Oleh Abdurrahman Haqqi
POLIS berusaha mencegah dan mengawal keamanan dalam pelbagai keadaan untuk faedah semua. - Gambar hiasan |
Lemah-lembut, mengerti apa harus dilarang dan adil sifat wajar ada pada penguat kuasa
DEMI meningkatkan mutu perkhidmatan ke arah penjagaan keselamatan dan ketenteraman awam dengan lebih profesional dan berkesan serta mengukuhkan kerjasama serantau, kerajaan Asean akan menubuhkan Aseanapol yang beribu pejabat di Kuala Lumpur seperti dilaporkan Jumaat lalu. Langkah ini sangat tepat pada masa, melihat kepada peningkatan kes jenayah dan teknik penjenayah yang sering berubah dalam melanggar undang-undang negara dan yang akan kita ulas kali ini berkaitan dengan pelanggaran hukum syarak.
Tindakan penjenayah dalam membuat kerosakan dan kezaliman di dunia ini mengakibatkan banyak kerugian harta benda, kehilangan nyawa dan kemusnahan alam sekitar. Dalam Islam pelakuan jenayah seperti pembunuhan, peras ugut, ragut, rogol, bunuh, mencuri, merompak dan seumpamanya diklasifikasikan sebagai perbuatan zalim dan kejam. Jenayah ini jelas melanggar hukum Allah SWT dan menggugat keselamatan orang lain. Allah SWT sangat membenci mereka yang melakukan kezaliman.
Mengapa Kuala Lumpur dipilih daripada 10 negara Asean? Menurut hemat penulis mungkin kerana kekananan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah menyambut 202 tahun pada 25 Mac lalu. Sudah semestinya dengan usia mencecah dua abad ini, PDRM adalah khazanah polis dan kepolisan yang tidak boleh dianggap ringan.
Jika kita tanyakan kepada diri kita atau bahkan kepada pasukan polis sendiri apakah makna atau pengertian daripada perkataan 'polis', mungkin kita akan mengerut dahi kita kerana tidak pernah terfikir untuk mengetahuinya. Perkataan polis dalam bahasa Perancis lama ialah policie dengan erti pertubuhan awam atau civil organisation, manakala daripada bahasa Latin Kuno politia dengan erti 'negara' atau the state, dan dalam bahasa Greek pula ia politeia yang bererti 'warganegara' atau citizen, atau 'polis' yang bererti 'kota' atau city.
Dalam bahasa fikah dan sejarah Islam, polis dikenal dengan nama 'syurtah' atau 'syurti' yang bermakna 'garis'. Ia diberi nama demikian kerana Gabenor Mesir 'Amr ibn al-'Ash pada zaman Khalifah Umar al-Khattab adalah orang yang pertama mengalungkan rampaian garis di sekeliling tubuh anggota polis sebagai tanda dia adalah seorang polis.
Selain nama syurtah yang dikenal dalam sejarah Islam, ada juga istilah sama digunakan untuk mereka, antaranya 'asas (penjaga), sahib al-lail (penjaga malam) dan khafir (penjaga). Semua sistem keselamatan awam ini termasuk dalam kajian al-Hisbah dalam sistem kenegaraan Islam, sedangkan al-Hisbah menurut al-Mawardi dalam Ahkam al-Sultaniyyah adalah amar makruf ketika ia ditinggalkan dan nahi mungkar ketika ia dilakukan atau dalam pandangan Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah 'pekerjaan keagamaan sebagai bahagian daripada amar makruf nahi mungkar dan hukumnya wajib ke atas pemimpin yang mengatur umat Islam.
Saidina Abu Bakar al-Siddiq ketika menjadi khalifah sudah mengangkat Abdullah ibn Mas'ud sebagai ketua polis di Madinah yang disebut Sahib al-Lail. Saidina Umar bin al-Khattab adalah khalifah yang juga seorang ketua polis kerana beliau sendiri yang mengetuai untuk menjaga keamanan Madinah. Khalifah yang kali pertama mengangkat seorang ketua polis secara rasmi ialah Saidina Uthman bin 'Affan dan menjolokinya dengan nama Sahib al-Syurtah. Ia kemudian dikemas kini oleh Saidina Ali ketika beliau memindahkan ibu negeri kerajaan ke kota Kuffah di Iraq.
Sistem kepolisan Islam bertambah teratur pada zaman Khalifah Ummaiyah dengan diangkatnya seorang ketua polis bagi setiap wilayah dari wilayah khalifah Umaiyyah yang semakin luas. Ziad ibn Abihi sebagai ketua polis kerajaan Umaiyyah ini sudah memperuntukkan 4,000 polis yang menjaga keamanan kota Basrah dan menyerahkan kepemimpinannya kepada Abdullah ibn Hishn dan Ibn Qais al-Numairi. Pada masa ini, polis juga dikerahkan untuk menjaga bangunan dan institusi penting kerajaan seperti bait al-mal dan dawawin.
Jika pada zaman Umaiyyah sistem kepolisan baru sampai pada peringkat wilayah, pada zaman berikutnya yakni Khalifah Abbasiah, sistem kepolisan sudah sampai pada setiap kota. Pada zaman ini ketua polis atau Sahib al-Syurtah mengangkat timbalan dan penolongnya yang dikenal dengan istilah al-a'wan (penolong) atau asha al-naubah (naib) atau ashab al-'asas (penjaga) atau ashab al-tawaf (pengeliling) dan khufara (pengawal). Kesemua istilah ini adalah pangkat bagi setiap pasukan polis yang paling tinggi ialah Sahib al-Syurtah dan yang terendah adalah khafir atau ketua polis kawasan.
Sepanjang sejarah Islam pasukan polis dengan pengertian moden telah berjaya dan berjasa dalam mengawal ketenteraman awam dan keselamatannya. Dalam melaksanakan tugas kepolisan, mereka sudah diberikan pedoman amar makruf nahi mungkar kerana mereka tidak hanya bertanggungjawab kepada ketua mereka, tetapi mereka juga bertanggungjawab di hadapan Allah SWT pada kemudian hari.
Pasukan polis dalam sejarah Islam sudah dibekalkan dengan ajaran amar makruf nahi mungkar yang antaranya menyatakan maksudnya: "Wahai segenap manusia, serulah kepada yang makruf dan cegahlah daripada yang mungkar sebelum kamu berdoa kepada Allah dan tidak dikabulkan serta sebelum kamu memohon ampunan dan tidak diampuni. Amar makruf tidak mendekatkan ajal. Sesungguhnya pemuka agama Yahudi dan Nasrani ketika mereka meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar, dilaknat oleh Allah melalui ucapan nabi mereka. Mereka juga ditimpa bencana dan malapetaka." (Hadis riwayat al-Tabrani).
Mereka juga didoktrinasi dengan hadis yang bermaksud: "Tidaklah seharusnya orang menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar kecuali memiliki tiga sifat, yakni lemah-lembut dalam menyuruh dan dalam melarang (mencegah), mengerti apa yang harus dilarang dan adil terhadap apa yang harus dilarang." (Hadis riwayat al-Dailami). Mereka juga diingatkan dengan hadis yang maksudnya: "Orang yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah yang paling banyak berkeliling di muka bumi dengan bernasihat kepada manusia (makhluk Allah)." (Hadis riwayat al-Thahawi).
Suasana aman yang kita nikmati pada hari ini sebahagian besar datangnya daripada usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan polis. Mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.
Keberhasilan pihak keamanan tidak akan dikecapi seandainya rakyat jelata dan masyarakat sekeliling tidak turut sama bertanggungjawab dan bekerjasama dalam memerangi kejadian jenayah. Berdasarkan pemerhatian ada kecenderungan rakyat terutama masyarakat di bandar bersifat lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada polis menangani gejala jenayah. Keadaan ini merugikan negara dan menguntungkan penjenayah. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama menjaga, menyelamat dan menghapuskan jenayah. Ini bertepatan dengan maksud hadis: "Barang siapa antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu, hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan terus terjamin, setiap rakyat bertanggungjawab mencegah atau sekurang-kurangnya membantu mencegah jenayah daripada terus berleluasa.
Sekiranya masyarakat mengambil tindakan pencegahan awal secara bersama dan berkesan, kemungkinan kejahatan atau jenayah berjaya disekat dengan lebih cepat. Ia jugalah yang diharapkan daripada ditubuhkannya Aseanapol. Wallahualam.
Sumber : BHarian 2009/05/17
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...