz syahadatain. Anas akur. Malik, suami Ummu Sulaim semakin marah dengan tindakan isterinya sehingga beliau menengking dengan kasar, “Jangan kau rosakkan anakku!”. Tetapi dengan penuh kebijaksanaan Ummu Sulaim menjawab, “Sesungguhnya aku tidak merosakkannya, tetapi menunjukinya kepada kebenaran”. Dengan membawa kemarahan yang menggumpal, Malik bin An-Nadhar memulakan perjalanan ke Syam, tetapi dibunuh musuhnya di pertengahan perjalanan tersebut. Ketika berita kematian suaminya sampai ke pengetahuan Ummu Sulaim, beliau menerimanya dengan berlapang dada dan bertekad untuk memelihara Anas sebaik-baiknya. Beliau juga berjanji tidak akan berkahwin semula sehinggalah Anas membenarkannya berbuat demikian.

Sejak itu, perhatian beliau tertumpah kepada pendidikan anaknya. Beliau mengajarkan Anas tentang kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan Islam. Setelah Baginda Rasul tiba di Madinah sebagai muhajir, Ummu Sulaim segera mendatangi baginda dengan membawa Anas yang ketika itu masih kanak-kanak dan belum mencapai usia baligh. Beliau berkata kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:

“Wahai Rasulullah, ini Unais (nama kecil Anas). Aku mendatangi engkau agar dia mengabdi kepada engkau. Maka berdoalah kepada Allah bagi dirinya” Maka, baginda bersabda, “Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anaknya” (Dala’ilun-Nubuwwah, 6/194-195).

Anas mendapat bimbingan dan pengasuhan di rumah Rasulullah yang kemudiannya menghantarkan beliau kepada kedudukan mulia sebagai salah seorang sahabat terkemuka.

Ummu Sulaim benar-benar mengotakan janji yang pernah diucapkan kepada anaknya. Beliau mendidik Anas dengan sebaik-baik didikan, sehingga Anas pernah berkata, “Semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada ibuku kerana beliau telah mengasuhku dengan sangat baik” .

Mahar Yang Paling Indah

Ummu Sulaim juga tidak menerima lamaran-lamaran yang datang kepadanya sehinggalah Anas berusia cukup dewasa. Beliau kemudiannya dilamar oleh Abu Talhah Al-Anshary yang ketika mengajukan lamaran tersebut masih seorang musyrik. Ummu Sulaim dituntut untuk mempertimbangkan lamaran lelaki tersebut kerana Abu Talhah merupakan seorang yang berpengaruh di dalam masyarakat. Ketika Abu Talhah menemui beliau buat kali kedua untuk tujuan yang sama, Ummu Sulaim menjawab lamaran tersebut dengan berkata

“Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita Muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau”

“ Apa yang perlu kulakukan untuk tujuan itu?” tanya Abu Talhah.

“Hendaklah engkau menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam” Jawab Ummu Sulaim.

Abu Talhah segera beranjak untuk menemui Rasulullah yang ketika itu sedang duduk di tengah-tengah para sahabat. Ketika melihat kehadiran Abu Talhah, baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Abu Talhah mendatangi kalian, dan tanda-tanda keislaman tampak di antara kedua matanya”. Abu Talhah memberitahu Rasulullah apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para sahabat. Beliau juga bersetuju menikahi Ummu Sulaim dengan mahar keIslamannya. Ummu Sulaim berkata kepada anaknya, “ Wahai Anas, bangkitlah dan nikahkanlah Abu Talhah”.

Tentang kisah pernikahan yang diberkati ini, Tsabit bin Aslam Al-Banany, salah seorang Tabi’in berkata, “Kami tidak pernah mendengarkan mahar yang lebih indah dari maharnya Ummu Sulaim, iaitu Islam!” (Shifatush Shafwah, 2/66; Siyar A’lamin-Nubala’, 2/29).

Firasat Ummu Sulaim terhadap Abu Talhah ternyata benar, sehingga beliau meraih kebahagiaan kerana kebaikan, keikhlasan dan kemuliaan suaminya. Abu Talhah juga berhak mengecap kebahagiaan kerana pernikahannya dengan seorang wanita Mukminah yang bertakwa, Ummu Sulaim, yang kerana beliaulah, Abu Talhah keluar dari kegelapan syirik ke cahaya tauhid, Islam dan jihad. Allah kemudiannya memuliakan suami isteri ini dengan kelahiran seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.

Ternyata Allah Subhanahu wa Taala berkehendak untuk menguji keluarga suci ini, yang sedari hari pertamanya lagi telah dibangun dengan ketakwaan. Di sinilah Ummu Sulaim tampil dengan gambaran istimewa lagi mengagumkan dari kisah-kisah sahabayiyah sezaman beliau. Beliau menghadirkan keutamaan sehingga tindakannya ini mekar sepanjang sejarah hingga Allah Subhanahu wa Taala mempusakakan dunia dan seisinya.

Suatu hari, Umair jatuh sakit dan meninggal dunia ketika Abu Thalhah pergi ke masjid. Ummu Sulaim menerima pemergian anak kecil itu dengan jiwa yang redha dan sabar seraya berucap, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un”. Beliau membaringkan jasad anaknya di atas tempat tidurnya dan berkata kepada ahli keluarganya yang lain,”Jangan kalian sampaikan khabar ini kepada Abu Talhah berkenaan anaknya. Biar aku saja yang menyampaikan hal ini kepadanya”.

Sekembalinya dari masjid, Abu Talhah bertanyakan keadaan Umair, “Bagaimanakah keadaan anakku?”

“Dia lebih tenang dari keadaan sebelumnya” jawab Ummu Sulaim. Kemudian Ummu Sulaim menghidangkan makan malam kepada Abu Talhah dan menghiaskan dirinya secantik mungkin. Pada malam tersebut, mereka berjima’ dan setelah selesai, Ummu Sulaim mengkhabarkan kematian Umair kepada suaminya. Abu Talhah bersedih serta timbul kemarahan di hatinya. Beliau mendatangi Rasulullah dan menceritakan perlakuan isterinya. Mendengarkan kisah tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan di tengah umatku seorang wanita yang sabar seperti kesabaran wanita Bani Israel”. (As-Sirah Al-Halabiyah, 3/74)

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya kepada Abu Talhah, “Apakah semalam kalian telah berjima’?”. “Ya”. Jawab Abu Talhah. Rasulullah mendoakan keberkahan bagi pasangan tersebut dan doa baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam ini dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala,. Ummu Sulaim melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah hasil dari perhubungan tersebut. Diriwayatkan, Abdullah bin Abu Talhah termasuk orang-orang yang soleh. Tanda itu jelas terlihat di wajahnya. Abayah bin Rafi’ berkata, “ Aku melihat anak itu di kemudian hari mempunyai tujuh anak lelaki yang kesemuanya hafal Al-Quran” (Ath-thabaqat, 8/334; Sifathush-Shafwah, 2/69; Dala’ilun-Nubuwwah, 6/199)

Apakah Yang Engkau Miliki Wahai Ummu Sulaim?

Ummu Sulaim radhiallahu anha sentiasa memberikan hadiah dan makanan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Allah Subhanahu wa Taala juga memuliakan beliau dan memberkati pemberiannya kepada baginda Rasul. Kisah ini dituturkan sendiri oleh Anas bin Malik ketika mengkhabarkan barakah dari kebiasaan ibunya itu. Ummu Sulaim pernah mengarahkan seorang pembantunya untuk menghantarkan makanan berupa daging kambing kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Selesai menghantarkan pemberian tersebut, kantung kosong tersebut dikembalikan ke rumah Ummu Sulaim di saat beliau tiada di rumah. Sekembalinya ke rumah, Ummu Sulaim mendapati kantung tersebut masih penuh berisi. Lantas, beliau kembali kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk meminta kepastian.

Ummu Sulaim berkata, ” Demi yang mengutusmu dengan kebenaran dan agama yang benar, kantung ini masih penuh berisikan makanan yang kuberikan padamu sedangkan engkau wahai Rasulullah telah menerimanya dari pembantuku”

Baginda lantas menjawab, ”Wahai Ummu Sulaim, apakah engkau hairan kerana Allah telah memberikan makanan kepadamu sebagaimana engkau telah memberikan makanan kepada RasulNya? Makanlah dan berikanlah makanan itu kepada yang lain”. Ummu Sulaim kembali ke rumahnya dan membahagikan makanan itu di dalam sebuah mangkuk besar untuk 2000 orang sehingga ia menjadi bekalan makanan untuk tempoh sebulan atau dua bulan! (Hayatus-Sahabah, 3/635)

Anas turut menceritakan bahawa ibunya sering mengirimkan talam yang berisi kurma segar kepada baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam kerana mengetahui kesukaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam itu. Dalam kisah yang lain, Abu Talhah pernah memberitahu kepada Ummu Sulaim tentang keadaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang sedang menahan lapar yang teramat sangat dengan berkata, ” Aku mendengar suara Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melemah. Aku melihat beliau merasa lapar. Maka, apakah engkau mempunyai sesuatu yang boleh diberikan kepada baginda?”. Ummu Sulaim segera mengeluarkan beberapa gumpalan adunan roti dari tepung gandum dan menyuruh anaknya, Anas untuk mengirimkannya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam yang sedang berada di masjid bersama dengan para sahabat. Oleh kerana ramainya para sahabat yang mengelilingi Rasulullah ketika itu, Anas merasa malu untuk menyampaikan pemberian yang sedikit itu. Menyedari kehadiran Anas, Rasulullah segera menyapanya dengan berkata, ” Adakah orang tuamu mengutusmu ke sini?”. Anas mengiyakan. Rasulullah segera bersabda kepada para sahabat untuk berangkat ke rumah Abu Talhah. Di saat itu, Abu Talhah mulai ragu kerana mereka tidak memiliki sesuatu apapun untuk dihidangkan kepada para tetamu yang ramai tetapi Ummu Sulaim mencelah, ”Percayalah, Allah dan RasulNya lebih mengetahui!”

” Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau miliki saat ini?” Tanya Rasulullah.

Ummu Sulaim membawakan beberapa gumpalan roti yang ingin diberikannya kepada Rasulullah sebelumnya. Baginda mendoakan barakah ke atas pemberian tersebut, maka mereka semua menikmati makanan tersebut sehingga kekenyangan, walhal bilangan para sahabat ketika itu mencecah 90 orang lelaki. Subhanallah! (Tarikhul Islam, Adz-Zahaby, 1/357; Dala’ilun-Nubuwwah,2/532; Wafa’-ul-wafa’, 3/881-882. Diriwayatkan oleh Muttafaq Alaih. Imam Malik turut meriwayatkannya di dalam Al-Muwaththa’).

Kedermawanan dan kemurahan hati Ummu Sulaim tidak berhenti setakat di situ sahaja. Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menikahi Zainab binti Jahsy, beliaulah yang menyediakan jamuan walimatul urus tersebut dengan menghidangkan makanan kegemaran Rasulullah sendiri. Barakah dari pemberian tersebut juga (dengan izin Allah) dapat menampung bilangan para sahabat yang ramai menghadiri majlis tersebut.

Maha suci Allah di atas segala kebaikan dan keberkatan yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang beriman!

Wanita Yang Memenuhi Hak dan Kebajikan

Ummu Sulaim radhiallahu anha termasuk di kalangan para sahabiyah utama yang bijaksana, memiliki pendapat yang lurus, kecerdikan dan firasat yang tinggi disamping berada pada akhlak-akhlak yang mulia serta menghimpun beberapa sifat yang baik dan suci. Lantaran keperibadiannya inilah, beliau sering mengajukan persoalan-persoalan berkaitan agama kepada Rasulullah.

Tentang sikap beliau ini, Ummul Mukminin Aisyah radhiallahu anha pernah berkata, ” Sebaik-baik wanita ialah wanita-wanita Ansar. Mereka tidak merasakan malu untuk bertanya tentang masalah-masalah agama dan untuk memahaminya” (Ath-Thabaqat, 8/421).

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga sering mengajarkan pelbagai masalah agama dan ibadah kepada beliau. Di antaranya seperti yang diungkapkan oleh Anas bin Malik, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam mengunjungi Ummu Sulaim lalu mendirikan solat tathawu’ di rumah beliau, lalu beliau bersabda, ”Wahai Ummu Sulaim, jika engkau sudah selesai mendirikan solat wajib, maka ucapkanlah subhanallah sepuluh kali, alhamdulillah sepuluh kali dan Allahu Akbar sepuluh kali, kemudian mohonlah kepada Allah menurut apapun kehendakmu, kerana dengan demikian akan dikatakan kepadamu, ’Ya, ya,ya!’”

Dengan akhlak dan kecintaan beliau kepada Allah dan RasulNya jualah yang menghantarkan beliau kepada kedudukan yang tinggi di sisi baginda Rasul, sehingga baginda sering mengajarkan dan memberikan pengarahan secara halus dalam pelaksanaan ibadah beliau. Ibnu Sa’d menyebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bertanya, ”Mengapa Ummu Sulaim tidak menunaikan haji bersama kami pada tahun ini?”

Ummu Sulaim menjawab, ”Wahai Nabi Allah, suamiku hanya memiliki dua ekor unta. Yang satu digunakannya untuk menunaikan haji dan satunya lagi dia tinggalkan untuk mengairi kebun kurmanya”

Maka baginda bersabda,” Jika tiba bulan Ramadhan, maka kerjakanlah umrah, kerana umrah pada bulan tersebut setara dengan haji di bulan Zulhijjah”. Dalam hadith lain, beliau bersabda,”Umrah pada bulan Ramadhan itu akan menggantikan hajimu bersamaku”.

Keberanian dan Jihadnya

Kita telah mengenali tokoh wanita kali ini sebagai seorang wanita yang terpandang, mulia dan terhormat, termasuk golongan wanita yang terawal menerima Islam. Kita juga telah mengenalinya sebagai isteri yang solehah, ibu yang penuh kasih sayang, ahli ibadah yang taat, dermawan dan murah hati. Lalu, bagaimana pula dengan jihadnya?

Tidak dapat diragukan bahawa beliau sering terlibat dalam pelbagai peristiwa penting, malah menyertai sejumlah wanita lain yang ikut berjihad bersama Rasulullah. Ath-Thabrany mentakhrij dari Ummu Sulaim radhiallahu anha, beliau berkata, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berperang yang disertai beberapa wanita dari kalangan Ansar, lalu kami memberikan minum orang-orang yang sakit dan mengubati orang-orang yang terluka”

Diriwayatkan juga dari Anas bin Malik ra, beliau berkata, "Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam pernah berperang bersama Ummu Sulaim serta beberapa wanita lain di kalangan Ansar, yang bertugas memberikan minuman dan mengubati orang-orang yang terluka.” (Ditakhrij Muslim)

Al Imam Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan bahawa Ummu Sulaim radhiallahu anha ikut bersama di dalam Perang Hunain dan Uhud, dan dia termasuk wanita yang utama. (Siyar A’lamin-Nubala’, 2/304).

Muhammad bin Sirin, seorang tabi’in mulia pernah menyebutkan bahawa Ummu Sulaim menyertai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam di Perang Uhud padahal ketika itu beliau sedang mengandungkan anaknya, Abdullah bin Abu Thalhah. Beliau membawa bersamanya sebuah tombak pendek yang diselitkan di pinggangnya. Abu Thalhah menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk mengkhabarkan tindakan isteri beliau. Hasilnya, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tersenyum mendengarkan tingkah sahabiyyah terdekat tersebut. Baginda lantas bertanya kepada Ummu Sulaim tentang kegunaan tombak pendek itu dan dijawab dengan berani oleh beliau, ”Jika ada salah seorang antara orang-orang Musyrik mendekatiku, maka aku akan menikamnya dengan tanganku sendiri!”

Inilah dia salah seorang sahabiyyah yang mendapat kemuliaan jihad di sisi barisan kaum Muslimin. Semoga Allah Subhanahu wa Taala mengurniakan balasan setimpal buat beliau.

Kerana Aku Sangat Menyayanginya!

Di antara bukti yang menunjukkan bahawa Ummu Sulaim memiliki kedudukan yang khusus dan istimewa di sisi Rasulullah boleh dinilai dari pertuturan Anas bin Malik, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tidak biasa memasuki rumah lain selain rumah Ummu Sulaim.Ketika hal ini ditanyakan kepada Baginda Rasul, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ’Kerana aku sangat menyayanginya, saudaranya terbunuh ketika bersama aku” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).

Saudaranya yang dimaksudkan di sini ialah Haram bin Milhan, yang turut sama berjihad di medan Badar, Uhud, lalu gugur syahid fi sabilillah dalam Perang Bi’r Ma’unah pada tahun keempat setelah hijrah. Beliaulah yang mengucapkan kata-kata terkenal ”Demi Rabb Kaabah! Aku telah meraih keberuntungan yang besar” sejurus selepas beliau ditikam musuh dari arah belakang sehingga hujung tombak menembusi dadanya dan mata tombak terlihat dari arah hadapan tubuhnya. Semoga Allah redha kepadaNya seperti redhanya beliau kepada Tuhannya. (Siyar A’lamin-Nubala’, 2/307; Al-Ibtishar, hal. 36).

Rasulullah sangat sering mengunjungi Ummu Sulaim di rumah beliau, memberikan sesuatu dan mendoakan keluarga tersebut. Anas meriwayatkan hal ini dengan berkata,” Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam datang ke rumah kami, sementara yang ada di rumah hanya aku, ibuku, dan ibu saudaraku, lalu beliau bersabda, ’Bangunlah kalian, kerana aku akan solat bersama kalian. Para wanita solat di sebelah kanan baginda. Selesai solat, baginda mendoakan segala kebaikan dunia dan akhirat bagi kami” (Al-Ibtishar, hal. 39-40).

Anas juga pernah menuturkan, ”Jika Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu tidak jauh dari tempat Ummu Sulaim, maka baginda akan menemuinya dan mengucapkan salam kepadanya” (Diriwayakan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Nasaei)

Maka, cukuplah kebanggaan dan kemuliaan bagi Ummu Sulaim kerana Rasulullah sendiri telah mengkhususkan kunjungan, salam, doa dan solat di rumahnya.

Nisa’ Mubasysyarat Bil Jannah!
Sahabiyah Ummu Sulaim radhiallahu anha adalah salah seorang wanita utama yang meninggalkan jejak yang abadi di dalam sejarah Islam. Al Imam An-Nawawy Rahimahullah berkata tentang dirinya, ” Dia termasuk wanita-wanita yang utama” (Tahdzibul-Asma’, 2/363).

Beliau seorang isteri yang solehah, daie yang bijaksana dan pendidik yang utama dengan cara menyerahkan anaknya ke madrasah Nubuwwah untuk menceduk ilmu dan hikmah langsung dari sumbernya sehingga anak beliau meraih gelar dan darjat yang tinggi di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Di samping itu, Ummu Sulaim radhiallahu anha juga seorang penghafal hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Beliau meriwayatkan empat belas hadis dari baginda, dua hadis Muttafaq Alaihi, satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan dua hadis diriwayatkan oleh Muslim.

Ummu Sulaim radhiallahu anha juga mendapatkan khabar gembira sebagai salah seorang nisa’ mubasysyarat bil jannah (wanita yang dijamin syurga). Khabar ini disampaikan melalui Anas bin Malik radhiallahu anhu yang menuturkan dari sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, ”Aku masuk syurga lalu aku terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata aku sedang berhadapan dengan Al-Ghumaisya’ bintu Milhan” [HR Bukhari]

Al-Ghumaisya’ dalam hadis di atas ialah Ummu Sulaim radiallahu anha. Sesungguhnya keberuntungan yang besar bagi diri sahabiyah utama ini atas keredhaan Allah dan kecintaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam terhadapnya.

Wallahu 'alam

Sumber : mykhilafah.com

Butiran selanjutnya ...

Manja berlebihan antara punca remaja makin ‘liar’

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

JIKA sebelum ini samseng jalanan hanya membahayakan pengguna jalan raya dengan perlumbaan haram, tetapi sejak akhir-akhir ini mereka bertindak lebih ganas hingga berani meragut, memukul, mencederakan dan tergamak membunuh sesiapa yang cuba menghalang kegiatan mereka.

Petanda itu jelas menunjukkan gejala samseng jalanan tidak boleh dibiarkan begitu saja, malah menuntut perhatian serius dan tindakan drastik untuk menghapuskan gejala yang merosakkan remaja itu.

Jika ditinjau secara halus, ada banyak sebab mendorong remaja terbabit dalam gejala samseng jalanan antaranya sebagai satu cara untuk mencari keseronokan dan kepuasan dalam hidup kerana mereka tidak memperoleh ketenangan dan keseronokan bersama keluarga. Oleh itu, mereka mula mencari alternatif lain untuk berseronok dan akhirnya terjebak dalam gejala samseng jalan raya. Akibatnya, masa muda dihabiskan bukan saja dengan perkara sia-sia, malah boleh membahayakan diri serta orang ramai. Mereka seolah-olah tidak mempunyai matlamat hidup.

Dalam hal ini, ibu bapalah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas pembabitan remaja dalam gejala samseng jalanan. Ini kerana ibu bapa sudah mengabaikan tanggungjawab untuk mengasuh dan mendidik anak sebagai insan bertakwa serta bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Barangkali ibu bapa begitu sibuk dengan pekerjaan sehingga anak di rumah terbiar tanpa belaian kasih ibu bapa. Pendidikan Islam sepatutnya berupaya membentuk anak yang salih tetapi tidak pula diberikan penekanan ketika membesarkan mereka.

Pendidikan akidah berfungsi sebagai perisai yang memelihara diri anak daripada gejala merosakkan diabaikan. Mereka juga tidak diajar untuk mengenal erti kehidupan dan matlamat sebenar kehidupan mereka di dunia ini.

Tanpa pendidikan agama dan perisai akhlak Islam, muda mudi sudah tentu tidak mampu menepis ancaman budaya luar yang mendominasi masyarakat masa kini seperti pergaulan bebas, dadah, video lucah dan pelbagai perkara negatif lain.

Apa yang berlaku mutakhir ini, anak begitu dimanjakan oleh ibu bapa sehingga sanggup memberikan apa saja yang diminta mereka tanpa sebarang persoalan. Ibu bapa juga tidak lagi menghiraukan keadaan anak, membiarkan ke mana saja mereka pergi dan tidak mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan.

Yang penting anak memperoleh apa yang mereka hajatkan. Itulah bentuk kasih sayang material dicurahkan oleh ibu bapa dengan harapan dapat mengisi masa terluang anak akhirnya menjerumuskan anak mereka ke kancah gejala sosial memudaratkan.

Perlu ditegaskan kebanyakan kegiatan dilakukan biasanya pada waktu malam, maka ibu bapa yang berada di rumah pada waktu itu sepatutnya mengawasi dan mengawal segala pergerakan anak supaya tidak terbabit gejala negatif.

Namun tanpa kawalan ketat daripada ibu bapa, sudah tentu anak begitu bebas dan berani melakukan sesuatu bertentangan dengan undang-undang.

Ringkasnya, pengisian yang salah semasa remaja, kecetekan ilmu agama, kekurangan perhatian ibu bapa, pengaruh budaya luar yang mendominasi kehidupan masa kini adalah antara punca masalah dan gejala sosial membabitkan muda mudi di negara ini.

Faktor itu menyebabkan muda mudi kekosongan jiwa yang akhirnya mendorong mereka mencari keseronokan di luar seperti berlumba haram, meragut, merompak, membunuh, bergaul bebas dengan pasangan masing-masing, malahan berzina dengan perempuan taruhan jika menang perlumbaan.

Sehubungan itu, Islam dari awal lagi menggariskan corak pendidikan yang sesuai kepada muda mudi supaya lahir sebagai generasi berkualiti serta bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Dengan mempunyai jati diri seumpama itu, anak muda tidak mudah terpengaruh dengan lambakan budaya asing yang jelas bercanggah ajaran Islam kerana mereka memiliki kekebalan diri dengan perisai Islam dan tahu memilih antara yang hak dan batil.

Perlu diinsafi bahawa mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam pengertian ibadah kepada Allah. Setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa dilakukan terhadap anak mereka.

Lebih-lebih lagi anak itu seumpama helaian kertas putih melepak yang belum lagi diwarnai dan dicorakkan. Maka ibu bapalah yang mewarnai dan mencorakkannya berdasarkan kepada cita rasanya masing-masing.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Islam membentuk disiplin umatnya melalui pelaksanaan ibadat yang diwajibkan kepada mereka. Ibadat solat adalah perisai yang kukuh daripada sebarang amalan keji. Puasa pula bertindak sebagai bengkel kerohanian menyucikan jiwa dan raga daripada penyakit hati.

Sementara zakat menyuburkan harta di samping memintal kemas jalinan ukhuwah sesama Muslim dan begitulah seterusnya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu suruh anak kamu mengerjakan solat apabila sampai usia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila sampai usia sepuluh tahun (jika masih belum mengerjakan solat).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Selanjutnya, pendidikan akhlak memainkan peranan penting membentuk peribadi dan sahsiah muda mudi sebagai generasi berkualiti. Pendidikan akhlak perkara pertama diajar Rasulullah SAW kepada Asma’ binti Abu Bakar. Ketika anak gadis itu akil baligh, Baginda SAW berpesan kepada Asma’ supaya menutup aurat dan memelihara batas pergaulan dengan orang lelaki.

Selain itu, ibu bapa hendaklah membimbing anak cara menguruskan masa dengan baik. Zaman remaja seharusnya dimanfaatkan dengan aktiviti, program dan amalan berfaedah. Anak perlu diinsafkan bahawa zaman remaja adalah antara soalan akan ditanya kepada setiap Muslim apabila menghadap Allah pada hari akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan tergelincir kedua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; mengenai umurnya ke mana dihabiskan; masa mudanya bagaimana dipergunakan; hartanya dari mana diperoleh dan ke mana pula dibelanjakannya; dan ilmunya apakah ia diamalkan.” (Hadis riwayat Tirmizi, Tabrani dan Ibnu Asakir)

Sumber : BHarian 2009/05/30

Butiran selanjutnya ...

5 tanda awal bersalin


Tidak ada ramalan yang dapat menetapkan tarikh sebenar seseorang wanita itu akan bersalin. Sebenarnya sejak awal mengandung, tubuh anda telah bersedia untuk menghadapi saat kelahiran sehinggalah sebulan sebelum melahirkan. Anda mungkin tidak perasan dengan perubahan tersebut, atau mungkin menyedari simptom-simptom baru itu sebaik sahaja menghampiri tarikh bersalin. Inilah kemungkinan yang akan berlaku kepada ibu mengandung sebelum bermulanya minggu-minggu atau hari-hari kelahiran.

Tanda # 1 – Bayi anda ‘menurun’

Sekiranya anda mengandung buat kali pertama, anda akan merasai bebanan di bahagian pelviks beberapa minggu sebelum melahirkan. Anda akan mengesan tekanan yang kuat di bahagian pelviks.

Tanda # 2 – Kontraksi Braxton Hicks

Kekerapan kontraksi Braxton Hicks boleh juga memberi amaran pra kelahiran. Kontraksi kelahiran sebenar ditandakan melalui kematangan pangkal rahim dan kepala bayi mulai turun menandakan kelahiran sebenar akan berlaku. Semasa ia berlaku, sesetengah wanita akan mengalami kekejangan, ia seakan sakit senggugut.

Ada kalanya, kontraksi Braxton Hicks seakan kontraksi sebenar, ia menjadi sangat sakit dan kekejangan berlaku setiap 10 hingga 20 minit. Keadaan itu membuatkan anda tertanya-tanya adakah ia kontraksi sebenar yang dirasai semasa hendak bersalin. Bagaimanapun, sekiranya kontraksi yang dialami tidak terlalu panjang, lebih kuat dan kadar kecutan dan kembang pangkal rahim tidak secara progresif, maka ia hanyalah kontraksi palsu yang dinamakan ‘false labor’.

Tanda # 3 – Kematangan pangkal rahim

Beberapa hari dan minggu sebelum melahirkan, Braxton Hicks mungkin menjalankan kerja-kerja saringan seperti melembutkan, menipiskan dan mungkin membuka sedikit pangkal rahim. Sekiranya anda pernah melahirkan, pangkal rahim anda mungkin mengembang satu atau dua sentimeter sebelum proses bersalin – tetapi perlu diingatkan, kelahiran tidak semestinya berlaku, sungguhpun waktu itu kandungan pertama anda telah memasuki 40 minggu dan pangkal rahim mengembang satu sentimeter. Sekiranya anda menghampiri tarikh bersalin, doktor sakit puan akan memeriksa faraj semasa lawatan prenatal. Ia bertujuan untuk melihat sama ada pangkal rahim telah berubah atau sebaliknya.

Tanda # 4 – Anda mengalami mucus plug atau ‘bloody show’

Anda mungkin mengalami mucus plug – sejumlah kecil lendir pekat yang jernih yang menyelubungi saluran pangkal rahim semasa kandungan memasuki usia 9 bulan. sekiranya pangkal rahim mulai mengembang, ia menandakan anda semakin menghampiri saat bersalin. Lendir-lendir itu akan keluar bersama dalam bentuk gumpalan. Lendir itu mungkin bercampur dengan darah yang menyebabkan ia berwarna coklat, merah jambu atau merah. Maka itulah yang dinamakan ‘bloody show’. Hubungan seks dan pemeriksaan faraj boleh mengganggu mucus plug dan menyebabkan pendarahan sebelum tiba waktu anda melahirkan. Dalam sesetengah kes, jika anda menyedari terdapat tompok-tompok darah, segeralah hubungi atau berjumpa dengan pakar sakit puan.

Tanda # 5 – Air ketuban pecah

Apabila air ketuban dalam kantung di sekeliling bayi terpecah, cecair itu akan bocor dan keluar melalui faraj. Sama ada ia keluar sekaligus atau sedikit demi sedikit, anda perlu segera menghubungi pakar sakit puan. Kebanyakan wanita biasanya mengalami kontraksi terlebih dahulu, kemudian barulah pecah air ketuban. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, air ketuban boleh keluar dahulu. Sekiranya ia berlaku, kelahiran pasti akan menyusul tidak lama selepas itu. Sekiranya anda tidak mengalami kontraksi dalam tempoh waktu yang tertentu, anda perlu di ‘induce’ (masuk ubat) untuk menggalakkan pembukaan pintu rahim bagi menyegerakan kelahiran. Hal ini kerana tanpa air ketuban, bayi lebih mudah terdedah dengan jangkitan kuman dan mungkin lemas akibat kekurangan air ketuban.

Saat kelahiran sebenar

Selalunya tidak mustahil untuk meneka bilakah saat kelahiran sebenar. Hal ini kerana kontraksi awal biasanya dikaitkan dengan kontraksi Braxton Hicks dan ada kalanya anda akan mengalaminya untuk beberapa minggu. Keadaannya samalah seperti kelahiran sebenar, iaitu kontraksi yang dialami semakin panjang, lebih kuat dan saling berkaitan iaitu rahim mengembang dan menguncup, anda akan merasainya setiap 10 minit, sakit itu sentiasa ada, tidak hilang walau apa cara sekalipun yang anda lakukan dan sakitnya menjadi semakin kuat. Dalam sesetengah kes, kontraksi biasa akan berlaku tanpa tanda awal atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, ia berbeza kepada setiap wanita dan setiap kehamilan.

Bilakah perlu berjumpa pakar sakit puan?

Seharusnya pakar sakit puan perlu memberi garis panduan yang jelas mengenai kontraksi yang anda alami dan bilakah waktu yang sesuai untuk anda ke hospital. Penjelasan itu bergantung pada situasi yang anda alami – adakah anda mengalami komplikasi kandungan atau kandungan berisiko tinggi, kandungan kali pertama dan Berapakah jarak antara rumah anda dengan hospital?

Jangan berasa takut sekiranya tanda-anda yang anda alami tidak jelas tetapi anda berasa sedang mengalami kontraksi. Tidak salah berjumpa pakar sakit puan, mereka akan menjawab pertanyaan anda berserta panduannya sekali. Lagipun itu sebahagian daripada tugas mereka. Sebenarnya nada suara anda juga boleh memberi gambaran sebenar kontraksi yang sedang anda alami (mereka dapat mempastikan sama ada anda boleh bercakap lagi atau sebaliknya, semasa sedang mengalami kontraksi) dan apakah simptom-simptom lain yang ada.

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Mei 29, 2009

Makna di sebalik hobi suami


Salam,

Bagi ramai lelaki, hobi sudah seakan menjadi gaya hidup yang amat sukar dipisahkan. Biar sudah bergelar suami dan ayah, namun hobi yang sejak azali dilakukan tidak akan mampu dilupakan semudahnya.

Perkara inilah yang sukar difahami oleh wanita. Mengapa suami terlalu obses dengan hobi? Ia menjadi seakan satu misteri yang sukar diketemukan jawapannya. Mereka tidak dapat memahami ‘kegilaan’ suami terhadap hobi memancing, sukan golf mahupun hobi mengubah-suai kereta. Kenapa suami sanggup menghabiskan masa berjam-jam dan wang sehingga mencecah ribuan ringgit hanya kerana hobi? Sedangkan dua perkara itu lebih elok jika digunakan untuk keluarga.

Ketidak-fahaman para isteri terhadap hobi suami ini sering kali menimbulkan pula rasa tidak puas hati. Kadang-kala hingga mencetuskan pula konflik rumahtangga bila isteri sudah tidak tertahan lagi melihat obses suami terhadap hobinya. Bagi isteri yang mungkin sedang memendam rasa dengan suami yang terlalu cintakan hobi, artikel ini cuba mengungkaikan perasaan tersebut dengan cara menyelami makna sebenar hobi buat lelaki. Mungkin selama ini anda tidak berapa mengerti akan kepentingan hobi buat suami. Moga dengan penjelasan ini, para isteri tidak lagi bermasam muka setiap kali suami keluar bermain golf mahupun mencari joran untuk memancing.

Cara melepaskan stres

Hobi yang dilakukan oleh lelaki sememangnya pelbagai, jika dibandingkan dengan wanita. Ia bergantung kepada kebiasaan mereka di zaman kanak-kanak dan juga tahap stres atau tekanan yang diterimanya.

Hasil kajian yang telah dijalankan mendapati majoriti lelaki yang berusia antara 29 hingga 40 tahun berhadapan dengan pelbagai stres dan masalah yang mengganggu fikiran mereka akibat daripada pekerjaan yang serba kompetitif. Hobi yang dilakukan oleh lelaki itu dikatakan adalah sebagai salah satu jalan keluar untuk mengatasi stres dan masalah yang mereka hadapi itu. Jika tidak, mereka mungkin akan kehilangan tu puan dan mengalami kepenatan secara fizikal oleh sebab stres yang dialami tidak dapat dialihkan.

Dalam kajian yang dijalankan oleh sebuah universiti di Amerika Syarikat, mendapati bagi lelaki bujang berusia 25 hingga 30 yang sedang membangunkan karier mereka kebanyakannya cenderung mempunyai hobi bersosiall di kafe. Bahkan kelompok ini menganggap bahawa hobi tersebut sebagai salah satu kerja mereka. Sebabnya ketika bersosial ini, mereka turut menjalinkan hubungan atau mengenali rakan bisnes yang lain.

Selain itu, majoriti responden dalam umur itu juga dikatakan mengambil kafein, alkohol dan merokok sebagai salah satu pelepasan diri daripada stres. Bagi mereka ia merupakan salah satu medium untuk relaksasi dan menghilangkan stres. Namun agak berbeza dengan lelaki dewasa yang berusia antara 41 hingga 49 tahun yang sudah lebih mantap dalam karier dan punya ekonomi atau sumber kewangan yang setabil. Mereka memiliki fleksibiliti yang lebih untuk membahagikan waktu. Mereka lebih mudah mengatur waktu untuk pekerjaan, keluarga dan kehidupan sosial. Sering kali mereka mencari ketenangan melalui kegiatan-kegiatan keagamaan, sukan yang ringan atau melakukan hobi-hobi tertentu.

Di sini dapat dilihat bahawa hobi yang dilakukan oleh kaum lelaki ia sebenarnya sangat bergantung pada tahap stres dan umurnya. Hobi yang dilakukan seharusnya jangan disalah-ertikan oleh isteri kerana ia sebenarnya hanya untuk memindah dan menenangkan fikiran yang datang silih berganti dalam kehidupan mereka. Jika mereka stres berterusan, anda sebagai isteri juga yang risau, bukan?

Kenali karakter suami melalui hobi

Percaya atau tidak, anda boleh menyesuaikan watak suami dengan hobinya. Setiap hobi yang dilakukan itu menggambarkan personaliti suami anda sendiri. Cuba anda semak dan perhatikan hobi suami dan bandingkan dengan sikapnya.

Minat kereta

Jika suami suka mengubah suai kereta atau menambah aksesori, maka dia termasuk dalam kategori lelaki yang senang dengan automotif. Ramai lelaki punya hobi begini. Walaupun kerap kali dimarahi isteri kerana sanggup menghabiskan wang demi mencantikkan kereta, namun dia sanggup meneruskannya. Selain seorang yang sangat kebal telinganya, suami anda juga sebenarnya memiliki sifat berani menghadapi tentangan, cerdas dan memiliki taktik jitu. Selain itu, dia juga memiliki tahap kesabaran yang tinggi, seorang yang teliti dalam pelbagai perkara. Dia juga terbiasa mengambil keputusan cepat.

Mengumpul barang

Walaupun wanita lebih kerap dikaitkan dengan hobi membuat koleksi, namun ramai lelaki punya hobi yang sama. Mereka juga senang mengumpul barangan antik, koleksi kereta miniature, setem, baju-t, topi dan sebagainya. Suami yang sebegini selalunya karakter mereka sangat teliti selain mempunyai daya ingatan yang tinggi. Sebab itulah bila ada antara koleksinya yang hilang, dia akan terus mengetahuinya.

Bermain ‘game’

Biarpun dianggap seperti kebudak-budakkan, namun ada lelaki yang masih punya hobi bermain ‘game’ biarpun sudahpun berkahwin. Lelaki sebegini boleh disifatkan sebagai seorang yang suka menghadapi cabaran dan bersemangat menghadapi persaingan baik dalam pekerjaan mahupun sekadar permainan.

Sekiranya suami seorang yang punya hobi terhadap ‘gadget’ atau peralatan teknologi informasi yang canggih pula, maka dia boleh dibaca sebagai seorang yang sangat dinamik dan senang dengan perubahan. Hobi bertukar telefonnya juga menandakan dia sangat sensitif dan sentiasa mengamati perkembangan yang berlaku di sekelilingnya. Tidak salah sebenarnya jika menyenangi perubahan tetapi haruslah disesuaikan dengan kemampuan. Jangan pula sanggup membeli telefon canggih sehingga susu anak dan makanan di dapur tidak dapat disediakan!

Hobi bersukan



Jika suami suka bersukan, baik bermain golf, bola sepak, futsal mahupun badminton, maka sifatnya memang sportif. Dia juga amat mementingkan bab penampilan dan kseihatan diri. Suami juga cukup senang bersosial dan mudah bergaul dengan persekitarannya, terutama dengan mereka yang menggemari sukan yang sama. Jadi tidak hairanlah jika suami anda akan bersembang lama dengan rakan golf mahupun kaki bola yang lain.

Butiran selanjutnya ...

Kehilangan Yang Tidak Pernah Diduga

Hanya Lelaki - Pengakuan Duda

SEMENJAK KEMATiAN iSTEri LEBiH KUrANG SETAHUN yANG LALU, JOHAN TiDAK PErNAH DAPAT MELUPAKAN wANiTA iTU. TiDAK PErNAH MENyANGKA iSTEri yANG AMAT DiSAyANGi iTU TErLEBiH DAHULU MENiNGGALKAN DiriNyA. PALiNG MEMBUATKAN HATiNyA TErKiLAN ADALAH PErKAHwiNAN TErSEBUT TiDAK MENGHASiLKAN SEOrANG PUN cAHAyA MATA.

Sungguhpun sudah lama mengenali isterinya, Umairah wanita namun begitu Johan tidak pernah mengetahui tentang rahsia mengenai kesihatan dirinya. Apa yang Johan tahu sepanjang perkenalan mereka sehinggalah sah mereka bergelar suamiisteri, Umairah sihatsihat saja. Johan pun tidak pernah nampak seba rang botol ubat di rumahnya.

Namun begitu, sesekali ada juga Johan nampak isterinya menelan ubat dan dia sendiri pernah bertanya. Tetapi jawapan Umairah dia cuma sakit biasa saja. Pandai sungguh isterinya itu menyimpan rahsia penyakitnya. Salah Johan juga kerana tidak pernah bertanya lebih lanjut keadaan kesihatan isterinya.

Sesekali bila melihat isterinya pucat barulah ditanya, tapi selalunya Umairah hanya mengatakan dia sakit perut seperti yang selalu dialami oleh wanita. Johan mempercayainya kerana dia juga mempunyai adik perempuan. Biarpun Umairah merahsiakan penyakitnya itu daripada pe ngetahuan Johan, namun ia tidak dapat bertahan lama.

Pada suatu hari, isterinya pengsan di rumah. Mujurlah ketika itu Johan berada di rumah kerana cuti. Kelamkabut Johan dibuatnya apabila melihat Umairah tibatiba tumbang di ruang tamu. Dia pantas mendapatkan Umairah dan cuba menyedarkan isterinya tapi gagal. Apabila menyedari usahanya tidak berjaya, Johan terus menelefon ambulans dan Umairah dibawa ke hospital berdekatan.

Johan bersyukur kerana sewaktu dalam perjalanan ke hospital, Umairah mula sedarkan diri. Awalnya isterinya itu tidak mahu dibawa ke hospital, tetapi Johan berkeras mahu menghantarnya. Disebabkan tidak mahu melawan kata suami, Umairah terpaksa bersetuju.

Sebaik sampai di hospital, Umairah telah diperiksa oleh doktor bagi mengetahui punca yang menyebabkan dirinya pengsan. Lama juga Johan menunggu di luar sewaktu pemeriksaan tersebut. Sebaik sahaja selesai, doktor telah berjumpa dengan Johan. Katakata yang keluar daripada mulut doktor telah membuatkan Johan terdiam.

Menurut doktor, dia perlu melakukan pemeriksaan lanjut terhadap isterinya kerana dia mengesyaki terdapat masalah di bahagian perut isterinya. Johan bersetuju untuk memberi kebenaran. Apabila keputusan ujian telah dikeluarkan, Johan terkejut kerana doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan pada bahagian perut isterinya.

Isterinya menghidap kanser pada bahagian ususnya. Tergamam Johan mendengarnya. Paling mengejutkan Johan bila doktor mengatakan bahawa kanser tersebut berada pada tahap akhir dan sukar untuk dirawat. Petanda kanser Johan tidak menyangka bahawa sakit perut yang kerap dialami Umairah itu merupakan petanda kanser.

Apabila ditanya pada isteri mengapa perkara sebegitu penting dirahsiakan, Umairah hanya terdiam. Dia sendiri tidak menyangka penyakit kansernya itu sudah di peringkat akhir. Disebabkan kansernya di tahap kritikal, Umairah tidak mahu menjalani sebarang rawatan. Katanya lebih baik dia mati di rumah daripada melakukan pembedahan dan menjalani pelbagai rawatan yang menyakitkan.

Johan amat marah dengan pendirian isterinya tapi Umairah tetap berkeras. Walaupun dipujuk oleh ibu bapanya tapi Umairah tidak berganjak daripada pendiriannya. Johan tidak mampu berbuat apaapa. Kedegilan Umairah memberi kesudahan yang cukup menyedihkan. Dia akhirnya meninggal dunia. Meninggalkan suami dan keluarga tersayang. Umairah pergi menghadap Ilahi sewaktu dia sedang tidur.

Pada mulanya Johan tidak dapat menerima hakikat tersebut. Setelah dinasihati dan dipujuk oleh ibu bapanya barulah mula dapat menerima hakikat pe mergian isterinya. Sesungguhnya Johan sedar dan redha ketentuan Ilahi. Kini, Johan perlu mem biasakan dirinya keseorangan menjalani kehidupan setelah dua tahun bahagia di alam rumah tangga.

Sumber : MW

Butiran selanjutnya ...

Penipuan iblis di syurga


IBLIS selalu berikhtiar untuk masuk ke dalam syurga kembali dan menggunakan tipu muslihatnya untuk memperdayakan Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Pada suatu ketika, iblis berjaya masuk ke dalam syurga lalu bertemu dengan Nabi Adam dan isterinya.

Iblis mula menggoda dan memujuk Nabi Adam dengan berkata, "Wahai Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah engkau aku tunjukkan bahawa di sana itu ada sepohon pokok yang sangat enak dan lazat rasa buahnya?

Apabila buah yang lazat itu engkau makan, maka engkau akan dapat tinggal di dalam syurga ini buat selama-lamanya, dan syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang tidak akan rosak buat selama-lamanya bagi engkau berdua."

Buah

"Buah apakah yang engkau maksudkan itu?' tanya Nabi Adam kepada iblis.

Iblis pun menunjukkan ke arah pokok khuldi yang dilarang oleh Allah untuk memakannya. Melihat isyarat iblis itu, tahulah Nabi Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya. Lalu Nabi Adam berpaling dan menjauhkan dirinya daripada iblis itu.

Namun begitu, iblis masih tidak berputus asa. Ia mengambil kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan Adam dan isterinya.

Segera ia memujuk dengan mengatakan bahawa Allah melarang makan buah khuldi sekiranya Adam dan isterinya adalah malaikat. Tetapi mereka bukan malaikat, maka bolehlah mereka memakan buah tersebut.

Nabi Adam dan isterinya tidak menghiraukan pujukan halus iblis itu. Malah kedua-duanya berpaling dan menjauhkan diri daripada Iblis itu.

Iblis tetap tidak berputus asa. Walaupun ia gagal dalam usaha pertama dan kedua, tetapi ia tetap berusaha untuk kali ketiga, keempat dan seterusnya sehinggalah dapat menyesatkan dan menggoda Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Iblis tahu bahawa salah satu kelemahan manusia ialah sering lupa. Iblis sentiasa menunggu suatu waktu apabila Adam dan isterinya akan terlupa dan memakan buah yang dilarang itu.

Sumber : Utusan 29/05/2009

Butiran selanjutnya ...

Q&A : Wajib bergaul baik dengan isteri

Soalan:

Adakah dikira sudah menunaikan tanggungjawab kalau suami hanya memberikan wang kepada isterinya sedangkan tidak bergaul dengan baik dan tiada kemesraan dan asyik mencari kesalahan dan keburukan isteri semata-mata?

Jawapan:

Islam sentiasa menyuruh umatnya berbuat kebaikan. Ini termasuklah dalam perhubungan dan pergaulan suami dan isteri.

Maksud bergaul baik dalam syariah Islam adalah diambil daripada perintah Allah SWT di dalam al-Quran, firman yang bermaksud: dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik(al-Nisa': 19).

Al-Quran melalui perintah mahukan setiap suami bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan cara yang baik atau makruf.

Di dalam meneladani kehendak ayat ini ahli tafsir mengemukakan beberapa pandangan melalui pengamatan masing-masing.

l Di antara mereka ialah Ibn Kathir. Beliau berpendapat bahawa ayat ini, "… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…" bermaksud: para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466).

l Al-Zamakhsyariy dan Fakhruddin al-Raziy berpendapat: "bermalam dengan isteri (memenuhi hak-hak batin bagi si isteri) melangsaikan nafkah dan bercakap baik dengan mereka". (al-Zamakhsyariy, jld:1,hlm:490, Fakhruddin al-Raziy, jld:10,hlm:12).

l Al-Jashsas dalam tafsirnya berpendapat: "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para suami supaya bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan baik, perkara yang baik itu ialah menunaikan hak-hak seorang isteri dengan membayar mas kahwinnya serta nafkah dan pemberian antara isteri-isteri (jika lebih dari seorang), juga tidak menyakiti isteri dengan bahasa yang kesat dan kasar serta ditegah dari memalingkan wajah dari si isteri". (al-jashsas, Ahkam al-Quran, jld: 2, hlm: 109).

l Tafsir Muhammad Rasyid Reda menarik dalam huraian ayat ini, beliau menjelaskan bahawa: "Wajib ke atas kamu wahai orang-orang yang beriman supaya berbuat baik dengan isteri-isteri kamu dalam pergaulan, dengan menjadikan persahabatan kamu serta pergaulan kamu dengan mereka dengan cara yang baik sesuai dengan dengan tabiat mereka sebagai wanita.

"Pergaulan itu mestilah yang tidak ditegah oleh syarak dan adat dan tidak bertentangan dengan maruah seseorang. Adapun menyempitkan pemberian nafkah (bersikap kedekut/ berkira dalam nafkah) serta menyakiti mereka dengan perkataan dan perbuatan, semua itu adalah bertentangan dengan bergaul baik dengan isteri dan bertentangan dengan al-Quran.

"Sesungguhnya setiap seorang dari pasangan suami isteri ialah membawa kegembiraan dan kebahagiaan". (Muhammad Rasyid Reda, Tafsir al-Manar, jld:4,hlm:456).

Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah wajib. Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya". (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:326 ).

Dalam hadis yang lain daripada ibn Abbas r.a baginda bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku". (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:325).

Di dalam kedua-dua hadis di atas baginda SAW menegaskan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya, ini kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain.

Berperangai buruk

Jika seorang suami dengan isterinya baik maka dia juga baik dengan orang lain, dan sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya maka dia juga akan bersikap hodoh dengan orang lain.

Di antara perkara yang dapat membantu suami menjadi baik dengan isterinya mesti memiliki kemahiran-kemahiran berikut.

Pertama: Mengenal tabiat wanita; ini kerana Allah SWT menjadi Adam dan hawa dengan tabiat fizikal yang berbeza. Berbeza dari sudut perasaan dan emosinya. Orang lelaki tabiatnya kasar, orang perempuan tabiatnya lembut.

Baginda SAW telah banyak berpesan kepada kaum lelaki supaya berlemah-lembut dan berhemah dalam mendidik dan menjaga mereka.

Kedua, mengenang kebaikannya. Kalau diadili dengan penuh kewarasan setiap orang suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuk suami ialah isteri.

Walaupun isteri mempunyai kesilapan dan kesalahan itu kerana emosinya dan hormonnya yang kadang-kadang tidak stabil, ini tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.

Saya yakin bahawa isteri banyak sumbangannya kepada suami oleh itu fikir-fikirkan ketika mereka melakukan kesalahan atau kesilapan.

Sesungguhnya manusia tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Tutuplah kesalahannya dengan kebaikannya.

Ketiga, menutup keaibannya; tiada yang sempurna. Allah SWT menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain.

Mengaibkan

Jangan diaibkan isteri kepada sesiapa pun, walaupun kepada saudara dan sahabat handainya. Keaiban isteri juga cermin bagi suami, apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri.

Keempat, kemungkinan kebaikan ada pada isteri yang dibencinya; jangan dibenci atau dicaci mungkin isteri yang dibenci oleh si suami itu ada kebaikan padanya, yang lambat laun pasti akan zahir.

Kelima, mengenal kedudukan isteri di rumah. Dalam banyak keadaan si isteri tinggal di rumah, adakalanya selepas berumahtangga ada di kalangan isteri yang tiada lagi baginya kehidupan bersosial, kerana suami dan anak-anaklah segala-galanya.

Berlaku adillah kepada isteri-isteri yang berada di bawah jagaan anda supaya amanah Allah SWT tidak terabai.

Sumber : Utusan 29/05/2009

Butiran selanjutnya ...

Belia perlu amal gaya hidup sihat berteraskan syariat

PERANAN dan sumbangan generasi muda Islam membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Makkah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat.

Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini. Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom.

Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Constantinople) ketika usia beliau 21 tahun. Peranan golongan muda juga disebut dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh golongan muda berani mempertahankan akidah daripada raja yang zalim.

Firman Allah yang bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), ketika mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” - (Surah al-Kahfi, ayat 13-14)

Golongan beliau menghadapi cabaran hebat dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global hari ini. Mereka bukan saja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi juga semakin diresapi dengan budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur.

Persoalan besar timbul ialah apakah golongan belia yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan negara.

Justeru, marilah kita terutama ibu bapa dan belia sekalian bersama berganding bahu serta bekerjasama membina anak bangsa dengan acuan dan cara hidup sihat berteraskan ajaran Islam yang suci.

Ini selaras firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” - (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Oleh itu, belia Muslim perlu bangkit menyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup. Mereka juga perlu mencegah, menghalang dan menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran yang bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa depan negara, mereka perlu meletakkan diri sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati serta disegani masyarakat dunia.

Jika golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi serta terbaik.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” - (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Sesungguhnya tanggungjawab besar belia pada hari ini ialah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Peranan belia hari turut menyumbang ke arah membangun modal insan supaya menjadi bangsa dihormati.

Sumber : BHarian 2009/05/29

Butiran selanjutnya ...

Tabiat ke masjid patut dibiasakan sejak usia muda


PERSEPSI yang bertapak di minda masyarakat bahawa masjid hanya tempat bagi mereka berkelapangan, orang tua yang bersara atau yang alim ilmu keagamaan, persepsi jumud yang tidak harus wujud pada zaman ketandusan aspek nilai murni hidup bermasyarakat.

Betapa besar ganjaran bagi mereka yang memakmurkan masjid dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, namun ada golongan masih sukar diikat hatinya untuk hadir ke rumah Allah.

Masjid ialah institusi yang bukan saja penting bagi umat Islam untuk tujuan ibadat malah, menjadi pusat percambahan dan pengembangan ilmu pengetahuan, penyatuan perpaduan masyarakat, tempat mencari ketenangan jiwa dan suatu masa dulu sebagai tempat mesyuarat dan penstrukturan pentadbiran kerajaan.

Pembinaan Masjid Quba, ketika hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah antara program awal dalam kerangka kronologi peristiwa agung hijrah membuktikan pentingnya masjid dalam pembentukan kerajaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga masjid. Masjidku ini (Masjid Nabi), Masjidilharam dan Masjidilaqsa. Aku juga pernah mendengar Baginda bersabda: Janganlah seseorang wanita musafir selama dua hari melainkan bersama mahram atau suaminya.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengimarahkan masjid harus menjadi tanggungjawab setiap Muslim merentas sempadan usia, bangsa, warna kulit dan tidak mengira masa. Masjid tidak hanya dipenuhi pada Jumaat atau Ramadan dan hari raya. Paradigma sesetengah kita masjid tempat bagi ulama saja suatu yang perlu diubah. Persepsi salah masjid hanya tempat mereka yang pencen wajar ditepis, selaras hadis Baginda SAW yang menggesa umatnya merebut peluang masa muda sebelum tua dan masa sihat sebelum sakit.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Ketika usia muda biasanya kesihatan lebih baik berbanding apabila umur meningkat yang sering uzur seperti sakit sendi, lenguh otot, cepat penat, letih, termasuk kurangnya penglihatan serta pendengaran untuk menangkap kandungan program ilmu yang disampaikan. Bagi menjadikan perkara yang baik itu tabiat, ia memerlukan proses membiasakan diri seperti kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tarbiah dianjurkan sepanjang Ramadan harus menjadi motivasi yang cukup untuk menjadikan seseorang menggantungkan hatinya di masjid.

Anak harus dibiasakan sejak kecil berjinak dengan masjid. Mungkin pada peringkat awal, mereka diajak bersolat waktu saja dan lama-kelamaan apabila rasa cinta sudah berputik, masa di masjid boleh dipanjangkan untuk mengikuti kuliah dan majlis ilmu. Mungkin ada juga yang berpandangan tidak semestinya orang selalu ke masjid baik atau mereka yang sentiasa bersolat di rumah lebih khusyuk dan ikhlas, selaras dengan keutamaan untuk menjaga hati terutama dalam hal ibadah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanya orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun), kecuali Allah. Maka, mudah-mudahan mereka termasuk orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Pihak pengurusan masjid perlu sentiasa proaktif mencari idea dan membuat perancangan program untuk menarik masyarakat menjinakkan hati mereka yang lebih muda untuk ke masjid. Selain mewujudkan suasana beribadah yang kondusif dari segi penjagaan kebersihan, pelbagai program perlu diatur untuk mencapai objektif menjadikan masjid sebagai rumah kedua.
Program sukan misalnya, boleh distrukturkan bersesuaian dengan matlamat menjemput golongan lebih muda dan aktif supaya turut sama menjayakan program mengimarahkan masjid. Majlis ilmu yang dianjurkan harus dapat menarik perhatian pelbagai lapisan usia dan kelas pengajian tidak harus fokus kepada satu golongan saja.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mencadangkan pekarangan masjid dilengkapi gelanggang sukan dan landskapnya diperindahkan. Kawasan masjid yang lapang harus dimanfaatkan. Sesungguhnya amat bertuah jika program dianjurkan masjid dihadiri mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki sebelum ini dan lebih bertuah jika impak program itu menjadikan mereka pengunjung tetap masjid selepas itu.

Malang jika kali pertama mereka yang mula menjinakkan diri ke masjid mengambil keputusan sebaliknya hanya disebabkan faktor yang menjatuhkan imej sesebuah masjid disebabkan tidak peka kepada keperluan jemaah. Golongan yang mula menjinakkan hati ke masjid wajar diberi sokongan tanpa mengira latar belakang, cara berpakaian asalkan menutup aurat, teguran penuh berhikmah jika ada kesilapan dilakukan sewaktu beribadah. Kritikan secara terbuka atau dengan cara memberitahu orang lain kesilapan jemaah baru boleh mengakibatkan malu pada diri dan akhirnya itulah kali pertama yang menjadi kali terakhir mereka singgah bersolat di masjid.

Selain usaha memupuk kesedaran dalam diri sendiri, sokongan masyarakat sekitar tidak boleh dinafikan kepentingannya. Justeru, kehadiran di masjid patut diraikan setiap yang ada supaya matlamat mencari keredaan serta rahmat dapat dicapai. Masjid adalah kunci kerahmatan, pintu perpaduan, ada semangat persaudaraan dan ia ditinggikan martabatnya sebagai tempat paling mulia di bumi sebagai rumah Allah. Tidak hadirkah rasa mulia di hati kita untuk menjadi tetamu-Nya?

Dr Irfan Mohamad ~ Penulis ialah Pensyarah Kanan ORL Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia

Sumber : BHarian 2009/05/29


Butiran selanjutnya ...

Budaya ukhuwah landasan eratkan perpaduan umat Islam

CIRI utama ibadat dalam Islam berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan. Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji antara lain membina ukhuwah serta perpaduan.

Justeru, Allah mengisyaratkan setiap mukmin adalah bersaudara seperti firman Allah bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Orang beriman diikat oleh tali kekeluargaan seagama, satu ikatan yang mengatasi hubungan darah dan keluarga. Mereka berkewajipan memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan membantu dalam kehidupan seharian.

Inilah ciri persaudaraan Islam unggul dibina Nabi SAW ketika berhijrah ke Madinah. Persaudaraan berasaskan akidah itu berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai pegangan agama dan kabilah.

Sejarah mencatatkan kehebatan tahap persaudaraan ketika itu antara Ansar dan Muhajirin. Dinyatakan keluarga Ansar yang memiliki dua pakaian memberikan sehelai kepada saudaranya daripada golongan Muhajirin.

Mereka yang memiliki dua rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin dan mereka mempunyai dua bidang tanah, sebidang diwakafkan kepada Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap persaudaraan dan kasih sayang yang dihayati masyarakat Islam pada zaman Nabi SAW.

Sesungguhnya persaudaraan Islam yang bercirikan roh kekeluargaan dan semangat kekitaan semakin berkurangan, malah ada sesetengah keluarga tidak mengenali saudaranya serta jarang berjumpa.

Sesetengah jiran tetangga pula tidak mengenali dan bertegur sapa dengan jiran, peniaga memeras pengguna, majikan mengabaikan kebajikan pekerja atau fakir dan miskin yang lemah tidak dipedulikan golongan berada.

Fenomena hasad dengki, khianat, dendam dan buruk sangka berleluasa dalam masyarakat. Dalam perkembangan semasa, apa yang membimbangkan lagi ialah berlaku permusuhan dan perbalahan di kalangan pemimpin serta pengikut parti politik yang pasti mengancam kekuatan dan kedaulatan umat.

Persoalan besar timbul dan terus menjadi tanda tanya ialah mengapa umat Islam terus berpecah walaupun kekuasaan kita semakin mengecil? Antara sebabnya ialah pegangan akidah dan takwa umat Islam sedang dilanda krisis.

Kehidupan harian sebahagian umat Islam tidak dikuasai iman dan akhlak, tetapi dipengaruhi nafsu yang mengutamakan kepentingan peribadi, bukan kepentingan agama, masyarakat dan negara.

Menangani permasalahan membimbangkan ini, segenap lapisan masyarakat Islam diseru menghayati budaya ukhuwah dan perpaduan dengan kaedah digariskan Allah antaranya:

l Mengikis perbuatan saling mencaci, mengeji, mengadu domba dan berprasangka buruk antara satu sama lain yang menjadi punca perselisihan dan perbalahan.

Ini selaras dengan perintah Allah dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman! Jangan sesuatu puak merendahkan puak lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula wanita ke atas wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amat buruk sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa tidak bertaubat, maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

l Memastikan hak sosioekonomi dan politik dalam masyarakat dipenuhi dengan adil serta saksama. Hindari diskriminasi dalam apa juga aspek menyentuh kepentingan individu.

Dengan terlaksana keadilan, timbul kepuasan mewujudkan persefahaman, penghormatan dan kerjasama yang sekali gus mengukuhkan perpaduan. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8)

l Setiap individu perlu menjadi anggota masyarakat yang berfikiran positif iaitu bersedia bekerjasama dan saling membantu dalam apa juga kebajikan dilakukan oleh sesiapa saja selagi kegiatan itu berlandaskan tuntutan syarak, berkebajikan dan mendatangkan maslahah umat.

Hindari sikap ego atau fanatik kepada fahaman sendiri serta serba tidak kena dengan pendapat dan usaha orang lain. Mari kita ambil iktibar dan cermin diri pada masa ini ada tanda kekuatan politik umat Islam semakin lemah, penguasaan ekonomi juga tertinggal di belakang kaum lain dan kualiti sosial umat merosot.

Oleh itu, kita tiada pilihan kecuali kembali bersatu menguatkan persaudaraan berdasarkan ketaatan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Khutbah online Jakim

Sumber : BHarian 2009/05/29

Butiran selanjutnya ...

Tegur, nasihat hindar diri daripada sifat munafik

Assalamualaikum warahmatullah,

GOLONGAN munafik sudah wujud sewaktu hayat Rasulullah SAW lagi. Istilah itu digunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-pura mengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atau ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati.

Firman Allah yang bermaksud: “Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” - (Surah al-Munafiqun, ayat 1)

Begitulah Allah menerangkan dengan jelas perihal orang munafik dalam al-Quran sehingga Allah menamakan satu surah iaitu al-Munafiqun bagi menggambarkan betapa bahayanya sifat munafik terhadap agama Islam.

Pada zaman Rasulullah SAW, perihal orang munafik itu lebih jelas apabila Baginda memerintahkan Muslimin untuk keluar berjihad di jalan Allah, maka golongan munafik akan segera berdolak-dalih dan memberi 1001 alasan bagi mengecualikan diri keluar berperang menentang Musyrikin ketika itu.

Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang munafik yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu). Mereka menjawab: Jika kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentulah kami mengikut kamu (turut berperang).” - (Surah Ali-Imran, ayat 167)

Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua keadaan. Pertamanya, munafik I’tiqadi iaitu yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran saja.

Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi sebenarnya mendustakan agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” - (Surah al-Baqarah, ayat 8)

Hakikatnya, golongan itu sudah terkeluar daripada agama Allah kerana niat di hati memainkan peranan penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki kepada keimanan seseorang di sisi Allah.

Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.” - (Surah an-Nisa’, ayat 145)

Keadaan kedua disebut munafik ‘Amali iaitu berkaitan perbuatan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” - (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas kepada kita ada perbuatan tertentu yang jika dilakukan, maka ia termasuk dalam golongan munafik. Sebagai manusia yang secara fitrahnya tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.

Persoalannya, adakah kita melakukan perbuatan itu dengan cara yang betul dan menurut kehendak Islam? Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya?

Persoalan itu hanya mampu dijawab dengan jawapan positif bagi mereka yang memiliki iman kukuh dalam diri. Walaupun jika dilihat secara rambang, kesemua perbuatan itu tidaklah sebesar dosa membunuh, berzina, mencuri atau minum arak tetapi dengan mengamalkannya sudah cukup untuk melayakkan diri menerima azab seksa-Nya di akhirat kelak.

Sebagai Muslim yang berusaha sedaya upaya untuk menjadi hamba sentiasa mendapat keredaan Allah, tidak boleh tidak, semua sifat dan perbuatan yang melambangkan perihal orang munafik mestilah dihindari untuk menyelamatkan diri daripada menerima kemurkaan Allah.

Antara lain, dengan muhasabah diri kerana dengan itu kita akan lebih berwaspada terhadap setiap tingkah laku dan gerak-geri. Bermuhasabah juga, membolehkan kita memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri.

Kadang-kadang kita tidak sedar perbuatan itu melampaui batas ditetapkan agama. Muhasabah diri menyedarkan seseorang mengenai perbuatan yang dilakukan dan setiap amalan tidak terlepas daripada timbangan neraca Allah di akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” - (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Saidina Umar al-Khattab pula pernah berkata yang maksudnya: “Hisablah (nilai) diri kamu, sebelum kamu dihisab (pada hari akhirat kelak).”

Selain bermuhasabah yang bergantung seratus peratus pada usaha sendiri, sebagai Muslim yang mencintai saudaranya, amalan saling memberi nasihat dan teguran juga boleh menghindarkan diri daripada sifat munafik yang tercela itu.

Ada kala perbuatan kita di luar kawalan atau tanpa kita sedari. Justeru, peranan orang di sekeliling yang menyedari akan hal itu dapat membantu kita daripada terus hanyut di bawa arus pembohongan, pendustaan dan pengkhianatan atau pecah amanah.

Sesungguhnya, amalan memberi nasihat dan teguran inilah yang menjadi tuntutan Islam, sesuai sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Agama itu nasihat.” - (Hadis riwayat Muslim)

Allah juga mengingatkan pentingnya sentiasa memberi peringatan yang sememangnya akan membawa kebaikan kepada ummah secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” - (Surah az-Dzariyat, ayat 55)

Marilah sama-sama berusaha sedaya upaya untuk sentiasa menjauhi sifat golongan munafik. Jangan jadikan pembohongan, mungkir janji dan khianat atau pecah amanah satu perlakuan biasa tanpa ada rasa bersalah dan takutkan azab yang sentiasa menunggu bagi mereka yang tidak menyesali segala perbuatan jahat dilakukan.

Iltizam yang kuat dalam diri di samping bantuan sesama Muslim penting bagi memelihara diri daripada sifat golongan munafik itu. Sesuai sabda Rasulullah SAW yang menerapkan semangat kasih sayang sesama Muslim supaya orang Islam sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya, seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia

Sumber : Mohd Shahrizal Nasir di BHarian 2009/05/29


Butiran selanjutnya ...

Sentiasalah menginsafi diri


Assalamualaikum warahmatullah,

Saat menghadapi sakaratul maut adalah detik kritikal kepada orang yang akan dicabut nyawanya. Hayat penghabisan itu bakal menentukan sama ada seseorang itu mati dalam iman atau mati sebagai seorang yang kufur.

Sehubungan itu, panduan ajaran Islam ada menerangkan kepentingan talkin syahadah iaitu mengajarkan kalimah tauhid kepada orang yang berada dalam keadaan sakaratul maut. Kematian adalah suatu yang pasti dihadapi setiap manusia, sama ada dia bersedia atau tidak, maut pasti datang menjengah.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhan-mu kamu akan dikembalikan.” (Surah as-Sajdah [032], ayat 11)

Pengisi neraka

Daripada Othman bin Affan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “sesiapa yang meninggal dunia dengan penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Umar al-Khattab juga pernah menyebut yang maksudnya, “Hendaklah kamu hadir kepada orang yang hendak meninggaldunia daripada kalangan kamu dan ingatkanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka melihat apa yang kamu tidak nampak dan talkinkanlah mereka dengan kalimah tiada Tuhan melainkan Allah.”

Malaikat akan datang memberitahu mengenai terputusnya kelazatan dan kenikmatan dunia. Dalam masa yang sama, iblis dan syaitan juga akan berkeliaran mencari peluang memalingkan hati dan menghasut serta memperdaya supaya orang itu tergelincir imannya dan seterusnya menjadi calon pengisi neraka seperti mereka dan keturunannya. Anak cucu-cicit ketika itu akan mengelilingi manusia dan muncul dengan menyerupai wajah orang terdahulu yang disayangi manusia tadi.

Kekalkan solat

Dengan wajah bertopengkan manusia, syaitan membisikkan hasutan ke telinga supaya jangan mempercayai Allah SWT, Rasul-Nya, kitab al-Quran dan hari kiamat. Namun, manusia yang kuat iman dan pegangan agamanya serta ketika hidupnya sentiasa mengekalkan solat dan puasa, tidak akan mudah termakan bisikan syaitan. Maka di sinilah pentingnya peranan kerabat terhampir dengan pesakit mengajar dan mengulang-ulang serta membisikkan kalimah syahadah supaya tidak lekang daripada mulutnya supaya akhir kalamnya nanti dengan sebutan kalimah itu. Amalan ini digalakkan, malah sunat dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup ke atas orang yang berada di saat hampir kematian.

Talkin

Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “(Ajarkanlah) orang hendak meninggal dunia dari kalangan kamu dengan talkinkanlah ‘La illaa ha Ilaaha.’” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah)

Dalam satu riwayat lain daripada Huzaifah, ada sambungan hadis, “kerana ia (talkin) boleh menghapuskan dosa terdahulu.”

Orang yang hadir tidak dibenarkan membaca talkin dengan suara nyaring kerana dibimbangi berat lidah pesakit untuk menuturkannya, sebaliknya ajarkanlah kepada mereka dengan suara yang perlahan. Menurut Imam al-Ghazali, kepentingan kalimah ini dibisikkan ke telinga pesakit supaya ia menghabiskan hayatnya dalam keadaan hatinya tiada mengingati perkara lain kecuali Allah SWT dan apabila tiada di dalam hatinya kecuali Tuhan Yang Esa, maka melalui kematian itu, dia akan mencapai nikmat tertinggi dalam perjalanannya menuju Allah SWT.

Orang yang hadir juga disunatkan menasihati pesakit supaya bersangka baik dengan Allah SWT, yang mendatangkan kepadanya detik kematian bakal dihadapinya. Ini adalah senjata sangat ampuh untuk menangkis serangan syaitan di saat ia dalam keadaan yang kritikal.

Dalam satu riwayat daripada Wathilah bin al-Asqa menyebut, “Talkinkan dan hadirkan kepada orang yang hendak meninggal dunia antara kamu dengan ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ serta gembirakanlah ia dengan syurga, kerana orang lelaki mahupun perempuan, di saat genting itu akan kebingungan. Demi Allah SWT, pandangan terhadap malaikat maut saja terasa hebat daripada seribu kali pukulan pedang. Demi Allah SWT, tidak akan keluar jiwa seseorang daripada dunia hingga setiap keringatnya merasa sakit kerana bingungnya.”

Bacaan doa

Hadis daripada Maqil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban)

Seperkara lagi yang penting bagi semua manusia yang bernyawa ialah melazimkan bacaan doa supaya mati dalam keadaan husnul khatimah dan minta dijauhkan mati dalam keadaan al-khatimah. Inilah yang diajar Nabi Muhammad SAW melalui doanya yang bermaksud, “Ya Allah, sudahilah pengakhir hayat kami dengan husnul khatimah dan janganlah sudahi pengakhir hayat kami dengan su'ul khatimah.”

Sesungguhnya pengajaran daripada al-Quran dan al-Sunnah ini adalah satu petunjuk bahawa kematian manusia bukanlah penamat kehidupan, tetapi ia adalah satu jambatan menuju ke alam yang lebih luas dan kekal abadi.

Fikir-fikirkanlah.




Sumber : Mohd Huzairi Zainuddin

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails