“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan

Selasa, Jun 26, 2012

Jadilah seorang pemaaf



Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejatera,

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia adalah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Ketika manusia diciptakan oleh Allah SWT, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang juga disebut sebagai sifat yang hampir di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah ali-Imran ayat 132)

Kadang kala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan. Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang.

Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang. Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan yang mudah dilakukan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura ayat 43)

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Bukan penyelesaian

Emosi manusia pula memang mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangannya logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang lojik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan penyelesaian masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga berlakunya pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan  (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad SAW apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, Nabi menjawab ringkas iaitu “jangan marah”. Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya buat kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah SAW tetap mengulangi perkataan “jangan marah”. Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadah wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perakara yang ditegah, termasuklah sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang, hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalulah cuba memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil. Bagi orang yang bersifat pemaaf, tiada tersimpan perasaan marah dalam hatinya. Sebab itu, hati orang yang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Hati tidak tenteram

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca dari sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati. Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam.

Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini sudahpun selesai. Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati adakah perkara itu berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku? Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu, syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang brsifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Renung-renungkan…




Sumber : Mohd Huzairi Zainuddin di MW#1276

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Jun 25, 2012

Beban harapan



Assalamualaikum warahmatullah,

Anda masih ingat lagi entry baik hati vs murah hati? Jika ada yang terlupa, eloklah baca dulu entry yang terdahulu dan teruskan bacaan ke entry yang ini. 
  
Ðalam entry kali ni, LAMAN-SERi masih lagi kongsikan nukilan favorite, Ðr Azhar Hj Sarip. Semoga kita semua mendapat walau sekelumit manfaat daripada perkongsian ini.

Setiap daripada kita pasti mempunyai harapan, tidak kiralah mengenai apa pun. Setiap daripada kita pasti mengharapkan setiap harapan kita menjadi kenyataan. Apabila harapan yang didambakan menjadi kenyataan maka bahagialah hati.

Namun ada juga yang bersedih kerana harapan hanya tinggal harapan tanpa ada sedikit pun bayangan kenyataan. Keluh kesah mula menyelubungi setiap detik nafas memikirkan harapan yang tidak kunjung tiba.

Cuba anda renungkan kembali berapa banyak harapan yang sudah anda kecapi dan berapakah jumlah harapan yang benar-benar ada dambakan tetapi masih belum menjadi kenyataan. Mungkin lebih banyak harapan yang belum direalisasikan berbanding dengan harapan yang sudah anda rasai kehadirannya.

Mungkin kita sering tertanya-tanya mengapa harapan-harapan anda masih belum terlaksana biarpun anda sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Mungkin ada sedang berhadapan dengan wajah kekecewaan hidup hanya kerana beberapa harapan tidak terlaksana.

Kita mungkin mempertikaikan mengapa orang lain boleh mendapat apa yang anda harapkan, walaupun usahanya tidak seberapa. Kita selalu mengatakan bahawa harapan yang kita dambakan adalah yang terbaik untuk kehiudpan yang mendatang.

Tetapi apa yang kita tidak tahu, apakah benar-benar pasti ia yang terbaik atau mungkin ia adalah yang terburuk bagi kehidupan anda yang seterusnya. Sesungguhnya tkita tidak pernah tahu apa yang terbaik untuk kehidupan melainkan diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Apa yang kita inginkan, boleh jadi sebenarnya adalah satu beban harapan di masa hadapan. Justeru, Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Adil tidak pernah sesekali membebankan hamba-Nya.

Kisah pasangan suami isteri

Maka apa yang diharapkan tidak diberi melainkan ditukarkan dengan apa yang terbaik untuk masa hadapan. Cuma mungkin manusia sukar untuk menerima hakikat yang harapannya itu tidak bagus untuk masa hadapannya.

Kadangkala kita tidak perasan bahawa harapan yang kita inginkan sudah menjadi beban, bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi tempiasnya turut mengenai orang yang tidak tahu menahu tentang harapan sudah sekian lama tersemat di minda.

Ðr Azhar pernah ditanya oleh pasangan suami isteri yang sedang menanti kehadiran orang baru dalam kehidupan mereka. Pasangan ini bertanya anak lelaki atau perempuan yang terbaik untuk mereka pada ketika itu. Ðr Azhar bertanya kembali, anak apakah yang diinginkan oleh mereka. Si suami menjawab yang dia menerima apa sahaja yang dikurniakan Allah SWT kerana itulah yang ditakdirkan untuknya. Manakala si bakal ibu pula mengatakan yang dia benar-benar mengharapkan untuk mendapat anak perempuan. Ðia kemudiannya mengekspresikan betapa indah hidupnya apabila mempunyai anak perempuan kelak.

Kemudian Ðr Azhar bertanya kepada si isteri bagaimanakah perasaannya seandainya dia tidak dikurniakan anak perempuan tetapi dikurniakan seorang anak lelaki yang comel. Si isteri yang tadinya penuh gembira menceritakan keinginan untuk mempunyai anak perempuan diam seketika dan akhirnya mengatakan jika itu yang ditakdirkan, maka dia akan menerima seadanya.

Nah… jawapan yang diberikan oleh si isteri itu nyata sekali bersama dengan emosi menolak jika harapan yang diinginkan tidak terlaksana. Maka apabila sampai waktunya si anak lahir dan bukannya anak yang diinginkan, dia mungkin menerima kehadiran orang baru tetapi jiwanya merengus.

Kini harapannya sudah menjadi satu bebanan kerana dia menerima kehadiran orang baru yang tidak bersesuaian dengan kehendaknya. Ðia kemudiannya membesarkan anaknya itu dan selang beberapa tahun, pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan.

Gembiralah si ibu kerana harapannya kini sudah termakbul. Maka ditatangnya anak yang baru itu. Sekali beban harapan kini menjadi semakin berat apatah lagi apabila anak itu meningkat dewasa.

Boleh musnahkan hubungan

Apabila si anak yang pertama itu meningkat dewasa, maka dia akan terasa disisihkan kerana si ibu tadi hanya mendengar dan menumpukan perhatian kepada adiknya. Hal ini akan berlanjutan dan tanpa sedar bebanan harapan sudah mula membunuh jiwa abang yang sulung. Biarpun si ibu mengatakan yang dia menyayangi semua anaknya, namun perbuatannya tidak mencorakkan apa yang dikata. Ini akan membuatkan ketidakharmonian dalam keluarga apatah lagi jika si adik banyak melakukan perkara yang tidak memberi manfaat tetapi mendapat sokongan jitu si ibu.

Maka berhati-hatilah dengan harapan kerana apabila ia menjadi beban, ia akan memusnahkan banyak hubungan. Ia akan merapuhkan nilai kasih sayang. Ia akan menjadikan tiang keadilan patah. Buruknya lagi, hubungan kita dengan Allah SWT akan terjejas kerana memikirkan harapan atau kerana menumpukan harapan. Apa yang ditakuti adalah ianya membawa hingga ke akhir hayat.

Apalah gunanya usia yang panjang jika ianya dipenuhi oleh beban harapan dan menjadi petualang kehidupan yang kekal abadi. Kita mungkin dilupakan oleh orang yang pernah menjadi harapan kita kelak. Apabila saat itu sampai, tiada gunanya kita ratapi kerana puncanya datang dari diri kita sendiri. Lebih membebankan, bila mana kita perlu menjawab di hadapan Allah SWT yang Maha Adil mengenai keadilan. Meskipun begitu, tidak salah untuk mempunyai harapan, yang salah adalah menaruh sepenuh harapan kepada harapan yang tidak pasti bakal menjadi yang terbaik untuk kita. Kita perlu ada harapan sebagai panduan ke arah mana kita hendak pergi, tetapi biarlah harapan itu dipandu Allah SWT dan bukan harapan nafsu yang tidak tahu arah hendak dituju melainkan memenuhi tuntutan nafsu serakah individu.

Semoga kita senantiasa dinaungi rahmat Allah SWT.

Sumber : Ðr Azhar Hj Sarip (Perunding Emosi, Spritual NLP Training) di MW#1482


Butiran selanjutnya ...

Selasa, Januari 10, 2012

Obses kejar karier punca seks lembik


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Suami sibuk, isteri lebih sibuk! Suami tidak ada masa, isteri lagi kerap mencuri masa! Suami tak berghairah, isteri pula letih! Suami stress, isteri menyerah pada nasib! Suami macam robot, tak sensitif; isteri pula berlagak macam Barbie Doll dalam almari kaca, jual mahal, hanya untuk dipandang tak boleh dipegang!

Suami isteri tiada ikatan hati kerana meraka terlalu obses dengan kerjaya. Mereka boleh berjaya, hebat dan penuh dedikasi namun dalam rumahtangga amat ketara kelemahannya. Mereka kaya dan berjaya dalam karier tapi tak bahagia dalam perkahwinan. Inilah realiti hidup makhluk yang sememangnya tidak sempurna, supaya mereka sedar Yang Maha Sempurna hanyalah Allah SWT.

Bagi mereka yang gila kerja, semua boleh diketepikan, asalkan cita-cita tercapai, karier melonjak naik, bonus berlipat-lipat, asal bos senang walaupun rumahtangganya berantakan. Pasangan tidak peduli, anak-anak pula berkeliaran tanpa jagaan. Para penggila kerja ini percaya cara menstabilkan rumahtangga hanya dengan pendekatan duit dan duit, supaya pasangan tidak menyibuk dan anak-anak tidak berhantu. materialistik menjadi pegangan hidup, tanpa bimbinagn agama dan naluri kemanusiaan sejati.

Bukan hanya itu, tanggungjawab memuaskan pasangan hidup juga diabai, dari segi layanan seksual, psikologi, moral dan mental. Sesungguhnya kebahagiaan tidak akan dikecapi hanya dengan material. Kalau begitu, perkahwinan itu nanti bagai MOU di atas kertas saja, tanpa jiwa dan perasaan!

Bagaimanakah petua kerjaya dan rumahtangga suksess?

Checklist # 1 - Amalkan konsep seimbang

Jika mahu sampai ke destinasi dengan selamat, anda mesti adil kepada diri sendiri dan keluarga. Umpama berjalan di atas tali, anda mesti seimbangkan diri supaya tidak terjatuh dan boleh melintasinya dengan selamat. Kalau anda terlebih condong ke kiri atau ke kanan, mesti anda akan jatuh. Begitu juga antara keluarga dan kerjaya. Jangan sampai salah satunya menidakkan yang lain, kedua-duanya sama penting. Bahagikan peranan anda dengan seimbang. Suami dan isteri mesti berbincang dan mengkaji hubungan mereka dari semasa ke semasa. Saling mengingatkan tentang peranan masing-masing dan membahagi tugas bersama.

Checklist # 2 - Amalkan masa berkualiti untuk keluarga

Walaupun anda sepenuh masa berada bersama keluarga, ini tidak bermakna anda telah berfungsi dengan baik, jika anda bersikap tidak acuh, ego, panas baran atau tertekan. Berlainan jika anda hanya mempunyai masa yang singkat tetapi sikap yang anda tonjolkan amat baik, berwibawa, penuh kasih sayang, lemah-lembut, menanamkan nilai-nilai Islam di dalam rumah, mendidik, mahu mendengar dan memahami kelaurga, bukankah itu lebih baik?

Ramai ibu yang tidak bekerja justeru lebih tertekan menjaga anak dan lebih teruk layanan mereka kepada suami, dibandingkan mereka yang bekerja, mengapa? Kerana mereka tidak memahami konsep masa yang berkualiti ketika mendampingi anak dan suami. Menjadi surirumah sepenuh masa bukan bermakna anda menyerahkan diri sebulat-bulatnya kepada keluarga sehingga menafikan hak-hak peribadi anda untuk bergembira, menambah ilmu, bersosial dan menikmati kebebasan diri yang disuruh agama. Bahagikanlah masa dengan berkualiti untuk keluarga, diri sendiri, untuk Allah SWT dan agama.

Checklist # 3 - Nikmatilah hidup dengan harta dan ilmu

Bahagia hanya dapat dikecapi dengan harta yang didampingi ilmu. Ilmu yang berasal dari ALlah Taala, yang menerangi hati manusia, membimbing jalannya jika ia tersesat, memagar jiwanya jika diganggu bisikan-bisikan hawa nafsu yang mengajak ke arahkejahatan. Ilmu yang menghidupkan ilmu di dada suami, menyuburkan sifat sabar di hati isteri, melembutkan jiwa anak-anak dan menjalinkan tali ALlah SWT di antara mereka semua dengan kasih sayang.

Ilmu juga memerlukan harta untuk mempastikan ia bermanafaat. Harta memudahkan seseorang untuk mengamalkan ilmunya, melicinkan jalan bagi mendekatkan diri kepada ALlah. Tanpa harta tidak mungkin seseorang boleh merealisasikan perngorbanannya untuk agama, keluarga dan dirinya sendiri.

Kejayaan seseorang mesti dinilai dengan kekuatan harta dan ilmunya. Kedua-duanya saling melengkapi dan menjadi bukti bahawa bahagia itu mesti dengan harta yang didampingi ilmu.

Orang yang menggilai pekerjaannya untuk mendapat keuntungan yang banyak tidaklah salah, jika dia tahu batas-batas agama dan tidak melalaikan ahli keluarganya. Kerana anak dan isteri adalah pelaburan yang paling emnguntukngkan untuk dapat 'membeli' syurga Allah yang abadi.

Checklist # 4 - Bertarunglah setiap hari dengan berani

Jika di dunia perniagaan anda mesti bersaing, maka di dalam rumahtangga juga anda mesti menjadi pemberani yang boleh mengatasi setiap ujian rumahtangga dengan baik. Jangan cuma jadi hero di luar tetapi di rumah lembik, pesimis, sedih, tertekan dan kalah. Orang yang berjaya mesti membuktikan kepada diri sendiri bahawa dia sedia berjuang di gelanggang mana saja tanpa pilih bulu. Di luar rumah atau di dalam bilik tidurnya, mengatasi masalah di pejabat atau masalah remeh-temeh anak-anak anda, semua itu mesti dihadapi dengan berani kerana inilah pertarungan yang sebenar.

Renung-renungkan!




Sumber : Dr Juanda Jaya

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Oktober 20, 2011

Kebal hadapi provokasi cinta


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Begitu cepatnya hati berkata tidak cinta lagi, padahal masih digelar pasangan pengantin baru, tidak cukupkah persediaan dan keterampilan diri menghadapi pasangan? Ada yang baru sebulan berkahwin, sudahpun memukul isteri kononnya tidak tahan dengan sikap isteri yang tidak menghormati suami.

Isteri zaman sekarang yang berstatus professional tidak akan sanggup jadi hamba suami dengan membongkok-bongkok taat, diam jika dimarahi, mengalah dan bersabar setiap masa, melayani segala hajat suami tanpa menghiraukan hajatnya sendiri.

Mungkin disebabkan sikap isteri yang mahu dipandang sama taraf menyebabkan para suami tertekan. Tidak siap menerima dugaan persaingan dengan isteri sendiri? Manakan tidaknya, gajipun sama banyak, pendidikan sama tinggi, jawatan sama kukuhnya, cantik dan segak sama padan. Jadi, apabila isteri mahu dilayan sama taraf sesekali akan muncul konflik apatah lagi bila hubungan tidak didasari toleransi dan komunikasi yang baik. Tetapi masih ramai isteri yang sanggup mengalah demi cinta, kerana terlalu cintakan suami dan takut wanita lain mengambil tempat di hati suami.



Kuasa bertahan ketika konflik

Begitulah cinta, pahit dan sakit tetapi tidak dinafikan kemanisannya sanggup membuat isteri mengalah. Kuasa apakah yang memberi kekuatan kepada isteri untuk mendampingi suami yang ego? Kuasa apakah yang membuatkan isteri sanggup bertahan menghadapi provokasi suami saat terjadinya konflik?

1 – Kuasa Tuhan

Tidak kira wanita atau lelaki jika mereka bersabar menjaga hubungan kemanusiaan yang diwajibkan Tuhan mereka menjadi kuat. Walaupun ketika pasangannya menyerang maruahnya dengan hinaan dan kekasaran bahasa, kurang menghargai dan menyakiti hati, dia tidak akan melepas liar hawa nafsunya untuk menyerang balik.

Tidak dinafikan rasa sakit itu ada, tetapi dia amat bijak memujuk hati sendiri dengan banyak mengingati Allah SWT. Semua itu disebabkan hatinya tidak kosong dari ilham-ilham ilmu Allah SWT dan teladan Rasul-Nya SAW, lisannya sentiasa berzikir walau tanpa gerak dan hatinya sibuk memuji Allah SWT yang telah memilihnya menjalani ujian sebegitu.

Ðia tidak merasa bersendirian ketika sedih dan kecewa oleh sikap suami kerana dia percaya di antara mereka berdua hadir juga Tuhan yang Maha Mendengar, sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud, “Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang melainkan Ðia-lah keempatnya. Ðan tiada (perbicaraan antara) lima orang, melainkan Ðia-lah keenamnya dan tiada (pula) pembicaraan antara jumlah yang kurang dari itu atau lebih banyak, melainkan Ðia berada bersama mereka di manapun mereka berada. Kemudian Ðia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Mujadilah : 7)

2 – Kuasa muhasabah diri

Untuk mengalihkan kesakitan dibuli suami, dia meneliti seinci demi seinci kekurangannya, bertanya dalam hati apakah silapnya? Bukan merajuk, melayan kesedihan dengan mengungkit kembali dosa suami terhadapnya. Kemaafannya lebih melimpah dari kemarahannya, jika bersemuka wajah yang paling cerialah yang dipamerkan kepada kekasihnya.

Wajah yang bersedia menerima cinta, bukan wajah yang penuh provokasi. Ðisebabkan isteri mudah memaafkan, suami pula akan mudah melupakan konflik meraka. Kebaikan yang anda beri akan mendapat balasan yang baik, cinta dibalas cinta.

Lagi pula pasangan yang mudah memaafkan, tidak berdendam akan menganggap konflik itu sebagai lumrah kehidupan. Pagi ketika turun kerja suami marah-marah, petang nanti dengan selambanya gelak-gelak. Ðalam telefon maca tidak mahu melayan, dah jumpa malam nanti dia pula yang beriya-iya melayan anda.

3 – Kuasa sabar

Bandingkanlah diri anda dengan wanita yang menderita lebih teruk di luar sana. Jika anda tidak tahan dengan provokasi suami, anggaplah penderitaan itu suatu syarat untuk mendapatkan cinta Allah SWT. Boleh jadi sikap anda pun lebih menyakitkan hati suami jika ditimbang di atas mizan di akhirat nanti.

