Assalamualaikum warahmatullah,
Saban hari ada sahaja cerita cinta disajikan di kaca TV. Tak mustahil juga, saban hari ada saja pasangan yang terjatuh cinta atau diulit bunga-bunga bahagia sedang bercinta... Bahagianya hidup ini bila ada insan mencintai diri sepenuh hati. Segala kasih sayang ditumpahkan buat diri anda dan berjanji setia untuk bersama selama-lamanya. Pasti bersemangat untuk menjalani hari mendatang bersama si dia.
Tapi tidak semua cerita cinta berjalan mulus, pasti ada halangan yang harus dilalui, malah mungkin terasa begitu sukar untuk diatasi, terutama sekali bila cinta tidak mendapat restu daripada orang tua atau lebih tepat lagi ibu bapa sendiri. Mereka tidak dapat menerima pilihan hati anda sedangkan anda dan si dia sudah berhasrat untuk melangkah jauh ke alam perkahwinan.
Pernahkah anda mengalami situasi ini atau sedang menghadapinya ketika ini? Pasti ia menjadi satu masalah yang cukup membebani diri memikirkan impian untuk hidup bersama insan yang tersayang mungkin tidak kesampaian. Mengapa cinta anda ditentang, mengapa si dia sukar diterima, haruskah melepaskan cinta ini sedangkan anda terlalu mencintai dirinya? Inilah persoalan yang akan berlegar-legar dalam fikiran tatkala terperangkap dalam situasi ini.
Namun biar seberat mana pun tekanan yang anda rasai akibat permasalahan ini, jangan biarkan emosi mendahului, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Jangan membuat tindakan membelakangkan orang tua kerana PERCAYALAH, kelak anda juga yang akan kecewa. Sebab telah ramai pasangan mengambil keputusan bernikah tanpa restu ibu bapa akhirnya menyesal dengan tindakan mereka.
Dapatkah anda merasai kebahagiaan sedangkan ibu bapa menangis kerana tindakan anda? Cuba anda letakkan diri anda di dalam situasi ibu bapa anda. Bahagiakah hidup anda jika bersama si dia yang disayangi sedangkan anda kehilangan keluarga kerana mereka berjauh hati dengan keputusan anda memilih cinta dari mereka?
Elakkan mengambil langkah yang boleh merugikan kehidupan anda sendiri. Bila orang tua tidak merestui hubungan anda berdua, cubalah duduk dengan tenang dan berfikir secara mendalam serta menilai masalah yang sedang anda hadapi.
Mengapa anda memilihnya?
Perkara pertama yang harus anda lakukan adalah mengetahui apa yang menyebabkan anda memilih dia sebagai pasangan anda? Apa tujuan hubungan yang anda jalinkan ini? Adakah tujuan anda memilih si dia itu hanya sekadar ‘tangkap muat’ kerana usia anda yang sudah meningkat, kerana wang yang dimilikinya atau kerana rupa parasnya? Atau mungkin ada motivasi lain yang membuatkan anda menginginkan dia menjadi isteri atau suami anda?
Dengan mengetahui matlamat sebenar dari sebuah hubungan, anda akan lebih mengetahui sama ada anda memang benar-benar cinta pada dirinya atau cinta yang anda rasakan ini hanya sekadar perasaan kagum yang hadir seketika saja.
Atau lebih parah lagi, anda sebenarnya memilih dia hanya kerana inginkan teman-teman memandang anda hebat kerana mampu memiliki dia yang menjadi idaman ramai. Jika anda sudah mengetahui apa matlamat daripada hubungan cinta yang anda jalinkan itu, maka anda akan lebih mudah memahami mengapa orang tua anda tidak bersetuju dengan hubungan cinta anda.
Perhatikan latar belakang
Fikirkan juga apa yang menyebabkan orang tua tidak bersetuju dengan hubungan cinta anda. Perhatikan latar belakang dari kehidupan orang tua anda dan bandingkan pula latar belakang si dia yang anda cintai itu. Kebiasaannya perbezaan latar belakang sering kali menjadi penyebab utama orang tua tidak bersetuju dengan pilihan anak mereka. Di samping itu ada banyak lagi alasan yang boleh menyebabkan orang tua tidak merestui hubungan anda dan itu semua harus anda cari puncanya.
Namun ibu bapa anda juga manusia biasa dan tidak semua yang mereka lakukan benar dan betul. Sekiranya orang tua menolak pilihan anda kerana masalah perbezaan kaum, warna kulit, kelas sosial atau merana pekerjaannya yang tidak setanding dengan anda, maka anda berhak untuk mempertahankan hubungan cinta anda.
Yakinkan keduanya bahawa keputusan anda adalah yang terbaik untuk anda. Jangan terus menyerah kalah kerana anda harus tahu untuk memperoleh keyakinan orang tua pasti akan mengambil masa. Namun percayalah, kebahagiaan itu takkan datang begitu saja, tanpa usaha dan pengorbanan daripada anda.
Bimbang anda dibutakan oleh cinta
Satu aspek lain yang harus anda terima adalah, tidak ada yang lebih mengenali diri anda, selain orang tua anda sendiri. Bahkan mereka lebih tahu dan memahami diri anda, daripada anda sendiri. Mungkin juga kerana anda sedang dibutakan oleh cinta, hingga tidak menyedari aspek negatif yang dilihat oleh ibu bapa anda. Apa yang anda tahu bahawa hubungan yang anda jalinkan itu indah dan baik semuanya.
Ingatlah, ibu bapa anda sangat menyayangi anda sebagai anak mereka dan mereka ingin anda bahagia dalam hidup ini. Jadi apabila melihat ada sesuatu yang tidak elok dan merugikan dalam hubungan cinta anda itu sudah pasti mereka tidak setuju mahupun merestuinya.
Apatah lagi bila mendapati pilihan anda membawa kesan buruk pada diri anda tanpa anda sedari. Oleh itu ada baiknya anda cuba mendengar pandangan kerana kata-kata orang tua anda mungkin ada kebenarannya.
Masa untuk menilai
Hubungan cinta yang terlalu banyak mengorbankan dan merugikan kehidupan peribadi anda sebenarnya adalah sesuatu yang tidak sihat untuk hidup anda. Jika ia berlaku dalam perhubungan anda sekarang, maka sudah sampai masanya anda menilai semula pilihan hati anda itu. Membina sebuah hubungan cinta, tidak bererti bahawa anda kehilangan kebahagiaan bersama keluarga dan teman-teman.
Utamakan ibu bapa
Ingatlah firman Allah yang maksudnya, "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Lukman, ayat 14)
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Dua kejahatan yang disegerakan balasannya di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Melakukan perkara yang tidak disukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Anak derhaka tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Barangkali inilah kenapa kehidupan tidak tenteram. Bukan itu sahaja, balasan akhirat bakal menanti.
Semua dosa akan ditangguhkan-Nya, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati. (Hadis riwayat al-Hakam)
Redha Allah SWT bergantung kepada redha kedua ibu bapa dan murka Allah SWT bergantung kepada murka kedua-dua ibu bapa. (Hadis riwayat al-Hakim)
Oleh itu jangan sekali-kali anda bertindak membelakangkan orang tua yang sudahpun bersusah payah mengandungkan, menjaga, mendidik anda sejak dalam kandungan hingga dilahirkan ke dunia tanpa apa-apa pengetahuan dan sehinggalah anda dewasa dan mampu berdikari hingga ke hari ini. Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah SWT, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.
Hadapi ketidaksetujuan dengan tenang
Ibu bapa sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, hadapilah ketidak setujuan orang tua terhadap hubungan cinta anda dengan tenang dan tidak mengikut emosi. Boleh jadi mereka tidak suka dengan pilihan hati anda ketika ini, tapi mana tahu satu hari nanti mereka akan menerimanya bila anda mampu membuktikan bahawa si dia berupaya menjadikan hidup anda lebih baik dan indah untuk dijalani.
Jangan sesekali terfikir untuk kahwin lari ke sempadan Siam akibat tidak mampu menahan kehendak nafsu.
INGAT, anda tinggal di Malaysia, warganegara Malaysia. Sudah tentu anda tertakluk kepada undang-undang Malaysia. Jika tidak mahu terikat dengan undang-undang Malaysia dan memilih untuk mengikut undang-undang Siam, lebih baik anda pindah saja Siam! Sekiranya anda nekad juga untuk bernikah ke sempadan, nasihat saya TOLONG PASTIKAN anda dan pasangan register, naik turun mahkamah dan bayarlah denda. Dapatkan pengesahan nikah anda. Anda mungkin tidak tahu apa impaknya pada masa sekarang, tetapi anda akan nampak impak yang buruk kepada bakal zuriat anda. Sekiranya anda tidak berapa kisah sangat tentang masa depan zuriat anda, maka bolehlah diabaikan mesej ini.
Renung-renungkan!
Capaian entri berkaitan :
- Q&A : Buka ruang berbincang sebelum izin nikah
- Jalan pintas bernikah undang risiko
- Kahwin lari guna sindiket tanpa daftar semula menyusahkan waris
- Nikah sindiket rosakkan nasab
- Kahwin lari boleh jejas institusi kekeluargaan Islam
- Mentaati Kedua Ibu Bapa
- Terjebak dengan cinta suami orang…
sama-sama jaga..
BalasPadampatah ranting.pokok bunga sedang berzikirr..
Ya, betul tu.
BalasPadamCabaran ibubapa dan anak-anak zaman ini.
Ya, betul tu.
BalasPadamCabaran ibubapa dan anak-anak zaman ini.
salam..
BalasPadamsy sedang hadapi situasi mcm ni.. bila org tua teman lelaki sy tidak mahu kami bersama... segala pernacangan telah diaturkan & tinggal 2 minggu lagi mahu bertunang, ibu teman lelaki sy minta kami memutuskan hubungan dengan alasan sy bukan lah perempuan yang baik... utk pengetahuan, sy telah difitnah oleh jiran sekeliling, kisah masa lampau keluarga semuanya dipertikaikan kini..
setahun berlalu.. sy masih begini.. sy & dia masih berusaha semampu mungkin untuk tawan semula hati orang tuanya.. kami saling memerlukan.. sy tak tahu andai 1 hari nanti hubungan kami terpisah..
tiada daya & kekuatan.. sy yatim piatu..