“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, November 18, 2011

Rakyat tak patut perlekeh bahasa Melayu



Usah mendewakan BI sehingga bahasa kebangsaan diabai, tidak diperkasa

POLEMIK mengenai penggunaan bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI) berterusan, khususnya oleh beberapa kerat rakyat yang amat mendewakan BI hingga tidak mahu mengakui BM ialah bahasa negara ini. Mereka seolah-olah tidak mahu memberikan taraf sepatutnya kepada bahasa mereka sendiri hingga tergamak memperlekehkannya.

Mereka begitu taksub dengan BI hingga tidak pernah mahu mempelajarinya kerana tidak mahu menggunakannya. Maka itu walaupun mengakui rakyat negara ini tetapi masih tidak boleh bertutur dalam bahasanya.

Jadi tidak menghairankan mereka berterusan saja merendahkan kebolehan bahasa Melayu sebagai mana juga puak tertentu khususnya akhbar bahasa Mandarin yang hendak menggalakkan penggunaan bahasa minoriti itu seperti sedang berlaku sejak akhir-akhir ini. Tidak salah bagi kita pelajari Mandarin tetapi janganlah dalam usaha ini seperti juga puak yang mendewakan BI berterusan memperlekehkan BM.

Maka itu perkembangan terbaru yang mana Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Johor Bahru, Dr Ahmad Pauzi Abu menghendaki kakitangan hospital itu belajar Mandarin hanya kerana kononnya ramai pesakit yang mahu mendapatkan rawatan di hospital itu tidak boleh bertutur BM adalah satu keputusan yang amat mengaibkan.

Kalau ada antara pesakit itu yang terdiri daripada rakyat negara ini tidak tahu bertutur BM, itu salah mereka. Setelah lebih setengah abad negara merdeka, bolehkah kita terima keadaan yang mana masih ada rakyat yang berterusan tidak menghiraukan bahasa negara mereka sendiri? Kenapa kita pula yang perlu mengetahui bahasa sisipan hanya untuk menampung mereka itu?

Sejak bila pula negara ini mengamalkan dasar pelbagai bahasa? Apakah kiranya ada pula orang India dan Sikh yang juga tidak boleh bertutur BM, kakitangan hospital itu perlu belajar Tamil dan Punjabi pula? Sekiranya ada dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak sedikit pun mahu menunjukkan kesetiaan mereka terhadap negara mereka bermastautin, kenapa kita pula perlu membongkok mengikut telunjuk mereka?


Maka itulah sehingga kini masih ada dalam kalangan puak demikian yang tidak mahu menggunakan BM, malah mereka berterusan hanya menggunakan BI dan Mandarin di premis mereka atau dalam risalah mempromosikan produk mereka. Ia memberi gambaran seolah ada usaha untuk mempromosi penggunaan bahasa Mandarin dalam negara ini hingga mahu mengabaikan BM.

Apakah mereka menganggap mereka bukan beroperasi di Malaysia yang mana bahasanya ialah BM? Apakah rakyat Perancis, Jepun, Korea atau pun Thai boleh menerima bahasa mereka diketepikan begitu dan sebaliknya mempelopori bahasa sukuan?

Kalau perkara demikian ini tidak mungkin boleh berlaku di negeri itu, kenapa di Malaysia masih wujud puak sedemikian dan kenapa pula pihak berkuasa tempatan kita begitu ‘bacul’ tidak mahu menunjukkan taring bertindak ke atas anasir yang tidak setia terhadap negara mereka sendiri?

Pejuang BM bukannya hendak memperlekehkan BI. Mereka hanya berjuang supaya BM diberi pengiktirafan sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Dengan itu, ia juga harus diterima sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengetahuan dan mana-mana agensi yang dipertanggungjawabkan memartabatkannya harus menentukan ia diberikan kedudukan setimpal dengan tarafnya. Itu saja yang diperjuangkan.

Jadi kenapa puak tertentu berterusan mahu memperlekehkan BM? Anehnya dengan pelbagai hal sampingan yang tidak kena mengena dengan usaha untuk memartabatkannya. Dalam pada itu wujud pula mereka yang berterusan mendewakan BI. Ini masih boleh diterima sekiranya mereka pada masa sama tidak ketepikan penggunaan BM.

Tidak ada siapa mempersoalkan usaha mahu menggalakkan penguasaan BI dalam kalangan rakyat negara ini lebih-lebih lagi di sekolah. Tidak siapa juga menafikan BI adalah bahasa antarabangsa yang penting dikuasai, khususnya bagi sebuah negara seperti Malaysia yang bergantung banyak kepada hubungan dengan dunia luar termasuk dalam perdagangan.

Diakui juga betapa pentingnya kita menguasai BI kalau mahu maju. Juga diakui BI kini sudah menjadi bahasa utama dunia sebagai bahasa antarabangsa, bukan saja untuk urusan perdagangan dan diplomasi malah sejumlah besar buku yang diterbitkan juga dalam bahasa Inggeris. Seperti juga penggunaannya amat meluas dalam komputer. Ini tidak dinafikan tetapi dalam mahu menegakkan penguasaan BI penggunaan BM tidak harus diabaikan. Jadi puak yang sememangnya tidak boleh bertutur BM ini janganlah hendak menangguk di air keruh sehingga tergamak mengatakan BM tidak penting.

BM sememangnya penting difahami dan dikuasai oleh semua mereka yang mengakui sebagai rakyat negara ini. Kalau tidak jangan jadi rakyat Malaysia. Itu saja. Oleh itu, keputusan kerajaan hendak memperkasakan pembelajaran BI di sekolah memang diterima baik, tetapi dalam usaha memperkasakan pengajarannya di sekolah, ia hendaklah dilaksanakan dengan baik dan berpandukan kepada suatu pertuturan bahasa Inggeris standard yang selama ini diikuti iaitu standard di England bukannya mengikut sebutan seperti di Amerika Syarikat dan Australia.

Oleh itu, pengambilan guru dari Amerika atau Australia yang mempunyai sebutan amat berbeza dengan sebutan orang Inggeris akan membawa kepada keadaan yang boleh mengelirukan. Apakah Kementerian Pelajaran tidak boleh mengambil kembali guru BI yang sudah bersara untuk mengajar mata pelajaran itu di sekolah? Ramai antara mereka yang bersara amat berdedikasi dan khidmat mereka tentunya masih boleh dimanfaatkan.

Penulis, Rejal Arbee [rejal@mcoba.org] ialah Felo Kanan UKM.




Petikan : BHarian 17/11/2011

1 ulasan:

  1. Saya tak tahu sudah berapa lama saya tertinggal ketika isu ini sedang memanas. tapi saya rasa isu ini kekal relevan hingga ke hari ini bilamana semakin ramai warga Malaysia menyisihkan Bahasa Melayu. Dari sehari ke sehari.

    Maaf kalau mungkin pandangan saya ini menyinggung perasaan penulis, tapi saya rasa isu ini sendiri sudah menular di peringkat pemimpin atasan. Terus terang, termasuk di kalangan menteri-menteri (mungkin termasuk Perdana Menteri).

    Saya masih ingat seorang menteri pernah menyampaikan ucapan takziah melalui SMSnya kepada pengurusan dan pelajar sekolah pondok yang musnah tertimbus tanah runtuh di Ampang tak lama dulu. Keikhlasannya kita akui, tapi sedikit ralat, menteri itu seperti sudah tak betah menulis dalam bahasa Melayu hingga menyampaikan salam takziah bernuansa Islam kepada orang Melayu sendiri harus dilakukan dengan bahasa Inggeris.

    Baru-baru ini ketika musim pilihanraya ke-13, Perdana Menteri sendiri memilih menulis akujanji taat setianya dalam bahasa Inggeris ketika ada ahli parlimen lain yang memilih menulis dalam bahasa Melayu. Jadi ketika itu saya berfikir. Apakah dia (dengan izin), mengaku taat setianya berkhidmat kepada warga termasuk dari luar Malaysia? Atau apakah dia mulai sedar semakin ramai warga Malaysia yang tak faham bahasa Melayu? Jika jawapannya yang ya, barangkali dia juga dah tak merasa apa-apa tentang polimek ini. Atau mungkin juga dia diam-diam mengaku bahasa Melayu bukan satu-satunya bahasa rasmi tunggal negara.

    Sebelum ini DBP sibuk mencanangkan pelaksanaan audit bahasa di peringkat kementerian. Alhamdulillah, ini satu usaha yang bagus. Cuma barangkali pengarahnya lupa, audit bahasa juga harus dilakukan ke atas menteri di kementerian itu sendiri. Atau dengan lebih tepat ia juga harus dilakukan terlebih dulu di peringkat kabinet kerajaan.

    Saya juga suka mengulas pelaksanaan MBMMBI yangg kononnya untuk memperkasakan bahasa Melayu (MBM) dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBI). Cuma apa yang saya lihat (dengan mata kasar), pelaksanaannya seolah-oleh tertumpu kepada MBI semata-mata. Satu persatu insentif baru yang kerajaan lakukan. Terbaru dengan mengumumkan pengambilan guru bahasa Inggeris dari negara penutur asli bahasa itu sendiri. Tak cukup dengan itu, pembelajaran bahasa Inggeris dilengkapi peranti canggih sebagai alat bantuan mengajar.

    Apakah pembelajaran Bahasa Melayu juga ada diajarkan sedemikian? Saya masih belum nampak seperti apa usaha dilakukan kerajaan untuk MBM selain dari pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu yang dianjurkan setiap tahun. Barangkali penganjur lupa, pemerkasaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tak akan ke mana kalau usaha memperkasakan ia dalam negara kita sendiri sudah gagal.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails