Assalamualaikum warahmatullah,
Dalam SiM egroup yang saya sertai, ada yang mengirimkan persoalan tentang "Sara hidup ibu bapa", rujuk thread : message/74684. Katanya :
Siapakah yang lebih WAJIB memberi wang belanja kepada ibubapa, adakah :
- a) Anak lelaki
- b) Anak perempuan (yang telah berkahwin dan belum berkahwin)
- c) Kedua-duanya iaitu anak lelaki dan perempuan.
ADA banyak feedback untuk soalan ini dan jawapannya berbeza-beza. Dapat saya simpulkan, masih ramai yang TIDAK JELAS apakah kewajipan anak-anak terhadap ibu bapa, maka tidak hairanlah makin hari makin banyak kes anak derhaka dilaporkan di akhbar-akhbar. Saya masih ingat kisah seorang ayah yang ditinggalkan anak di pusat dialisis dan tidak lama kemudian muncul kisah seorang ayah ditinggalkan di perhentian bas di PutraJaya.
Penderhakaan kepada ibu bapa adalah sebahagian gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat. Terdapat masyarakat Islam yang menganggap memelihara dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa bukan satu tanggungjawab penting. Fenomena ini berlaku kerana masyarakat beranggapan menjaga rumahtangga sendiri dan anak-anak lebih penting daripada mengambil berat ke atas ibu bapa. Paling malang lagi terdapat anak-anak yang menghantar kedua ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dengan alasan sibuk bekerja ataupun sukar mencari penjaga. Ini adalah berita buruk dan amat menyedihkan ibu bapa.
Mari kita sama-sama refresh perkara yang paling BASIC dalam kehidupan kita sehari-hari.
Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah SWT kepada setiap muslimin dan muslimat. Sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Di samping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Di dalam al-Quran, Allah SWT dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa, di mana Allah SWT menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut, seperti firman-Nya yang bermaksud, “…dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun ).” (Surah al- Isra’ ayat 23)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “…dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya.” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)
Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab : “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan : “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” (Sahih Imam al-Bukhari)
Menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah menderhaka terhadap ibu bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah SWT. Dari Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Islam memberi amaran keras terhadap mereka yang gagal melaksanakan hak-hak ibu bapa, menderhaka atau membiarkan ibu bapa yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan.
Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah SAW, “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?” Rasulullah SAW menjawab : “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras.” (Sunan al-Nasai')
Apa yang nyata, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah di antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud, “…Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)
Hakikatnya tanggungjawab anak-anak dalam melaksanakan hak-hak ibu bapa adalah hak yang paling penting sesudah menunaikan hak Allah SWT dan hak Rasul-Nya. Lantaran itu, hendaklah kita berbakti dan berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, berakhlak mulia sepanjang masa kepada mereka, mengutamakan mereka dalam segala kebajikan dan kebaikan lebih daripada diri kita sendiri, anak-anak dan juga isteri.
Berbalik kepada soalan yang begitu specific, jawapan saya, ‘C’.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan, wang bukanlah satu-satunya medium untuk membalas atau mengenang jasa ibu bapa. Jangan tersilap konsep. Ramai menganggap dengan memberi wang kepada ibu bapa, maka dia beranggapan 'sedang' membalas jasa ibu bapa. Sedangkan membalas jasa ibu bapa lebih luas daripada itu.
Banyak kisah di zaman Rasulullah yang boleh kita ambil iktibar. Kisah pemuda yang menggandar ibu tua dalam cuaca yang panas terik sehingga dia keletihan (untuk mengerjakan haji), usahanya itu tidak sedikitpun dapat membalas jasa ibunya. Ada juga kisah sahabat yang tidak mampu mengucap ketika penghujung hayat, semata-mata kerana membuat ibunya tersinggung. Ada juga kisah seorang perempuan yang tidak menziarahi ayahnya yang sakit sehingga si ayah meninggal dunia pun dia tak ziarah kerana suami tiada di rumah untuk meminta izin keluar rumah. Ayahnya masuk syurga kerana anaknya taat kepada suami... dan macam-macam kisah lagi yang boleh dijadikan teladan.
Secara basic, kesemua adik-beradik bertanggungjawab menjaga ibu dan ayah tidak kira sama ada anak yang sudah berkahwin mahupun yang masih bujang. Walau bagaimanapun, dalam bab menyara (saya kira dari segi wang ringgit), adalah menurut kemampuan masing-masing. Menyara ibu bapa memang tanggungjawab anak (apatah lagi jika bapa sudah uzur dan tidak mampu menyara ibu), tetapi saraan itu adalah sekadar memenuhi KEPERLUAN ibu bapa dan bukan untuk memenuhi KEHENDAK ibu bapa. Kita kena bezakan keperluan dan kehendak. Lainlah jika anak mampu, bolehlah penuhi kehendak ibu bapa, tapi kena lihat juga, jika kehendak mereka bertentangan dengan syarak, tak boleh juga kita turuti. Saraan ini pula hendaklah tidak mengurangkan hak-hak orang-orang di bawah tanggungjawab kita sendiri pula.
Saya tidak nafikan, ada sesetengah ibu bapa (selalunya ibulah) yang berkeras menuntut anak-anak mesti beri sekian-sekian jumlah wang kepadanya (this happened to my friend). Padahal, bapa masih mampu bekerja untuk menyara ibu (isterinya). Tiap-tiap tahun tukar perabot, langsir untuk sambut raya. Pakaian tiap-tiap bulan berganti. Handbag, kasut dan tudung pula ‘wajib’ sedondon dengan baju... (sekadar beberapa contoh, sebagai TELADAN). Bila si anak ter ‘miss’ (tak beri) sebulan dua, sudah merungut-rungut dan beritahu “kalau tak nak bagi, tak payah bagi duit lagi sampai aku mati...” dan membuatkan si anak menjadi serba tidak keruan. Memanglah anak mesti balas jasa ibu bapa, tapi tak bolehlah hingga buat mereka rasa terpaksa dan tak ikhlas pula.
Perkahwinan seorang anak perempuan dengan seorang lelaki pula tidak memutuskan hubungannya dengan ibu bapa dan tidak pula menghilangkan tanggungjawab anak kepada ibu bapa. Perkahwinan adalah penambahan kepada tanggungjawab yang sedia ada bagi lelaki dan perempuan, dan bukan pengurangan. Yang kekal ialah prinsip menunaikan tanggungjawab ikut kemampuan kita. Islam tidak menuntut kita lakukan sesuatu lebih dari kemampuan. Bagi lelaki yang telah berkahwin, kebajikan ibu bapa mertua juga menjadi tanggungjawabnya sebab status ibu bapa mertua adalah sama dengan ibu bapa sendiri. Rujuk Tangungjawab terhadap ibu bapa untuk lebih info lebih detail.
Hukum faraid sebenarnya ada berkaitan dengan tanggungjawab anak lelaki dan anak perempuan terhadap ibu bapa masing-masing. Maknanya berat menjaga dan menyara ibu bapa adalah lebih kepada anak lelaki. [NB: Amboi... bab mahukan harta lebih, laju saja ya.. tapi bab tanggungjawab yang turun BERSERTA dengan harta itu, purak-purak tak tahu pula ya...] Jangan nafikan kenyataan ini, jika benar tidak tahu, sila ambil tahu dan isi dada dengan ilmu! [NB : Sila rujuk Rahsia Wasiat dan Faraid : updated 03/05/2010 1715hrs]
Saya tidak nafikan, ada ibu bapa yang lebih selesa tinggal bersama anak perempuan, tapi itu bukan tiket untuk adik-beradik lain (terutamanya adik-beradik lelaki) boleh lepas tangan daripada bertanggungjawab kepada ibu bapa. Perbelanjaan makan minum serta ubat-ubatan yang diperlukan oleh ibu bapa harus dikongsi bersama adik-beradik yang lain.
Saya petik komen blogger UMMU WAHEEDAH : Tentang siapa yang patut jaga juga begitu. Tak semestinya anak lelaki. Jika ibu selesa dengan anak perempuan, anak perempuanlah yang patut jaga dan anak-anak lain wajib menziarah ibunya dan memberi bantuan lain untuk memudahkan anak yang menjaga ibu. Bayangkan kalau ibu itu tak ada anak lelaki, siapa nak jaga? Atau dia ada anak lelaki tetapi menantu ‘cenge’ macam singa betina. Silap hari si anak lelaki boleh dapat pangkat ‘anak derhaka’ pula. [updated 03/05/2010]
Jika ada permasalahan dengan adik-beradik, bawa-bawalah berbincang. Carilah kata sepakat. Umur ibu bapa bukannya panjang pun. Selagi mereka masih ada inilah kita patut berebut berbakti kerana besar ganjarannya di sana nanti, insya Allah.
Harap sedikit sebanyak dapat membantu meleraikan kebuntuan yang dihadapi.
Capaian entry berkaitan :
- Ramai suami tak berilmu?
- Rahsia Wasiat dan Faraid
- Jangan abai ibu bapa
- Berlumba-lumba mengerjakan kebaikan
- Tazkirah : Menghargai ibu bapa
- Mengenang jasa ibu bapa tuntutan sepanjang hayat
- Q&A: Bahagi harta ikut faraid dituntut agama
- Mentaati Kedua Ibu Bapa
- 'Gaji saya tidak cukup'
- Diarah sara ibu bapa sepanjang hayat
Rujukan entry :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...