Budak anggap sebagai makanan
PUTRAJAYA: Berkuat kuasa hari ini (26 August 2011), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengharamkan pembekalan dan penjualan bebola agar-agar (seeds growing kits) yang banyak digunakan untuk tanaman pokok hiasan di dalam rumah.
Pengharaman dibuat selepas kerajaan menerima aduan daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mengendalikan pembedahan ‘laparatomy’ terhadap lapan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun kerana usus tersumbat akibat tertelan agar-agar berkenaan.
Agar-agar itu turut dikenali dengan pelbagai nama iaitu Seven Colour Crystal Ball, Jelly Ball, Crystal Jelly, Baby Jelly, Baby Crystal dan Crystal Soil.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata agar-agar berbentuk guli berwarna-warni yang digunakan untuk membantu pertumbuhan pokok atau hiasan pasu dijual dalam bentuk bebola kecil bersaiz kurang 0.5 sentimeter yang jika direndam dalam air boleh mengembang sehingga 290 hingga 444% daripada saiz asal dan bersifat kenyal.
“Kanak-kanak mungkin menganggapnya sebagai makanan dan menelannya, manakala sifatnya yang menghakis serta mudah mengembang menyebabkannya tersumbat dalam usus. Kanak-kanak yang tertelan agar-agar itu akan mengalami kesan seperti muntah, demam, sembelit, perut kembung, sakit perut, usus tersumbat atau usus bocor,” katanya pada sidang media khas untuk mengumumkan keputusan itu di sini, semalam.
Berikutan keputusan itu, katanya, penjualan, pembekalan dan menyimpan bahan berkenaan diharamkan mulai hari ini (26 August 2011).
Laman-Seri : Tengahari tadi, anak sulong BG yang di Tahun 1 sibuk suruh belikan jeli kristal ini. Katanya ada projek ‘Seronoknya Bercucuk Tanam’ dan ditunjukkannya buku teks BM m/s 111, yang menunjukkan cara-cara menanam pokok bunga yang menggunakan jeli kristal ini. Tiba-tiba saja teringatkan berita jeli kristal ini yang diharamkan penjualannya dan pernah terbaca di BH. Untuk tidak menghampakan anak yang takut dimarahi cikgu kerana tidak membawa jeli kristal ke sekolah, kami pergi mencari jeli kristal ini. Tiga kedai kami masuk, sah, katanya tidak lagi dijual kerana telah kena ‘ban’. Nampaknya kena potonglah keratan akhbar BH dan berikan kepada cikgu esok pagi.
Kepada sesiapa yang ada anak kecil dan menyimpan jeli kristal ini di rumah untuk perhiasan, berhati-hatilah. Lebih baik dibuang saja bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.
Updated : 03/11/2011
Hari ini dilaporkan berita seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan terpaksa dibedah kelmarin selepas menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula, yang sebenarnya bebola agar-agar atau hidrogel, ikuti kisahnya di ruangan komen.
Sumber : BHarian 26/08/2011
Bayi telan bebola agar-agar dibedah ~ BHarian 03/11/2011
BalasPadamIfti Ilya Farhana demam teruk selepas insiden
KUANTAN: Seorang bayi berusia setahun tiga bulan terpaksa menjalani pembedahan selama dua jam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini kelmarin, bagi mengeluarkan bebola agar-agar yang ditelannya.
Ifti Ilya Farhana Mohd Khairuddin, tertelan dua bebola berkenaan yang diambil daripada pek makanan ringan pada 26 Oktober lalu, sebelum mengalami demam dan muntah serta tidak mampu makan serta minum.
Ibunya, Siti Aisyah Yusof, 27, berkata beliau menyedari Farhana tertelan bebola agar-agar namun tidak mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia tidak akan membawa kemudaratan.
“Namun dua hari kemudian anak saya mula muntah serta demam teruk malah suhu badannya mencecah sehingga 45 darjah Celcius selain tidak boleh makan atau minum. Saya kemudian memaklumkannya kepada suami Mohd Khairuddin Harun, 29, sebelum membawa bayi ke HTAA untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di HTAA, semalam.
“Pada malamnya, anak saya muntah sekali lagi dan kali ini mengeluarkan sebiji bebola bersaiz sebesar guli. Mengesyaki ada lagi bebola dalam perutnya, kami membawanya sekali lagi ke HTAA sebelum pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan sebiji lagi bebola,” katanya sambil berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan supaya kejadian sama tidak berulang.