“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Mei 14, 2010

Mengungkit tandanya kufur nikmat...

Lavender in Furano ~ 好きです 札幌!~

Assalamualaikum warahmatullah,

Beberapa minggu yang lepas, seorang rakan telah bercerita kepada saya yang beliau telah pergi mendengar ceramah agama di masjid Subang Perdana yang berhampiran dengan rumahnya. Menurut rakan saya itu, dalam ceramah tersebut, ustaz yang bertugas memberikan ceramah berkata, “Tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak… tetapi nafkah yang diberikan kepada isteri dan anak-anak untuk dimakan atau dipakai oleh isteri dan anak-anaknya itu tertakluk kepada persetujuan suami. Maksudnya, kalau suami tak halalkan, maka apa yg dinafkahkan itu, haram kepada isteri dan anak-anaknya.”

Terkejut beruk saya dibuatnya, bila rakan saya berkata begitu. Dalam hati berkata-kata, “Eh... iya ke?” Lalu saya bertanya, “Ustaz yang bercakap itu bercakap berlandaskan apa?” Ada tak ustaz itu beri dalil/nas dari al-Quran atau hadis? Rakan saya menjawab, “Tak ada pula ustaz beri dalil/nas.” Hemmm... Saya terdiam seketika. Pelik dengan perkara yang diberitahu ini. Saya pun bertanya lagi kepada rakan saya, “Habis tu, tak ada ke orang bertanya dalam majlis tu?” Rakan menjawab, “Tak ada pulak.” Saya tanya lagi, “Ate... deme yang dengar ceramah itu terimalah bulat-bulat apa kata ustaz tu ke? Tak ada sesi soal-jawabkah?” Rakan saya diam saja... Katanya, “Tak ada pula sesi soal jawab, sebab itu tak ada yang bertanya.”

PELIK… pelik sungguh bagi saya yang tidak dapat menerka apakah matlamat di sebalik kata-kata seorang ustaz yang diberitahu rakan saya itu. Saya tidak berkesempatan di majlis ilmu yang dihadiri rakan, jadi saya tidak tahu isi ceramah yang sepenuhnya dan apakah matlamat sebenar ceramah berkenaan, tetapi secara peribadi, saya merasakan amat tidak wajar ungkapan sebegitu disebut oleh seorang yang bergelar ustaz. Mungkin ada salah faham di situ, saya harap ustaz yang berkenaan menjalankan tugasnya dengan sempurna bukan mengelirukan orang ramai dengan ungkapan sebegitu. Wallahu‘alam. Allah Maha Mengetahui.

Saya teringat yang saya pernah membaca suatu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ashaba al-Sunan yang bermaksud : Hindun bin ‘Utbah bin Rabi’ah pernah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 2460)

Hadis ini JELAS bermaksud, sikap Abu Sufian yang bakhil kedekut terhadap isteri dan keluarganya, tidak disukai oleh Rasulullah dan Baginda membenarkan Hindun mengambil tindakan demi kebajikan nafkah isteri dan anak terbela. Pengambilan harta dengan cara yang makruf bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta suaminya.

Jika benar kata ustaz, “kalau suami tak halalkan, maka apa yang dinafkahkan itu, haram kepada isterinya”, apa pula kisahnya suruhan Nabi yang menghalalkan ‘mencuri’ bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak yang diabaikan suami? Jika hendak makanpun tak cukup, Nabi benarkan isteri ‘mencuri’ harta suami (sekadar untuk keperluan dan bukan untuk kemewahan), jadi di mana relevannya haram makan nafkah suami beri kalau suami tak halalkan...?

Saya pernah mengutarakan kemusykilan ini di al-Falaah egrup dan dijawab oleh seorang HambaAllah, katanya, “Hhmm... teringat setiap raya... ada yang menangis minta halal makan minum + air susu dari ibu bapa... sedangkan itu memang tanggungjawab ibubapa... Pelik ke???”

Reply yang sangat sinis ini tidak menjawab kemusykilan saya. Bagi saya, TETAP pelik. Mengapa saya katakan pelik? Sebab saya tidak pernah ada fahaman “minta halal makan minum pakai bla..bla..bla…” daripada ibubapa. Menurut ayah saya, apa yang menjadi tanggungjawabnya, tidak perlu diminta halal dan mana mungkin dia mengharamkan pula perkara yang sudah menjadi tanggungjawabnya… Erk.. ada unsur salah fahaman/asuhan di sinikah? Dan di pagi raya, kami adik-beradik tidak pula minta halal itu ini daripada mak dan ayah, kebiasaannya, kami minta ampun jika kami menyinggungkan perasaan mereka. Itu saja.

Disebabkan tidak dibesarkan dengan fahaman “minta halal makan minum pakai bla..bla..bla…” jadi saya tidak pula mendidik anak saya begitu. Itu yang ayah saya pesan. Katanya, jika sudah tanggungjawab, jalankanlah tanpa mengeluh atau banyak soal-jawab dan yang paling penting, jangan sesekali MENGUNGKIT. Disebabkan tidak pernah ada fahaman beginilah, bagi saya PELIKLAH ustaz itu boleh masukkan hal ‘minta halal’ ini dalam ceramahnya. Apa matlamat ceramah itu? Jika saja-saja nak menambahkan kekeliruan masyarakat, syusahlah....

Saya kurang pasti jika memang ada kes suami yang tunaikan nafkah (makan/pakai bla bla bla), selepas itu suami itu saja-saja cakap, “Aku tak halalkan nafkah yang aku beri” kepada isteri/anak sebab saja-saja hendak sakitkan hati isteri/anak. Bolehkah begitu? Bagi saya, jika ada suami yang berkata begitu, atau jika dia menyuruh pula isteri/anak minta halal, habislah pahala disebabkan mengungkit.... Aduuuhaiii... Kesian...


Si Tanggang anak durhaka (Malin Kundang) ~ gambar hiasan

Tersebut juga satu kisah 'si Tanggang' yang ada juga saya menonton cerita di kaca TV, si ibu tersangat marah kepada anaknya yang derhaka, lalu disebutnya, “Aku tak halalkan walau setitikpun air susu aku yang engkau minum ketika masih bayi…” Aduuuhaiii... Ini juga dalam kategori mengungkit, insya Allah jika ada kelapangan, saya masukkan entry berkenaan salah laku si ibu yang mengungkapkan ucapan sebegini.

Mengungkit tanda tidak bersyukur

Cukuplah, saya tak mahu memanjang-manjangkan apa yang disampaikan ustaz dalam cerita rakan saya, tetapi saya ingin sangat bercakap bab ungkit-mengungkit ini. Hari ini saya kongsikan apa yang saya baca, tulisan Dr Azhar Sarip dalam hal ungkit-mengungkit.

Kadang-kadang kita berkata bahawa kita sering bersyukur kepada-Nya tetapi kerap juga dalam kata-kata itu, kita masih kufur nikmat. Anehkah? Ya, mungkin jika ini pertama kali kita mendengarnya, tetapi tidak aneh seandainya kita sudah tahu apa yang dimaksudkan. Allah SWT memberi kita rezeki dan daripada rezeki itu, kita pula harus wajib menunaikan tanggungjawab kita terhadap keluarga. Misalan yang mudah untuk kita fahami adalah, apabila kita mendapat gaji ketika hujung bulan, maka selepas itu kita menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga dengan membeli keperluan keluarga.

Masalah timbul adalah ketika berlaku perselisihan dalam keluarga, maka mungkin ada di antara kita tanpa sedar mengungkit setiap duit yang dikeluarkan. Walhal mungkin mereka lupa yang duit itu merupakan satu tanggungjawab yang TIDAK BOLEH diungkit. Mengungkit tanggungjawab merupakan satu perkara JELIK yang perlu dijauhi dalam keluarga kerana yang mendengar mungkin diam, namun hatinya seperti ditusuk duri yang tajam. Menunaikan tanggungjawab memang indah ibarat sekuntum mawar yang sering mendapat perhatian dan pujian tetapi awas durinya juga tajam dan mengungkit adalah duri yang tajam yang sering kali meninggalkan bekas.

Apabila kita mengungkit sesuatu yang sebenarnya tanggungjawab kita, ini bermakna, tanpa kita sedari, sebenarnya kita tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Mengapa dikatakan begitu? Kerana Allah SWT mengurniakan rezeki untuk memudahkan kita menunaikan tanggungjawab akan tetapi jika kita mengungkit tanggungjawab kita di kemudian hari, bukankah kita juga secara tidak langsung mempertikaikan keberadaan rezeki yang kita perolehi miliki?

Orang tua-tua selalu berpesan, “Orang yang suka mengungkit, lambat laun rezekinya sempit”. Jika kita perhatikan carta kehidupan manusia, memang ungkapan ini ada kebenarannya. Rezeki bukan hanya bermaksud wang ringgit, boleh jadi kehidupannya sempit akibat pelbagai permasalahan lain.

Kisah Nabi Ibrahim a.s. menguji menantu

Anda tentu pernah mendengar pengalaman Nabi Ibrahim a.s. yang menziarahi rumah anaknya Nabi Ismail a.s. ketika baginda sampai ke rumah anaknya. Bagi yang tidak pernah mendengar atau membacanya, saya kongsikan di sini.

Pada suatu hari, Nabi Ibrahim a.s. datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya, Nabi Ismail a.s. Ketika Nabi Ibrahim sampai di rumah Nabi Ismail, kebetulan anaknya tiada di rumah, sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak dikenalinya dalam rumah itu. Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itu pun tidak mengenali bapa mertuanya iaitu Nabi Ibrahim. Lalu bertanyalah Nabi Ibrahim a.s. kepada isteri Nabi Ismail yang belum dikenalinya ketika itu, “Siapakah kamu?” Maka jawab isteri itu, “Aku isteri Ismail.” Kemudian Nabi Ibrahim a.s. bertanya lagi, “Di manakah suamimu, Ismail?” Isteri Nabi Ismail a.s. memberitahu yang suaminya sedang pergi berburu. Lantaran itu Nabi Ibrahim bertanyakan pula keadaan kehidupan mereka sekarang, lalu dijawab terus oleh menantunya dengan keluhan, “Kami semua dalam kesempitan dan tidak pernah senang dan lapang.” Nabi Ibrahim bertanya lagi, “Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu mempunyai bekalan makanan dan minuman?” Jawab isteri Nabi Ismail, “Kami tidak mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman.”

Melihat dan memerhati kepada tingkah laku serta jawapan yang diberikan oleh isteri Nabi Ismail, maka maka Nabi Ibrahim mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama Nabi Ismail. Dia juga bersifat bakhil dan tidak menghormati tetamu. Sebelum bertolak pulang Nabi Ibrahim pun meminta untuk disampaikan salamnya kepada Nabi Ismail, “Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya.”

Sebaik sahaja Nabi Ibrahim meninggal rumah itu maka pulanglah Nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda bertanya kepada isterinya, “Adakah seseorang datang menziarahimu?” Jawab isterinya, “Ya! Ada seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi dan telah menyoalku tentang dirimu.” Isterinya menceritakan tentang pertanyaan perihal kehidupan mereka berdua dan dia menjawab dengan memberitahu akan kesusahan yang mereka hadapi. Nabi Ismail kemudian bertanya lagi kepada isterinya, seandainya setelah itu ada pesanan yang ditinggalkan oleh orang tua tersebut. Jawab isterinya, “Ya! Dia meminta aku menyampaikan salam kepadamu dan meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.” Mendengar jawapan daripada isterinya itu, lalu Nabi Ismail menberitahu kepada isterinya yang sebenarnya orang tua itu adalah ayahnya dan pesanan itu bermaksud perpisahan dan kemudian Nabi Ismail berkata, “Sekarang kembalilah kamu kepada keluargamu.”

Setelah itu bercerailah Nabi Ismail dengan isterinya yang suka merungut dan tidak bersyukur bersuamikan kekasih Allah SWT.

Setelah sekian lama, maka datanglah hasrat Nabi Ismail untuk berkahwin kembali dan setelah berkahwin, Nabi Ibrahim datang kembali semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya. Kali ini juga, sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu, Nabi Ismail tiada di rumah. Nabi Ibrahim mendapati ada seorang perempuan yang baru dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat dan diberi layanan yang baik. Lalu terjadi dialog seperti mana dahulu, cuma kali ini yang membezakannya adalah jawapan isteri baru anaknya. Nabi Ibrahim bertanya perempuan itu yang juga merupakan menantunya yang baru, “Adakah kamu mempunyai tetamu?” Jawab perempuan itu, “Ya! Iaitu engkau.” Ketika ditanya bagaimana keadaan mereka sekeluarga, menantunya menjawab, “Syukurlah kepada Tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera (dan bahagia), tiada apa yang kurang.” Kemudian Nabi Ibrahim dihidangkan dengan sedikit makanan. Nabi Ibrahim kemudiannya terus berdoa, “Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan minum mereka.” Sebelum pulang, dia meminta supaya disampaikan salam kepada anaknya yang sedang berburu dan katakan kepadanya supaya mengekalkan tiang pintu rumahnya.

Setelah Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya sepanjang ketiadaannya. Dia memberitahu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan pesanan yang disampaikan oleh orang tua tersebut. Mendengar cerita itu Nabi Ismail dengan gembira menjawab, “Sebenarnya dialah ayahku dan tiang pintu yang dimaksudkannya adalah dirimu yang dimintanya untuk aku menjaga mu dan kekalkan (jangan menceraikanmu).” Nabi Ismail terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu.

Jangan mengungkit

Jika kita renung kembali cerita ini, moral dalam cerita ini amat ringkas iaitu, JANGAN MENGUNGKIT walaupun di dalam kesusahan apatah lagi jika kita bermewahan. Jika perhatikan beratnya kesan ungkitan hinggakan Nabi Ibrahim berpesan supaya ditukar tiang pintu rumah yakni isteri anaknya. Mengungkit memberikan kesan jangka masa panjang yang cukup buruk dan ia sering menjadi pemacu kepada kemarahan. Mengungkit merupakan perbuatan yang tercela dalam Islam. Allah SWT sendiri membenci perbuatan tersebut seperti dalam firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu sekali-kali membatalkan sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakitkan hati.” (Surah al-Baqarah : 264)

Mengungkit, selain merupakan perbuatan yang dibenci dalam Islam, ia juga menjadi penyebab seseorang masuk ke dalam neraka seperti disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Ada tiga golongan di hari kiamat dimana Allah tidak berbicara, tidak melihat dan tidak pula mensucikan mereka dan bahkan bagi mereka siksa yang pedih. Yakni orang yang menutupkan sarungnya hingga mata kaki, orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya, dan orang yang menawarkan dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah SWT akan menghilangkan pahala orang yang suka mengungkit-ungkit seperti pesan Rasulullah SAW,Jauhilah olehmu akan mengungkit-ungkit pemberian kerana yang demikian itu dapat menggagalkan kesyukuran dan menghilangkan pahala.” (Hadis riwayat Muslim)

Dari penjelasan ayat dan hadis di atas, jelaslah bagi setiap muslim bahawa memberi dengan mengungkit-ungkit kembali termasuk perbuatan tercela yang dibenci oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Sedangkan mengungkit pemberian adalah perbuatan yang tercela, inikan pula mengungkit sesuatu pemberian yang sebenarnya tanggungjawab kita dalam melaksanakan pemberian itu. Mengungkit seperti ini merupakan perbuatan zalim yang akan menimbulkan permusuhan dan kebencian antara pemberi dan penerimanya, sebab yang menerima merasa tercoreng nama baiknya, sementara pemberinya akan timbul rasa sombong kepada orang yang pernah diberinya.



Justeru adalah lebih baik jika kita tidak mengungkit segala tanggungjawab yang kita tunaikan walau dalam apa bentuk sekalipun. Cara paling mudah untuk tidak melakukan ungkitan pada masa akan datang adalah dengan melakukan tanggungjawab bukan kerana keluarga tetapi kerana Allah SWT. Biarpun dengan hanya membeli roti canai untuk sarapan pagi, jika tanggungjawab itu dilakukan kerana Allah SWT, maka besar impaknya kepada keluarga. Lebih sejuk lagi diri ini apabila tanggungjawab itu menjadi sedekah maka biarpun hati marah kerana hal tertentu, pastinya sejuk kembali kerana sedekah ibarat air yang memadamkan api.

Ingatlah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim : 7)

Jadi, berilah dengan penuh keikhlasan, jangan memberi kerana mengharapkan balasan. Cubalah mulai hari ini kita sentiasa bersedekah kepada keluarga kerana Allah SWT, biarlah dalam apa bentuk sekalipun, sama ada kudrat mahupun wang ringgit. Insya Allah tiada lagi duri yang tajam di bunga nan indah...

Renung-renungkan!




Capaian entry berkaitan :

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum.. Dah buat lama dah tutor berkenaan read more ni. Puan boleh tengok DI SINI

    Semoga bermanfaat.. Wassalam.

    BalasPadam
  2. yang penting mesti ikhlas... insyallah Allah akan bagi ganjarannya... mungkin didunia mungkin di akhirat... :-)

    BalasPadam
  3. asalammualikum setelah sy bce aktikel di atas sy berasa sedih,ayah sy ni bila memarahi kmi..dia akn mengungkit mkn minum dn pembelanjaan yg di kuarkan..teruama pd ibu sy,selalu menceritakan masalah pd sy atas sikap bape sy..ni..yg lbih teruk lgi jika ia keluarkan wang utk main nombor ekor samapi beratus..x pernah kne pun..dia x pikir dn x mengungkit ..sy kasihan ats nasip ibu sy yg tersepit dgn ini..ibu x nk berpisah sb kengkan adik2 sy yg msih kecik dn mempunyaie skit jantung dn lelah..sy x mampu nk membantu selain dgn doa sj..sy pun dh berkuaga,,

    BalasPadam
  4. askum ,sy stelah sy baca tentang aktikel di atas ,,sebenarnya sy nk menceritakan masalah ibu sy ug sangsi atas sb bapa sy suka mengungkit segala mkn paki yg di berikan pd kmi sekuaga..

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails