Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sempena hari yang bertarikh istimewa iaitu 11-11-11 hari ini, disiarkan beberapa berita untuk tarikh yang hanya dapat diraikan sekali seumur hidup. Laman-Seri tidak percaya kepada tuah tarikh, tapi hari ini cukup istimewa kerana kerana cuma datang sekali dalam tempoh satu abad...
Bayi nombor siri 11111111 ~ BHarian 11/11/11
Terengganu tunggu hari istimewa
KUALA TERENGGANU: Dalam satu kebetulan yang menarik, bayi yang lahir hari ini di Terengganu akan mempunyai empat set nombor 11 bagi lapan digit pertama MyKad dan sijil kelahiran mereka.
Selain nombor 111111 bagi hari, bulan dan tahun kelahiran mereka, bayi di Terengganu juga akan mempunyai satu lagi set nombor 11 iaitu bagi menandakan kod negeri Terengganu.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu, Nafisah Abdullah, berkata bayi yang lahir antara 12 pagi hingga 11.59 malam ini di Terengganu, akan mendapat nombor kad pengenalan dengan senarai angka berkenaan, tidak kira sama ada ibu bapa mereka berasal dari negeri ini atau tidak.
“Bayi yang dilahirkan sebelum atau selepas tempoh itu tidak dibenarkan menukar tarikh dan masa kelahiran,” katanya ditemui di sini, semalam.
Ditanya sama ada berlaku perubahan dalam kaedah pemberian nombor MyKad pada masa depan, beliau berkata, kurang kemungkinan ke arah itu kerana ia sudah digunakan dengan berkesan sejak lebih sedekad lalu.
“Kami sentiasa memberi keutamaan untuk menambah baik mutu MyKad. Kita tidak lihat masalah dengan sistem nombor sedia ada, malah ia dapat digunakan tanpa masalah ketika kita melalui peralihan milenia 11 tahun lalu,” katanya.
Rekod JPN negeri menunjukkan purata 60 bayi dilahirkan setiap hari di Terengganu.
Ribuan mohon kahwin 11-11-11 ~ BHarian 11/11/11
JAKARTA : Beratus-ratus pasangan di Indonesia membanjiri Kementerian Hal Ehwal Agama dengan permintaan untuk berkahwin hari ini, percaya tarikh 11-11-11, akan membawa mereka tuah dan kemurahan rezeki.
Agensi berita tempatan Antara melaporkan di tiga bandar, 1000 pasangan mendaftar untuk berkahwin.
Di Bogor, di pinggir ibu kota ini, sejumlah lima imam dijangka melakukan sekurang-kurangnya 366 upacara akad nikah, dengan angka hampir sama 373 pasangan, dijangka berkahwin di Pekanbaru, ibu kota wilayah Riau.
Ketua Pejabat Agama Pekanbaru, Darwison berkata, ramai pasangan percaya tarikh itu membawa tuah berikutan ia jatuh pada hari Jumaat yang dianggap mulia. Beliau bagaimanapun berkata, ketika sesetengah menganggap tarikh itu suci dan penuh keberkatan, yang lain memilih tarikh itu hanya kerana ia mudah untuk diingati.
Agus Trijoko, dijadualkan untuk menikahi tunangnya Purnama, berkata beliau memilih tarikh itu kerana mudah diingati.
“Saya percaya ia akan memudahkan saya mengingati ulang tahun perkahwinan selepas ini,” katanya.
Darwison berkata, upacara akad nikah itu dijadualkan dilangsungkan bermula jam 7 pagi sehingga sejurus sebelum tengah malam.
Di Jambi, 56 pasangan berdaftar untuk berkahwin hari ini.
“Biasanya hanya 10 akad nikah sehari,” kata Juana, ketua Pejabat Agama Jambi. - Agensi.
19 pasangan Tionghua pilih 11.11.11 ~ Kosmo! 11/11/11
KUALA TERENGGANU - Sebanyak 19 pasangan pengantin berketurunan Tionghua memilih untuk mengabadikan detik bersejarah melangsungkan perkahwinan pada tanggal 11.11.11 (11 November 2011).
Daripada jumlah itu, 12 pasangan merupakan pengantin baru yang berkahwin hari ini manakala tujuh lagi pasangan sudah berkahwin tetapi mendaftar semula perkahwinan mereka. Majlis perkahwinan beramai-ramai itu bermula pada 10 pagi berlangsung meriah di bangunan Persatuan Buddha Terengganu (TBA) di sini.
Presiden TBA, Wong Choon Kheng dan isteri, Chia Siew Hoon serta Naib Pengerusi, Chong Jun Hwa bersama pasangannya, Lee Beng Ong serta Setiausaha Agung persatuan itu, Soon Gin Leong dan isteri, Ong Yok Lan turut mendaftar semula perkahwinan masing-masing.
Bagi pasangan pengantin baru, Pang Jia Ming, 24, dan isterinya, Poh Su Ting, 20, mereka memilih tarikh unik 11.11.11 untuk disatukan sebagai suami isteri. Jia Ming, usahawan dalam bidang pertanian dan Su Ting akauntan berkata, mereka merancang untuk memilih tarikh itu untuk dijadikan kenangan paling indah dalam hidup mereka. - Bernama
Berebut kahwin tarikh 11/11/11 ~ Kosmo! 11/11/11
SHANGHAI – Beribu-ribu pasangan di China akan melangsungkan perkahwinan hari ini kerana mereka menganggap 11/11/11 sebagai tarikh bertuah. Akhbar Shanghai Morning Post melaporkan lebih 3,000 pasangan membuat tempahan untuk berkahwin di bandar raya ini. Peluang untuk berkahwin pada tarikh yang mengandungi barisan angka 1 itu, kata akhbar berkenaan, cuma datang sekali dalam tempoh satu abad.
Keghairahan sama turut dilaporkan di bandar-bandar lain di China dengan lebih 400 pasangan menempah untuk berkahwin di bandar raya Wuhan, tengah China. Di bandar Jinan, timur China pula lebih seratus pasangan merancang untuk berkahwin pada tarikh tersebut yang dianggap bertuah.
“Peluang untuk berkahwin pada hari ini yang memiliki tarikh 11/11/11 cuma datang sekali dalam seumur hidup,” kata seorang pengantin lelaki, Wang Qiang.
“Saya dan pasangan saya tidak akan membiarkan peluang ini terlepas,” tambahnya. – Agensi
Tragedi 11.11.11 ~ BHarian 12/11/11
Empat termasuk dua murid maut, tujuh parah; Bas rombongan terbalik sebelum dirempuh treler pasir
SLIM RIVER: Ketika ramai memilih 11.11.11 sebagai hari istimewa semalam, 36 pelajar dan empat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, sebaliknya melalui tragedi mengerikan apabila bas rombongan yang dinaiki terbalik, sebelum dirempuh sebuah treler ketika kebanyakan mangsa merangkak untuk menyelamatkan diri, menyebabkan empat orang terkorban.
Dalam kemalangan jam 4.30 pagi di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini, dua rakan mereka Khairul Anwar Azhan dan Maysarra Zaidi, masing-masing 15 tahun, mati di tempat kejadian dengan mayat Maysarra dikesan hampir tujuh jam kemudian dalam longkang di bawah timbunan pasir dari treler yang jatuh bertaburan. Pelajar yang memperoleh 8A ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu pada mulanya dilaporkan hilang selepas usaha mengesannya di lokasi kejadian dan hospital sebelum itu gagal.
Guru mereka, Siti Hajar Mohamad, 33, dari Kota Sarang Semut, Kedah pula meninggal dunia di Hospital Slim River (HSR) dengan sebelah kakinya putus dan ditemui berdekatan mayat Maysarra.
Seorang lagi yang meninggal dunia ialah Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45 yang dirempuh ketika membantu menyelamatkan pelajar keluar daripada bas berkenaan.
Dia menaiki bas lain bersama rombongan Wanita UMNO Kedah yang dalam perjalanan menghadiri program parti di Tanjung Karang, Selangor, dan berhenti di tempat kejadian atas permintaannya sendiri untuk membantu mangsa.
Kemalangan juga menyebabkan guru mereka, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan Azriahani Ahmad, 31 tahun cedera parah. Empat pelajar, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, Mohd Azim Dahalan, Moha Faisal Anuar dan Mohammad Shariffuddin, semuanya berusia 15 tahun dan anak Azriahani, Idzmi Haikal Khairul Shah, 5 yang mengikut ibunya juga parah.
Selain itu, 22 lagi pelajar dan seorang guru cedera ringan. Semua yang cedera ringan dan cedera parah dirawat di HSR dan Hospital Teluk Intan (HTI). Mereka adalah antara 60 pelajar dan tujuh guru SMK Air Merah yang menyertai rombongan menaiki dua bas, tetapi satu lagi tidak terbabit dalam kemalangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Md Tahir Kassim, berkata mangsa yang menyertai rombongan tiga hari dua malam ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands itu, menaiki bas persiaran itu di Kulim pada jam 11.30 malam kelmarin, menuju ke ibu negara.
“Siasatan awal mendapati bas dipandu lelaki berusia 25 tahun itu terbabas ke kiri jalan lalu terbalik dalam posisi mengiring. Dalam keadaan kelam kabut pelajar dan guru menyelamatkan diri, treler membawa muatan pasir yang datang dari belakang melanggar bas berkenaan.
“Kita sudah menahan pemandu bas dan pemandu treler untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ramai pilih tarikh 11.11.11 ~ BHarian 12/11/11
10 pasangan kecewa tak dapat nikah, pejabat agama tutup
SONGKHLA (Thailand): Hasrat kira-kira 10 pasangan yang mahu mengabadikan tarikh 11.11.11 dengan bernikah di sempadan semalam, musnah apabila pejabat Majlis Agama Islam Songkhla di sini, ditutup seminggu sempena cuti Aidiladha.
Difahamkan, pejabat majlis agama itu, yang diwartakan sebagai pihak berkuasa tunggal yang diberi kebenaran menguruskan pernikahan di selatan Thailand, ditutup sejak Ahad lalu, menyebabkan beberapa pasangan pengantin tidak dapat bernikah pada tarikh 11.11.11 yang muncul hanya sekali.
Maklumat diperoleh BH mendapati, ada antara pasangan terbabit berusaha mencari jurunikah bertauliah di beberapa daerah lain di wilayah ini namun gagal berikutan arahan yang hanya membenarkan pernikahan dikendalikan di pejabatnya. Sumber ketika dihubungi BH mengesahkan kira-kira 10 pasangan tampil ke pejabat agama itu, dengan hasrat melangsungkan pernikahan, semalam.
“Kita percaya kebanyakan pasangan itu datang sendiri atau dibantu orang lain untuk bernikah tanpa menyiasat terlebih dulu operasi pejabat ketika cuti Aidiladha,” katanya.
Difahamkan, sepanjang tahun lalu, 3,260 pernikahan direkodkan Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla membabitkan pasangan Malaysia di sekitar wilayah ini. Malah, tahun ini saja, tidak kurang 200 pasangan dari negara ini dilapor melangsungkan pernikahan di pejabat ini setiap bulan.
Sementara itu, jurunikah bertauliah di Klongget, Shafie Kayem Manaf ketika ditemui mengakui menerima panggilan daripada beberapa pasangan yang meminta bantuan melangsungkan pernikahan, semalam.
“Saya hairan kenapa mereka terlalu memilih tarikh istimewa sedangkan aspek pemilihan pasangan jauh lebih penting. Kita tidak mahu kerana tarikh, mereka hanya berkahwin selama enam bulan, selepas itu datang kembali untuk menuntut fasakh atau cerai,” katanya.
Di PUTRAJAYA, ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, semalam mendaftarkan 111 perkahwinan dengan majoriti pengantin Cina serta lima pasangan India.
Jurucakap JPN berkata, pihaknya hanya menerima 111 pasangan untuk didaftarkan perkahwinan sebagai simbolik tarikh istimewa 11.11.11. Tinjauan BH di kaunter pendaftaran JPN mendapati, ramai pasangan pengantin tiba seawal jam 8 pagi untuk mendaftarkan perkahwinan sambil diiringi keluarga serta sanak-saudara.
Seorang pengantin yang ditemui, Steve Raj, 29, berkata, tarikh 11.11.11 sangat istimewa dan hanya datang sekali.
“Saya sukar mengingati tarikh bersejarah seperti hari jadi. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang berkahwin hari ini (semalam) kerana tarikhnya senang diingati,” katanya yang mengahwini kekasihnya, Emily Koo, 32.
Di KUANTAN, tarikh 11.11.11 menjadi detik terindah kepada 11 pasangan termasuk anak sulung pelakon terkenal, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang diijabkabulkan pada majlis pernikahan beramai-ramai yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Masjid Negeri, di sini.
Dengan sekali lafaz, anak Ahmad Tarmimi, Ahmad Tarmizi, 33, bekerja sebagai penyunting rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sah menjadi suami kepada pasangannya, Siti Norasyikin Abd Rahman, 26, dari Tanjung Lumpur, di sini.
Di KUCHING, pasangan pengantin, Justin Kho, 34, dan Stephanie Chan, 34, sanggup menunggu lapan tahun untuk melangsungkan perkahwinan pada 11.11.11.
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, November 11, 2011
11-11-11
Susunan :
Bawang Goreng
pada
11/11/2011 08:29:00 PTG
RAMAI pasangan di China memilih untuk berkahwin pada hari ini berikutan deretan nombor satu yang ada padanya dan dianggap bertuah.
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tertimbus di dalam pasir.
Cebisan kaki mangsa kemalangan dikutip penyelamat.
MANGSA nahas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Slim River.
SEJUMLAH 77 pasangan pengantin meraikan kegembiraan mereka di majlis perkahwinan pengantin 1Malaysia diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, sempena tarikh 11.11.11 semalam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...