Berwaspadalah dengan hasutan syaitan di antara anda dan suami. Bertenang dan banyakkan berfikir tentang aib diri dan jasa-jasa suami yang mungkin kita tidak nampak kerana kesalahannya yang setitik.

Ingatilah janji Allah SWT bagi mereka yang sabar, hal ini dinyatakan di dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud, “Apakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta diguncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Isteri yang impikan syurga dunia dan akhirat tegas menepis segala hasutan jahat dalam hatinya yang menyuruh untuk terus-menerus berdendam dengan suami sendiri. Jika suami melancarkan provokasi untuk bergaduh, dia telah bersedia dengan hati kebalnya yang dijaga oleh Tuhannya Yang Maha pengasih. Ðia akan bertemu Allah sebelum menghadap suami dengan wajah paling gembira kerana hatinya sudah pun diberkati. Wajah yang bersedia untuk dicintai dan hati yang paling kebal untuk disakiti.




Sumber : Ðr Juanda Jaya MW#1444

Butiran selanjutnya ...

Isnin, September 19, 2011

Simpan 30 sen sebulan tunai haji



Warga emas mula menabung hasil pendapatan sebagai kelasi sejak 1950

KUCHING: Dengan berpegang kepada pepatah Melayu ‘sedikit sedikit, lama-lama jadi bukit’, seorang warga emas, Mail Brahim, 77, yang menyimpan 30 sen sebulan bermula 1950, akhirnya mempunyai simpanan mencukupi untuk menunaikan fardu haji, tahun ini.

Ketika memulakan tabungan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada awal 1950-an, Mail, yang ketika itu bekerja sebagai kelasi kapal dengan gaji kurang RM40 sebulan, memasukkan 30 sen ke dalam tabung botolnya.

Kesempitan hidup menyebabkan beliau yang perlu membantu keluarga, cuma dapat menabung 30 sen sebulan dengan keazaman suatu hari nanti wang itu dapat digunakan untuk menunaikan fardu haji.

“Alhamdulillah berkat niat baik, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Apabila gaji bertambah, jumlah wang yang saya simpan juga saya tambah. Akhirnya saya dapat menggunakan wang itu untuk ke Tanah Suci tahun ini,” katanya ketika ditemui sewaktu menghadiri Kursus Perdana Haji 1432H di Pusat Penerangan Islam (IIC).

Mail adalah antara 421 bakal jemaah haji dari Bahagian Kuching dan Samarahan yang menghadiri kursus dua hari itu, yang berakhir semalam.

Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau mendaftar untuk menunaikan fardu haji pada 2005 selepas jumlah dikumpul mencukupi dan bersyukur kerana disenaraikan ke Tanah Suci pada tahun ini.

Sementara itu, seorang tukang perahu, pembuat batu nisan dan napur, Zulkipli Madon, 64, dari Kampung Tanjung Bundong, Samarahan, berkata beliau mula menyimpan dengan Tabung Haji pada 2004 selepas mendapat hidayah untuk menunaikan fardu haji. Setiap bulan beliau menyimpan antara RM400 hingga RM500 hasil daripada kerja membuat perahu, batu nisan dan napur penduduk kampung.

“Pada 2005 saya mendaftar untuk menunaikan haji bersama isteri, Rosiah Bujang, 57. Namun isteri saya yang turut menjual sayur dan telur masin di kampung, bertekad untuk mengumpul wang sendiri,” katanya.

Rosiah yang turut menyimpan RM400 hingga RM500 sebulan akhirnya berjaya mencukupkan wang haji, dengan pasangan suami isteri itu akan ke Makkah, dengan hasil pendapatan masing-masing.

Pasangan yang mempunyai 12 anak itu bersyukur kerana walaupun mereka hanya bekerja sendiri di kampung, namun hasilnya berkat dan boleh digunakan untuk menunaikan ibadah haji.

Laman-Seri : Alhamdulilah... Benarlah kata pepatah, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Satu kisah motivasi untuk orang yang masih muda, simpanlah duit untuk tujuan yang baik. Jangan sibuk membazirkan duit yang ada untuk perkara yang BUKAN keperluan dan yang sia-sia.




Petikan : BHarian 19/09/2011

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, September 17, 2011

Teknologi cetus dodol 13 perisa



DALAM kesibukan menyediakan hidangan ketupat, rendang dan kuih-muih, makanan tradisi seperti dodol tidak sekali-kali dilupakan sebagai pelengkap juadah pada Aidilfitri. Jika dahulu, proses membuat dodol memerlukan tenaga manusia mengacau selama 18 jam, kini dengan menggunakan mesin khas, ia boleh disediakan dalam tempoh 13 jam sahaja.

Malah menariknya, dodol yang kebiasaannya hadir dalam perisa asli (gula Melaka) dan durian kini juga boleh didapati dalam 11 perisa lain. Siapa sangka, inovasi tersebut dicipta sendiri oleh anak tempatan yang pada awalnya hanya menjalankan perniagaan dodol asli, durian dan wajik sirat sahaja.

Namun, selepas 12 tahun menceburkan diri dalam dunia perniagaan dodol, Ideris Zainudin, 47, telah menghasilkan 11 jenis dodol baharu melengkapkan kesemua 13 jenis perisa dodol keluarannya. Mungkin mentaliti masyarakat Malaysia masih belum bersedia menerima pembaharuan ke atas makanan tradisi terutama dodol yang sudah kerap dibuat secara manual.

“Sesetengah orang bimbang kualiti dodol moden ini tidak setanding dengan dodol tradisional kerana penggunaan mesin serta teknik pembuatannya sedikit berbeza. Rasa dan aroma dodol moden ini juga sering dipertikai dan dibandingkan dengan dodol tradisional, tetapi persepsi itu sebenarnya tidak benar. Dodol yang saya hasilkan adalah lebih berkualiti dan lebih baik daripada dodol tradisional,” jelas Ideris yang menjalankan perniagaannya di Kampung Kandang, Melaka.

DODOL moden hanya mengambil masa 13 jam untuk disiapkan.

Bahan segar

Bagi memastikan kualiti dodolnya terjamin, Ideris hanya menggunakan santan segar. Malah, santan yang disimpan di dalam peti ais, akan diperiksa terlebih dahulu dengan teliti sebelum digunakan. Sekiranya santan tersebut mempunyai dua lapisan setelah dikeluarkan, secara automatik ia tidak akan digunakan kerana santan tersebut telah tercampur dengan air.

Kelebihan dodol yang dibuat menggunakan mesin itu juga adalah proses mengacau selama 13 jam akan berterusan tanpa henti. Ia adalah proses yang agak sukar dilakukan kerana penghasilan dodol menggunakan cara tradisional menggunakan kudrat manusia mungkin menyebabkan dodol tidak sebati.

Kawalan api juga dijaga dengan teliti serta proses penyejukan selama 48 jam juga penting bagi menghasilkan dodol berkualiti tinggi. Dengan tujuh mesin pengacau dodol di kedainya, penyediaan dodol menjadi lebih produktif kerana dalam satu hari Ideris mampu menghasilkan 420 kilogram (kg) dodol.

“Sambutan terhadap dodol moden ini semakin meningkat dan tempahan banyak diterima daripada mereka yang menetap di bandar. Selain tempahan berbentuk peribadi, saya juga banyak menyediakan dodol untuk majlis syarikat korporat dan majlis perkahwinan. Musim perayaan merupakan masa paling genting bagi perniagaan saya kerana tempahan yang terlalu banyak membuatkan beberapa tempahan terpaksa ditolak,” ujarnya yang menyatakan dodol asli dan wajik sirat merupakan pilihan popular dalam kalangan pelanggannya.

DALAM masa 12 tahun, Ideris bukan sahaja berjaya menghasilkan 13 jenis perisa dodol malah, mengedarnya ke pelbagai negara.

Dodol 13 perisa

Menyentuh aspek inovasi dodol pelbagai perisa yang dijalankan Ideris, idea asal tercetus selepas lawatannya ke Thailand mendapati wujudnya dodol pelbagai warna namun, masih kekal dengan perisa asli.

Bermula daripada saat itu, Ideris berfikir tentang keupayaan dodol pelbagai perisa dan nekad memulakan eksperimen awalnya bersama-sama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Hasilnya, kerjasama itu berjaya melahirkan dodol berperisa jagung, pandan, strawberi dan mangga yang secara tidak langsung menjadi titik tolak buat Ideris meneruskan kajian ke atas potensi dodol perisa lain.

Tohmahan serta lontaran kata-kata tidak siuman terhadapnya tidak sekali-kali melemahkan semangat lelaki itu untuk terus maju menghasilkan dodol perisa cappucino dan durian.

“Pada mulanya ramai orang menganggap saya gila kerana cuba menghasilkan dodol pelbagai perisa dan warna kerana tanggapan orang bahawa makanan tradisi ini tidak boleh berkembang. Tetapi kini dodol asli saya juga mempunyai empat jenis iaitu dodol asli iaitu dodol asli badam, gajus, kurma dan kismis. Saya telah buktikan bahawa ia tidak mustahil dilakukan.”

Isteri kepada Ideris, Fozaiah Sabtu, 44, yang juga merupakan antara orang kuat perniagaan dodol itu memberitahu, dodol pelbagai perisa tersebut juga kini mendapat sambutan pelanggan luar negara.

DODOL Ideris hanya menggunakan santan segar bagi menjaga kelazatan dan kualiti rasanya.

“Dodol asli yang mengandungi kacang-kacang akan dibeli pelanggan-pelanggan dari Timur Tengah, manakala dodol-dodol perisa lain pula dihantar ke Singapura, Brunei dan China. Boleh dikatakan penerimaan orang ramai terhadap dodol pelbagai perisa ini berada pada tahap 60 peratus dan semakin lama ia semakin meningkat. Tidak lama lagi, kita akan mengeluarkan dodol perisa baharu iaitu dodol berperisa coklat, epal dan durian belanda,” ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.

Teknik pembungkusan

Keghairahan mencipta dodol pelbagai perisa tidak bermaksud aspek-aspek lain dipandang ringan terutama teknik pembungkusan. Tambah Fozaiah, pembungkusan dodol menggunakan daun upih serta bakul tampin turut dilakukan bagi memenuhi permintaan pelanggan. Dodol bakul tampin didatangkan dalam tiga saiz berbeza iaitu 350 gram (g), 400 g dan 500g. Selalunya ia disediakan bagi majlis pertunangan dan perkahwinan.

Seorang pekerja Ideris yang ditemui, Saidah Samsuri, 41, menyatakan pembungkusan untuk majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan memerlukan ketelitian serta kreativiti tinggi.

“Sebagai contoh hantaran perkahwinan, pelanggan akan datang dengan barangan perhiasan untuk hantaran tersebut dan cara dodol itu dibungkus akan dilakukan oleh kami di sini. Dekorasi dan persembahan dodol itu juga menjadi tanggungjawab kami agar hantaran tersebut tampak menarik,” katanya yang telah dua tahun berkhidmat dengan perniagaan Ideris.

Bagi pembungkusan biasa, ia akan dibalut dengan plastik berbentuk segi tiga. Proses tersebut akan dilaksanakan oleh 40 orang suri rumah di kawasan kampung tersebut. Saidah memberitahu, setiap suri rumah akan dibekalkan dengan 26 kg dodol dan kebiasaannya akan disiapkan dalam tempoh kurang daripada dua hari.

Laman-Seri : Tahniah kepada En Ideris. Bueno!

Petikan : Kosmo1

Butiran selanjutnya ...

Selasa, September 13, 2011

Baik hati vs murah hati


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Menurut kamus Dewan, baik bermaksud sesuatu yang sinonim dengan berfaedah iaitu elok, bagus, berguna, menguntungkan dan berantonim atau berlawanan dengan merugikan. Manakala baik hati pula bermaksud suka menolong dan membuat kebajikan, mudah simpati dan pengasih. Murah bersinonim dengan rendah iaitu menjunam, turun, merosot, meleset dan berantonim dengan mahal. Murah hati pula bermaksud suka memberi, tidak kedekut, pengasih dan penyayang.

Jika diteliti, baik hati dan murah hati mempunyai takrifan yang hampir sama, tetapi sedarkah anda, baik hati dan murah hati adalah dua perkara yang tidak sama, walaupun kita sering menganggapnya sama.

Kita suka berbuat baik dan itulah juga yang diasuh dalam agama kita. Kita mudah kasihan dan cukup sensitif atas kesusahan orang lain. Itu juga merupakan satu sikap terpuji yang perlu kita semai dan bawa sepanjang hayat. Tetapi mungkin ada di antara kita yang pada awalnya ikhlas menolong, namun akhirnya sakit hati lalu hilang keikhlasan yang dulunya tebal. Hal inilah yang membezakan murah hati dan baik hati.

Baik hati

Kita layak dipanggil baik hati jika kita ringan tulang, kita rajin membantu mana yang perlu. Kita membantu seupaya kita. Seandainya seseorang itu datang kepada kita dan kita pada waktu itu berkemampuan, maka kita membantunya seadanya. Kita membantunya dengan penuh rasa ingin membantunya tanpa mengharapkan apa-apa timbal balas atas bantuan yang dihulur. Kita akan berasa puas seandainya bantuan kita itu dapat menyenangkan orang yang kita tolong. Inilah satu sikap yang kian luput dalam diri masyarakat moden pada hari ini. Sikap ini perlu ditanam kembali pada diri kita serta generasi mendatang agar hilang sikap pentingkan diri sendiri.

Murah hati

Namun dalam pada itu ada juga satu sikap yang perlu kita hindari kerana ia kelihatan baik, tetapi tanpa sedar, ia memakan diri sendiri. Jika dilihat secara luaran, ia sama seperti baik hati namun jika dinilai secara keseluruhan, ia bukan baik hati tetapi murah hati. Akibat dari murah hati ini, selalunya adalah makan hati. Kita cukup mudah membantu orang lain atas dasar kasihan, walaupun ia baik, perbezaan dengan baik hati adalah di mana orang yang baik hati akan melihat kemampuan untuk menolong serta impaknya terhadap dirinya.

Contohnya kita membantu orang yang kita sudah tahu akan menyusahkan kita kembali dengan perbuatannya. Kita juga mungkin pernah alami di mana kita kasihan dengan masalah yang dihadapi seseorang itu, lalu kita membantunya. Namun apabila dia sudah dibantu, kita mula makan hati dengan perbuatannya.

Inilah akibat murah hati. Kadangkala kita korbankan apa yang kita ada untuk membantu orang, sedangkan kita tahu yang kita juga memerlukan perkara itu di kemudian hari kelak. Namun disebabkan ingin membantu kerana kita rasa kita tidak memerlukannya sekarang, kita akan mula hilang keikhlasan apabila kita memerlukannya tetapi kita sudah tidak mempunyainya lagi dan kita pula terpaksa meminta pertolongan orang lain pula. Lebih buruk apabila pertolongan yang diharapkan itu tidak kunjung tiba.

Murah hati sering kali berakhir begini bahkan ianya sering juga menyebabkan rumahtangga goyah akibat kepincangan yang berlaku. Ada peribahasa yang berbunyi 'bagai bertanak di kuali' yang membawa maksud, terlalu murah hati sehingga binasa kerananya.

Bantulah, tetapi jangan sampai menjeruk rasa

Kita sentiasa boleh untuk bersikap baik hati tetapi bukan murah hati. Kita setiasa boleh membantu tetapi bukan membantu hingga menjeruk rasa. Kita sentiasa boleh kasihan tetapi ia tidak bermakna kita perlu berkorban hingga terkorban. Hal murah hati ini sering berlaku dalam keluarga sendiri. Kita kadang kala terpaksa membantu kaum keluarga tetapi kita juga sudah tahu sejarahnya dan kita juga sudah tahu tahap kemampuan yang kita mampu lakukan. Tetapi disebabkan kononnya kaum keluarga, kita teruskan dan seperti mana yang dijangkakan akhirnya kekecewaan berlaku. Apabila kekecewaan berlaku, kita sering mengungkit apa yang telah disalurkan. Bukankah ia sudah menghilangkan lebih banyak ganjaran dan keikhlasan?

Kita perlu tahu untuk menilai tahap bantuan yang mampu kita salurkan dan ia tidak menyusahkan kita. Kita tidak boleh menganggap yang kita sentiasa berada pada tahap yang baik dan berbelanja sesuka hati. Kita perlu mendahulukan keperluan diri. Mendahulukan keperluan diri bukan bererti kita seorang yang mementingkan diri sendiri. Jika kita pentingkan diri sendiri, kita tidak perlu memikirkan orang lain tetapi dahulukan diri sendiri bermaksud kita memikirkan diri kita dan seandainya kita sudah selesai keperluan tersebut, barulah ianya boleh disalurkan kepada yang lain, bukan sebaliknya.

Kadang kala kita tidak perasan yang orang baik hati lebih dihormati dan disegani dari orang yang murah hati. Orang yang baik hati akan terpancar karismanya dan orang akan datang kepadanya apabila benar-benar memerlukan. Tetapi orang yang murah hati sering kali dipergunakan oleh orang lain kerana sikap mudah kasihan yang tidak bertempat. Orang yang murah hati akan dilihat sebagai orang tidak berpendirian, justeru cukup mudah untuk diminta pertolongan walaupun ia tidak perlu. Tambahan lagi, sikap murah hati ini secara tidak langung melatih orang yang dibantu itu untuk menjadi lebih malas kerana bantuan yang diberikan itu bukan bantuan yang benar-benar perlu.

Tibalah masanya sekarang untuk kita memilih satu jalan yang jelas dalam hidup sama ada mahu menjadi orang yang baik hati dan sentiasa terawat hatinya atau menjadi orang yang mudah hati yang merosakkan jiwanya untuk jangka masa panjang. Kita perlu membantu orang lain, tetapi bantulah dengan hati yang baik, bukan hati yang murah.

Mudah-mudahan dengan keikhlasan hati, hidup kita lebih diberkati-Nya. Amiin.



Sumber : Ðr Azhar Sarip di MW#1448

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Ogos 26, 2011

Adakah jodoh kita tepat?


Assalamualaikum warahmatullah,

Apakah petua untuk cepat mendapat jodoh? Soalan ini sering berlegar di sekeliling kita, terutama sekali jika sahabat kita sudah melewati usia suku abad. Baru-baru ini juga saya membaca sebuah posting yang dikirimkan ke egroup yang saya sertai yang berbunyi :

“Kenapa ye kita ni berat sangat jodoh? Ada orang tu senang sangat jumpa jodoh, tak payah susah-susah usaha cari jodoh. Ada orang tu tak payah nak buat solat hajat, solat istikharah nak dapatkan jodoh. Senang je jalannya. Kita ni doa pun sudah, solat hajat, solat istikharah pun sudah, tapi tak juga-juga dapat. Apa makna semua ni? Saya dah malas nak buat solat hajat dan solat istikharah dah. Sama je. Tak ada hasil pun. Orang lain tak payah buat solat hajat solat istikharah pun dah lama kahwin, bahagia lagi...”

Menurut sahabat yang menjawab persoalan ini, siapakah kita untuk mempertikaikan urusan Allah? Bukankah sejak azali setiap manusia telah ditetapkan rezeki, ajal dan jodohnya sebelum di tiupkan roh pada jasad. Ði alam itu, kita telah membuat perjanjian bahawa akan terima apa saja yang Allah telah tetapkan. Lewat atau cepatnya jodoh, bukanlah urusan manusia. Kalau sudah bertemu, masa dan ketikanya telah Allah tetapkan sejak azali, siapa yang dapat mengubahnya. Walaupun kita mahu dan ingin tetapi bukan dalam qudrat dan iradat Allah, sezarah pun tidak mampu untuk dicapai hajat itu. Jika kita menolak tetapi di dalam kehendak dan kekuasaan Allah, tidak selangkah pun kita mampu untuk berundur.

Tepat sekali penjelasan ini, namun, sedarkah kita, cepat atau lambatnya mendapat jodoh bukanlah satu isu yang perlu diheboh-hebohkan, sebaliknya apakah jodoh kita tepat, itulah yang patut kita perhalusi. Berapa ramai orang mengalami petaka dalam hidup oleh jodoh yang tidak serasi. Berkahwin itu senang, tetapi membina kebahagiaan hasil daripada perkahwinan itu bukanlah sesenang yang kita sangka, apatah lagi sebelum melangkah ke alam rumahtangga.

Sepatutnya kita tidak perlu terlalu risau oleh jodoh yang lambat, tetapi risaulah kalau-kalau jodoh kita itu nanti hanya memberikan kesusahan dan kesengsaraan pada kita yang menyesakkan dada, memedihkan mata dan memekakkan membingitkan telinga sahaja. Bukan sedikit rumahtangga yang terpaksa mengharungi onak dan duri kehidupan meskipun pada awalnya semuanya kelihatan okey.

Apabila satu hari anda diuji dan terpaksa pula mengalami cabaran mental, fizikal dan perasaan emosi disebabkan karenah pasangan yang menyakitkan hati, sampai hati, zalim dan tidak bertanggungjawab misalnya, anda tentu terfikir, “Mengapalah aku berkahwin dahulu, kalau hidup membujang, kan lebih senang!” ataupun “Menyesal kahwin, kalau tahu hidup berumahtangga begini, lebih baik membujang...” dan sewaktu dengannya.

Tidak mustahil, ada yang berfikiran begini. Bahkan, sering juga ayat-ayat begini sampai ke telinga saya. Tidak saya nafikan, kadang-kadang saya juga berfikiran begitu.... Kui kui kui.... Memang kenyataan ini pahit untuk ditelan, tetapi sebenarnya, adalah lebih baik lambat berkahwin daripada terpaksa hidup dengan orang yang ‘mereng’ akalnya ‘pincang’ emosinya dan ‘tempang’ pula perasaannya.

Ði Rochester, Amerika Syarikat, seorang lelaki, Gilbert Herrick berkahwin buat kali pertama semasa dia berumur 99 tahun. Mengapa hingga sebegitu lama? Herrick yang pernah menjadi askar semasa Perang Ðunia Kedua melangsungkan perkahwinan dengan seorang balu berusia 86 tahun, Virginia Hartman.

“Saya tidak pernah menemui seorang wanita yang sesuai sehinggalah saya menemui Virginia,” kata Herrick. Ketika ditanya sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung jika dia mempunyai nasihat mengenai hubungan romantik, Herrick berkata, “Cinta akan mencari anda.” (Sumber : Agensi 25/06/2011)

Andainya jodoh terus tidak kesampaian sehingga penghujung usia, itu bukanlah lambang kekurangan, yang jelas, anda tidak mempunyai beban yang perlu digalas. Tanggungjawab dan kewajipan perkahwinan bukanlah mudah, seandainya gagal dipenuhi, ia mendatangkan dosa. Berbuat dosa yang berterusan, mampu menjadikan anda seorang yang fasik. Aduhai... malang sungguh!

Pada yang tidak berkahwin hingga ke sudah, mereka bebas dari sebarang persoalan berkaitan hak-hak pasangan di akhirat kelak. Memang betul perkahwinan adalah laluan mudah untuk ke syurga, tetapi andainya gagal menjalankan tanggungjawab, yang membawa dosa adalah lebih baik hidup tanpa perkahwinan pun. Di dunia ini pula, mereka tidak teruji dengan kes-kes keganasan rumahtangga yang mampu mencarik ketenangan mental dan emosi. Bukankah ini satu bonus bagi mereka?

Penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta, pertumbuhan 2% untuk tempoh 10 tahun lalu dengan bilangan lelaki mencecah 14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita. Data muktamad Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pada sidang media Pemakluman Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-Ciri Asas Demografi Banci 2010. Berdasarkan data itu, bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah 106:100. Mengikut negeri pula, Pahang mempunyai paling ramai lelaki (113), diikuti Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), Labuan (107) dan Sarawak (106), manakala bilangan lelaki kurang daripada perempuan untuk Putrajaya (89) dan Perlis (97).

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, lelaki berumur 15 tahun dan ke atas yang belum berkahwin adalah lebih tinggi jumlahnya berbanding wanita iaitu masing-masing 37.8% dan 32.2% mengikut data muktamad Banci Penduduk dan Perumahan 2010 yang diumumkan, kelmarin.

Data itu juga menunjukkan penduduk berumur 15 tahun dan ke atas yang belum pernah berkahwin adalah 35.1% manakala yang berkahwin 59.6%. Namun, perkadaran lelaki dan perempuan yang berkahwin adalah hampir sama, masing-masing 59.8% dan 59.4%. Menurut laporan itu lagi, mengatakan 30% wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin, berbanding 25% untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang. (Sumber : Wanita banyak pilihan)

Melihat angka sebegitu banyak, nyata anda bukanlah keseorangan dalam situasi yang serupa. Ada ramai rupanya yang masih bersendiri dan bukan sahaja mereka itu wanita, malah lelaki tidak kurang juga.

Jadi, adalah tidak betul menganggap anda telah kehilangan sebahagian daripada sebab untuk berbahagia daripada sebab untuk berbahagia andainya belum bertemu jodoh. Andainya jodoh itu datang dengan mudah, sambutlah ia dengan mudah, andainya ia sukar lagi payah, anggap sahaja kecepatan bukanlah terbaik buat anda.

Andainya ia tidak datang-datang juga dan andainya hingga ke sudah, itulah rahmat Tuhan untuk memudahkan laluan anda ke syurga. Mereka yang tiada tanggungan bakal lebih mudah kira-kiranya untuk menikmati ganjaran terbaik di akhirat. Dan di syurga sudah sedia menanti segalanya, termasuk soal pasangan hidup.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada siapa juga yang Dia kehendaki (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Ðia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ðia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.” (Surah al-Israk 17:30)

Sabarlah, jaga solat dan bersedia menempuh apa juga dugaannya adalah tiga ungkapan penting dalam menjalani hidup yang sementara di dunia ini....



Sumber : Diubah-suai dari Ðr HMTuah di MW#1446

Capaian entry berkaitan :
* Berbaik sangka, berusaha cari jodoh sesuai
* Manusia perlu bijak hadapi pilihan takdir
* Lambat kahwin, apa silapnya?
* 16 alasan salah untuk bernikah
* Cara menilai lelaki bakal suami
* Perkahwinan, tujuan dan falsafahnya
* Bercintalah kerana Allah
* ISU : Jodoh singkat
* Cinta pudar, salah siapa?
* Jodoh itu keserasian

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Ogos 16, 2011

Aduhai suami, bantulah buat kerja rumah...



Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Raya semakin hampir, kerja rumah makin bertambah, tapi suami buat tidak tahu sahaja sambil duduk merehatkan diri di sofa. Apa perasaan anda apabila anda seorang sahaja yang berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja rumah seharian sedangkan anda pun penat bekerja juga? Kalau pada hari-hari biasa pun kerja rumah sudah melambak, apatah lagi dengan ketibaan Ramadan dan Syawal, pasti senarai kerja rumah bertambah panjang lagi.

Beberapa hari lepas, rakan sekelas semasa menuntut dahulu menyuarakan keluhannya yang penat menguruskan kerja-kerja rumah, pembantu rumahnya tamat permit dan dia terpaksa mengambil yang baru. Malangnya, sudah menunggu hampir 5 bulan, pembantu yang 'diorder' masih belum kunjung tiba. Terpaksalah dia menghadap kerja-kerja yang biasanya dilakukan oleh pembantu rumah. Sudahlah penat berpuasa, bekerja pulak tu, balik rumah kena bertungkus-lumus mengambil anak dari Nursery, menyingsing baju menyiapkan juadah untuk berbuka pula. Selepas berbuka, tugasnya masih belum selesai, kena pula menyidai kain yang baru dibasuh. Itu belum masuk bab mengangkat kain, melipat dan menggosok lagi. Aduh... memang wanita zaman sekarang superwoman! Patutlah wanita di Malaysia dilaporkan berada di tangga ke 16 paling tertekan di dunia... Adu rakan saya lagi, tempohari dia kemalangan, terlanggar 'buntut' kereta orang. "Aku terlelap..." Mungkin sebab terlalu penat. Mujurlah masa itu jalan agak sesak dan dia juga selamat.

Saya sempat mengusiknya, "Hubby dan anak-anak tak tolong ke? Kalau mereka tak mahu tolong membantu, ko tinggalkan aje kerja-kerja tu. Buat bila ada tenaga saja." Sungguh, selepas mendapat reply sebegitu daripada saya, malam itu dia tidur awal!

Mempunyai pembantu rumah mungkin satu kelebihan, tetapi bagi yang tiada mungkin kelam kabut dibuatnya. Pagi hingga petang sibuk di pejabat, habis waktu pejabat terkejar-kejar balik dan mungkin singgah membeli makanan untuk berbuka. Kemudian singgah mengambil anak dari rumah pengasuh atau taska. Tiba di rumah, perlu bersiap-siap untuk berbuka puasa pula. Selepas waktu Maghrib, perlu melakukan kerja-kerja rumah, membasuh pinggan dan kain, melayan karenah anak-anak. Dan sesudah itu, hendak juga menunaikan solat terawih. Jika tidak ke surau, memadai dilakukan di rumah. Namun, seluruh tubuh sudah terasa lemah. Ketika ini di mana suami anda? Apa yang dia lakukan? Adakah dia turut membantu atau membiarkan anak ke sana ke sini seperti lipas kudung?

Perkara ini pastinya memyebabkan rasa sakit hati dan jika dibiarkan berlarutan, boleh sahaja menjejaskan keharmonian rumahtangga. Sikap saling bantu membantu amat dituntut agama pada setiap pasangan suami isteri. Perkara ini bukanlah perkara baru bagi pasangan suami iseri kerana Nabi Muhammad SAW sendiri pun membantu isteri baginda dalam hal ehwal rumahtangga dan urusan anak.

Put your feet up: Research indicates that doing housework during pregnancy could lead to premature birth, from DailyMail.

Mencontohi Rasulullah

Sebagai seorang Islam, kita harus mencontohi baginda sebagai model suami sepanjang zaman bagi memastikan mahligai yang dibina bahagia dan berkekalan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Aku adalah sebaik-baik suami yang berbuat baik kepasa ahli keluargaku dan contohilah aku.”

Sewajarnya para suami mengambil pengertian hadis itu sebagai panduan dalam melayari bahtera rumahtangga. Walaupun baginda sibuk menjalankan tugas sebagai rasul, Imam ummah, pemimpin Negara, ketua hakin dan panglima agung angkkatan perang, tetapi baginda masih boleh meluangkan masanya membantu kerja rumah isterinya seperti menjahit pakaian dan membaiki kasut.

Sebagai ketua keluarga, suami seharusnya menjadi pemimpin dan pelindung kepada isteri dan anak dan bukannya pemimpin yang hanya tahu memberi arahan semata-mata. Tambahan pula sekarang ini ramai pasangan yang kedua-duanya bekerja jadi amat wajar sekiranya masing-masing membantu menguruskan rumahtangga termasuklah mengasuh anak-anak.

Walaupun kita tahu sesetengah lelaki mempunyai ego yang tinggi, tetapi dalam urusan rumahtangga, sikap ego itu perlu dikurangkan dengan membantu isteri mengemas rumah, memasak atau menukar lampin anak. Sikap membantu ini pastinya dapat mengeratkan hubungan kasih sayang di antara suami isteri.

Jika suami enggan membantu menguruskan rumahtangga, isteri haruslah bijak memainkan peranan dengan menegur secara baik dan lembut. Tindakan ini bertepatan dengan peranan isteri sebagai penasihat dalam rumahtangga yang dapat memastikan keharmonian rumahtangga.

Mengajak suami berkongsi kerja rumah

Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya, si suami sebenarnya boleh diajak untuk turut serta membantu kerja-kerja anda di rumah.

Mohon bantuan sejak awal perkahwinan

Sejak mula berkahwin lagi, ketika kasih sayang sedang mekar membara, mintalah bantuan suami untuk sama-sama menguruskan rumahtangga. Insya Allah jika sejak mula lagi anda telah membiasakan suami utnk membantu anda, akan tiada lagi masalah di kemudian hari nanti. Memang anda ingin menjadi isteri solehah, tetapi biarlah kena caranya, jangan dibiarkan sehingga suami menjadi pemalas dan tidak mahu bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga. Tidak mungkin pada waktu baru berkahwin suami akan melenting bila disuruh buat kerja rumah.

Ingatlah, bukankah kerja-kerja itu adalah kerja biasa yang dilakukannya semasa zaman bujang dahulu? Ajak suami menemani anda ketika membuat kerja rumah. Kaedah terbaik memohon bantuan suami adalah dengan mengajak dia menemani anda ketika anda melakukan kerja-kerja berkenaan. Contohnya ketika sama-sama penat sampai ke rumah, ajaklah suami menemani anda ke dapur untuk memasak.

Mungkin suami akan menolak tetapi cuba pujuk dengan lembut, anda boleh beri alasan ingin berkongsi cerita menarik dengannya sambil bekerja. Cuba biasakan diri melakukan kerja-kerja rumah di hadapan suami agar dia tahu betapa sibuknya anda di rumah. Sekiranya hendak melipat baju, lakukannya di hadapan suami yang sedang menonton televisyen. Luahkan rasa penat dan luahkan juga rasa seronok anda jika suami dapat membantu.

Manafaatkan cuti hujung minggu

Hujung minggu tidak semestinya diisi dengan bersiar-siar dan berbelanja. Cuba ubah definasi cuti hujung minggu itu demgan membuat kerja rumah bersama-sama. Lebih-lebih lagi dengan Syawal yang makin menjelma. Isikan hari cuti anda dengan membersihkan rumah bersama-sama keluarga, pastinya lebih menyenangkan daripada anda bertungkus lumus melakukannya seorang diri.

Bekerjasama dengan pasangan

Sekiranya suami boleh diajak bekerjasama, cubalah mengajak pasangan untuk membuat jadual bekerja di rumah. Pastika ia tidak sampai mengganggu pekerjaan utamanya mencari nafkah. Tentukan pekerjaan yang tidak terlalu sukar contohnya hari Sabtu adalah giliran suami melipat baju.

Hargai bantuannya walau sekecil mana sekalipun

Seperti juga anda, suami juga perlukan penghargaan daripada anda. Penghargaan dapat diberikan dengan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas dan juga pelukan hangat untuk pasangan.

Amalkan surah al-Insyirah

Panjatkan doa kepada Allah agar melembutkan hati suami. Amalkan membaca surah al-Insyirah sebagai doa pelembut hati. Ketika memasak atau menyediakan minuman, anda boleh membaca ayat-ayat ini sambil niatkan dalam hati agar suami dilembutkan hati dan diringankan tulang untuk membantu anda membereskan kerja-kerja rumah.

Sekurang-kurangnya, bila kerja rumah cepat selesai, dapatlah anda beristirehat bersama sambil melihat kebersihan dan kecantikan rumah yang sudah dihiasi dengan indah sempena menyambut kedatangan AidilFitri ini.




Petikan : Nur Julai 2011

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Ogos 02, 2011

Setiap perkara ada kadarnya...


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Tiada satu perkara pun yang terlepas dari penghujung. Kalau kita lihat setiap permainan pasti ada tiupan wisel penamat. Setiap cerita pasti ada penghujungnya. Begitulah kehidupan kita, ada kalanya kita gembira dan sentiasa mahu gembira tetapi hakikatnya ia tidak mungkin berlaku.

Begitu juga kesedihan dan kesengsaraan, perkata yang ditakuti oleh manusia, pasti juga ada penghujungnya. Mungkin ada yang berkata, apakah penghujungnya mungkin boleh jadi perubahan yang diminta atau kematian yang diduga? Ada kegembiraan yang berakhir dengan kekecewaan dan ada juga yang berakhir dengan kematian, begitulah juga sebaliknya.

Secara mudah, jika kita lihat arus perjalanan hidup ini, setiap perkara ada kadarnya tersendiri. Kita perlu menempuh sesuatu yang sudah ditulis untuk kita pada kadar yang tertentu. Kita tidak mampu lari dari kadar setiap perkara dan perlu kita ambil perhatian, bahawa tiada satu pun di dunia ini kekal, bahkan dunia ini juga sudah ada kadar kehidupannya di sisi Allah SWT.

Ia persis sebuah episod drama yang bersiri. Ada kalanya kita mahukan drama tersebut berakhir dengan baik, namun dek kerana waktu yang singkat, ia disambung pada episod akan datang. Hidup kita juga begitu, tidak lari dari kadar waktu sesuatu perencanaan yang telah ditetapkan Allah Taala untuk keseluruhan hambanya. Hal yang paling mudah untuk kita lihat adalah perkahwinan.

Tiada sesiapa yang menafikan, semua pasangan mendambakan sebuah perkahwinan yang bahagia lagi berkekalan. Namun hakikatnya, tidak semua begitu dan kita perlu menerima fakta ini dan mungkin ianya telahpun terjadi dalam kehidupan kita.

Perkahwinan acap kali dilihat sebagai sebuah bahtera di lautan yang kelihatan indah lagi mengasyikkan. Apabila kita melihat bahtera tersebut, maka kita teruja untuk menaikinya, sebagaimana orang lain yang menaikinya.

Kita teruja melihat bahtera lalu menaikinya tanpa kita sedari kita sudah terlepas pandang akan lautan yang bakal kita rentasi. Kita terlepas pandang gelora lautan yang boleh jadi membahayakan bahtera atau mungkin boleh mengaramkan menenggelamkan terus bahtera yang indah. Perkahwinan dan percintaan mempunyai kadar yang tertentu, jangka waktu yang sebenarnya sudah tersirat cuma tersirat. Percintaan contohnya mempunyai jangka waktu tertentu yang perlu diakhiri, sama ada diakhiri dengan perkahwinan atau perpisahan.

Percintaan yang indah belum dapat menentukan kebahagiaan rumahtangga kerana perkahwinan itu sendiri mempunyai kadarnya yang telah ditetapkan Allah SWT. Apa yang berlaku dalam rumahtangga sebenarnya hanyalah atur cara untuk mencapai kadar yang telah ditetapkan Allah SWT. Ianya perlu ada kerana setiap perkata perlu ada sebab untuk berlaku. Kadangkala kita terlupa bahawa perkahwinan adalah medan untuk melatih diri kita untuk lebih bersedia menghadapi hari muka.

Maka jangka waktu setiap latihan itu perlu ada dan selepas itu, sama ada kita akan terus diserapkan ke dalam perkahwinan itu atau mungkin kita terpaksa berpisah untuk pergi ke satu lagi episod dalam hidup yang telah disuratkan.

Tiada apa yang kekal

Kita perlukan kekuatan untuk pergi ke satu episode lain dalam hidup kerana di sana ada lagi perencanaan Allah SWT untuk kita. Mungkin sewaktu latihan pertama kita tidak dapat mengenali siapa diri kita yang sebenar atau kita mengambil latihan secara sambil lewa. Namun, apabila latihan tamat dan kita arahkan untuk pergi ke unit yang baru, maka kita perlu untuk menguasai semua jenis latihan yang dilatih pada episod lalu agar kesilapan yang sama tidak berulang.

Perkahwinan itu sama seperti satu latihan dalam hidup. Kita mungkin melihat sesebuah perkahwinan itu perlu kekal tetapi kita lupa tiada yang kekal di dunia ini. Kita diberikan perpisahan supaya mungkin kita tidak merasakan kesedihan jika berlaku kematian.

Kita diberikan perpisahan supaya kita lebih sedari tentang kesilapan diri yang mana sewaktu dalam perkahwinan kita tidak mengambil kesilapan itu sebagai sesuatu yang harus diperbaiki. Apabila perpisahan berlaku, kita mungkin mula terjaga dari lena, kita mungkin mula nampak arah tuju hidup dan kita mungkin lebih berdikari dan matang. Maka setiap episod itu ada kadar yang ditentukan Allah SWT dan tiada satu pun episod yang tidak membawa kebaikan melainkan kita tidak mahu melihat akan kebaikannya.

Apabila berlaku perpisahan dek sampainya kadar, kita perlu menerima seadanya dan penerimaan itu kita manifestasikan dengan melihat kepada pakej kebaikan yang telah dilakukan oleh bekas pasangan kita.

Tinggalkan apa yang buruk pada episod yang lepas dan jangan dibawa ke episod yang baru kerana jika ia berlaku, maka kita sebenarnya mengulangi satu episod yang belum habis kadarnya. Ternyata nanti ianya akan lebih membebankan emosi dan merosakkan bahtera yang baru.

Kita hanya perlu ambil pengalaman pada masa lalu sebagai satu formula di masa depan dan bukan mengambilnya dengan emosi yang bakal membakar diri secara perlahan. Kita perlu akur dengan kadar ketentuan yang disuratkan Allah SWT dan bersangka baiklah kepada-Nya atas apa jua suratan yang diberikan kepada kita.

Apa yang benar-benar pasti, Allah SWT sentiasa mahu memberi yang terbaik untuk sekalian hamba-Nya, cuma terpulang kepada kita sebagai hamba untuk melihat pemberian itu dari sudut mana yang kita inginkan.

Semoga Allah merahmati kehidupan kita. Amiin.




Sumber : Ðr Azhar Sarip MW#1419

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Julai 11, 2011

Cinta jarak jauh punca curang


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dalam egrup yang disertai, terdapat seorang sahabat yang berkongsi masalahnya :

Saya mohon pendapat dari sesiapa yang berpengalaman. Sekarang saya sedang sarat mengandung anak ke dua dan jangka bersalin pada akhir bulan depan. Tetapi sangat mendukacitakan bila suami saya yang bertugas di Kedah dan saya di KL (tinggal asing sejak dr awal kahwin selama 3thn lebih) dia telah curang dgn saya. Dia ada hubungan dengan perempuan lain di kedah mugkin sejak dari awal tahun ini lagi.

Dia juga gagal memberi nafkah pada anak sejak dari anak baru lahir hingga sekarang. dia juga byk hutang di bank dan org lain. Skrg dia nak ceraikan saya sbb dia dah ada perempuan itu, malah keluarga dia pun suruh ceraikan saya sebaik shj saya bersalin sbb keluarga dia dah terima perempuan tu.

Saya nak minta pendapat, perlu ke saya tunggu hingga dia yg buat permohonan cerai atau saya yg perlu bertindak membuat permohonan cerai tersebut. Saya dah cuba pujuk dia tp dia sendiri yg berkeras hendak ceraikan saya. Saya juga dah putus asa dan tekad untuk bercerai.

tapi saya tak tahu sama ada saya perlu bertindak sebelum dia bertindak atau tunggu sehingga dia yg failkan. Saya juga nak tahu bagaimana saya hendak tuntut nafkah anak2 setelah bercerai andai kata dia gagal membayar nafkah yg telah ditetapkan mahkamah.

Terima kasih


Berat mata membaca, berat lagi bahu memikul....

Ada beberapa persoalan di sini :
1. Mengapa tinggal berasingan/berjauhan dari awal kahwin?
2. Perjanjian selepas berkahwin bagaimana?
3. Suami mengabaikan nafkah sejak bila?
4. Suami mengabaikan nafkah kepada anak sahajakah?
5. Suami mengabaikan nafkah anak dan isteri sejak 'curang' kah?

Penting di sini puan fikirkan apa yang puan mahu dalam hidup. Jika setakat mahukan neraka dunia, wajarlah puan fikirkan semula apakah matlamat perkahwinan puan dan suami.

Tinggal berjauhan memang mengundang cabaran yang bukan kecil. Tempat isteri di sisi suami. Jika suami minta puan tinggal bersamanya dan puan 'refuse', maknanya puan derhaka kepada suami, kecuali setelah berbincang dan suami bersetuju untuk berjauhan, tetapi tidak untuk jangka masa yang panjang. Tiga tahun bukanlah tempoh masa yang pendek.

Jika suami memang bersetuju hidup secara berasingan, puan bukanlah isteri derhaka dan wajib ditanggung suami sepenuhnya. Apa yang puan patut buat ialah file kes ke pejabat kadi berdekatan tempat tinggal puan. File kes bukan bermaksud untuk bercerai tetapi lebih kepada membuat pengaduan. Tempoh masa puan patut file kes adalah dalamasa tiga bulan berturut-turut apabila suami GAGAL melaksanakan tanggungjawabnya, bukan tunggu hingga tiga tahun.

Puan mengatakan suami gagal memberi nafkah pada anak sejak dari anak baru lahir hingga sekarang. Ini bermakna suami puan juga tidak pernah merasa beratnya tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Bila tanggungjawabnya diambil-alih oleh puan sepenuhnya, suami berasakan dia tidak perlu risaukan tentang tanggungjawabnya lagi, kerana baginya, puan rela diperlakukan begitu. Secara tidak langung, suami puan mungkin merasakan dia tidak perlu bersusah payah memerah tenaga dan fikirannya untuk keluarga dan ini menyebabkan dia mempunyai ruang dan peluang untuk mencari hiburan di luar.

Ini kesilapan ramai wanita, bila suami gagal melunaskan tanggungjawab, mereka masih bersabar dan bertolak ansur, tetapi bila diketahui suami ‘curang’, mereka gelabah dan rasa tertipu. Sebenarnya puan patut rasa tertipu sebaik sahaja suami gagal menunaikan tanggungjawab apabila tidak memberikan hak puan. Maaf jika puan terasa.

Cuba dapatkan khidmat nasihat kaunselor di Pejabat Kadi. Saya syorkan puan cepat-cepat buat aduan di sana sebab sekiranya suami puan yang mendahului file kes ‘isteri derhaka’, puan takkan dapat nafkah langsung, silap haribulan hak hadanah juga lebih berat menyebelahi suami. Paling penting, puan kena ada alamat terkini suami dan juga alamat pejabat bagi memudahkan urusan Pejabat kadi untuk menghubungi suami puan.

Cinta jarak jauh punca curang

Kaunselor kekeluargaan sering memperkatakan tentang tanda-tanda pasangan curang. Ia disingkap melalui seminar motivasi, buku-buku, temu-bual, ceramah agama hingga sembang internet, supaya setiap suami dan isteri sedar akan bahaya jarum-jarum syahwat yang mudah bertebaran di mana-mana.

Walau sebanyak manapun tanda-tanda yang diberikan sebagai tips, namun, tanda yang paling halus hingga yang jelas dan boleh dilihat dan dirasai dalam hati ialah diri anda sendiri kerana anda dan pasangan adalah satu jiwa yang memiliki ‘instinct’ dan empati antara satu sama lain.

Tetapi, tulisan ini sebenarnya tidak mahu mengungkap tanda-tanda yang sudah biasa lagi senang difahami, agaknya lebih baik jika kita memahami salah satu sebab kecurangan dalam diri setiap orang kepada pasangannya.

Berpisah jasad dan jiwa

Berpisah jawad dan jiwa merupakan punca paling utama merosak alam percintaan. Boleh jadi suami dan isteri terpisah kerana tuntutan kerjaya, pendidikan atau campur tangan keluarga yang mahukan mereka berpisah atas sebab-sebab tertentu.

Pada permulaannya, perpisahan memang manis, apatah lagi jika saat-saat bertemu di hujung minggu, tetapi kerana beban kesibukan keduanya hanya bertemu pada hujung bulan, kemudian bertambah panjang menjadi beberapa bulan hingga akhirnya tidak berkesempatan meneguk kemanisan cinta lagi.

Saat berpisah banyak godaan yang mesti dihadapi suami dan isteri. Ada kalanya keinginan untuk bersama hanya dirasai suami sedangkan isteri tidak terlalu dahagakan seks kerana kesibukannya menjaga anak-anak dan kerjaya.

Boleh jadi pada masa lain, isteri pula yang berkobar-kobar memendam bara asmara kerana lama tidak disentuh, sedangkan suami sudah pun surut ghairahnya disebabkan kesibukan dirinya.

Kalau mereka tidak berpisah, semua itu senang dikawal, isteri tidak hendak tetapi suami boleh merangsang kerana mereka di atas katil yang sama, begitu juga kalau isteri teringin dan suami dingin, semua boleh selesai dalam kepuasan yang sama jika mereka masih berada di atas bantal yang sama. Malangnya jika kedua-dua terpisah, bagaimana hendak memujuk, merangsang dan membelai, jika mereka berjauhan?

Ada kalanya timbul rasa tidak puas hati dengan pasangan, muncul prasangka yang bukan-bukan seperti “Saya rindukan awak, tapi awak buat tidak tahu saja, kenapa? Ada orang lain ke?” kata suami.

Isteri juga memendam rasa, “Semua hal keluarga, aku yang uruskan. Anak-anak, rumah, sampaikan emak bapak dia pun aku yang layan. Ðia pula kerja jauh, dapat duit, ‘enjoy’ dengan kawan-kawan atau entah-entah, sudah dapat awek baru!”

Perasaan-perasaan songsang sebegini timbul kerana tidak ada kejujuran dan enggan berterus-terang dengan pasangan. Walaupun jauh, keraplah bersembang dari hati ke hati, berterus-terang menyatakan pasangan anda.

Jika pasangan mahukan kejujuran, bukan bermakna dia meragui, tidak sama sekali! Sebenarnya dia hanya mahu anda menolong dia untuk membina kepercayaan antara satu sama lain. Sekali anda tidak jujur, berkali-kali pasangan anda akan merasa dia ‘ditipu’. Akhirnya saling berbalas dendam kerana tiada masa untuk terangkan perkara sebenar.

Akibat seks terabai

Semua masalah rumahtangga sebenarnya berpunca dari satu sebab sahaja, iaitu belaian dan kepuasan seks. Bagi pasangan muda dan sihat, masalah seks menjadi prioriti yang mesti dipenuhi kedua-duanya. Apatah lagi sebelum ini mereka tidak pernah kecewa dengan layanan pasangan.

Mimpi-mimpi bersama pastinya sentiasa menekan perasaan dan mengecewakan mereka. Boleh jadi keduanya merasa begitu putus asa, mengharap yang tidak dapat dan menunggu yang tidak pulang. Sehingga ada bisikan kejahatan yang mula menyusup masuk ke hati yang lama tidak tersentuh kehangatan asmara.

Jika mereka tidak kuat iman, masing-masing mula merajuk dan rasa tidak disayangi. Kemudian mencari alternatif untuk melupakan masalah dengan pasangan. Ada yang buat kerja kuat-kuat, cari wang banyak-banyak untuk mengalihkan masalah dengan isteri.

Ada yang terlibat dengan hobi-hobi baru yang menyibukkan sampai suami pun tidak dilayan lagi. Apa yang paling berbahaya ialah, jika suami dan isteri mencari kekasih tanpa syarat, yang mahu menerima diri mereka tanpa ada apa-apa ikatan.

Mula-mula mereka jatuh cinta, tapi tidak melibatkan hawa nafsu. Hanya teman pengubat rindu yang mahu mendengar segala keluh kesah. Kemudian ia berubah menjadi rangsangan yang mengasyikkan, melekakan, melenakan dan seterusnya menyeleweng jauh dari norma kesucian. Apatah lagi zaman Facebook, Twitter dan segala kebebasan di hujung jari mula menularkan virus zina batin secara tersembunyi. Semua kerumitan ini berpunca dari terpisahnya badan dan hati setiap pasangan.

Sebumbung tapi tidak sehati

Ramai yang beranggapan serong dengan pasangan yang saling berjauhan. Mereka mengatakan suami yang meninggalkan isteri dan anak-anak sekian lama adalah suami yang tidak bertanggungjawab. Mereka juga mengata isteri yang suka berpisah dari suami, jenis isteri yang tidak sayangkan suami dan tidak kisah dimadukan.

Tak dinafikan memang sungguh berbahaya jika lama berpisah dari pasangan, perpisahan yang melibatkan jasad dan jiwa. Namun begitu, ada sesetengahnya boleh melalui masa-masa sulit itu dengan mudah kerana jiwa mereka tidak pernah terpisah walaupun jasad di mana-mana. Apalah ertinya jika suami isteri duduk sebumbung tetapi hati bercakaran, hanya jasad kaku yang berpura-pura mencintai dalam kebencian.

Berpisah tidak mengapa, asalkan jangan lama-lama dan satu syarat lagi, asalkan iman tegak di jiwa!




Rujukan : Ðr Juanda Jaya

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Mei 22, 2011

Empat punca hidup tidak tenang


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Dalam kehidupan hari ini yang serba mencabar, tidak mustahil kita akan mengalami tekanan bila berhadapan kerenah manusia sama ada di rumah, di tempat kerja dan anak-anak. Jika dalam entry yang lepas, kita dianjurkan mengamalkan doa pagi, petang bagi mengatasi masalah jiwa, kali ini dikongsikan petua untuk mengelak tekanan dan menjalani kehidupan dengan lebih tenang.

Menurut Ustaz Zahazan, ada empat perkara membuat hidup menjadi sukar dan tertekan dan empat perkara itu adalah:

Pertama: Bersungut dan tidak menerima qada dan qadar Allah.

Amalkan membaca doa seperti diajar Rasulullah SAW iaitu: “Bismillahi ‘ala nafsi wamali wadini. Allahumma raddhini biqodho ika wabarikli fima quddiroli hatta la uhibba ta’jila ma akkharta wala takkhira ma ‘ajjalta.” (Maksudnya: Dengan nama Allah atas diriku, hartaku, dan agamaku. Ya Allah, jadikanlah aku ini rela dengan apa-apa yang Engkau tentukan dan berikanlah berkat untukku dalam segala yang sudah ditakdirkan kepadaku sehingga aku tidak menginginkan cepatnya sesuatu yang Tuhan perlambatkan atau perlambatkan sesuatu yang Tuhan percepatkan).

Kedua: Berbuat dosa dan tidak disertai dengan taubat.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

Ketiga: Bersikap iri hati, dendam dan dengki

memmpunyai sikap iri hati sesama manusia serta muncul perasaan senang untuk membalas dendam kepada mereka dan dengki atas anugerah yang Allah berikan kepada mereka.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 54 yang bermaksud: “Ataukah mereka dengki kepada manusia lantaran kurnia yang sudah Allah berikan kepadanya.”

Dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah olehmu sekalian sifat dengki itu, kerana sesungguhnya dengki itu dapat menghabiskan amal kebaikan sebagai mana api itu dapat menghabiskan kayu api.”

Keempat: Berpaling daripada mengingati Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 124 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.”

Demikian empat perkara disebut ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam kitab beliau La Tahzan. Elakkan daripada melakukan keempat-empat perkara itu, Insya-Allah hidup akan tenang. Wallahua’lam.

Renungan :

Seorang lelaki telah mengutuk Abu 'Amir al Sya'bi, Beliau lalu berkata-kata kepadanya, “Sekiranya aku benar sepertimana yang maku katakan, maka semoga Allah mengampuniku. Dan sekiranya aku bukan sebagaimana yang kamu katakan, maka semoga Allah mengampuni kamu.”

Maka kalau kita doakan mereka diberi kefahaman oleh Allah mudah-mudahan itu bermanafaat buat mereka, berbanding dengan membuat serangan balas dengan label-label yang kita beri ke atas mereka.




Sumber : BHarian 22/05/2011

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails