Assalamualaikum warahmatullah,
Saya sedikit terlambat mengulas kes tragik, penderaan hingga mati adik Syafia Humairah. Ini serba sedikit rumusan yang sempat saya kumpulkan daripada pelbagai sumber. Semoga ia menjadi iktibar setiap kita yang masih bernyawa. Sayangilah keluarga kita, sementara mereka masih bernyawa. Jangan tunggu hingga terhantuk, baru kita hendak tergadah.
Pada ketika ini, kita membaca di dalam akhbar dan melihat di TV tentang berbagai masalah masyarakat. Awal tahun ini, kita dikejutkan dengan pembunuhan sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan. Belum pun reda dengan kisah pembunuhan ini, kita dikejutkan lagi dengan kisah bayi lelaki yang dijumpai mati terbakar dalam tong sampah dengan kakinya tercerai dari badan. Saban hari ada saja berita perempuan yang dirogol dan setelah itu dibunuh, ada datuk sendiri yang merogol cucunya, ada kanak-kanak diculik, ustaz meliwat murid, ustaz gatal meraba pelajar perempuan, ada pula kawan-kawan sekolah yang membuli, memukul dan membunuh sesama sendiri dan tidak kurang pula kisah samun, rompak dan bunuh. Kes gadis lari dari rumah, rempit, bohsia, pelacuran dan penyalahgunaan gam dan dadah semakin meningkat hari demi hari.
Beberapa hari lepas, satu lagi kes menggemparkan masyarakat berlaku lagi. Kali ini, anak kecil, Syafia Humairah berusia 3 tahun mati akibat didera. Kesnya lebih kurang sama dengan kes yang pernah berlaku satu masa dulu, mangsa deraan Balasundram, cuma Balasundram ketika itu berusia 2 tahun. Kejadian sadis ini juga mengingatkan kita kepada satu lagi kes penderaan yang hampir sama menimpa seorang lagi budak perempuan, juga berusia tiga tahun, kira-kira lima bulan lepas. Pada Oktober lalu, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, mati akibat didera teruk oleh teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan di sebuah kondominium di Cheras. Mayat Aaliyah Aiman ditemui terbaring di rumahnya dengan cedera teruk di kepala dan badan oleh ibunya ketika pulang kerja pada 12 Oktober, yang kemudian membuat laporan polis kononnya kanak-kanak itu didera pembantu rumah. Bagaimanapun, siasatan polis mendapati rumah itu memang tiada pembantu rumah. Seminggu selepas itu, ibu mangsa dan teman lelakinya ditahan polis untuk siasatan. Warga Sudan itu kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.
Pernah atau tidak kita renungkan apa sebab semua ini terjadi? Pernahkah kita terfikir bahawa masalah ini wujud kerana manusia telah kehilangan nilai atau maruah dirinya sebagai manusia? Manusia adalah ciptaan Allah SWT sebagai makhluk yang tertinggi sekali yang diberi kemampuan berfikir apabila dewasa (akil baligh) dan dengan ini boleh mengatasi apa jua masalah dengan menggunakan ilmu akal dan imannya.
Kebimbangan, enggan campur urusan jiran punca kes berleluasa
SESIAPA pun yang siuman dan mempunyai perasaan, pasti sebak jika pun tidak mengeluarkan air mata melihat gambar wajah comel Syafia Humairah Sahari, berusia tiga tahun, apabila berita mengenai kematiannya dipercayai akibat didera, terpampang di kaca televisyen dan dada akhbar sejak Jumaat lalu. Bedah siasat ke atas mayatnya, mendapati punca kematian Syafia Humairah ialah kerosakan teruk buah pinggangnya dan pendarahan pada kulit kepala dan otak. Selain itu, ada kesan lama, termasuk bekas dicucuh puntung rokok pada kakinya. Syafia Humairah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru pada senja Khamis lalu, ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan. Laporan televisyen dan akhbar memetik beberapa saksi sebagai berkata, kanak-kanak malang itu ditampar, dipijak pada perut dan disepak beberapa kali oleh suspek di padang bola di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, sebelum dia dibawa ke hospital. Hanya manusia berhati haiwan sanggup berbuat demikian kepada manusia lain.
Kejadian yang membawa kematian itu berlaku di padang bola kampung di depan ramai orang. Malangnya tidak ada yang menghalang suspek ketika memijak dan menendang kanak-kanak malang itu, seolah-olah mereka tiada rasa belas kasihan. Apakah sikap tidak peduli yang selama ini lebih dikaitkan dengan warga kota sudah turut menjangkiti masyarakat Melayu di desa? Memang pepatah Melayu ada mengatakan ‘jangan menjaga tepi kain orang’, tetapi ia bukan bermaksud sehingga membiarkan kekejaman dan pembunuhan berlaku di depan mata! Malah membantu mangsa penganiayaan seperti itu dituntut oleh agama.
Persoalannya :
- Mengapa kebajikan (jagaan) anak itu boleh berada di bawah teman lelaki ibunya? Sekiranya si ibu terpaksa bekerja, bukankan si anak patut diletakkan di bawah seliaan baby sitter, tabika dan sebagainya?
- Si ibu juga melahirkan rasa kesal berkawan dengan suspek yang membunuh anaknya, malangnya tidak menghiraukan keselamatan anak apabila mempercayai suspek untuk menjaga Syafia Humairah walaupun mengetahui teman lelakinya panas baran, kurang sopan dan kaki botol. Ke manakah perginya ‘kewarasan’ naluri seorang ibu?
- Mengapa suspek tidak dihalang oleh penduduk yang melihat kejadian padang bola itu?
- Datuknya mengaku yg cucu kelihatan takut bila melihat suspek. Bukankah itu satu petanda pelik? Datuknya juga ada menyebut terdapat kesan putung rokok di kaki mangsa. Ini juga tidak wajar dipandang ringan.
- Neneknya pula mengaku ada melihat kesan lebam pada paha mangsa, tetapi tidak menyangka yang suspek mendera cucunya. Jika ini diketahui, ‘Sudah lama saya report polis,” katanya dalam satu temubual di TV3. Adakah ini bermakna jika mangsa didera ibunya sendiri, nenek akan ‘buat-buat tak nampak’?
- Mengapa ibu mangsa boleh membiarkan mangsa didera selama ini (kesan api putung rokok, lebam lama)?
- Ke mana perginya datuk/nenek, bapa saudara, mak saudara (sebelah bapa) mangsa, yang sepatutnya mengambil-alih kebajikan waris mereka sepanjang ketiadaan wali utama (bapa mangsa)?
- Dilaporkan, bapa mangsa dipenjarakan (kes tidak boleh diikat jamin), ibu mangsa dan suspek dikatakan hidup seperti sepasang suami isteri. Mengapa datuk dan nenek serta masyarakat setempat membiarkan ibu mangsa bersekedudukan sedemikian lama?
Sekurang-kurangnya ada dua persamaan dalam kes Syafia Humairah dan Aaliyah Aiman, selain usia mereka tiga tahun. Pertama ialah mereka didera teman lelaki ibu masing-masing yang dipercayai tinggal bersama. Keduanya, penderaan ke atas mereka diketahui oleh jiran tetangga, tetapi ia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa sama ada kerana takut, tidak mahu mencampuri urusan orang lain atau memang kerana sikap tidak peduli. Si ibu, walaupun tahu anaknya didera mungkin tidak melaporkan perkara itu kerana malu, takut ditinggalkan atau kerana sayangkan teman lelakinya.
Sekiranya, jiran tetangga mempunyai sedikit sikap peduli dengan melaporkan syak wasangka mereka mengenai penderaan itu pada peringkat awal sama ada kepada keluarga mangsa atau kepada pihak berkuasa, mungkin Syafia Humairah dan Aaliyah Aiman tidak menjadi arwah. Begitu juga dengan beberapa kanak-kanak lain yang menjadi mangsa penderaan ibu bapa masing-masing sebelum ini. Malangnya jiran tetangga hanya memberitahu bahawa mereka mensyaki, mendengar atau melihat penderaan kanak-kanak apabila mangsa sudah meninggal dunia.
Hakikatnya, masalah penderaan kanak-kanak semakin membimbangkan, walaupun ada kempen dibuat dan talian khusus disediakan bagi orang ramai membuat laporan. Statistik terakhir Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan kes penderaan meningkat daripada 2,279 kes pada 2007 kepada 2,780 kes pada 2008. Pada empat bulan pertama tahun lalu, 819 kes dilaporkan atau purata tujuh kes sehari. Kes penderaan ibu bapa dan penjaga yang sepatutnya melindungi anak sendiri juga meningkat daripada 992 kes pada 2007 kepada 1,266 kes pada 2008.
Walaupun kementerian berkaitan sudah merangka Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang memberi tumpuan terhadap aspek perlindungan, advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan bagi kanak-kanak serta penyelidikan mengenai isu kanak-kanak, penderaan dan keganasan tidak mungkin dapat dibanteras tanpa kerjasama semua pihak khususnya masyarakat sendiri. Pada masa sama, agensi yang ketika ini dilihat aktif untuk menangani masalah maksiat seperti Rela dan penguat kuasa jabatan agama perlu turut diberi tanggungjawab menangani masalah ini. Jika selama ini mereka terlalu cepat bertindak jika ada laporan mengenai khalwat, keutamaan sama perlu diberi kepada laporan atau desas-desus mengenai penderaan kanak-kanak kerana ia juga adalah sebahagian daripada ‘amal makruf nahi mungkar’.
Tiada apa yang patut dikesalkan; nasi sudahpun basi. Jika si ibu, menangis keluar air mata berdarah sekalipun, kanak-kanak ini tidak akan kembali lagi. Kita yang masih berkesempatan membaca kisah ini patut mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku:
1) Allah menyelamatkan kanak-kanak ini dari sebuah keluarga yg bermasalah. Bayangkan, ayah kandungnya terlibat dalam kes pembunuhan, ibunya pula dipercayai menjalinkan hubungan haram. Ada kemungkinan kanak-kanak ini hidupnya tiada hala tuju atau moralnya juga hancur.
2) Allah memberi kita peringatan. Setiap perbuatan pasti ada balasannya, ‘what goes round comes around’. Jika tidak pada si pesalah, mungkin balasan Allah turun kepada anak dan keluarga untuk menyedarkan si pesalah. Ayah kandung kanak-kanak ini menghadapi tuduhan kes bunuh (tidak boleh diikat jamin). Sekarang, anaknya dibunuh oleh orang lain pula. Janji Allah pasti ada, cuma cepat atau lambat sahaja.
3) Allah membuka keaiban hubungan suami isteri yang telah retak, ikatan perkahwinan WAJIB dibubarkan sekiranya ia memberi mudharat kepada si suami dan isteri. Ibu mangsa dipercayai telah menjalinkan hubungan dengan suspek selama lebih empat tahun akibat tekanan mencari nafkah seorang diri.
4) Allah membuka mata ahli keluarga dan masyarakat, supaya kita lebih peka dengan aktiviti dan pergerakan keluarga, kaum kerabat, jiran dan sesiapa sahaja dalam lingkungan berdekatan/mengenali kita. Pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’ tidak relevan langsung dengan ajaran Islam! Rujuk entry Menghormati jiran tetangga.
Kesimpulan
Hakikatnya, tanggungjawab sosial semakin pupus. Sikap individualistik semakin menebal di kalangan kita. Suspek utama sudah pasti bersalah, juga ibu mangsa, datuk dan nenek, juga ‘spectators’ di padang bola. Masyarakat kampung itu juga tidak mungkin terlepas daripada disoal-siasat di mahkamah Allah nanti, kerana tidak ambil tahu perkara mungkar yang berlaku di persekitaran mereka sendiri.
Kita bukan sengaja mahu menuding jari, tetapi adakah alasan konkrit yang mereka tidak boleh dipersalahkan? Sedangkan menurut Imam Nawawi, jiran ialah mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dalam lingkungan jarak 40 buah rumah, samada dari kiri atau sebelah kanan, depan mahupun dari sebelah belakang. Menghormati hak jiran tetangga bukan semata-mata mencegah diri dari menyakiti hati jiran, bahkan hendaklah ia juga bersabar atas sebarang kelakuan yang tidak sopan yang telah dilakukan. Pun begitu, tidak bermakna kita perlu mendiamkan diri tanpa teguran terhadap perkara maksiat, di mana pula prinsip ‘amal maaruf nahi mungkar’? Jiran yang baik ialah mereka yang mengambil berat tentang jirannya, ketika sakit, kenyang atau ketika laparnya, gembira atau sedihnya. Rasulullah SAW telah memberi peringatan dengan sabdanya yang bermaksud, “Bukanlah dari kalangan orang yang beriman, apabila ia dalam keadaan kenyang, sedangkan jirannya dalam kelaparan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Hayatilah firman Allah SWT, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat mahupun yang jauh, rakan sejawat, orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membanggakan diri.” (Surah an-Nisaa' ayat 36)
Elok benar kita mulakan sikap ‘jaga tepi kain sendiri dan juga tepi kain orang lain’, sekurang-kurangnya, kita mulakan dulu dengan komuniti kita yang kecil iaitu keluarga, kaum kerabat dan jiran tetangga.
Renung-renungkan!
Sumber : BHarian, SIM dan tambahan sendiri
Capaian entry berkaitan :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...