“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Disember 10, 2009

Penagih wanita berkurangan

Oleh Faizatul Farhana Farush Khan

Pengambilan dadah secara berlebihan boleh memudaratkan sistem saraf yang membawa kepada sakit jiwa dan kematian. - Gambar hiasan

SEJARAH menunjukkan kewujudan dadah di dunia sudah diketahui lebih 5,000 tahun lalu apabila ia digunakan dalam bidang perubatan bagi merawat penyakit manusia.

Sejak itu, keberkesanannya memulihkan penyakit menyumbang kepada penyalahgunaannya secara meluas apabila diambil dalam kuantiti berlebihan sehingga mengakibatkan ketagihan melampau.

Pengambilan dadah secara berlebihan juga dikatakan mampu memberi ketenangan perasaan dan tenaga maksimum sehingga berjam-jam kepada penggunanya. Namun dalam jangka masa panjang, ia memudaratkan sistem saraf yang membawa kepada sakit jiwa dan kematian.

Di Malaysia, sejarah juga menunjukkan masalah penyalahgunaan dadah dikesan sebelum Merdeka dan semakin berleluasa sejak 30 tahun lalu.

Lebih membimbang dan menyedihkan, ia mula 'menyerang' wanita yang mana jika dulunya penglibatan kaum ini dalam penagihan dadah boleh dikira dengan jari, kini ia semakin bertambah tahun demi tahun.

Buktinya boleh dilihat apabila kerap kali media melaporkan pelbagai berita berhubung penagihan dadah di kalangan wanita seperti penagih wanita ditahan, pelajar wanita menagih dadah dan isteri ditahan menagih dadah bersama suami.

Namun, masalah itu semakin berkurangan apabila kerajaan mempergiatkan kempen anti dadah termasuk mengisytiharkan 19 Februari setiap tahun sebagai Hari Anti Dadah Kebangsaan.

Kerajaan turut membelanjakan RM500,000 sehari, RM250 juta sebulan dan RM1.08 bilion saban tahun hanya untuk menjalankan kempen kesedaran memerangi dadah secara besar-besaran di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Dengan bantuan dan kesungguhan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), pelbagai kempen dijalankan membabitkan kawasan penagihan dadah, pusat hiburan, perumahan, sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) serta tempat awam.

Antara kempen itu adalah 'Segak Perangi Dadah', 'Anti Dadah', 'Benci Dadah', 'Jaga Tepi Kain Sendiri', 'Belia Benci Dadah', 'Kesedaran Sivik Bermula Dari Rumah' dan 'Kenali Anak Kita'.

Hari ini, usaha itu sudah mula membuahkan hasil positif apabila statistik membuktikan masalah penagihan dadah di seluruh negara termasuk jumlah penagih dadah wanita semakin menurun sejak lima tahun lalu.

Pada 2004, penagih dadah berjumlah 38,672 orang dan 692 daripadanya adalah wanita manakala pada 2005, ia mencatatkan 32,808 orang penagih (667 wanita), 22,811 orang penagih pada 2006 (463 wanita), 14,489 orang penagih pada 2007 (348 wanita) dan 12,352 orang penagih pada tahun lalu (276 wanita).

Kaum Melayu adalah yang tertinggi terbabit dengan penagihan dadah, iaitu 68.74 peratus diikuti Cina 14.38 peratus, India 9.85 peratus, pribumi (Sabah dan Sarawak) 5.0 peratus dan lain-lain 2.02 peratus.

Penagih wanita di negara ini kebiasaannya akan menagih dadah jenis ganja yang diambil dengan cara menghisapnya bersama tembakau atau alat khas dengan menggunakan batang betik dan botol, morfin (menyuntik) serta heroin (menghisap atau menyuntik).

Jenis lain adalah syabu (menghisap menggunakan balang kaca atau menyuntik), bahan psikotropik (dalam bentuk pil atau cecair), gam (menghidu) dan daun ketum (meminum air rebusan atau mengunyah daun).

Presiden Pengasih, Mohd. Yunus Pathi berkata, punca utama yang mendorong seseorang itu menagih dadah adalah pengaruh kawan, tekanan, bosan, masalah keluarga, perasaan ingin tahu, hanya mahu berseronok, menahan sakit dan secara tidak sengaja.

"Sejak dibuka pada 1987, Pengasih menerima lebih 5,000 pelatih setiap tahun dan ada antara mereka yang terbabit dengan penagihan dadah ini terdiri daripada golongan profesional seperti doktor dan peguam atau individu yang cemerlang dalam pendidikan.

"Daripada jumlah itu, kebiasaannya 75 peratus adalah lelaki manakala 25 peratus wanita dan kini kami sedang melatih 10 orang penagih wanita," katanya ketika ditemui pada Simposium Pemulihan Asia Kali Keempat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, pendekatan berkesan yang digunakan pusat pemulihan dadah di negara ini termasuk Pengasih sama ada semasa dan selepas rawatan juga banyak membantu mengurangkan jumlah penagih.

Katanya, sepanjang berada di pusat pemulihan, penagih akan melalui Detoksifikasi iaitu ditempatkan di dalam bilik kurungan disebut Detoks selama dua minggu pertama kemasukan bagi membuang ketagihan terhadap dadah dan menguatkan mental mereka.

"Kemudian mereka akan dirawat menggunakan terapi kekeluargaan iaitu pendekatan yang menekankan tentang pengaruh rakan sebaya sebagai pendorong, penggalak dan pendesak dalam perubahan tingkah laku penghuni.

"Keutamaan rawatan akan diberikan dari segi pengurusan dan pembentukan tingkah laku; perkembangan intelektual dan kerohanian; perkembangan emosi dan psikologi; perkembangan vokasional dan kemahiran hidup serta kebajikan dan kesihatan," katanya.

Mohd. Yunus berkata, selepas tamat tempoh rawatan antara tiga bulan hingga setahun, mereka akan diberi kaunseling bagaimana menguatkan hubungan dengan keluarga dan mengatasi ancaman serta cabaran daripada masyarakat sebelum dibenarkan keluar dari pusat pemulihan.

Ujarnya, selepas tamat rawatan di pusat pemulihan juga, setiap bekas penagih akan diberi after care atau pengawasan selama dua tahun seperti mengadakan perjumpaan, perbincangan dan ujian air kencing bagi memastikan mereka tidak terjebak semula dalam penagihan dadah.

Bagi membendung masalah penagihan dadah, katanya, apa yang penting adalah ia perlu bermula di rumah yang mana setiap ahli dalam sesebuah keluarga mestilah mementingkan perhubungan yang erat dan memahami antara satu sama lain untuk mengelakkan gangguan emosi.

Menurut Mohd. Yunus, setiap ahli keluarga terutama ibu bapa perlu memahami serta menghormati anak masing-masing namun kebiasaannya, ibu bapa menggunakan pendekatan terlalu mengawal anak dan gemar membuat keputusan muktamad untuk anak, jadi sikap ini akan membuatkan anak memberontak.

Sehubungan itu, Pengasih ketika ini, sedang giat menjalankan kempen 'Kenali Anak Kita' bagi mendidik ibu bapa mengenali identiti dan potensi anak masing-masing mengikut perkembangan usia supaya lebih memahami anak.

Ada segelintir ibu bapa, katanya, bukan sahaja tidak menghargai minat anak dan enggan mendengar pandangan atau masalah anak, tetapi juga sering menjatuhkan harga diri anak sehingga membuatkan anak kehilangan keyakinan.

Ketika ditanya, apakah punca yang membuatkan 35 peratus bekas penagih kembali menghisap dadah seperti dijelaskannya, beliau berkata, ia banyak bergantung kepada sikap masyarakat.

"Saya bukannya mahu menyalahkan masyarakat tetapi sikap mereka yang memandang penagih seperti 'musuh', tidak mahu berkawan dengan mereka atau tidak percaya mereka berubah membuatkan bekas penagih merasa tersisih dan merasa rendah diri sehingga membuatkan mereka kembali menagih.

"Kerajaan sudah banyak memberikan peluang pekerjaan kepada penagih, jadi masyarakat perlu turut sama menyokong golongan ini agar mampu berjaya dalam kehidupan kerana bagi Pengasih, setiap individu pernah melakukan kesilapan dan tetap akan berubah suatu hari," katanya.

Sumber : UtusanOnLine 09/12/2009

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails