“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Mac 11, 2010

Skandal di Internet

Cara yang mudah, murah dan cepat untuk mengesan pasangan yang menipu dalam talian ialah dengan mengupah 'penyiasat dalam talian'. - Gambar hiasan

PERNAHKAH terlintas di fikiran anda bahawa pasangan anda mungkin mempunyai kekasih di Internet? Mungkin anda boleh mengabaikan saja perasaan tersebut namun lagi lama dibiarkan macam ada sesuatu yang makin tidak kena pada hubungan anda berdua.

Anda tidak mampu menafikan wujud perasaan curiga yang pasangan anda menipu tentang hubungan cintanya di Internet. Jangan ambil mudah kerana anda sebenarnya sudah berada di tahap pertama amaran bahawa teknologi ini boleh menggugat keharmonian rumah tangga anda.

Dalam tahap ini, anda mungkin mengesyaki pasangan anda namun berjaya menyedapkan hati dengan mengatakan bahawa itu hanya imaginasi sahaja. Ini kerana anda belum mempunyai bukti kukuh dan belum pun mahu mengumpul bukti tersebut.

Memasuki tahap kedua, anda sebenarnya sudah bersedia untuk menerima kebenaran. Anda mahukan fakta. Mungkin dalam tahap ini juga pasangan anda yang menipu sudah terasa gerak-gerinya diperhati dan dia mula mengurangkan tindak tanduknya di depan komputer. Anda pula sudah bersedia untuk menangkap pasangan yang curang di alam maya.

Persoalannya bagaimana anda boleh menangkap pasangan yang penuh muslihat ini? Memang bukan senang untuk mengumpul bukti, namun dengan adanya sedikit ilmu teknologi maklumat (IT) anda juga boleh menangkap pasangan yang menipu di Internet.

Anda mungkin boleh memeriksa dengan cara mencari sendiri di laman sembang yang pasangan anda gemar layari.

Mudah saja! Cara pertama layari laman web dengan kata kunci 'bagaimana menangkap pasangan yang menipu di Internet?' Dari situ anda akan menemui banyak cara untuk mengenalpasti sama ada pasangan anda sudah terlibat dengan skandal di Internet.

Ikut kaedah yang disarankan dan cuba sesuaikan dengan situasi anda. Perlu ingat segala tindakan anda haruslah berlandaskan fikiran dan bukan emosi kerana anda mahu mencegah sebelum parah dan bukannya mahu menambah kekacauan dalam rumah tangga.

Sebagai individu yang sayangkan keharmonian rumah tangga, anda perlu mengambil langkah bijak dalam membendung masalah ini. Jangan biarkan berlarutan dan ambil sikap tunggu dan lihat.

Cara pertama yang boleh dilakukan ialah dengan mengajak pasangan melakukan aktiviti bersama anda atau keluarga selepas pulang dari kerja dan kurangkan masa mengadap komputer. Boleh jadi dengan bersama-sama menonton filem kegemaran, melayan anak-anak, atau keluar bersiar-siar anak melupakan keinginannya untuk mengadap komputer.

Awas jika terlambat kerana insan ketiga pasti akan memporak perandakan keluarga.

Upah penyiasat dalam talian

Satu lagi cara yang mudah, murah dan cepat untuk mengesan pasangan yang menipu dalam talian ialah dengan mengupah 'penyiasat dalam talian'. Caranya ialah dengan hantarkan alamat emel pasangan anda kepada penyiasat tersebut secara pendaftaran dalam talian.

Penyiasat tersebut akan memberikan anda senarai perkhidmatan janji temu dalam talian (online dating service) yang telah didaftarkan menerusi emel pasangan anda tadi. Jadi, anda akan tahu laman sosial manakah yang sering dikunjungi pasangan di belakang anda.

Dengan penyiasat ini, anda bukan saja boleh mengesan laman web sosial yang sering dikunjunginya malah anda juga boleh tahu siapa yang sering dihubungi pasangan dan berapa seriusnya perhubungan mereka.

Jika anda mendapati pasangan anda terlibat dalam satu hubungan yang di luar sangkaan seperti meminati kaum sejenis atau aktiviti seksual luar biasa yang bercanggah dengan pegangan moral, jangan terus melenting. Itu lebih baik kerana anda mengetahui sendiri sisi gelap pasangan anda yang tidak didedahkan selama berpasangan dengannya. Memang rahsia si dia akan terbongkar dan fikirlah ada hikmah di sebalik semua ini. Dan bila anda sudah bersedia untuk menangkap pasangan anda, terdapat banyak perkhidmatan penyiasat profesional dalam talian yang boleh diupah.

Namun sebelum mengambil keputusan mengupah penyiasat, ada beberapa perkara yang perlu diawasi, jangan sampai pasangan sedar anda sedang mengupah penyiasat tersebut. Cari di Google dan periksa sama ada penyiasat tersebut telah mempunyai reputasi baik dalam penyiasatan dalam talian oleh rakan-rakannya.

Tidak semua penyiasat layak untuk melakukan penyiasatan untuk anda jadi anda juga perlu berhati-hati sebelum mengupah!




Sumber : Utusan

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails