Entry ini saya masukkan susulan daripada entry Bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB. Jika anda teliti entry sebelum ini, tentu anda perasan, pasangan suami isteri yang disebutkan dalam kes tersebut menghadapi masalah 'communication breakdown'. Semua orang sedia maklum, jika cinta sudah tiada, buat apa tunggu dan menanggung sengsara. Minta suami menceraikan, dia tidak mahu, terpaksalah ke mahkamah menuntut fasakh. Biasalah bila kes naik mahkamah, hal-hal 'dalam kain' juga turut keluar. Inilah akibat cinta yang hilang nikmatnya kerana tidak bersandarkan cinta kepada Allah. Satu lagi kes yang elok dijadikan teladan buat kita semua.
Agama Islam adalah agama percintaan dan kasih sayang. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 21, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
Apabila dua insan bercinta, ada yang sayang menyayang kerana “cinta berahi” yang wujud di antara mereka. Cinta berahi yang sampai ke jinjang pelamin akan terselamat dari gangguan syaitan. Cinta berahi yang tercemar dengan hasutan syaitan akan berakhir dengan keterlanjuran.
Di dalam keadaan lain, ada yang sayang-menyayang kerana Allah. Bercinta sesama makhluk kerana Allah adalah lebih selamat. Ia tidak melukakan hati, tidak meresahkan jiwa, tidak merosakkan akhlak, tidak perlu risau tentang “frust”, tidak perlu melayan perasaan cemburu. Menurut Rasulullah, menyayangi seseorang kerana Allah dapat mendatangkan kemanisan iman. (al-Hadis sahih Bukhari). Namun, tidak ramai yang mengetahui caranya.
Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, kecintaan seseorang yang hakiki kepada insan lain kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai insan itu kerana dzatnya (sifatnya), sebaliknya adalah kerana insan itu dapat mendekatkan diri sendiri dengan akhirat.
Menurut beliau lagi, bahawa seorang lelaki mengahwini seorang wanita soleh supaya terpelihara dari gangguan syaitan, supaya terjaga agamanya, supaya memperolehi anak-anak yang soleh dari wanita itu dan seterusnya anak-anak itu mendoakan untuknya. Lalu apabila lelaki berkenaan mencintai wanita itu kerana semua sebab-sebab di atas, maka dia adalah tergolong sebagai salah seorang pencinta kerana Allah. Perkara ini dinukilankan oleh Al-Ghazali lebih kurang 1000 tahun yang lalu.
Selepas ini, apabila anda mencari cinta, carilah cinta yang wujud kerana Allah. Apabila anda menemui cinta, tanya diri sendiri kenapa anda mencintainya? Apakah kaitan cinta itu dengan akhirat anda?
Komunikasi dan intimasi sangat berkait rapat dengan cinta,sama ada cinta kerana nafsu, mahupun cinta kerana Allah. Sebab inilah, saya jalankan satu survey @ poll, dengan SOALAN :
Dalam perhubungan suami dan isteri, antara komunikasi dan intimasi, yang mana satukah paling diutamakan? Sila pilih jawapan mengikut jantina anda.
A. Anda lelaki - komunikasi diutamakan
B. Anda lelaki - intimasi diutamakan
C. Anda wanita - komunikasi diutamakan
D. Anda wanita - intimasi diutamakan
Saya berharap pengunjung setiap blog dapat meluangkan sedetik masa untuk turut serta dalam poll ini. Insya Allah saya akan usahakan sebuah lagi entry berkaitan 'komunikasi dan intimasi' selepas poll ditutup secara rasmi pada 31/12/2010. Adeehhh... laaamaaaanya... Erk, kalau saya rasa dalam masa 2-3 bulan sudah mendapat maklumbalas poll yang mencukupi, saya akan usahakan entry ini secepat mungkin. Selamat membuat pilihan.
Izinkan saya memetik kata-kata pemangkin minda saya, ust Pahrol Mohd Juoi di Genta-Rasa dalam entry BERHALA BATU VS BERHALA NAFSU :
Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan mencintai-Nya. Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan takut kepada-Nya. Sedangkan cinta dan takut kepada Allah itu sumbu dan mber kebaikan dalam hidup di dunia ini. Tanpa cinta Allah, manusia tidak akan dapat mengasihi sesama manusia. Tanpa takut kepada Allah, manusia tidak akan dapat dikawal kejahatan dan kelicikan tipu dayanya.
Orang yang mencintai Allah akan lunak, mesra dan sayang kepada sesama manusia. Kerana apa? Kerana Allah menyuruhnya berbuat begitu. Iman kepada Allah adalah asas dan teras untuk berkasih-sayang. Justeru, Rasulullah saw mengingatkan, tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Iman dan kasih sayang itu bagai irama dan lagu – keduanya tidak dapat dipisahkan. Teguh iman, kukuh persaudaraan.
Tidak ada kebaikan kepada Allah melainkan melalui kebaikan sesama manusia. Memberi salam kepada orang lain mengundang kesejahteraan daripada Allah. Menziarahi saudara kita akan dilimpahi kasih-sayang Allah. Membantu menyelesaikan masalah seseorang, Allah janjikan untuk menyelesaikan masalah kita. Tidak ada dikotomi antara hubungan Allah dengan hubungan sesama manusia. Keduanya saling berkaitan dan berdekatan antara satu sama lain.
Kata-katanya di atas begitu menusuk ke hati saya. Dalam entry beliau BUKAN CINTA BIASA… ini pula :
Kadar perceraian melonjak semakin tinggi. Janji hidup bersama, mati berdua hanya jadi mainan kata sewaktu bercinta. Tetapi sebaik musim bulan madu berlalu, cinta semakin hari semakin terhakis. Dan akhirnya usahkan untuk mati bersama, hidup berdua pun sudah tidak mampu lagi. Suami jemu dengan kerenah isteri. Isteri bosan dengan tingkah laku suami… tak berubah-rubah, macam-macam tu juga. Akhirnya, perceraian pun tidak dapat dielakkan lagi.
Mengapa ini berlaku? Jawabnya, kerana dalam hati suami dan isteri itu tidak ada lagi prinsip “kerana Allah”. Rasa syak wasangka, marah melulu, kecewa, jemu, jeran dan terancam mula bersarang dalam jiwa apabila “bukan kerana Allah” menjadi begitu dominan dalam sanubari suami dan isteri masa kini. Semakin lama berumah tangga semakin ketara segala kelemahan dan kesalahan.
Pada mulanya dicuba-cuba juga bersabar. Ah, demi cinta ku pada nya, begitu pujuk-pujuk hati. Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, segala-galanya masih “gitu-gitu” juga. Bila suami sampai di muka pintu (pulang daripada bekerja), muka isteri mencuka, keluhan atau leteran pun bermula, tidak ada lagi salam berkucup tangan, tidak ada lagi wangian dan haruman, tidak ada jawapan salam yang sopan…
Dulu pernah suami menegur bersulam kata dengan kiasan dan perlambangan. Namun isteri buat tidak tahu kerana di hatinya juga ada “dendam”. Ah, kau sahaja yang ingin aku berubah, kau pula bagaimana? Aku jemu melihat kau umpama raja dalam rumah tangga yang menyuruh aku membuat segala-galanya. Sejak bangun tidur aku bagaikan hamba sahaya yang asyik membersihkan, memasak, mengasuh, mengemas dan seribu satu kerja lagi, gerutu hati isteri.
Kau tidak pernah berubah wahai suami. Pakaian bersepah. Tingkah laku mu jauh daripada yang ku kenal dahulu. Pantang ditegur, ego mu meledak. Kau semakin bungkam dan bisu ketika aku ingin meluahkan dan menceritakan segala-galanya. Dan perlukah aku meluahkannya lagi, setelah berkali-kali kau seakan tuli untuk mendengarnya!
Jiwa yang kecil akan membesarkan masalah yang remeh apatah lagi masalah yang memang besar. Bila di hati tidak ada lagi “kerana Allah”, rumah tangga akan semakin goyah. Di dalam hati sudah timbul bibit-bibit ingin berpisah… Berpisah secara rasmi dengan jatuhnya talak bersendikan syarak atau berpisah secara sepi, dengan putusnya ikatan cinta tanpa kemesraan dan keharmonian hati.
Jasad rapat, tetapi hati kian jauh terpisah. Sesetengah pasangan nekad terus mengambil keputusan untuk berpisah. Jika begini apa gunanya ditunggu lagi, kita bercerai! Dan sesetengah pasangan pula tetap di situ mempertahankan cinta yang bagaikan hidup segan mati tak mahu – “better bend than break” (biar sekah asalkan tak patah). Golongan ini sabar mengharungi perkahwinan yang tidak bahagia.
Mereka yang memilih bercerai, inginkan bahagia di tempat, di suasana atau dengan keadaan yang lain (dan mungkin juga dengan orang yang lain?). Tidak ada gunanya mempertahankan perkahwinan yang tidak bahagia… cari sahaja bahagia di tempat yang lain. Mereka yang bertahan pula mungkin merasakan, jika pasangan ku ini pun tidak memberikan aku bahagia, sedangkan aku yang mencari dan dicarinya dulu, mana ada jaminan aku bahagia dengan orang atau di tempat yang lain? Biarlah, aku bertahan sahaja…
Siapa antara kedua golongan ini yang lebih bernasib baik? Yang bercerai untuk mencari bahagia atau yang bersabar dengan perkahwinan yang tidak bahagia? Subhanallah, hasil kajian menunjukkan setelah bertahun-tahun berlalu mereka yang bersabar dengan perkahwinan yang tidak bahagia akhirnya lebih bahagia daripada mereka yang mengambil keputusan untuk bercerai!
Itulah berkat sabar. Kerana kesabaran itu lebih dekat dengan iman. Bukankah kesabaran itu separuh daripada iman. Dan dalam iman itulah tersemat roh kalimah “kerana Allah”. Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang yang sabar. Bukankah dalam hidup ini, mereka yang berjaya mengharunginya bukan orang yang bijak, cantik dan ternama… tetapi oleh orang yang sabar.
Justeru, walau seteruk mana kerenah pasangan kita, belajarlah menerima dia seadanya. Bersabarlah dengan sikapnya kerana dia pun hakikatnya sedang belajar bersabar dengan kerenah kita. Jangan marah jika dia tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki kerana kita juga hakikatnya tidak berubah mengikut apa yang kita sendiri kehendaki.
Kita tidaklah setabah Siti Hajar dan pasangan kita pun tidak sebaik Ibrahim… namun setidak-tidaknya kita mengakui dan sentiasa mencuba untuk bersabar dengan peneguhan kata “kerana Allah”. Ingatlah, ragam, karenah dan tabiat pasangan kita bukan semuanya untuk diselesaikan. Seperti juga masalah-masalah hidup yang lain ada yang dapat diselesaikan dan ada yang tidak.
Bagaimana menghadapi masalah yang tidak dapat diselesaikan? Ya, ada masalah yang kita “kena hidup dengannya.” Selama-lamanya. Ia memang tidak dapat dan tidak perlu diselesaikan… Mengapa? Allah takdirkan begitu sebagai saluran kita merintih, merayu dan bergantung kepada-Nya.
Oh, rupa-rupanya Allah pasangkan kita dengan pasangan kita untuk kita saling merintih kepada Allah dalam menghadapi kerenah masing-masing. Allah menguji kita melalui dia, Allah menguji dia melalui kita.
Inilah yang kita belajar daripada cinta dan sabar dalam rumahtangga Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Sesungguhnya, cinta mereka itu bukan cinta biasa!
Renung-renungkan!Sumber : Webblog.myjodoh.net dan Genta-Rasa.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...