“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Memaparkan catatan dengan label Kemusykilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemusykilan. Papar semua catatan

Isnin, Jun 18, 2012

Kemusykilan : Kahwin Koboi



SOALAN :

Saya mempunyai seorang kekasih yang sudah berkahwin dan mempunyai sepasang cahaya mata. Setelah tiga tahun berkawan, akhirnya dia melamar saya untuk menjadi isterinya. Keluarga saya dan keluaarganya amat menentang perhubungan ini. Namun, demi cinta saya kepadanya, saya sanggup berkorban walaupun terpaksa menyisihkan keluarga sendiri.

Baru-baru ini, kekasih saya mencadangkan agar kami ‘kahwin lari’ dengan menggunakan khidmat agen pernikahan di Kuala Lumpur. Menurutnya, kami boleh bernikah mengikut mazhab Hanafi yang tidak mensyaratkan wali dalam pernikahan. Saya lebih selesa jika melangsungkan di Thailand sahaja. Saya mohon pencerahan ustaz dalam hal ini.

Cinta terlarang,
Bandar Puteri Puchong, Selangor.

JAWAPAN :

Sebagai asas perbincangan, perlu saya nyatakan kepada saudari bahawa cadangan untuk bernikah dengan menggunakan agen pernikahan merupakan satu tindakan yang bakal mengundang banyak kesulitan.

Sebagai makluman, nikah menggunakan agen atau sindiket tidak boleh diistilahkan sebagai ‘kahwin lari’. Mengikut amalan di Jabatan Agama Islam, ‘kahwin lari’ ditakrifkan sebagai perkahwinan yang dibuat dalam jarak jauh daripada wali, iaitu melebihi dua marhalah (kira-kira 92km). adapun dalam kes saudari yang ingin menggunakan khidmat agen atau sindiket pernikahan, kami menggelarkannya sebagai ‘kahwin koboi’. Istilah ‘kahwin koboi’ kebiasaannya merujuk kepada pernikahan yang dilakukan dalam lingkungan wilayah dan kuasa wali.

Ðalam kes ini, saudari dan juga keluarga menetap di Puchong, sementara sindiket pernikahan di Kuala Lumpur. Jarak dari Puchong ke Kuala Lumpur lebih kurang 29.3 km sahaja. Nasihat saya, elakkan daripada melaksanakan kahwin koboi.

Kahwin Sindiket

Kebiasaannya, kahwin koboi atau kahwin sindiket sebegini merujuk pada perkahwinan yang dijalankan di kawasan sempadan Thailand atau di mana-mana kawasan lain di Malaysia oleh satu kumpulan atau orang perserorangan yang tidak mendapat kebenaran menjalankan upacara pernikahan daripada pihak berkuasa kerajaan. Kebiasaannya, kumpulan atau orang perseorangan ini akan menyediakan segala kemudahan untuk pasangan melangsungkan perkahwinan termasuk menyediakan saksi dan wali bagi pihak perempuan.

Masalah akan timbul kerana perkahwinan ini diragui kesahihannya dan tidak dapat didaftarkan kerana surat perakuan nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Sebagai contoh, perkahwinan dijalankan di Kuala Lumpur, namun sijil perakuan yang dikeluarkan ialah sijil dari negeri Perak.

Implikasi Kahwin Sindiket

Terdapat dua kesan yang berbeza berkaitan kahwin sindiket ini, iaitu :

1 – Kegagalan melakukan pendaftaran

Sekiranya perkahwinan itu melibatkan wali yang sah, maka perkahwinan tersebut dianggap sah di sisi syarak. Perkahwinan ini hendaklah didaftarkan di unit Nikah, Cerai dan Rujuk di pejabat agama yang berdekatan.

Kegagalan melakukan pendaftaran ini boleh menyebabkan implikasi yang lebih buruk pada masa hadapan terutamanya jika berlaku perceraian. Sebagai contoh, isteri tidak berhak menuntut sebarang hak daripada suaminya kerana tiada rekod pendaftaran perkahwinan antara mereka.

2 – Ðiragui kesahihannya

Sekiranya perkahwinan itu dilaksanakan dengan berwalikan seseorang yang diragui sah, maka perkahwinan tersebut juga diragui kesahihannya. Apabila keadaan ini berlaku, akan timul masalah utnk mendaftarkan perkahwinan tersebut. Satu siasatan terperinci terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak.

Jika didapati perkahwinan itu sah, maka pendaftaran akan dijalankan dan denda akan dikenakan kepada pasangan terlibat. Sebaliknya jika dibuktikan perkahwinan itu tidak sah, maka perintah ‘faraq’ (pengasingan antara suami dengan isteri terlibat) akan dikeluarkan. Pasangan ini hanya akan disatukan semula melalui akad nikah baru yang pasti kesahihannya.

Perbezaan Kahwin Sindiket dan Kahwin Biasa

Kahwin Sindiket
Kahwin Biasa
Wali dan saksi telah disediakan secara pakej oleh agen pernikahan.
Pasangan pengantin perlu menyediakan wali dan saksi sendiri.
Kos bayaran bagi kahwin sindiket agak tinggi iaitu mencapai RM3,000.00
Menelan belanja antara 1% hingga 5% daripadanya. Contohnya di Selangor, kos yang dikenakan ialah sekitar RM150.00 sahaja.
Tidak melibatkan sebarang urusan dengan Pejabat Agama Islam daerah.
Perlu didaftarkan di Pejabat Agama Islam.

Wali dalam Mazhab Hanafi

Berkenaan hujah kekasih saudari yang ingin bernikah menggunakan mazhab Hanafi, dalam ruangan yang singkat ini saya akan berikan beberapa penjelasan ringkas. Saya telah banyak menjelaskan persoalan wali ini dalam isu-isu yang lepas.

Secara ringkasnya, berdasarkan hadis sahih (riwayat al-Khamsah), jumhur fuqaha berpendapat bahawa nikah tanpa wali tidak sah di sisi syarak. Bagi anak dara, wali mujbir (bapa dan datuk) berkuasa penuh untuk menikahkan anak dara tersebut walaupun tanpa persetujuan daripadanya. Manakala bagi janda, hendaklah diminta keizinannya terlebih dahulu.

Namun begitu, tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat dalam mazhab Hanafi yang mengatakan bahawa nikah tanpa wali itu masih sah hukumnya. Walau bagaimanapun, pendapat ini mestilah difahami secara keseluruhan dan mendalam demi mengelakkannya diputar belit secara semberono bertujuan untuk mengetepikan terus peranan serta kuasa wali.

Menurut mazhab Hanafi, perkahwinan tanpa wali adalah harus, TETAPI ini tidak bermakna mengetepikan hak dan kuasa wali untuk membatalkan perkahwinan tersebut. Ini dijelaskan dengan lebih lanjut oleh Muhammad Hasan al-Shaybani yang mengatakan bahawa nikah tanpa wali sah, sekiranya mendapat keredhaan daripada wali. Tambah beliau lagi, nikah tanpa wali mesti mendapat keizinan wali dan sekiranya tidak, persetubuhan antara pasangan tersebut dihukum sebagai haram.

Justeru, dapat dirumuskan bahawa perkahwinan tanpa wali yang dilaksanakan dengan niat untuk menafikan atau mengetepikan hak serta kuasa wali tidak sah di sisi syarak secara ijmak.

Cadangan bernikah di Thailand

Terdapat dua kes yang berbeza berkaitan kahwin atau nikah lari di Thailand ini:

1 – Sekiranya nikah tersebut dilakukan oleh mereka yang telah ditauliahkan oleh kerajaan Malaysia, maka permohonan tersebut kelak boleh dipanjangkan semula ke pejabat agama daerah terdekat dalam tempoh enam bulan dari tarikh perkahwinan untuk tujuan pengesahan dan pendaftaran. Sejumlah denda akan dikenakan atas kesalahan bernikah di luar negara tanpa kebenaran.

2 – Perkahwinan yang melibatkan mereka yang tidak bertauliah disebut sebagai kahwin sindiket. Ia juga akan merumitkan keadaan untuk mendapatkan pengesahan pihak berkuasa di Thailand kerana dibimbangi pernikahan tersebut tidak sah. Apabila keadaan ini berlaku, maka ia akan dikendalikan oleh bahagian penguatkuasa di Jabatan Agama Islam yang berkenaan.

Berfikir semula

Sebagai nasihat kepada saudari, elakkan dari melaksanakan perkahwinan yang melanggar undang-undang terutamanya yang melibatkan nikah di sempadan atau menggunakan agen. Ia akan membawa kesan yang buruk di kemudian hari. Undang-undang dibuat bukan untuk menyekat atau menyusahkan, tetapi untuk memastikan keadilan kepada semua pihak.

Tataplah wajah isteri dan anak-anak kekasih saudari itu. Pandanglah redup mata kedua ibu bapa dan keluarga di rumah. Betapa hancurnya hati mereka andai mengetahui orang yang mereka kasihi selama ini sanggup membuang keluarga demi mengejar cinta. Kekasih boleh dicari, namun tiada yang dapat menggantikan tempat ibu bapa. Ðan ingat, kumbang bukan seekor dan Allah telah menetapkan jodoh yang terbaik buat saudari.

Renung-renungkanlah…

Sumber : Ustaz Badli Shah Alauddin (Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang) di Solusi Isu # 42, hlm 76-77.


Butiran selanjutnya ...

Khamis, Februari 09, 2012

Kenal dulu sebelum berkahwin

PASANGAN perlu saling mengenali sebelum melangkah ke alam perkahwinan.- Gambar hiasan


PERKAHWINAN diatur ibu bapa? Adakah lagi berlaku dalam zaman canggih sekarang ini? Percayalah! Memang ada. Hakikatnya, perkahwinan masih sama sejak dahulu hingga kini iaitu menyatukan seorang lelaki dan seorang perempuan bagi membentuk sebuah ikatan atas nama kasih sayang serta amanah dan tanggungjawab.

Seperti maksud firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum Ayat 21: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Persoalannya, bolehkah wujud situasi ‘bersenang hati dan hidup mesra’ jika perkahwinan yang dibina itu diatur oleh ibu bapa?

Jawapannya: Ya, dengan dua syarat utama iaitu kedua-dua lelaki dan perempuan bakal pasangan suami isteri perlu saling mengenali terlebih dahulu dan kedua-dua lelaki dan perempuan bakal pasangan suami isteri itu bersetuju dengan perkahwinan yang diatur tersebut.

Perlu saling mengenali

Rasulullah SAW menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu Al-Mughirah bin Syu’bah.

Al-Mughirah memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Hadis riwayat al-Tirmizi.)

Hadis ini jelas membuktikan perlunya seseorang itu mengenali bakal pasangannya, lelaki mengenali bakal isteri dan sebaliknya. Ia penting kerana perkahwinan bukanlah perkara main-main sebaliknya melibatkan hidup masa depan yang perlu diharungi oleh mereka.

Tidak memadai jika hanya ibu bapa yang mengenali calon sebab bukan ibu bapa yang perlu hidup bersama bakal menantu pilihan. Ya, ibu bapa lebih dulu ‘makan garam’ tetapi bukan bererti ibu bapa sentiasa betul dan tepat dalam membuat pilihan.

Perlu bersetuju

Bakal pengantin tidak kira lelaki atau perempuan perlu bersetuju dengan perkahwinan yang diatur tersebut. Setuju sepenuh hati dan bukan rela dalam terpaksa.

Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Jangan mengahwinkan seorang perempuan janda sehinggalah diminta persetujuan dan mengadakan perbincangan serta jangan mengahwinkan seorang gadis sehinggalah diminta persetujuannya.

“Para sahabat bertanya: Bagaimana hendak mengetahui persetujuan seorang gadis? Baginda menjawab: Dia diam.”

Perlu difahami bahawa menyintai dan dicintai adalah dua perkara berbeza. Cinta tidak boleh dipaksa tetapi boleh dipupuk dan dibajai andai masing-masing bersedia untuk menerima bakal teman hidup mereka. Jika tiada penerimaan, paksaan akan hanya memudaratkan perkahwinan dan hidup masa depan kedua-dua mereka.

Berdasarkan pengalaman Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie yang mengendalikan kes, perkahwinan diatur ibu bapa tanpa persetujuan anak-anak sama ada kedua-duanya atau salah seorang daripadanya, meninggalkan natijah yang amat besar – kelalaian dalam pelaksanaan tanggungjawab.

Ada suami yang tidak melaksanakan hak nafkah batin isteri malah ada kes isteri tidak melayan nafkah batin suami. Ada kes pasangan bertindak curang kerana masih tidak mampu melupakan kekasih hati.

Paling tragis apabila anak-anak ini berpura-pura bahagia di depan ibu bapa walau hakikatnya mereka langsung tidak pernah bertegur sapa. Lantas, bagaimanakah mungkin wujud mawaddah wa rahmah yang syariat tetapkan perlu ada dalam perkahwinan?

Cinta sebelum kahwin

Bagi ibu bapa yang mengatur perkahwinan anak-anak, mungkin mereka mempercayai cinta sebelum kahwin tidak wujud. Pendapat itu salah. Fahamilah sabda Rasulullah SAW: “Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah.)

Hadis ini jelas membuktikan perasaan kasih dan sayang itu boleh diambil kira bagi membina mahligai perkahwinan. Lebih penting, selaraskan cinta tersebut menepati kehendak syariat.

Ingat! Jika ibu malah bapa enggan membenarkan sesebuah perkahwinan tanpa alasan yang munasabah menurut syariat, syarak menentukan si anak gadis itu boleh dinikahkan menggunakan wali hakim. Ia bukti bahawa keputusan ibu bapa berkaitan perkahwinan bukan muktamad. Namun, sebaik-baiknya biarlah setiap individu yang terlibat sama-sama bersetuju dan sama-sama merestui.

Andai hubungan anda dan pasangan dihalang, jangan patah semangat dan jangan sesekali melawan kata-kata ibu bapa anda. Bantahan anda akan membuatkan mereka semakin membenci pilihan anda kerana merasakan pilihan anda itu telah mengubah sikap dan prinsip diri anda.

Kenalkan pilihan

Sebaliknya, diamkan diri dan usahakan untuk kenalkan pilihan anda kepada ibu bapa anda. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Andai sudah kenal tetapi masih tak cinta, bersabarlah! Percayalah, jika dia memang ditakdirkan untuk anda, dia pasti menjadi milik anda biar apapun halangannya.

Berdoalah: “Ya Allah, aku mencintai dia (sebut namanya) dan aku ingin menjadi teman hidupnya hingga ke akhir hayatku. Andai dia mampu menjadi pasangan yang baik untuk masa depanku, ibu bapaku dan agamaku, maka mudahkanlah urusan jodoh kami dan bukakanlah pintu hati ibu bapaku untuk menerimanya. Sebaliknya andai dia bukan yang terbaik, Kau bukakanlah pintu hatiku untuk menerima calon pilihan ibu bapaku dan bantulah aku untuk melupakan dia.”

Ingat! Perkahwinan bukan semata-mata kata sepakat membuktikan kasih sayang sebaliknya adalah permulaan peranan besar memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Cinta dan kasih sayang itu anugerah! Ia boleh wujud andai anda ikhlas terhadap seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka. (Surah Maryam, Ayat 96.)

Apa yang penting, anda perlu bersikap terbuka dan berlapang dada dengan setiap takdir-Nya.




Petikan : Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Oktober 25, 2011

Persoalan hukum tepuk tangan


Haram ketika solat, diharus bagi meriahkan majlis

KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program.

Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya.

Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu. Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)

Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.

Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah).

Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.

Penulis, Muhammad Asyraf ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis.




Petikan : BHarian 25/10/2011

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, September 16, 2011

Q&A : Putus silaturahim laluan ke neraka


Persoalan Agama bersama Ustaz Zahazan

SOALAN :

USTAZ, sebelum ini saya ada bertengkar dengan adik saya dan isterinya disebabkan perkara yang saya rasa tidak perlu disebutkan di sini. Saya cuba untuk berbaik semula dengan mereka berdua, tapi mereka merajuk dan bermasam muka dengan saya. Saya cuba pergi rumah mereka pada Aidilfitri tetapi mereka enggan buka pintu. Apa komen ustaz?

DILEMA,
Langkawi.

JAWAPAN :

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan hadis yang melarang memutuskan hubungan silaturahim (ada yang menyebut silaturahmi). Antaranya adalah hadis Imam al-Bukhari daripada Jubair bin Muthim yang menyatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.

Kandungan hadis ini dibincangkan oleh pakar-pakar hadis dan mereka berkata bahawa yang tidak masuk syurga itu hanyalah orang yang mendustakan atau tidak percaya ajaran Nabi. Atas dasar itu, mereka memahami kalimah tidak masuk syurga di sini ertinya tidak masuk syurga dalam rombongan yang awal kerana orang yang memutuskan hubungan silaturahim akan diseksa ke dalam neraka terlebih dulu. Ada juga yang memahami hadis itu adalah ancaman agar setiap orang sentiasa menjalinkan hubungan harmoni dengan sesama manusia.

Begitu juga, antara ayat al-Quran yang melarang daripada memutuskan hubungan silaturahim adalah ayat 25 surah ar-Rad yang bermaksud: Orang yang merosakkan janji Allah selepas diikrarkan dengan teguh, dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mengadakan kerosakan di bumi. Orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk. Dalam surah Muhammad ayat 22 dan 23 yang bermaksud: Maka apakah kiranya, jika kamu sekalian berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim? Mereka itulah orang yang dilaknat Allah dan dipekakkan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka. Firman-Nya lagi dalam surah an-Nisa ayat 1 iaitu: Dan bertakwalah kamu kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan nama-Nya dan peliharalah hubungan silaturahim.

Berselisih yang membawa dua orang Muslim untuk tidak saling menyapa hanya dibenarkan selama tempoh tidak lebih tiga hari. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya (tidak mahu bercakap dengannya kerana benci) lebih tiga hari.

Dalam tempoh itu sudah cukup untuk meluruskan benang yang kusut, mencairkan yang beku dan menjalinkan kembali hubungan silaturahim. Orang yang memutuskan silaturahim boleh menjadikan ia menerima hukuman segera ketika berada di dunia lagi seperti dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat Tarmizi daripada Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada dosa yang layak disegerakan hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.

Elok anda berbuat baik kepada adik anda dan isterinya sekalipun mereka bersikap tidak baik dengan anda. Contohnya ketika mereka sakit, ziarahlah mereka, atau selalu memberi hadiah kepada mereka dan seumpamanya.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau bercerita: Ada seorang mengadu kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai beberapa saudara di mana saya menghubungkan silaturahim dengan mereka tetapi mereka memutuskan hubungan silaturahim dengan saya. Saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya. Saya berlemah lembut dengan mereka tetapi mereka tidak tahu diri. Baginda SAW bersabda: Seandainya kamu benar-benar seperti yang kamu katakan, maka seakan-akan kamu menelan abu yang sangat panas kepada mereka. Dan Allah sentiasa memberi pertolongan kepada kamu atas perbuatan mereka selama kamu tetap berbuat demikian.

Wallahualam.




Sumber : BHarian 11/09/1011

Butiran selanjutnya ...

Khamis, September 15, 2011

Bolehkah menyusukan anak lebih dari dua tahun?


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Ðalam egrup yang BG sertai, terdapat persoalan berkenaan penyusuan anak yang lebih daripada 2 tahun yang berbunyi:

“Salam n morning all. Need info tentang penyusuan anak lebih dari 2 tahun. Musykil sikit... coz macam-macam yang saya dengar. Kalau lebih 4 tahun, susu jadi darahlah.. aisey.. ada ke benda-benda macam tu? Yang saya tahu, susu ibu itu baik untuk kesihatan dan baik untuk antibody anak. Ada sesiapa tahu?”
Hemmm... Saya berpengalaman menyusukan anak-anak sepenuhnya genap setahun, ada yang cukup-cukup dua tahun dan anak yang bongsu ini usianya sudah cukup dua tahun hujung bulan Ogos lepas, tetapi masih mahu menyusu badan. Bukan tiada usaha untuk menghentikan penyusuan, tetapi anak yang ini agak ‘liat’ sikit hendak berpisah dengan ‘candu’nya. Aduhai...

Saya tidak pernah mendengar yang susu ibu akan bertukar menjadi darah, sekiranya usia anak yang masih menyusu melebihi dua tahun. Mungkin inilah yang dikatakan ‘pantang’ orang tua-tua. Mungkin ada sebabnya yang tertentu, jadi ‘pantang’ ini direka-cipta.

Menurut satu feedback yang diterima hasil pertanyaan ini, Prof Joko ada yang menjelaskan :
“Komposisis susu ibu berubah mengikut apa yang ibu makan dan apa yang anak-anak perlukan. Allah SWT sudah beritahu kalau hendak melengkapkan penyusuan, hanya dua tahun. Ada hikmatnya dan Allah lebih tahu. Mungkin selepas dua tahun, sudah tak berapa ada kelebihan susu ibu itu. Kalau mengandung pula pastinya susu itu akan disediakan untuk bayi yang baru pula. Hanya Allah yang lebih tahu.”
Feedback yang lain pula berbunyi :
“Aku pernah dengar, stop penyusuan dari 1 tahun 6 bulan sampai 2 tahun sahaja, nanti effect pada anak, mungkin pemikiran jadi lembab. Eermm tapi aku rasa memang betul, ada beberapa contoh yang aku nampak sendiri. Lepas dua tahun bolehlah bagi vitamin yang ada untuk protect kesihatan anak kita.”
Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang susu yang jadi darah atau anak jadi lembab jika menyusu lebih daripada dua tahun. Namun, saya setuju bila Allah beri garis panduan penyusuan hingga dua tahun, ada hikmah yang tidak terjangkau oleh akal kita untuk difikirkan. Contoh yang diberikan di atas tidak pernah saya dengar, tetapi logik akal saya yang daif ini, kebiasaannya, anak yang berusia lebih dua tahun sudah pandai bercakap. Anak-anak sangat naif dan tidak segan silu bercakap apa saja, termasuk bercerita fasal fizikal ibunya. Ada anak kecil yang tidak segan silu memicit-micit payudara ibunya, walaupun di khalayak ramai. Bueno.... :) .

Secara peribadi pula, anak tersebut besar kemungkinan ‘mencabuli’ privasi ibunya, maklumlah, anak yang suka ‘bergayut’ tidak kira masa dan kadang-kala memberontak jika tidak dapat apa yang dia mahu. Pendapat Prof Joko juga ada kebenarannya. Khasiat susu ibu akan berubah mengikut keperluan anak seiring dengan usianya dan mengikut corak pemakanan ibu dan juga anak. Jika kita lihat, kolestrum hanya dihasilkan dalam minggu-minggu pertama kelahiran, seterusnya tiada lagi kolestrum dihasilkan dan susu ibu akan menjadi sedikit cair dan semakin cair, seiring dengan usia anak. Adalah lebih baik penyusuan dihentikan selepas usia dua tahun kerana telah ada garis panduan berkenaan yang berkaitan di dalam al-Quran.

Saya tertarik untuk mencari info lanjut mengenai hal ini. Kebanyakan ibu merasakan susu ibu adalah hak anak dan sanggup menyusukan anak lebih daripada dua tahun. Menurut sumber-sumber yang sempat dibaca, tempoh bercerai susu yang disarankan dalam al-Quran ialah 30 bulan, berdasarkan :

Allah berfirman:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }

Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf 46:15)

Kebanyakan bayi lahir lengkap 9 bulan dalam kandungan, jadi tempoh penyusuannya 30-9 = 21 bulan (kurang dua tahun). Sila baca penjelasan di bawah :

Firman Allah selanjutnya:

{ وَالْوَلِدَتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ }

Maksudnya: “Ðan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah Al-Baqarah 2: 233)

Maka, tempoh hamil ialah 6 bulan dan penyusuan pula 24 bulan. Berdasarkan dalil itu, Sayyidina ‘Uthman radhiyallahu ‘anh pun membebaskan wanita berkenaan daripada hukuman.

• Ahmad Mustafa Al-Maraghiy di dalam kitab “Tafsir Al-Maraghiy” turut menyebutkan bahawa tempoh kehamilan dan menghentikan anak daripada menyusu memakan masa selama 30 bulan. Ayat 233 Surah Al-Baqarah itu menunjukkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat ialah selama 6 bulan dan tempoh menyusu yang paling lama ialah genap 2 tahun. Masa yang tinggal untuk mengandung hanya 6 bulan. Dengan demikian dapat diketahui masa mengandung yang paling pendek dan masa menyusu yang paling lama.

Orang pertama yang membuat kesimpulan ini berdasarkan ayat tersebut ialah Saidina Ali r.a. yang kemudiannya dipersetujui oleh ‘Uthman r.a. bersama para sahabat Nabi SAW. Muhammad Ishaq iaitu pengarang kitab “As-Sirah” meriwayatkan daripada Ma‘mar ibn ‘Abdullah Al-Juhaniy yang berkata:

“Ada seorang lelaki dari kalangan kami yang mengahwini seorang wanita daripada Bani Juhaynah. Wanita itu melahirkan anak setelah perkahwinannya genap selama enam bulan. Maka suaminya menemui ‘Uthman radhiyallahu ‘anh untuk menceritakan perkara tersebut.

Selepas itu, ‘Uthman pun menyuruh wanita itu menemuinya, dan ketika wanita itu mahu memakai pakaiannya, saudara perempuannya pun menangis. Lalu wanita itu berkata kepadanya, “Mengapa kamu menangis? Ðemi Allah, tidak ada seorang pun antara makhluk Allah subhanahu wata‘ala yang telah mencampuri aku sama sekali selain dia. Kemudian Allah subhanahu wata‘ala pun memberi keputusan kepadaku menurut kehendak-Nya.”

Ketika wanita itu ditempatkan di hadapan ‘Uthman, maka ‘Uthman pun menyuruh wanita itu direjam. Apabila perkara itu didengar oleh ‘Ali, beliau pun menemui ‘Uthman lalu berkata: “Apakah yang kamu lakukan?” ‘Uthman pun menjawab: “Wanita itu bersalin setelah usia perkahwinannya genap enam bulan dan mustahil perkara ini berlaku.”

‘Ali pun berkata kepadanya: “Tidakkah engkau membaca Al-Qur’an?” “Tentu”, jawab ‘Uthman. ‘Ali pun berkata lagi: “Tidakkah engkau mendengar Allah subhanahu wata‘ala berfirman: “Mengandungnya sehingga memutuskan susu itu selama 30 bulan.” Firman-Nya pula: “... selama enam bulan penuh.” Kamu dapati bakinya hanya enam bulan.

Kemudian ‘Uthman pun berkata: “Ðemi Allah, aku tidak berfikiran sejauh itu. Bawalah ke mari wanita itu.” Ternyata wanita itu benar-benar telah dipersiapkan untuk menerima hukuman.” Ma‘mar pun berkata: “Ðemi Allah, tidak ada gagak yang serupa gagak, dan tidak ada telur yang serupa telur sehingga melebihi persamaan anak itu dengan bapanya.” Ketika ayahnya tahu, beliau pun berkata: “Anakku, demi Allah, aku tidak ragu mengenainya.”

Ðiriwayatkan juga bahawa Ibn ‘Abbas berpendapat apabila ada wanita yang bersalin setelah mengandung sembilan bulan, maka cukuplah baginya untuk menyusui anaknya selama 21 bulan. Seterusnya apabila wanita itu bersalin setelah mengandungkan anaknya selama tujuh bulan, hendaklah dia cukupkan baginya untuk menyusui anaknya selama 23 bulan. Begitu juga apabila dia bersalin setelah mengandung selama enam bulan, hendaklah dia menyusui anaknya selama dua tahun secara genap.

Dari sumber bin-sahak : hukum menyusukan anak lebih dari 2 tahun pula, katanya :

Tak ada masaalah menyusukan anak lebih dari dua tahun, jika perkara itu tidak mendatangkan mudharat kepada anak, dan dengan kerelaan si suami dan isteri. Cuma kebiasaannya anak apabila sampai umur dua tahun dia memerlukan makanan tambahan yang lain.

Adapun ayat al-Quran dari surah al-Baqarah: 233:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Ðan para ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama sempurna dua tahun, bagi sesiapa yang menyempurnakan susuan.”

Ayat ini hanya berupa bimbingan dan bukan menunjukkan suatu kewajipan yang membawa dosa jika menyalahinya.

Al-Imam al-Qurtubiy ketika menafsirkan ayat 233 dari surah al-Baqarah di atas menyatakan: “Tambahan lebih dari dua tahun (menyusukan anak) atau menguranginya (tempoh tersebut), boleh jika tidak ada kemudharatan kepada bayi dan dengan kerelaan suami dan isteri.”

Cuma ada sebahagian ulama seperti Ibn 'Asyur (ابن عاشور) yang berpandangan tidak perlu ditambah susuan lebih dari dua tahun, kerana perbuatan ini tidak ada keperluan lagi.

Manakala dari sumber RawatanIslam2u ini pula, firman Allah SWT yang bermaksud, “Ðan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman 14)

Siapa yang arif boleh jelaskan adakah ayat di atas merupakan suatu PERINTAH atau SARANAN...? Walau apapun huraiannya, ada hikmahnya mengapa ia ditetapkan genap dua tahun sahaja. Maka eloklah kita ikut garis panduan yang telah ditetapkan mengikut al-Quran.

Juga dalam entry Q&A : Menyusu anak lebih 2 tahun, ada dijelaskan hal berkaitan, jadi secara peribadi, eloklah dihentikan penyusuan setelah genap dua tahun sahaja.

Saya tertarik dengan feedback yang diberi dalam petikan artikel daripada saudari Mulia Karimah, katanya :
Ada yang menyusu anak lelaki sampai 3-4-5 tahun sedangkan waktu itu mereka sudah mula ada naluri seksualiti. Ini bukan cara yang baik mendidik anak-anak. Tegahan dan suruhan di dalam al Quran mesti ada hikmahnya. Wahyu Ilahi mengatasi segala pendapat dan kajian Barat. Ibu harus ada as sitr iaitu inisiatif menutup bahagian-bahagian anggota tertentu daripada penglihatan anak apabila anak sudah meningkat dewasa. Penyusuan yang terlampau lama malah di barat yang berumur 8 tahun pun ada yang masih menyusu! Ia meninggalkan kesan psikologi dan emosi kebergantungan yang negatif pada anak-anak. Cuba kita renung sejenak kenapa, najis muhaffah, air kencing, budak lelaki 0-2 tahun sahaja, yang menyusu susu ibunya sahaja. Kita pun tidak tahu kenapa dan mengapa. Tidak ada jawapan yang khusus, tetapi hukum Allah, kita taati, kerana Allah lebh mengetahui. Maka begitu jugalah dengan tempoh penysuan susu ibu.
Komen di atas sedikit sebanyak ada kebenarannya. Semoga kita dapat fikirkan bersama-sama.




Rujukan :
* e-fatwa
* bin-sahak
* RawatanIslam2u

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Ogos 28, 2011

Q&A : Rangsangan berahi boleh batal puasa



Umat Islam perlu elak tonton rancangan TV tak sesuai ketika Ramadan

Soalan :

USTAZ, ada banyak rancangan di televisyen yang memaparkan wanita yang tidak menutup aurat, termasuk pada Ramadan. Dan kita, tanpa sedar, turut menontonnya. Persoalannya, adakah perkara ini akan mengurangkan pahala puasa?

Haji Muhammad, Perak.

Jawapan :

RASULULLAH SAW bersabda dalam satu hadis riwayat. Sudah jelas bahawa membuka atau mempertontonkan bahagian tubuh yang dapat menimbulkan rangsangan berahi adalah perbuatan yang haram dan haram pula untuk dilihat sama ada sengaja atau tidak sengaja.

Sememangnya melihat aurat perempuan sekiranya itu pandangan pertama atau pandangan awal, tidaklah berdosa, tetapi pandangan kedua iaitu melihatnya secara sedar atau sengaja iaitu dengan niat melihatnya, itulah yang diharamkan.

Justeru, duduk di hadapan TV atau menonton gambar hidup lainnya yang mengandungi tayangan yang menonjolkan aurat, meskipun tidak sepenuhnya sama ada dengan melihatnya dalam bentuk yang nyata di hadapan mata, namun menonton TV yang mengandungi aksi yang mendatangkan keghairahan atau menonjol aurat adalah perkara buruk yang seharusnya dihindari atau dijauhi.

Kalau kita melihat kepada takrif puasa iaitu menahan nafsu makan, minum, bersetubuh dan perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari yang disertai. Apatah lagi perkara yang haram.

Menonton tayangan yang menonjolkan aurat atau yang menimbulkan rangsangan bertentangan dengan makna puasa, walaupun ia tidak membatalkan puasa. Perkara yang membatalkan puasa dari segi hukum antaranya makan, minum dan melakukan hubungan seks pada siang puasa. Namun demikian, oleh kerana ia bertentang dengan makna puasa, sudah tentu ia mengurangkan pahala puasa.

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap iaitu puasa umum, puasa al-Khusus dan puasa khusus al-Khusus. Tahap pertama adalah tahap puasa orang awam iaitu menahan perut dan kemaluan dari mengikut kehendak syahwat. Tahap kedua, puasa orang khusus iaitu orang yang menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota daripada perkara-perkara dosa. Tahap ketiga adalah puasa kalangan Nabi, as-Shiddiqin, orang salih dan seumpamanya.

Puasa mereka adalah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain Allah SWT secara sepenuhnya. Puasa akan terbatal pada tahap ini disebabkan memikirkan perkara-perkara selain Allah SWT dan Hari Akhirat.

Puasa tahap ketiga inilah puasa yang paling khusus kerana mereka bukan saja memelihara diri daripada daripada perkara membatalkan puasa tetapi juga yang membatalkan pahala puasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Banyak orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh dari puasanya selain dari rasa lapar dan dahaga.”

Akhirnya, mari bertanya pada diri, apakah menonton tayangan TV itu benar-benar tidak sedar atau tidak tahu bahawa ia perkara yang dilarang atau sebenarnya ia sedar dan memang sengaja menontonnya? Wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.



Petikan : Persoalan Agama oleh Ustaz Zahazan di BHarian 28/08/2011

Capaian entry berkaitan :
* Berpuasa tanpa solat ibadah sia-sia

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Ogos 07, 2011

Q&A : Suami sebagai pemimpin pikul tanggungjawab


Persoalan agama bersama Ustaz Zahazan

SOALAN :

USTAZ, saya ada baca al-Quran yang menyatakan kaum lelaki adalah pemimpin ke atas kaum perempuan. Persoalannya apakah ciri kepemimpinan suami? Jika seorang suami tidak mampu memenuhi keperluan keluarga, sedangkan isterinya bekerja dan mampu memenuhi keperluan keluarga, adakah kuasa kepemimpinan akan beralih kepada isteri.

Rahmah,
Kelantan.

JAWAPAN :

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Ayat yang saudari maksudkan itu ialah surah an-Nisa’ ayat 34: “Kaum lelaki (suami) adalah qawwamun (pemimpin) atas kaum perempuan (isteri) kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka (suami) memberi nafkah dari harta mereka...”.

Sebenarnya kalimah qawwamun yang biasa diterjemahkan sebagai pemimpin, terlebih dulu perlu ditegaskan bahawa suami diberi tugas sebagai pemimpin kerana keistimewaan dimiliki suami sebagai lelaki yang tidak dimiliki isteri sebagai perempuan.

Kedua, kewajipan suami memberi nafkah kepada keluarga. Dalam kitab Huquq al-Mar’ah fi al-Islam oleh Murtadha Muthahhari, beliau mengutip pandangan ramai pakar dan ahli psikologi Barat mengenai perbezaan sifat lelaki dan perempuan.

Satu perbezaan ditonjolkan adalah lelaki mudah untuk kelihatan dalam satu penampilan pada setiap masa sementara perempuan ingin kelihatan dalam bentuk manusia baru setiap hari. Ia menulis ‘wanita ingin bangun daripada tidurnya setiap hari dengan wajah baru.’

Selanjutnya beliau menulis lagi ‘mudah bagi wanita mengubah gelar dan namanya seperti gelaran suaminya bila dia berkahwin, begitu juga tidak sukar baginya mengubah agama dan kewarganegaraannya demi lelaki yang dicintainya.”

Agaknya inilah sebabnya mood pakaian dan rambut wanita selalu berubah. Ini berbeza dengan lelaki. Memang ramai yang mengakui perempuan secara umum sangat mudah terasa dan sensitif, kalau enggan dikatakan emosional. Ini berbeza dengan lelaki.

Kita boleh bayangkan bagaimana jadinya hubungan kekeluargaan jika dipimpin orang yang memiliki sifat seperti itu. Bukankah kepemimpinan perlu konsisten, ketenangan dan tidak emosional? Mungkin ada yang mengatakan bahawa tidak semua perempuan bersikap demikian. Ada saja isteri lebih bijaksana, pandai dan kaya daripada suaminya.

Akan tetapi, ayat di atas berbicara mengenai keadaan yang bersifat umum. Dari sudut lain, kita harus menyedari bahawa kepemimpinan (qawwamah) selalu diperlukan dalam setiap unit. Nabi SAW berpesan: “Tidak dibenarkan bagi tiga orang, walaupun di padang pasir, kecuali mereka mengangkat salah seorang di antara mereka sebagai pemimpin.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abdullah bin ‘Amr.

Dengan demikian, kepemimpinan dalam rumah tangga sangatlah diperlukan melebihi kepemimpinan dalam satu perusahaan atau syarikat yang hanya bergelut dengan angka. Dalam rumah tangga, perasaan, cinta, kasih, pembinaan dan pendidikan adalah hal yang mutlak. Di sinilah pentingnya kepemimpinan.

Kepada siapa tanggungjawab ini dibebankan? Al-Quran memilih suami atau ayah kerana faktor terbabit dalam ayat di atas. Perlu juga disedari kepemimpinan perlu kepada musyawarah dengan pasangan.

Nabi juga bermusyawarah dan menerima pandangan isteri Baginda kerana al-Quran berpesan kepada suami isteri dalam surah Ali Imran ayat 159, bermaksud: “... Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu...” serta surah al-Baqarah ayat 187: “… Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagimu dan kamu (suami-suami) adalah pakaian bagi mereka...”

Dalam keluarga isteri juga diberi tanggungjawab memimpin urusan rumah, sekali gus memelihara harta suami dengan cara mengurus dan mengatur keseimbangan belanja dan pendapatan. Dengan demikian, kemampuan isteri dalam membiayai kehidupan rumah tangga tidaklah menjadikan atau mencabut hak kepemimpinan suami.

Dari sudut lain, jika seorang isteri yang tidak mampu dibiayai secara wajar kehidupan rumah tangganya oleh suami, dia diberi hak oleh agama untuk meminta diceraikan. Namun perlu diingat bukan hanya faktor material yang dipertimbangkan dalam pemberian hak kepemimpinan, tapi lebih penting adalah jaminan kelangsungan hidup keluarga. Demikianlah, wallahualam.




Sumber : BHarian 07/08/2011

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Februari 13, 2011

Q&A : Isteri jangan dizalimi walaupun tak suka


Islam saran wanita pilih suami soleh sebagai keutamaan ketika cari pasangan

Soalan:

SAYA ingin mengetahui ciri-ciri suami derhaka dalam konsep Islam. Bagaimanakah seorang suami boleh terjerumus ke arah suami derhaka? Adakah suami derhaka dianggap satu dosa dalam Islam?

ADILA,
Petaling Jaya.

Jawapan:

DALAM surah an-Nisa’ ayat 19, Allah SWT berfirman: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci terhadap mereka (disebabkan tingkah lakunya, jangan kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam menuntut agar suami melayan isterinya dengan baik dan tidak menzalimi mereka. Orang berakhlak mulia adalah orang yang baik dengan isterinya seperti dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.”

Begitu juga sabdanya lagi: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.”

Justeru, mereka yang sudah bergelar suami perlu bersikap bijaksana, sabar, adil, bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 34 bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.”

Ini bukan bermakna, lelaki bebas melakukan kezaliman kepada wanita. Bahkan mereka menanggung amanah Allah yang akan dipersoal di akhirat kelak. Islam mengajar supaya adil dalam semua perkara. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”

Begitu juga suami yang baik hendaklah bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan isteri dan anak seperti makanan dan pakaian. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Hakim bin Mu’awiyyah, beliau berkata bahawa ia pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” Mungkin pada masa kini suami isteri bekerja, tetapi ia tidak bermakna suami sudah terlepas tanggungjawab memberi nafkah.



Namun, isteri walaupun pendapatannya besar, ia tetap tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah. Justeru, suami yang baik hendaklah memberi nafkah bersesuaian kemampuan suami. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 34 bermaksud : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH sudah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Kepada saudari yang bertanya, sememangnya ada suami yang menzalimi isteri. Kerana itu, Islam menyuruh untuk memilih aspek soleh sebagai keutamaan memilih bakal suami. Suami yang soleh sekali-kali tidak akan menzalimi isterinya walaupun ia tidak menyukai isterinya dan kedua, mungkin saja suami yang tidak menyukai isteri disebabkan sikap isteri.

Seperti yang disebut oleh pakar motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah, kadang-kadang isteri suka mencabar suami apabila bergaduh. Kedua, isteri tidak menjaga mulut sehingga terlepas perkataan yang menyebabkan hati suami sakit. Ketiga, isteri tidak malu iaitu tidak menjaga batas pergaulan dengan lelaki asing. Keempat, isteri tidak menjaga penampilan di hadapan suami tetapi bersolek berlebihan apabila keluar rumah. Kelima, isteri cemburu berlebih-lebihan dan sebagainya. Semua perkara ini perlulah dimuhasabah kembali dan dibaiki agar keadaan menjadi lebih baik.

Wallahua’lam.

Sumber : Persoalan Agama oleh Ustaz Zahazan Mohamed di BHarian 13/02/2011

Laman-Seri : Hemmm... Ustaz Zahazan macam tidak menjawab soalan yang dikemukakan. Yang disebut oleh pakar motivasi tiada kena-mengena dengan soalan. Harap ustaz tidak berniat untuk menyembunyikan ilmu.

Perihal suami derhaka ini memang tidak banyak dikupas secara detail oleh ustaz dan ustazah, jika dibandingkan dengan isteri derhaka. Adakah ini bermaksud, tidak mengapa jika suami itu derhaka, tetapi isteri tidak boleh derhaka? Walhal perkara suami derhaka ini ada tertulis dalam kitab-kitab tafsir lama.

Mengapa kebanyakan ulama seolah-olah menutup isu begini? Hanya mereka dan Allah maha Mengetahui mengapa mereka 'mengelak' atau 'mengelat' untuk bercakap tentang ini, sedangkan ada ditulis dalam al-Quran, marhum-Nya, "Dan jika seorang perempuan bimbang akan nusyuz, atau atau sikap acuh tidak acuh suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik." (Surah an-Nisaa' ayat 128)

Saya cuba berbaik sangka dan mengandaikan ustaz Zahazan menjawab soalan secara berlapik (siapa faham, fahamlah ya), iaitu, jika kesemua yang disebut dalam awal jawapan tidak disempurnakan oleh seorang suami, maka itulah ciri-ciri suami derhaka.




Capaian entry berkaitan suami nusyuz a.k.a. derhaka :

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Februari 06, 2011

Berbaik sangka, berusaha cari jodoh sesuai


Persoalan Agama: Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SOALAN :

SAYA mempunyai persoalan mengenai jodoh. Umum mengetahui Allah SWT menjadikan setiap manusia berpasang-pasangan, namun ada juga yang tidak berkahwin sehingga akhir hayatnya. Persoalan saya, adakah orang ini sememangnya tiada jodoh atau dia akan berkahwin di akhirat kelak.

Darynn,
Rawang.


JAWAPAN :

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan kamu (wahai golongan lelaki) pasangan (isteri) dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. (Surah ar-Rum, ayat 21)

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, yang dimaksudkan dengan pasangan iaitu Hawa. Allah SWT menciptakan Hawa daripada tulang rusuk sebelah kiri Adam yang pendek. Seandainya Allah SWT menjadikan semua manusia jenis lelaki manakala pasangannya makhluk yang lain seperti jin dan haiwan, nescaya tidak ada keserasian dan kesesuaian di antara pasangan itu. Bahkan bila mana pasangan berkenaan berlainan jenis, nescaya akan lahir perasaan tidak selesa dan ketakutan.

Selanjutnya, di antara kesempurnaan kasih sayang Allah SWT terhadap manusia, Allah menjadikan pasangan mereka itu daripada jenis mereka sendiri. Allah menciptakan pada setiap pasangan itu rasa cinta dan kasih sayang. Ini kerana tidaklah seorang lelaki menikahi seorang wanita melainkan pertama, kerana rasa cinta dan kasih sayang yang dibuktikan dengan lahirnya anak daripada rahim isteri.

Kedua, kerana si isteri memerlukan nafkah daripadanya dan ketiga kerana ingin menciptakan rasa cinta antara mereka berdua. Nikmat dijadikan Allah SWT itu hendaklah difikirkan sehingga menimbulkan rasa syukur dalam diri dengan mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Berkaitan jodoh, tidak semua manusia yang lahir ke dunia ini pasti berkahwin. Ia adalah rahsia Allah SWT sebagai mana persoalan rezeki, ajal dan sebagainya. Begitu juga, tidak semua yang berkahwin itu pasti mempunyai zuriat. Tetapi secara fitrahnya, manusia memerlukan pasangan, zuriat, harta dan seumpamanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda yang diingini nafsu iaitu perempuan, dan anak pinak, dan harta yang banyak terdiri daripada emas dan perak.” (Surah Ali Imran, ayat-14)

Antara perkara yang boleh kita lakukan adalah:

  • Hendaklah seseorang yang mengakui beriman, berbaik sangka dengan Allah SWT jika masih belum menemui jodoh agar jiwanya menjadi lapang.
  • Banyakkan berdoa dan bermunajat kepada-Nya.
  • Ketiga, hendaklah bertakwa kepada-Nya.
  • Keempat, hendaklah berusaha untuk mencari jodoh yang tidak melanggar syariat Allah SWT. Antara jalan untuk memperoleh jodoh iaitu melalui perantara ibu bapa, sahabat dan orang salih.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dalam kalangan kamu dan orang yang salih daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32)

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu reda (berpuas hati) agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Sekiranya tidak, maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”

Bagi ibu bapa atau sesiapa saja yang mencari jodoh orang lain hendaklah menitikberatkan ibadat kerana aspek salih itu harus menjadi keutamaan. Jangan menjadikan kecantikan, kekayaan dan keturunan sebagai keutamaan.

Jangan memilih orang fasik sekalipun ia memiliki kekayaan atau rupa. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis: “Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasik, bererti ia memutuskan hubungan silaturahim dengan anaknya sendiri.”

Akhirat adalah persoalan balasan amalan. Orang beriman dijanjikan tempat kemuncak kenikmatan. Segala keinginannya akan diperoleh di sana dan kekal dalam kenikmatan. Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: “Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari jenis buah-buahan syurga, mereka berkata: “Inilah yang sudah diberikan kepada mereka dulu.” Dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam syurga, pasangan yang sentiasa bersih suci, sedang mereka kekal dalamnya selama-lamanya.” Surah al-Baqarah, ayat-25)

Wallahua’lam.

SEBARANG kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.



Petikan : BHarian 06/02/2011

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Januari 22, 2011

Q&A : Larangan berhias sepanjang edah tanda berkabung


Soalan:

SAYA menziarahi jenazah seorang jiran, baru-baru ini. Ketika bersembang dengan balu si mati yang kesedihan, tiba-tiba ada seorang saudara lelakinya memintas perbualan kami dan menyuruh si balu segera masuk ke dalam bilik, mengaji kerana 'edah' sebagai balu sudah bermula. Bolehkah ustaz jelaskan aspek edah dan berkabung bagi seorang wanita yang kematian suami.

SU, PETALING JAYA.

Jawapan:

Dalam Fikah al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq menyebut: "Sunat menyediakan makanan bagi keluarga yang meninggal seperti hadis daripada Abdullah Jaafar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah makanan buat keluarga Jaafar kerana mereka sedang ditimpa musibah.”

Perbuatan itu disunatkan Allah SWT kerana ia kewajipan dan merapatkan hubungan keluarga si mati dengan jiran tetangga. Imam Syafie berkata: “Sebaiknya dibuat makanan buat keluarga jenazah itu, cukup untuk mengenyangkan mereka selama satu hari dan satu malam, kerana ia adalah sunat dan adalah perbuatan orang berbudi.”

Kalangan imam memandang makruh hukumnya, jika keluarga si mati menyediakan makanan buat orang yang datang berkumpul, kerana menambah malang mereka serta meniru perbuatan orang jahiliah. Hal itu berdasarkan hadis Jarir katanya: “Berkumpul pada keluarga jenazah dan menyediakan makanan selepas dikebumikan, kami anggap sebagai meratapinya.”

Berkenaan edah bagi perempuan yang kematian suami, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 234: “Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri itu, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (edah) selama empat bulan 10 hari. Kemudian selepas habis masa edahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu (wali waris perempuan) mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan Syarak). Allah SWT sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa juga yang kamu lakukan.”

Edah bermaksud menahan diri daripada berhias dan menerima lamaran untuk berkahwin. Dalam tafsir Ibn Kathir menyebut: “Ayat ini mengandungi perintah bagi wanita yang ditinggalkan mati oleh suaminya untuk menjalani masa edah empat bulan 10 hari. Dan sudah menjadi ketetapan menurut ijmak bahawa ketentuan itu berlaku bagi isteri yang sudah digauli mahupun yang belum digauli.

Dalam Kitab as-Shahihain diriwayatkan daripada Ummu Salamah, bahawasanya ada seorang wanita yang berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku ditinggal mati suaminya, hingga matanya kesakitan, bolehkah kami memakaikan celak pada matanya?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak.” Pada setiap pertanyaan, Baginda menjawab dengan kata, “tidak” sebanyak dua atau tiga kali.

Lalu Baginda bersabda: Sesungguhnya masa berkabungnya adalah empat bulan 10 hari. Dulu, ketika zaman jahiliah, seorang antara kamu kena mengurung diri (menjalani masa edahnya) selama setahun
.
(Hadis Riwayat Muslim).

Zainab Ummu Salamah berkata: “Dulu apabila seorang wanita ditinggal mati oleh suaminya, maka ia masuk ke dalam sebuah rumah yang sangat kecil dan mengenakan pakaian yang buruk. Ia tidak meletakkan sebarang wangian dan apa pun selama setahun. Kemudian ia keluar mengambil najis binatang, lalu dilumur pada tubuhnya. Kemudian dibawakan haiwan ternak, keldai, kambing dan burung dan ia menjadikan haiwan-haiwan itu sebagai tanda berakhirnya masa edah dengan menggosok-gosokkan haiwan itu pada kemaluannya, lalu melemparkannya. Sedikit saja haiwan yang digunakan itu hidup.”

Sebenarnya, maksud berkabung dalam Islam bukan seperti diamalkan masyarakat jahiliah. Berkabung adalah meninggalkan atau tidak berdandan seperti memakai minyak wangi dan mengenakan sesuatu yang boleh menarik perhatian lelaki. Tarikan ini dalam bentuk pakaian, perhiasan dan seumpamanya. Berkabung ini hukumnya wajib atas isteri yang menjalani edah kematian suaminya, tidak ada perselisihan dalam masalah ini. Wajib hukumnya menjalani masa berkabung atas setiap isteri yang ditinggal mati oleh suaminya.

Hukum itu sama saja baik bagi wanita muda atau sudah tidak menarik lagi untuk dinikahi, merdeka ataupun hamba berdasarkan ayat di atas. Hal ini dilakukan demi menunjukkan kesetiaan kepada suami dan menjaga hak suami itu. Demikianlah yang disebut oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya.




Sumber : BHarian 08/08/2010


Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Disember 18, 2010

Pil kuda bawa mudarat


~ gambar hiasan ~

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras

SOALAN :

DOKTOR, boleh saya tahu kesan penggunaan pil kuda oleh pelajar?

Ingin Tahu

JAWAPAN :

SAUDARA, ramai pelajar mengambil pil kuda kerana ia dikatakan boleh meningkatkan prestasi pembelajaran terutama ketika musim peperiksaan. Ia dikatakan membolehkan seseorang pelajar berjaga sepanjang malam untuk belajar tanpa rasa letih dan mengantuk.

Selain dari itu, pil kuda diambil untuk meningkatkan prestasi dalam hubungan seks. Tetapi sebenarnya, ia adalah fakta yang tidak betul. Doktor sendiri tidak pasti apa kandungan sebenar pil kuda, tetapi sebahagian besar kandungannya adalah methamphetamine.

Methamphetamine adalah sejenis dadah psychostimulant atau dadah perangsang yang dilarang penggunaannya selain dari tujuan perubatan. Dadah ini akan memasuki otak dan menghasilkan tindakan yang menyebabkan terjadinya rembesan dopamine dan norepinephrine. Pengeluaran kedua-dua kimia ini dalam badan akan menyebabkan seseorang merasa sangat teruja (intense euphoria) dan menyebabkan seseorang merasakan beliau mempunyai tenaga berlebihan (enhancing effect on energy).

Namun begitu, walaupun seseorang merasakan yang dengan tenaga berlebihan ini, dia boleh terus membaca, tetapi hakikat sebenarnya, tidak ada apa-apa ilmu yang diperoleh kerana apa yang dibaca tidak akan kekal dalam ingatannya. Dari segi kesan seksual pula, ia akan menyebabkan seseorang itu merasakan yang dia mempunyai libido yang tinggi dan boleh melakukan hubungan seksual dalam masa yang panjang.

Pil kuda boleh merencat proses ejakulasi dan seseorang yang mengambil pil ini tidak akan mendapat klimaks atau orgasma. Dengan itu, hubungan seks boleh diteruskan pada tempoh masa yang panjang.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan ia juga akan menyebabkan seseorang hilang pertimbangan. Ini seterusnya membawa kepada hubungan seksual yang tidak selamat, tidak memakai kondom, kadangkala boleh menjadi ganas dan kasar.

Ada kes di mana berlaku kecederaan pada zakar, rectum dan vagina akibat perlakuan seksual di bawah pengaruh dadah ini. Kesan jangka masa panjang adalah mati pucuk atau erectile dysfunction dan kehilangan libido.

Dadah ini juga boleh mempengaruhi fungsi pundi kencing. Kesan sampingannya adalah pundi kencing akan mengalami irritasi dan inflamasi. Akibatnya, seseorang itu akan merasa hendak membuang air kecil yang kerap.

Dalam beberapa kes yang doktor rawati, pesakit perlu ke tandas setiap 15 minit ke 30 minit. Proses pembuangan air kecil juga akan menjadi sakit dan pedih. Ada juga berlaku masalah pengeluaran air kecil yang tidak terkawal sehingga penderita perlu memakai pampers walaupun berusia baru awal 20-an.

Kesan jangka masa panjang pada pundi kencing ialah pundi kencing akan menjadi berparut dan kapasitinya menjadi amat kecil. Rawatan untuk kes seperti ini adalah amat sukar dan mungkin memerlukan pembuangan pundi kencing secara pembedahan.

Kesan seperti ini juga dapat dilihat dengan penggunaan dadah jenis ketamine yang semakin popular di kalangan remaja. Dadah ini juga adalah sejenis dadah yang boleh menimbulkan ketagihan dan symptom ’withdrawal” akan terjadi sekiranya dadah itu tidak diambil. Sekiranya tidak diambil, dadah ini juga akan menyebabkan seseorang mengalami anhedonia iatu tidak ada lagi perasaan gembira atau kenikmatan dalam hidup.

Selain itu, ada beberapa lagi kesan sampingan akibat pengambilan pil kuda ini. Ini termasuk:

  1. Kerosakan pada gigi yang dikenali sebagai ‘meth mouth”. Ini terjadi akibat dari penurunan pengeluaran air liur, tabiat menggerudi gigi dan mengigit gigi secara tidak sengaja dan juga penjagaan gigi yang tidak teratur oleh penagih. Mereka juga kerap mengambil air yang berkabonat dan manis akibat dari perasaan dahaga yang terlampau kesan dari dadah ini.
  2. Kesan psikologi seperti ganas, cepat marah (irritable), tidak boleh tidur (insomnia), tidak dapat rehat (restless), paranoia, halusinasi dan psikosis.
  3. Kesan kardiovascular iaitu tekanan darah rendah, degupan jantung yang cepat dan pening (dizziness).
  4. Kesan pada sistem saraf iaitu sakit kepala, sawan (convulsion), ketegangan otot dan menggeletar.
  5. Kesan-kesan lain seperti hilang selera makan, penglihatan yang kabur, diarrhea, kulit menjadi kering dan kasar dan masalah jerawat.
  6. Pada dos yang tinggi, pil kuda boleh membawa maut akibat serangan sakit jantung.

Kepada pembaca yang masih mengamalkan pengambilan pil kuda atau sebarang pil yang dikatakan boleh menguatkan nafsu seks dan untuk persediaan sebelum peperiksaan, doktor nasihatkan berhenti segera. Ini kerana ada pelbagai kesan sampingan yang timbul akibat dari pengambilan pil ini. Dari segi pandangan perubatan moden, masih tidak ada lagi pil yang boleh meningkatkan nafsu seks di pasaran yang selamat untuk digunakan dan tidak ada pil yang boleh membantu berjaga malam untuk mengulangkaji pelajaran.

Anda musykil atau bimbang masalah kesihatan boleh menjejaskan kelakian diri? Dr Zulkifli akan memberi pandangan dan membantu menyelesaikan masalah anda. Hantarkan soalan kepada Pengelola Ruangan Tanya Doktor, XY - Ikon Lelaki, Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel tanyadrxy@bharian.com.my.

Sumber : BHarian 18/09/2010



Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Ogos 23, 2010

Q&A : Larang lakukan seksaan bunuh binatang


Kemusykilan agama bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SOALAN :

SAYA selalu menangkap tikus menggunakan perangkap besi. Kerana takut digigit, saya lazimnya membunuh tikus berkenaan dengan menyimbah air panas atau menenggelam tikus itu di dalam baldi dipenuhi air. Apakah perbuatan saya ini berdosa?

AH, Kuala Lumpur.

JAWAPAN :

IMAM an-Nawawi rahmatullah ‘alaih meletakkan satu tajuk di dalam kitabnya Riyadus Solihiin iaitu: “Pada menyatakan haram menyeksa binatang dengan api.”

Di antara hadis yang terkandung dalam tajuk itu ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah yang berkata, Rasulullah SAW pernah mengutus kami dalam satu pasukan dan Baginda bersabda, “Apabila kamu sekalian mendapatkan Fulan dan Fulan iaitu dua orang Quraisy yang Baginda sebutkan namanya, maka bakarlah dengan api.” Kemudian ketika kami hendak berangkat, Baginda bersabda, “aku tadi menyuruh kalian untuk membakar Fulan dan Fulan, tetapi sesungguhnya tidak selayaknya menyeksa dengan api kecuali Allah SWT. Oleh itu, apabila kamu menemui kedua-duanya, maka bunuhlah mereka.” (Riwayat al-Bukhari no.2853)

Begitu juga sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Ibn Masud, beliau berkata: “Ketika kami bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan dan Baginda berhajat (ke belakang), tiba-tiba kami melihat seekor burung yang mempunyai dua anak, kemudian kami mengambil kedua-dua anaknya itu, lantas ibunya datang dengan terbang berputar-putar. Kemudian Nabi SAW datang dan bersabda, “Siapakah yang mempermainkan burung itu dengan mengambil anaknya?” Kembalikan anak burung itu kepadanya.”

Baginda melihat ada sarang semut yang kami bakar, kemudian Baginda bertanya, “Siapa yang membakar sarang ini?” Kami menjawab: “kami”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya, siapa pun tidak layak menyeksa sesuatu dengan api kecuali Tuhan api itu sendiri.” (Riwayat Abu Daud no.6277)

Kesimpulannya, jika saudara hendak membunuh haiwan itu, carilah cara yang boleh mematikannya dengan cepat dan tidak menyeksa.
“Sesungguhnya Allah SWT sudah menetapkan agar berlaku ihsan kepada semua. Apabila kamu hendak membunuh, maka perelokkanlah cara membunuh dan apabila kamu hendak menyembelih, hendaklah perelokkan cara menyembelih...” (Riwayat Muslim)

Ini kerana Allah SWT sudah memerintahkan agar berlaku ihsan pada makhluk-makhluk-Nya sebagai mana sebuah hadis, daripada Syaddad bin Aus, daripada Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT sudah menetapkan agar berlaku ihsan kepada semua. Apabila kamu hendak membunuh, maka perelokkanlah cara membunuh dan apabila kamu hendak menyembelih, hendaklah perelokkan cara menyembelih…” (Riwayat Muslim no.5167).

Wallahua’lam.

Sumber : BH 2010/03/21




Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Julai 24, 2010

Q&A : Haram jual stok lama ikut harga semasa



Soal Jawab Agama: Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh, di BH 23/07/2010

Peniaga perlu jujur ketika membuat urusan perniagaan, elak amalan menindas pengguna

SOALAN :

SAYA sudah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan, jadi saya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak sehingga kadang-kadang dapat menampung keperluan setahun. Apabila tiba saat kenaikan harga, maka saya akan mendapat keuntungan lebih.

Apakah wajar saya menaikkan harga mengikut pasaran semasa dan apakah stok simpanan dikira sebagai perbuatan menyorok barangan yang saya tahu salah di sisi Islam. Harap dapat penerangan.

Ahmad Munir, Kangar, Perlis.
JAWAPAN :

Agama Islam menghalalkan jual beli selama mana tiada berunsur tekanan dan paksaan terhadap pihak lain. Kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli hendaklah saling reda meredai antara satu sama lain dalam melakukan muamalat jual beli.

Namun demikian, ada sesetengah peniaga cuba untuk menangguk di air keruh bagi mengaut keuntungan lebih dengan menyimpan bagi tempoh masa tertentu dan menjualkannya pada saat kenaikan harga seperti sekarang.

Ulama bersepakat menyatakan perbuatan menyorok barang untuk dijual ketika harga mahal adalah perkara diharamkan Islam kerana menyakiti dan menindas pengguna. Ia bertujuan menekan mereka yang berhajat pada ketika itu dan tiada pilihan kecuali membeli pada harga ditetapkan. Malah dapat pula mempermainkan harga barangan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah menyorokkan barang bagi seseorang sehingga waktu mahal itu sedangkan ia ditegah.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmiz dari Amr Bin Fadzlah)

Berdasarkan hadis itu, ulama menetapkan hukum diharamkan perbuatan menyorok barang jualan dengan dua syarat iaitu dilakukan di negara penduduknya akan menderita disebabkan adanya komplot itu dan menaikkan harga sehingga menimbulkan kesusahan pengguna semata-mata ingin memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Saidina Umar pernah menyebut: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.” (Hadis riwayat Ahmad)

Apa dilakukan saudara tidak termasuk dalam perkara yang dibincangkan kerana saudara menjual secara berterusan tanpa menunggu masa kenaikan harga barang. Sebenarnya saudara sudah mendapat keuntungan jika meletakkan pada harga berpatutan tanpa mengikut harga semasa kerana membeli dengan harga lama dan mendapat banyak potongan membeli dalam kuantiti banyak.

Diharap saudara dapat pertimbangkan mengikut keperluan semasa dan perikemanusiaan. Hikmah atau falsafah kepada pengharaman ialah untuk menolak kemudaratan ditanggung satu pihak sedangkan pihak lain mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seburuk-buruk hamba adalah mereka yang menyorok barangan, jika ia mendengar harga murah ia murka, dan jika barang menjadi mahal ia bergembira.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)


Peniaga sorok barang keperluan dilaknat, zalim


Tindakan monopoli pasaran untuk kaut untung menyusahkan pengguna, jejas ekonomi. SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, krisis kekurangan bahan keperluan seharian sering berlaku terutama menjelang perayaan.

Begitu juga didapati kekurangan bekalan gula semakin menjadi-jadi ketika ini, meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai usaha mengatasinya. Terbaru, lesen pemborong akan ditarik bagi peruncit gula yang tinggal di kawasan lingkungan 10 kilometer berhampiran sempadan negara.

Langkah ini bagi menyekat penyeludupan gula ke sempadan negara kerana harga guna di negara jiran lebih tinggi berbanding Malaysia. Segala kesempatan yang ada untuk mengaut keuntungan dengan cara yang merugikan negara haruslah dijauhi dan dihindari. Hampirnya Ramadan tidak berapa lama lagi antara faktor utama aktiviti menyorok gula di kalangan pemborong tempatan yang jauh dari daerah persempadanan berulang lagi.

Peniaga mengambil kesempatan dengan menyorok gula agar harga keperluan ini melambung tinggi dalam pasaran. Mungkin tidak ramai yang tahu tindakan ini dilarang Rasulullah SAW dalam sabdanya: Siapa yang menyorok barang keperluan, dia seorang yang berbuat maksiat. (Riwayat Muslim)

Perbuatan menyorok barang dalam bahasa Arab ialah ihtikar iaitu perbuatan memonopoli barangan secara individu bagi meningkatkan harga di pasaran. Menurut Islam, perbuatan ini adalah kezaliman yang dilakukan peniaga kepada pembeli dengan menggandakan harga barangan bagi mengaut keuntungan lebih.

Banyak hadis yang melarang dilakukan perkara seperti ini sama ada oleh golongan peniaga di kalangan orang awam hingga kepada peringkat pemerintah dan kerajaan.

Perbuatan seperti ini akan menyusahkan semua lapisan masyarakat. Sebuah hadis diriwayatkan Ibn Majah dan al-Hakim daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: Usahawan diberi rezeki dan orang yang menyorok barang dilaknat.

Dalam hadis berkenaan jelas menunjukkan usahawan yang mencari pendapatan dengan konsep memudahkan masyarakat pasti akan dipermudahkan rezeki mereka Allah. Berbanding dengan pihak yang menyimpan barang atau memonopoli suatu perniagaan mencari keuntungan dengan kesusahan orang lain pasti akan dimarahi dan dibenci masyarakat.

Ulama fekah menetapkan syarat mengenai pengharaman barangan keperluan ini seperti berikut:

  • Barangan yang disorok itu perlu 'lebihan' keperluan peribadinya dalam tempoh setahun. Sekiranya dia menyimpan barangan itu sebagai keperluan dirinya sepanjang tempoh setahun sebagai bekalan peribadi, ia tidak dikira sebagai ihtikar.
  • Individu berkenaan menunggu masa untuk harga dinaikkan dan ketika itu baru menjualkan kepada umum.
  • Barangan yang disorok adalah keperluan masyarakat setempat pada setiap masa, misalnya makanan asas seperti beras, tepung, gula dan sebagainya.

Jika perbuatan itu tidak menepati syarat berkenaan, penyimpanan barangan itu tidak dianggap ihtikar atau menyorok barangan untuk memanipulasinya. Perbuatan buruk seperti ini sebaiknya harus dihindari peniaga kerana menyusahkan masyarakat dan juga diri sendiri apabila perbuatan mereka diambil tindakan dan menerima balasan buruk di akhirat kelak.

Khalifah Umar halang sembunyi makanan

KISAH yang petik daripada kitab Musnad oleh Imam Ahmad Hambal mengenai kisah Farrukh pembantu Utsman. Imam Ahmad mencatatkan mengenai Khalifah Umar al-Khattab ketika menuju ke masjid melihat lambakan makanan. Beliau bertanya: Makanan apakah ini? Mereka di situ menjawab: Makanan yang kami usahakan. Beliau berkata: Semoga Allah memberkatinya dan mereka yang mengusahakannya.

Namun, sebahagian mereka berkata: Wahai Amir al-Mukminin, semua makanan ini akan disorok. Beliau bertanya, siapakah yang menyoroknya? Mereka memberitahunya bahawa Farrukh pembantu Utsman dan si fulan pembantu Umar.

Beliau yang mengetahui hal itu terus menghantar orang agar memanggil mereka bertemunya. Beliau bertanya: Apakah yang membuatkan kamu menyorok makanan kaum Muslimin? Mereka menjawab: Wahai Amir al-Mukminin, kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya. Jawab Umar: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.

Mendengar kenyataan Umar itu, Farrukh segera berkata, Aku berjanji demi Allah dan di depan engkau, aku tidak akan menyentuh makanan itu sampai bila-bila. Manakala, pembantu Umar masih menjawab: Kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya. Abu Yahya yang meriwayatkan hadis itu menceritakan: Akhirnya, aku sendiri melihat pembantu Umar itu menghidap penyakit kusta di akhir umurnya.

Sumber : BH18/08/2009


Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails