“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Disember 23, 2009

Ajar dan didik - ajar atau didik?


Salam,

Entry ini dimasukkan susulan perbincangan “Bagaimana mendidik anak merasai kesusahan” dalam egrup yang saya sertai. Sesuai dengan tajuknya, mari kita bermain dengan bahasa.

Apa yang anda faham dengan ayat ini :

  1. Setiap ibu bapa tahu AJAR anak-anak mereka, tetapi bukan setiap ibu bapa mampu DIDIK anak-anak mereka.
  2. Ramai ibu bapa hari ini cuma mengajar anak, tetapi amat kurang yang mendidik anak.

Soalan saya :
  1. Apa itu AJAR?
  2. Apa itu DIDIK?
  3. Sama ke AJAR dan DIDIK itu?
  4. Atau AJAR dan DIDIK ini dua perkara yang berbeza?

Menurut KAMUS DEWAN:

Ajar
bermaksud tunjuk, petunjuk supaya diketahui (diikut dan lain-lain) sebagai bimbingan atau panduan untuk melakukan sesuatu.

Mengajar bermaksud :
  1. menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dan sebagainya) kepada orang lain, mendidik, melatih, memberikan petunjuk-petunjuk kepada. Contoh : mengajar orang menggunakan senjata;
  2. membaiki kelakuan dengan memberi nasihat dan sebagainya, mendidik. Contoh : Dia mengajar anaknya supaya jangan nakal;
  3. membuat seseorang melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan pengalaman dan sebagainya yang telah diperolehnya. Contoh : Musim kemarau ini akan mengajar kita supaya tidak menggunakan air dengan membazir, atau Kesulitan hidup mengajar orang lebih berusaha;
  4. memarahi (memukul seseorang) supaya jera (tidak melakukan lagi sesuatu);

Didik
pula bermaksud pelihara, jaga (dengan hati-hati), ajar.

Mendidik bermaksud :
  1. kaedah mendidik. Contoh : Salah mendidik boleh merosakkan anak-anak apabila mereka besar kelak;
  2. yg dididik (diajar, dilatih, dll). Contoh : Masa depan bagi kanak-kanak yang dididik sekolah Melayu kini terjamin;
  3. pendidikan;
Pendidikan bermaksud :
  1. perihal mendidik. Contoh : Pendidikan kanak-kanak cacat belum diperluas lagi di negara kita;
  2. ilmu pendidikan, ilmu didik, ilmu mendidik pengetahuan mendidik. Contoh : ia mahu mendalami lagi pelajarannya dalam hal pendidikan kanak-kanak;
  3. didikan, latihan, ajaran. Contoh : Merosotnya moral pemuda-pemudi kita ialah kerana kurang mendapat pendidikan rohani ketika di bangku sekolah;

Jika kita lihat erti dua perkataan ini, kita akan dapati ajar dan didik adalah dua perkara yang berbeza. Sekarang, bolehkah anda bezakan AJAR dan DIDIK? Atau anda masih kurang jelas? OK, teruskan pembacaan anda. Saya akan ajar dan didik anda pula. :)

Belajar satu proses yang berterusan

Ajar (atau belajar) ialah apa saja yang masuk dalam otak dan sistem saraf manusia akan disimpan dan boleh digunakan pada jua masa. Belajar sebenarnya tidak memerlukan guru kerana kita dan anak anak-anak belajar apa saja dan pada setiap masa, melalui lima deria iaitu apa yang dilihat, dihidu (bau), disentuh, didengar dan dirasai. Dari situ, kita dan anak-anak terutamanya, akan belajar apa fungsi atau kegunaan, asal-usul atau sejarah dan sebagainya.

Serentak dengan anak-anak melihat, menghidu, menyentuh, mendengar dan merasa melalui lima pancaindera ini, ada satu lagi perasaan yang turut hadir tanpa disedari oleh diri sendiri dan orang di sekelilingnya. Kita namakan ia sebagai daya firasat. Jika kita lihat sekeliling, apa saja yang ada dalam persekitaran anak itu menjadi bahan untuk mereka belajar mengenal diri dan persekitarannya. Apa juga bahan dalam persekitaran anak itu menjadi bahan untuk dipelajari, untuk mengenali diri dan juga persekitarannya.

Tahukah anda apa sahaja anak belajar dari dalam rahim ibunya dan di peringkat bawah 6 tahun akan kekal dalam ingatan anak itu seumur hidupnya?

Pernahkah anda membaca kisah seorang bapa, Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu’man), yang mendidik anaknya, 40 tahun sebelum anaknya lahir? Seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah, “Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya? Jawab bapa Imam Abu Hanifah, “Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan.”

Bagi kita, kalau didengar pernyataan ini tentu pelik tetapi ia tidaklah mustahil. Bagaimana mungkin manusia yang belum dilahirkan sudah dididik? Namun apa yang ingin
disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah) ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga sudah dididik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak dari kandungan lagi.

Ungkapan seperti, ‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’, ‘bapa borek anak rintik’, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’, ‘bagaimana contoh begitulah gubahannya’, ‘bagaimana ditanam, begitulah dituai’ dan ‘bagaimana rupa begitulah bayangnya’ menggambarkan dengan jelas bagaimana kita mendidik anak-anak. Mana mungkin acuan kuih berbentuk 'love' menghasilkan biskut berbentuk 'bintang' pula? Begitulah nanti dewasanya anak-anak dengan didikan kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita sendiri.

Sebagai ibu-bapa, kita mesti berhati-hati dengan anak kecil, apa yang dilihat, apa yang disentuh, apa yang kita tutur serta amalan kita sering diperhatikan oleh anak-anak. Mereka melihat dan mendengar pertuturan dan semua ini menjadi bahan-bahan belajarnya. Pada hari ini media seperti televisyen, radio, komputer dan sebagainya menjadi sumber anak belajar secara tersendiri. Oleh itu kita wajar sentiasa bersama anak-anak supaya apabila ada perkara negatif yang ditayangkan di televisyen atau dilihat di internet, ia dapat disaring dan tidak menjadi bahan untuk anak belajar.

Tunjuk cara yang betul

Didik pula ialah perkataan yang lebih mendalam yang membawa erti ajar (belajar), di samping itu ada pula yang memberitahu dan menunjukkan cara yang betul dan tidak betul. Ini bermakna, proses didik memerlukan seorang penunjuk ajar juga digelar pendidik.

Sebagai contoh apabila kita memberitahu anak tentang cawan, kita akan sentuh dan menunjukkan kepadanya. Di samping menunjukkan cawan secara fizikal, kita boleh menunjukkan juga fungsi cawan itu, iaitu cawan digunakan untuk kita minum air. Seterusnya, kita boleh terangkan jenis cawan pula. Tunjukkan kepada anak, cawan yang diperbuat daripada plastik, kaca, ceramik ataupun metal.

Saya pernah ditanya anak, mengapa dia cuma dibenarkan menggunakan cawan plastik, sedangkan saya gunakan cawan ceramik (mug). Huk.. huk.. Mungkin dia merasakan saya tidak adil kerana memberikannya cawan yang kurang cantik... :) ... Saya terangkan kepadanya, cawan kaca atau ceramik akan pecah jika terjatuh, sebaliknya cawan plastik tidak mudah pecah. Jadi, cawan kaca atau ceramik tidak sesuai untuk kanak-kanak. Kanak-kanak lebih sesuai guna cawan plastik. Saya berikan jawapan yang spesifik dan panjang lebar supaya anak faham.

Selanjutnya, kita boleh menunjukkan pula cara memegang, menghidang, mencuci, menyusun dan menyimpan cawan itu. Dengan cara ini, anak kecil bukan sahaja tahu yang itu adalah cawan semata-mata, tetapi mendapat pendidikan segala-galanya mengenai cawan, iaitu daripada fungsi dan bagaimana cara untuk mengendalikan cawan dengan baik. Proses mengenalkan cawan inilah yang kita panggil ‘DIDIK’.

Orang dewasa terutamanya ibu bapa pula harus mengajar anak secara tepat, jelas, betul dan tidak mengelirukan. Ibu bapa juga wajib PANTAU apa yang menjadi pelajaran dan pendidikan anak-anak. Pendidikan sebegini harus dilakukan dalam rahim lagi dan sebelum anak-anak mencecah usia 6 tahun. Anak-anak juga harus diajar dan dididik dengan kemahiran hidup seawal mungkin iaitu sebaik sahaja mereka boleh berfikir dan ketika usianya masih dalam peringkat ingin belajar dan tahu, kerana proses ajar dan didik itu lama dan berulang-ulang.

Anak saya sendiri, seawal usia 2 tahun sudah sibuk mahu melakukan apa saja dengan sendiri. Hendak makan (suap) sendiri, mandi juga mahu sendiri, sabun sendiri, syampu sendiri, pakai baju sendiri, sikit-sikit nak buat sendiri. Saya tidak pernah tegah sebab tidak mahu membantutkan naluri keinginannya untuk berdikari, tetapi saya akan PANTAU, AJAR dan DIDIK. Anak yang umur 5 tahun itu pula sudah pandai buat minuman sendiri. Kadang-kadang dia sibuk offer/buatkan susu untuk adik-adiknya. Saya perhatikan sahaja gelagatnya. Cuma apa yang paling ‘tak syok’ bila dia buat sendiri, ada saja yang tumpah. Walau bagaimanapun, saya ajar dia bertanggungjawab bersihkan apa yang tumpah/berselerak. Alahmdulillah, dia sudah pandai basuh cawan dan pinggan sendiri lepas makan. Adik-adiknya juga saya disiplinkan lepas makan/minum/ botol kena letak dalam sinki. Baju/seluar kotor kena letak dalam bakul laundry.

Walaupun masih kecil, saya berpendapat kita sebagai ibu bapa kena ajar mereka berdikari, sebab saya percaya disiplin bermula dari kecil. Bila sudah menjadi rutin, tidaklah rasa payah/liat/malas/mua hendak membuatnya sendiri. Paling penting, saya tidak penat mengutip itu ini. Pengalaman melihat seorang ibu (jiran mak dan ayah saya) yang masih mencuci, menjemur dan mengangkat (dari ampaian) kasut sekolah anak-anak walaupun anak-anaknya sudah belajar di Tingkatan 5, amat mengajar saya betapa perlunya kita ajar dan didik anak-anak supaya pandai berdikari.

Pada usia dua tahun anak-anak sedang menjalani proses yang akan jadi ‘permanent’ bila umur enam tahun. Pada usia empat tahun anak-anak sudah boleh jadi ‘khadam’, boleh suruh mereka tolong ibu bapa. Sebaliknya, jika tidak diajar dan dididik dengan betul dan sikap-sikap yang baik tidak terbentuk sejak kecil, kita khuatir anak-anak akan menjadi ‘rebellious’.

Amalkan konsep ajar dan didik anak-anak. Semoga mereka membangun secara holistik dan dapat membesar dengan cemerlang. Amiin.

Sumber : artikel NURY yang saya baca. Terima kasih Dato' Dr Noor Laliy dan sahabat di SIM!

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails