Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Bila akhbar melaporkan dua kanak-kanak sekolah berusia enam dan tujuh tahun ditangkap kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya 26 kes pecah rumah baru-baru ini, ramai tampil mengkritik.
Selain akhbar, ia turut dikongsi penulis blog yang rata-rata ‘hairan’ dengan kepintaran si kecil membuka pintu rumah dengan kunci yang disimpan jiran tetangga di dalam kasut. Aktiviti mereka dipercayai dilakukan sejak enam bulan lepas.
Walaupun kanak-kanak berkenaan dilaporkan mengaku apabila disoal pihak polis, sejauh mana pengakuan itu benar? Kerana dalam keadaan didesak, besar kemungkinan anak kecil itu takut lantas terpaksa membuat pengakuan, sedangkan pada hakikatnya kanak-kanak semuda itu mungkin tidak faham apa yang dilakukannya itu adalah mencuri.
Persoalan itu bermain dalam fikiran Perunding Pendidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badziz, yang jelas tidak selesa dengan apa yang berlaku terhadap kanak-kanak berkenaan, apatah lagi perkataan ‘pecah rumah’ seperti dalam dilaporkan.
Walaupun tidak mengetahui secara jelas mengenai latar belakang kanak-kanak itu hingga terbabit dalam kes sebegitu, beliau berkata, masyarakat tidak harus terlalu cepat meletakkan label negatif, iaitu mencuri kepada kanak-kanak berkenaan, sedangkan secara psikologinya, kanak-kanak pada usia muda iaitu bawah usia lapan tahun, sebenarnya belum mengetahui tindakan dilakukan itu benar atau sebaliknya.
Pada usia itu, jauh sekali kanak-kanak tahu memikirkan implikasi yang bakal terjadi pada dirinya di atas perbuatan itu sama ada mendatangkan kesan buruk terhadap dirinya sendiri atau orang lain di sekitarnya.
“Perkataan mencuri itu sendiri. Bagi kanak-kanak bawah usia lapan tahun, mereka tidak akan faham mengenai mencuri dan akibatnya sekiranya tidak diberitahu oleh orang dewasa. Memberi kefahaman kepada kanak-kanak berhubung mencuri pula tidak cukup dilakukan dengan dalam bentuk pengucapan, sebaliknya menerusi cara bermain dan bercerita.”
“Sebagai contoh, sekiranya kita ingin menjelaskan kepada mereka erti mencuri. Kita boleh ceritakan kepada mereka mengenai kisah kanak-kanak mengenai pencuri. Selepas itu kita perlu bertanya mengenai moral cerita berkenaan, seterusnya dikaitkan dengan kehidupan seharian. Sedikit sebanyak mereka akan faham mengenai perbuatan itu yang boleh memberikan kesan buruk kepada ramai orang,” katanya yang menyatakan pengajaran itu perlu diteruskan mengikut perkembangan usia kanak-kanak terbabit menerusi perkataan yang jelas kerana kanak-kanak tidak berupaya menerima pendekatan berbentuk abstrak.
Dr Mastura berkata, segelintir orang dewasa suka berkata ‘hah..mencuri ye....’ atau ‘jangan nak curi-curi ye..’ bila melihat kanak-kanak mengambil sesuatu barang. Sedangkan kanak-kanak berkenaan mungkin hanya ingin melihat dengan lebih jelas kerana kanak-kanak dilahirkan dengan sikap ingin mengetahui. Dan apabila si kecil mengambil barang itu, mungkin ada kehendak lain dalam dirinya yang tidak dipenuhi oleh ibu bapanya sendiri.
Kanak-kanak hanya tahu mengenai mencuri apabila diberitahu kerana tabiatnya mengambil barang atau tertarik dengan sesuatu yang menarik atau yang jarang dijumpai adalah tabiat semulajadi kanak-kanak normal.
Dr Mastura berkata, dalam dunia psikologi, tingkah laku kanak-kanak dibahagikan kepada tiga jenis iaitu, ‘instrumental’, iaitu perbuatan ini dilakukan atas sebab ingin mendapatkan sesuatu. Contohnya perhatian daripada ibu bapanya.
‘Hostile’, iaitu perbuatan dilakukan dengan alasan sengaja untuk seronok-seronok. Contohnya merosakkan harta awam atau vandalisme dan ‘relational’ , iaitu perbuatan agresif yang membabitkan hubungan dengan orang lain. Contohnya mengajak rakan memulaukan rakan yang lain atau batu api.
Mengenai tabiat mencuri, ia diklasifikasikan sebagai abstrak, iaitu sukar difahami oleh kanak-kanak. Tabiat mengambil barang bukan miliknya, boleh berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk kerana ingin tahu, inginkan perhatian orang dewasa atau dilakukan secara tidak sengaja atau tidak mempunyai niat buruk.
“Ada satu kes, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun suka mengambil barang kawannya. Kanak-kanak itu adalah anak orang kaya. Tetapi apabila ditanya menerusi pendekatan psikologi, kanak-kanak itu mengaku ia dilakukan sebab inginkan perhatian daripada orang tuanya yang terpaksa dipanggil pihak sekolah untuk bertemu.
“Di sini kita perlu lihat punca kepada berlaku sesuatu perbuatan. Bukannya dengan terus menghukum. Apabila ibu bapa dapat mengesan punca dan cepat dicarikan penyelesaian, kanak-kanak itu akan dapat belajar dengan sendirinya. Kanak-kanak mengharapkan perhatian ibu bapa dan sanggup dimarah atau dihukum semata-mata ingin meraih tumpuan ibu bapa. Apabila ibu bapanya datang berjumpa guru, kanak-kanak tidak fikir kesannya, janji mendapat perhatian,” katanya.
Tegas Dr Mastura, kanak-kanak dilahirkan dengan fitrah dan si kecil diibaratkan seperti kain putih, yang mencorakkannya ibu bapa dan pengaruh faktor persekitarannya.
“Kanak-kanak dilahirkan berbeza perangai. Ibu bapa tidak boleh memaksanya tetapi boleh membentuk mereka menjadi anak yang baik. Tidak ada insan dilahirkan menjadi jahat, sebaliknya persekitaran yang boleh mempengaruhinya. Apabila ibu bapa dapat mengesan sesuatu yang kurang baik dalam diri anak termasuk kecenderungan mengambil barang orang lain atau bercakap bohong ibu bapa bertanggungjawab mencari penyelesaian,” katanya.
Mengharapkan kanak-kanak berubah menjadi baik apabila semakin besar dan selalu berkata ‘sudah besar nanti mereka tahulah’ adalah satu tanggapan salah yang kelak boleh memberi implikasi negatif kepada kanak-kanak.
Dr Mastura berkata, ibu bapa sepatutnya berusaha memahami psikologi kanak-kanak sejajar perkembangan usianya menerusi kursus keibubapaan atau menerusi pembacaan. Ini kerana dengan memahami psikologi kanak-kanak, ibu bapa bukan saja lebih rapat dengan anak masing-masing, bahkan lebih mudah menangani masalah yang mungkin dihadapi kelak.
INFO: Mencuri atau tidak?
* Kanak-kanak tahu atau tidak, perbuatannya mencuri?
- Kanak-kanak hanya tahu dia mencuri apabila diberitahu oleh orang dewasa kerana ia bersifat abstrak.
* Perlukan kanak-kanak mencuri dihukum?
- Tidak. Sebaliknya wajib bagi orang dewasa mencari puncanya terlebih dulu. Penuhi apa keperluannya terlebih dulu.
* Bagaimana mengesan anak mencuri?
- Tidak ada cara ‘mengesan’ sebaliknya perubahan sikap ditunjukkan mungkin boleh membantu, tetapi ia perlu dipantau setiap waktu, sedari kecil, barulah dapat dikesan perubahannya termasuk dari segi tingkah laku dan tutur kata.
* Kanak-kanak suka buka beg orang lain dan mencari ‘sesuatu’ di dalamnya lalu di simpan. Adakah ini tanda dia mulai mencuri?
- Tidak. Alihkan perhatiannya. Belikan dia beg dan terangkan kepadanya beg berkenaan adalah ‘tanggungjawab’ dan sedikit demi sedikit ‘tanggungjawab’ itu mampu mengurangkan minatnya terhadap beg orang lain.
Cerita kanak-kanak dan curi:
* DI SIGHET: Romania, negara yang terjejas teruk akibat kemiskinan kini diancam kumpulan mafia yang melatih kanak-kanak mencuri sebelum menghantar mereka ke jalanan di Eropah Timur untuk melakukan jenayah itu. Kanak-kanak itu mencuri apa saja terutama memecah meter tempat letak kereta di Sighet bagi mengambil wang di dalamnya. Pencuri bawah umur mudah mendapat pekerjaan di Romania ketika kadar pengangguran di negara itu meningkat. Kemiskinan memaksa orang ramai menyewa anak mereka kepada kumpulan mafia yang membayar kira-kira 1,200 franc (RM603) setiap tiga bulan.
* KANAK-KANAK tujuh dan lapan tahun terbabit dalam sekurang-kurangnya 26 kes pecah rumah di sekitar kuarters kerajaan di Presint 8, sejak enam bulan lalu. Antara barang berharga yang dilaporkan dicuri termasuk wang tunai RM350 dan seunit telefon bimbit Sony Ericson, cakera padat (CD) dan pelbagai barangan lain. Siasatan polis mendapati mereka juga menggunakan kunci rumah yang ditinggalkan pemilik dalam kasut di luar rumah untuk memasuki rumah mangsa dan mencuri. Pemilik rumah dipercayai meninggalkan kunci dalam kasut bagi memudahkan anak mereka memasuki kediaman lebih awal daripada waktu pejabat.
Petikan : BHarian 08/11/2011
Capaian entry berkaitan :
* Budak sekolah terbabit 26 kes pecah rumah
* Mengawasi anak di alam maya
* Anak adalah amanah
* Kain Putih Apa Coraknya?
* Ibu bapa alpa laksana amanah antara punca anak derhaka
* Berbohong secara kompulsif
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...