“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Mei 27, 2009

Malaikat maut kunjungi Nabi Idris

Nama penuhnya, Idris bin Yarad bin Mahlail. Keturunan daripada Syits bin Adam. Dia termasuk seorang nenek moyang Nabi Nuh, menjadi orang pertama dari keturunan Nabi Adam yang diberi darjat. Pada masa remaja, Idris belajar dengan Syits dan ketika mencapai usia dewasa diangkat menjadi nabi, lalu dia mulai berdakwah dengan melarang kaumnya melanggar syariat Nabi Adam dan Syits, namun tidak ramai yang taat.

Kemudian dia berniat untuk berhijrah, meninggalkan negeri itu dengan menyeru bersama pengikutnya yang sedikit. Mereka keberatan meninggalkan negeri itu lalu berkata kepadanya: “Jika kita pergi dari sini, di mana lagi kita akan menemui negeri yang sama (Babil).”

Idris menjawab: “Jika kita berhijrah kerana Allah, kita akan mendapat rezeki lain.”

Kemudian, Idris dan pengikutnya berhijrah ke Mesir dan melihat Sungai Nil, lalu berhenti di sungai itu dan bertasbih kepada Allah. Selepas itu, mereka menyeru manusia supaya menyembah Allah dan berakhlak mulia.

Idris dan pengikutnya tinggal di Mesir selama 82 tahun kemudian Allah mengangkat ke sisi-Nya, seperti firman-Nya: “Dan kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi.”

Nabi Idris adalah orang pertama yang menulis dengan kalam. Dia sempat berjumpa dengan Nabi Adam selama 308 tahun kerana umur Adam panjang, iaitu 1,000 tahun. Ketika berdakwah, dia menggalakkan kehidupan zuhud, menyuruh umatnya melakukan solat, puasa, menunaikan zakat dan bersuci daripada hadas, selain mengharamkan minuman keras. Dia adalah orang pertama yang mengajarkan ilmu politik peradaban dan menetapkan rancangan pembangunan kota. Setiap kumpulan dalam kaumnya mula membangunkan kota, hingga terbina 188 kota ketika itu.

Disebabkan amalan Nabi Idris banyak diterima setiap hari, dia diangkat ke syurga. Malaikat Maut sangat cinta dan merinduinya, lalu meminta izin daripada Allah untuk mengunjungi Idris. Ketika Malaikat Maut yang menyerupai manusia mengunjungi Idris, dia ketika itu sedang berpuasa sepanjang tahun. Justeru, menjelang waktu berbuka, malaikat datang membawa makanan dari syurga untuk Idris.

Nabi Idris memang rajin melakukan ibadah. Pada satu ketika mengerjakan ibadah, Malaikat Maut menunggu di sampingnya, sehingga terbit fajar dan matahari. Malaikat Maut yang menyerupai lelaki itu masih duduk di sampingnya. Kemudian mereka berjalan bersama dan meneruskan perjalanan selama empat hari dan sepanjang tempoh itu Nabi Idris melihat banyak keanehan daripada malaikat berkenaan, yang sangat berbeza dengan manusia biasa.

Oleh itu Idris bertanya: “Siapakah engkau ini sebenarnya?”

Malaikat Maut menjawab: “Saya Malaikat Maut.”

Idris bertanya: “Apakah engkau ini yang akan mencabut nyawa setiap orang?”

Malaikat berkata: “Ya.”

Idris bertanya lagi: “Selama empat hari engkau bersamaku, apakah engkau juga mencabut nyawa orang?”

Malaikat Maut menjawab: “Ya, saya mencabut beberapa nyawa dan sesungguhnya jiwa makhluk itu untukku, sama seperti hidangan di depan saya atau seperti engkau menghadapi sesuap makanan.”

Nabi Idris berkata: “Wahai Malaikat Maut, apakah engkau datang ini sekadar berkunjung atau mencabut nyawa saya?”

Malaikat berkata: “Saya datang hanya untuk berkunjung dengan izin Allah.”

Idris berkata: “Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai keinginan denganmu.”

Malaikat berkata: “Apakah keinginan itu?”

Idris berkata: “Keinginan saya, supaya engkau mencabut jiwa saya, kemudian Allah menghidupkan saya kembali, sehingga saya dapat beribadah kepada Allah selepas saya merasakan sakratulmaut.”

Malaikat berkata: “Sesungguhnya saya tidak mencabut nyawa seseorang, melainkan dengan izin Allah.”

Selepas itu Allah memberikan wahyu supaya mencabut nyawa Nabi Idris. Malaikat Maut mencabut nyawa Nabi Idris ketika itu juga dan Idris meninggal seketika. Malaikat Maut menangis dan memohon ampun kepada Allah, supaya Dia menghidupkan kawannya (Idris).

Allah menerima permintaan itu, lalu menghidupkan kembali Nabi Idris. Kemudian malaikat berkata: “Wahai saudaraku, bagaimana rasanya maut yang engkau hadapi?”

Idris berkata: “Sesungguhnya, seperti terkupas kulit dalam keadaan hidup, rasa sakit menghadapi maut itu lebih 1,000 kali gandanya.”

Malaikat berkata: “Secara hati-hati dan tidak kasar yang saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah saya lakukan terhadap orang lain.”

Kemudian Nabi Idris juga diberikan keizinan bersama Malaikat Maut meninjau neraka jahanam dan syurga.

Apabila dapat masuk ke syurga, dia meletakkan kasutnya di bawah pokok. Kemudian dia keluar dari syurga, lalu berkata: “Wahai Malaikat Maut, kasut saya tertinggal di dalam syurga, hantarkan saya ke dalamnya.”

Lalu dihantar kembali Nabi Idris ke syurga dan kali ini dia tidak mahu keluar. Malaikat Maut berkata: “Wahai Idris, keluarlah.”

Dijawabnya Idris: “Saya tidak akan keluar kerana Allah sudah berfirman, setiap orang itu merasakan sakratulmaut. Dan sesungguh saya sudah merasakan maut.”

Kemudian, Allah mewahyukan kepada malaikat, supaya meninggalkan Idris: “Tinggalkanlah dia (Idris), sesungguhnya Aku telah memutuskan pada zaman penciptaannya dulu, sesungguhnya dia (Idris) termasuk ahli dan keluarga syurga.”

Sumber : KisahRasul

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails