Soalan : Mulai 1 Januari 2010, Selangor menaikkan kadar mas kahwin kepada minimum RM300. Apakah hak wanita Islam (isteri) dalam bab pemberian mas kahwin ini menurut Islam?
ZAINUL RIJAL: Pada saya kenaikan ini tidak memberi kesan yang besar sama ada kepada suami mahupun isteri. Sebabnya, masyarakat Melayu negara ini masih lagi gagal membezakan antara adat dan ibadat. Ini apabila pengantin lelaki lazimnya perlu membayar mas kahwin (mahar) dan hantaran.
Mas kahwin ini bersumberkan kepada hukum syarak dan sudah tentu memberi mas kahwin itu merupakan suatu ibadat. Wang hantaran pula lebih berakar umbi kepada adat Melayu sahaja.
Wang hantaran biasanya digunakan untuk perbelanjaan kenduri oleh ibu bapa pengantin perempuan.
Mas kahwin adalah hak isteri tetapi wang hantaran pula adalah belanja hangus yang biasanya diberikan kepada keluarga pengantin perempuan bagi mengadakan kenduri kendara. Dengan menaikkan kadar mas kahwin, pengantin perempuan akan mempunyai lebih wang.
Namun masyarakat kita lebih bermegah dengan wang hantaran yang tinggi bagi mengadakan kenduri yang mewah-mewah. Akhirnya, setelah berkahwin kesemua wang telah 'hangus' dan amat sukar bagi pasangan ini memulakan bahtera pelayaran mereka.
Mas kahwin ini juga merupakan hak mutlak si isteri. Suami pun tidak boleh mengambilnya tanpa keredaan isteri tersebut. Terpulanglah kepada isteri bagaimana untuk menggunakan mas kahwinnya itu.
Soalan : Apakah punca-punca kes farak (pengasingan sementara) pasangan suami isteri berlaku sedangkan pernikahan dalam Islam memberikan jaminan dan kebaikan kepada semua pihak.
ZAINUL RIJAL: Tujuan sesuatu perkahwinan adalah bagi mencapai mawaddah wa rahmah (kasih sayang). Islam telah mengatur hidup berkeluarga yang berpaksikan kepada syariah dalam keadaan yang amat sempurna dengan tidak menghakis hak mana-mana pasangan. Walaupun berkahwin, wanita Islam masih mempunyai hak memiliki harta, wanita Islam tidak menjadi satu entiti dengan suaminya seperti dalam agama lain. Boleh bercerai jika itu jalan yang terbaik.
Sesuatu perkahwinan itu difarakkan apabila terdapat sebab-sebab yang munasabah bahawa ada kemungkinan pernikahan yang dilakukan itu tidak sah dari sudut hukum syarak. Farak tidak semestinya berakhir dengan perceraian. Apabila sesuatu perkahwinan itu difarakkan sementara sudah tentulah bagi membolehkan mahkamah mengkaji kedudukan pernikahan tersebut dengan lebih terperinci.
Ia juga bagi mengelakkan lebih banyak dosa berlaku antara pasangan tersebut sekiranya pernikahan tersebut didapati tidak selari dengan hukum syarak.
Antara punca berlakunya perkahwinan difarakkan adalah rukun nikah itu tidak dipenuhi ataupun suami atau isteri tidak berkelayakan memasuki pernikahan tersebut.
Contohnya lelaki yang telah mempunyai empat isteri atau wanita yang masih merupakan isteri lelaki lain, tidak mempunyai kelayakan untuk memasuki pernikahan yang baru. Mahkamah perlu memutuskan pernikahan terdahulu itu masih berkuatkuasa atau tidak. Sementara menunggu siasatan itu, pernikahan baru itu difarakkan.
Ia juga hasil dari kegelojohan pasangan untuk memasuki gerbang perkahwinan tanpa menitikberatkan hukum syarak. Umpamanya pernikahan yang tidak mempunyai wali ataupun pernikahan melalui sindiket yang tidak diiktiraf oleh undang-undang kerana berlawanan dengan hukum syarak.
Soalan : Islam adalah agama yang mudah. Namun ada pihak yang mengambil kesempatan, peluang dan ruang untuk melakukan penipuan dan sebagainya waima dalam bab nikah kahwin. Ini termasuklah nikah sindiket dan nikah batin. Apakah kesan daripada aspek moral, perundangan dan sosial terutama dalam bab nasab anak dan keturunan?
ZAINUL RIJAL: Di Malaysia, undang-undang Islam dikodifikasikan dalam bentuk Akta atau Enakmen. Memanglah pada zaman Rasulullah SAW perkahwinan itu begitu mudah, tiada pendaftaran, sijil nikah dan sebagainya.
Ini kerana pada zaman Rasulullah masyarakatnya mengenali antara satu sama lain. Masyarakat ketika itu agak simple berbanding masyarakat sekarang yang begitu kompleks dan tidak mengenali antara satu sama lain.
Oleh yang demikianlah terdapatnya peraturan pendaftaran pernikahan, sijil dan sebagainya bagi memudahkan pembuktian dan kawalan. Ia tidak harus dilihat dalam aspek menyusahkan tetapi mempunyai objektif yang murni iaitu menjaga maqasid al syariah yang lima iaitu menjaga agama, keturunan, harta, jiwa dan akal.
