Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
MENJELANG 2015, setiap negara di dunia bakal mempunyai sistem perundangan yang kukuh, rangka tindakan pelbagai sektor, langkah-langkah pencegahan dan usaha sistematik bagi menangani keganasan seksual.
Alangkah baiknya jika sasaran Kempen Bersatu Menghentikan Keganasan Terhadap Wanita (UNiTE) yang dilancarkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon, tahun lalu itu benar-benar menjadi realiti lima tahun lagi.
Ia melibatkan usahasama kerajaan, masyarakat umum, organisasi wanita, golongan muda, sektor korporat, media dan seluruh sistem PBB bagi merawat pandemik global yang semakin membimbangkan itu.
Jelas sekali, banyak yang perlu dilakukan kerana di setiap negara masih ada wanita dan kanak-kanak yang terus dihantui keganasan serta penderaan tidak berkesudahan.
Koordinator Residen PBB, Kamal Malhotra berkata, kekejaman seumpama itu menjejaskan pembangunan, mengakibatkan ketidakstabilan dan menyukarkan lagi usaha mencapai keamanan serta keharmonian sesebuah negara.
Menetapkan standard antarabangsa
"PBB memainkan peranan secara berterusan dan akan terus menjadi peneraju untuk menetapkan standard antarabangsa dalam tindakan memerangi keganasan terhadap wanita.
"Ini dilakukan menerusi promosi dan pengiktirafan hak asasi golongan wanita dan melalui sumbangannya ke arah perlindungan daripada penderaan,'' katanya pada forum media bertajuk Bersatu Menghentikan Keganasan Terhadap Wanita di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tanggal 25 November dipilih sebagai Hari Antarabangsa bagi menghapuskan keganasan terhadap wanita oleh PBB.
Ia bertujuan menggalakkan kerajaan, organisasi antarabangsa, kumpulan persatuan sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan aktiviti berkaitan isu kritikal tersebut.
Sementara itu, setiap tahun bermula 25 November hingga 10 Disember diadakan Kempen 16 Hari Aktivisme. Ia disambut di seluruh dunia oleh semua pihak bagi meningkatkan kesedaran berhubung keganasan berasaskan gender.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengurusan Wanita (WIM), Datuk Dr. Nellie Tan-Wong. pula memberitahu, dianggarkan majoriti mangsa penderaan domestik terdiri daripada wanita tidak berpendidikan, miskin dan daif dengan pendapatan paling minimum sekitar RM100 hingga RM500 sebulan.
Hampir separuh daripada mereka tidak pernah menerima pendidikan formal atas sebab kemiskinan justeru kurang terdedah kepada maklumat dan ilmu yang dapat membebaskan mereka dari terus menjadi mangsa.
Malang sekali bagi golongan ini, keganasan dianggap sesuatu yang boleh diterima lebih-lebih lagi 45 peratus daripada kategori wanita ini merasakan tindakan suami memukul isteri ketika marah boleh diterima dalam masyarakat.
"Malah wanita-wanita tersebut juga menganggap dadah, alkohol dan masalah kewangan sebagai pencetus kemarahan suami terhadap mereka.
"Bagaimanapun hampir tiga per empat daripada mereka membenarkan diri menjadi mangsa keganasan kerana tidak tahu tentang hak masing-masing.
"Ini kerana ramai di antara mereka dididik dengan tanggapan bahawa keganasan rumah tangga adalah sesuatu yang peribadi dan tidak boleh dicampuri pihak luar.
Enggan
"Lapan daripada 10 wanita pula enggan meninggalkan suami mereka walaupun dipukul dan didera suami kerana kasihan terhadap anak-anak," katanya.
Menurutnya, usaha untuk menghentikan keganasan terhadap wanita mendapat banyak sokongan sebelum ini tetapi jelas sekali ia masih belum mencukupi.
"WIM merasakan sudah tiba masanya untuk membina perkongsian lebih kukuh di kalangan lelaki dan wanita untuk menghentikan keganasan domestik,'' ujarnya.
Kata Dr. Nellie, menerusi usahasama itu juga wanita tidak lagi boleh melihat kaum Adam sebagai penyumbang masalah sebaliknya melihat mereka sebagai sebahagian penyelesaian bagi melaksanakan strategi pencegahan dan intervensi.
Menghapuskan keganasan terhadap wanita dan memecahkan kitaran penderaan memerlukan kolaborasi padu melibatkan semua pihak termasuk pendidik, pihak berkuasa, badan perundangan, kehakiman, masyarakat sivil dan media massa secara keseluruhannya.
Bersesuaian dengan senario di Malaysia, WIM mencadangkan beberapa tindakan alternatif bagi menyokong usaha tersebut.
"Antaranya, cadangan penambahbaikan Akta Keganasan Rumah Tangga melibatkan undang-undang berkaitan rogol (1988) dan Enakmen Akta Keganasan Rumah Tangga (1994); meneliti semula Undang-Undang Keluarga Islam agar lebih melindungi hak wanita Islam (1997) dan banyak lagi.
"Kerajaan perlu melaksanakan latihan kemahiran kepada kakitangan yang bertugas di balai polis, hospital, klinik, rumah kebajikan, penempatan Orang Asli dan kem tahanan ketika berurusan dengan kumpulan wanita kurang bernasib baik.
"Kami juga berharap kementerian terbabit dapat menyediakan pusat krisis dalam sektor penjagaan kesihatan bagi membantu mangsa dera termasuk kemudahan untuk pekerja estet wanita," tambahnya.
Hadir sama pada forum tersebut, Pengerusi Kokus Parlimen Wanita, Nancy Shukri; Naib Presiden All Women Action Society (Awam), Haslinah Yacob; Pengarah Program Women's Centre for Change (WCC), Dr. Prema Evelyn Devaraj dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah.
Sumber : UtusanOnLine 08/12/2009
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...