“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Mei 25, 2009

Mengajak Suami Berdakwah

Salam,

Dalam kehidupan rumah tangga, kewajipan bersama yang menjadi keutamaan sepasang suami dan isteri adalah kewajipan berdakwah sebagaimana yang dicatatkan di dalam Al-Quran. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, Dan orang-orang yang beriman laki-laki dan perempuan, sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat yang maaruf, dan mencegah yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh Allah Maha perkasa maha bijaksana. (Surah at-Taubah (9), ayat 71)

Selain secara fardiyah (individual), dakwah harus dilakukan secara berkelompok atau berjamaah seperti firman-Nya, Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat maaruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah ali-Imran (3), ayat 104)

Adalah menjadi satu kebahagiaan yang sukar digambarkan apabila suami isteri bersama-sama melaksanakan kewajipan dakwah, apatah lagi berada di dalam satu jamaah dakwah yang sama. Suami isteri yang sama-sama mempelajari Islam dan melaksanakan dakwah akan saling menyokong antara satu sama lain dan sekaligus menjadi satu kumpulan dakwah kecil. Lantaran itu, dengan pemikiran ideologis yang mereka miliki, tentangan dan cabaran terhadap dakwah bukanlah menjadi persoalan dan bukanlah satu bebanan besar bagi mereka.

Penglibatan sepasang suami dan isteri dalam satu jamaah/harakah dakwah memberi kelebihan yang tersendiri. Visi dan misi dakwah yang terpatri kuat di hati mereka membentuk persamaan dari sudut pemikiran dan perasaan sehingga terbentuknya persamaan dari segi sikap. Pengalaman menunjukkan bahawa suami isteri yang bergandingan dalam satu harakah akan saling menyokong antara satu sama lain.

Namun, bagaimanakah jika suami masih belum melakukan kewajipan menuntut ilmu, berdakwah dan melibatkan diri dengan jamaah dakwah (harakah)? Dalam situasi inilah, isteri perlu mengingatkan suami. Terdapat beberapa langkah penting dalam usaha mengajak suami untuk berdakwah;

Pertama: Berniat dengan kuat agar suami kita berjalan bersama di jalan dakwah.

Kedua:
Mengkaji faktor yang menyebabkan suami belum mahu mengkaji Islam, berdakwah dan melibatkan diri dalam harakah; adakah kerana masih belum jelas tentang wajibnya berdakwah, atau disebabkan lemahnya keterikatan dengan perintah kewajipan berdakwah, atau bimbang dengan risiko yang bakal dihadapi dalam perjuangan, atau kerana langsung tidak mengambil peduli kewajipan berdakwah dan mementingkan aktiviti lain ataupun hal ini berlaku kerana faktor-faktor lain. Setelah mengenalpasti puncanya, isteri mestilah menyusun langkah dan mengatur strategi dalam menanganinya. Karakter suami dan gaya komunikasinya perlu difahami terlebih dahulu bagi mengenalpasti pendekatan yang tepat ketika memberi peringatan.

Ketiga:
Memohon kepada Allah Subhanahu wa Taala. dengan penuh kesungguhan. Berdoa secara tulus, fokus dan istiqamah, InsyaAllah akan membuahkan hasil kerana Allah melihat kesungguhan kita. Tidak salah jika kita mengkhususkan doa memohon kepada Allah Subhanahu wa Taala. agar suami kita mengkaji Islam, berdakwah dan berjuang bersama dalam harakah yang sama dengan kita. Tentangan dakwah dimasa hadapan pasti akan semakin hebat. Justeru itu, kita memerlukan sokongan dan dorongan daripada orang-orang sekeliling, khususnya yang paling dekat iaitu suami. Keredhaan dan sokongannya menjadi perkara pokok dalam semua aktiviti kita.

Keempat:
Menjelaskan dan menggambarkan kepada suami tentang hakikat hidup dan perjuangan. Oleh itu, pendekatan intensif harus dilakukan kepada suami dalam rangka untuk menguatkan akidahnya. Misalnya, sering membincangkan tentang siapa kita, dari mana kita berasal, untuk apa kita hidup di dunia dan ke mana kita akan kembali pulang. Kita adalah hamba Allah yang wajib bersyukur atas kurniaannya dengan cara taat menjalankan tugas dan kewajipanNya.

Kelima:
Menjelaskan kepada suami bahawa dakwah adalah kewajipan seorang Muslim, sama seperti kewajipan menunaikan solat, zakat, haji dan kewajipan lain. Natijahnya, meninggalkan dakwah adalah berdosa. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. dan para sahabat menjadikan dakwah di jalan Allah sebagai aktiviti utama mereka. Fikiran mereka tercurah untuk berdakwah tidak kira di mana pun dan dalam apa jua keadaan. Dakwah adalah kunci kemuliaan hidup umat manusia. Tanpa dakwah, kebaikan hidup manusia tidak terjamin.

Keenam:
Sering membincangkan setiap permasalahan yang dihadapi dan realiti apapun yang dilihat bersama. Berdoa kepada Allah setiap kali ingin memulakan perbincangan agar lisan kita dilancarkan, dada kita dilapangkan dan kalimat yang dituturkan mudah untuk difahami. Setiap perbincangan harus didasarkan penyelesaiannya dari sudut pandangan Islam. Misalnya, ketika sedang menonton televisyen, kita memberi pandangan, menganalisis masalah utamanya dan kemudian menjelaskan penyelesaian masalah dalam pemikiran Islam.

Jika suami meminta isteri untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum Islam, isteri tidak boleh membiarkannya. Kerana, Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam menyatakan, “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam kemaksiatan kepada Allah.” Namun demikian, selama mana perintahnya yang lain yang tidak bertentangan dengan perintah Allah Subhanahu wa Taala, isteri wajib mentaati suaminya.

Isteri hendaklah selalu membincangkan tentang pendidikan anak-anak yang dilandaskan pada metode Islam, menentukan corak pendidikan dalam keluarga, memilih tempat pergaulan anak dengan masyarakat; membincangkan tempat mereka akan dibekalkan dengan ilmu yang lain; membincangkan juga corak hubungan dengan isteri, anak-anak dan dengan orang tua serta keluarga lainnya. Tiada satu pembicaraan pun yang terpesong dari tujuan mengingatkan dan mengajak suami untuk mengkaji Islam, berdakwah dan memperjuangkannya.

Ketujuh:
Menjelaskan keunggulan pemikiran Islam yang dibawa harakahnya, bahawa harakahnya mempunyai konsep dan metode penerapan Islam yang khas. Konsep dan metode ini akan digunakan dalam menyelesaikan persoalan kehidupan. Menggambarkan pemikiran yang dibawa harakahnya bersifat ideologis; iaitu mendasar, menyeluruh dan sempurna; berkarakter komprehensif dan praktis. Dalam hal ini, cara isteri menjelaskan dan menggambarkan harus baik dan benar sehingga menyentuh akal dan perasaan suami. Kerana, sasarannya adalah agar suami, melibatkan diri dalam harakah bukan kerana rasa kasihan terhadap isterinya yang tidak jemu-jemu mengajaknya untuk berdakwah ataupun kerana perasaan cinta kepada isterinya. Penglibatan suami ke dalam harakah hendaklah didasarkan kepada keyakinan akalnya dan kepuasan jiwanya dengan pemikiran Islam yang dibawa oleh harakah. Penglibatan seseorang dalam harakah yang tidak didasarkan pada pemikirannya, tetapi kerana individu yang mengajaknya, tidak akan bertahan lama. Sedikit saja masalah yang dihadapi dalam perjuangan dakwah akan membuatkannya ragu bahkan goyah pendiriannya. Oleh itu, isteri yang menunjukkan jalan dakwah kepada suami dan mengajaknya melibatkan diri dalam harakah dakwah perlu mampu meyakinkan dan memuaskan akal dan jiwanya terhadap pemikiran Islam ideologis.

Kelapan:
Meminta suami agar selain menjadi imam untuk solat berjamaah, turut memimpin tazkirah ringkas di rumah bersama anak-anak serta menyampaikan pemikiran Islam kepada keluarga. Isteri memberikan sokongan dengan menyediakan bahan-bahan yang akan disampaikan oleh suami dan membuat jadual rutin agar suami sentiasa bersedia mempersiapkan dirinya. Tambahan pula, jika suami merupakan seorang guru mengaji tetapi belum menjadi pendakwah maka isteri harus mengingatkannya untuk terus menambah wawasan dan pengetahuannya.
Kesembilan: Mengajak suami mengunjungi aktiviti-aktiviti dakwah seperti seminar, kempen dan sebagainya. Ini bertujuan untuk membentuk suasana semangat juang yang tinggi dan keyakinan yang kuat akan dekatnya pertolongan Allah Subhanahu wa Taala kepada umat Islam.

Demikian antara langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mewujudkan harapan sebuah keluarga yang melangkah bersama di jalan dakwah. Dalam hal ini, penglibatan suami isteri dalam dakwah wajib didasarkan atas niat beribadah kepada Allah, berlumba-lumba dalam kebaikan serta tolong-menolong dalam kebenaran dan ketakwaan.

Jika usaha kita dalam menjalankan langkah-langkah tersebut belum menunjukkan hasil, tentu saja kita tidak boleh berputus asa. Melakukan penilaian semula terhadap langkah-langkah yang telah diambil dan muhâsabah terhadap diri kita menjadi agenda berikutnya. Kemudian dari proses penilaian dan semakan itu akan dapat mencetuskan idea dan strategi baru untuk mengajak suami berada dalam perjuangan. Tentu saja permohonan kita kepada Allah Subhanahu wa Taala agar Dia memudahkan semua urusan kita selalu menyertai langkah yang kita lakukan.

Hasbunallâhu wa ni’ma al-Wakîl, ni’ma al-Mawlâ wa ni’ma an-Nashîr. Wallahu’alam

Sumber : MyKhilafah.com

3 ulasan:

  1. mrlabiu [mrlabiu@yahoo.com]30 Mei 2009 pada 2:21 PTG

    BERDAKWAH itu ertinya BERKEMPEN...ya? Mcm pilihanraya calon WAKIL RAKYAT pergi ke rumah/tempat tertentu beritahu PERKARA yang kita LAKON tiap hari pada orang. Arwah Pak Hamka saya dengar berkata bahawa BERDAKWAH itu kalau berdiam di rumah pun, tidak melilau sana-sini, baik urusan, elok hubungan sesama nasab dan semua sanak dah jadi dakwah.

    BalasPadam
  2. Mohammad Zahid [mzahid.ag@gmail.com]30 Mei 2009 pada 2:23 PTG

    Dakwah ni bawak manusia pada Allah ... pada penciptanya....
    Kalau bawak manusia pada makhluk itu nama dia dakyah ....
    Malas nak cakap .. bukak quran ngaji ayat ni bagi habis ......

    Surah Al-‘Asr (سورة العصر) adalah surat ke-103 dari Al Quran [http://ms.wikipedia.org/wiki/Al_Quran]. Surah ini tergolong surah makkiyah [http://ms.wikipedia.org/wiki/Makkiyah] dan terdiri atas 3 ayat. Kata Al 'Ashr bererti waktu/masa dan diambil dari ayat pertama surat ini.

    Isi surat mengabarkan bahawa sesungguhnya semua manusia itu berada dalam keadaan kerugian kecuali dia termasuk mereka yang selalu beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.

    [sunting - ]Terjemahan ayat

    بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

    1. وَالْعَصْرِ Demi masa.
    2. إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
    3. إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails