“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Memaparkan catatan dengan label Relationship. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Relationship. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 16, 2012

Kawal lidah elak dedah keaiban


ISLAM amat memberi perhatian terhadap hak kehormatan dan maruah seseorang manusia di dalam kehidupannya. Islam menganggap persoalan maruah adalah salah satu daripada lima perkara asas kehidupan, selain agama, nyawa, harta dan keturunan yang wajib dipelihara setiap Muslim bagi menjamin kesejahteraan hidup.

Sehubungan itu, Allah mengharamkan segala perkara sama ada melalui perkataan mahu pun perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain. Dalam pergaulan seharian, kita sering mendengar cerita dan kisah daripada sahabat handai mengenai diri dan juga orang lain.

Secara sedar atau tidak, sebenarnya cerita dan kisah itu akan menjadi satu amanah buat kita semua. Oleh kerana ia dianggap sebagai satu amanah, ini bermakna ia akan menjadi satu rahsia yang wajib dijaga. Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang itu menceritakan sesuatu perkara kemudian dia berpaling, maka cerita itu menjadi satu amanah. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Setiap cerita dan kisah yang sampai kepada kita pada dasarnya ialah satu amanah tanpa mengambil kira sama ada ia benar atau salah. Kedua-duanya mesti dirahsiakan, iaitu dalam erti kata jangan sama sekali didedahkan kepada orang lain yang tidak berhak mengetahuinya. Apatah lagi jika cerita dan kisah itu berkaitan dengan perkara negatif.

Jika cerita dan kisah itu benar, bererti ia satu keaiban yang sudah tentu akan menimbulkan sesuatu yang memalukannya apabila ada orang lain yang mengetahuinya. Oleh sebab itulah, kita diperintahkan Allah SWT supaya tidak mendedahkan keaiban orang lain kepada umum.

Namun, apa yang berlaku mutakhir ini ialah pendedahan terbuka mengenai jenayah sememangnya mempunyai tujuan yang murni iaitu untuk memberi pengajaran kepada orang lain pada dasarnya elok, tetapi ia tidak harus dibuat secara keterlaluan sehingga mendedahkan perkara yang sangat peribadi.

Hal ini kerana walau pun ia adalah perkara yang benar, namun ia masih dianggap khianat apabila menceritakan sesuatu yang tidak seharusnya diceritakan kepada orang lain, apa lagi jika ia adalah cerita yang tidak benar.

Setiap Muslim sewajarnya menghindari dirinya daripada terjebak dengan kesalahan yang berpunca daripada lidah. Adalah lebih baik jika seseorang Muslim memilih sikap berdiam diri daripada melafazkan kata dusta yang hanya mengundang kemurkaan Ilahi.

Inilah saja cara untuk Muslim menjaga rahsia berkenaan, manakala orang yang tidak pandai menjaga rahsia, pada hakikatnya terhimpun padanya tiga tanda kemunafikan dalam dirinya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu tiga, iaitu jika dia berbicara dia berbohong, jika dia berjanji dia memungkiri janjinya, dan jika diberikan amanah, dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Islam mengajar umatnya supaya menghiaskan diri dengan sifat hormat-menghormati sesama manusia di muka bumi ini, terutama berhubung hak kemanusiaan, apatah lagi jika orang dimaksudkan meninggal dunia.

Oleh kerana keluarga mereka masih ada di dunia ini, maka amat wajarlah semua pihak menghormati dan menjaga perasaan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut seseorang dengan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak ada padanya dengan tujuan hendak mengaibkan orang itu, Allah akan menahannya dalam api neraka sehingga dia datang membuktikan adanya perkara yang dikatakannya itu.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Perlu ditegaskan bahawa pendedahan bersifat lebih terbuka seperti ini dikhuatiri memberi kesan negatif kepada kanak-kanak atau remaja yang sedang membesar dan sedang memahami makna kehidupan sebenar di samping mereka mempunyai sifat ingin tahu terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Pada hal sepatutnya perkara yang perlu didedahkan kepada umum bukanlah perincian peristiwa berkenaan, tetapi bentuk hukuman yang bakal dikenakan kepada perogol atau pembunuh yang terbabit. Sekiranya penekanan terhadap hukuman itu yang diperbesarkan, barulah memberi kesan kepada orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.

Kesimpulannya, semua pihak bermula daripada orang perseorangan hingga kepada pihak berwajib sewajarnya menginsafi tanggungjawab masing-masing untuk sama memakmurkan bumi Allah ini. Hak kehormatan dan maruah orang lain hendaklah dijaga tidak kira sama ada seorang Muslim atau bukan Muslim, semuanya dilindungi oleh syarak. Islam diutuskan untuk menebarkan roh kedamaian dan kesejahteraan sesama umat manusia sejagat.




Sumber : BHarian 08/03/2012

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Mac 04, 2012

6 panduan buat suami isteri muda



Ketika ini rata-rata pasangan melangsungkan perkahwinan pada usia pertengahan 20-an. Selalunya bila usia mencecah 25 atau 26 tahun selepas tamat pengajian atau sudah memiliki kerjaya yang stabil.

Jarang muda-mudi yang berusia awal dari itu mahu melangsungkan perkahwinan. Kalau ada pun ramai ibu bapa yang akan membantah dan meminta mereka berfikir seribu kali sebelum bernikah. Malah tak kurang juga dikatakan ‘sudah gatal’ hendak berkahwin.

Tak bolehkah berkahwin pada usia muda jika keinginan dan persediaannya sudah mencukupi? Perlukah menunggu tiga atau empat tahun lagi sebelum melaksanakan hasrat itu? Sebenarnya individu yang masih muda juga boleh menggalas tanggungjawab sebagai suami mahupun isteri. Bagi pasangan muda yang berada dalam dilema ini, ikuti beberapa perkara mengenai perkahwinan di usia muda yang boleh anda jadikan panduan.

1. Berupaya galas tanggungjawab

Berkahwin di usia muda mencipta tanggungjawab yang lebih besar buat suami. Apa tidaknya, mereka perlu menyara anak orang dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa serta makan pakai yang mencukupi.

Sebab itulah suami wajib mempunyai kerjaya atau pendapatan tetap bagi menyediakan semua yang diperlukan. Inilah perkara paling utama dan perlu diberi perhatian. Namun, sekiranya suami bekerja sendiri maka dia harus pastikan bahawa pendapatan hasil dari perniagaan yang dijalankan stabil untuk tempoh beberapa bulan. Barulah semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan.

2. Periksa status kewangan

Sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin, periksa dahulu status kewangan anda. Adakah mempunyai simpanan wang yang tetap untuk masa satu tempoh yang panjang atau sekadar cukup-cukup makan sahaja.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, pasangan yang ingin berumah tangga perlu memiliki sekurang-kurangnya tiga bulan simpanan wang perbelanjaan harian dalam mana-mana akaun simpanan harian. Seandainya syarat tersebut dipenuhi maka tidak salah untuk kalian membina mahligai bahagia yang diidamkan selama ini.

3. Matang membuat keputusan

Salah satu elemen penting yang perlu ada dalam diri pasangan muda ialah berfikiran matang. Ingat, perkahwinan bukanlah mainan atau bahan uji kaji untuk mengukur sebuah kebahagiaan. Suami terutamanya perlu miliki sikap kepimpinan dan bijak membuat keputusan. Oleh itu mereka perlu berfikiran lebih matang dari usia sebenar agar bahtera yang dilayari tidak jauh terpesong dari arah yang sepatutnya.

Ini kerana, kehidupan rumah tangga mempunyai banyak cabaran dan dugaannya. Susah untuk di ramal apa yang akan berlaku di hari mendatang. Jadi sentiasalah berfikiran jauh sebelum memutuskan sesuatu perkara.

4. Dapatkan restu orang tua

Kata orang, restu ibu bapa sangat penting untuk mencapai sebuah kebahagiaan. Tak kiralah hidup sendiri atau berkeluarga, redha mereka memberikan lebih tenaga dan semangat untuk mencipta sesuatu yang lebih bermakna. Tidak dinafikan, ada segelintir ibu bapa yang menentang keras apabila anaknya ingin berumah tangga tetapi bila keperluan kewangan, tanggungjawab dan bijak membuat keputusan ini dipenuhi nescaya mereka akan merelakan hubungan tersebut sepenuh hati.

5. Tolak ansur kunci bahagia

Dalam rumah tangga, sikap saling memahami dan bertolak ansur adalah satu dari berpuluh rencah mencapai kebahagiaan. Hidup bersendiri tidak perlu memikirkan orang lain tetapi bila berdua sedarlah bahawa ada hati yang perlu dijaga. Kawal kemarahan dan janganlah cepat melatah bila ada silap dan salah.

6. Sentiasa berfikiran positif pada pasangan

Amalkan sentiasa berprasangka baik terhadap pasangan setelah mendirikan perkahwinan. Cemburu boleh tetapi kata orang biarlah berpada. Bukankah itu tandanya sayang? Jadi, apabila ada permasalahan atau curiga tentang sikapnya maka berbincanglah secara baik. Maklum sahajalah, risiko untuk cemburu buta itu tinggi kerana masing-masing masih muda, perjalanan pun jauh lagi. Sebaiknya, dapatkan nasihat dari individu yang lebih berpengalaman untuk tunjuk ajar yang lebih berkesan.




Sumber : MW#1468

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Mac 02, 2012

Jangan biar pasangan kesunyian


Adalah sangat berbahaya membiarkan pasangan kita berasa sunyi. – Gambar hiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alam rumahtangga seharusnya menjadi impian setiap pasangan di dunia ini yang menginginkan hidup bersama pasangan yang dicintai hingga akhir hayatnya. Namun apabila usia perkahwinan semakin lama adakalanya hubungan juga semakin renggang, perasaan cinta dan sayang juga semakin pudar dan semakin kurang ‘magis’nya.

Malah ada ketikanya sudah tidak sama seperti waktu awal-awal perkahwinan dulu. Maklumlah anak-anak sudah besar dan cucu juga semakin ramai. Ada yang bersikap tidak kisah atau ambil mudah terhadap pasangan mereka. Hidup bersama bertahun-tahun membuatkan mereka merasakan sudah cukup memahami pasangan, lantas mereka mula bersikap ambil mudah terhadap pasangan.

Menurut Penolong Pengarah Kaunseling Kolej Matrikulasi Selangor, Zuaiza Paiman, sebenarnya itu satu kesilapan yang sering dilakukan oleh pasangan yang telah lama berkahwin. Jadi tidak hairan jika ada rumahtangga yang runtuh walaupun sudah berusia berpuluh tahun. Tegas beliau, biarpun sudah lama berkahwin, sebagai manusia normal naluri untuk disayang tetap wujud.

“Biarpun sudah lama mengharungi kehidupan bersama, perasaan cinta dan kasih sayang harus dibajai, jangan sesekali meminggirkan insan yang paling mengharapkan belaian dan perhatian,” tegasnya bersungguh. Tambah beliau, biarpun masing-masing sudah ‘masak’ dengan kerenah sendiri, namun jangan membiarkan pasangan berasa kesunyian. Adalah sangat berbahaya membiarkan pasangan kita berasa sunyi, oleh itu anggap pasangan kita sebagai orang yang paling penting,” katanya. Menurutnya lagi, bermula dengan kesunyian akan menjadikan seseorang itu cuba mencari keseronokan yang lain.

“Oleh itu adalah tanggungjawab kita untuk memberikan perhatian kepada pasangan sendiri. Biarpun sibuk sentiasa beri perhatian setiap perkara yang diingini. Bagi isteri menjadi surirumah ada waktunya mereka tidak menang tangan dalam menguruskan hal anak-anak dan antara mereka terlepas pandang dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap suami. Bagi isteri yang bekerjaya pula, jangan mengharapkan sangat segala urusan suami disediakan oleh pembantu,” ujarnya lagi.

Dalam perhubungan, komunikasi adalah perkara yang penting.

“Ini kunci utama. Komunikasi adalah sesuatu yang penting, tanpa komunikasi kita tidak tahu apa yang tersirat di hati masing-masing,” ujarnya lagi. Katanya lagi, dalam keadaan sedemikian biasanya pasangan akan saling memendam, akhirnya apabila meledak, keadaan tidak dapat dipulihkan lagi.

“Oleh itu, jangan pendamkan apa yang terbuku sebaliknya berkongsi cerita dengan pasangan kita. Biarpun sudah lama melayari bahtera perkahwinan, namun kuasa sentuhan mampu mengembalikan kehangatan dalam hubungan suami isteri. Siapa kata orang tua tidak inginkan belaian dan sentuhan. Kadangkala sentuhan juga sudah cukup untuk menyampaikan segala yang terpendam,” katanya.




Sumber : UM 15/06/2010

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Mac 01, 2012

Tips mengenali lelaki panas baran



Panas baran! Banyak rumah tangga runtuh kerana sikap yang satu ini. Ia sering kali dikaitkan dengan lelaki kerana mereka dikatakan tidak mampu menahan sabar dengan setiap ujian.

Namun bagaimana mahu mengenali lelaki sebegini kerana anda mungkin tak dapat menilainya dari wajah. Lelaki panas baran boleh saja berwajah manis berbeza dengan sikap sebenarnya. MW kali ini memberikan tips mengenali lelaki panas baran ini untuk anda.

1. Biarkan dia menunggu

Sebenarnya untuk membezakan lelaki itu panas baran atau tidak adalah tergantung kepada raut wajah serta sikapnya. Perhatikan perkara ini. Anda keluar bersamanya tetapi terlewat tiba. Marahnya berapi-api seolah-olah perbuatan anda itu adalah satu kesalahan besar.

Jika begini karakter lelaki, dia sebenarnya seorang yang panas baran kerana tidak sanggup menunggu pada satu kejadian kecil dalam hidupnya. Kalau lelaki yang panas baran, dia tentu akan menghamburkan kata-kata menyakitkan hati dan oleh itu, anda harus berhati-hati dengan lelaki begini.

2. Minta dia mengajar sesuatu

Dalam mencari erti kesabaran, cuba perhatikan perkara ini juga. Mintalah dia mengajar anda sesuatu. Kalau kata-katanya agak pedas dan panas di telinga anda, itu tandanya dia seorang yang panas baran dan agak sukar berunding. Lelaki yang penyabar akan mengajar anda sehingga pandai tetapi lelaki panas baran akan mudah melenting bila anda tidak berjaya mengikut apa yang dia inginkan.

3. Lihat caranya melayan anak kecil

Umum mengetahui kanak-kanak banyak kerenah. Oleh itu sewaktu bersamanya, bawa sekali anak saudara anda yang masih kecil. Tinggalkan mereka dan lihat cara mereka menanganinya.

4. Cemburu atau tidak

Percaya atau tidak, lelaki yang panas baran biasanya seorang lelaki yang kuat cemburunya. Ada kalanya perbuatan cemburunya itu nampak mengarut tambah-tambah lagi cemburu pada hal yang remeh.

Justeru itu sebelum membuat pilihan, kajilah semua sikap lelaki agar anda tidak menyesal di kemudian hari. Baran berkaitan dengan sikap dan semestinya sikap boleh diubah. Sebagai lelaki andalah khalifah kepada pasangan, justeru itu tunjuklah moral yang baik kepada pasangan.




Tips dipetik dari MW#1475

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Februari 11, 2012

Kahwin usia muda


Kerja atau bina istana mana lebih utama?

LEBIH empat tahun Razali dan Sofea menyulam cinta, ketika sama-sama menuntut di universiti. Usai pengajian, masing-masing riang menggenggam segulung ijazah. Bagaimanapun Razali jadi buntu bila dua persoalan bermain dalam fikirannya.

“Terus berkahwin sebab semua rakan sekuliah nak mewujudkan kembali trend berkeluarga muda? Atau kerja dulu sebelum kahwin? Kalau lambat masuk meminang Sofea dikebas orang pulak? Aduh melepas pula nanti. Macam mana ye?,” gerutu Razali dalam hati.

Razali tidak bersendirian menghadapi situasi ini. Ramai lagi orang muda di luar sana, berhadapan persoalan sama. Antara berkahwin terus selepas tamat pengajian atau bekerja dulu. Masing-masing punyai alasan tersendiri sama ada terus berkahwin selepas tamat pengajian atau memilih untuk bekerja dulu sebelum membina keluarga bahagian impian hati. Bagaimana dengan anda?

PAKAR Motivasi, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata antara bekerja dan berkeluarga, kedua-dua perkara itu amat mustahak dalam kehidupan manusia.

Bagaimanapun, sekiranya berbicara aspek sosiologi dan senario hari ini, individu tidak boleh menafikan asas utama kepada keharmonian rumah tangga dan pasangan hari ini ialah tidak lagi boleh berpegang secara total terhadap perasaan cinta dan kasih sayang yang menentukan kebahagiaan rumah tangga.

“Senario semasa mahu setiap individu mantap dari segi ekonomi terutama memiliki pekerjaan. Kerja tetap kurang risiko diberhentikan berbanding tiada kerja tetap. Mantap ekonomi bukan bererti ada berpuluh ribu dalam akaun, sebaliknya bergantung kepada siapa, di mana dan bila,” katanya.

Siapa - ia bergantung kepada latar belakang individu. Sekiranya memiliki pendidikan rendah dan gaji rendah, pilihan sewajarnya haruslah daripada kelompok yang sama juga. Kalau pasangan dipilih daripada anak orang berada, ia boleh menjadi satu bebanan kerana selalunya akan timbul konflik.

Di mana - membabitkan lokasi anda tinggal? Kalau di ibu kota, secara automatik perbelanjaan menjadi tinggi. Sekiranya gaji sekadar ‘cukup makan’ untuk seorang, lebih baik ditangguhkan dulu hasrat berkahwin kerana ia boleh menimbulkan masalah kemudian hari.

Bila - pada tahun 1980-an, amat terhad kemudahan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) termasuk telefon dan pelbagai gajet. Namun, era ini, ia bagaikan satu keperluan dan kemestian. Mahu atau tidak sesebuah keluarga itu mesti memilikinya.

Justeru, Dr Mohammad Shatar yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata kombinasi tiga perkara itu menjawab persoalan ‘kemantapan ekonomi’ individu untuk sama ada terus bergelar suami, isteri atau mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Diri sendiri saja yang tahu jawapannya dan arif mengenai kemampuan diri. Kalau berkahwin atas desakan orang lain atau mengikut trend atau takut kawan mengusik, maka ia hanya mengundang kepayahan diri sendiri,” katanya.

Menyentuh aspek sosiologi, Dr Mohammad Shatar menjelaskan tali pengukur kesesuaian usia berkahwin kepada lelaki dan wanita, masing-masing ialah 25 dan 23 tahun kerana pada usia berkenaan, kedua-dua golongan itu sudah mencapai tahap matang.

“Rasional angka itu, mengikut ahli psikologi, mendapati lelaki bawah usia 25 tahun lebih emosi dan tertarik kepada wanita atas faktor tarikan seksual, selain kurang bertanggungjawab atau memberi komitmen lebih serius. Jika perkahwinan terlalu awal, khususnya kepada lelaki, apabila berlaku masalah dalam rumah tangga suami akan merasa bosan. Bila matlamat berkahwin itu pun sudah tersasar, mulalah timbul pelbagai alasan termasuk ‘bermain kayu tiga’,” katanya.

Psikologi membuktikan tarikan antara lelaki dan wanita berlaku sejak individu masih muda. Ketika di sekolah rendah tarikan terhadap seseorang atas dasar rupa paras. Pada peringkat sekolah menengah pula tarikan kepada berlainan jantina menjurus kepada terikut dengan aliran.

Pada usia 25 tahun ke atas, barulah lelaki muda lebih mempunyai fokus, lantaran angka usia tidak boleh diketepikan dalam hal membabitkan perkahwinan. Beliau menyarankan pasangan muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga awal seharusnya membuat persediaan mental dan fizikal selain mesti ada pekerjaan.

“Selepas sekurang-kurangnya setahun pengalaman bekerja, barulah terfikir kahwin. Ini kerana dunia pekerjaan akan mendedahkan kepada pelbagai perkara termasuk pengurusan kewangan yang kelak boleh dipraktikkan dalam alam rumah tangga,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa golongan muda membuat simpanan sekurang-kurangnya RM5,000 pada setiap masa sebagai persediaan waktu kecemasan. Malah, cuba elakkan membuat pinjaman semata-mata untuk berkahwin, tetapi jika jalan buntu mungkin boleh namun jangan terlalu banyak.

“Kalau buat pinjaman hingga mengambil tempoh 20 tahun untuk dilangsaikan, bukankah ia beban? Lebih baik buat majlis ikut kemampuan,” katanya.

Membina rumah tangga seharusnya disertai dengan sikap tanggungjawab. Tanya pada diri ‘mengapa saya perlu berkahwin?’ dalam usia muda.

Dr Mohammad Shatar menegaskan jika remaja sudah bersedia segala-galanya pasti semuanya perancangan dalam kehidupan berumahtangga berjalan lancar tanpa sebarang kekalutan atau masalah.




Petikan : BHarian 04/02/2012

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Februari 09, 2012

Kenal dulu sebelum berkahwin

PASANGAN perlu saling mengenali sebelum melangkah ke alam perkahwinan.- Gambar hiasan


PERKAHWINAN diatur ibu bapa? Adakah lagi berlaku dalam zaman canggih sekarang ini? Percayalah! Memang ada. Hakikatnya, perkahwinan masih sama sejak dahulu hingga kini iaitu menyatukan seorang lelaki dan seorang perempuan bagi membentuk sebuah ikatan atas nama kasih sayang serta amanah dan tanggungjawab.

Seperti maksud firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum Ayat 21: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Persoalannya, bolehkah wujud situasi ‘bersenang hati dan hidup mesra’ jika perkahwinan yang dibina itu diatur oleh ibu bapa?

Jawapannya: Ya, dengan dua syarat utama iaitu kedua-dua lelaki dan perempuan bakal pasangan suami isteri perlu saling mengenali terlebih dahulu dan kedua-dua lelaki dan perempuan bakal pasangan suami isteri itu bersetuju dengan perkahwinan yang diatur tersebut.

Perlu saling mengenali

Rasulullah SAW menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu Al-Mughirah bin Syu’bah.

Al-Mughirah memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Hadis riwayat al-Tirmizi.)

Hadis ini jelas membuktikan perlunya seseorang itu mengenali bakal pasangannya, lelaki mengenali bakal isteri dan sebaliknya. Ia penting kerana perkahwinan bukanlah perkara main-main sebaliknya melibatkan hidup masa depan yang perlu diharungi oleh mereka.

Tidak memadai jika hanya ibu bapa yang mengenali calon sebab bukan ibu bapa yang perlu hidup bersama bakal menantu pilihan. Ya, ibu bapa lebih dulu ‘makan garam’ tetapi bukan bererti ibu bapa sentiasa betul dan tepat dalam membuat pilihan.

Perlu bersetuju

Bakal pengantin tidak kira lelaki atau perempuan perlu bersetuju dengan perkahwinan yang diatur tersebut. Setuju sepenuh hati dan bukan rela dalam terpaksa.

Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Jangan mengahwinkan seorang perempuan janda sehinggalah diminta persetujuan dan mengadakan perbincangan serta jangan mengahwinkan seorang gadis sehinggalah diminta persetujuannya.

“Para sahabat bertanya: Bagaimana hendak mengetahui persetujuan seorang gadis? Baginda menjawab: Dia diam.”

Perlu difahami bahawa menyintai dan dicintai adalah dua perkara berbeza. Cinta tidak boleh dipaksa tetapi boleh dipupuk dan dibajai andai masing-masing bersedia untuk menerima bakal teman hidup mereka. Jika tiada penerimaan, paksaan akan hanya memudaratkan perkahwinan dan hidup masa depan kedua-dua mereka.

Berdasarkan pengalaman Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie yang mengendalikan kes, perkahwinan diatur ibu bapa tanpa persetujuan anak-anak sama ada kedua-duanya atau salah seorang daripadanya, meninggalkan natijah yang amat besar – kelalaian dalam pelaksanaan tanggungjawab.

Ada suami yang tidak melaksanakan hak nafkah batin isteri malah ada kes isteri tidak melayan nafkah batin suami. Ada kes pasangan bertindak curang kerana masih tidak mampu melupakan kekasih hati.

Paling tragis apabila anak-anak ini berpura-pura bahagia di depan ibu bapa walau hakikatnya mereka langsung tidak pernah bertegur sapa. Lantas, bagaimanakah mungkin wujud mawaddah wa rahmah yang syariat tetapkan perlu ada dalam perkahwinan?

Cinta sebelum kahwin

Bagi ibu bapa yang mengatur perkahwinan anak-anak, mungkin mereka mempercayai cinta sebelum kahwin tidak wujud. Pendapat itu salah. Fahamilah sabda Rasulullah SAW: “Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah.)

Hadis ini jelas membuktikan perasaan kasih dan sayang itu boleh diambil kira bagi membina mahligai perkahwinan. Lebih penting, selaraskan cinta tersebut menepati kehendak syariat.

Ingat! Jika ibu malah bapa enggan membenarkan sesebuah perkahwinan tanpa alasan yang munasabah menurut syariat, syarak menentukan si anak gadis itu boleh dinikahkan menggunakan wali hakim. Ia bukti bahawa keputusan ibu bapa berkaitan perkahwinan bukan muktamad. Namun, sebaik-baiknya biarlah setiap individu yang terlibat sama-sama bersetuju dan sama-sama merestui.

Andai hubungan anda dan pasangan dihalang, jangan patah semangat dan jangan sesekali melawan kata-kata ibu bapa anda. Bantahan anda akan membuatkan mereka semakin membenci pilihan anda kerana merasakan pilihan anda itu telah mengubah sikap dan prinsip diri anda.

Kenalkan pilihan

Sebaliknya, diamkan diri dan usahakan untuk kenalkan pilihan anda kepada ibu bapa anda. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Andai sudah kenal tetapi masih tak cinta, bersabarlah! Percayalah, jika dia memang ditakdirkan untuk anda, dia pasti menjadi milik anda biar apapun halangannya.

Berdoalah: “Ya Allah, aku mencintai dia (sebut namanya) dan aku ingin menjadi teman hidupnya hingga ke akhir hayatku. Andai dia mampu menjadi pasangan yang baik untuk masa depanku, ibu bapaku dan agamaku, maka mudahkanlah urusan jodoh kami dan bukakanlah pintu hati ibu bapaku untuk menerimanya. Sebaliknya andai dia bukan yang terbaik, Kau bukakanlah pintu hatiku untuk menerima calon pilihan ibu bapaku dan bantulah aku untuk melupakan dia.”

Ingat! Perkahwinan bukan semata-mata kata sepakat membuktikan kasih sayang sebaliknya adalah permulaan peranan besar memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Cinta dan kasih sayang itu anugerah! Ia boleh wujud andai anda ikhlas terhadap seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka. (Surah Maryam, Ayat 96.)

Apa yang penting, anda perlu bersikap terbuka dan berlapang dada dengan setiap takdir-Nya.




Petikan : Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, November 05, 2011

Lelaki takut komitmen


Kajian mendapati wanita Malaysia berhati-hati memilih pasangan hidup

SETIAP insan ingin mencintai dan dicintai. Naluri lelaki atau wanita saling memerlukan antara satu sama lain dan memang lumrah manusia mahukan hubungan istimewa.

Bagaimanapun, sebelum memutuskan untuk menjalin hubungan serius, kedua-dua mempunyai matlamat tersendiri. Justeru masing-masing meletakkan syarat, ciri-ciri dan kriteria pasangan yang diinginkan supaya berpuas hati dengan apa yang dikehendaki apabila hubungan itu berterusan.

Senario hubungan cinta hari ini mendapati lelaki di Malaysia berfikiran lebih terbuka mengenai wanita, sebaliknya wanita pula masih terlalu memilih mencari pasangan, terutama mengimpikan kriteria teman lelaki yang mestilah lebih tinggi, berpelajaran serta mempunyai pendapatan lebih besar berbanding mereka.

Hal ini terbukti menerusi kajian yang dilakukan agensi janji temu terulung di Asia, Lunch Actually terhadap 654 responden di negara ini untuk tempoh beberapa bulan sejak Jun lalu.

Kajian meliputi 76.1% responden berusia antara 26 tahun sehingga 40 tahun dan 75.1% adalah lepasan ijazah sarjana muda. Kajian keseluruhan juga membabitkan 1,241 responden dari Hong Kong dan Singapura menerusi talian internet.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Lunch Actually, Violet Lim, berkata lelaki hari ini bersifat lebih terbuka dan mempertimbangkan pelbagai perkara untuk menjalin hubungan dengan wanita yang berpendidikan dan pendapatan lebih tinggi. Namun, keadaan berbeza, wanita pula dilihat kurang berminat menjalin hubungan dengan lelaki yang kurang berpendidikan dan bergaji rendah daripada mereka.

“Tinjauan juga mendapati 60% wanita Malaysia tidak berminat menjalin hubungan dengan lelaki yang berpendapatan kurang daripada mereka. Jumlah peratusan itu adalah tertinggi berbanding kajian wanita di Singapura, iaitu 47% manakala 37% di Hong Kong.

“Bagi lelaki tempatan, kira-kira 72% daripada mereka menjalin hubungan dengan wanita yang berpendapatan lebih tinggi daripada mereka manakala di Hong Kong (69%) dan Singapura (76%),” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan agensi laman web temu janji Lunch Actually, baru-baru ini.

Sementara itu, sejak zaman berzaman, rupa yang cantik adalah bonus kepada wanita untuk menarik perhatian lelaki. Bagaimanapun, wanita lebih tertarik kepada lelaki yang berkeyakinan dan berperwatakan menarik. Berdasarkan, kajian terhadap ketiga-tiga negara itu, mendapati lelaki dan wanita bujang perlu mempunyai penampilan menarik, khususnya bagi mereka yang ingin mencari cinta.

Hasil dapatan kajian mengenai fizikal pula di Malaysia, 70% wanita tempatan tidak akan menjalin hubungan dengan lelaki yang lebih rendah daripada mereka, manakala 55% lelaki Malaysia akan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi daripada mereka.

Dalam aspek menjalin hubungan dengan lelaki lebih muda pula, wanita Malaysia bagaimanapun bersifat lebih terbuka mengenainya. Kajian mendapati 44% menyatakan kesediaan mereka mengadakan temu janji dengan lelaki lebih muda daripada mereka.

Violet yang juga penulis buku jualan terlaris, Lessons from 15,000 First Dates, berkata wanita sangat menitik-beratkan aspek pendidikan. Kajian mendapati, wanita Malaysia enggan mengadakan hubungan dengan lelaki yang mempunyai tahap pendidikan rendah berbanding mereka, iaitu 48% dan sekaligus mencatat kedudukan teratas mengenainya, berbanding di Hong Kong (30%) dan Singapura (41%).

“Bagi mereka pendidikan memainkan peranan penting kerana boleh melambangkan pendapatan seseorang. Sehubungan itu, dalam temu janji pertama ada antara mereka yang akan mengambil perhatian terhadap perkara ini. Lantaran, ketika janji temu buat pertama kali, 79% wanita Malaysia menjangkakan lelaki akan belanja mereka makan di restoran manakala di Singapura (69%)dan Hong Kong (67%). Bagaimanapun, selepas hubungan diteruskan, hanya 30% daripada responden wanita Malaysia menjangkakan teman lelaki perlu terus membuat pembayaran terhadap janjitemu mereka sehingga hubungan terbentuk, sementara 32% lagi merasakan lelaki dan wanita seharusnya membuat pembayaran masing-masing untuk separuh daripada janji temu yang diadakan,” katanya.

Dari segi latar belakang agama pula, kajian mendapati lelaki dan wanita ketika ini lebih berfikiran terbuka untuk mengadakan temu janji dengan teman daripada kaum lain. Sebanyak 44% wanita dan 48% lelaki bersetuju untuk bertemu dengan teman berlainan kaum. Sementara itu, janji temu dengan individu warga negara lain sebanyak (72% lelaki dan 66% wanita tidak kisah mengenainya.

Sungguhpun perkahwinan dilihat sebagai perkara penting di kalangan sebahagian besar lelaki, namun ramai mengakui mereka takut kepada komitmen.

“Alasannya ialah mahukan kebebasan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak mahu bakal isteri memberi arahan mengenai kehidupan mereka. Kajian menunjukkan 38% daripada responden takut kepada komitmen manakala 29% pula menyatakan kegusaran mengenai situasi kewangan yang tidak kukuh selepas berkahwin.”

Bagaimanapun dalam hubungan ada pasang surutnya. Apabila menjalinkan hubungan intim, kedua-dua pihak mempunyai perasaan emosi yang kadangkala tidak boleh disorokkan apabila ia membabitkan hati dan perasaan.

Sebanyak 41.8% lelaki Malaysia didapati lebih selesa menitiskan air mata sendiri kerana ingin mempertahankan ego mereka. Bagaimanapun, 17.3% daripada mereka akan menitiskan air mata di hadapan teman wanita manakala rakan atau keluarga (2.8%).

“Kajian itu, turut tidak berkompromi apabila mendapati tiga daripada 10 lelaki Malaysia akan menamatkan hubungan dengan teman wanita jika tubuhnya berubah menjadi gemuk. Ini kerana mereka merasakan perubahan keadaan fizikal itu menunjukkan amalan kurang berdisiplin wanita terhadap penjagaan diri sendiri. Bagaimanapun, wanita lebih terbuka dan menerima keadaan lelaki seadanya walaupun lelaki mengalami perubahan pada penampilan diri. Wanita tidak mudah sesuka hati menamatkan hubungan dengan lelaki gemuk sekiranya mereka benar-benar menyayangi mereka,” katanya.

Sesetengah orang lebih selesa berkenalan dengan rakan kepada rakan. Namun, dunia semakin berbeza dengan kemudahan internet yang semakin berleluasa. Ini kerana kaedah mengadakan temu janji kini semakin canggih apabila menggunakan internet untuk mengadakan temu janji bagi mencari cinta.

Violet berkata, seramai 42.2% responden Malaysia (lelaki dan wanita) yang disoal selidik itu berkata, mereka pernah mencuba janji temu dalam talian.

INFO

Kajian mengenai lelaki dan komitmen terhadap pasangan terhadap lebih 20 lelaki di Malaysia menerusi Facebook.

1) Adakah anda mahu mencintai dan dicintai? Ya / Tidak
* 19 lelaki mengatakan mahu mencintai dan dicintai
* Seorang lelaki tidak mahu bercinta dan dicintai

2) Adakah anda takut/tidak mahu/mahu komitmen?
* 10 lelaki - mahu komitmen
* Dua lelaki - tidak mahu komitmen
* Lapan lelaki - takut komitmen

3) Apabila bertemu seseorang yang menepati kriteria, adakah anda mahu memberi komitmen? Ya / Tidak
* 20 bersetuju mahu beri komitmen
* Antara sebab kerana :
- Ingin menjadikan seseorang itu pasangan hidup jika menepati kriteria.
- Apabila berjumpa orang yang tepat, akan berusaha memastikan memberi komitmen
- Sudah mula rasa selesa dalam perhubungan.

4) Bilakah masa yang sesuai untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada pasangan anda?
* 15 lelaki berpendapat - lewat 20-an
* 5 lelaki berpendapat - awal 30-an

5) Apakah yang dikatakan bersedia dengan komitmen? Mereka berpendapat:
* Bersedia menanggung susah payah bersama, luangkan masa dan bersedia untuk bertanggungjawab atas segala permasalahan dihadapi pasangan.
* Bersedia dalam semua segi baik seperti kematangan berfikir, kewangan, kebijaksanaan menangani masalah, bersedia menerima kekurangan dan kelebihan pasangan.
* Bersedia dari segi tanggungjawab, kewangan dan mental untuk memberi komitmen sepenuhnya.
* Bersedia untuk terima semua baik dan buruk pasangan selepas ini.




Petikan : BHarian 03/11/2011

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Oktober 14, 2011

Cari keserasian dalam perbezaan

Dari kiri; Sari Yanti, Susan Manen, Siti Nor Bahyah dan Wan Akashah.

Suburkan kasih sayang ceriakan rumah tangga

SELEPAS mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak, pernahkah anda dan pasangan meluangkan masa bersama, hanya berdua seperti pasangan bercinta? Menonton wayang atau sekadar berpimpin tangan di pinggiran tasik sambil menikmati kedamaian alam sekitar?

Kalau anda kata tidak ada masa, takut dianggap buang tabiat, ‘malu’ dilihat orang atau ‘cukup’ di kamar beradu, barangkali anda perlu memikirkan semula kata-kata itu.

“Ini kerana, pasangan yang bertahan lama adalah mereka yang tahu keseronokan bersama dan betapa berharganya keseronokan itu untuk mereka.”

Demikian dilontarkan Perunding Motivasi yang juga penulis buku, Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah Mohamood. Katanya, masa berdua amat perlu untuk suami isteri dan kala itu ia perlu dimanfaat dengan komunikasi berkesan.

“Perbuatan itu bukan saja menunjukkan menghargai pasangan, tetapi membantu anda mempelajari mengenai dirinya. Ramai orang beranggapan mereka tahu segala-galanya mengenai suami atau isteri, tetapi satu hari nanti, mereka akan sedar pasangan mereka menjadi orang yang amat asing. Masa bersama di rumah dengan adanya anak kita tidak dapat berkomunikasi segala-galanya secara terbuka, tetapi bila kita berdua-duanya sama seperti mula-mula berkahwin dulu, bukankah ia memberikan rasa berbeza?” katanya.

Ramai memikirkan ‘bertemu jodoh’ dengan putera atau puteri idaman hanya berlaku di alam fantasi dan tidak mustahil direalisasikan. Di alam realiti, pasangan yang diharapkan menjadi teman ke akhir hayat, jauh panggang dari api.

Hakikatnya itu dirasai ramai, antara sebabnya kerana terlalu mengharapkan kesempurnaan pasangannya sedangkan ia boleh mengundang kekecewaan yang amat sangat apabila harapan itu hancur berkecai.

Justeru, perlukah menerima seadanya pasangan dan menutup segala keburukan dimiliki demi mempertahankan rumah tangga biarpun sinar bahagia sudah semakin malap?

Mengibaratkan rumahtangga sebagai kapal. Ia memerlukan nakhoda dan anak kapal yang saling berkomunikasi secara berkesan supaya mampu menerjah laut lepas hingga sampai ke daratan. Sekiranya antara satu sama lain tidak sehaluan, sudah pasti kapal berkenaan akan karam dan tenggelam di laut dalam.

Siti Nor Bahyah, berkata perkahwinan adalah perkongsian dan harus dibajai serta disemarakkan dengan sifat kasih sayang antara pasangan.

Bagaimanapun antara suami itu pastinya ada yang berbeza lantaran memiliki latar belakang serta cara didikan berbeza ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan perkahwinan bermasalah.

“Setiap orang ada kekurangan diri masing-masing, tetapi janganlah kita terlalu memikirkan kekurangan pasangan hingga menyebabkan segala perkara dilakukan pasangan, kita tidak nampak ‘tidak kena’ saja. Cari kelebihannya yang ada dalam dirinya dan biarkan kelebihan itu mengaburkan kita terhadap kekurangan dimiliki itu.”

“Kalau suami isteri tidak mempunyai minat sama, janganlah pula kita mengkritik pasangan dengan mengatakan minat suami atau isteri sebagai membuang masa. Kritikan dengan harapan supaya pasangan kita menghentikan kecenderungan minatnya itu, akan mengundang rasa tidak selesa di hatinya dan akhir saling tidak menghormati pasangan,” katanya.

Menekankan aspek komunikasi, Siti Nor Bahyah, berkata ia bermaksud, mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh pasangan berbincang bersama dan ketawa bersama. Perkahwinan bukan nikmat sementara, sebaliknya amanah daripada Allah untuk dibina dan dipupuk dengan baik.

“Jika pasangan tahu matlamat perkahwinan dalam Islam, Insya Allah, segala usaha di lakukan untuk kebahagiaan keluarga, diberkati,” katanya.

Bagi Pengarah Urusan Johnson& Johnson, Joyce Lee, perkahwinan bahagia adalah satu pencapaian yang memerlukan usaha dan masa untuk menyemai perhubungan yang penuh kasih sayang.

“Selama 21 tahun mendirikan rumahtangga, tidak saya nafikan ia penuh dengan panca roba dan titisan air mata. Apatah lagi saya bekerjaya. Saya yakin sikap mengambil berat mengenai hal ehwal pasangan, menjadikan kita lebih bahagia kerana tahu ada insan yang sayangkan kita,” katanya.

‘Semarak Kasih, Seharum Cinta’ dibawakan Johnson’s itu adalah program empat episod itu berkisar mengenai curahan kasih sayang selebriti tempatan seperti Sari Yanti, Sharifah Shahira serta Lisdawati dengan pasangan masing-masing. Ia ke udara setiap Selasa jam 6 petang di TV3.

INFO

Pasangan selalu jadikan alasan ‘SIBUK’ sebagai penghalang untuk bersama. Justeru tukar persepsi negatif itu dengan ‘SIBUK POSITIF’, iaitu :

* S - Sentuh isteri selalu. Isteri yang kepenatan akan hilang rasa penat bila suami sentuh dirinya
* I - Idaman. Jadilah insan yang diidam-idamkan pasangan. Kalau suami suka isteri cantik, maka isteri perlu berusaha untuk kelihatan cantik selalu
* B - Belaian daripada pasangan menjadikan hidup bahagia
* U - Ungkapan ‘Aku Cinta Pada Mu’ perlu diteruskan. Bukan terhenti bila bergelar suami isteri saja
* K - Kasih sayang perlu disiram. Jangan mengharapkan ia datang sendiri




Petikan : BHarian 14/10/2011

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Oktober 09, 2011

ISU : Lelaki berubah lepas berkahwin

Layanan buat isteri makin kurang

“Mengapa suami saya tidak berbual-bual dengan saya?” Ia antara satu keluhan biasa. Namun ia berbeza apabila ada suami yang berkata, “Mengapa isteri tidak berbual-bual dengan saya?”

Hakikatnya, ia bukan isu baru dan bukan juga isu basi untuk diperkatakan kerana ia terus berlangsung dalam kehidupan berkeluarga hari ini. Layanan yang didambakan seorang isteri sering tidak mendapat perhatian daripada suami.

Bukan sekadar di atas katil sebagai menunaikan tanggungjawab sebaliknya seorang isteri mahukan suami terus mengekalkan sikap keprihatinan sebelum perkahwinan; pandai mengambil hati, memahami perasaan, bergurau senda dan menjadi pendengar yang setia mahupun berkongsi cerita. Sayangnya lelaki berubah setelah bergelar suami.

Mereka lebih ‘berkira’ untuk meluangkan masa bersama isteri seterusnya enggan menzahirkan kasih sayang dalam pelbagai cara. Ikuti pendapat perunding motivasi dan wanita mengenai isu ini. Stigma, isteri perlu melayan Dr Robiah Hamzah - Perunding motivasi di RKH Motivation & Services.

Menyentuh perihal suami yang tidak pandai melayan, Dr. Robiah berpendapat ia sebagai satu stigma yang telah diwarisi sejak sekian lama. Dalam kehidupan suami isteri, isu layanan tidak seharusnya dipandang enteng bagi memastikan kemesraan setiap pasangan berterusan. “Isu tidak melayan isteri ini sudah menjadi satu kefahaman yang lama. Stigma masyarakat kita ialah tugas melayan terletak di bahu isteri.

Suami adalah kononnya raja

“Di pihak suami pula, mereka berpendapat mereka bukan melayan, sebaliknya menerima layanan dan secara tradisinya, isteri juga menganggap perkara yang serupa. Tidak kurang juga yang menobatkan lelaki sebagai penerima layanan dan tidak mengetahui cara untuk melayan isteri. “Perkara ini berlaku kerana suami berpendapat tugasnya sebagai ketua keluarga adalah untuk mencari nafkah bagi menyara keluarga. Begitu juga dengan ego seorang lelaki.

Dari generasi ke generasi, ini yang telah tersemat dalam diri setiap lelaki, lalu menjadi diwarisi. Isu layanan ini tidak dibincangkan secara khusus atau terbuka kerana masyarakat menganggapnya sebagai isu tabu. Konsep melayan tidak terlalu subur dan tidak terbuka dalam budaya kita menjadikan orang ramai menganggapnya sebagai satu yang sulit dan harus difahami oleh pasangan suami isteri itu sahaja.

Malah, dalam budaya kita juga, kita tidak diajar untuk menyenaraikan jenis layanan antara suami dengan isteri. Tidak ada diskusi atau perbincangan mengenai layanan, termasuklah cara layanan yang mahu atau diharapkan oleh suami atau isteri menyebabkan perkara ini terpinggir.

Bantuan penasihat

Tambah Dr. Robiah Hamzah perkara ini boleh menjadi salah satu faktor punca berlakunya penceraian. Sama ada perkahwinan tersebut berlangsung dalam tempoh yang singkat mahupun pasangan yang telah hidup bersama 30 tahun lalu hanya kerana tidak mahu berfikiran terbuka.

Isu ini akan terus terbiar sedangkan layanan suami terhadap isteri begitu penting dan perlu dititikberatkan. Kerana malu, ia tidak diangkat menjadi satu perbualan. Masyarakat harus didedahkan perkara yang bakal berlaku jika tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada seorang suami atau isteri.

Sebenarnya pelbagai bentuk layanan boleh berlaku. Konsep mengambil berat, memahami tentang diri dan perasaan, mempercayai, menerima seadanya dan berfikiran positif kepada pasangan merupakan contoh layanan yang boleh diberikan oleh setiap pasangan. Jika bentuk layanan seperti ini tidak diangkat, bermakna tidak akan berlaku perkongsian, kasih sayang dan percintaan.

Akibatnya, pasangan tersebut akan melalui kehidupan secara langsung tanpa berlakunya sebarang perubahan. Pasangan tersebut akan melakukan perkara yang diketahui sahaja sama ada ia memberi keselesaan kepada satu pihak atau tidak.

Tidak ada salahnya jika mendapat bantuan penasihat seperti orang tua, adik-beradik atau rakan-rakan yang mempunyai pengalaman untuk membantu anda. Jika tiada tindakan, isteri akan terus kecewa kerana tidak memperoleh layanan yang diharap-harapkan.

Sebenarnya dalam perkongsian hidup, suami perlu cuba melakukan perubahan sikap dan memberikan layanan sewajarnya untuk menggembirakan hati isteri. Bagaimanapun, masyarakat kita pula melihatnya sebagai satu yang negatif apabila percubaan suami menggembirakan isteri dilihat sebagai mengikut telunjuk isteri.

Selain itu, layanan dalam bentuk lisan dan bukan lisan perlu digabungkan untuk memperoleh hasil yang lebih baik. Dalam satu kajian mendapati, wanita tidak akan berhenti bercakap dan dianggap tidak sihat, jika berhenti bercakap. Namun bagi lelaki pula, jika mereka yang tidak berhenti bercakap, ia akan dianggap sebagai tidak sihat. Logiknya, lisan perlu diiringi dengan amali. Ia tidak berlaku jika hanya bercakap tanpa mempraktikkan.

Contoh dan ikutan terbaik ialah Rasulullah SAW yang begitu menghargai isteri. Nabi Muhammad SAW melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati isteri. Ini menunjukkan pada masa tertentu, suami mesti pandai mengambil hati isteri.




Sumber : MW

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Oktober 03, 2011

Kalau cinta, jangan ego!


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Sifat ego sebenarnya boleh dihapuskan dengan satu perkataan mudah iaitu ‘terpaksa’. Contohnya, jika suami anda terpasa akur untuk dibuli. Terpaksa menghantar anda membeli-belah walau dia tidak suka. Terpaksa mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah kerana anda sibuk ke luar daerah. Terpaksa makan ala kadar setiap hari sebab anda tidak mungkin masak dalam keletihan. Terpaksa menghadkan masa melepak bersama rakan-rakan atas arahan permaisuri di rumah.

Sebenarnya, perkataan terpaksa ini begitu menolong kita dalam kehidupan seharian sebagai suami isteri. Anda juga sering merasa terpaksa dan ia amat membantu anda dalam menekan sekuat-kuatnya sifat ego di dalam hati.

Bukankah anda terpaksa menerima kedatangan ibu mertua yang sakit, sementara anda kebetulan sedang sibuk sangat dengan tugasan di pejabat. Anda terpaksa bermanis muka dengan ipar duai yang selalu buat hal. Anda terpaksa mengurut suami yang mahu bermanja sedangkan anda begitu keletihan dengan kerja di pejabat dan kerja rumah.

Kalaulah perkataan terpaksa itu tidak ada dalam kamus hidup anda, pastinya akan huru-hara rumahtangga yang dibina dan kekuasaan ego akan bertakhta di hati. Buat apa susah-susah berkorban untuk suami, kalau suami pun tidak mahu menunjukkan kasih sayang dan pengorbanannya?

Buat apa bermanis muka dengan keluarga suami kalau keluarga kita pun dia tidak hormat? Suami pun berkata dalam hati, “Buat apa aku berjimat, sedangkan isteri sesuka hati buang duit melampiaskan nafsu shoppingnya?” “Buat apa aku setia kalau isteri macam tunggul mati?” Wah, sungguh berbahaya kalau sifat ego begini dibiarkan menjadi-jadi!

Mengapa suami dan isteri mesti memelihara rasa terpaksa dalam hati? Bukankah dia seolah-olah tidak ikhlas? Sebenarnya, perkataan terpaksa itu adalah permulaan daripada sifat ikhlas dengan syarat selepas rasa terpaksa kita mesti betulkan niat menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

Awalnya memang terpaksa, tapi lama-kelamaan setelah hati terbiasa berbuat baik kepada pasangan, maka hati akan semakin faham bahawa segala kebaikan itu akan dipandang Allah SWT dengan pandangan rahmat. Barulah ketika itu ikhlas datang dalam hati dan perbuatan kita. Sebenarnya ada banyak cara untuk melemahkan sifat ego dalam diri kira, antaranya ialah :

1 – Fahami situasi semasa

Tidak mungkin seorang suami enggan menghargai isterinya jika isteri betul-betul mengambil berat kecuali dia sedang dalam keadaan tidak normal atau pelik punya spesies. Suami yang normal mesti membalas cinta dengan cinta, sentuhan dengan sentuhan, pertolongan dengan pertolongan, ambil berat dengam ambil berat juga.

Tidak mungkin dia tidak merespons kehangatan isterinya. Anda sebagai isteri juga mesti faham suami juga manusia sama seperti diri anda, kalau anda ada masalah atau tertekan atas sebab-sebab tertentu, pasti layanan anda kepada suami terganggu, bukan?

Maknanya, jangan kerana suami tidak balas kebaikan anda, lalu anda pun bawa diri dan mementingkan ego sendiri. Bagaimana kita melayannya, begitulah dia melayan kita. Kita sedia faham bahawa situasi amat mempengaruhi sikap manusia.

Suami yang ego memanglah senang hendak dilawan dengan ego juga, tetapi sampai bilakah anda mahu terbelenggu dengan situasi yang sama? Jadi, bukankah lebih elok membiarkan situasi yang panas berlalu dengan sikap yang lebih bersahaja?

2 – Tunjuk pada Tuhan

Orang yang ego sentiasa mahu menunjuk dirinya benar dan orang lain salah. Harap anda tidak terpancing dengan sikap pasangan yang ego, bukankah lebih baik menjadi orang yang suka menunjukkan dirinya benar di hadapan Tuhan bukan di mata manusia?

Anda akan lebih berasa tenang jika anda tidak peduli dengan sikap ego manusia yang mengganggu anda kerana Allah sentiasa menjadi sandaran dan rujukan hati. Hati yang sentiasa bersama Allah takkan sempat merasai pedihnya disakiti orang yang ego, sebab hati itu begitu sibuk memikirkan tentang kebaikan yang hendak dilakukan. Jadi, tidak sempatlah hendak pedulikan orang yang ego.

3 – Kalau cinta, ego jadi nikmat

Pelik tapi benar, kalau sendang jatuh cinta, manusia tidak akan peduli dibuli kekasih. Ingat sahaja masa-masa anda dan suami jatuh cinta. Pasti dengan senang hari dan bangganya anda menjadi mangsa ego suami.

Disuruh apa pun anda sanggup buat, minta apapun anda akan beri, marah sedahsyat mana pun hati anda tetap berbunga bila berjumpa. Senangnya hendak menghapuskan sifat ego di hadapan suami, cukup dengan usaha anda untuk jatuh cinta lagi kepadanya berkali-kali.

Bagaimana mendapatkan mood jatuh cinta? Mahu menyuburkan rasa romantik? Salah satunya, anda mesti mencintai diri anda dahulu. Cintai hati anda yang mahu berbuat baik, wajah anda yang sentiasa senyum redha, tangan dan kaki yang mahu berkorban untuk orang yang dicintai. Bercerminlah dan katakan, ‘hai si cantik’ kepada wajah anda yang berseri, barulah aura itu menyentap hati suami untuk jatuh cinta lagi.

Ego tak ego, kehidupan berumahtangga ini mesti diteruskan. Jangan biarkan kaki anda berhenti melangkah ke matlamat bahagia kerana sakit hati dengan ego suami. Ego sifatnya datang dan pergi, tapi cinta sejati yang menentukan apakah anda berdua dapat bertahan dalam suasana penuh toleransi.

Semoga bermanafaat...




Sumber : Dr Juanda Jaya MW#1429

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Oktober 01, 2011

Lelaki malu papar kasih sayang


Tidak guna berselindung di sebalik ego

KALAU anaknya demam, ibu pasti bercekang mata menjaga hingga pulih. Walaupun penat menjalankan tugas harian, kerisauan terhadap anak menyebabkan ibu lupa segala lelah. Jika suami pula lesu dan tidak bertenaga, si isteri jugalah yang akan bergegas ke klinik mahu pun farmasi untuk mendapatkan ubat atau vitamin bagi mengembalikan kesegaran suaminya.

Jika rakan karibnya mengalami masalah, wanita akan sentiasa melapangkan masa untuk mendengar apatah lagi menghulurkan ‘bahu’ sebagai tempat untuk melepaskan kehancuran hati. Betapa sensitif wanita terhadap kebajikan individu yang tersenarai dalam hidup mereka. Mereka juga dikatakan lebih memahami dan mudah memaafkan walau masalah yang dilalui terlalu perit untuk ditelan.

Hati wanita juga dikatakan begitu halus, hingga mereka mampu merasakan kegembiraan juga kesedihan insan lain tanpa melakukan komunikasi. Hanya menggunakan pandangan mata kasar, mereka lazimnya mampu meleraikan teka-teki yang bermain dalam kotak pemikiran. Mungkin, itulah antara kelebihan yang dianugerahkan Tuhan.

Berbeza dengan lelaki, mereka kelihatan lebih tegas dan kasar dalam mengetuai kehidupan sekaligus keluarga mereka sendiri. Sukar melihat seorang lelaki menitiskan air matanya. Hanya perubahan air muka saja dapat menunjukkan perasaan yang sedang dialami kaum Adam itu apatah lagi ingin melihat mereka memanjakan atau menunjukkan kasih sayang yang dipendam.

Mungkin juga adat dan tradisi pembesaran menjadikan lelaki lebih tabah dan berkeras dalam setiap perkara dilalui berbanding dengan wanita yang lazimnya dikaitkan dengan kelembutan.

Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berpendapat, lelaki tidak seharusnya terasa egonya tercabar dalam menunjukkan kasih sayang mereka terhadap pasangan atau termasuk keluarganya. Perasaan yang dimiliki boleh dibuktikan menerusi kelakuan dan ia adalah lebih romantis serta dihargai kerana ia bukanlah perkara yang memalukan atau melanggar didikan agama yang dianuti.

Dr Mohd Fadzilah berkata, sebalik perasaan malu atau hilang ‘macho’, perasaan sayang yang dibuktikan menerusi perbuatan juga adalah satu cara terpuji dan berlandaskan sunnah Nabi, yang tidak segan silu untuk membantu isterinya dalam menyelesaikan tugasan rumah, begitu juga menunjukkan kasihnya dengan memegang dan membelai.

“Tiada salahnya jika merendahkan ego dan menunjukkan kasih sayang kita terhadap keluarga mahu pun pasangan. Tapi jangan pula melebihi batas, takut nanti meluat pula pada pandangan umum. Nabi sendiri sanggup meluangkan masa yang ada untuk membantu isterinya memandang tenaga yang dimiliki lelaki lebih berbanding wanita.”

“Ini secara tidak langsung dapat meringan beban tugasan yang dijalani pasangan dan merapatkan hubungan cinta antara dua pihak. Menunjukkan kasih sayang menerusi tindakan membelai atau memanjakan tidak menjadikan lelaki itu dayus atau dipandang lemah, bahkan membuatkan mereka lebih dihargai dan disanjungi keluarga,” jelasnya.

Menurut Dr Mohd Fadzilah lagi, mungkin lelaki dilihat jarang atau susah menunjukkan maklum balas menunjukkan sensitiviti mereka kerana didikan psikologi yang dibawa tidak mengajar lelaki untuk berlembut dan merendahkan keegoan mereka.

“Berbeza dengan wanita, sudah menjadi sifat semulajadi mereka untuk lebih prihatin dan membuktikan pengorbanan dan juga kemanjaan secara spontan. Lelaki pula agak malu untuk memberitahu apatah lagi menunjukkan mereka juga sebenarnya sensitif dan ingin dimanjakan atau memanjakan.”

“Persekitaran dan cara bawakan diri di Asia mungkin agak berbeza dengan barat yang sememangnya terkenal dengan sikap romantis mereka terhadap pasangan dan keluarga. Kita di sini, jauh lebih kekok dan janggal untuk menunjukkan apa yang dirasai bahkan lebih suka berdiam bagi menjaga imej sendiri,” jelasnya.

Berlandaskan pengalaman membesar dalam keluarga yang agak rapat dan mesra, Fun Ng yang juga seorang kakitangan industri teknologi maklumat memberitahu bapanya adalah seorang lelaki yang paling disanjungi dan dihormati kerana sikap tanggungjawab bapanya.

Jelasnya, bapanya adalah seorang yang sangat penyayang dan penyabar. Dia juga menunjukkan kasih sayangnya menerusi kelakuannya begitu juga secara lisan. Biarpun penat bekerja seharian, bapanya akan pastikan dirinya meluangkan masa bersama anak sebelum mereka masuk tidur.

Menyambung kata-kata, wanita itu memberitahu walaupun sudah berusia 28 tahun, bapanya masih mencium dahinya setiap kali dia pulang ke kampung dan mereka juga masih meluangkan masa menonton televisyen bersama begitu juga bersantai di tempat kegemaran mereka.

“Mungkin saya boleh katakan diri ini sebagai bertuah kerana memiliki bapa sepertinya. Dia amat memanjakan kami dan dia tidak pernah cuba berselindung di sebalik keegoannya sebagai ketua keluarga. masih ingat betapa cemasnya ketika saya demam, dia yang bercekang mata menjaga sehingga saya pulih sepenuhnya.”

“Ayah juga jauh lebih sensitif, dia akan menangis selepas menghukum kami atas kesalahan yang dilakukan. Kelembutannya menjadikan kami adik beradik sangat takut untuk melukakan hatinya. Sikapnya juga mengajar kami erti kasih sayang dan keutuhan kekeluargaan.”

“Lain pula ceritanya untuk ibu saya. Dia agak tegas dan garang, lazimnya di waktu kanak-kanak dulu jika sedikit kesilapan berlaku, rotan akan terus hinggap ke paha. Biarpun kami kami menangis tersedu-sedu tidak dihirau bahkan lagi dimarahi ibu. Dia juga sukar dibawa berbincang berbanding ayah yang sentiasa sudi mendengar dan berbincang dengan kami dalam apa juga bentuk perbualan,” jelasnya ketika ditemui.

Cerita yang dikongsi Rohaidah Mat Rahman pula berbeza. Pengalamannya membesar dalam keluarga yang diuruskan ibunya tanpa bantuan ayah yang tegas dan garang membuatkan dia agak fobia untuk menjalinkan hubungan walaupun kini sudah berusia 30 tahun.

Wanita yang juga seorang pendidik itu berkata, dirinya masih tidak mengerti mengapa bapanya perlu terlalu keras terhadap keluarga kecil yang dibinanya itu.

“Dari kecil lagi, bapa tidak pernah memanjakan kami dan saya tidak ingat bila dia mencium saya apatah lagi memangku saya. Walaupun saya anak tunggal dalam keluarga, saya tidak diberikan layanan istimewa olehnya. Ayah jarang bercakap apabila berada di rumah, tapi dia ramah melayan rakannya apabila dia melepak di luar. Dia juga tidak pernah memuji atau meluangkan masa bersantai dengan saya, apatah lagi datang ke sekolah untuk mengambil penyata rekod saya walaupun keputusan saya cemerlang. Dia juga jarang sekali bergelak ketawa dengan telatah saya.”

“Riak wajahnya sentiasa serius. Mungkin itu caranya untuk menunjukkan sikap pembimbing keluarga dan juga seorang bapa supaya saya tidak mengambil kesempatan terhadap kedudukan saya sebagai anak tunggal dalam keluarga,” katanya.

Menurutnya lagi, sepanjang pembesaran ibu yang banyak berkorban dan membuktikan kasih sayang itu wujud dalam institusi kekeluargaan. Ibunya juga teman karibnya dan tempat untuk dia mengadu serta berkongsi setiap detik manis atau pahit.

“Sehingga kini, saya masih takut untuk menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana teman lelaki, memandangkan pengalaman dilalui saya menjadi igauan ngeri. Saya tidak mahu anak saya kelak melalui pengalaman serupa.”

“Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan bapa dengan caranya menunjukkan ketegasannya, mungkin padanya itu terbaik untuk memastikan keutuhan sistem kekeluargaan terjamin. Tapi, alangkah manisnya jika dia boleh berlembut dan cuba untuk mendekati kami dengan menunjukkan sikap romantis serta penyayang kepada kami,” katanya menamatkan perbualan.

Laman-Seri : Contohilah sunnah Nabi SAW dalam menjalinkan hubungan dengan anak-anak anda, jangan sampai anak sendiri merasakan anda orang asing dalam hidupnya...




Sumber : BHarian 24/09/2011

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Julai 21, 2011

Wanita Malaysia di tangga ke-16 paling tertekan



KUALA LUMPUR: Curiga suami mempunyai wanita lain, anak tidak pandai dalam pelajaran dan tidak bekerja antara faktor ramai wanita di negara ini mengalami tekanan perasaan.

Bagi yang bekerja pula, ada yang menghadapi tekanan kerana terpaksa bekerja dua kali ganda untuk mendapat pengiktirafan majikan berbanding lelaki kerana persepsi lelaki lebih berupaya memegang sesuatu jawatan.

Pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim, berkata wanita terlallu mementingkan kesempurnaan berbanding lelaki sehingga ada yang memandang serius persepsi orang lain terhadap diri dan keluarga, berbanding lelaki yang lebih tenang dan tidak mudah dikuasai emosi.

“Jika tidak dibendung, tahap tekanan perasaan semakin meningkat sehingga menyebabkan ada yang tidak mampu mengawal perasaan dan bertindak di luar jangkaan,” katanya.

Beliau mengulas kajian syarikat media dan maklumat, Nielsen di Amerika Syarikat mengenai golongan paling tertekan di dunia yang dilaporkan di media kelmarin. Wanita Malaysia pada tangga ke-16 dengan hasil kajian mendapati 44% wanita termasuk dalam kumpulan ini.

“Apabila prestasi anak merosot, wanita cenderung untuk memarahi anak atau berleter kerana rasa bertanggungjawab, sekaligus meningkatkan tekanan perasaan, berbanding bapa yang lebih tenang memberi nasihat.”

“Wanita juga berusaha sedaya upaya menyelamatkan hubungan walaupun sudah tiada harapan. Jika keluarga bahagia, mereka sendiri mencetuskan tekanan termasuk curiga terhadap suami,” katanya.

Kajian antara Februari hingga April lalu membabitkan 6,500 wanita di 21 negara dengan wanita di India mendahului senarai berkenaan dengan 87%. Sebanyak 13.5 juta daripada lebih 27 juta penduduk di negara ini adalah wanita.

Bagaimanapun, Dr Wan Halim yang juga perunding konflik keluarga hampir 40 tahun, berkata, kedudukan ke-16 itu agak baik dan menunjukkan wanita negara ini bijak menangani tekanan, berbanding di India dengan wanitanya menghadapi masalah ekonomi yang teruk termasuk membayar wang hantaran perkahwinan dan ada dianggap membawa sial.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fazil Che Din, pula berkata, wanita di negara membangun seperti Malaysia amat mementingkan kerjaya, terutama selepas peluang diberi untuk mereka memegang jawatan yang dahhulunya dikuasai kaum lelaki.

“Wanita terpaksa berusaha dua kali ganda mendapat separuh pengiktirafan yang diberikan kepada lelaki kerana masih wujud persepsi wanita tidak boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik daripada lelaki,” katanya.

“Wanita dididik untuk sentiasa bertanggungjawab sejak kecil dan mereka suka mengambil tanggungjawab itu.” Datin Paduka Rakibah Abd Manap ~ Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor.

“Wanita perlu bijak tangani tekanan dan tidak terlalu pentingkan kerjaya sehingga mengabaikan kesihatan fizikal dan emosi.” Loke Yim Pheng ~ Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan.


Enggan dicerai punca ramai wanita tertekan, ada pasangan sanggup tinggal berasingan hingga mati

Hidup berasingan dengan suami kerana tiada keserasian serta mahu mendapatkan hak penjagaan anak walaupun tidak mampu adalah antara yang sering dihadapi wanita sehingga menyebabkan mereka menghadapi tekanan perasaan.
Pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman, berkata berdasarkan pengalaman mengendalikan kursus konflik keluarga sejak 40 tahun lalu, ramai wanita yang enggan menerima kenyataan rumah tangga mereka sudah tidak boleh diselamatkan tetapi tidak mahu diceraikan.

“Ada kes wanita yang tinggal berjauhan dengan suami selama 20 tahun kerana tidak sanggup diceraikan. Ada yang sampai meninggal dunia hidup berasingan.

“Bagi kes seperti ini, saya sering nasihatkan mereka terus tinggal berasingan jika kedua-dua pihak tidak mahu berkahwin lain apabila bercerai. Wanita juga jangan terus terlalu berusaha memperbaiki hubungan itu,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Semalam, Berita Harian melaporkan mengenai faktor yang mendorong wanita di Malaysia mengalami tekanan perasaan termasuk curiga suami mempunyai wanita lain, anak tidak pandai dalam pelajaran dan tidak bekerja, selain wanita bekerja yang terpaksa bekerja dua kali ganda untuk mendapatkan pengiktirafan majikan, berbanding lelaki.

Dr Wan Halim berkata, ada juga kes ibu tunggal yang mengalami tekanan perasaan bertahun-tahun akibat dipukul suami dan selepas suaminya meninggal dunia, dipukul pula anaknya.
“Jika isteri dipukul suami, mereka mesti cuba melawan kerana jika tidak, anak akan melihat ibunya tidak kisah dipukul. Saya simpati melihat golongan yang datang meluahkan perasaan seperti sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup,” katanya.

Beliau juga berkata, ibu tunggal yang tidak mampu menjaga anak perlu melepaskan hak penjagaan kepada suami kerana keinginan untuk menuntut hak itu walaupun berdepan kekangan kewangan menyebabkan tekanan perasaan yang kronik.

Pakar nasihat kawal emosi elak gila

Tekanan perasaan jika tidak dikawall dengan baik boleh menyebabkan gangguan kepada sistem saraf sehingga mendorong seseorang menjadi gila.

Wanita perlu peka terhadap gangguan emosi sementara yang dialami sebelum menjadi gangguan kekal yang menyebabkan mereka mengalami gejala neurosis termasuk sukar tidur dan menggeletar.

Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fadil Che Din berkata, individu tertekan meluahkan perasaan melalui perbuatan termasuk melepaskan marah kepada orang yang rapat, memukul atau menendang sesuatu, malah melakukan amalan spiritual termasuk membela hantu.

“Ada lima pola tindak balas pemikiran manusia dan jika sampai ke tahap empat dan lima, boleh menyebabkan wanita memusnahkan diri untuk meraih perhatian dan simpati, malah lebih teruk jika meluahkannya kepada orang lain seperti mendera anak atau mencederakan suami,” katanya.

Dr Mohd Fadzil yang juga pakar kaunseling dan psikologi berkata, berbanding lelaki, wanita lebih mudah mendapatkan khidmat pakar psikiatri jika berdepan tekanan perasaan kerana berfikiran terbuka.

Sementara itu, pakar psikologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman berkata, wanita perlu bijak mencari ruang menghilangkan tekanan dan tidak takut melepaskannya dengan cara yang betul, termasuk melalui aktiviti seperti bersukan dan keluar bersama rakan.

“Jika suami melarang isteri keluar rumah untuk bersukan, cuba berbincang dengannya. Begitu juga jika majikan meminta kita melakukan sesuatu yang mustahil, cuba luahkan pandangan dan jangan takut jika kita benar,” katanya.




Sumber :
BHarian 20/07/2011 dan BHarian 21/07/2011

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Jun 21, 2011

Miang atau suka-suka?


Gangguan seksual boleh dicegah jika wanita lebih berani

Kes 1:

NOR, 32, (bukan nama sebenar), setiausaha kepada seorang pengurus kanan sebuah syarikat. Cantik dan menarik perwatakannya, Nor sering diganggu majikannya. Tangannya dipegang, bahu diusap belum lagi mengambil kira kata-kata berbaur lucah daripada majikannya. Malah, dia pernah beberapa kali cuba dicium.

Bukan setakat itu, majikannya juga sering menghantar teks pesanan ringkas (SMS) bercerita mengenai hubungan seksual dan tidak pernah jemu mengajaknya keluar makan bersama. Nor amat tertekan dengan gangguan itu dan dia pernah diugut akan dicederakan jika menceritakan hal itu kepada rakan sekerja.

Kejadian itu berlarutan dan Nor sudah tidak mampu bersabar. Dia mengadu kepada pihak atasan, malangnya aduan Nor tidak dipedulikan menyebabkan Nor membuat laporan polis serta memanjangkan perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan pembelaan. Kini, kes Nor disiasat.


Kes 2:
PEMBANTU Tadbir, Anita, 46, (bukan nama sebenar), yang hanya memiliki sebelah kaki, selain menghidapi asma, darah tinggi, fibroid dan anaemia, suatu hari berehat di surau kerana kurang sihat.

Ketika sedang berbaring, tiba-tiba seorang lelaki, rakan sekerja yang dikenalinya, mengintai menerusi tingkap cermin surau itu, Anita menjerit terkejut menyebabkan rakannya lari. Anita melaporkan perkara itu kepada majikan. Malangnya, Anita pula dituduh ponteng kerja kerana berehat di surau.

DUA kes itu hanyalah sebahagian kecil kes gangguan seksual di tempat kerja. Jika dikaji, ramai wanita bekerjaya mengalami keadaan itu, cuma ada yang melaporkannya kepada pihak atasan dan tidak kurang juga yang berdiam diri.

Gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja bukan perkara asing. Sudah terlalu banyak kes dan terlalu lama perkara ini diperkatakan, namun, ia masih terus berlaku. Kajian dijalankan di beberapa negara perindustrian mendapati antara 42% dan 70% pekerja wanita mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Gangguan seksual bukan hanya membabitkan perlakuan fizikal seksual. Perlakuan berbentuk isyarat seperti kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa membayangkan perlakuan seks atau mengurat, menunjukkan bahan atau gambar lucah dan dedahkan anggota sulit (gangguan visual).

Mengulangi jemputan sosial, memujuk rayu keluar bersama (gangguan psikologi) dan sentuhan seperti menepuk, mencubit, mengusap, memeluk dan mencium (gangguan fizikal) juga adalah gangguan seksual yang sering dialami wanita.

Isu ini memang nampak remeh kepada ‘pengganggu’ kerana beranggapan mereka hanya suka-suka dan tiada niat. Namun, dalam sesetengah kes, pengganggu memang berniat mengambil kesempatan untuk memenuhi naluri seks mereka.

Bagi yang tidak tahan gangguan, ada saluran untuk melaporkan aktiviti tidak bermoral itu menerusi Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja ada garis panduan serta mekanisme menanganinya disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia sejak 1999 lagi.

Sebanyak 324 kes gangguan seksual pelbagai kategori di tempat kerja diterima dan diselesaikan sepanjang 1999 hingga 5 April lalu.

Jika dilihat statistik itu, jumlahnya amat sedikit berbanding bilangan wanita yang bekerja. Namun, ia bukan angka sebenar yang dapat menggambarkan seriusnya masalah itu kerana masih ramai mangsa yang mengambil sikap berdiam diri. Malah, ramai berpendapat kod amalan itu kurang ‘taring’ dan tiada undang-undang yang jelas untuk menangani isu berkenaan.

Ada kalanya laporan daripada mangsa gagal diselesaikan dengan berkesan khususnya dari segi tindakan ke atas pengganggu. Selalunya, apabila berlaku gangguan seksual, mangsa akan membuat laporan kepada pihak pengurusan syarikat, yang akan menjalankan siasatan dalaman dan jika ada bukti, mungkin menukarkan pengganggu ke cawangan lain, dibeku atau diturunkan pangkat dan mungkin juga dipecat.

Namun, ada juga aduan yang menerima layanan seperti Nor dan Anita. Aduan tidak dipedulikan dan lebih malang, mangsa yang dipersalahkan. Justeru, Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses meminda Akta Kerja 1955 yang akan mewajibkan majikan menyiasat aduan berhubung kes gangguan seksual di tempat kerja. Jika majikan gagal mematuhi Seksyen 81B, iaitu arahan melaksanakan prosedur tata cara siasatan yang ditetapkan, termasuk tidak mengemukakan laporan kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja, majikan boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM10,000.

Setakat ini, tidak ada undang-undang yang jelas berkaitan masalah gangguan seksual di tempat kerja mahu pun langkah mencegahnya. Pengurusan tingkah laku dalam organisasi perlu memberi tumpuan kepada masalah mengawal, mencegah dan melindungi pekerja, khususnya wanita daripada sebarang bentuk dan kegiatan gangguan seksual yang tidak bermoral dan menjatuhkan maruah seseorang pekerja.

Pegawai Siasatan Seksual dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Superintendan, Suraini Hussain, berkata gangguan seksual mampu dielakkan jika wanita lebih berani dan tegas apabila rakan sekerja atau majikan cenderung melakukan gangguan.

“Saya nasihatkan jangan tangguh membuat laporan polis jika gangguan seksual berlaku kerana ia akan mengurangkan bukti. Jika ada kecederaan, mungkin kesan kecederaan sudah hilang dan menyukarkan keterangan direkodkan. Lebih daripada itu, pemangsa akan beranggapan mangsa merelakan perbuatan itu,” katanya sambil menjelaskan polis akan mengambil keterangan mangsa, memanggil pengganggu, melawat tempat kejadian serta mengkaji dulu semua maklumat sebelum mengemukakan kepada pejabat Pendakwa Raya untuk dakwaan.

Malangnya, kata Suraini, kebanyakan kes gangguan seksual dilaporkan selepas beberapa hari kejadian sehingga boleh mengurangkan bahan bukti atau keterangan.

Jelasnya, gangguan seksual boleh disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membabitkan perkataan atau isyarat, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mahu mencabul kehormatan), Seksyen 355 Kanun Keseksaan (menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menjatuhkan kehormatan seseorang, selain Kanun Prosedur Jenayah bagi kes seperti rogol.

Statistik Kes 509 Kanun Keseksaan – Perkataan/Isyarat Mengaibkan Kehormatan 2008 hingga 2001

Jantina (mangsa)

2008

2009

2010

2011

Lelaki

135

27

25

4

Perempuan

107

160

126

44

Jumlah

142

187

151

48


Suraini berkata, menjelaskan kebanyakan kes gangguan seksual diterima polis membabitkan perlakuan pekerja lelaki kepada rakan sekerja perempuan serta beberapa kes membabitkan pelaku lelaki dengan mangsa yang juga lelaki.

Laporan gangguan seksual banyak diterima daripada wanita dan hanya sejumlah kecil membabitkan antara lelaki dengan lelaki. Berdasarkan statistik, wujud peningkatan kes gangguan seksual dilaporkan mangsa kepada polis, iaitu daripada 119 kes pada 2008 kepada 127 kes (2009) dan 166 kes (2010).

Biasanya lelaki menganggap sebarang perlakuan sama ada dalam bentuk lisan, isyarat atau fizikal itu adalah sebagai gurauan dan tidak bermaksud apa-apa tetapi tidak bagi mangsa.

“Majoriti kes yang dirujuk kepada kami membabitkan pemangsa dan mangsa yang saling mengenali. Kes seperti ini bisanya berjaya diselesaikan. Ada juga mangsa yang menarik balik laporan tuduhan atau berpuas hati dengan tindakan diambil oleh peringkat jabatan tempat mereka bekerja,” katanya.

Mengikut Akta Kerja 1955 (Seksyen 14)

Siasatan hendaklah dijalankan sebelum pekerja itu dikenakan hukuman atas sebarang perbuatan salah lakunya. Seksyen ini memperuntukkan dua cara tindakan seperti berikut:
i) Satu siasatan dijalankan
ii) Hukuman ke atas salah laku itu

1. Tujuan seksyen ini untuk memastikan "Keadilan Asasi dan Keadilan Substantif" ke atas pekerja dilaksanakan. Seseorang pelaku atau mangsa yang tidak puas hati dengan hukuman atau keputusan siasatan dalaman hendaklah mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada pihak pengurusan yang lebih tinggi melalui satu prosedur rayan dalaman.

2. Pekerja juga boleh membuat tuntutan di bawah Seksyen 69 Akta Kerja bagi tujuan bayaran pampasan atau kaji semula hukuman.

3. Rayuan Bagi Penempatan Semula di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan jika:
  • Pengganggu atau pengadu dibuang kerja
  • Pengadu berhenti kerja dan menuntut atas alasan majikan melanggar kontrak kerana gagal menentukan tempat dan suasana kerja yang selamat dan kondusif.
  • Pengganggu atau pengadu dipaksa berhenti kerja
  • Pekerja mempertikaikan siasatan dalaman

INFO

Apa itu gangguan seksual?

MENGIKUT buku Kod Amalan Gangguan Seksual Kementerian Sumber Manusia, gangguan seksual adalah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan kepada mangsa. Ia mungkin dilakukan secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal.

Di mana ia berlaku?

Gangguan seksual di tempat kerja berlaku ketika dalam atau di luar waktu kerja yang mana ia timbul dari hubungan dan tanggungjawab yang berkaitan dengan pekerjaan, termasuk:

Di majlis sosial yang berkaitan dengan tugas
Ketika bertugas di luar tempat kerja
Ketika mesyuarat atau latihan yang berhubung dengan pekerjaan
Dalam perjalanan berkaitan dengan tugas
Melalui perhubungan atau media elektronik.

Kategori gangguan seksual

1. Ugutan
Ia memberi kesan secara langsung kepada status pekerjaan seseorang. Keadaan ini berlaku kepada seseorang yang memiliki 'kuasa untuk mengawal' ke atas pekerja yang menjadi mangsa. Golongan berjawatan tinggi menunjukkan kekuasaannya dengan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap pekerja di dalam sesebuah organisasi.

Mereka yang tidak patuh kepada arahan ketua untuk melakukan perbuatan ini akan tertekan ketika menjalankan pekerjaan sehingga ada kalanya mereka diberhentikan kerja.

Sebagai contoh, seorang pegawai atasan mempunyai kuasa menentukan gaji dan pangkat cuba mengugut pekerja bawahan memberi layanan seksual kepadanya. Jika pekerja mengikut pegawai atasan itu, mereka mendapat faedah berkaitan dengan pekerjaannya.

2. Ancaman
Tingkah laku seksual yang dianggap mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan tetapi tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan faedah pekerjaan. Tingkah laku ini menimbulkan suasana tidak tenteram kepada mangsa.

Gangguan ini boleh berlaku sesama pekerja. Penganiayaan terhadap pekerja ini boleh timbul daripada perkataan atau perbuatan, termasuk membuat perbincangan mengenai aktiviti seksual sentuhan yang tidak sepatutnya, mengeluarkan komen ke atas sifat fizikal seseorang menggunakan bahasa isyarat serta penggunaan bahasa bersifat lucah.

Jenis gangguan seksual

1. Secara lisan
Kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

2. Bukan lisan atau isyarat
Gangguan ini kadang-kadang tidak difahami mangsa. Sebagai contoh, pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan tingkah laku mengurat yang berterusan.

3. Visual
Gangguan yang boleh dilihat. Pada zaman teknologi maklumat ini, gangguan sebegini paling cepat menular pekerja. Gangguan ini mungkin dalam e-mel, pesanan sistem ringkas (SMS) kepada mangsa. Contoh gangguan visual seperti menunjukkan bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual atau mendedahkan bahagian sulit.

4. Fizikal
Gangguan membabitkan fizikal badan mangsa seperti menyentuh, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan menyerang secara seksual.

5. Psikologi
Gangguan yang mengganggu emosi mangsa. Gangguan ini sukar untuk dibuktikan tetapi memberi kesan yang mendalam kepada mangsa. Contoh, mengulangi jemputan sosial yang tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau bercumbuan.

Apa yang boleh dilakukan?

1. Katakan TIDAK kepada pelaku.
Beritahu pelaku perbuatan itu kejam. Jika perkara itu masih berlaku, tulis memo kepadanya supaya memberhentikan perbuatannya dan simpan salinan sebagai bukti.

2. Catatkan setiap kejadian.
Tulis tarikh, masa dan tempat kejadian, termasuk maklumat kejadian dan tindak balas anda. Simpan salinan di rumah. Maklumat ini penting untuk tindakan undang-undang.

3. Dapatkan sokongan moral daripada rakan serta ahli keluarga.

4. Dokumen kerja anda.
Simpan salinan penilaian prestasi dan memo yang mengandungi rekod kualiti kerja anda. Pelaku yang juga pegawai atasan mungkin akan mempersoalkan prestasi kerja untuk menyokong tindakannya.

5. Jangan memendam berseorangan.
Dapatkan saksi dan mangsa yang lain. Berdiam diri menyebabkan pelaku meneruskan perbuatannya dan ini akan menyebabkan anda terasing. Anda mungkin bukan yang pertama dan bukan pula satu-satunya mangsa kepada individu itu. Mungkin ada orang lain terima masalah sama. Dapatkan maklumat di sekeliling anda secara sulit dan dapatkan sokongan untuk membuat dakwaan. Dua pertuduhan adalah mustahil untuk dipertikaikan.

6. Gunakan saluran dalaman yang ada di tempat kerja.
Buat laporan kepada Bahagian Sumber Manusia. Jika anda ahli kepada mana-mana kesatuan sekerja, kemukakan aduan kepada kesatuan itu.

7. Buat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja.




Sumber : BHarian 15/06/2011

Capaian entry berkaitan :
* Mangsa cabul diberi pampasan RM175.1 juta

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails