Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Agak menyedihkan berita yang dibaca pada pagi raya ke-4, yang bertajuk ‘500,000 tersisih’ ini. Berita lengkap seperti di bawah.
Ibu bapa warga emas tak pernah terima wang daripada anak.
Ðilaporkan, lebih 500,000 ibu bapa yang terdiri daripada warga emas di Malaysia tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing bagi meneruskan kehidupan masa tua mereka. Fenomena yang disifatkan tidak sihat untuk pembangunan keluarga dan sosial itu membabitkan 636,461 warga emas atau 26% daripada keseluruhan 2.4 juta warga emas yang berusia lebih 60 tahun di negara ini. Penemuan itu adalah hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia (KPKM) kali ke 4 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta dipadankan dengan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010.
Warga emas Selangor ramai diabai
Timbalan Ketua Pengarah (Ðasar) LPPKN, Ðr Anjli Doshi-Ghandi, berkata daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan warga emas paling ramai tidak mendapat bantuan kewangan daripada anak, iaitu 94,720, diikuti Sarawak 69,267 dan Johor 63,919. Ia dipercayai berlaku akibat beberapa faktor, antaranya peningkatan taraf hidup, kesempitan hidup anak dalam menampung kehidupan sendiri, tiada hubungan mesra antara anak dan ibu bapa serta tiada kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa.
Kajian di 18,875 kediaman pula mendapati 60% daripada warga emas meneruskan kehidupan secara berdikari dengan menghabiskan duit simpanan atau skim pelaburan, manakala 28% terpaksa bekerja, terutama dalam sektor pertanian, perikanan, perkhidmatan, jurujual, buruh dan tukang sapu untuk menyara hidup.
Selain itu, 62% warga emas dikesan mempunyai pendapatan kurang RM500, sekaligus menunjukkan mereka sukar meneruskan kehidupan tanpa bantuan kewangan daripada anak masing-masing. Malah, lebih menyedihkan ada yang mengharapkan bantuan kerajaan bagi meneruskan kehidupan, termasuk menjadi penghuni Pusat Penjagaan Orang Tua sebagai pilihan terakhir.
Namun, 28% ibu bapa mengakui menerima wang daripada anak, tetapi sekali dalam beberapa bulan, manakala sebahagian lagi membantu dari segi lain seperti memberi keperluan makanan. Anak seharusnya memberi perhatian kepada ibu bapa warga emas dengan memberi bantuan kewangan serta meluangkan masa daripada membiarkan kerajaan mengambil alih tugas itu.
Fenomena itu harus diberi perhatian kerana ia akan meningkat setiap tahun, selaras dengan pertambahan bilangan warga emas yang dijangka mencecah 3.4 juta menjelang 2020.
Hemm... bagaimanakah nasib kita di masa akan datang? Adakah kita juga akan mengalami nasib yang serupa? Tidak dinafikan, kerap juga saya mendengar atau membaca keluhan dan rungutan anak yang kurang sabar menjaga ibu bapa mereka yang uzur. Beban kerja di pejabat, urusan membina rumahtangga dan mendidik anak menjadi tekanan bagi mereka. Apalagi jika ditambah dengan tanggungjawab menjaga kedua-dua orang tua.
Jika ditanya pada generasi yang hidup pada zaman moden ini terhadap suatu pilihan, adakah mereka suka hidup serumah dengan ibu bapa atau berpisah - mungkin kebanyakan mereka memilih untuk berpisah daripada bercampur serumah dengan ibu bapa atau mentua. Tidak salah jika mereka mempunyai keinginan untuk hidup mandiri. Tetapi, yang menjadi masalah adalah bagaimana jika ibu bapa kita telah uzur dan perlukan penjagaan dan perhatian anaknya.
Sesiapa saja yang menerima kehadiran ibu bapa di dalam rumah mereka tentu memerlukan kekuatan dan kekentalan jiwa iaitu ‘kesabaran’. Kita hendaklah sentiasa ingat kepada ganjaran yang Allah berikan sebagai balasannya. Untuk memastikan niat itu sentiasa terjaga dalam batas ikhlas kerana Allah, eloklah diperhatikan beberapa panduan untuk mendapatkan kekuatan dalaman bagi memelihara ibu bapanya yang uzur.
Yakin dengan keikhlasan menjaga mereka akan menjadi teladan yang baik untuk anak. Tangan yang membelai dengan penuh kasih, pandangan mata yang menghantar sinar kegembiraan, kata-kata yang manis dan wajah yang reda lahir dari hati yang ikhlas. Begitulah gambaran ideal adab seorang anak. Tunjukkan kepada anak kita begitulah cara melayan orang tua. Kelak mereka akan terbiasa dengan ajaran itu. Pepatah mengatakan, “bagaimana acuan, begitulah bentuk kuihnya” atau “bagaimana kuih, begitulah acuannya”. Maksudnya, perlakuan ibu bapa menjadi contoh ikutan kepada anak-anak. Jika ibu bapa memberi contoh yang baik, maka itulah yang menjadi ikutan anak-anak, begitulah sebaliknya. Namun, tidak dapat kita nafikan, kadang-kala ada juga kuih yang tidak menjadi, sama ada hangus terbakar ataupun tak naik dengan sempurna a.k.a kuih ‘bantat’. Jika ini yang berlaku, janganlah kita menyalahkan takdir yang telah tertulis untuk kita, mungkin ada hikmah sebalik ketentuan-Nya yang tidak kita ketahui.
Kita hendaklah menguruskan ibu bapa kita yang telah uzur dengan baik dan sempurna serta jangan terlalu berkira berapa wang tinggit yang telah dikeluarkan untuk mereka. TIdak salah jika anak-anak berkorban untuk ibu bapanya, malah ia satu tuntutan agama. Berkorban di sini bukan sahaja setakat wang ringgit, malah melibatkan masa dan tenaga.
Peruntukanlah dirimu untuk mereka
Ada sesetengah anak yang jijik melihat ibu bapa yang telah tua dengan muka yang berkedut, buang najis merata tempat dan mempunyai karenah yang memeningkan dan mahu dilayan sepenuh masa. Disebabkan itu, ada yang menghantar ayah dan ibu ini ke rumah kebajikan.
Apabila kita kenang kembali zaman kecil kita, ayah dan ibu tidak pernah jijik membasuh najis kita. Mereka juga sabar melayan dan memantau karenah kita yang lasak. Mereka sibuk mencari nafkah untuk kelaurga dan pelbagai kerja lain lagi yang perlu dilakukan. Namun, mereka tidak cuai memastikan supaya ada masa dan perhatian diperuntukkan untuk kita. Buktinya, hari ini kita mampu membesar dan berjaya. Kita membesar kerana meraka menjaga dan menyuapkan kita makanan dengan izin Allah SWT. Adilkah pengorbanan itu dibalas dengan keluhan dan perbuatan mengungkit apabila tiba saat kita pula yang perlu menjaga mereka?
Menguruskan dengan rela agar beban terasa satu kebahagiaan
Kerelaan seorang anak untuk menjaga dan mengurus ibu bapanya dapat dirasai oleh hati ibu bapa melalui cara layanan terhadap mereka. Anak yang menguruskan ibu bapa dengan banyak mengungkit, akan menambah beban jagaannya dan turut membebankan perasaan ibu bapa. Anak yang ikhlas menjaga ibu bapa pula lebih-lebih lagi apabila mereka telah tua, sangat dihargai oleh ibu bapa.
Sebenarnya mereka tidak mengharapkan wang ringgit daripada anak-anak tetapi kasih sayang dan perhatian. Walaupun ada sesetengah ibu bapa yang suka meminta duit daripada anaknya, namun pada hakikatnya, duit itu hanya menambah kekosongan dalam hidup mereka. Kasih sayang anak lebih membahagiakan.
Perkara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan derhaka
* Patuh dan taat pada suruhan, selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama
* Lemah-lembut dan menghormati ibu bapa
* Jaga dan layan mereka terutama sewaktu sakit dan ketika tua
* Sentiasa mendoakan mereka
* Sedar dan insaf pengorbanan ibu bapa
Mengambil berat keperluan ibu bapa
Seorang anak yang prihatin terhadap ibu bapanya, tidak akan lupa untuk mengambil tahu ke semua hal ehwal mereka tanpa diminta. dia juga tidak sekali-kali merungut andai merasai kesusahan dan kepayahan semasa menjaga kedua-duanya, malah berasa bertuah kerana dapat berbakti kepada mereka.
Ðaripada Abu Hurairah, seorang lelaki bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah yang paling berhak atas kebaikan daripadaku?” Baginda menjawab : “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi : “Siapakah selepas itu? Jawab baginda : “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi : “Selepas itu?” Baginda menjawab : “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi : “Selepas itu?” Baginda menjawab : “Ayahmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Ingat 2 perkara dan lupa 2 perkata
Ingat : Kebaikan, jasa dan budi orang kepada kita
Perlu dingatkan selalu jasa orang lain dan sekiranya berpeluang, eloklah dibalas walaupun balasan itu tidak setimpal dengan sumbangannya. Orang yang paling banyak budinya kepada kita ialah ibu bapa. Ingatan itu akan melahirkan rasa berterima kasih dan penghargaan. Lebih-lebih lagi perlu ingat dan mensyukuri segala nikmat dan limpah kurnia Allah SWT kepada kita yang tidak terhingga banyaknya. Allah SWT berfirman, “Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur).” (Surah ad-Duha 93:11)
Ingat : Kesalahan kita kepada orang lain
Rasa bersalah itu penting kerana rasa itulah yang mendorong kita meminta maaf, terutama kesalahan terhadap ibu bapa. Lebih-lebih lagi kita perlu ingat dan menginsafi dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah SWT, dengan beristighfar dan bertaubat. Kekalkan rasa berdosa itu supaya kita terhindar daripada melakukan kesalahan lain, kerana hati sentiasa takut dan berharap agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita.
Lupakan : Segala budi, jasa dan kebaikan kita kepada orang lain
Jangan diungkit-ungkit dan dikenang-kenang, terutamanya kebaikan kita kepada ibu bapa. Rasakan seolah-olah kita tidak banyak pun berbuat baik kepada orang lain. Lebih-lebih lagi, kita perlu melupakan segala amal ibadah yang telah kita buat kerana Allah. Dengan itu, moga-moga hati kita tidak dilintasi oleh rasa ujub, sum‘ah, riyak ataupun rasa diri lebih baik dan lebih mulia daripada orang lain.
Lupakan : Kejahatan orang lain terhadap diri kita
Anggaplah seolah-olah tidak ada sesiapa yang bersalah kepada kita supaya tidak tercetus rasa marah atau dendam terhadap orang lain. Lebih-lebih lagi hendaklah kita lupakan segala kesusahan dan ujian, musibah atau malapetaka yang ditimpakan oleh Allah SWT kepada kita seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan dan kegagalan. Agar tidak tercetus perasaan tidak sabar dan tidak redha dengan ketentuannya.
Tidak terlalu berkira
Ingatlah peringatan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud, “Ðan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Surah Luqman 31:14)
Anggaran kasar perbelanjaan yang dihabiskan oleh ibu bapa kita | |
· Upah mengandung dalam keadaan lemah dan serba kepayahan · Kos pemeriksaan rutin di klinik ibu dan anak sepanjang 9 bulan mengandung | agak-agak berapa..? 12 lawatan X RM60 = RM720 |
Melahirkan (jika di hospital kerajaan) | RM650 (anggaran) |
Upah ibu bersalin (anggaran dengan kadar minimum, belum cukup menyamai kesakitannya) | ? (agak-agak berapa, ya?) |
· Per-natal (sebelum bersalin, semasa mengandung untuk supliment dan lain-lain) · Ante-natal (penjagaan semasa berpantang, berurut dan rawatan badan) | RM360 RM1000 |
· Kelengkapan bayi baru lahir | RM1000 |
· Membesarkan · Memberi pendidikan · Pakaian dan tempat tinggal · Makan dan minum · Insurans pendidikan · Perubatan & lain-lain | RM200/bulan RM150/bulan RM200/bulan RM300/bulan RM200/bulan RM500/tahun |
Lain-lain kos · Air mata · Kepayahan · Kesakitan · Penat lelah · … dan banyak lagi… | ? (agak-agak berapa, ya?) |
Sebenarnya banyak lagi kos yang dibelanjakan mereka. Itu tidak termasuk lain-lain kos yang dinyatakan di atas. Tetapi kita, apa pula yang kita belanjakan untuk ibu dan ayah?
Mari kita buat perbandingan.
Perbelanjaan yang kita keluarkan untuk ibu bapa | |
Ðuit belanja RM200/bulan | Biasanya, tolak segala keperluan kita dahulu, jika ada lebih, baru diberikan kepada ibu bapa. Walhal, semasa kita masih kecil, kitalah yang menjadi keutamaan mereka. |
Kos rawatan RM200/bulan | Biasanya ibu bapa enggan mendapatkan rawatan di hospital. Maka, tidak akan luak duit anak. Si anak pula, apabila keadaan terdesak baru dibawa ibu bapa ke hospital. Itupun, dipastikan ibu bapa dirawat di tempat yang paling rendah kos rawatannya. |
Belanja kematian RM500 | Biasanya, anak tidak perlu keluarkan duit, semuanya ditampung oleh derma masyarakat setempat. Itupun berkira dengan adik-beradik, bertekak siapa yang patut keluarkan belanja untuk batu nesan. |
Mungkin ada di antara kita yang mampu mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk ibu bapa. Namun, agak-agaknya, dapatkah kita membalas jasa ibu bapa walaupun kita curahkan wang ringgit dan menjaga mereka sepanjang hayat mereka?
Kesimpulan
Peringatan kepada kita semua, hargailah kasih sayang ibu bapa kita. Anak yang soleh akan berusaha untuk membalas jasa kebaikan yang dicurahkan oleh ibu bapa kepadanya. Ðia akan melakukan apa sahaja yang termampu agar ibu bapanya dapat merasai keselesaan dan ketenangan hidup. Matlamatnya hanyalah untuk berbakti sebanyak mungkin sebelum kedua-duanya meninggal dunia.
Sebelum kita boleh mendabik dada menyatakan yang kita sudah membuat yang terbaik untuk ibu bapa, hayatilah kisah di bawah ini. Pernah dengar kisah seorang pemuda yang mendukung ibunya ke Mekah dari jauh untuk menunaikan Haji? Ðan apabila ditanya adakah perbuatan itu cukup untuk membalas jasa ibunya - jawapannya adalah tidak. Kita tidak akan mampu membalas jasa ibu bapa kita.
Ðalam suatu musim haji, kelihatan seorang pemuda sedang mengelilingi Kaabah sambil mendukung seorang perempuan tua di belakangnya. Wanita tua itu kelihatan uzur sekali. Ðia adalah ibu kepada pemuda itu dan kedua-dua orang tuanya sedang mengerjakan ibadah haji. Sambil berjalan mengelilingi Kaabah, pemuda itu berkata kepada ibunya, “Sebenarnya saya adalah kenderaan yang tidak pernah ada perasaan takut ataupun menyusahkan tuannya. Kalau unta-unta yang dikenderai manusia akan berlari bertempiaran apabila takutkan sesuatu, tetapi saya sebagai kenderaan ibu, saya tidak akan lari. Ibu telah melahirkan saya menyusukan saya. Pengorbanan ibu sangat besar.”
Secara kebetulan sewaktu pemuda itu mendukung ibunya, seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Ibnu Abbas sedang berada di situ. Pemuda itu bertanya kepada Ibnu Abbas, “Adakah tuan melihat saya ini anak yang sudah membalas jasa ibu saya?” Ibnu Abbas menjawab, “Belum. Saudara belum dapat membalas jasa ibu saudara apabila dibandingkan sewaktu dia sakit melahirkan saudara dahulu.”
Mendengarkan penjelasan Ibnu Abbas, pemuda itu diam seketika. Ðia menyedari dia tidak mampu membalas segala jasa ibu kepadanya. Lalu dia meneruskan tugasnya itu sehingga selesai mengerjakan ibadah haji itu. Pengorbanan ibu bapa amat besar nilainya. Ianya tidak mampu dibalas dengan apa bentuk pengorbanan yang kita lakukan. Berdoalah kepada Allah Taala agar Ðia akan mengampunkan segala kesalahan kedua ibu bapa serta memberi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Berbakti kepada ibu bapa sama nilainya dengan pahala jihad. Sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Amru bin 'Ash berkata: “Pada suatu hari seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, memohon izin untuk ikut berjihad bersama Baginda. Lantas Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: “Adakah orang tuamu masih hidup?” Jawabnya: “Ya, mereka masih hidup.” Rasulullah SAW bersabda: “Ðalam diri orang tuamu itulah terdapat nilai jihad.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Betapa besarnya pahala syahid kerana menjaga mereka, mengasihani dan memberi perlindungan kepada mereka. Sesiapa yang melakukan kerja jihad ini, hendaklah dia tetap istiqamah sampai Allah akan menentukan siapa yang paling beruntung itu.
Sentiasa ingat ancaman kepada si penderhaka. Ancaman pertama adalah berdosa seperti orang yang menyekutukan Allah SWT. Hal ini disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang maksudnya: “Mahukah sekiranya aku menyebutkan kepadamu mengenai sebesar-besarnya dosa besar? Iaitu menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ancaman kedua adalah haram baginya syurga Allah. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang derhaka kepada orang tua, orang yang suka mengungkit-ungkit kebajikan dan orang yang ketagih minuman keras.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ancaman ketiga adalah doa ibu bapa tiada hijab antaranya dengan Allah SWT. Jika mereka berasa dikhianati oleh anak-anak atau tidak dipedulikan sehingga membuat mereka marah dan sakit hati, apa-apa saja ucapan yang keluar dari mulut kedua-duanya yang berupa kekesalan akan didengar Allah dan apa-apa permintaan akan dimakbulkan-Nya.
Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Ðoa tiga orang yang pasti dikabulkan oleh Allah ialah doa orang yang tertindas, doa orang yang sedang dalam musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah)
Hanya rahmat Allah saja yang menguatkan hati kita untuk bersikap sayang dan kasih kepada keduanya. Sesiapa yang telah dicabut rahmat Allah dari dadanya, dia akan melupakan kedua orang yang paling berjasa dalam hidupnya tanpa rasa bersalah!
Checklist adab dengan ibu bapa
* Mendoakan ibu bapa
* Menziarahi mereka di kampung
* Menghantar duit belanja
* Menyediakan kos rawatan
* Menghubungi mereka untuk bertanya khabar
* Memberi hadiah
* Mengingati tarikh penting dan memberi ucapan kepada mereka
Semoga mendapat sekelumit manfaat untuk kita semua. Amiin.
Rujukan : BHarian 02/09/2011, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood di Solusi # 35 dan Ðr Juanda Jaya.
Capaian entry berkaitan :
* Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa
* Mengenang jasa ibu bapa tuntutan sepanjang hayat
* Jangan abai ibu bapa
* Tazkirah : Menghargai ibu bapa
* Mentaati Kedua Ibu Bapa
* Diarah sara ibu bapa sepanjang hayat
* Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik
* Mengungkit tandanya kufur nikmat...
Ada tak kemungkinan senario di bawah berlaku?
BalasPadamSemasa Pegawai Banci datang membuat bancian ke atas warga2 emas ini, warga emas ini mengandaikan bahawa mereka membuat bancian untuk menentukan status kelayakan mereka untuk mendapat bantuan. Maka untuk memastikan mereka layak untuk mendapat bantuan, maka warga2 emas ini mengisytiharkan yang mereka tidak pernah mendapat bantuan daripada anak2.
Assalam,
BalasPadamAnak-anak tidak menyedari bahawa kesenangan akan diperolehi di kemudian hari apabila kita sentiasa memberi wang pada ibu-bapa walau kita sendiri kesempitan wang sekalipun.
Ibu-bapa bukan mengharapkan separuh dari gaji kita tapi sekadar kita mampu tapi lebih banyak kita memberi hanya Allah sahaja yang membalasnya.
Saya sendiri suami isteri berpendapatan rendah dalam tahun 80an tapi kami pastikan setiap bulan memberi pada kedua ibu dan InsyaAllah rezeki Allah berikan tidak pernah putus dan kesenangan dan kemudahan diperolehi hinggalah ke hari ini. Alhamdulillah.
Berbuat baiklah pada ibu bapa kerana jasa mereka tidak terbalas dan ternilai dengan wang ringgit.
Kalau kita beri ibu-bapa kita, wang sentiasa ada walaupun gaji kita tak seberapa
BalasPadamrasanya bancian ni x betul...... klu tanya mentua sy mungkin jawapannya x de sbb kita org x memang bagi duit tp kita org settlekan bill2...api air astro dll..... kira contra la tu
BalasPadameermmm .. betoi tu .. saya pun ada terdengar kata-kata .. ' kalau kita sentiasa hulur wang ( sedekah ) kepada ibubapa, kita tak akan terputus rezeki malah sentiasa dimurahkan rezeki " .. saya tak bagi duit pada mak dan arwah ayah ( alfatihah untuk nya ) ketika saya tinggal dengan mereka. Tetapi saya tanggung perbelanjaan lain seperti jelaskan bil elektrik, air , telephone dan bayaran perubatan mereka. Juga barang- barang dapur .. basah dan kering bila diperlukan. Saya baiki kerosakan rumah dan menambah apa yang patut demi untuk keselesaan mereka.
BalasPadamKalau nak bagi wang tunai pun .. masa raya . Sejak arwah ayah meninggal .. mak pula dapat pencen dan saya tak hulurkan wang tetap setiap bulan kepadanya. Tapi apa dia nak makan .. ubat-ubatannya etc .. saya tanggung. Kekadang mak hulurkan duit dia ..dan saya ambil sebab dia pun nak rasa ' berbelanja' juga kannn
So .. saya rasa apa yang Fariza lakukan memang di amalkan oleh ramai dari kita terutamanya jika para ibu bapa mereka ada wang ' masuk ' sendiri .. iaitu pencen !!!
Biasanya ibu bapa yang ada pencen tak akan minta wang daripada anak-anak untuk pelbagai urusan bayaran bil. Apa yang mereka harapkan ialah anak-anak datang kerumah seperti dulu. Sebagai anak kita patut tahu kedudukan ekonomi ibu bapa dan keperluan mereka sebagaimana mereka faham saja isi hati kita dulu. Kalau kita meneran pun ibu bapa tahu.
BalasPadamAssalam,
BalasPadamAda juga anak-anak yang menghulurkan wang yang banyak kepada ibu bapa kerana bagi mereka wang adalah segalanya
tetapi tiada masa untuk menziarahi ibu bapa yang masih hidup kerana wang ringgit juga bukan menjamin kebahagian
mereka.
Cuba kita tengok mereka yang tinggal di rumah orang tua, kadang-kadang anak-anak mereka adalah dikalangan
orang yang berpangkat jua tapi tidak dapat menjaga ibu bapa, kenapa???
Semuanya terpulanglah pada diri kita, kalau nak tanggung ibu bapa dgn bayar semua bil pun boleh, nak beli barang
keperluan pun boleh, nak bagi cash money pun boleh, jadikanlah itu adalah sebahagian tanggungjawab kita terhadap
ibu bapa.
Jasa ibu kita yang mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari sehinggalah melahirkan dengan susah payah
dan membesarkan dari sebesar dua jari hinggalah sekarang, boleh ke kita nilaikan berapa semua itu? Bapa yang
menjaga kita dari dalam perut ibu lagi sehinggalah berjaya, bolehke kita kira berapa banyak wang yang telah
dibelanjakan untuk kita. Tak terkira dan ternilai jasa ibu-bapa terhadap kita.
Jom kita sama-sama nasihat menasihati perkara yang boleh kita jadikan tauladan dan ingatan.
Apa yang kita buat sekarang, boleh menjadi tauladan kepada anak-anak InsyaAllah.
Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.
Assalamualaikum Puan;
BalasPadamSaya ingin bertanya, jika anak lelaki kewajipannya adalah kepada kedua ibubapanya. Bagaimana pula kepada ibubapa mertuanya. Adakah wajib atau perlu baginya menanggung kewajipan yang sama. Harap boleh beri sedikit pencerahan.