Oleh Md Asham Ahmad
ANAK masih kecil dan di bawah jagaan orang tua tidak dipertanggungjawabkan dengan apa-apa tanggungjawab. Dia hanya mahu dijaga dan diberikan kasih sayang dan tidak akan faham kenapa direbut serta dipisahkan daripada ibunya.
Anak akan merasai kesedihan dan kedukaan akibat kehilangan kasih sayang ibu. Bagi ibu pula, sudahlah berpisah dengan suami, kini berdepan kemungkinan anaknya pula dirampas. Apakah tanggapan terhadap agama yang ‘membenarkan’ perbuatan sedemikian? Apa pula tanggapan keluarga, sahabat handai dan masyarakat sekeliling terhadap agama itu melihat apa yang berlaku?
Soal ‘mengislamkan’ anak kecil tidak sepatutnya dipermasalahkan dan diperbesar-besarkan sehingga kita lari daripada soal hak penjagaan (hadanah). Tidak kiralah apa yang menjadi punca perceraian, hak seorang ibu terhadap anaknya tidak seharusnya dipersoalkan.
Malangnya masalah itu tidak dilihat sebagai masalah penjagaan tetapi lebih sebagai masalah hak untuk ‘mengislamkan’ anak yang tidak mengerti apa-apa. Ada pihak memberi alasan khuatir nasib dan masa depan anak berkenaan jika tidak dibesarkan secara Islam. Kekhuatiran itu tidak berasas kerana berapa ramai anak dilahir dan dibesarkan ibu bapa Muslim sedangkan keislaman mereka amatlah menyedihkan.
Syarat untuk seseorang itu dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab agama ialah akal. Kanak-kanak masih belum sempurna akalnya, justeru belum dibebankan dengan sebarang tanggungjawab.
Sehubungan itu, hadis yang sering dipetik bahawa setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi, hendaklah diperincikan maknanya supaya tidak disalah faham.
Hadis itu hanya menyatakan secara umum apa yang biasanya berlaku, iaitu agama biasanya diwarisi daripada orang tua. Ia tidak bermaksud bahawa setiap anak pasti kekal menganuti agama yang diwarisinya kerana jika begitu, apa gunanya dakwah.
Satu perkara yang menarik untuk diamati mengenai hadis itu ialah bagaimana dalam kes agama Yahudi, Nasrani dan Majusi digunakan perkataan ‘meyahudikan’ (yuhawwidan), ‘menasranikan’ (yunassiran), dan ‘memajusikan’ (yumajjisan) tetapi tiada perkataan bagi ‘mengislamkan’.
Sebabnya ialah kerana tiada sesiapapun pada hakikatnya yang boleh ‘diislamkan’ oleh orang lain.
Islam adalah agama fitrah. Ia agama sejajar dengan bawaan semula jadi setiap insan. Ia tidak boleh dipaksa dari luar sebaliknya datang daripada kehendak dan kesedaran sendiri.
Justeru, perkataan ‘mengislamkan’ pada hakikatnya mengelirukan. Tiada sesiapapun yang boleh ‘diislamkan’ yakni dijadikan Muslim tanpa keinginan dan kerelaan sendiri.
Hadis itu juga memberi maksud agama lain itu bukan agama fitrah, ertinya tidak sejajar dengan bawaan semula jadi manusia. Justeru, hanya diterima secara ikut-ikutan lantaran kejahilan ataupun secara paksaan.
Hanya dalam Islam fitrah itu ditemui. Tidak kiralah dengan agama apa seseorang itu dibesarkan apabila dia mengenali dan memahami risalah Islam pasti ditemui apa yang dicari selama ini. Dengan sebab itulah hanya Islam menuntut ilmu adalah kewajipan agama dan tiada noktahnya.
Hanya dengan ilmu yang cukup risalah Islam dapat disampaikan secara sempurna dan nyata. Sememangnya, yang menjadi tanggungjawab kita hanya menyampaikan, sedangkan petunjuk dan hidayah datang dari Allah.
Jika dipandang dari sudut maslahah, kita sebenarnya sudah melanggar satu prinsip penting bahawa kemudaratan hendaklah dihindar atau dihapuskan. Yang kita lakukan sebaliknya, membuka pintu kemudaratan yang besar apabila mendedahkan agama kepada fitnah gara-gara perbuatan sendiri yang tidak berhemah.
Persoalan ini mesti ditangani dengan penuh kebijaksanaan dengan mengambil kira keadaan semasa masyarakat di negara kita. Jangan kerana keghairahan ingin ‘mengislamkan’ seorang dua kanak-kanak, ribuan orang yang mula berjinak-jinak dengan Islam menjauhkan diri atau ditakut-takutkan oleh pihak tertentu supaya menjauhkan diri.
Jika soal berkaitan perpisahan akibat daripada pertukaran agama itu diurus secara berhemah, contohnya secara rundingan mengenai siapa yang layak dan sepatutnya menjaga serta hak lawatan pihak satu lagi, lebih terbuka, kemungkinan kedua-dua pihak dapat berdamai dan tidak bermusuh demi kebaikan anak mereka. Siapa tahu akan terbuka hati pasangan yang belum memeluk Islam itu untuk turut sama memeluk Islam.
Andai kata si bapa memeluk Islam sementara anak di bawah jagaan ibu, hubungan antara bapa dengan anak tetap tidak akan putus. Bahkan, dia masih wajib menanggung nafkah anaknya. Inilah yang perlu dituntut, ditekankan dan dipertahankan.
Jika tanggungjawab sebagai bapa masih diteruskan walaupun sudah bertukar agama, anak pasti akan dapat melihat sendiri dan membuat perbandingan, akhirnya membuat pilihan agama mana yang mahu dianuti. Tiada gunanya memaksakan sesuatu sebelum masanya.
Petunjuk Allah boleh datang daripada pelbagai jurusan dan cara. Kita bagaimanapun diajar untuk berlembut dan tidak bersikap kasar terhadap orang bukan Muslim kerana itu akan menyebabkan mereka menjauhkan diri.
Kita berada pada suatu zaman di mana fitnah terhadap agama begitu berleluasa. Walaupun kita mungkin tidak boleh menghentikan semua fitnah itu, sekurang-kurangnya kita tidak turut sama menyumbang dalam erti kata menambahkan lagi kegawatan sedia ada.
Sumber : BHarian 2009/05/23
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...