“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, November 05, 2011

Lelaki takut komitmen


Kajian mendapati wanita Malaysia berhati-hati memilih pasangan hidup

SETIAP insan ingin mencintai dan dicintai. Naluri lelaki atau wanita saling memerlukan antara satu sama lain dan memang lumrah manusia mahukan hubungan istimewa.

Bagaimanapun, sebelum memutuskan untuk menjalin hubungan serius, kedua-dua mempunyai matlamat tersendiri. Justeru masing-masing meletakkan syarat, ciri-ciri dan kriteria pasangan yang diinginkan supaya berpuas hati dengan apa yang dikehendaki apabila hubungan itu berterusan.

Senario hubungan cinta hari ini mendapati lelaki di Malaysia berfikiran lebih terbuka mengenai wanita, sebaliknya wanita pula masih terlalu memilih mencari pasangan, terutama mengimpikan kriteria teman lelaki yang mestilah lebih tinggi, berpelajaran serta mempunyai pendapatan lebih besar berbanding mereka.

Hal ini terbukti menerusi kajian yang dilakukan agensi janji temu terulung di Asia, Lunch Actually terhadap 654 responden di negara ini untuk tempoh beberapa bulan sejak Jun lalu.

Kajian meliputi 76.1% responden berusia antara 26 tahun sehingga 40 tahun dan 75.1% adalah lepasan ijazah sarjana muda. Kajian keseluruhan juga membabitkan 1,241 responden dari Hong Kong dan Singapura menerusi talian internet.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Lunch Actually, Violet Lim, berkata lelaki hari ini bersifat lebih terbuka dan mempertimbangkan pelbagai perkara untuk menjalin hubungan dengan wanita yang berpendidikan dan pendapatan lebih tinggi. Namun, keadaan berbeza, wanita pula dilihat kurang berminat menjalin hubungan dengan lelaki yang kurang berpendidikan dan bergaji rendah daripada mereka.

“Tinjauan juga mendapati 60% wanita Malaysia tidak berminat menjalin hubungan dengan lelaki yang berpendapatan kurang daripada mereka. Jumlah peratusan itu adalah tertinggi berbanding kajian wanita di Singapura, iaitu 47% manakala 37% di Hong Kong.

“Bagi lelaki tempatan, kira-kira 72% daripada mereka menjalin hubungan dengan wanita yang berpendapatan lebih tinggi daripada mereka manakala di Hong Kong (69%) dan Singapura (76%),” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan agensi laman web temu janji Lunch Actually, baru-baru ini.

Sementara itu, sejak zaman berzaman, rupa yang cantik adalah bonus kepada wanita untuk menarik perhatian lelaki. Bagaimanapun, wanita lebih tertarik kepada lelaki yang berkeyakinan dan berperwatakan menarik. Berdasarkan, kajian terhadap ketiga-tiga negara itu, mendapati lelaki dan wanita bujang perlu mempunyai penampilan menarik, khususnya bagi mereka yang ingin mencari cinta.

Hasil dapatan kajian mengenai fizikal pula di Malaysia, 70% wanita tempatan tidak akan menjalin hubungan dengan lelaki yang lebih rendah daripada mereka, manakala 55% lelaki Malaysia akan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi daripada mereka.

Dalam aspek menjalin hubungan dengan lelaki lebih muda pula, wanita Malaysia bagaimanapun bersifat lebih terbuka mengenainya. Kajian mendapati 44% menyatakan kesediaan mereka mengadakan temu janji dengan lelaki lebih muda daripada mereka.

Violet yang juga penulis buku jualan terlaris, Lessons from 15,000 First Dates, berkata wanita sangat menitik-beratkan aspek pendidikan. Kajian mendapati, wanita Malaysia enggan mengadakan hubungan dengan lelaki yang mempunyai tahap pendidikan rendah berbanding mereka, iaitu 48% dan sekaligus mencatat kedudukan teratas mengenainya, berbanding di Hong Kong (30%) dan Singapura (41%).

“Bagi mereka pendidikan memainkan peranan penting kerana boleh melambangkan pendapatan seseorang. Sehubungan itu, dalam temu janji pertama ada antara mereka yang akan mengambil perhatian terhadap perkara ini. Lantaran, ketika janji temu buat pertama kali, 79% wanita Malaysia menjangkakan lelaki akan belanja mereka makan di restoran manakala di Singapura (69%)dan Hong Kong (67%). Bagaimanapun, selepas hubungan diteruskan, hanya 30% daripada responden wanita Malaysia menjangkakan teman lelaki perlu terus membuat pembayaran terhadap janjitemu mereka sehingga hubungan terbentuk, sementara 32% lagi merasakan lelaki dan wanita seharusnya membuat pembayaran masing-masing untuk separuh daripada janji temu yang diadakan,” katanya.

Dari segi latar belakang agama pula, kajian mendapati lelaki dan wanita ketika ini lebih berfikiran terbuka untuk mengadakan temu janji dengan teman daripada kaum lain. Sebanyak 44% wanita dan 48% lelaki bersetuju untuk bertemu dengan teman berlainan kaum. Sementara itu, janji temu dengan individu warga negara lain sebanyak (72% lelaki dan 66% wanita tidak kisah mengenainya.

Sungguhpun perkahwinan dilihat sebagai perkara penting di kalangan sebahagian besar lelaki, namun ramai mengakui mereka takut kepada komitmen.

“Alasannya ialah mahukan kebebasan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak mahu bakal isteri memberi arahan mengenai kehidupan mereka. Kajian menunjukkan 38% daripada responden takut kepada komitmen manakala 29% pula menyatakan kegusaran mengenai situasi kewangan yang tidak kukuh selepas berkahwin.”

Bagaimanapun dalam hubungan ada pasang surutnya. Apabila menjalinkan hubungan intim, kedua-dua pihak mempunyai perasaan emosi yang kadangkala tidak boleh disorokkan apabila ia membabitkan hati dan perasaan.

Sebanyak 41.8% lelaki Malaysia didapati lebih selesa menitiskan air mata sendiri kerana ingin mempertahankan ego mereka. Bagaimanapun, 17.3% daripada mereka akan menitiskan air mata di hadapan teman wanita manakala rakan atau keluarga (2.8%).

“Kajian itu, turut tidak berkompromi apabila mendapati tiga daripada 10 lelaki Malaysia akan menamatkan hubungan dengan teman wanita jika tubuhnya berubah menjadi gemuk. Ini kerana mereka merasakan perubahan keadaan fizikal itu menunjukkan amalan kurang berdisiplin wanita terhadap penjagaan diri sendiri. Bagaimanapun, wanita lebih terbuka dan menerima keadaan lelaki seadanya walaupun lelaki mengalami perubahan pada penampilan diri. Wanita tidak mudah sesuka hati menamatkan hubungan dengan lelaki gemuk sekiranya mereka benar-benar menyayangi mereka,” katanya.

Sesetengah orang lebih selesa berkenalan dengan rakan kepada rakan. Namun, dunia semakin berbeza dengan kemudahan internet yang semakin berleluasa. Ini kerana kaedah mengadakan temu janji kini semakin canggih apabila menggunakan internet untuk mengadakan temu janji bagi mencari cinta.

Violet berkata, seramai 42.2% responden Malaysia (lelaki dan wanita) yang disoal selidik itu berkata, mereka pernah mencuba janji temu dalam talian.

INFO

Kajian mengenai lelaki dan komitmen terhadap pasangan terhadap lebih 20 lelaki di Malaysia menerusi Facebook.

1) Adakah anda mahu mencintai dan dicintai? Ya / Tidak
* 19 lelaki mengatakan mahu mencintai dan dicintai
* Seorang lelaki tidak mahu bercinta dan dicintai

2) Adakah anda takut/tidak mahu/mahu komitmen?
* 10 lelaki - mahu komitmen
* Dua lelaki - tidak mahu komitmen
* Lapan lelaki - takut komitmen

3) Apabila bertemu seseorang yang menepati kriteria, adakah anda mahu memberi komitmen? Ya / Tidak
* 20 bersetuju mahu beri komitmen
* Antara sebab kerana :
- Ingin menjadikan seseorang itu pasangan hidup jika menepati kriteria.
- Apabila berjumpa orang yang tepat, akan berusaha memastikan memberi komitmen
- Sudah mula rasa selesa dalam perhubungan.

4) Bilakah masa yang sesuai untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada pasangan anda?
* 15 lelaki berpendapat - lewat 20-an
* 5 lelaki berpendapat - awal 30-an

5) Apakah yang dikatakan bersedia dengan komitmen? Mereka berpendapat:
* Bersedia menanggung susah payah bersama, luangkan masa dan bersedia untuk bertanggungjawab atas segala permasalahan dihadapi pasangan.
* Bersedia dalam semua segi baik seperti kematangan berfikir, kewangan, kebijaksanaan menangani masalah, bersedia menerima kekurangan dan kelebihan pasangan.
* Bersedia dari segi tanggungjawab, kewangan dan mental untuk memberi komitmen sepenuhnya.
* Bersedia untuk terima semua baik dan buruk pasangan selepas ini.




Petikan : BHarian 03/11/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails