DALAM kesibukan menyediakan hidangan ketupat, rendang dan kuih-muih, makanan tradisi seperti dodol tidak sekali-kali dilupakan sebagai pelengkap juadah pada Aidilfitri. Jika dahulu, proses membuat dodol memerlukan tenaga manusia mengacau selama 18 jam, kini dengan menggunakan mesin khas, ia boleh disediakan dalam tempoh 13 jam sahaja.
Malah menariknya, dodol yang kebiasaannya hadir dalam perisa asli (gula Melaka) dan durian kini juga boleh didapati dalam 11 perisa lain. Siapa sangka, inovasi tersebut dicipta sendiri oleh anak tempatan yang pada awalnya hanya menjalankan perniagaan dodol asli, durian dan wajik sirat sahaja.
Namun, selepas 12 tahun menceburkan diri dalam dunia perniagaan dodol, Ideris Zainudin, 47, telah menghasilkan 11 jenis dodol baharu melengkapkan kesemua 13 jenis perisa dodol keluarannya. Mungkin mentaliti masyarakat Malaysia masih belum bersedia menerima pembaharuan ke atas makanan tradisi terutama dodol yang sudah kerap dibuat secara manual.
“Sesetengah orang bimbang kualiti dodol moden ini tidak setanding dengan dodol tradisional kerana penggunaan mesin serta teknik pembuatannya sedikit berbeza. Rasa dan aroma dodol moden ini juga sering dipertikai dan dibandingkan dengan dodol tradisional, tetapi persepsi itu sebenarnya tidak benar. Dodol yang saya hasilkan adalah lebih berkualiti dan lebih baik daripada dodol tradisional,” jelas Ideris yang menjalankan perniagaannya di Kampung Kandang, Melaka.
Bahan segar
Bagi memastikan kualiti dodolnya terjamin, Ideris hanya menggunakan santan segar. Malah, santan yang disimpan di dalam peti ais, akan diperiksa terlebih dahulu dengan teliti sebelum digunakan. Sekiranya santan tersebut mempunyai dua lapisan setelah dikeluarkan, secara automatik ia tidak akan digunakan kerana santan tersebut telah tercampur dengan air.
Kelebihan dodol yang dibuat menggunakan mesin itu juga adalah proses mengacau selama 13 jam akan berterusan tanpa henti. Ia adalah proses yang agak sukar dilakukan kerana penghasilan dodol menggunakan cara tradisional menggunakan kudrat manusia mungkin menyebabkan dodol tidak sebati.
Kawalan api juga dijaga dengan teliti serta proses penyejukan selama 48 jam juga penting bagi menghasilkan dodol berkualiti tinggi. Dengan tujuh mesin pengacau dodol di kedainya, penyediaan dodol menjadi lebih produktif kerana dalam satu hari Ideris mampu menghasilkan 420 kilogram (kg) dodol.
“Sambutan terhadap dodol moden ini semakin meningkat dan tempahan banyak diterima daripada mereka yang menetap di bandar. Selain tempahan berbentuk peribadi, saya juga banyak menyediakan dodol untuk majlis syarikat korporat dan majlis perkahwinan. Musim perayaan merupakan masa paling genting bagi perniagaan saya kerana tempahan yang terlalu banyak membuatkan beberapa tempahan terpaksa ditolak,” ujarnya yang menyatakan dodol asli dan wajik sirat merupakan pilihan popular dalam kalangan pelanggannya.
Dodol 13 perisa
Menyentuh aspek inovasi dodol pelbagai perisa yang dijalankan Ideris, idea asal tercetus selepas lawatannya ke Thailand mendapati wujudnya dodol pelbagai warna namun, masih kekal dengan perisa asli.
Bermula daripada saat itu, Ideris berfikir tentang keupayaan dodol pelbagai perisa dan nekad memulakan eksperimen awalnya bersama-sama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Hasilnya, kerjasama itu berjaya melahirkan dodol berperisa jagung, pandan, strawberi dan mangga yang secara tidak langsung menjadi titik tolak buat Ideris meneruskan kajian ke atas potensi dodol perisa lain.
Tohmahan serta lontaran kata-kata tidak siuman terhadapnya tidak sekali-kali melemahkan semangat lelaki itu untuk terus maju menghasilkan dodol perisa cappucino dan durian.
“Pada mulanya ramai orang menganggap saya gila kerana cuba menghasilkan dodol pelbagai perisa dan warna kerana tanggapan orang bahawa makanan tradisi ini tidak boleh berkembang. Tetapi kini dodol asli saya juga mempunyai empat jenis iaitu dodol asli iaitu dodol asli badam, gajus, kurma dan kismis. Saya telah buktikan bahawa ia tidak mustahil dilakukan.”
Isteri kepada Ideris, Fozaiah Sabtu, 44, yang juga merupakan antara orang kuat perniagaan dodol itu memberitahu, dodol pelbagai perisa tersebut juga kini mendapat sambutan pelanggan luar negara.
“Dodol asli yang mengandungi kacang-kacang akan dibeli pelanggan-pelanggan dari Timur Tengah, manakala dodol-dodol perisa lain pula dihantar ke Singapura, Brunei dan China. Boleh dikatakan penerimaan orang ramai terhadap dodol pelbagai perisa ini berada pada tahap 60 peratus dan semakin lama ia semakin meningkat. Tidak lama lagi, kita akan mengeluarkan dodol perisa baharu iaitu dodol berperisa coklat, epal dan durian belanda,” ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.
Teknik pembungkusan
Keghairahan mencipta dodol pelbagai perisa tidak bermaksud aspek-aspek lain dipandang ringan terutama teknik pembungkusan. Tambah Fozaiah, pembungkusan dodol menggunakan daun upih serta bakul tampin turut dilakukan bagi memenuhi permintaan pelanggan. Dodol bakul tampin didatangkan dalam tiga saiz berbeza iaitu 350 gram (g), 400 g dan 500g. Selalunya ia disediakan bagi majlis pertunangan dan perkahwinan.
Seorang pekerja Ideris yang ditemui, Saidah Samsuri, 41, menyatakan pembungkusan untuk majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan memerlukan ketelitian serta kreativiti tinggi.
“Sebagai contoh hantaran perkahwinan, pelanggan akan datang dengan barangan perhiasan untuk hantaran tersebut dan cara dodol itu dibungkus akan dilakukan oleh kami di sini. Dekorasi dan persembahan dodol itu juga menjadi tanggungjawab kami agar hantaran tersebut tampak menarik,” katanya yang telah dua tahun berkhidmat dengan perniagaan Ideris.
Bagi pembungkusan biasa, ia akan dibalut dengan plastik berbentuk segi tiga. Proses tersebut akan dilaksanakan oleh 40 orang suri rumah di kawasan kampung tersebut. Saidah memberitahu, setiap suri rumah akan dibekalkan dengan 26 kg dodol dan kebiasaannya akan disiapkan dalam tempoh kurang daripada dua hari.
Laman-Seri : Tahniah kepada En Ideris. Bueno!
Petikan : Kosmo1
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...