Persoalan Agama bersama Ustaz Zahazan
SOALAN :
USTAZ, sebelum ini saya ada bertengkar dengan adik saya dan isterinya disebabkan perkara yang saya rasa tidak perlu disebutkan di sini. Saya cuba untuk berbaik semula dengan mereka berdua, tapi mereka merajuk dan bermasam muka dengan saya. Saya cuba pergi rumah mereka pada Aidilfitri tetapi mereka enggan buka pintu. Apa komen ustaz?
DILEMA,
Langkawi.
JAWAPAN :
ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan hadis yang melarang memutuskan hubungan silaturahim (ada yang menyebut silaturahmi). Antaranya adalah hadis Imam al-Bukhari daripada Jubair bin Muthim yang menyatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.
Kandungan hadis ini dibincangkan oleh pakar-pakar hadis dan mereka berkata bahawa yang tidak masuk syurga itu hanyalah orang yang mendustakan atau tidak percaya ajaran Nabi. Atas dasar itu, mereka memahami kalimah tidak masuk syurga di sini ertinya tidak masuk syurga dalam rombongan yang awal kerana orang yang memutuskan hubungan silaturahim akan diseksa ke dalam neraka terlebih dulu. Ada juga yang memahami hadis itu adalah ancaman agar setiap orang sentiasa menjalinkan hubungan harmoni dengan sesama manusia.
Begitu juga, antara ayat al-Quran yang melarang daripada memutuskan hubungan silaturahim adalah ayat 25 surah ar-Rad yang bermaksud: Orang yang merosakkan janji Allah selepas diikrarkan dengan teguh, dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mengadakan kerosakan di bumi. Orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk. Dalam surah Muhammad ayat 22 dan 23 yang bermaksud: Maka apakah kiranya, jika kamu sekalian berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim? Mereka itulah orang yang dilaknat Allah dan dipekakkan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka. Firman-Nya lagi dalam surah an-Nisa ayat 1 iaitu: Dan bertakwalah kamu kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan nama-Nya dan peliharalah hubungan silaturahim.
Berselisih yang membawa dua orang Muslim untuk tidak saling menyapa hanya dibenarkan selama tempoh tidak lebih tiga hari. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya (tidak mahu bercakap dengannya kerana benci) lebih tiga hari.
Dalam tempoh itu sudah cukup untuk meluruskan benang yang kusut, mencairkan yang beku dan menjalinkan kembali hubungan silaturahim. Orang yang memutuskan silaturahim boleh menjadikan ia menerima hukuman segera ketika berada di dunia lagi seperti dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat Tarmizi daripada Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada dosa yang layak disegerakan hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.
Elok anda berbuat baik kepada adik anda dan isterinya sekalipun mereka bersikap tidak baik dengan anda. Contohnya ketika mereka sakit, ziarahlah mereka, atau selalu memberi hadiah kepada mereka dan seumpamanya.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau bercerita: Ada seorang mengadu kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai beberapa saudara di mana saya menghubungkan silaturahim dengan mereka tetapi mereka memutuskan hubungan silaturahim dengan saya. Saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya. Saya berlemah lembut dengan mereka tetapi mereka tidak tahu diri. Baginda SAW bersabda: Seandainya kamu benar-benar seperti yang kamu katakan, maka seakan-akan kamu menelan abu yang sangat panas kepada mereka. Dan Allah sentiasa memberi pertolongan kepada kamu atas perbuatan mereka selama kamu tetap berbuat demikian.
Wallahualam.
Sumber : BHarian 11/09/1011
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, September 16, 2011
Q&A : Putus silaturahim laluan ke neraka
Susunan :
Bawang Goreng
pada
9/16/2011 09:33:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...