Oleh kerana terdapat peraturan yang seperti 'menyusahkan' ini, ada golongan yang ingin mencari jalan mudah dengan bernikah melalui sindiket atau nikah batin. Namun sebenarnya mereka tidak memikirkan kesannya dari aspek moral, perundangan dan sosial.
Nikah sindiket adalah manifestasi akhlak yang rendah kerana kebanyakannya membelakangkan keluarga sendiri, memberi aib kepada ibu bapa dan merosakkan nama baik keluarga.
Dalam aspek undang-undang memang jelas ia merupakan suatu kesalahan manakala dari sudut sosial juga ia akan meranapkan institusi keluarga, mengkucar-kacirkan nasab anak dan keturunan. Mungkin ada sesetengah wanita yang terheret dalam pernikahan melalui sindiket ini kerana walinya enggan mengahwinkannya dengan lelaki pilihan wanita tersebut. Undang-undang Islam sebenarnya tidaklah zalim terhadap wanita tersebut kerana undang-undang membenarkan permohonan dibuat oleh wanita tersebut terhadap wali ingkar. Wali perlu mempunyai alasan yang munasabah untuk tidak merestui sesuatu perkahwinan. Hak walian ini bukanlah sesuatu yang mutlak ia boleh berpindah kepada wali lain termasuklah wali hakim.
Oleh yang demikian tidaklah perlu wanita tersebut melakukan pernikahan sindiket yang tidak tentu sah atau tidak itu, tetapi apa yang perlu dilakukan ialah memohon kepada mahkamah syariah permohonan mengisytiharkan wali ingkar ataupun mendapatkan kebenaran bagi wali hakim bagi mereka yang tidak mempunyai wali nasab.
Soalan : Namun yang agak menariknya, kes-kes seperti ini turut melibatkan mereka yang kononnya adalah golongan profesional dan berlatar pendidikan tinggi, bagaimana masih boleh terjebak?
ZAINUL RIJAL: Apabila nafsu menguasai akal, apa pun boleh terjadi. Tidak menghairankan orang yang mempunyai latarbelakang pendidikan tinggi juga terjebak dalam nikah sindiket ini. Malah orang yang berlatarbelakang agama juga ada yang terjerumus di dalam nikah sindiket ini. Perkara ini berlaku kerana fakulti akal mereka telah diselaputi dengan keinginan tegar untuk berkahwin dan mencari jalan singkat tanpa menyedari implikasinya di hari kemudian.
Sistem pendidikan kita juga tidak memainkan peranan yang jelas di dalam mengadun percambahan ilmu antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Dalam satu aspek kita mementingkan keputusan peperiksaan tanpa menyediakan pelajar kepada kehidupan atau pendedahan pasca persekolahan. Pelajar aliran perdana mementingkan pencapaian akademik bagi 'subjek-subjek penting' sahaja. Yang mengambil aliran agama pula agak ketinggalan dengan perkembangan semasa dan sistem sosial di dalam negara. Hasilnya, lahirlah graduan yang mahir dalam suatu bidang yang begitu terhadap dan tidak dapat merasionalkan fikirannya di luar bidang pengkhususannya. Golongan inilah yang mudah terjebak dalam kecelaruan ini.
Soalan : Peranan wali adalah penting dalam pernikahan. Apakah yang melayakkan kedudukan bapa sebagai wali mujbir ini diganti oleh wali hakim (pemerintah) khususnya untuk dijadikan alasan bernikah melebihi jarak dua marhalah?
ZAINUL RIJAL: Mengikut mazhab Shafie wali adalah amat penting dalam sesuatu pernikahan. Tanpa wali sama ada wali nasab atau wali hakim pernikahan tidak sah.
Kebiasaannya bapa adalah wali yang paling utama yang dipanggil wali mujbir, selepas bapa adalah datuk. Selepas itu ia berpindah kepada wali ghair mujbir iaitu lelaki lain mengikut turutan tertentu di sebelah keluarga lelaki. Apabila ketiadaan wali nasab ini wali hakim boleh dipohon ataupun sekiranya wali nasab berada jauh, sekurang-kurangnya dua marhalah (satu marhalah bersamaan suatu perjalanan unta tanpa perlu berhenti meminum air dianggarkan lebih kurang 45 kilometer bagi setiap marhalah). Jumhur ulama berpandangan keizinan wali adalah syarat yang mesti ada di dalam setiap perkahwinan. Jika tiada wali nasab, seorang wanita boleh memohon wali hakim.
Permohonan Wali Hakim dibuat apabila berlaku keadaan seperti berikut :
a) Tiada wali yang sah dari nasab
b) Wali ghaib (hilang atau tidak diketahui)
c) Saudara baru/ Mualaf
d) Anak tak sah taraf
e) Wali enggan
f) Wali dalam ihram haji/umrah
g) Wali tidak dapat dihubungi atas sebab darurat
Oleh yang demikian bakal pengantin mempunyai remedi yang boleh dituntut di mahkamah syariah terhadap walinya dan janganlah terus mahu terjerumus kepada nikah sindiket ini.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...