“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Memaparkan catatan dengan label Pena Mufti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pena Mufti. Papar semua catatan

Selasa, November 18, 2008

PenaMufti: Tanda-tanda dunia kita mula terbalik

Ada beberapa perkara menarik berlaku dalam minggu ini. Kejadian itu semua bolehlah disenaraikan dalam tanda-tanda 'dunia sudah terbalik'. Antaranya demonstrasi bantahan terhadap fatwa pengharaman pengkid.

Saya kurang pasti adakah dalam dunia ini mana-mana agama yang mengizinkan penganutnya yang perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya sehingga 'fatwa' tersebut dianggap menjejaskan hak mana-mana agama? Apatah lagi jika hukum tersebut hanya ditujukan kepada umat Islam semata. Atau mungkin mereka merasakan bahawa hukum itu menjejaskan hak asasi manusia.

Saya pun hairan apakah termasuk dalam hak manusia untuk menukar jantina? Ya, pada kaca mata aliran liberal tanpa sempadan keagamaan atau keinsanan, mungkin itu satu hak. Atau ia dianggap hak asasi bagi manusia yang menggunakan nama Tuhan menghalalkan apa yang bercanggah dengan ciptaan Tuhan. Tetapi pada nilaian fitrah insani yang sejahtera perkara itu adalah satu pencemaran hak. Sama seperti jika ada kelompok yang menuntut hak untuk bertelanjang di jalanan atas alasan kebebasan. Hak yang seperti itu hanya mencemarkan hak orang lain yang akan terganggu dengan tindakan mereka dan merampas keselesaan ramai. Lebih daripada itu, ia terkeluar dari nilai insani yang normal. Maka pemerintah di mana-mana negara pun jika membenarkan satu hak dalam masalah seperti ini, akan mencemarkan hak pihak yang lain. Sudah pasti neraca dalam masalah ini adalah nilaian agama dan fitrah insani yang lurus. Jika dibenarkan wanita menjadi lelaki atau lelaki menjadi wanita, maka hak kaum lelaki atau wanita yang normal akan tercemar. Akan berlaku kekeliruan gender yang meluas dalam masyarakat. Lalu lelaki atau wanita normal sukar mencari pasangan yang sebenar. Akan berlaku kecurangan yang luar biasa apabila ada kelompok manusia yang mencari pasangan sesama jantina. Jika hal itu meluas, maka perkembangan masyarakat manusia juga akan tercemar disebabkan tidak mungkin 'hubungan seks' sesama jenis boleh melahirkan zuriat. Maka atas nama hak, apakah nanti kita mesti mengwujudkan tandas 'pengkid' atau 'tandas saudarai'. Atau apakah pengkid boleh masuk ke tandas lelaki, atau 'saudarai' boleh ke tandas perempuan? Dunia akan terbalik nanti dan banyak kekalutan akan berlaku. Maka, tidak hairanlah jika Islam mengharamkan hal ini seperti hadis Ibn 'Abbas yang saya sebutkan pada minggu lepas Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki (Riwayat al-Bukhari).

Cumanya, seperti yang saya nyatakan bahawa isu lelaki menyerupai perempuan tidak memerlukan sidang fatwa khas untuk mengeluarkan hukum mengenainya. Hukum yang seperti ini diketahui oleh sesiapa sahaja yang mempunyai walaupun sedikit asas pengetahuan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan, yang agak peliknya, dalam fatwa yang dikeluarkan itu ditegaskan tentang haramnya wanita menyerupai lelaki, sedangkan fenomena yang bertebaran kelihatan di sana-sini adalah lelaki yang menyerupai perempuan. Sama ada pada gaya bahasa, gaya berjalan, atau lebih-lebih lagi 'nafsu bercinta'. Wanita tiruan ini kelihatan dan kedengaran bukan sahaja di jalanan, tetapi juga di media massa; radio, televisyen dan akhbar. Mereka kelihatan mendapat lesen yang besar tanpa dipertikaikan oleh sesiapa. Tiba-tiba muncul fatwa yang menegaskan tentang 'haram pengkid' dan tidak pula menonjolkan tentang haram lelaki cuba menjadi wanita. Perkara-perkara yang seperti inilah yang menjadikan manusia bersalah sangka lalu menganggap sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh 'insan-insan berjawatan' itu mengambil kira soal kedudukan dan 'keselesaan kerusi' masing-masing. Ini semacam fatwa yang mengharamkan kanak-kanak bermain mercun kerana dikatakan membazir, tetapi dalam masa yang sama tidak pula mengharamkan mercun yang ratusan ribu ringgit yang dimainkan dalam berbagai-bagai keramaian atau tidak pula mengeluarkan fatwa mengharamkan pembaziran yang berlaku dalam pengurusan wang rakyat. Ini pun menunjukkan dunia kita memang nak terbalik..

Dalam celahan cerita wanita yang ingin menjadi lelaki, timbul pula kes kezaliman terhadap wanita di Kedah. Bagaimana seorang wanita mendakwa dirinya yang dizalimi oleh kecuaian Pejabat Agama. Artikel penuh di wanita-bersuami-dua-diarah-berpisah. Dalam tempoh lapan tahun pihak Jabatan Agama tidak memberikan kepadanya surat cerai, tiba-tiba apabila beliau berkahwin dengan lelaki lain datang perintah mahkamah yang menyatakan perkahwinannya dengan suami yang kedua itu tidak sah dan dianggap 'bersuami dua'. Ketika beliau berulang-alik ke Pejabat Agama meminta surat pengesahan cerai, mereka gagal memberikan kepadanya. Malangnya, apabila beliau berkahwin dengan suami yang kedua dan mempunyai dua anak, datang pula surat mahkamah syariah yang membatalkan perkahwinan dan menyuruhnya kembali kepada suami yang pertama. Hari ini beliau hidup penuh tekanan dan penderitaan jiwa. Jika benar dakwaan beliau, alangkah kejamnya pengurusan yang diberi nama agama ini. Dahulu saya pernah mencadangkan agar kita mengurus perkara-perkara halal dengan baik dan mudah serta membendung perkara- perkara haram agak menjadi rumit susah untuk mendapatkannya. Malangnya, hal ini tidak berlaku. Sehingga ada negeri yang memenjarakan sesiapa yang berkahwin di luar negerinya. Begitulah urusan perkahwinan disulitkan dengan berbagai-bagai 'karenah pengurusan' yang pelbagai. Sebahagiannya dijadikan bisnes dengan yuran yang menguntungkan. Lihat sahaja apakah sukatan dalam sesetengah kursus perkahwinan. Sementara kes talak tertangguh begitu banyak yang memakan masa bertahun-tahun. Ia menghalang wanita untuk berkahwin semula sedang tuntutan jiwa dan nafsu wujud apatah lagi bagi wanita muda. Mahkamah dengan mudah menangguhkan kes hanya kerana suami tidak datang walaupun sudah berkali-kali. Wanita-wanita yang dianiayai lelaki sebegini didera perasaan dan nafsu kelaminnya. Ini adalah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan terhadap wanita.

Kuasa

Malang sekali, kes-kes yang seperti ini tidak diselesaikan dengan kuasa hakim. Hakim sepatutnya boleh diberi kuasa fasakh yang lebih jelas dan tegas kepada suami zalim dan tidak bertanggungjawab. Keengganan hadir ke mahkamah tanpa alasan yang diterima boleh dianggap sebagai sebab untuk perkahwinan dibatalkan. Dukacita, pihak pengurusan agama ini jika ditegur ada yang melenting. Padahal bukan sedikit kaum wanita yang menunggu bertahun-tahun untuk kesnya diselesaikan. Ini semua boleh menjadi faktor terdorongnya gejala maksiat akibat runtunan nafsu yang tidak dapat diluruskan secara yang kononnya dianggap 'berdasarkan undang-undang syarak'. Di manakah keindahan syariat hendak dilihat jika dikendalikan seperti ini? Benarlah kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang selalu sayang ulangi: "Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya." (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Sebab itu saya pernah mencadangkan agar pihak berkuasa agama menumpukan kepada penyelesaian kes-kes yang seperti ini daripada menumpukan 'operasi mengintip' maksiat di dalam bilik-bilik hotel yang belum tentu ada. Selesaikanlah kes yang jelas wujud dari disibukkan diri dengan perkara yang tidak pasti. Namun dunia agaknya sudah terbalik..

Bercakap soal keadilan, ada yang bersungut dengan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis baru-baru ini yang memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibu bapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut; "Anak yang lahir kurang daripada enam bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami." Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Maksud fatwa ini adalah seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang daripada tempoh enam bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya. Sebabnya, di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di'bin'kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam erti kata lain anak tersebut dianggap 'anak luar nikah.'

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut sepanjang hayatnya. Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan hakikat sebenar kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka 'aib' yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. Atas keadaan tersebut maka, isu ini saya bincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis. Kita sedar, adanya perbezaan pendapat di kalangan sarjana fekah dalam hal ini. Namun, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai-bagai, maka keputusan tersebut dibuat. Antara dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi saw: "Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini disebutkan oleh Nabi saw apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara Sa'd bin Abi Waqqas dengan 'Abd bin Zam'ah. Sa'd membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya 'Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam'ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya. Namun 'Abd bin Zam'ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam'ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa'd mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya 'Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai 'Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa'd. Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam'ah dengan bersabda: "Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)." Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah saw memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi saw yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti pelbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; 'Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim". (lihat: islamonline.net). Namun, keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan. Dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Antara kebaikan fatwa ini; ia menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Juga menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan serta membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Ada yang kata; fatwa ini menggalakkan orang berzina. Saya kata tidak sama sekali; ia memberi orang bertaubat dan menyelamatkan maruah anak yang tidak berdosa. Yang menggalakkan maksiat adalah adegan-adegan panas dalam media, juga pengurusan yang menyusahkan kahwin dan talak.

Fikiran anda jangan terbalik!

Sumber: UtusanOnLine 16/11/2008

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Oktober 27, 2008

PenaMufti: Jangan bohong guna nama Rasulullah!

BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar. Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar atau ahli politik. Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir: "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka."

Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diada-adakan, sedangkan ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW. Banyak hadis rekaan ini dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga saya selalu menegur seorang ‘ustazah tv’ yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk hidangan penonton. Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti yang disangkakan. Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) dalam kitab sahihnya meletakkan satu pasal yang beliau namakan: Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) SAW, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, 1/210). Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah: Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya. Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta". Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj: Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya - disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang). Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut: Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya. Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari: Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid), lalu Yahya bin Ma‘in berkata: “Darah orang ini halal”. Ketika ditanya Ibn Hajar al-Haithami mengenai seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawabnya: “Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Adapun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak halal (berbuat demikian). Sesiapa yang melakukannya dita‘zirkan dengan keras. Inilah keadaan kebanyakkan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis, lalu mereka hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadis-hadis tersebut tanpa mengetahui asal-usulnya. Maka wajib ke atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib dari berbuat demikian”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322).

Mengapa bohong menggunakan nama Nabi SAW amat dilarang sekalipun dengan niat yang baik? Ada beberapa sebab yang dapat saya simpulkan. Antaranya, jika pendustaan menggunakan nama orang biasa diharamkan, apatah lagi menggunakan nama seorang rasul. Pendusta hadis palsu menyamakan rekaannya dengan wahyu, atau nilai kerasulan yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Pendustaan jenis ini juga menghilang kehebatan dan keaslian agama. Agama yang hilang keasliannya, tiada nilainya lagi. Ia menyebabkan Islam yang bersumberkan wahyu sama seperti agama rekaan yang bersumberkan pemikiran dan khayalan manusia. Ditambah lagi, pendustaan ini bererti penipuan terhadap pencinta Islam yang mungkin tertipu lalu mempercayai pendustaan itu. Mereka akan mengamalkan pendustaan itu dengan keyakinan ia tuntutan agama, padahal ia kepalsuan. Sedangkan mereka inginkan keaslian. Bahkan, pendustaan itu bererti pengkhianatan terhadap syariat yang diturunkan. Jika pendustaan itu mempunyai unsur-unsur jahat, maka ia jenayah yang menyebabkan manusia hilang keyakinan terhadap agama. Atau menyebabkan manusia mengamalkan agama dalam bentuk yang salah. Jika pendustaan itu menokok tambah unsur-unsur yang dianggap baik, pendustaan seakan menganggap agama yang diturunkan Allah belum lengkap, justeru memerlukan nas-nas tambahan dan rekaan.

Menghina

Dalam sejarah, bukan sedikit kesan buruk hadis palsu yang dipalitkan kepada Islam yang suci ini. Contohnya, hadis rekaan: “Ayam jantan putih adalah kawanku, ia juga kawan kepada kawan ku. Musuh ayam jantan putih adalah musuhku dan musuh kepada musuhku”.

Hadis palsu ini kelihatan sangat lekeh dan menghina Rasulullah. Tidak mungkin keluar dari mulut seorang nabi perkara yang sebegini. Mungkin ia direka oleh penggemar ayam jantan putih. Sebenarnya, semua hadis yang berkaitan dengan kelebihan ayam jantan putih adalah tidak benar sama sekali. (lihat: al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/422). Malangnya, dalam masyarakat kita ada kesan hadis palsu ini. Sesetengah kepercayaan dan bomoh mempercayai kelebihan ayam jantan putih untuk dibuat ubat dan seumpamanya.

Demikian juga pemalsuan hadis telah menjadikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah seakan bertentangan antara satu sama lain. Padahal yang bertentangan itu hadis yang palsu. Contohnya, hadis palsu “anak zina tidak akan masuk syurga”. Dahulu, ramai yang menganggap keji dan tiada peluang untuk kebaikan. Akibat daripada hadis-hadis palsu seperti yang dibaca oleh sesetengah pihak. Sehingga ada yang menyebut hadis palsu lain: Anak zina tujuh keturunan tidak akan masuk syurga. Sedangkan Allah menyebut dalam Surah al-Isra ayat 15 yang bermaksud: Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya petunjuk yang didapatinya itu hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Jelas, mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua ibu bapanya?! Ini mencemarkan penegasan al-Quran tentang keadilan Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain. Juga ia menyebabkan si anak zina kecewa dengan Nabi SAW.

Demikian saya amat dukacita apabila diberitahu ada penceramah kursus perkahwinan membaca hadis palsu kononnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu menyetubuhi isteri atau jariahnya, maka jangan dia melihat pada kemaluan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan buta.

Maka ‘demam’ pasangan yang ingin berkahwin mendengar hadis palsu ini. Sementara yang dah lama melihat kemaluan isterinya kehairanan kerana dia masih belum buta. Lalu mungkin disangkakan Nabi SAW memberitahu sesuatu yang tidak benar. Sebenarnya, pereka hadis palsu itu yang berbohong dan ustaz pembaca hadis palsu tersebut menyebar kebohongan. Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al- Mukminun ayat 1-6: (maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

Kebatilan

Mengulas hadis tadi, kata tokoh ilmuwan hadis, al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h: Penilaian yang betul akan menunjukkan kebatilan hadis ini. Ini kerana dari segi persetubuhan, pengharaman melihat faraj isteri bererti pengharaman kepada wasail (faktor-faktor ke arah persetubuhan). Jika Allah menghalalkan suami menyetubuhi isterinya, apakah logik untuk dia dilarang melihat kemaluan isterinya. Demi sesungguhnya tidak! Ini dibuktikan dengan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah, katanya: Aku dan Rasulullah pernah mandi bersama dari satu bekas air. Maka dia mendahuluiku sehingga aku kata: tinggalkan untukku! tinggalkan untukku!) Riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka. Jelas daripada hadis ini harus melihat kemaluan isteri. Ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban melalui Sulaiman bin Musa yang apabila ditanya mengenai suami yang melihat kemaluan isterinya, dia menjawab: “Aku pernah bertanya hal ini kepada ‘Ata. Kata ‘Ata: Aku pernah bertanya ‘Aisyah, lalu ‘Aisyah pun meriwayatkan hadis di atas” (Al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at,, 1/353).

Contoh lain kepalsuan yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam; hadis-hadis yang menyatakan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip Islam bahawa syurga dan neraka dinilai melalui amalan soleh. Ahli syurga adalah golongan yang beriman dan soleh. Sementara dimasukkan ke dalam neraka ahli maksiat walau apa nama dan panggilannya. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah: “Ini bercanggahan dengan apa yang diketahui dari agama Nabi SAW iaitu; bahawa neraka tidak dapat dielakkan darinya dengan nama dan gelaran. Sebaliknya, yang menyelamatkan dari neraka ialah iman dan amalan soleh”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al- Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 57). Namun, ada mempercayai bahawa nama yang baik sahaja boleh masuk syurga. Saya pernah mendengar penceramah agama yang menyatakan siapa nama ‘Ghazali’ mudah masuk syurga sebab sama dengan nama ulama. Inilah satu daripada salah faham terhadap agama.

Hari palsu juga mewujudkan khurafat yang pelbagai. Dulu ada orang Melayu yang menganggap Hari Rabu akhir bulan adalah hari mudah ditimpa nahas. Ini semua disebabkan hadis palsu yang menyebut hari Rabu terakhir bagi setiap bulan adalah hari nahas yang berterusan. Ini adalah hadis palsu. (Lihat: al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at, 4/88.) Menjadikan sesiapa yang percayanya ketakutan tanpa sebab dan memandulkan urusan kehidupan. Bahkan isi kepalsuan ini menyanggahi realiti yang kita saksikan. Betapa banyak hari Rabu akhir bulan datang dan pergi sedangkan kedatangan musibah tidak pernah memilih hari. Ia adalah ketentuan Allah SWT semata. Malang sekali apabila ada penceramah motivasi yang membaca hadis ini sebagai tips-tips penting dalam mengatur hidup, kononnya elakkan hari Rabu terakhir dalam bulan Islam bimbang nanti ditimpa nahas.

Hadis-hadis palsu telah merosakkan imej Islam. Namun ramai yang belajar agama tidak mempelajari ilmu hadis atau merujuk kepada ulama hadis telah tersasul dengan membaca hadis-hadis palsu ini. Sehingga dalam laman web pihak yang berlogokan kemajuan Islam pun dimasukkan hadis palsu. Agama menjadi keliru disebabkan hadis-hadis yang seperti ini. Maka kita sepatutnya selalu mengingati amaran Nabi SAW kepada para sahabah baginda: Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).

Sumber: UtusanMalaysia 26/10/2008

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails